Pages

Wednesday, February 6, 2013

'Spiderman' panjat Hotel Habana Libre



Robert melambaikan tangan ke arah orang ramai yang menyaksikan aksinya setelah berjaya memanjat bangunan Hotel Habana Libre di Havana, kelmarin. - AGENSI
HAVANA 5 Feb. - 'Spiderman' Perancis, Alain Robert, semalam sekali lagi mencatat kejayaan, kali ini memanjat Hotel Habana Libre di ibu negara Cuba, dalam apa yang disifatkannya sebagai sokongan kepada pemimpin revolusi negara ini, Fidel Castro.
''Memanjat merupakan satu cara untuk mengetahui tentang sebuah negara dan budayanya. Ini juga merupakan satu tanda sokongan kuat kepada Castro,'' katanya sebelum memulakan aksinya itu, cubaan pertamanya di Cuba.
Robert memulakan aksinya memanjat hotel setinggi 70 meter itu dari tingkat empat bangunan tersebut, sebelum sampai di tingkat 26 hotel berkenaan 28 minit kemudian.
Polis turut menghentikan aliran trafik semasa Robert sampai di puncak bangunan itu.
Kejayaannya disaksikan kira-kira 2,000 orang yang bertepuk tangan setiap kali dia sampai ke tingkat seterusnya.
Robert, 50, telah memanjat lebih 100 bangunan tanpa menggunakan tali atau sebarang peralatan keselamatan, mencipta rekod sebagai 'pendaki bangunan tanpa bantuan' oleh Guinness World Records.
Ketika ditanya sama ada dia akan menemui Castro pada sebelah petang, Robert berkata, dia masih tidak pasti sama ada dapat berbuat demikian.
Kelmarin, Castro, 86, yang menyerahkan tampuk pemerintahan kepada adiknya pada 2006, tampil di khalayak ramai dalam tempoh tiga bulan setelah dilihat keluar mengundi pada pilihan raya Parlimen Cuba. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130206/lu_06/Spiderman-panjat-Hotel-Habana-Libre#ixzz2K8Pjtl75
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Amah jadi jutawan di Arab Saudi, miliki kekayaan suami



JAKARTA 4 Feb. - Bagaikan bermimpi, daripada seorang amah, nasib seorang wanita Indonesia yang mencari rezeki di Arab Saudi kini berubah menjadi jutawan.
Semuanya berlaku selepas beliau mewarisi kekayaan sebanyak 110 juta Riyal (RM90 juta) peninggalan arwah suaminya yang sebelum itu merupakan majikannya.
Tanpa mendedahkan nama wanita itu, sebuah akhbar di Arab Saudi, Almadinah melaporkan kekayaan itu diwarisi wanita Indonesia itu berdasarkan agihan mengikut hukum Syariah serta wasiat yang ditulis suaminya, Ali Ayami.
Akhbar berbahasa Arab itu turut melaporkan, amah Indonesia itu sudah lama bekerja dengan majikannya itu, sebelum mereka bernikah.
Laporan mengenai kekayaan yang diwarisi amah itu dimuatkan dalam akhbar Almadinah edisi 13 Disember lalu.
Agensi berita Indonesia, Antara yang memetik laporan akhbar berkenaan berkata, pada mulanya wanita itu menerima 20 juta Riyal (RM16.5 juta) sebaik-baik suaminya meninggal dunia.
Tidak lama kemudian, wanita tersebut menerima tambahan 90 juta Riyal (RM73.5 juta) selepas aset-aset peninggalan suaminya dijual.
Menurut Ketua Persatuan Syarikat Pengusaha Khidmat Pembantu Rumah (Himstaki), Yunus Yamani, berita kekayaan yang diwarisi wanita yang asalnya seorang pembantu rumah itu merupakan satu berita gembira.
“Sebetulnya, terdapat banyak berita positif mengenai rakyat Indonesia yang bekerja di Arab Saudi, tidak hanya kisah sedih mereka didera.
“Sudah berjuta rakyat Indonesia yang membantu keluarga mereka dengan mengirim wang yang diperolehi dengan bekerja di Arab Saudi," kata Yunus kepada Antara. - Utusan


