Pages

Showing posts with label tipu. Show all posts
Showing posts with label tipu. Show all posts

Friday, March 15, 2013

Bala tentera ‘hantu’ makan gaji buta


Sao Paulo: Seorang doktor di hospital di sini menggunakan ‘jari palsu’ yang dibuat daripada silikon untuk mencatatkan kehadiran rakan sekerja apabila mereka tidak datang bekerja.

Pegawai merampas enam ‘jari’ daripada doktor berkenaan, Thauane Nunes Ferreira, 29, apabila menahannya kelmarin.


Pembongkaran kegiatan itu mendorong kepada siasatan di Ferraz de Vasconcelos berhampiran Sao Paulo mengenai jumlah ‘pekerja hantu’ di bandar itu.


Datuk Bandar Acir Fillo berkata, kira-kira 300 kakitangan kerajaan mengambil gaji tanpa perlu bekerja. “Kita ada bala tentera hantu. Ia perkara yang memalukan. Kita akan pasang kamera mengawasi mesin kedatangan bagi memastikan ia tidak berulang,” katanya Menurut Fillo, dia percaya ‘pekerja hantu’ berada di semua pejabat awam, termasuk kesihatan, keselamatan dan pelajaran.


Ferreira yang diawasi pihak berkuasa mengaku memalsukan dokumen awam selepas ditangkap penggunakan jari palsu menipu mesin biometrik untuk mencatatkan kedatangan rakannya. - AP

Tuesday, January 22, 2013

15 tahun tak dibayar gaji



Dua beradik dakwa ditipu

KUCHING: Nasib dua beradik dari Kampung Antayan Kropok, Serian, di sini, tidak ubah seperti buruh paksa apabila mereka mendakwa dikerah bekerja 12 jam sehari tanpa menerima upah walau sesen dalam tempoh 15 tahun lalu.

Ketika menerima tawaran daripada ejen mencari pekerja pada 1995, Radin anak Bangan, 31 dan adiknya Simon, 30, yang hanya sempat bersekolah hingga darjah enam, melompat kegirangan selepas dimaklumkan mereka bakal menerima gaji RM2,000 sebulan apabila bekerja di kilang membuat pau, di Puchong, Selangor. Mereka ketika itu masing-masing berusia 15 dan 16 tahun terus menerima tawaran itu dengan harapan pendapatan lumayan akan membantu mengubah nasib keluarga.
Selepas sebulan bekerja, mereka tidak menerima gaji seperti dijanjikan, namun bersabar kerana yakin majikan akan membayar gaji pada bulan berikutnya. Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, dua beradik itu terus menanti namun sehingga 15 tahun mereka hanya menikmati makanan dan tempat tinggal percuma daripada majikan manakala gaji yang diharapkan tidak pernah diterima.

Dalam tempoh itu juga, mereka terputus hubungan dengan keluarga dan lebih malang lagi selama bekerja di kilang pau itu, mereka tidak pernah keluar, walaupun ke pekan berhampiran.

"Saya tidak begitu ingat suasana perayaan Gawai Dayak kerana tidak pernah berpeluang untuk merayakannya sejak saya ke sana (Puchong).

“Kami terharu, kerana tahun ini berpeluang untuk menyambut Gawai bersama keluarga kerana selama ini kami tidak berhubung dengan mereka," kata Simon tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu ketika ditemui selepas mereka membuat laporan polis terhadap majikan mereka di Balai Polis Sentral, di sini, semalam. Mereka pulang ke kampung Februari lalu.
Radin pula berkata, selepas sekian lama berada di perantauan, beliau terfikir mungkin tidak akan berpeluang berjumpa keluarga lagi.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku pada keluarga di sini (Sarawak). Kami juga tidak tahu macam mana hendak keluar (lari) kerana bimbang tidak tahu ke mana arah tujuan.

"Tetapi selepas sekian lama terkurung, akhirnya majikan bersetuju menghantar kami balik dan membeli tiket kapal terbang, itupun selepas diminta oleh bapa kami," katanya yang mendakwa selain beliau dan adiknya, terdapat dua lagi rakyat Sarawak berbangsa Bidayuh dan tiga lagi berbangsa Cina berasal dari Perak, bekerja di kilang itu.

Monday, September 3, 2012

SMS, Google penyelamat



Wanita Thai diperdaya ke Bahrain jadi tukang urut

Bangkok: Seorang wanita Thailand menggunakan pengetahuan dan kebolehannya dalam teknologi komunikasi untuk menyelamat diri dan sembilan wanita rakan senegaranya daripada dipaksa melacur di Bahrain. Wadi (bukan nama sebenar) menghantar mesej pesanan ringkas (SMS), menggunakan Google untuk menghubungi polis dan wartawan Thailand dan menggunakan program tiga dimensi Google Earth untuk mengelak daripada diperangkap ke lembah pelacuran.
Ini selepas dia menyedari ditipu oleh rakannya yang menghantar tiket elektronik kapal terbang ke Bahrain, dengan menjanjikan beliau memperoleh 50,000 baht (RM5,000) dengan hanya memberi khidmat mengurut selama 10 hari.

Walaupun tidak ada pengalaman mengurut, Wadi bersetuju dengan tawaran berkenaan kerana menyangka itu peluangnya untuk ke luar negara selain mampu mengubah kehidupan keluarganya kerana ibunya hanya menjual barangan runcit secara kecil-kecilan di rumah.

Rakannya juga turut menghantar emel yang juga adalah sepucuk surat daripada penjamin, seorang lelaki Bahrain yang menganggap Wadi sebagai teman wanitanya untuk membolehkan dia masuk ke Bahrain.

Wadi menghantar surat kepada Kementerian Buruh di Lapangan Terbang Subarnabhumi pada 7 Ogos dan laluannya ke Bahrain amat mudah. Seorang lelaki menunggunya di lapangan terbang di Manama. Dia mengikut lelaki terbabit ke bangunan enam tingkat seperti sebuah hotel.
Di sana dia bertemu dengan seorang wanita Thailand dikenali sebagai Jeh Nung yang membawanya ke hotel berkenaan dengan mengatakan rakannya menanti kedatangan mereka di tingkat atas.

Bagaimanapun, dia mengesyaki sesuatu tidak kena apabila melihat sembilan lagi wanita Thailand lain bersesak di dalam sebuah bilik kecil bersama barangan mereka bersepah di bilik berkenaan.

Wadi bertanya mengenai rakannya kepada Jeh Nung tetapi sebaliknya diminta memberi khidmat seks kepada pelanggan atau membayar 100,000 (RM10,000) untuk bayaran tiket kapal terbang, makanan dan tempat tinggal. - Agensi

Thursday, August 30, 2012

Setiausaha ditipu kekasih Nigeria




HOCK SENG menunjukkan gambar lucah di telefon bimbit yang dirampas daripada warga Nigeria yang ditahan kelmarin.


