Pages

Thursday, November 29, 2012

Seks untuk dapat kontrak

ZHAO guna wang untuk rawat bapa.
ZHAO guna wang untuk rawat bapa.
BEIJING: Inilah wanita yang dirakam mengadakan seks dengan pegawai Parti Komunis China dalam video yang tersebar di Internet sehingga menggemparkan seluruh negara itu.
Lei Zhengfu, ketua parti peringkat daerah di Chongqing, bandar di barat daya China, dipecat selepas video itu tersebar awal bulan ini.
Wanita itu mulanya didakwa perempuan simpanan Lei. Bagaimanapun, laporan terbaru berkata, dia sebenarnya pelacur yang diupah oleh sebuah syarikat pembinaan bagi mendapatkan kontrak daripada pegawai terbabit.

Zhao Hongxia yang berusia 18 tahun ketika video itu dirakam pada 2007, menulis dalam blognya bahawa dia dibayar RM25,000 untuk tidur bersama Lei.


Katanya, wang berkenaan digunakan untuk membayar bil perubatan bapanya.

Zhao yang kini berusaia 23 tahun dan sudah menjadi jururawat berkata, dia ditawarkan wang itu oleh ketua sebuah syarikat hartanah.

“Dia berterus terang, bertanya sama ada saya mahu jadi pelacur, melayani pegawai kerajaan yang mempunyai hubungan perniagaan dengannya,” kata Zhao.

Video itu mencetuskan satu lagi skandal dalam Parti Komunis di bandar yang sebelum ini diketuai oleh Bo Xilai, ahli politik yang dipecat sebelum ini.

Bagaimanapun, ia mungkin hanya satu permulaan apabila seorang bekas wartawan berkata, dia mungkin mendedahkan video serupa membabitkan lebih ramai pegawai bandar raya itu sedikit masa lagi.

Parti itu sebelum ini berdepan dengan skandal yang menyebabkan pemecatan Bo dan memburukkan lagi reputasi parti di mata orang ramai.

Chongqing, bandar raya yang diketuainya, digambarkan oleh pendakwa raya dan media sebagai penuh dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Isteri Bo didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan Britain sementara dia sendiri berdepan dengan tuduhan rasuah serta menghalang keadilan dalam kes pembunuhan itu.

Berita mengenai video seks itu yang dipercayai dirakam pada 2007 hanya tersebar bulan ini ketika barisan pemimpin baru China meningkatkan usaha memerangi rasuah.

Video itu tersebar di Internet negara itu pada 20 November selepas imej rakaman itu dimuatnaikkan oleh bekas wartawan, Zhu Ruifen menerusi laman webnya yang didaftarkan di Hong Kong.

Video berkenaan yang dirakam secara sulit dari meja sebelah katil menunjukkan Lei mengadakan seks dengan wanita itu.

Zhu memberitahu wartawan bahawa Zhao, yang wajahnya tidak kelihatan dalam gambar yang dipetik daripada video itu, diupah oleh sebuah syarikat pembinaan untuk tidur dengan Lei sebagai balasan memperoleh kontrak.

Syarikat itu kemudian cuba menggunakan video itu untuk memeras lebih banyak kontrak daripada Lei.

Zhu berkata, dia memperoleh video itu daripada petugas Biro Keselamatan Awam Chongqing yang tidak mahu dikenali.

Menurutnya, dia juga diberikan video serupa membabitkan lima pegawai bandar raya itu yang lain tetapi kini berusaha mengesahkan kandungannya sebelum mendedahkannya kepada umum. - DT

‘Durian timpa kepala anakku’

SITU...Samimi menunjukkan tempat durian menimpa dia dan bayinya.
SITU...Samimi menunjukkan tempat durian menimpa dia dan bayinya.
NIBONG TEBAL: “Kepalanya berdarah tapi tak banyak, sebaliknya anak saya terus diam dan tidak sedarkan diri,” kata Samimi Kasmin, 29, ibu bayi berusia 38 hari yang mati akibat ditimpa sebiji buah durian yang baru gugur di belakang rumah mereka di Lorong Badak Mati, Sungai Bakap, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Muhammad Yusoff Zainal yang cedera di sebelah kiri kepala, disahkan meninggal dunia sejam selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Bakap (HSB).
Samimi berkata, durian seberat 2.1 kilogram yang gugur itu terlebih dulu mengenai bahu kirinya sebelum menimpa kepala bayi yang berada dalam dukungannya.