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130205/lu_02/Amah-jadi-jutawan-di-Arab-Saudi-miliki-kekayaan-suami#ixzz2K8OQaTXR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pen bantu tulisan bahasa Inggeris



Pen keluaran syarikat Lernstift akan bergetar setiap kali ia mengesan kesalahan pada ejaan dan tatabahasa dalam bahasa Inggeris. - AGENSI
LONDON 5 Feb. - Sebuah syarikat Jerman menghasilkan sebatang pen yang dapat membantu penulisan bahasa Inggeris untuk semua peringkat umur, khususnya kanak-kanak, apabila ia bergetar setiap kali ia mengesan kesalahan pada ejaan dan tatabahasa.
Pen keluaran syarikat Lernstift itu kini dalam peringkat prototaip, sekali gus mampu menggantikan pergantungan kepada komputer bagi tujuan yang sama dan mengurangkan kebimbangan bagi mereka yang cenderung menulis bahasa itu dengan tangan.
Pengguna boleh memilih antara dua fungsi yang terdapat pada pen itu, iaitu Mod Kaligrafi yang menunjukkan kelemahan ayat dan kemampuan untuk dibaca serta Mod Ortografi yang dapat mengesan kesalahan ejaan dan tatabahasa.
Sensor pada pen itu akan mengesan kepelbagaian dalam penulisan dan akan berdengung sekiranya berlaku kesilapan.
Menurut laman web Lernstift, pencipta pen itu, Falk dan Mandy Wolsky mendapat ilham menghasilkan alat tersebut setelah melihat usaha anak lelaki mereka menulis pada peringkat awal.
Galakan yang cepat dapat membantu kanak-kanak menulis dengan lebih tepat dan pantas, katanya.
Menurut laman web itu, pelabur akan melancarkan satu projek kerjasama yang akan dibiayai hasil sumbangan orang ramai yang menyokong konsep pengeluaran pen itu, pada bulan ini bagi membangun dan memasarkan idea berkenaan.
Antara cadangan penambahbaikan bagi pen itu ialah sensor tekanan, sambungan kepada komputer dan platform terbuka bagi membolehkan orang lain membangunkan aplikasi dan mengembangkan fungsi pen tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130206/lu_05/Pen-bantu-tulisan-bahasa-Inggeris#ixzz2K8Nl9poB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima termasuk kanak-kanak korban gempa Solomon



SYDNEY 6 Feb. - Sekurang-kurangnya lima orang maut, termasuk seorang kanak-kanak, dan tiga lagi cedera akibat gempa bumi berukuran 8.0 skala Richter yang menggegarkan Kepulauan Solomon, awal hari ini.
Seorang kakitangan di Lata Hospital, Kepulauan Santa Cruz, Chris Rogers berkata, mangsa yang maut ialah seorang budak lelaki, tiga wanita tua dan seorang lelaki tua.
Sementara itu, agensi berita Xinhua yang memetik media Australia melaporkan, gempa itu turut memusnahkan tiga perkampungan di pedalaman Kepulauan Santa Cruz, tetapi Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) yang sebelum ini mengeluarkan amaran tsunami di kawasan Pasifik Selatan telah membatalkan arahan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130206/lu_11/Lima-termasuk-kanak-kanak-korban-gempa-Solomon#ixzz2K8MtsKZf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

TAMADUN AZTEC



Latar Belakang
Masyarakat Tamadun Aztec merupakan sekumpulan atau puak memburu. Mereka tinggal di Mexico (Amerika Selatan). Tamadun ini eujud pada tahun 1325 M.

Ciri-ciri
Pembentukan Bandar
Tamadun Aztec pada zaman kegemilangannya meliputi kawasan seluas 13 km persegi dengan penduduknya seramai 140,000 orang. Kawasan ini dikatakan paling padat pada ketika Tamadun Amerika Pertengahan.

Pembentukan Kerajaan
Raja Tamadun Aztec sangat zalim. Baginda memerintah secara "sistem kuku besi". Baginda menggunakan kuasa tentera atau kaedah peperangan untuk meluaskan wilayahnya.