MELAKA - Hanya dalam tempoh dua bulan, seorang janda anak satu kerugian RM233,227.96 gara-gara terjerat dengan ayat-ayat cinta lelaki Nigeria menyamar sebagai doktor yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook pada awal Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, dalam tempoh perkenalan di alam siber itu, lelaki Nigeria itu mendakwa dia bekerja di Switzerland manakala mangsa yang berusia 56 tahun bekerja sebagai seorang setiausaha di sebuah syarikat.
Menurut beliau, setelah usia perkenalan mencecah hampir sebulan, suspek memberitahu bahawa dia ingin mengirim wang sebanyak AS$380,000 (kira-kira RM1,444,000) kepada mangsa kerana ingin membuka sebuah klinik di negara ini.
"Suspek juga memberitahu akan datang ke Malaysia pada penghujung bulan Mei untuk mengambil wang tersebut.
"Pada 30 Mei lalu, suspek mendakwa wang yang dibawa oleh seorang wanita sudah tiba di Kuching, Sarawak, namun pembawa wang tersebut ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas kesalahan membawa wang tunai," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Hock Sing berkata, suspek yang berhubungan dengan mangsa kemudian merayu agar mangsa menolongnya membayar RM54,500 kepada JKDM kononnya sebagai yuran kerana membawa wang tunai.
Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank seorang wanita tempatan pada penghujung Mei lalu.
"Keesokan harinya, janda itu memasukkan sebanyak RM6,500 ke dalam akuan sama setelah suspek mendakwa ada caj lain," kata beliau.
Jelas Hock Sing, pada 1 Jun lalu, mangsa sekali lagi memindahkan wang berjumlah RM77,227.96 ke dalam akaun sama setelah suspek memaklumkan perlu membayar cukai sebanyak tujuh peratus kerana wang yang dibawa itu.
Pada 4 Jun lalu, mangsa sekali lagi memindahkan wang sebanyak RM85,000 kononnya sebagai bayaran tambahan cukai tujuh peratus yang dikenakan.
Pada 5 Jun lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek kononnya wang sudah tiba di Kuala Lumpur dan meminta mangsa membayar RM10,000 kepada pembawa wang berkenaan melalui satu akaun bank lain.
Menurut Hock Sing, mangsa yang berasal dari sini kemudian diminta ke sebuah hotel di Kuala Lumpur kononnya untuk mengambil wang tersebut daripada seorang lelaki Afrika yang ditemani seorang lelaki tempatan.
"Mangsa diperbodohkan lagi apabila lelaki Afrika itu menyuruh mangsa membayar RM10,000 bagi membeli sejenis cecair kononnya bagi mencuci mata wang dolar Amerika Syarikat yang dibawa dalam sebuah peti besi," kata beliau
Bagaimanapun, kata beliau, mangsa terselamat daripada terus kerugian apabila dia tidak membawa duit dan mula berasa curiga dengan kedua-dua lelaki terbabit.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Banda Hilir pada 16 Ogos lalu.
Polis yang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut menahan pemilik akaun yang digunakan suspek.
Pemilik akaun tersebut merupakan seorang pelajar wanita tempatan berusia 23.
Susulan penangkapan wanita itu, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki Nigeria di sebuah resort di Putrajaya pada pukul 3 pagi kelmarin.
Polis turut merampas tiga telefon bimbit milik warga asing berkenaan. Semakan telefon bimbit berkenaan mengandungi klip video lucah yang dipercayai digunakan oleh lelaki-lelaki Afrika itu untuk memikat mangsa-mangsa mereka.

Wednesday, August 29, 2012

Waspada penipu menyamar wartawan




MICHAEL (duduk di kiri) dan Man Fai (duduk di tengah) pada sidang akhbar bersama beberapa pengusaha restoran yang ditipu dua lelaki menyamar sebagai petugas media di Wisma MCA di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menasihati pemilik restoran di ibu negara supaya berhati-hati jika didatangi oleh mana-mana individu yang mengaku sebagai wartawan dan jurugambar media cetak.
Ketuanya, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya mendapat laporan terdapat dua lelaki yang giat menipu pengusaha restoran di sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini dengan menyamar sebagai petugas media.
“Lelaki dikenali sebagai Jonathan dan Edmund ini memaklumkan pengusaha restoran bahawa premis mereka dipilih sebagai restoran terbaik di Malaysia oleh syarikat penerbitan.
“Mangsa diyakinkan bakal menerima Anugerah Restoran Terbaik Malaysia tetapi perlu bayar wang sehingga beribu ringgit kononnya untuk tujuan pengiklanan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Michael berkata, Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menerima sebanyak 10 aduan kes seperti itu membabitkan kerugian lebih RM30,000 sejak beberapa bulan lalu.

Tuesday, August 28, 2012

Wanita 15 suami diburu

SHAHANAZ.
SHAHANAZ.

KERALA: Seorang wanita yang melarikan diri dari bandar raya ini diburu polis selepas meninggalkan setiap lelaki yang dikahwininya.
Shahanaz, 33, dipercayai berkahwin dengan puluhan lelaki sejak beberapa tahun lalu. Walaupun sesetengah laporan mendakwa dia ‘berkahwin’ lebih 50 kali, pihak berkuasa berkata hanya 15 lelaki yang tampil membuat laporan.

Shahanaz pertama kali berkahwin kira-kira 11 tahun lalu dengan seorang lelaki bernama Siddique dan mempunyai seorang anak.

Bagaimanapun, berita mengenai perkahwinannya hanya terbongkar apabila dua daripada suaminya tampil di balai polis Chennai dan aduan susulan dibuat oleh beberapa mangsa lagi.

Keseluruhannya tujuh aduan rasmi sudah dibuat terhadapnya, tetapi tidak mustahil lebih ramai lagi mangsa yang akan muncul.

Aduan pertama dibuat oleh Manikandan, 24, yang bekerja di bilik pameran kedai kereta.


Shahanaz memberitahunya dia mencari lelaki yang menipu kawannya selepas berjanji untuk mengahwininya.

Menurut akhbar Indian Express, mereka banyak kali bercakap di telefon dan kemudian menjadi rapat.

Shahanaz memberitahunya dia anak yatim sejak kecil dan mendakwa bekerja sebagai peguam bela di mahkamah tinggi Madras. Dia juga memberitahu sedang belajar untuk menduduki peperiksaan perkhidmatan awam.

Mereka berkahwin April lalu tanpa restu ibu bapa Manikandan.

Dua bulan kemudian, Shahanaz meyakinkan Manikandan dia perlu tinggal di asrama supaya dapat bersedia untuk menduduki peperiksaan.

