Pages

Monday, September 15, 2014

Mr. Bean kecewa gagal tamatkan perlumbaan kereta klasik



GAMBAR sebelum pelakon watak Mr.Bean memulakan perlumbaan kereta klasik.


GOODWOOD, West Sussex - Selebriti komedi terkenal, Rowan Atkinson kecewa apabila gagal menunjukkan prestasi cemerlang selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai pertandingan lumba kereta klasik di Britain baru-baru ini.
Atkinson, 59, yang memandu kereta Ford Falcon Sprint di kejohanan Perlumbaan Shelby itu merempuh dua buah kenderaan lain yang kemalangan di hadapan keretanya.
Kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pelakon yang terkenal dengan watak Mr. Bean itu.
Beliau sememangnya merupakan seorang peminat tegar kereta klasik dan memiliki koleksi beberapa buah kereta seperti Honda NSX, Jaguar Mk7, Aston Martin DB2, 1939 BMW 328 dan Rolls-Royce Phantom Coupe.
Kemalangan itu juga bukan yang pertama kali dialami oleh Atkinson kerana dia pernah terbabas dan melanggar sebatang pokok semasa memandu kereta sport McClaren F1 pada 2011. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3DKverr99 
Hakcipta terpelihara 

Ebola ragut nyawa doktor keempat di Sierra Leone



PEKERJA kesihatan membakar peralatan yang digunakan bagi merawat pesakit Ebola di tengah Conakry di Guinea kelmarin.


FREETOWN - Seorang lagi doktor meninggal dunia menjadikan doktor keempat maut semasa berkhidmat merawat mangsa-mangsa yang dijangkiti wabak Ebola, kata seorang pegawai kerajaan semalam.
Ketua Pegawai Perubatan, Dr. Brima Kargbo berkata, mangsa, Dr. Olivet Buck meninggal dunia kelmarin sejam selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan pihaknya tidak dapat membantu membawa mangsa ke Jerman bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sierra Leone sebelum itu telah meminta dana daripada WHO untuk membawa mangsa ke Eropah kerana tidak mahu kehilangan doktor yang maut akibat wabak tersebut.
WHO bagaimanapun tidak berjanji dapat memenuhi permintaan itu, namun berusaha untuk memberikan penjagaan yang terbaik terhadap Buck di Sierra Leone termasuk akses penggunaan ubat-ubatan yang masih dalam percubaan.
Wabak Ebola yang merebak melalui sentuhan dengan badan pesakit yang dijangkiti memberi risiko kepada jururawat dan doktor terutama jika tidak menggunakan vaksin atau rawatan yang diluluskan.
Lebih 300 orang pekerja kesihatan telah dijangkiti wabak Ebola di Guinea, Liberia dan Sierra Leone dengan separuh daripada jumlah itu telah disahkan meninggal dunia, kata WHO.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku kekurangan doktor dan jururawat di beberapa buah negara di Afrika Barat yang banyak kehilangan anggota kesihatan mahir.
Setakat ini, hanya pegawai perubatan dan anggota pasukan bantuan dari negara asing yang dipindahkan dari Sierra Leone dan Liberia untuk menerima rawatan ke luar negara atau pulang ke negara masing-masing.
Doktor Sgeik Humarr Khan menjadi doktor pertama yang disahkan meninggal dunia selepas dijangkiti wabak Ebola sewaktu menerima rawatan di Eropah pada hujung Julai lalu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3DKvIkC3D 
Hakcipta terpelihara 

Serangga berbisa jadi perisa istimewa hidangan Taco



LABAH-LABAH menjadi antara serangga yang dimasukkan dalam hidangan Taco di restauran La Cocinita de San Juan di Bandar Mexico.