Organisasi Sosial
Raja menduduki tempat yang paling tinggi dalam hierarki organisasi sosial. Raja yang terkenal ialah Itzcoatl (1428-1440). Selepas raja, paderi menduduki tempat yang kedua. Dia bertanggungjawab dalam upacara agama. Kelas birokrasi yang mengendalikan hal ehwal pentadbiran menduduki tempat yang seterusnya dan golongan serf yang terdiri daripada pekerja dan hamba menduduki tempat yang paling rendah.

Perkembangan Teknologi
Masyarakat Aztec menjalankan aktiviti pertanian secara intensif iaitu semua tanah yang ada digunakan sepenuhnya. Mereka membina sistem pengairan yang maju. Kawasan paya pula dibaikpulihkan untuk dijadikan kawasan pertanian. Dalam penciptaan kalendar, paderi telah menghasilkan 2 jenis: berasaskan upacara ritual; berkaitan dengan ketuhanan. Kalendar yang berasaskan upacara ritual mengandungi 365 hari (18 bulan dengan setiap bulan mempunyai 20 hari dan 5 hari malang lagi). Kalendar yang berkaitan dengan ketuhanan pula mempunyai 290 hari setahun dengan salah setahun adalah Tahun Tuhan.

Wujudnya Kepercayaan
Masyarakat Aztec menganut kepercayaan kosmologi., iaitu menyembah alam semesta. Mereka percaya bahawa bumi adalah ciptaan terakhir dalam siri alam semesta. Mereka juga menganggap kedudukan bumi adalah di antara 13 lapis syurga dan 9 lapis "underworld". Banyak tuhan yang telah disembah oleh tamadun ini, antaranya tuhan perang, tuhan matahari dan tuhan hujan. Upacara pengorbanan mesti diadakan untuk menyembah tuhan matahari. Manusia ditores hatinya di hadapan tuhan dan membiarkan darahnya mengalir.

Wujudnya Bahasa dan Tulisan
Sistem tulisan mereka merupakan campuran dari piktograf, ideogram dan simbol fenotik. Sistem tulisan ini berkaitan dengan kalendar ritual yang menandakan spekulasi terhadap tuhan-tuhan dan universal yang dikenali sebagai codices/codex. Bahasa yang mereka gunakan pula dikenali sebagai Nahua.

TAMADUN MAYA: MISTERI YANG BELUM TERUNGKAP



Setiap bangsa mempunyai tamadunnya yang tersendiri. Sesetengah tamadun itu masih wujud dan kekal sampai ke hari ini. Ada pula tamadun yang sudah lenyap dan tidak dapat dikesan. Yang dapat ditemui ialah tinggalan binaan yang hampir roboh dan bantuan yang menjadi mercu tanda tentang kewujudan penempatan serta tamadun pada suatu masa dahulu. Di antara tamadun yang hampir lenyap ialah Inca dan Maya. Kedua tamadun itu ditemui pada penghujung abad ke-18 oleh para pengembara yang datang dari Sepanyol. Tamadun Maya ditemui dalam hutan tebal di Utara Guatemala. Manakala tamadun Inca pula ditemui di belantara negara Peru. Penemuan runtuhan kota purba itu dianggap sesuatu yang menabjukan. Hal ini kerana tidak ada seorang pun yang menyangka bahawa di tengah-tengah hutan yang tebal, boleh wujud satu tamadun yang begitu hebat dengan bangunan-bangunan dan tugu-tugu yang diperbuat daripada bongkah batu yang besar. Struktur binaannya mengambarkan ketinggian ilmu arkitektual yang dimiliki oleh para penduduknya. Di beberapa permukaan batu, dijumpai tulisan yang pelik. Ukiran di batu pula menunjukkan bahawa para penduduknya mempunyai kemahiran kesenian dan daya cipta yang tinggi.

