AQAP ikrar perang 'jihad baru' balas dendam selepas Osama dibunuh
WASHINGTON: Kumpulan al-Qaeda di Yaman (AQAP) memberi amaran kepada Amerika Syarikat mengenai 'perang jihad baru' bagi membalas dendam berikutan pembunuhan Osama bin Laden oleh komando SEAL.
Amaran dari al-Qaeda di Semenanjung Arab itu dibuat selepas Senator Amerika Syarikat, John Kerry mengumumkan satu lawatan untuk membaiki hubungan dengan Pakistan, tempat Osama ditembak mati, selain meminta jawapan bagaimana pengasas al-Qaeda boleh ada di sana.
Pemimpin AQAP, Nasser al-Wahishi dalam satu kenyataan disiarkan melalui sebuah laman web bahawa ‘kemungkinan akan berlaku perang jihad (baru)’ berikutan kematian Osama 2 Mei lalu, kata laman SITE yang memantau kumpulan berkenaan.
AQAP memberi amaran kepada Amerika supaya tidak menganggap mereka bodoh atas alasan ‘kempen jihad sudah berakhir’ dengan pembunuhan Osama, dalang serangan 11 September 2011 (9/11).
“Jangan fikir pertarungan itu keterlaluan. Apa yang akan datang adalah lebih besar dan buruk dan apa yang menanti anda adalah lebih teruk dan berat,” kata Nasser yang dipetik SITE.
“Kami berjanji kepada Allah bahawa kami akan jadi lebih kuat dan kami akan teruskan gerakan dan kematian Sheikh Osama hanya akan menyemarakkan lagi tentangan terhadap Yahudi dan Amerika bagi membalas dendam.”
Amerika memberi amaran bahawa mengenai ancaman oleh pergerakan militan itu di Yaman, tanah asal bapa Osama dan memberi amaran kemungkinan negara itu menjadi tempat baru al-Qaeda melaksanakan rancangannya.
AQAP dilahirkan pada Januari 2009 gabungan antara cawangan al-Qaeda Arab Saudi dan Yaman. Mereka gagal dalam cubaan mengebom pesawat ke Detroit Amerika pada Disember 2009 dan didakwa pada Oktober lalu menghantar bungkusan bom dialamatkan ke tempat ibadat Yahudi di Amerika yang didaftarkan sebagai pencetak komputer.
Empat hari selepas Osama dibunuh dalam serbuan Amerika itu di tempat persembunyiannya, dua jam kemudian, Amerika mensasarkan guru agama Amerika-Yaman, Anwar al-Awlaqi dilakukan di selatan negara itu.
Guru agama terbabit yang disifatkan Washington mempunyai hubungan kuat dengan al-Qaeda selamat dalam serangan itu tetapi dua anggota AQAP terbunuh.
Dalam mesej terakhirnya yang dirakam seminggu sebelum beliau dibunuh, Osama memberi amaran, Amerika tidak akan selamat selagi penduduk Palestin juga tidak selamat.
“Amerika tidak akan terjamin keselamatannya sehingga kami tinggal di Palestin dengan selamat. Adalah tidak adil kamu hidup aman tetapi saudara kami di Gaza tidak selamat.” – AFP
INFO: Al-Qaeda di Yaman (AQAP)
Pemimpin AQAP ialah Nasser al-Wahishi, bekas setiausaha peribadi Osama bin Laden manakala pemimpin kedua ialah Said Ali al-Shihri, bekas tahanan Guantanamo
Strategi utama AQAP ialah menyekat program negara Barat yang menyokong Israel daripada bertapak di negara Islam
Bertanggungjawab menyerang kapal perang Amerika, USS Cole pada 2000 di pelabuhan Aden menyebabkan 17 kelasi maut manakala 10 orang awam terbunuh dalam serangan terhadap kedutaan Amerika di Sana'a, September lalu
Nasser memberi amaran kepada Amerika bahawa serangan lebih dahsyat akan dilakukan terhadap kepentingannya dalam mesej di laman web.
bharian