Manikandan mendakwa dia menjual barang kemas yang dibeli untuk perkahwinan mereka untuk digunakan Shahanaz. Dua minggu kemudian, Shahanaz hilang dari asrama dan tidak dapat dikesan.

Ketika polis mula menyiasat kes itu, seorang lagi lelaki, Prasanna, pemain bola sepak daerah tampil mengatakan dia juga berkahwin dengan Shahanaz beberapa tahun lalu.

Polis kini mendapati Shahanaz turut berkahwin dengan orang lain termasuk Rajesh, Chandrababu dan Saravanan. - DM

Friday, May 11, 2012

Polis tumpaskan penipuan kad bank



BEBERAPA anggota polis berdiri dekat barang-barang yang dirampas dalam serbuan membanteras sindiket penipuan kad bank di Montreal kelmarin.


MONTREAL - Polis Kanada menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang bertanggungjawab melesapkan sekitar AS$100 juta (RM307 juta) daripada akaun pemilik kad bank di seluruh dunia.
Seorang jurucakap polis Kanada memberitahu kelmarin bahawa 45 orang telah ditangkap dalam beberapa serbuan melibatkan 250 anggota polis di kawasan Montreal, Ottawa dan Vancouver.
Menurutnya, waran tangkap untuk 61 orang yang disyaki terlibat dalam jenayah berkenaan telah dikeluarkan tetapi cuma seorang suspek terdiri daripada rakyat Kanada.
Pihak berkuasa menyatakan rangkaian itu bergerak aktif di Britain, Australia, New Zealand, Malaysia dan Tunisia.
Sindiket berkenaan membahagikan tugas dalam kalangan anggotanya dengan sebahagian mereka pakar dalam merakamkan dan mengubah suai mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Beberapa anggota lain pula mahir mencuri nombor pin kad bank dan menggodam terminal komputer pasar raya manakala konco-konco mereka akan membuat kad ATM palsu untuk mengeluarkan wang secara haram.
Sebahagian kes penipuan itu membabitkan kecurian maklumat kad kredit dan debit dalam komputer mesin pembayaran ketika pengguna melakukan transaksi di restoran dan premis perniagaan lain.
Semua suspek berkenaan akan didakwa kerana menipu, membuat kad palsu dan mencuri identiti orang lain.
- AFP

Thursday, April 12, 2012

Pengantin perempuan menipu hidap barah kena dakwa

 VEGA mencuba gaun perkahwinannya di New York, sebelum upacara perkahwinan pada 8 April 2010.
VEGA mencuba gaun perkahwinannya di New York,
sebelum upacara perkahwinan pada 8 April 2010.

NEW YORK: Seorang pengantin perempuan yang melakukan penipuan dengan mendakwa dirinya menghidap barah dan akan meninggal dunia semata-mata untuk mendapatkan dana bagi membiayai majlis perkahwinan besar-besaran dan berbulan madu, bakal berdepan tuduhan jenayah kerana menipu.

Malah, Jessica Vega, 25, dari New York, juga menipu bakal suaminya dengan mengatakan menghidap leukemia dan hanya mempunyai masa kurang setahun untuk hidup. Dia berdepan dengan hukuman penjara 24 tahun jika sabit kesalahan.
Vega ditahan minggu lalu dan mengaku tidak bersalah atas lima tuduhan termasuk mencuri pada skala besar dan tuduhan melakukan penipuan.
Dia kini ditahan di Penjara Orange County Jail, New York dengan jaminan $10,000 (RM30,617). 

Peguam Negara, Eric Schneiderman ketika memberitahu Times Herald-Record berkata, dengan berpura-pura menghidap penyakit yang membawa maut, Vega meraih simpati daripada orang ramai dan mendapat keuntungan daripada kemurahan mereka. 

“Pejabat kami akan menahan individu ini kerana bertanggungjawab memperdaya orang ramai melalui penipuan,” katanya. 

Vega mengahwini Michael O'Connell, yang juga bapa kepada anak perempuannya Lily, berusia setahun, pada 2 Mei 2010 dan pasangan itu menghabiskan bulan madu eksotik di Aruba menggunakan tiket penerbangan yang disumbangkan kepada mereka. 
Majlis perkahwinan itu dihadiri 60 keluarga dan rakan yang mendermakan wang kerana simpati dengan keadaan Vega. – Reuters/Agensi

Sunday, April 8, 2012

Derita jadi pemuas nafsu


SERI... gagal daftar nama anak
SERI... gagal daftar nama anak


KUALA LUMPUR: Kemaruk mahu bersuamikan lelaki asing yang dikatakan lebih kacak, gagah, romantis dan pandai mengambil hati berbanding lelaki tempatan, rumah tangga dibina seorang wanita bagaikan neraka apabila dia hanya dijadikan tempat pemuas nafsu selain mangsa sepak terajang.
Lebih teruk, tidak sampai setahun berkahwin dan sebaik hartanya habis dikikis, lelaki Nigeria dikahwininya menghilangkan diri.

Itu antara pengalaman dilalui Seri, 29, angkara termakan umpan cinta Khazem, 38, yang pada mulanya memberikan layanan istimewa untuk memikatnya.
Bagaimanapun, sebaik berkahwin, istana cinta diimpikan bertukar neraka apabila dia dilayan seperti pelacur selain keringatnya dikerah untuk mencari duit bagi menyara hidup suaminya.

Menceritakan detik pertemuan mereka, Seri berkata, dia diperkenalkan kepada Khazem oleh rakannya yang turut menjalin hubungan dengan lelaki Afrika ketika belajar di sebuah kolej di Subang Jaya.

“Pada mulanya saya tak terfikir nak mengenali Khazem dengan lebih rapat. Namun disebabkan belajar di kolej sama, hampir setiap hari kami bertemu dan bermula dari situlah dia mengambil berat mengenai saya berbanding rakan lelaki lain.
“Boleh dikatakan setiap kali keluar bersama, dia mengeluarkan belanja, malah ketika saya tak cukup duit untuk membayar sewa rumah, dia yang datang membantu,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Asyik dengan layanan istimewa Khazem, Seri akhirnya jatuh hati walaupun tidak mengetahui latar belakangnya.
“Saya tak tahu nak cakap perasaan saya kepadanya. Kalau ikutkan perasaan, ramai lagi rakan lelaki lain yang saya suka, tapi bila dengan Khazem saya jadi lupa dan sentiasa ingin bersamanya.

“Dia beritahu saya, keluarganya mempunyai perniagaan di Nigeria dan segala perbelanjaannya ditanggung keluarga,” katanya.

Menurut Seri, empat bulan selepas perkenalan, dia kehilangan ‘mahkotanya’ pada Khazem selepas lelaki itu membawanya ke sebuah kelab malam.