Ekspedisi saintifik yang pertama untuk mengkaji runtuhan kota purba itu telah dilakukan pada tahun 1881. Rombongan itu diketuai oleh Alfred Maudslay, yang berbangsa Inggeris. Di kawasan berhampiran dengan runtuhan kota itu, tinggal satu suku kaum Indian yang dikenali sebagai kaum Maya. Daripada ukiran dan tulisan yang terpahat di runtuhan kota itu, para arkeologi mendapati bahawa tamadun itu telah wujud sejak 300 hingga 800 tahun sebelum masihi. Berdasarkan kepada penemuan pelbagai artifak di runtuhan kota itu seperti pinggan mangkuk, mereka berpendapat kaum Maya telah tinggal di kawasan itu ratusan tahun lebih awal. Mereka juga menemuai periuk, kepingan emas, dan permata yang ditanam dalam kubur yang terletak di bawah kuil. Ukiran pada pinggan, mangkuk, periuk dan permata amat halus serta dilakukan dengan penuh teliti. Lukisan-lukisan di dinding pula memberikan gambaran tentang kehidupan orang Maya dan penduduk pada masa itu iaitu mengenai peperangan, mesyuarat, upacara keagamaan, pakaian ahli agama, dan gambar tuhan-tuhan yang disembah.

Turut ditemui ialah gudang-gudang simpanan makanan. Di antara makanan yang ditemuai ialah bijirin seperti gandum. Yang lebih menghairankan ialah bijirin tersebut mempunyai persamaan dengan bijirin yang ditemui di dalam piramid yang terletak di Mesir. Penemuan ini membingungkan para pengkaji khususnya mengenai hubungan dan perkaitan di antara tamadun Maya dan Mesir. Beberapa teori dan hipotesis telah dikemukakan untuk menjawab persoalan ini. Pendapat pertama menyatakan bahawa kaum Maya berasal dari Mesir. Mereka berhijrah dan merantau dengan belayar ke Amerika Tengah. Mereka membawa bersama-samanya segala ilmu pengetahuan mengenai pembinaan kota dan kuil. Struktur binaan tamadun Maya didapati mempunyai banyak persamaan dengan tamadun Mesir. Hal ini menguatkan keyakinan para pengkaji bahawa kaum Maya mempunyai pertalian dengan para penduduk Mesir purba.

Bangunan yang terdapat di runtuhan kota itu lebih menyerupai menara-menara kawalan sama seperti binaan piramid. Dengan keadaan hidup kaum Maya yang agak primitif maka adalah sesuatu yang mestahil mereka boleh membina menara dan tugu yang diperbuat daripada susunan bongkah-bongkah batu. Apatah lagi bongkah batu yang besar dengan bertan-tan beratnya. Jadi, bagaimanakah kaum Maya membina bandar-bandar mereka sedangkan mereka tidak mempunyai peralatan yang selengkapnya? Lebih menarik lagi, kaum Maya didapati sudah tahu mengira sehingga angka juta dan merupakan manusia pertama yang menggunakan angka kosong dan kiraan. Ternyata mereka sudah menguasai ilmu matematik. Bangunan yang dibina bukan sekadar dijadikan sebagai tempat tinggal para raja dan pemerintahnya tetapi juga untuk upacara keagamaan dan ritual tertentu.

Namun, yang nyatanya kaum Maya memiliki tamadun yang jauh lebih tinggi daripada masyarakat lain yang hidup sezaman dengannya. Mereka sudah pun menguasai ilmu astronomi dan mengkaji perjalanan bintang-bintang di langit. Kaum Maya juga sudah mengetahui mengenai masa yang diambil oleh planet Venus untuk beredar dan kembali semula ke lokasi asalnya. Mereka juga membuat ramalan dan mempunyai cacatan mengenai kejadian gerhan. Mereka membuat kalendar yang terdiri dari lapan belas bulan dengan setiap bulan mengandungi dua puluh hari serta satu bulan yang mempunyai lima hari sahaja. Walaupun tidak ada penjelasan yang benar-benar menyakinkan tetapi para pengkaji bersetuju bahawa sesuatu telah berlaku pada tamadun Maya sehingga menyebabkan segala pencapaiannyamusnah begitu sahaja. Segala-galanya berlaku pada awal tahun 800 selepas masihi di mana dengan secara mendadaknya segala aktiviti harian terhenti. Bangunan batu tidak lagi didirikan dan kerja-kerja mengukir ditinggalkan separuh jalan.

