Pages

Friday, February 25, 2011

Israel bom Genting Gaza

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "

GAZA CITY 24 Feb. - Jet pejuang Israel mengebom beberapa tempat di Genting Gaza awal pagi ini sebagai membalas serangan roket oleh pihak pejuang Palestin ke atas bandar Beersheba di selatan Israel.

Serangan roket tersebut dilancarkan selepas berlaku pertempuran di sepanjang sempadan Gaza yang mengakibatkan seorang pejuang Jihad Islam terbunuh dan 10 lagi cedera.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tentera Israel, lokasi kumpulan 'pengganas' telah dikenal pasti di bahagian utara Genting Gaza iaitu lokasi yang sama ketika serangan roket dilancarkan ke Beersheba.

Beersheba menempatkan seramai 200,000 penduduk terletak 40 kilometer dari Genting Gaza dan menurut saksi, sebelum serangan dilancarkan, mereka diarah menyelamatkan diri setelah amaran siren dibunyikan. - AFP"

Operasi minyak di Libya dihenti


NEW YORK 24 Feb. - Operasi pengeluaran minyak di Libya mula terhenti secara perlahan-lahan semalam ekoran syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di negara itu menutup kemudahan mereka selepas tunjuk perasaan di negara itu berterusan.

Eni, syarikat dari Itali yang merupakan firma minyak terbesar di Libya dan firma minyak dari Sepanyol, Repsol berkata, mereka telah menggantung beberapa operasi pengeluaran mereka di negara itu.

Syarikat minyak Total dari Perancis, BASF dari Jerman dan OMV dari Australia turut menyatakan bahawa mereka akan mengurangkan atau menghentikan pengeluaran di negara di utara Afrika itu.

Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilaporkan telah mengarahkan perkhidmatan keselamatan untuk mensabotaj kemudahan minyak, menurut Time Magazine, semalam.

Menurut Eni, saluran paip bawah Laut Mediterranean dari Libya ke Itali yang membekalkan 10 peratus gas ke negara Eropah itu turut telah dihentikan.

Sementara itu, beberapa buah negara sedang berusaha mengeluarkan rakyat mereka dari negara bergolak itu.

Sebuah pesawat milik Ireland mendarat di Tripoli semalam untuk membawa pulang rakyat Ireland di Libya, tetapi dihalang pengawal keselamatan Libya.

Menurut Kementerian Luar Ireland, pesawat tersebut kemudian terbang pulang ke Malta setelah berada selama empat jam di sana.

Kedutaan China di Libya pula berusaha menguruskan pemindahan rakyatnya di negara itu menerusi udara, laut dan darat hari ini. Penerbangan pemindahan pertama dijangka tiba di China, hari ini.

Kedutaan China di Tunisia berkata, kedutaan tersebut menguruskan 30 buah bas untuk memindahkan seramai 2,900 rakyat China yang terkandas di pusat pemeriksaan sempadan Ras Jedir dan akan membawa mereka ke Girba, sebuah kawasan peranginan di Tunisia, sebelum membawa mereka pulang menggunakan pesawat.

Sementara itu, pejabat Luar Negara Britain memberitahu bahawa sebuah pesawat dijadual tiba di Tripoli hari ini untuk memindahkan kira-kira 300 rakyatnya di Libya dan pesawat kedua akan tiba tidak lama lagi. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Gaddafi arah serangan di Lockerbie?

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "

LIBYA 24 Feb. – Bekas menteri keadilan Libya berkata, beliau mempunyai bukti pemimpin Muammar Gaddafi terlibat mengarahkan serangan ke atas jet syarikat penerbangan Pan American 103 yang meletup di Scotland pada 1988 mengakibatkan 270 orang terbunuh.

Pendedahan itu dibuat ketika pemberontakan rakyat Libya semakin memuncak menuntut Gaddafi meletakkan jawatan.

Semalam, Mustafa Abdel-Jalil yang meletakkan jawatan sebagai protes terhadap tindakan kekerasan rejim Gaddafi terhadap penunjuk perasaan antikerajaan berkata, Gaddafi mengarahkan Abdelbaset al-Megrahi meletakkan sebutir bom di dalam jet itu yang membunuh semua 259 orang di dalam pesawat tersebut dan 11 orang lagi di darat.