BANDARAYA MEXICO - Sebuah restoran kecil yang dikenali sebagai La Cocinita de San Juan di sini telah memperkenalkan menu baharu untuk pengunjung mereka iaitu serangga yang dihidangkan bersama makanan tradisional Mexico yang dipanggil Taco.
Menurut pemilik restoran itu, Pedro Felipe Hernandez, serangga yang dihidangkan itu terdiri daripada serangga berbisa seperti labah-labah, kala jengking dan lipan.
"Memang benar restoran kami ada menyediakan hidangan tradisional Taco yang dicampur bersama serangga-serangga liar yang sangat berbisa," kata Hernandez yang tidak menjelaskan bagaimana cara menghilangkan bisa haiwan itu.
Menurutnya lagi, kala jengking sebenarnya tidak mempunyai rasa yang enak menyebabkan tukang masaknya perlu menyediakan hidangan itu sebaik mungkin supaya dapat dinikmati pengunjung.
"Tetapi apabila ia siap dimasak, ramai pengunjung yang menikmati hidangan ini memuji rasanya yang sedap," kata pemilik itu yang mendakwa rata-rata pengunjung berpuas hati dengan hidangan yang disediakan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3DKvASicW 
Hakcipta terpelihara 

IS penggal seorang lagi warga Barat



IMEJ daripada video yang didedahkan oleh IS kelmarin menunjukkan Haines sebelum dia dipenggal di suatu tempat yang tidak diketahui.


WASHINGTON - Kumpulan Negara Islam (IS) mendakwa memenggal kepala seorang sukarelawan dari Britain, David Haines yang menjadi mangsa ketiga dalam tempoh beberapa minggu selepas dua orang wartawan warga Amerika Syarikat (AS) dibunuh.
IS melalui satu rakaman video yang disiarkan dalam laman web kumpulan militan itu menunjukkan seorang anggota militan bertopeng sedang memenggal kepala Hianes.
Video berdurasi selama dua minit 27 saat bertajuk A Message to the Allies of America telah menyalahkan Perdana Menteri Britain, David Cameron yang bergabung tenaga dengan AS untuk melancarkan serangan udara terhadap IS di Iraq.
"Anda menghantar sukarelawan ke negara Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Tony Blair sehingga menjadi ikutan setiap Perdana Menteri Britain yang tidak berani membantah kehendak AS," kata seorang anggota militan dalam rakaman video itu.
Anggota militan itu yang dipercayai individu yang sama dalam rakaman video sebelum ini memberitahu Britain bahawa kerjasama antara negara itu dengan AS akan menyebabkan kemusnahan yang turut melibatkan kematian rakyat Britain.
Anggota militan itu turut mengancam akan membunuh seorang lagi tahanan British.
Mangsa penculikan warga Britain itu melalui rakaman video sebelum ini telah diberi ancaman oleh kumpulan IS yang akan memenggal kepalanya seperti yang dilakukan terhadap seorang wartawan AS, Steven Sotloff.
Haines bekerja untuk Agensi Kerjasama Teknikal dan Pembangunan (ACTED), iaitu sebuah badan amal bantuan antarabangsa yang terlibat dengan kerja-kerja kemanusiaan di kawasan Balkan, Afrika serta beberapa kawasan lain di Asia Barat.
Sebelum ini, dua orang wartawan warga AS, Sotloff telah didakwa mati dipenggal pada 19 Ogos lalu diikuti James Foley dua minggu kemudian yang turut menerima nasib yang sama pada 2 September lalu selepas diculik di Syria.
Tindakan itu dilakukan selepas AS mula melancarkan serangan udara dan misi kemanusiaan pada Ogos lalu untuk membantu menghapuskan pasukan keselamatan Iraq dan puak Kurdish di utara Iraq. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3DKuj67jX 
Hakcipta terpelihara 

Manila usir Bilal Philips


Abu Ameenah Bilal Philips dihantar pulang ke Kanada lewat kelmarin selepas ditahan sejak hujung minggu lalu di selatan Filipina ketika dalam perjalanan untuk berceramah. 
Pihak berkuasa imigresen Filipina berkata, persetujuan Bilal untuk diusir secara sukarela membantu memendekkan prosiding pengusirannya. 