Menurutnya, ketika kejadian dia mahu mengangkat pakaian di ampaian terletak kira-kira enam meter dari pintu belakang rumahnya.


“Pada mulanya, saya mahu tinggalkan anak di dalam rumah tapi ketika saya baru melangkah ke pintu, dia menangis lalu saya mendukungnya dan keluar untuk mengangkat kain di ampaian,” katanya ketika ditemui, semalam.

29 maut serangan bom di Jaramana

Penduduk Syria  melihat sebuah trak yang terbakar  selepas dua bom kereta meletup di Jaramana, Damsyik semalam. - APPenduduk Syria melihat sebuah trak yang terbakar selepas dua bom kereta meletup di Jaramana, Damsyik semalam. - AP BEIRUT: Pengeboman berganda di bandar raya Jaramana berhampiran Damsyik yang diduduki kebanyakan penganut fahaman Druz dan Kristian mengorbankan 29 orang dan menyebabkan berpuluh-puluh lagi cedera, kata Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR).

“Bilangan yang terbunuh akibat dua bom kereta di bandar Jaramana meningkat kepada 29,” kata pemerhati beribu pejabat di Britain itu, mengemas kini angka terdahulu yang menyatakan sekurang-kurangnya 20 maut.
Penduduk berkata, siri serangan bom berlaku jam 6.30 pagi waktu tempatan di Jaramana, lokasi pasukan militia prokerajaan menubuhkan kumpulan bersenjata untuk mempertahankan bandar raya itu daripada serangan pejuang pembebasan Syria.

“Pengganas meletupkan dua bom kereta yang dipenuhi sejumlah besar bahan letupan di dataran utama Jaramana, membunuh dan mencederakan beberapa penduduk dan merosakkan bangunan penempatan dan kedai,” lapor agensi berita SANA.

Gegar Jaramana

Letupan menggegarkan Jaramana pada masa sama dua bahan letupan diletupkan di bandar itu dalam serangan berasingan, kata SANA, walaupun tiada siapa maut dalam letupan itu.

Penduduk bandar itu panik ketika letupan berlaku. Kejadian semalam adalah serangan bom ke-4 di Jaramana sejak 28 Ogos lalu. Pada 29 Oktober bom kereta membunuh 11 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.
Semalam juga, pesawat tempur melancarkan lima serangan udara dalam masa 15 minit ke atas wilayah Maaret al-Numan di barat laut yang dikuasai pejuang pembebasan ketika tentera dan pejuang bertempur di pintu masuk bandar itu di selatan, kata SOHR. - AFP

100,000 banjiri majlis tayangan filem The Hobbit




Kira-kira 100,000 orang membanjiri kawasan di Pawagam Embassy.


WELLINGTON, New Zealand - Kira-kira 100,000 peminat filem The Hobbit: An Unexpected Journeymenghadiri majlis tayangan perdana filem itu di Pawagam Embassy di sini semalam untuk berjumpa pelakon-pelakon pujaan mereka.
"Ia sangat beremosi dan menyentuh perasaan apabila melihat orang ramai dari bandar di negara kelahiran saya datang memberikan sokongan.

BARISAN pelakon filem The Hobbit: An Unexpected Journey berdiri di atas pentas 
di Pawagam Embassy di Wellington semalam.


"Apabila penggambaran tamat dan 100,000 orang datang ke tayangan perdana, ia seperti dunia sedang tunggang- terbalik," kata pengarah filem berkenaan, Peter Jackson.
Filem itu mengisahkan watak Bilbo Baggins lakonan Martin Freeman mencari kerajaan Erebor yang hilang.
Menurut Jackson, teknologi baharu yang digunakan dalam pembikinan filem tersebut dapat mencetuskan pengalaman luar biasa yang akan menarik orang ramai ke pawagam.
Filem itu bakal menemui peminat seluruh dunia pada bulan depan. - Agensi

Lahar Gunung Kilauea mengalir ke laut




LAHAR mengalir ke laut dekat Taman Negara Gunung Berapi di Kampung Kalapana, Hawaii kelmarin.


KALAPANA, Hawaii - Sebuah gunung berapi dekat Taman Negara Gunung Berapi di sini mengalirkan lahar ke laut sejak Sabtu lalu.
Beberapa pegawai menyatakan, jika lahar tersebut berterusan mengalir ke laut dari Gunung Kilauea, ia akan menarik kehadiran ramai pelancong.
- Reuters

Kumpulan saintis Iran didakwa buat pengiraan letupan nuklear




GAMBAR RAJAH yang menunjukkan pengiraan letupan nuklear oleh saintis Iran.