Al-Megrahi, 58, adalah satu-satunya individu yang dihukum ekoran kejadian pada 21 Disember, 1988 ketika jet itu dalam perjalanan dari London ke New York.

Dia dipenjarakan pada 2001, tetapi dibebaskan atas dasar peri kemanusiaan pada 2009 kerana tenat akibat kanser.

“Saya mempunyai bukti Gaddafi mengeluarkan arahan dalam serangan di Lockerbie.

“Untuk menyembunyikan rahsia itu, Gaddafi melakukan segala usaha untuk mendapatkan al-Megrahi dikembali ke Libya dari Scotland,” kata Mustafa.

– Agensi"

Tipis temui mangsa gempa



PASUKAN menyelamat menggunakan jentolak bagi mencari mangsa gempa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan di bandar Christchurch, semalam. - REUTERS


CHRISTCHURCH 24 Feb. - Harapan menemui lebih ramai mangsa gempa bumi di bandar raya ini yang terselamat semakin pudar apabila jumlah kematian dilaporkan hari ini meningkat kepada 98 orang, manakala 226 lagi dilaporkan hilang.

Menurut polis, dipercayai sebanyak 120 orang masih terperangkap di bawah runtuhan konkrit dan keluli di bangunan Televisyen Canterbury (CTV).

Berpuluh-puluh orang pelajar dari Jepun, Thailand, China dan negara Asia lain yang menuntut di sebuah sekolah bahasa Inggeris di dalam bangunan tersebut dipercayai turut tertimbus apabila sekolah mereka serta pejabat-pejabat lain runtuh akibat gempa bumi tersebut.

Perdana Menteri, John Key melahirkan kebimbangan serius kemungkinan ramai yang tidak berjaya diselamatkan dalam gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter pada Selasa lalu.

"Kami takut jumlah kematian akan bertambah lebih banyak daripada apa yang kita semua takuti," ujar Key.

Tambahnya, berpuluh-puluh rakyat dari negara lain turut terlibat dalam bencana teruk ini.

Bantuan keselamatan setakat ini tertumpu di bangunan CTV dan beberapa kompleks pejabat utama di pusat bandar yang musnah dalam gempa itu.

Pasukan penyelamat dari negara yang selalu mengalami gempa seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS) turut membantu hari ini dengan anjing penghidu serta meletakkan mikrofon di dalam runtuhan bangunan bagi mengesan mereka yang terselamat.

Namun usaha mereka terhalang dengan kebarangkalian risiko beberapa bangunan di sekeliling yang akan turut roboh terutamanya sebuah hotel setinggi 26 tingkat.

Kali terakhir mangsa yang masih hidup ditemui ialah seorang wanita, Ann Bodkin yang ditemui tengah hari semalam dan seramai 2,500 orang dilaporkan cedera termasuk 164 orang cedera parah. - AP / Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Tiga bekas menteri rejim Hosni Mubarak diejek



ZUHEIR Garranah (kanan), Ahmed al-Maghrabi (kiri) dan Ahmed Ezz duduk di dalam lokap semasa menunggu kes perbicaraan mereka bermula di sebuah mahkamahdi Kaherah, kelmarin. - AFP


KAHERAH 24 Feb. - Tiga bekas anggota kanan rejim bekas Presiden Hosni Mubarak diejek oleh beratus-ratus orang yang menjerit 'pencuri' dan 'kamu merompak wang kami' apabila mereka dihadapkan ke mahkamah semalam untuk menghadapi tuduhan rasuah.

Tiga bekas pegawai tinggi yang hadir di Mahkamah Jenayah Kaherah semalam ialah bekas Menteri Perumahan, Ahmed Maghrabi, bekas Menteri Pelancongan, Zuheir Garana dan jutawan keluli, Ahmed Ezz yang merupakan anggota kanan parti pemerintah.

Mereka memakai pakaian banduan dan duduk di dalam kandang besi sementara seorang hakim mengeluarkan perintah membekukan harta mereka.

"Saya tidak mahu dijadikan kambing hitam. Saya tidak bersalah," teriak Maghrabi dari kandang pesalah.

Ezz dan Garana turut mendakwa mereka tidak bersalah.