Di dalam kota besar tamadun Maya, dijumpai beberapa buah bandar yang lain. Kesemua bandar tersebut mencatatkan tarikh bangunan yang sama antara tahun 800-900 selepas masihi. Para pengkaji percaya pada masa itu, par penduduknya telah mengadakan pepindahan secara besar-besaran keluar daripada kawasan itu. Kenapakah mereka berpindah dan di manakah kaum Maya berpindah? Persoalan ini masih menjadi satu misteri. Ada pengkaji berpendapat perpindahan itu disebabkan oleh jangkitan wabak penyakit seperti malaria dan penyakit kuning. Ada pula yang mengatakan bahawa ancaman alam dan kebuluran menyebabkan keruntuhan tamadun itu. Mereka berpindah kekawasan yang lebih subur.

Mahmoud tak puas hati sekutu ditahan



Teheran: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam menyelar badan kehakiman negara itu berhubung penahanan sekutunya dan juga bekas pendakwa raya, Saeed Mortazavi.

Saeed ditangkap awal semalam dan dihantar ke Penjara Evin, tempat tahanan politik dan wartawan dikurung atas arahannya.


Bercakap kepada wartawan sebelum berlepas ke Mesir, Mahmoud menyifatkan penahanan itu sebagai ‘tindakan tidak senonoh.’ Presiden Iran itu juga berkata, beliau akan menangani isu Saeed sekembalinya dari lawatan tiga hari ke Kaherah.

Saeed digantung tugas pada Ogos 2010 berhubung kematian tiga penunjuk perasaan antikerajaan selepas pilihan raya presiden 2009 yang menyaksikan Mahmoud dilantik.


Isu Saeed mencetuskan pertengkaran antara kerajaan dengan Parlimen, Ahad lalu dengan Mahmoud menuduh Speaker, Ali Larijani dan keluarganya rasuah. - AFP

Diselar samakan Presiden Iran dengan monyet



Washington: Tokoh Republikan, Senator John McCain membandingkan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dengan monyet diselar oleh rakan senat dari parti sama yang menganggap tindakan bekas calon presiden 2008 itu berbau perkauman.

McCain, Isnin lalu menulis dalam Twitter: “Mahmoud Ahmadinejad mahu menjadi rakyat Iran pertama ke angkasa lepas. Bukankah dia sudah ke sana minggu lalu.” McCain kemudian menghubungkan kata-katannya dengan berita Iran melancarkan monyet ke angkasa lepas.


Selepas diselar, McCain menulis: “Jangan marah. Takkan tak boleh berjenaka.” Kenyataannya tidak memuaskan hati rakan senator yang juga dari Parti Republikan, Justin Amash, yang menulis dalam Twitter: “Anda sepatutnya bersikap lebih waras dan tidak membuat lawak berbau perkauman.” Ketika berkempen pada 2008, McCain mencetuskan kekecohan apabila dia berkata ‘Bom Iran.’ mengikut nada lagu Beach Boys, ‘Barbara Ann.’ - AFP

Tak peduli ancaman



Baitulmaqdis: Pihak berkuasa Israel memandang remeh ancaman Syria dan Iran untuk melancarkan serangan balas berikutan tindakannya menyerang kemudahan tentera Syria minggu lalu.

“Israel tidak bimbang mengenai ancaman Iran atau Syria. “Kami tidak melakukan sebarang persiapan bagi menghadapi ancaman berkenaan. Tetapi kami sudah bersedia untuk berdepan dengan serangan berkenaan kerana tahu Iran mempunyai keupayaan dan niat untuk menyerang Israel, kata jurucakap Kementerian Luar Yigal Palmor kepada agensi berita China, Xinhua, semalam.


Pegawai Zionis itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran, Saeed Jalili yang berkata, rejim Zionis itu akan menyesal kerana menyerang Syria.

“Kami tidak menambah jumlah tentera di sempadan Syria. “Tetapi, kami menempatkan dua tembok pertahanan peluru berpandu Iron Dome bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan dari Iran,” kata Palmor. - Xinhua

Pen mampu kesan kesalahan ejaan



London: Menggunakan pen dan kertas boleh menjadi pengalaman menakutkan kepada ramai orang hari ini.