VIENNA - Satu gambar rajah yang diperolehi oleh agensi berita The Associated Press menunjukkan bahawa para saintis di Iran telah mengendalikan simulasi komputer untuk sebuah senjata nuklear yang mampu menghasilkan kuasa letupan tiga kali ganda lebih kuat daripada bom atom pada Perang Dunia Kedua yang memusnahkan Hiroshima, Jepun.
Maklumat mengenai gambar rajah itu telah dibocorkan oleh pegawai-pegawai dari sebuah negara yang tidak bersetuju dengan program nuklear Iran.
Ia didedahkan sebagai hujah sokongan kepada dakwaan mereka yang mahukan program nuklear Iran dihentikan.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang merupakan pemerhati nuklear untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria melaporkan pada tahun lalu bahawa pihaknya telah menerima gambar rajah tersebut.
Menurut agensi tersebut, gambar rajah itu menunjukkan Iran melakukan pengiraan tentang letupan nuklear. - AP

Ratusan berkhemah di Dataran Tahrir



RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir kelmarin.


KAHERAH - Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Tahrir di sini yang masuk hari keenam semalam bagi menuntut Presiden Mesir, Mohamed Morsi (gambar kecil) membatalkan dekri yang membolehkan semua keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah.
Polis turut melepaskan bedilan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang membaling batu di dataran berkenaan.

BEBERAPA pemuda melontar batu ke arah kumpulan anggota polis dekat Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


Seramai 40 orang cedera dalam pertempuran itu yang dianggap sebagai kejadian yang kelihatan seperti ketika para penunjuk perasaan menentang pemerintahan bekas presiden, Hosni Mubarak pada awal tahun lalu.
Hosni meletakkan jawatan pada Februari tahun lalu selepas tunjuk perasaan berlaku di serata negara ini.
Beliau meletakkan jawatan setelah para penunjuk perasaan menganggap pemerintahannya korup.
Morsi mengeluarkan dekri itu pada minggu lalu.



Kumpulan-kumpulan penentang menuduh Morsi sebagai pemimpin bersifat kuku besi.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menyokong Morsi menyatakan, dekri itu hanya dilaksanakan buat sementara waktu.
Menurut pergerakan itu, ia bertujuan untuk menjamin keselamatan bagi mengelak pemberontakan berlaku seperti pada era Hosni yang menyebabkannya meletak jawatan.
Morsi menjadi presiden menerusi pilihan raya pada Jun lalu.
Hakim-hakim di Mahkamah Rayuan di Mesir juga akan melancarkan mogok sehingga Morsi membatalkan dekri tersebut. - Agensi

Menara condong sejak tahun 1960-an di China




BEBERAPA pelajar bermain bola keranjang di tepi 
Menara Wanshousi yang condong di Xi'an, wilayah Shaanxi kelmarin.


XI'AN, China - Menara Wanshousi di sini yang terletak berdekatan sebuah sekolah di sini condong sejak tahun 1960-an.
Ia dibina sejak zaman dinasti Ming yang memerintah pada tahun 1368 hingga 1644.
Bagaimanapun, beberapa rangka besi dipasang bagi menyokong menara itu bagi mengelak ia tumbang.
- Reuters

Pemuda Mesir miliki lengan terbesar dunia




MOUSTAFA mengangkat kedua-dua lengannya.