Ketiga-tiga mereka, yang menghadapi pelbagai tuduhan termasuk pengubahan wang haram, menyalahgunakan kuasa dan menghabiskan kekayaan negara adalah antara kira-kira 12 bekas menteri dan ahli perniagaan yang sedang disiasat.

Penunjuk perasaan yang menyingkirkan Mubarak selepas 18 hari mengadakan tunjuk perasaan menentang rejimnya, sering kali membangkitkan rasuah meluas dalam kerajaannya sebagai pendorong utama di sebalik pemberontakan mereka.

Kemarahan rakyat terhadap bekas anggota kanan rejim Mubarak begitu ketara, semalam.

Semasa kenderaan yang membawa Maghrabi, Garana dan Ezz lalu di jalan-jalan di Kaherah menghala ke mahkamah, berpuluh-puluh kereta mengekorinya sambil membunyikan hon dan penduduk berteriak 'itu dia pencuri'.

Apabila mereka tiba di mahkamah, lebih 500 orang yang menunggu di luar menjerit ke arah mereka, 'pencuri' dan 'kamu merompak wang kami'. - AP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Gaddafi arah serang balas penentang


2011/02/25

BENGHAZI: Anggota keselamatan yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, melancarkan serangan balas semalam, ketika kumpulan pemberontak terus meningkatkan ancaman terhadap kedudukan beliau dengan menawan beberapa bandar penting berhampiran ibu negara, Tripoli.

Kebimbangan terhadap kemungkinan perang saudara besar-besaran di negara Afrika Utara itu mendorong pelbagai negara termasuk Kanada dan China menyewa feri dan pesawat untuk membawa keluar rakyat mereka, walaupun masalah komunikasi berlaku dan keganasan berterusan.
Beribu-ribu warga asing memenuhi lapangan terbang Tripoli dengan harapan dapat meninggalkan Libya yang kacau bilau, manakala mereka yang berjaya keluar menyifatkan keadaan semakin buruk dengan makanan dan bekalan air kian berkurangan.
Pemimpin dunia mengecam serangan balas berdarah dilakukan Gaddafi bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang memecah-belahkan Libya, manakala Presiden Amerika Barack Obama ketika membuat ulasan pertamanya, mengecam tindakan itu sebagai ‘memalukan’ dan ‘tidak boleh diterima sama sekali’.

Obama juga mengarahkan pentadbirannya bersedia dengan pelbagai pilihan termasuk kemungkinan mengenakan sekatan yang boleh membekukan aset dan melarang pegawai Libya melakukan perjalanan ke Amerika.

Satu lagi cadangan yang semakin mendapat sokongan ialah meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan zon larangan terbang ke atas Libya bagi menghalang negara itu menggunakan pesawatnya untuk menyerang penunjuk perasaan.

Pesuruhjaya PBB Bagi Hak Asasi Manusia Ravi Pillay, berkata, jika laporan serangan itu disahkan, ‘perlindungan segera perlu diberikan kepada rakyat Libya’.
Pembangkang sudah menguasai bandar utama di timur termasuk Benghazi, manakala laporan bahawa bandar Misrata dan Zuara di Barat juga jatuh ke tangan mereka membawa pemberontak semakin hampir ke kawasan dikuasai Gaddafi.

Pasukan yang setia kepada Gaddafi, semalam menyerang militia anti kerajaan yang menguasai Misrata dan membunuh beberapa pemberontak dalam pertempuran berhampiran lapangan terbang bandaraya itu.

“Briged yang pro-Gaddafi berjaya menguasai lokasi terbabit, tetapi kami masih berusaha untuk mengusir mereka. Pertempuran masih berlaku sekarang,” kata saksi kepada Reuters.

Keganasan juga melanda bandar Az-Zawiyah 50 kilometer ke barat Tripoli. – Reuters
Berita Harian Online

Keganasan rejim Libya didedah


pix_gal0
Gaddafi izin tentera tembak sesuka hati

PARIS: Seramai 2,000 orang terbunuh di Libya selepas pemimpinnya, Muammar Gaddafi mengizinkan anggota keselamatan mengganas bagi menghentikan protes antipemerintah, kata seorang menteri kanan Itali dan bekas pegawai kanan Tripoli.