Tanpa kelengkapan pemeriksaan ejaan seperti di komputer, sesetengah kesalahan ejaan yang memalukan sukar untuk dielakkan.


Tetapi kini anda tidak perlu bimbang kerana ada bantuan yang dapat menyelesaikan masalah itu. Kesalahan ejaan dapat diatasi dengan pengeluaran pen berteknologi tinggi yang akan bergetar setiap kali kesalahan dikesan. Pen dicipta syarikat Jerman Lernstift itu bertujuan membantu kanak-kanak sekolah belajar menulis, tetapi ia sesuai digunakan untuk semua peringkat usia.

Pen yang masih dalam tahap percubaan itu mampu mengesan kesalahan ejaan atau pembentukan huruf dengan amaran getaran ketika digunakan penggunanya. Pengguna boleh memilih antara dua fungsi: Mod kaligrafi - menunjukkan kecacatan bentuk dan kemudahan membaca atau mod Ortografi - mengesan kesalahan ortografik dan tatabahasa.


Pengesan yang dibina dalam pen itu dapat mengesan pelbagai pembentukan huruf dan segera bergetar jika kesalahan dikesan. Menurut laman web Lernstift, pereka Falk dan Mandy Wolsky mendapat ilham untuk menghasilkan pen itu ekoran percubaan anak lelaki mereka ketika mula-mula menulis.


Mereka menjelaskan dalam laman web syarikat terbabit: “Daripada perkataan pertama terdapat kesalahan.” Diharapkan pen itu dapat mendorong kanak-kanak menulis dengan lebih tepat dan cepat.

Pereka terbabit akan melancarkan projek dibiaya melalui sumbangan orang ramai yang menyokong konsep di sebalik ciptaan itu bagi mengutip wang untuk membangun dan memasarkan idea berkenaan. - Daily Mail

Abadikan nama kekasih di muka



Moscow: Seorang lelaki yang gemarkan tatu mengabadikan namanya di wajah teman wanitanya kurang daripada 24 jam selepas mereka bertemu buat kali pertama.

Lesya Toumaniantz dari Saransk, Russia membenarkan Rouslan Toumaniantz mengukir nama ‘Ruslan’ di wajahnya menerusi tulisan gergasi Gothik pada hari mereka bertemu.

Pasangan itu yang bertemu di laman sembang dalam talian berkata, mereka serta-merta ‘jatuh cinta’ dan kemudian segera bertemu di Moscow, tempat di mana mereka akan berkahwin.

“Ia adalah simbol kesetiaan abadi kami. Saya mahu dia mentatu setiap inci tubuh saya,” kata Lesya.
Foto

WAJAH Lesya yang ditatu kurang daripada 24 jam selepas bertemu kekasihnya buat kali pertama.

Foto
LESYA berkenalan dengan Toumaniantz di laman sembang di Internet.
Bekas pelajar sastera yang gilakan tatu dan mempunyai kakak yang bekerja sebagai pelukis tatu itu berkata, di atas keningnya, Toumaniantz melukis ‘Semuanya Untuk Cinta’.


“Semuanya untuk Ruslan,” katanya ketika memuat naik gambar tatunya dalam Facebook hari ini.

Dan kini Lesya yang sudah pun menggunakan nama Toumaniantz walaupun baru sahaja bertunang pada 20 Januari lalu belajar untuk membuat tatu di bawah bimbingan tunangnya itu.

“Rancangan mereka untuk hidup bersama, termasuk Lesya belajar melukis tatu dan membolehkan seluruh tubuhnya ditatu seperti mana yang selalu diidamkannya, selain sudah tentu untuk membina keluarga,” kata seorang rakan Toumaniantz.

Toumaniantz berkata: “Saya tahu ada orang yang bimbang Lesya membuat keputusan terburu-buru yang akan dikesalinya kelak, tetapi kadangkala keputusan terbaik dibuat serta-merta berdasarkan gerak hati berbanding keputusan yang sudah lama berlegar di fikiran anda.

Rakan Lesya membanjirinya dengan mesej memuji kerja seni itu dan mengatakan betapa cantik dia kelihatan.