MILFORD, Massachusetts - Seorang pemuda berketurunan Mesir, Moustafa Ismail yang tinggal di sini dipercayai memiliki lengan paling besar di dunia.
Ukur lilit lengan Moustafa yang berusia 24 tahun itu ialah 79 sentimeter.
Pemuda itu makan tiga kilogram (kg) protein, 4.08kg karbohidrat dan minum air sebanyak 11.35 liter pada setiap hari .
Pihak Guinness World Records kini menimbang sama ada akan mengiktiraf Moustafa sebagai pemilik lengan terbesar di dunia.
"Mereka (penduduk) memanggil saya Popeye, Popeye Mesir.
"Bagaimanapun, tidak seperti watak kartun Popeye, saya suka makan ayam, daging dan apa jua makanan kecuali bayam," katanya.
Dia juga mengambil vitamin dan makanan tambahan lain.
Moustafa juga sukar untuk mencari baju yang sesuai dengan tubuhnya.
Dia mula berusaha untuk memperoleh bentuk lengan itu di bandar kelahirannya, Alexandria di Mesir sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada 2007 dan menetap di Franklin, barat daya Boston.
Moustafa melakukan senaman angkat berat selama dua jam hampir setiap hari.
Pemuda itu pernah mengangkat bebanan seberat 272kg.
Dia sanggup melakukan dua pekerjaan termasuk sebagai pembantu di sebuah stesen minyak untuk membiayai senamannya di sebuah pusat kecergasan dan makanannya.
Namun, isterinya meminta dia meninggalkan salah satu pekerjaan kerana menganggap suaminya itu bekerja terlalu keras.
Pihak Guinness kemudian menghubunginya dengan menawarkan pemuda itu lawatan ke London, Britain untuk muncul bersama beberapa pemegang pelbagai rekod dunia termasuk wanita paling kecil di dunia.
Moustafa memenuhi undangan itu.
Bagaimanapun, kontroversi muncul kerana terdapat dakwaan di internet bahawa dia menggunakan dadah steroid dan menanam implan pada lengannya.
Beberapa pihak lain mendakwa, dia menyuntik minyak synthol yang digunakan oleh ahli bina badan.
Dia pernah pergi ke Tokyo untuk muncul dalam program dokumentari stesen televisyen Fuji yang menunjukkan beberapa doktor mengambil sampel darah manakala ototnya turut menjalani ujian X-ray.
Doktor-doktor itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang dalam tubuhnya.
Namun, pihak Guinness mengeluarkan nama Moustafa dalam laman webnya.
Jurucakap Guinness, Sara Wilcox berkata pada Oktober lalu, pihaknya masih melakukan penyelidikan dengan pakar-pakar perubatan berhubung kes Moustafa sebelum mengiktiraf lengannya. - AP

54 maut letupan bom di pinggir Damsyik

SEBUAH jet tentera Syria terhempas selepas ditembak jatuh kumpulan penentang Bashar
di Daret Ezza semalam.


JARAMANA, Syria - Serangan 2 bom kereta secara serentak membunuh sekurang-kurang 54 orang dan menyebabkan kemusnahan di bandar Jaramana di pinggir Damsyik semalam.
Bahan letupan yang diletakkan di dalam kedua-dua kereta itu diletupkan pada waktu subuh di kawasan penempatan pro-Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Menurut laporan media tempatan, kebanyakan penduduk di kawasan tersebut didiami penganut Kristian.
Tiada pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.
Jurugambar agensi berita AFP berkata, jalan-jalan raya dipenuhi darah dan cebisan daging manusia.
Sementara itu, para penentang Bashar berjaya menembak jatuh sebuah jet tentera Syria di Daret Ezza, wilayah utara negara ini.
Juruterbang jet itu kemudian ditawan kumpulan penentang.
Pergolakan di Syria bermula sejak Mac tahun lalu yang telah menyebabkan lebih 40,000 orang terbunuh.
Pertempuran antara kumpulan penentang dengan tentera Syria berlaku hampir pada setiap hari.
Kumpulan penentang itu mahu menggulingkan Bashar selepas beliau gagal untuk membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan hak asasi manusia. - Agensi

Palestin mohon status negara pemerhati hari ini




GAMBAR fail menunjukkan Abbas mengemukakan salinan surat untuk menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Perhimpunan Agung PBB di New York pada 23 September tahun lalu.


NEW YORK - Pertukaran status Palestin sebagai entiti pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi sebuah negara pemerhati bukan anggota PBB bakal diketahui pada hari ini.
Palestin perlu mendapat undian majoriti daripada 193 negara anggota PBB pada Perhimpunan Agung badan dunia itu.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) dan Israel me nentang resolusi tersebut dengan alasan ia akan membantutkan usaha mengembalikan semula perjanjian damai antara Palestin dan Israel.
Pengiktirafan PBB terhadap status tersebut bakal meletakkan Palestin setara dengan Vatican sebagai negara pemerhati bukan anggota PBB.
Status itu akan membolehkan Palestin menyertai beberapa agensi PBB seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan mengemukakan permohonan pada perhimpunan agung itu.
Palestin mengemukakan resolusi untuk menaik taraf status mereka kerana permohonan untuk menjadi negara anggota penuh PBB pada September 2011 telah ditolak Majlis Keselamatan PBB apabila AS melakukan veto terhadap permohonan tersebut. - Agensi