“Sebenarnya saya tak sedar waktu itu, mungkin kerana diberi dadah. Saya hanya tahu sudah terlanjur dengannya apabila bangun keesokannya dan mendapati Khazem tidur di sebelah saya tanpa pakaian.

“Kerana sayangkannya, saya mengambil keputusan berkahwin dengannya tanpa pengetahuan keluarga dan berhenti belajar,” katanya.

Seri berkata, selepas tiga bulan, dia terpaksa keluar mencari kerja apabila suaminya memberitahu tidak lagi menerima wang daripada keluarga dengan alasan berkahwin tanpa pengetahuan mereka, selain sukar mendapat pekerjaan kerana berstatus warga asing yang memegang pasport pelajar.

Walaupun pada mulanya Seri mendapat tawaran bekerja sebagai penyambut tetamu dengan gaji RM1,500 sebulan, namun selepas didesak Khazem, dia hanya sempat bekerja sebulan dengan alasan bayaran diterima tidak setimpal.

“Kerja kedua saya sebagai pelayan kelab malam dengan gaji RM2,300 tak termasuk elaun serta tip pelanggan. Saya terima kerja ini setelah Khazem berjumpa pengurus kelab itu bagi mendapatkan kerja untuk saya.

“Mulanya saya tak mahu, tapi setelah Khazem berjanji ia hanya sementara sebelum dia mencari pekerjaan tetap, saya terus bersetuju,” katanya.

Bagaimanapun, Seri berkata, sebaik bekerja sebagai pelayan kelab malam, suaminya mula menunjukkan belang apabila hanya menjadikannya sebagai pemuas nafsu dan mengikis gaji serta tip diterimanya.

“Saya bekerja dari jam 10 malam hingga jam 4 pagi. Jadi kebanyakan waktu siang saya di rumah. Sepanjang saya di rumah, Khazem keluar dengan alasan merancang perniagaan bersama rakan selain menguruskan dokumen perjalanan di negara ini.

“Kami hanya berjumpa sekejap sama ada kerana dia mahu layanan seks, minta duit atau balik untuk menyalin pakaian hinggalah pada satu hari dia memukul saya kerana tiada wang,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, Khazem bijak menyusun kata untuk memujuknya.

“Jika saya dipukul kerana tiada duit atau keinginan seksnya tidak diendahkan, keesokannya dia balik membawa makanan serta sedikit duit bagi memujuk.

“Bagaimanapun, kalau hampir setiap hari dipukul, wanita mana boleh tahan. Banyak kali juga saya minta cerai tapi apabila dia balik ke rumah, memujuk serta berjanji untuk mengubah perangai, saya jadi cair dan makin sayang dengannya.

“Bayangkan, saya berani ke kelab malam untuk berhibur, minum arak, terlanjur dan bekerja di kelab malam, semuanya kerana Khazem. Walaupun awalnya menolak, selepas dipujuk rayu saya jadi cair dan terus mengikut katanya,” katanya.

Bagaimanapun, ketika usia perkahwinan mencecah setahun dan disahkan hamil serta tidak dapat lagi meneruskan kerja sebagai pelayan kelab malam, suami dicintai tiba-tiba menghilangkan diri hinggalah dia melahirkan anak pada Oktober tahun lalu.

“Saya kesal mengenalinya kerana jika diimbas kenangan bersamanya, tiada yang indah. Sudahlah terpaksa bekerja, setiap sen gaji yang saya terima habis dikebasnya.

“Lebih dikesali, perkahwinan kami tidak mendapat pengesahan jabatan agama, menyebabkan saya tidak dapat mendaftarkan nama anak saya,” katanya.

Thursday, March 22, 2012

Askar bunuh warga Afghan ada rekod tipu pelabur


Robert Bales
NEW YORK - Sarjan Robert Bales, anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang dituduh membunuh 16 rakyat awam Afghanistan awal minggu lalu, berhadapan dengan masalah baru ekoran laporan bahawa dia meninggalkan negaranya untuk menyertai perang di Iraq tanpa menyelesaikan ganti rugi kepada seorang pelabur saham.

Laporan menyebut dia pernah terlibat dalam kes menipu seorang pelanggan berusia berkaitan skim saham.

Mahkamah telah mengarahkan supaya dia dan dua yang lain membayar ganti rugi berjumlah RM4.5 juta (AS$1.5 juta), tetapi dia telah mendapat perlindungan daripada pematuhan perintah perundangan dengan kekal dalam perkhidmatan ketenteraan, kata pakar-pakar perundangan.

Sebelum memulakan kerjaya dalam perkhidmatan ketenteraan pada November 2001, Bales berkhidmat selama lima setengah tahun di sebuah firma broker saham.

Dia menyertai perkhidmatan tentera 18 bulan selepas seorang pelabur dari Ohio memfailkan aduan mendakwa wujudnya dagangan secara tidak sah, melanggar kontrak dan tindakan salah guna lain ke atasnya, firma sekuriti dan pemiliknya.

Pada 2003, panel perantara mengarahkan ketiga-tiga mereka secara bersama membayar pelabur itu ganti rugi sekitar RM4.5 juta.

Bales tidak pernah muncul ketika sesi panel perantara bersidang, malah tidak pernah mengambil peguam untuk mewakil dirinya.

Friday, February 24, 2012

Wook lapor polis dakwa diperdaya Din

wook
KUALA BERANG – Seorang warga emas yang pernah menggemparkan rakyat Malaysia kerana berkahwin dengan seorang lelaki lebih muda tiga kali ganda daripada usianya daripadanya dilaporkan tertipu dengan helah anak saudaranya sendiri.

Warga emas, Wook Kondor, 109, yang lebih dikenal sebagai Wook dikatakan tidak tahan dengan perangai anak saudaranya, Din kerana memperdayakannya sehingga tanah miliknya tergadai sedangkan satu sen pun wang penjualan tanah tidak diperolehnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, warga emas dari Kampung Bukit Tok Bat didatangi anak saudaranya pada 2004 untuk meminta geran tanah miliknya.

“Menurut laporan, suspek meminta geran berkenaan kononnya untuk disimpan tetapi kepercayaan yang diberikan Wook bertukar tragedi apabila tiga tahun kemudian, Din kembali berjumpanya dan mengajak ke suatu lokasi untuk mendapatkan cap jarinya.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa menurunkan cap jari di atas kertas yang dia sendiri tidak memahaminya,” katanya.

Namun pada Disember 2011, seorang lelaki datang ke rumahnya di kampung berkenaan dan menyuruhnya berpindah serta-merta kerana menurut lelaki itu, tanah yang diduduki sudah dijual dan bukan lagi miliknya.