Ini didedahkan oleh duta hak asasi Perancis, Francois Zimeray dalam wawancara dengan agensi berita.
“Kekacauan dan pertumpahan darah itu umpama pengusiran pengikut Nabi Musa oleh Firaun,” kata Menteri Luar Itali, Franco Frattini sambil meramalkan beribu-ribu warga Libya akan lari ke negaranya.
Awalnya, angka korban itu didedahkan oleh ketua protokol Muammar Gaddafi, Nouri el-Mismari, sambil menambah lebih 600 daripada mangsa terbunuh di Tripoli.
Mismari yang berkunjung ke Perancis lewat tahun lalu atas alasan kesihatan, berkata pemberontakan itu setakat ini menyebabkan ‘lebih 1,000 orang maut di seluruh Libya’ namun tidak menjelaskan sumber anggaran.

Selasa lalu, rejim Libya berkata, 300 orang terkorban dalam bantahan, namun Persekutuan Hak Asasi Antarabangsa (IFHR) pula melaporkan sekurang-kurangnya 640 orang maut.

“Keadaan ini amat serius, rakyat Libya tidak akan berhenti untuk menamatkan pemerintahan 41 tahun. Ini adalah kebangkitan menamatkan pemerintahan Gaddafi. Malah, sokongan kepada Gaddafi tidak sampai lima peratus,” kata Mismari.
Anggota puak yang menyokongnya tidak ‘berjuang untuk Gaddafi tetapi untuk diri mereka,’ tambahnya.

Mismari juga mendakwa, askar upahan yang melakukan pembunuhan terhadap rakyat Libya secara besar-besaran.

“Mereka tembak membabi buta sementara tentera udara tidak akan menembak rakyat,” katanya lagi.

“Gaddafi amat bertuah jika mati. Jika tidak, rakyat mahukan beliau dibicarakan seperti Saddam Hussein.”

Rejim Gaddafi kehilangan kawasan meluas di timur Libya terhadap pemberontakan itu, ia muncul kelmarin ketika Barat bersiap sedia untuk mengeluarkan rakyatnya secara besar-besaran daripada ‘pertumpahan darah’ di negara Afrika Utara itu.

Katanya, Gaddafi memakai baju kalis peluru di sebalik pakaiannya dan alat perlindungan di bawah serbannya ketika berucap di televisyen Selasa lalu apabila beliau mengarahkan pasukan keselamatan menyuraikan pemberontakan. – Agensi Berita Harian Online 

Tuduh sokong Osama

myMetro 
 "TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menuduh penduduk bandar Az-Zawiyah yang dilanda pertempuran sengit antara tenteranya dengan pemberontak, mempunyai hubungan dengan Osama bin Laden.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen negara itu, Gaddafi juga menuduh penunjuk perasaan khayal kerana mengambil dadah.
“Anda penduduk di Zawiyah memihak Osama Bin Laden. Mereka memberi kamu dadah,” kata Gaddafi.

Ini kali kedua pemimpin Libya itu muncul di televisyen sejak tunjuk perasaan menentang pemerintahan 42 tahunnya meletus 15 Februari lalu."

Penentang kuasai lebih banyak bandar


WARGA Libya mempamerkan gambar keganasan dan kematian di negara itu ketika mereka menunjuk perasaan di  depan kedutaan Libya di Rome, Itali, semalam.
WARGA Libya mempamerkan gambar keganasan dan kematian di negara itu ketika mereka menunjuk perasaan di depan kedutaan Libya di Rome, Itali, semalam.


TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilapor semakin hillang penguasaan terhadap lebih banyak bandar ketika kumpulan antikerajaan meneruskan tunjuk peerasaan di negara Afrika Utara itu meskipun beliau mengancam tindak balas ganas.
Penunjuk perasaan di Misurata, barat Libya, berkata, mereka sudah menguasai bandar berkenaan. Dalam kenyataan menerusi Internet, pegawai tentera yang ditempatkan di bandar berkenaan menyatakan ikrar mereka untuk menyokong penunjuk perasaan sepenuhnya.

Penunjuk perasaan juga dilihat menguasai sebahagian besar wilayah timur negara itu dan seorang koresponden televisyen Al-Jazeera yang melaporkan dari bandar Tobruk, 140 kilometer dari sempadan Mesir berkata, tidak ada anggota keselamatan kelihatan di bandar berkenaan.

