Benkirane

KUALA LUMPUR - Abdel ilah Benkirane muncul sebagai Perdana Menteri pertama yang dipilih oleh rakyat Maghribi.

Parti Keadilan dan Pembangunan memenangi 107 daripada 395 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya Jumaat lepas.

Benkirane, yang merupakan Setiausaha Agung parti itu, menerima watikah pelantikan jawatan Perdana Menteri daripada Raja Maghribi Raja Muhammad VI semalam, menurut Agensi Berita Bahrain (BNA).

Ekoran desakan rakyat, raja Maghribi bersetuju meminda Perlembagaan pada Julai lepas yang membolehkan perdana menteri dilantik daripada kalangan pemimpin yang memperolehi majoriti di Parlimen.

Sebelum ini perdana menteri negara itu terus dilantik oleh raja Maghribi.

Pindaan itu juga memberikan kuasa kepada perdana menteri untuk membubarkan Parlimen dan memecat pegawai kerajaan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Benkirane berkata bukanlah menjadi satu kemestian yang jemaah menterinya akan dilantik daripada kalangan anggota partinya.

Beliau akan memberi keutamaan kepada individu yang cekap dan berintegriti yang boleh mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara itu. — Bernama