Sekian lama memikirkan kesulitan yang terpaksa dilalui, akhirnya Wook datang ke Balai Polis Kuala berang semalam kira-kira jam 9 pagi untuk melaporkan perkara berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Wook membuat laporan itu dengan ditemani suaminya, Mohd Nor Musa, 39.

Wook lapor polis dakwa diperdaya Din - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tuesday, February 14, 2012

Pesan IPhone 4s dapat berus cat

IMPIAN MUSNAH...Faizal menunjukkan berus cat terpakai, komik berbahasa Cina serta telefon mainan yang diterimanya.
IMPIAN MUSNAH...Faizal menunjukkan berus cat terpakai,
komik berbahasa Cina serta telefon mainan yang diterimanya

.
JOHOR BAHRU: “Saya terkejut selepas membuka kotak dikirim apabila mendapati ia hanya mengandungi berus cat terpakai, komik berbahasa Cina serta telefon mainan dan bukannya iPhone 4s yang menjadi idaman,” kata Faizal Hussin, 41, dari Taman Impian Jaya di sini, semalam.
Faizal yang juga pengurus sebuah syarikat swasta di sekitar bandar raya ini berkata, dia kerugian RM1,750 selepas diperdaya sindiket penjualan telefon bimbit terbabit yang beroperasi menerusi laman web.
Mengimbau kejadian, Faizal berkata, ketika melayari portal pengiklanan sindiket terbabit pada 3 Januari lalu, dia tertarik dengan iPhone 4s yang ditawarkan pada harga RM1,750 seunit oleh Jay One Communication and Services memandangkan harganya lebih murah berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM2,400.

“Saya menghubungi nombor tertera untuk membuat pertanyaan berkaitan telefon bimbit berkenaan sebelum diminta memasukkan bayaran ke akaun bank tertera nama Yow Wei Xian.

“Telefon bimbit berkenaan pula dijanjikan dalam tempoh dua hari menerusi Poslaju. Kiriman itu tiba dua hari kemudian iaitu pada 5 Januari lalu, namun saya terkejut mendapati ia hanya berus cat terpakai, komik serta telefon mainan,” katanya.

Faizal mendedahkan perkara itu pada prosiding Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), semalam.

Menyambung keterangannya, Faizal berkata, dia berusaha mengesan alamat syarikat terbabit berdasarkan nombor akaun bank penerima bayaran berkenaan iaitu di Muar.

“Saya ke premis itu dan mendapati ia rumah yang disewa beberapa lelaki Melayu.

“Pada 10 Januari lalu, saya terkejut apabila membaca laporan Harian Metro yang mendedahkan seorang bekas pegawai bank menerima lesung batu selepas membayar RM3,250 untuk membeli tiga unit telefon pintar daripada syarikat sama,” katanya.

Faizal memfailkan tuntutan berkenaan kepada TTPM dengan harapan mendapat pembelaan sewajarnya dan menamakan Jay One Communication and Services dan penama akaun, Yow dalam tuntutannya bagi mendapatkan ganti rugi berikutan penipuan itu.

Presiden TTPM, Maznah Haron kemudian memerintahkan penentang kedua iaitu Yow selaku pemegang akaun yang menerima wang pembelian telefon bimbit terbabit mengembalikan RM1,750 kepada mangsa dalam tempoh 14 hari.

Tuntutan yang difailkan terhadap Jay One Communication and Services pula dibatalkan. Ketika prosiding, Jay One Communication and Services dan Yow tidak hadir untuk mengemukakan hujah bagi mengetepikan tuntutan difailkan terhadap mereka.

Maznah turut menasihatkan Faizal supaya membuat laporan polis berkaitan kes itu selain lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan barangan yang ditawarkan pada harga murah terutama ketika berurusan menerusi Internet.

myMetro | Pesan IPhone 4s dapat berus cat:

'via Blog this'

Sunday, February 5, 2012

Tahfiz buta al-Quran

 MINTA... pelajar tahfiz  mengutip derma di R&R  Seremban.
MINTA... pelajar tahfiz mengutip derma di R&R Seremban.
Oleh HADZLAN HASSAN, NORIAH IDRIS, ANIZA ZAINUDIN, NURUL HUSNA MAHMUD dan SHAHRUL REDZUAN ZULKIFLI
metahad@hmetro.com.my
         

MINTA... pelajar tahfiz mengutip derma di R&R Seremban.
PORT DICKSON: Mereka mengaku murid dan pelajar tahfiz ketika mengutip derma atau melakukan jualan amal kononnya untuk membiayai pelajaran. Namun apabila didesak, mereka tidak fasih membaca al-Quran, malah lebih mengejutkan ada yang tidak boleh membaca kitab suci itu walaupun berusia 14 tahun.

Itulah senario mengejutkan yang berlaku terhadap kanak-kanak dan remaja terbabit yang sebahagian besarnya anak ahli kumpulan bekas pertubuhan al-Mansur.


Pertubuhan itu ada kaitan dengan ajaran Azhar Wahab yang diwartakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2003 dan lapan lagi majlis fatwa negeri.

Seakan-akan kem tentera, kumpulan kanak-kanak terbabit direkrut menjadi ‘skuad elit’ bagi mengutip derma dan menagih simpati orang ramai selain dibayar RM10 seorang, menyebabkan ramai antara mereka lebih gemar keluar ‘bekerja’ berbanding mengikuti kelas pengajian al-Quran.


Perkembangan mengejutkan itu didedahkan bekas pengikut yang juga guru agama kelas al-Quran pertubuhan berkenaan.


Dia pernah mengajar kumpulan kanak-kanak terbabit di bangunan rumah kedai yang disewa pertubuhan itu sejak beberapa tahun lalu.


Suhaimi (bukan nama sebenar) yang kini insaf dan menjadi imam sebuah masjid di daerah ini mendakwa, dia keluar dari kumpulan itu kerana tidak tahan sikap pemimpin serta pengikut pertubuhan yang menyimpang daripada ajaran Islam.


“Saya mengajar kanak-kanak terbabit mengaji al-Quran dan seterusnya mahu menjadikan mereka tahfiz, namun kecewa kerana pertubuhan itu lebih mementingkan aktiviti jualan daripada kelas mengaji.

“Memang mereka mengikuti kelas al-Quran selepas solat Subuh, tapi selepas itu dihantar ‘berniaga’.


“Kira-kira jam 9 atau 10 pagi, mereka dihantar ke pusat beli-belah, stesen minyak atau hentian rehat dan rawat (R&R) sebelum pulang antara jam 1 atau 2 pagi dalam keadaan letih.


“Kanak-kanak terbabit juga lebih gemar keluar menjual barangan ahli pertubuhan berbanding mengikuti kelas agama kerana mereka boleh berjalan ke sana-sini dan tidak terperap dalam kelas pengajian,” katanya.