“Daripada apa yang saya lihat, saya boleh berkata penduduk di timur Libya menguasai wilayah itu,” kata wartawan Al-Jazeera, Hoda Abdel Hamid.

Menurutnya, tidak ada pegawai yang mengendalikan pintu sempadan ketika krew stesen televisyen itu menyeberang masuk ke Libya.


“Di sepanjang sempadan, kami tidak menemui seorang pun anggota polis atau tentera.

“Penduduk memberitahu kami, mereka sudah melarikan diri atau bersembunyi dan yang berkuasa ketika ini ialah penduduk.
“Keadaan ini berlaku di Tobruk hingga ke Benghazi.

“Saya juga diberitahu, keadaan agak tenang di Baida dan Benghazi.

“Namun di sebelah malam, menurut penduduk, terdapat kumpulan militia berkeliaran di jalan raya.
“Mereka adalah lelaki Afrika yang bercakap Perancis. Penduduk yakin kumpulan itu berasal dari Chad,” kata Hoda.
Pemerintah tentera di Tobruk, Mejar Jeneral Suleiman Mahmoud memberitahu Al Jazeera, pasukan yang diketuainya sudah berpaling tadah untuk menyokong penunjuk perasaan.

“Kami kini berpihak kepada rakyat. Saya bersama-sama Gaddafi sebelum ini tetapi keadaan sudah berubah. Dia seorang yang zalim,” kata pegawai tentera itu.


Benghazi, bandar kedua terbesar Libya menjadi tempat pertama kebangkitan rayat dalam menentang pemerintahan 42 tahun Gaddafi lebih seminggu lalu, sebelum ia merebak ke bandar lain. — Al Jazeera
myMetro

Warga asing tinggalkan Libya

myMetro


PARIS: Kerajaan di seluruh dunia semalam bergegas membawa pulang warga masing-masing dari Libya.

Kebimbangan mengenai kemungkinan tercetusnya perang saudara besar-besaran mendorong negara dari Kanada hingga ke China untuk menyewa feri dan pesawat bagi membawa keluar rakyat mereka ke kawasan selamat.
Ribuan warga asing bersesak-sesak di lapangan terbang Tripoli dengan harapan untuk menyelamatkan diri selepas keadaan keselamatan di Libya semakin meruncing.

Mereka yang berjaya melarikan diri menceritakan suasana anarki yang berlaku di negara berkenaan dengan bekalan air dan makanan semakin berkurangan. - Reuters"

Tentera bedil masjid

HANGUS...seorang lelaki di kawasan kenderaan yang musnah terbakar 
di Tobruk, Libya.
HANGUS...seorang lelaki di kawasan kenderaan yang musnah terbakar di Tobruk, Libya.
BENGHAZI (Libya): Satu unit tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam membedil menara sebuah masjid dengan peluru antipesawat dan senjata automatik selepas penunjuk perasaan antikerajaan enggan meninggalkan kawasan di barat Tripoli itu.
Saksi berkata, ramai penunjuk perasaan yang berkampung di luar dan dalam masjid itu terbunuh dalam serangan di Zawiya, 50 kilometer ke barat Tripoli. Dia bagaimanapun tidak dapat memberi jumlah tepat.


  • FotoDOA...penunjuk perasaan antikerajaan berdoa dalam hujan.
  • FotoPROTES...sekumpulan lelaki di atas kereta perisai tentera.
  • FotoSELAMAT...seorang lelaki bersama dua anaknya berjalan di landasan kapal terbang.
Tentera pro-Gaddafi bertindak ganas ketika pengaruh pemimpin Libya itu semakin terhakis. Zawiya dan beberapa bandar besar Libya yang lain serta bandar berhampiran Tripoli sudah dikuasai pemberontak.

Di timur yang dikuasai sepenuhnya kumpulan penentang, pembangkang berikrar ‘membebaskan’ Tripoli, tempat pemimpin Libya itu berkubu dengan sekumpulan tenteranya meronda jalan raya dan kereta kebal melindungi kawasan pinggir.