“Kamu pasti sangat gembira kerana mempunyai tatu itu. Ia nampak hebat,” tulis Ralf Bieler.

Kerja seni Toumaniantz itu pernah menjadi tajuk utama akhbar pada 2009 selepas dia mentatu 56 bintang di wajah seorang gadis berusia 18 tahun yang kemudian menipu dan menuduhnya mentatunya ketika dia tidur.

Toumaniantz melarikan diri dari Belgium selepas skandal yang dicetuskan Kimberley Vlaeminckin pada 2009. - Daily Mail

Menonton tv jejas sperma



 
London: Pemuda yang menonton televisyen cuma tiga jam sehari berisiko kehilangan kualiti sperma sehingga separuh.

Kajian menunjukkan kualiti sperma terjejas kerana kurangnya seseorang itu melakukan aktiviti fizikal.
Lelaki yang suka lepak pasti kalah kepada orang sederhana aktif, menurut kajian Universiti Harvard yang diterbitkan dalam Journal of Sports Medicine di sini.

Pakar berkata, kesannya boleh disebabkan kurang bersenam atau kepanasan melampau buah zakar disebabkan duduk lama.

Lelaki yang mahu memiliki anak kini digalakkan tidak memakai seluar ketat untuk menjaga kualiti sperma. Pemandu dan penunggang basikal juga berisiko berdepan masalah kesuburan.

Dalam kajian terbaru Sekolah Kesihatan Umum Harvard (HSPH), lelaki yang menonton televisyen lebih 20 jam setiap minggu memiliki kadar sperma 44 peratus lebih rendah berbanding mereka yang hampir tidak menonton televisyen langsung.

Lelaki yang bersenam 15 jam atau lebih seminggu pada kadar sederhana dan kuat memiliki bilangan sperma 73 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang bersenam tidak sampai lima jam seminggu. Senaman ringan tidak menjejaskan kualiti sperma.
AGENSI

Punca lelaki acu pisau terbongkar




REUTERS
TALHAT memegang dua bilah pisau dengan membuat ancaman mahu membunuh diri di luar Istana Buckingham, London sebelum dia ditangkap polis pada Ahad lalu.


LONDON - Seorang lelaki, Talhat Rehman melakukan aksi mengacukan dua bilah pisau ke arah tubuhnya sendiri di luar Istana Buckingham di sini pada Ahad lalu kerana dia ditipu seorang peguam sebanyak £168,000 (RM818,779) dalam satu urus niaga hartanah, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Talhat, 54, yang merupakan seorang ahli perniagaan kemudian ditangkap selepas dia 'ditembak' dengan pistol renjatan elektrik berkuasa 50,000 volt oleh seorang anggota polis.
Anggota polis itu 'menembaknya' selepas dia mahu membunuh dirinya.
Ketika kejadian, pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan suami baginda, Putera Philip tidak berada di istana itu.
Seorang anak lelaki Talhat, Kassum Raja, 30, dari Harrow berkata, seorang peguam bapanya yang mencuri wang tersebut telah menutup firma guamannya.
Menurut Kassum, bapanya kemudian membuat aduan kepada polis.
Bagaimanapun, Talhat diberitahu bahawa kes mencuri wang itu akan menyebabkan kerja-kerja anggota polis akan dibebani dengan tugas yang banyak.
Kassum berkata, pihak polis kemudian memberi nasihat supaya bapanya mengupah peguam.
Namun, perbelanjaan untuk memperoleh khidmat peguam adalah tinggi.
Talhat dilaporkan telah membelanjakan sebanyak £30,000 (RM146,210) untuk membayar yuran guaman.
"Dia (Talhat) berada dalam keadaan terdesak. Justeru, dia mahu menghadap ratu. Dia mahu menghantar sepucuk surat ke Istana Buckingham. Dia akan membunuh diri jika tidak menghantar surat itu," kata Kassum.
Anaknya itu yang mengendalikan sebuah pusat penyembelihan haiwan di Kingsbury berkata, keluarganya kini berada dalam keadaan tertekan.
"Empat anak saya tidak mempercayai kejadian itu," katanya.
Talhat yang mempunyai lima anak dan 18 cucu tidak pernah menghadapi masalah mental sehingga dia kehilangan wang tersebut, kata keluarganya.
Sumber polis menyatakan, beberapa pegawai telah menyiasat kes Talhat.
Bagaimanapun, kes penipuan itu ditutup kerana kekurangan bukti.
Talhat berdepan dua dakwaan memiliki senjata tajam di tempat awam dan satu tuduhan berkelahi selepas dia ditahan polis. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2K4JKZCHw 
Hakcipta terpelihara 