Beliau mengulas susulan laporan Metro Ahad 29 Januari lalu yang melaporkan ratusan anak yatim dan pelajar pusat tahfiz dikerah memungut derma bagi membiayai kegiatan menghidupkan semula ajaran sesat Azhar Wahab dengan berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara, terutama sekitar Lembah Klang.


Ajaran Azhar Wahab diwartakan sesat oleh sembilan majlis fatwa negeri, termasuk Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1970.


Lebih mengejutkan, siasatan wartawan Metro Ahad mendapati murid dan pelajar pusat tahfiz di Kedah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) itu dibekalkan dua produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).


Mereka turut dibekalkan cakera padat video (VCD) yang bukan saja tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), malah klip video dalam VCD terbabit jelas bertentangan dengan imej pelajar tahfiz.


Suhaimi berkata, kebanyakan kanak-kanak yang diperalatkan kumpulan terbabit adalah anak ahli kumpulan itu yang pernah diharamkan kerajaan, iaitu al-Mansur dan ketika dia mengajar dulu ada juga anak orang luar tapi jumlahnya terlalu kecil.


Lebih mengecewakan, katanya, ada remaja perempuan yang diperalatkan pertubuhan itu menjadi mangsa rogol ketika menjalankan aktiviti mengutip derma dan sepanjang pengetahuannya, dua kes rogol berlaku.


“Tiada laporan polis dibuat kerana mereka tidak suka orang luar campur tangan tapi sepanjang pengetahuan saya, dua kes rogol berlaku dengan satu daripadanya berlaku terhadap remaja lembam,” katanya.


Suhaimi berkata, kini kebanyakan anak orang luar dari pertubuhan itu keluar dari pusat pengajian berkenaan selepas mendapat tahu mereka diperalatkan dan yang tinggal hanya anak ahli yang taksub dengan pemimpin mereka.


“Saya kenal sangat mereka, kebanyakannya bekas ahli al-Arqam tetapi apa yang diamal dan dibawakan mereka kali ini lebih teruk daripada pertubuhan itu,” katanya.


Menurutnya, dia bertemu Azhar atau SM Amin tiga kali ketika lelaki berkenaan datang ke Lukut memberi ceramah kepada ahli supaya meneruskan taat setia dan menyokong perjuangan dan kepemimpinannya.


“Ketika memberi ceramah, dia akan bersalam, berpeluk dan bercium dengan semua orang, tidak kira lelaki atau perempuan, anak dara atau isteri orang, menyebabkan saya mula curiga dengan amalan dan perjuangan Islam yang didakwa diamalkannya.


“Pernah saya bertanya cerdik-pandai agama dalam pertubuhan itu tetapi dimarahi kerana mempertikaikan tindak-tanduk ‘tuanku’ mereka dan dimaklumkan semua orang tidak boleh berbuat demikian kecuali tuanku atau ayahanda mereka,” katanya.

Friday, January 27, 2012

Hidup guna identiti mendiang abang


TOKYO: Seorang lelaki Jepun memalsukan kematiannya dengan mendakwa mayat mendiang abangnya sebagai mayatnya sendiri.
Akhbar Asahi Shimbun melaporkan, walaupun ketika abangnya masih hidup, Tsukasa Oizumi menggunakan lesen memandu abangnya kerana lesen memandunya dibatalkan akibat kesalahan trafik berulang kali.

Apabila abangnya mati pada usia 56 tahun pada 2008, Oizumi mengambil alih keseluruhan identiti mendiang.

Dia memberitahu pihak berkuasa bahawa mayat itu ialah mayatnya. Malah, doktor yang menguruskan mayat abangnya juga tidak mengesyaki apa-apa. Mayat tu dibakar seperti biasa di Jepun.

Oizumi, kini 58, seterusnya menuntut bayaran faedah keselamatan sosial atas nama abangnya untuk membiayai penjagaan ibu mereka yang sudah tua.

Menurut akhbar itu, dia menyerah diri di sebuah pejabat kebajikan tempatan baru-baru ini setelah sedar terhadap kesalahan yang dilakukannya. - AP

Sunday, January 22, 2012

Ada pihak guna Facebook untuk menipu



LONDON 21 Jan. - Seorang wanita dari timur laut England, mendedahkan kegiatan penipuan oleh pihak tertentu yang menggunakan Facebook untuk meminta derma daripada orang ramai dengan mendedahkan tentang penderitaan anaknya.
Menurut Julie Chambers, 37, pihak tersebut telah menyiarkan beberapa gambarnya serta anak perempuannya, Zoe yang telah meninggal dunia ketika berusia dua tahun dan menipu orang ramai dengan memuatkan maklumat yang tidak benar di laman Facebook.
Daily Mail melaporkan, laman tersebut dipercayai mengutip derma kononnya untuk membantu Zoe yang dilahirkan dengan injap jantung yang kecil menjalani pemindahan jantung, sedangkan Zoe telah meninggal dunia pada 2008 selepas menjalani satu pembedahan jantung.
"Memang sukar bagi saya menghadapi hakikat itu jika anak saya masih hidup, tetapi dia tidak lagi bersama kami.
"Zoe sudah meninggal dunia dan seseorang telah menggunakan gambarnya untuk menipu orang ramai dengan meminta derma," kata ibu muda itu. - AGENSI

Friday, January 20, 2012

Wanita terkaya dihukum mati


Wu Ying diiringi dua anggota polis ketika dihadapkan ke mahkamah di Zhejiang atas tuduhan menipu. - AGENSI




SHANGHAI 19 Jan. - Mahkamah Agung China hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang wanita yang pernah tersenarai sebagai wanita terkaya di China selepas dia didapati bersalah melakukan penipuan melibatkan AS$60 juta (RM186 juta).
Menurut akhbar Daily Shanghai, mahkamah agung wilayah timur Zhejiang semalam menolak rayuan yang dikemukakan Wu Ying, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bense Holding yang terlibat dalam mengutip dana secara haram.
"Hukuman yang dijatuhkan setimpal dengan perbuatan pesalah," kata mahkamah.
Wu disenaraikan sebagai wanita keenam terkaya di China pada 2006, menurut Laporan Hurun yang disiarkan dalam majalah-majalah ternama di China.
Agensi berita Xinhua melaporkan, syarikatnya, Bense, menjalankan pelbagai perniagaan dari perhotelan hingga bahan-bahan binaan.
Dalam kesnya, Wu mengutip dana daripada golongan pelabur dengan menjanjikan pulangan sebanyak 80 peratus, namun dia menyalahgunakan wang tersebut untuk membayar hutangnya.
Hukuman mati tersebut, bagaimanapun perlu diteliti Mahkamah Agung Rakyat.
Pihak berkuasa menahan Wu pada 2007 dan dia didapati bersalah buat kali pertama pada 2009 dan dibicarakan sejak April tahun lalu selepas mengemukakan rayuan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Wednesday, January 18, 2012

5 bulan simpan mayat bapa kerana wang



LONDON: Seorang lelaki berdepan dengan hukuman penjara selepas dia ditemui tinggal bersama-sama mayat bapanya selama lima bulan bagi membolehkan dia menuntut wang bantuan sara hidup si mati.
Christopher Blackburn, 28, ditangkap tahun lalu selepas polis yang bertindak berdasarkan maklumat daripada orang ramai, menyerbu rumahnya dan menemui mayat bapanya, Guy Blackburn.