“Dia dianggap warga asing yang tidak dikehendaki berada di negara ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan biro imigresen Filipina.
Foto
BILAL Philips

Biro itu sebelum ini berkata, Bilal disenaraihitamkan berdasarkan maklumat bahawa dia mungkin menjalankan kegiatan yang mengancam keselamatan negara.

Polis juga mendakwa dia mungkin mempunyai kaitan dengan kumpulan pelampau ketika melarang pendakwa itu mengadakan ceramah di selatan Filipina yang majoriti penduduknya beragama Islam. 

Bilal, kelahiran Jamaica, turut mengakui dia disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, Britain, Australia dan Kenya tetapi ia dilakukan berdasarkan kenyataan yang disalah petik daripada ceramahnya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Mati beberapa jam selepas kahwin


Sanaa: Sepasang pengantin meninggal dunia beberapa jam selepas majlis perkahwinan mereka akibat menyedut gas beracun dari generator kuasa ketika tidur.

Pasangan itu meninggalkan majlis perkahwinan dan pulang ke rumah baru mereka di Lahij, bandar di selatan Yaman.


Apabila tiba, mereka mendapati bekalan elektrik terputus, menyebabkan pengantin lelaki memasang generator di sebelah biliknya.

Akhbar tempatan melaporkan, anggota keluarga yang datang untuk lawatan tradisional meraikan pasangan pengantin mengetuk pintu tetapi tidak berjawab.


Mereka kemudian memecahkan pintu itu serta berkejar ke bilik tidur dan mendapati pasangan itu terbujur kaku.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Wanita tak ingat rogol lelaki


Seattle: Seorang wanita Chantae Gilman, berdepan dengan tuduhan merogol selepas seorang lelaki mendakwa wanita berkenaan memecah masuk ke rumahnya pada tengah malam lalu menindih serta memperkosanya ketika dia tidur.

Mangsa yang berusia 31 tahun itu berkata, dia menghadiri satu majlis hari jadi pada malam berkenaan sebelum pulang dalam keadaan letih dan terus tertidur.
Mangsa terjaga apabila menyedari tangannya ditekan di bawah kepala sementara suspek berada di atas badannya.




Mangsa mendakwa tidak mengenali suspek tetapi tahu dia kenalan seorang lelaki lain dalam bangunan berkenaan.
Sementara itu, wanita berkenaan memberitahu polis dia tidak kenal mangsanya atau mengingati memasuki rumah lelaki terbabit dan mengadakan seks dengannya.
Laporan memetik, penyiasat sebagai berkata, suspek menghidap masalah mental dan gangguan bipolar dan psikosis.

Baru-baru ini suspek memuat naik komen dalam laman Facebooknya dengan berkata, dia yang sudah mempunyai dua anak, mengandung dua bulan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Masak anjing teman wanita


Palo Cedro (California): Seorang lelaki ditangkap selepas bekas teman wanitanya menuduh dia memasak anjing kesayangannya dan menyajikan kepadanya.

Ryan Watenpaugh, 34, ditangkap Khamis lalu atas tuduhan menzalimi haiwan dan menyerang.

Bekas teman wanitanya memberitahu polis, Watenpaugh berulang kali memukulnya ketika mereka berpacaran.



Dalam satu kejadian, dia meninggalkan kediamannya.

Apabila kembali semula, dia mendapati anjing kesayangannya baka Pomeranian, ‘Bear’ hilang.

Akhbar USA Today melaporkan, wanita itu calar balar dan luka akibat diserang Watenpaugh serta mendakwa dia cuba melarikan diri daripadanya.

Polis berkata, pasangan itu berbaik semula minggu lalu dan Watenpaugh memasakkan wanita berkenaan.

Dia memakannya kerana menyangka ia makanan biasa.

Bagaimanapun, dia kemudian memberitahu polis, Watenpaugh menghantar mesej kepadanya bertanyakan bagaimana rasa anjing itu.

Selasa lalu, wanita itu melihat lelaki berkenaan meletakkan sesuatu di depan rumahnya.

Apabila keluar, dia melihat dua kaki anjing di muka pintunya.