'Spider-Man' panjat hotel di Cuba



AP
SALAH seorang penghuni hotel itu (kiri) merakamkan gambar Robert yang sedang memanjat.


HAVANA - Seorang warga Perancis yang digelar Spider-Man, Alain Robert memanjat bangunan Hotel Havana Libre di sini kelmarin tanpa menggunakan tali sebagai tanda sokongannya kepada pemimpin revolusi negara ini, Fidel Castro.
"Memanjat adalah satu cara untuk mendalami sesebuah negara atau budaya," kata pelagak ngeri Perancis itu sebelum menamatkan aksi pertamanya di Cuba.
"Ini tanda sokongan padu saya kepada Castro," tambahnya.

REUTERS
'SPIDER-MAN' mengibarkan bendera Cuba di atas bumbung hotel itu.


Apabila ditanya sama ada dia akan menemui Castro ketika berkunjung ke sini, Robert berkata: "Saya tidak pasti sama ada beliau akan berjumpa dengan saya."
Castro yang berusia 86 tahun itu menyerahkan teraju pemerintahan Cuba kepada adiknya Raul pada tahun 2008.
Dibuka pada 1958, hotel tersebut pernah menjadi ibu pejabat sementara untuk Castro.
Robert mula memanjat bangunan tersebut dari tingkat empat dan sampai ke tingkat 26 hotel setinggi 70 meter itu dalam tempoh cuma 26 minit.
Polis menghentikan lalu lintas ketika Robert melakukan aksi ngeri tersebut yang disaksikan sekitar 2,000 penonton. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2K4IkRCA6 
Hakcipta terpelihara 

Wanita didakwa dirogol dihukum penjara

ABDIAZIZ





MOGADISHU - Seorang wanita yang mendakwa dia telah dirogol oleh askar-askar Somalia dihukum penjara selama setahun oleh Hakim Ahmed Adan di sebuah mahkamah di sini, semalam.
Seorang wartawan yang melaporkan kisah tersebut, Abdiaziz Abdinuur Ibrahim turut dihukum penjara selama setahun.
Pemerintah Somalia sebelum ini menyatakan wanita itu sengaja membuat cerita dia dirogol.
Pihak pendakwa raya menyatakan, bukti-bukti perubatan menunjukkan wanita tersebut tidak dirogol.
Namun, tertuduh dibenarkan menjalani tahanan di rumah sebagai ganti hukuman penjara kerana dia terpaksa menjaga seorang anaknya yang masih kecil.
Peguam-peguam wanita dan wartawan itu menyatakan, mereka akan membuat rayuan berhubung hukuman tersebut.
Hukuman itu mencetuskan kemarahan sebuah pertubuhan hak asasi manusia.
"Pemerintah baharu Somalia berfikir mereka akan dapat menutup keganasan seksual oleh pasukan keselamatan dengan menghukum wanita yang membuat aduan rogol dan wartawan yang melaporkannya," kata beberapa penyelidik pertubuhan Human Rights Watch.
"Polis Somalia bukan sahaja tidak melakukan siasatan tetapi menggunakan tenaga mereka untuk memalukan wanita tersebut dengan mendakwa dia dan wartawan itu berkomplot untuk menjatuhkan imej pemerintah bagi mendapatkan keuntungan," kata pertubuhan itu.
Pemerintah Somalia yang disokong masyarakat antarabangsa mula menguasai pemerintahan di negara ini sejak September tahun lalu memberitahu, pihaknya tidak campur tangan dalam proses kehakiman tersebut. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2K4I7kj5J 
Hakcipta terpelihara