Saksi berkenaan yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang terhadap tindak balas berkata, serangan jam 9 pagi (waktu tempatan) dilakukan sehari selepas pembantu Gaddafi yang dikenali sebagai Abdullah Megrahi muncul di bandar berkenaan dan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya ‘pulang atau mereka akan menyaksikan satu pembunuhan beramai-ramai.’


“Kami memberitahunya kami tidak akan pulang, sama ada kami mati atau kami mencapai kemenangan,” katanya.

Saksi itu terkejut dengan tindakan tentera yang menyerang orang awam.
Beberapa unit tentera dilapor berpaling tadah dengan menyokong penunjuk perasaan sejak pemberontakan bermula 15 Februari lalu.

Ada laporan menyatakan kira-kira 1,000 orang terbunuh sepanjang pemberontakan itu di seluruh negara sementara kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch menganggarkan lebih 300 terkorban.

“Apa yang berlaku amat teruk. Mereka yang menyerang kami bukan tentera upahan, tetapi anak negara ini sendiri. Mereka membedil menara masjid,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar penunjuk perasaan remaja yang bersenjatakan senapang memburu.

Dia juga memberitahu, penunjuk perasaan dari Zawiya tidak berhasrat untuk menyahut gesaan pembangkang supaya menyertai perarakan seluruh negara ke Tripoli hari ini.

“Kami tidak merancang untuk berarak ke Triopoli. Kami sudah berbincang dan bersetuju untuk kekal di sini,” katanya.

Penunjuk perasaan tidur di dalam masjid dan di kawasan lapang di luarnya sejak beberapa hari lalu dan enggan meninggalkan premis berkenaan.

“Kumpulan remaja itu tidak mempunyai apa-apa untuk melindungi diri mereka kecuali senapang memburu dan semangat, manakala tentera memiliki peluru berpandu antipesawat dan senjata automatik,” katanya.

Dia juga berkata, polis tidak kelihatan di bandar itu yang terletak berhampiran sebuah pelabuhan dan kilang penapisan minyak utama di Mediterranean.

“Penduduk terpaksa membentuk jawatankuasa bagi melindungi rumah masing-masing serta bangunan lain,” katanya.

Dia juga berkata, penyokong Gaddafi turut menyerang warga China dan Mesir yang bekerja dengan syarikat pembinaan di bandar raya itu. — Agensi
myMetro | Tentera bedil masjid

Gaddafi diramal bunuh diri

myMetro


STOCKHOLM: Seorang bekas menteri Muammar Gaddafi semalam meramalkan pemimpin Libya itu akan mengikut jejak langkah Adolf Hitler dengan membunuh diri daripada menyerah kuasa.

Mustapha Abdeljalil, yang menjadi Menteri Kehakiman sehingga beliau meletak jawatan minggu lalu kerana membantah tindakan ganas rejim Gaddafi terhadap penunjuk perasaan memberitahu akhbar Sweden, Expressen, beliau menjangka Gaddafi akan melaksanakan ikrarnya untuk mati di bumi Libya daripada hidup dalam buangan.


“Masa Gaddafi sudah berakhir. Beliau akan mengikut jejak langkah Hitler. Beliau akan membunuh diri,” kata Mustapha.

Hitler membunuh diri dalam kubunya di Berlin pada April 1945 selepas menyaksikan perpecahan empayar Nazi Jerman.


Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman web akhbar itu, Mustapha berkata, Gaddafi secara peribadi mengarahkan pengeboman pesawat di ruang udara Lockerbie pada 1988 yang menyebabkan 270 penumpang terbunuh dan berkata, beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan itu. - AP"

Budak dapat ikan lebih besar daripadanya




RILEY VALLANCE berdiri di sebelah ikan yang berjaya dipancingnya di Tasik Tinaroo, Australia baru-baru ini.


TASIK TINAROO, Australia - Seorang budak berusia sembilan tahun, Riley Vallance berjaya memancing seekor ikan yang lebih besar daripadanya dalam satu pertandingan di sini, lapor akhbarThe Cairns Post semalam.
"Saya bergelut selama 20 minit untuk mendapatkan ikan tersebut," kata Vallance yang belajar di tahun empat.
Vallance yang mempunyai berat 25 kilogram (kg) dan tinggi 131 sentimeter itu memperoleh ikan tersebut yang seberat 27.6kg serta panjang 132 sentimeter.
Menurut bapanya yang merupakan seorang ahli biologi, Terry Vallance, ikan tersebut terpaksa ditanam di belakang rumah kerana peti sejuk di rumahnya tidak muat untuk menyimpan ikan itu. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Akuarium paling kecil di dunia



AKUARIUM paling kecil di dunia hanya mengandungi 10 mililiter air.