Watenpaugh juga menghantar mesej kepada wanita berkenaan mengenai rancangannya terhadap bangkai anjing itu dan berkata, dia akan menghantar kaki anjing berkenaan kepadanya.

Polis berkata, Watenpaugh menafi membunuh atau memasak anjing itu.

Ketika menyerbu kediaman lelaki itu, polis turut menemui raifal AK-47 dan sejumlah peluru.

Dia akan didakwa atas tuduhan menzalimi haiwan, keganasan rumah tangga dan menahan seseorang tanpa kebenaran.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Selfie dengan mayat


Dalam sekeping gambar, Celestino Reyna dilihat tersenyum di sisi mayat lelaki yang baru digalinya semula. Anak saudara si mati juga kelihatan di gambar itu.
Mayat berkenaan digali untuk ditanam semula dalam kubur yang sama dengan isterinya di sebuah tanah perkuburan di Guardamar del Segura.

Ketika anak saudara si mati menyaksikan penggali kubur itu membawa naik semula mayat berkenaan, mereka terkejut melihat mayat itu sudah menjadi mumia.
Foto
CELESTINO (kanan) bersama anak saudara si mati ber’selfie’ dengan mayat.

Selepas merakam gambar itu, anak saudara si mati yang namanya tidak disiarkan berkongsi gambar itu dengan rakan sekerjanya menerusi Whatsapp dan ia menjadi viral dalam sekelip mata.

Bagaimanapun, dia mendakwa tidak bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa.

“Saya tidak menyangka ia membawa padah. Saya juga tidak bertujuan untuk menghina bapa saudara saya,” katanya.

Sementara itu, penggali kubur berusia 55 tahun itu digantung tugas dan dipindahkan ke bahagian lain sementara pihak berkuasa tempatan menjalankan siasatan.

Seorang anggota majlis, Felipe Aldeguer, bagaimanapun berkata, Reyna tidak bersalah dalam hal itu.

“Dia hanya bertindak bodoh dengan mengikuti kehendak keluarga si mati,” katanya.
Mayat boleh menjadi mumia secara semula jadi apabila ia direndam dengan air berasid, bercampur dengan suhu sejuk dan kekurangan oksigen. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Ribut solar hasilkan fenomena menakjubkan aurora


Ribut solar kedua dilaporkan melanda bumi Jumaat lalu, menghasilkan pemandangan aurora yang menakjubkan. - AGENSI
SYDNEY 14 Sept. - Ribut solar kedua dilaporkan melanda bumi Jumaat lalu, menghasilkan satu fenomena langit berwarna-warni pada waktu malam di sepanjang kawasan Kutub Utara dan Selatan.
Akhbar Sydney Morning Herald memetik kenyataan Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) kelmarin yang menyatakan, ribut berkenaan sudah memasuki fasa utamanya dan bergerak pada tahap kelajuan G3.
"Berdasarkan kepada perubahan angin solar, fenomena tersebut dijangka berterusan untuk beberapa jam dan ini merupakan peluang baik kepada pemerhati aurora.
"Bagaimanapun, pihak kami akan mengeluarkan amaran kecemasan jika berlakunya sebarang ancaman ribut kuat," jelas NOAA.
Ribut solar kedua yang terhasil daripada letupan magnetik matahari melanda bumi awal pagi kelmarin, selepas berlaku ribut pertama pada hari sebelumnya.
Saintis berkata, ribut berkenaan menyebabkan berlakunya gangguan pada sistem satelit dan transmisi radio.
Seorang kakitangan dari pusat ramalan cuaca, Bill Murtagh berkata, syarikat komunikasi, pengangkutan dan jana kuasa turut bersiap sedia dan mengambil langkah sewajarnya untuk meminimumkan impak hasil daripada ribut berkenaan.
Bagaimanapun, gangguan besar tidak berlaku walaupun ribut yang terhasil boleh diklasifikasikan dalam kategori 'kelas X' iaitu nyalaan api paling panas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140915/lu_08/Ribut-solar-hasilkan-fenomena-menakjubkan-aurora#ixzz3DKjt2N13
© Utusan Melayu (M) Bhd