Hasil bedah siasat menunjukkan Guy Blackburn, 54, bekas pemandu lori, mati kerana penyakit biasa pada November 2010.

Semalam, anaknya, dari Huddersfield, West Yorks, mengaku menghalang pengebumian mayat bapanya.

Dia juga mengaku mencuri �1,869 (RM9,345), wang bantuan sara hidup milik bapanya. Mahkamah Preston diberitahu, Guy Blackburn tinggal di rumahnya di Penwortham, Lancaster sejak 26 tahun lalu tetapi kesihatannya semakin teruk dan dia hanya tinggal di rumah selepas menghabiskan masa seketika di hospital.

Mayatnya ditemui Mac tahun lalu selepas jiran semakin bimbang mengenai keadaannya selepas tidak melihatnya sejak Oktober 2010.


Mereka menghubungi Persatuan Perumahan Eaves Brook, pemilik rumah berkenaan.

Polis kemudian melakukan siasatan di rumah itu dan menemui mayat Guy Blackburn di katil di bilik depan. - Daily Mail

Saturday, January 14, 2012

Bahana suntikan uri kambing kerana mahu cantik

MANDY menunjukkan kesan bengkak dan nanah akibat suntikan
uri kambing biri-biri pada punggungnya di Pejabat 
Biro 
Pengaduan Awam (MCA), Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Impian seorang pengurus akaun sebuah syarikat yang mahu kulitnya sehalus kulit bayi bukan saja tidak menjadi malah wanita itu terpaksa menanggung sakit sehingga meninggalkan parut pada punggung kanannya.
Bukan sekadar itu, mangsa Mandy Chong, 35, juga merasa tertipu kerana dalam tempoh menerima rawatan kecantikan itu dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar lebih RM15,000.
Kos tersebut termasuk kos dua kali pembedahan bagi membuang ketulan kesan suntikan plasenta (uri) kambing biri-biri dan membeli ubat-ubatan bagi menghilangkan rasa sakit dan memulihkan jangkitan kuman dalam sel kulit punggung Mandy di sebuah hospital swasta.
Rawatan kosmetik menggunakan kaedah menyuntik formula uri kambing biri-biri dilakukan Mandy di sebuah pusat kecantikan di Kota Damansara di sini bermula 15 Mei 2011 sebelum menyedari kesan buruk akibat suntikan itu pada 5 Ogos 2011.
Mengimbas sebelum kejadian, Mandy berkata, dia yang mahu kulit halus mula terpengaruh untuk melakukan rawatan mencantikkan kulit dengan pakej suntikan uri kambing biri-biri ketika mengunjungi pameran di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Produk uri kambing biri-biri itu didakwa dari New Zealand.
Selepas mengunjungi pusat kosmetik itu, Mandy yang berunding dengan seorang pakar kecantikan di situ ditawarkan supaya melakukan suntikan uri kambing biri-biri bagi mendapat kulit yang mulus.
Katanya, dia yang teruja kerana bakal mendapat kulit cantik bersetuju menandatangani satu dokumen sebagai tanda setuju dengan terma rawatan sebelum membayar RM8,180 bagi keseluruhan proses menyuntik uri kambing biri-biri.
-kosmo

Wednesday, December 28, 2011

Jenayah maya tanpa sempadan


MENYEDARI dunia Internet adalah suatu alam terbuka untuk mereka yang mahu merebut peluang menjadi kaya, seorang lelaki warganegara Switzerland tidak mahu ketinggalan mengambil kesempatan itu.
Tambah menyeronokkan hati peguam berusia 40-an itu adalah apabila berkenalan dengan seorang lelaki dari Malaysia melalui sebuah laman sosial. Dia teruja kerana menganggap pencariannya bakal membuahkan hasil lumayan.
Lelaki yang ditemui melalui jaringan maya itu memperkenalkan diri sebagai seorang ahli perniagaan yang menjalankan bisnes eksport bahan-bahan mentah penternakan dan memiliki syarikat yang berpangkalan di Malaysia.
Peguam itu ditawarkan sebuah kontrak perniagaan mengeksport bekalan makanan ayam ke Hong Kong, tetapi diminta membayar sejumlah wang terlebih dahulu bagi memastikan kontrak tersebut tidak terlepas ke tangan orang.
Teruja dengan tawaran yang tidak disangka-sangka itu, peguam itu menurut sahaja kemahuan 'ahli perniagaan' itu. Wang sejumlah RM1,360,079.50 pun telah dipindahkan ke dalam akaun lelaki tersebut.
Begitupun, oleh kerana tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh masa yang terlalu panjang, dia yang mempunyai latar belakang undang-undang itu telah melakukan penyiasatan sendiri terhadap syarikat tersebut dengan maklumat yang ada.
Luluh hatinya apabila mendapati syarikat tersebut palsu dan tidak pernah wujud di Malaysia. Tidak mahu si penipu siber itu terlepas begitu sahaja, dia telah melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa.
Mujur tindakan pantas pihak polis telah berjaya menangkap dua individu, seorang lelaki dan wanita berhubung kes tersebut. Itu merupakan salah satu kes jenayah siber di negara ini.