MOSCOW - Seorang seniman di bandar Omsk, Siberia, Rusia, Anatoly Konenko mencipta sebuah akuarium paling kecil di dunia yang mengandungi air dua sudu teh, lapor sebuah akhbar Metro.co.uksemalam.

Akuarium itu dilengkapi dengan satu penapis air dan ia mengambil masa selama dua minggu untuk dihasilkan.

Menurut akhbar dalam talian, Voice of Russia, akuarium itu dilengkapi dengan pasir, batu pelbagai warna, ikan dan rumpai laut yang mengandungi air sebanyak 10 mililiter.

Konenko merupakan pakar dalam menghasilkan pelbagai perhiasan mini sejak 30 tahun lalu.

Dia sebelum ini menghasilkan tulisan pada beras dan rambut manusia. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Pandu kereta di atas jejantas




SEBUAH kereta Volkswagen Polo melalui sebuah jejantas untuk pejalan kaki di Venice kelmarin.


VENICE - Sebuah kereta dipandu melalui jejantas yang khas untuk pejalan kaki bagi menyeberangi terusan air di bandar ini kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta Volkswagen Polo itu melalui jejantas tersebut pada awal pagi.
Bagaimanapun, empat orang berusia dalam lingkungan 20-an yang berada di dalam kereta itu memutuskan untuk mengambil jalan pintas dengan melalui jejantas tersebut.
Satu rakaman kamera litar tertutup merakamkan pergerakan kereta tersebut yang melalui jejantas itu.
Keempat-empat orang itu ditangkap polis semasa mereka kembali untuk menaiki kereta tersebut selepas bersiar-siar di kawasan berhampiran.
Semasa disoal siasat, keempat-empat orang itu memberikan alasan jejantas itu digunakan kerana mereka mahu menemui rakan dalam tempoh yang singkat.
Pihak berkuasa kemudian melarang mereka kembali ke Venice selama tiga tahun disebabkan perbuatan tersebut. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Kereta kebal diparkir di tepi jalan




KERETA kebal milik Nicholas Kravchenko diletakkan di tepi sebatang jalan raya dekat rumahnya di Wolvercote, Britain baru-baru ini.


WOLVERCOTE, Britain - Sebuah kereta kebal milik seorang penduduk diparkir di tepi jalan di luar rumahnya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Tindakan pemilik kereta kebal itu meletakkan kereta kebal tersebut di tepi jalan telah menyebabkan jiran-jirannya marah.
Jiran-jirannya itu mengadu kereta kebal itu 'menyakitkan mata' mereka kerana ia menjejaskan pemandangan yang indah di kawasan berkenaan.
Namun, pemilik kereta kebal seberat empat tan itu, Nicholas Kravchenko menegaskan, tidak ada undang-undang yang melarang beliau meletakkan kereta kebal tersebut di tepi jalan.
Beliau yang merupakan bekas jurutera tentera membeli kereta kebal era tahun 1960-an itu daripada Kementerian Pertahanan pada harga lebih £10,000 (RM49,545).
Menurutnya, kereta kebal itu mempunyai kelajuan 32.10 kilometer sejam. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Tentera upahan Gaddafi bedil masjid




BEBERAPA penunjuk perasaan berdiri di depan sebuah bangunan tentera upahan yang musnah di Benghazi, Libya semalam.


