Askar AS akui tembak mati 16 rakyat Afghan - Global - Sinar Harian:
WASHINGTON - Pegawai-pegawai pertahanan memberitahu bahawa seorang anggota tentera berpangkat sarjan mengaku dia telah menembak dan membunuh 16 orang awam Afghanistan termasuk sembilan kanak-kanak dalam satu kejadian di Kandahar, tragedi yang mengejutkan banyak pihak, awal pagi Sabtu lalu.
Tragedi itu menambah tekanan ke atas Amerika Syarikat (AS) yang lebih dua minggu lalu terpaksa berhadapan dengan situasi sukar apabila anggota tenteranya membakar al-Quran di pangkalan tentera Bagram.
Ekoran perkembangan itu juga, Perdana Menteri Britain, David Cameron yang kini mengadakan lawatan ke AS, dijangka akan menekankan kepada Presiden Barack Obama agar menamatkan misi ketenteraan di Afghanistan lebih awal.
Kedua-dua pemimpin dijangka bersetuju bahawa pasukan pertahanan Afghanistan seharusnya mengetuai peranan ketenteraan menjelang pertengahan 2013, lebih awal daripada dirancang tetapi Obama telah menekankan bahawa tidak akan ada tindakan terburu-buru dalam soal itu, kata BBCdalam laporan berasingan.
Menurut laporan NBC News, askar itu membuat pengakuan itu kepada rakan-rakannya sebelum dia ditahan sebaik sahaja dia kembali ke pangkalan tentera.
Berdasarkan laporan itu, pegawai-pegawai pertahanan memberitahu bahawa askar itu memberitahu rakan-rakannya bahawa "saya melakukannya."
Malah menurut pegawai-pegawai itu, satu misi mencari termasuk dengan bantuan helikopter telah digerakkan selepas seorang askar dilaporkan telah meninggalkan pangkalan tentera yang berada di kawasan terpencil di Kandahar awal pagi hari kejadian.
Pada masa yang sama, pangkalan tentera itu menerima laporan bahawa beberapa orang awam telah terbunuh dalam tembakan di kampung Alkozai di daerah Panjwayi, wilayah Kandahar.
Pegawai-pegawai pertahanan berkata, askar itu sebaik sahaja kembali ke pusat kawalan memberitahu bahawa "saya yang melakukannya."
Ketika itu dia tidak memiliki senjata dan terus ditahan.
Dia kemudian meminta agar disediakan seorang peguam dan enggan untuk berkata apa-apa sejak itu.
Pegawai-pegawai pertahanan juga berkata, mereka ada menerima laporan bahawa askar itu berhadapan dengan masalah rumah tangga dan baru-baru ini menerima satu surat atau e-mel daripada isterinya.
Menurut salah seorang pegawai, selepas empat penempatan khidmat ketenteraan, bukan sesuatu yang luar biasa jika anggota tentera berhadapan dengan tekanan keluarga.
Pegawai-pegawai pertahanan memberitahu NBC News bahawa siasatan yang dijalankan menunjukkan alkohol kemungkinan menyumbang kepada tindakan askar itu melepaskan tembakan ke atas orang awam, insiden yang pertama di Afghanistan.
Askar itu, yang mempunyai dua anak, menyertai perkhidmatan tentera selepas peristiwa 11 September 2001 dan kemudian dihantar ke Iraq tiga kali sebelum tiba di Kandahar pada Disember lalu.
Laporan semalam menyebut askar dipercayai dikuasai kemarahan melampau semasa melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Difahamkan, dia yang berumur 38 tahun, pernah mengalami kecederaan otak yang dahsyat selepas terlibat dalam kemalangan semasa bertugas di Iraq.
Suspek yang identitinya tidak didedahkan itu kini ditahan di pangkalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) atas dakwaan melakukan pembunuhan kejam dan membakar mayat orang awam.
Pegawai tentera menyatakan suspek dilatih sebagai penembak hendap selepas dia lulus ujian pemeriksaan kesihatan mental pada 2008.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta telah mencadangkan hukuman mati dikenakan ke atas suspek jika didapati bersalah melakukan pembunuhan tersebut dengan niat.
'via Blog this'