Pada 15 Jun lalu, negara digemparkan pula dengan serangan alam siber yang ditunjangi penggodam antarabangsa. Dikenali sebagai Anonymous menerusi Operation Malaysia, kesan buruk penggodamannya amat serius.
Dalam serangan tersebut, sebanyak 91 buah laman web telah mengalami gangguan perkhidmatan.
Terdedah ancaman
Kegiatan jenayah dan salah laku siber tidak hanya melumpuhkan laman web, malah sesiapa sahaja boleh terdedah kepada ancaman tanpa sempadan itu.
Ia terbukti apabila CyberSecurity Malaysia melalui Pusat Bantuan Cyber999 telah mencatatkan sebanyak 14,157 insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet di seluruh Malaysia dari bulan Januari sehingga November 2011.
Jumlah tersebut menunjukkan berlaku peningkatan mendadak sebanyak 97 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Mengikut istilahnya, jenayah siber merujuk kepada perbuatan atau insiden yang dilakukan di alam siber, sama ada menggunakan komputer mahupun peralatan seperti perkakasan dan perisian telekomunikasi.
"Ia dilakukan dengan menggunakan telefon pintar atau peranti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dengan teknologi Internet digunakan sebagai perantara dan tidak melibatkan perbuatan jenayah secara fizikal.
"Sebagai contoh, penjenayah ini menceroboh maklumat organisasi atau individu, harta intelektual, penipuan kad kredit, kecurian identiti, penggodaman ke atas sistem rangkaian komputer dan laman web organisasi mahupun individu," kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri ketika ditemui Kosmo!.
Husin menjelaskan, setiap aktiviti jenayah siber yang dilakukan mempunyai motif atau tujuan tersendiri seperti membalas dendam, marah, berhibur sekadar suka-suka, kewangan dan politik.
Di kebanyakan negara, landskap jenayah siber yang berlaku kesemuanya hampir sama.
Laporan insiden
Di negara ini, CyberSecurity Malaysia mengklasifikasi kategori jenayah atau ancaman siber berdasarkan data laporan insiden keselamatan siber melalui penggunaan Internet yang dikumpulkan Pusat Bantuan Cyber999.


PENIPUAN melibatkan kad kredit juga merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh penjenayah siber.



Statistik yang dikumpul melalui pusat bantuan tersebut dikenali sebagai insiden keselamatan siber, dan tidak dikategorikan sebagai jenayah siber.
Antara insiden keselamatan siber yang dikenal pasti adalah seperti penipuan, spam, pencerobohan, kod berbahaya, cubaan pencerobohan, gangguan siber, laporan kerentanan (vulnerabilities), gangguan perkhidmatan (DoS) dan juga berkaitan kandungan.
Husin memberitahu, terdapat beberapa punca atau sebab berlakunya peningkatan insiden tersebut. Antaranya adalah jumlah pengguna Internet yang semakin bertambah dari semasa ke semasa dan kurang pengetahuan mengenai kepentingan keselamatan siber.
Pusat Bantuan Cyber999 juga banyak menerima laporan insiden keselamatan Internet berkaitan penggunaan media sosial.
"Ada dalam kalangan pengguna Internet yang kurang arif dan juga kurang berhati-hati sewaktu melayari Internet," ujar beliau.
Justeru, peluang tersebut memudahkan lagi penjenayah siber untuk mengambil kesempatan ke atas mereka.
Selain daripada itu, terdapat juga peningkatan ancaman-ancaman penggodaman seperti pencacatan laman web (web defacement) dan juga pencerobohan.
Kelemahan utama yang menjadi sasaran kebanyakan penjenayah siber ialah pihak yang menggunakan penyelesaian sekuriti tidak asli dan yang luput tarikh sah.
Menurut Pengarah Saluran Jualan Kaspersky Lab Asia Tenggara, Jimmy Fong, dalam satu kenyataan akhbar, pengguna peranti teknologi seperti komputer, telefon pintar, tablet dan peranti lain, ia seumpama seseorang yang meninggalkan pintu dan tingkap rumah dalam keadaan terbuka.
"Dalam situasi perbandingan tersebut, pengguna seolah-olah berharap tiada sesiapa yang akan masuk ke dalam rumah seterusnya menyalah guna atau mencuri hak miliknya.
"Di dalam kes ini, ia melibatkan data dan identiti anda," katanya.
-kosmo

Sunday, December 18, 2011

Taktik menipu tiada maruah

KUALA LUMPUR: Taktik menipu menggunakan Facebook, blog atau apa saja dalam talian oleh segelintir masyarakat, baik lelaki mahupun wanita, dianggap tindakan tidak bermaruah oleh pakar psikologi, Khairol Anuar Masuan.
“Sesiapa saja boleh menyamar, menipu atau melakukan apa saja sebebas-bebasnya dengan mudah kerana tiada siapa dapat mengesan penipuan yang dilakukan.

“Bahkan, kalau seseorang itu menguasai banyak bahasa, misalnya bahasa Inggeris, Perancis dan lain-lain, kemungkinan langkahnya semakin panjang untuk melakukan penyamaran dan penipuan.

“Penipuan dilakukan segelintir wanita untuk meraih wang dan mereka dianggap pisau cukur kerana suka mengambil kesempatan mendapatkan harta orang lain. Kebijaksanaan menggunakan ‘ayat power’ sehingga mampu mencairkan hati lelaki adalah kelebihan mereka.

“Namun menggunakan kelebihan untuk menipu atau salah guna kebijaksanaan yang dianugerahkan dianggap tidak bijak dan menyalahi etika sosial dan agama.

“Jika lelaki yang terkena itu mahukan sesuatu daripada gadis berkenaan untuk tujuan tidak baik, ini ibarat buku bertemu ruas,” kata pemilik K & A Applied Psychology Consultancy yang memiliki Ijazah Kaunseling dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat itu.

Khairol mengakui kes seperti ditipu melalui laman sosial semakin banyak, malah golongan muda mudah tertipu dengan kata-kata manis atau gambar menarik kerana kurang berhati-hati.

“Apapun, kita kena berpegang kepada adat resam ketimuran dan agama kerana menipu membabitkan etika hidup. Walaupun tahu semua orang bebas menggunakan Facebook sebagai medium untuk berkomunikasi, seharusnya ia tidak digunakan sewenang-wenangnya untuk kegiatan tidak bermoral atau berniat jahat,” katanya.
Sementara itu, kaunselor yang juga pakar motivasi, Fauzi Mustaffa meminta gadis yang gemar menggoda lelaki di laman sosial segera bertaubat kerana ia menyalahi agama.

Dia juga harus meminta maaf kepada orang ditipu, di samping membayar balik wang diberikan demi menebus kesilapan sendiri.

“Memang dia harus meminta maaf kepada orang yang ditipu kerana selagi tidak bertaubat, ia tidak akan diterima. Moralnya, jika berdosa dengan Allah SWT kita disaran meminta ampun, tetapi berdosa dengan manusia wajib meminta maaf dengan empunya diri. Selagi dia tidak memaafkan, selagi itu segala ibadat atau kebaikan tidak diterima Allah.

“Pembohongan dan penipuan termasuk dalam enam dosa besar sebagaimana kehendak Nabi Muhammad SAW,” katanya yang menyelar sikap mereka yang suka melakukan penipuan sebagai manusia bermasalah.

Fauzi berkata, jika benar-benar mengalami kesusahan, ada saluran betul untuk mendapatkan bantuan memandangkan kerajaan ada pelbagai badan untuk menyediakan bantuan seperti Pusat Zakat mahupun Baitulmal.
-HMETRO