BENGHAZI, Libya - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi membedil sebuah masjid di Zawiya, dekat Tripoli semalam.
Menurut beberapa saksi, sebuah menara masjid itu dibedil dengan menggunakan peluru berpandu antipesawat selain ditembak dengan senjata automatik.
Serangan itu ditujukan kepada sekumpulan penunjuk perasaan yang enggan meninggalkan masjid berkenaan.
Gaddafi turut menyatakan dalang kebangkitan rakyat di Libya adalah disebabkan oleh ketua pengganas yang paling dikehendaki Amerika Syarikat, Osama bin Laden yang memimpin pergerakan Al-Qaeda.
Beliau membuat kenyataan itu menerusi telefon kepada sebuah stesen televisyen di negara tersebut.
Sementara itu, penduduk tempatan telah memusnahkan sebuah bangunan yang digunakan oleh tentera upahan Gaddafi bagi memerangi penentangan di bandar Benghazi, timur Libya.
Bangunan tersebut rosak teruk dengan banyak dindingnya kini pecah.
Terdapat juga tulisan berupa kecaman terhadap Gaddafi antaranya Libya kini bebas dan Hapuskan Muammar.
Seorang peguam di sini berkata, satu jawatankuasa keselamatan telah ditubuhkan oleh orang awam pada Isnin lalu selepas bandar ini jatuh ke tangan penduduknya.
Menurutnya, jawatankuasa itu telah menangkap 36 tentera upahan dari Chad, Niger dan Sudan yang diupah oleh tentera Gaddafi untuk berperang di bandar ini.
Beberapa traktor dan jentera pengorek telah digunakan untuk memusnahkan bangunan itu.
"Walaupun mereka (pemerintah) membawa semua tentera upahan dari seluruh dunia, kami tetap akan teguh berdiri dan berperang demi negara kami," kata seorang penduduk Aowath Hussein Sady, 45,
"Rakyat Libya kini bersatu," tambahnya.
Menurut salah seorang penduduk, Gaddafi membelanjakan banyak wang untuk membiayai pemberontakan di Uganda, Burkina Faso dan Chad ketika penduduk Libya ramai yang miskin.
Gaddafi kini berdepan dengan kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya semalam hampir 42 tahun.
Kebangkitan rakyat itu didorong oleh kejayaan rakyat Mesir berhimpun di Kaherah sehingga mengakibatkan Presidennya Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.
Kelmarin, Menteri Luar Itali, Franco Frattini menganggarkan angka kematian di Libya akibat pertempuran antara tentera dengan penunjuk perasaan mencecah sehingga 1,000 orang.
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Gambar Christchurch sejurus selepas gempa




HOTEL Carlton yang bersejarah musnah dalam gempa bumi di Christchurch pada Selasa lalu.


CHRISTCHURCH, New Zealand – Beberapa buah akhbar semalam menyiarkan gambar situasi di bandar ini beberapa saat selepas gempa bumi berlaku pada Selasa lalu.
Gambar itu menunjukkan debu menyelubungi bandar tersebut.
Dalam gempa bumi itu, seramai 98 orang disahkan terbunuh manakala 299 orang lagi masih hilang.
Pasukan penyelamat New Zealand enggan menghentikan usaha bagi mencari mangsa-mangsa gempa bumi yang masih hidup semalam di sebalik harapan kini tipis untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang dikhuatiri terperangkap.
“Kita tidak boleh berputus asa kerana di seluruh dunia apabila berlaku bencana seperti ini kita turut menyaksikan keajaiban apabila terdapat mangsa yang berjaya dikeluarkan selepas berhari-hari terperangkap,” kata Perdana Menteri John Key dalam satu wawancara dengan stesen televisyen TV3.
Gempa bumi itu sekuat 6.3 pada skala Richter yang dianggap yang terkuat selepas gempa bumi 7.0 pada skala Richter pada September lalu tetapi ia tidak melibatkan kematian walaupun 100,000 buah bangunan rosak. – Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Pengacara Daphne Iking peluk Islam bulan lalu

Kosmo! Online


KUALA LUMPUR - Pengacara terkenal yang juga pelakon filem Belukar, Daphne Eleanor Iking (gambar) mengesahkan beliau telah memeluk agama Islam awal bulan lepas.

Pemenang anugerah Aktres Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 itu turut mengakui beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang usahawan, Azmi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Joe, 30-an, pada 8 Januari lalu.

Ini merupakan perkahwinan kedua Daphne, 31, yang sebelum ini mengahwini Ryan Chong Yiing Yih, 33 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Isobel Daniella Iking, 4.

'Saya memeluk Islam bulan lalu dan kemudian bernikah pada 8 Januari. Majlis kesyukuran secara kecil-kecilan telah diadakan di kampung halaman saya di Keningau, Sabah,' akui Daphne."