Pages

Thursday, October 27, 2011

Rahsia Gaddafi Yang Kita Tidak Tahu.. (2)



Mengapa Saya Tidak Kutuk Gaddafi - Tukar Tiub


Tuan yang saya muliakan: [TT] Tuan menulis kepada saya dan bertanya kenapa saya memberi penghormatan kepada Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis dan mengutuk Kolonel Gadaffi. Tuan terus bertanya dan menghambat dengan soalan kenapa saya bersimpati dengan seorang ditaktor yang telah merampas kuasa semenjak tahun 1969. Tuan bertanya apakah saya tidak tahu bahawa selama 42 tahun ini Libya tidak pernah melihat kepimpinan selain dari Kolonel Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis tentang kezaliman yang berlaku di Libya.



Tuan yang saya muliakan, Saya juga disedarkan bahawa Kolonel Gadaffi ini telah memberi pembelajaran percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti di Libya. Saya juga sedar bahawa Gadaffi memberi warga Libya perubatan percuma. Saya juga sedar yang Gadaffi telah menggunakan duit minyak petrol untuk membuat rumah dan memberikan secara percuma kepada warga Libya.


Saya juga sedar Gadaffi memberi sokongan kepada banyak perjuangan pembebasan antarabangsa pada tahun-tahun 70’an dahulu. Sokongan dana dan diplomatik untuk PLO, Japanese Red Army, IRA dari Ireland Utara, ETA dari Sepanyol – termasuk juga menyokong dan memberi dana dan senjata kepada Moro National Liberation Front dari Mindano.


Dalam masa yang sama - saya amat sedar bahawa ruang demokrasi amat sempit di Libya. Saya sedar Gadaffi memerintah Libya tanpa ada pemilihan. Gadaffi naik tahtha kerana rampasan kuasa. Dalam hal ruang demokrasi saya tidak bersama menyokong Gaddafi.


Malah ketika Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), ABIM, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Melaya (PBMUM) - mengangkat dan menjulang Kolonel Gadaffi pada tahun tujuh puluhan dahulu – saya secara sinis telah mentertawakan kumpulan kumpulan ini. Ketika ini Gaddafi sedang menjual agama dengan Buku Hijaunya. Gadaffi membuat Buku Hijau kerana Pengerusi Mao pada ketika itu ada Buku Merah. Saya tersenyum sinis apabila melihat kumpulan-kumpulan Islam amat senang ditipu. Saya perhatikan mereka memiliki kecetekkan fikrah dan gagal untuk memahami konsep ruang demokrasi yang lebih luas.


Ini berlaku lebih dari 30 tahun dahulu. Ini ketika saya telah bangun menyokong perjuangan adil rakyat Vietnam. Kita saya menyokong pejungan rakyat Kamboja. Kita kami anak muda keluar ke jalan raya untuk bersetiakawan dengan rakyat Palestine dan warga Afrika Selatan. Ketika ini anak muda seluruh dunia sedang bangun melawan kuasa imperialis Anglo-Amerika.


Biar saya jelaskan disini. Saya tidak pernah menghalalkan apa sahaja bentuk kezaliman. Sama ada kezaliman yang dilakukan kerana idealoji kiri seperti di Russia dan di China, atau kerana dogma agama di Iran dan Pakistan atau atas nama keselamatan seperti di Malaysia dan di Israel. Kezaliman adalah kezaliman tidak kira dari mana datangnya. Yang dizalimi tetap terseksa.


Tuan yang saya hormati, Disini biar saya luaskan pandangan siasah agar kita bukan hanya memahami Gaddafi dengan Buku Hijaunya atau dengan Libya wujud tanpa pilihanraya. Saya ingin membuka wacana yang lebih luas. Dalam bahasa German, saya ingin membuka wacana realpolitik – politik yang dieja dengan huruf k. Saya harapkan apa yang saya huraikan ini akan membuka fikrah kita bersama untuk melihat tanda dan makna politik yang sedang berlaku dihadapan mata kepala kita.


Tuan yang saya hormati,


Libya ialah anggota OPEC – negara pengeluar minyak. Ertinya Libya negara kaya. Ertinya jika duit minyak tidak digunakan secara membazir. Atau digunakan hanya untuk isteri Gadaffi membeli intan berlian dari kedai Jacob di New York atau membeli beg tangan Jane Birkin – sudah pasti warga Libya tidak hidup lumayan. Ini tidak berlaku di Libya justeru pendapatan warga Libya adalah yang tertinggi di Afrika.


Sebagai anggota OPEC kelihatan Libya dibawah pimpinan Kolonel Gadaffi selalu membantah keputusan dan cadangan OPEC yang diajukan oleh Saudi Arabia. Arab Saudi sering mengajukan dasar pengeluaran minyak yang tidak akan menggangu gugat sistem ekonomi kapitalis yang dikepali oleh Amerika Syarikat. Saudi mahu harga minyak petrol terus rendah. Amat jelas - Raja Saudi adalah budak suruhan Amerika yang paling setia. Raja Saudi akan menjaga kepentingan ekonomi kapitalis Amerika lebih baik dari menjaga Makam Nabi. Dasar Saudi yang pro Amerika inilah yang sering ditibai oleh Gadaffi.


Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah dalam politik antarabangsa Gadaffi ini ialah sosok anti imperialis. Justeru sokongan Libya terhadap gerakan pembebasan antarabangsa pada tahun tahun 70an dahulu wajib dilihat dalam konteks ini. Kerana anti imperialis ini Gadaffi ialah ‘ budak jahat’ dalam kitab rujukan Rumah Puteh. Kolonel ini tidak disukai oleh kuasa Anglo-Amerika. Kolonel Gadaffi tidak disukai oleh Shell, Esso, BP atau Cheveron Oil – kerana semua syarikat ini dikekang dari masuk menjarah minyak di Libya.


Dalam pandangan geopolitik kaum imperialis dan kaum pemodal antarabangsa Gaddafi telah membuat beberapa kesalahan. Biar saya terangkan kesalahan Gadaffi ini. Kesalahan-kesalahn inilah yang membuatkan bala tentera NATO datang menyerang Libya dan membunuh Gadaffi.


Tuan yang saya muliakan biarkan saya senaraikan satu demi satu kesalahan Kolonel Gadaffi ini. Di harapkan tuan akan terbuka mata dan hati untuk memahami siasah dunia dengan lebih lengkap. Jika tuan memahami ini maka saya berharap tuan memahami kenapa saya menyokong Gadaffi.


Pertama: Gaddafi telah mengeluarkan dana lebih dari 300 juta dolar Amerika untuk membuat sistem Satelit Afrika. Sistem satelit ini membolehkan 42 negara-negara Afrika berkomunikasi bebas dari kongkongan sistem komunikasi syarikat-syarikat Eropah. Saban tahun sebelum adanya sistem Satelit Afrika ini – negara negara Afrika terpaksa membayar 500 juta dolar satu tahun harga sewaan. Gaddafi membebaskan negara Afrika. Kaum pemodal antarabangsa lesap mata pendapatan sebanyak 500 juta dolar setahun.


Kedua: Gadaffi telah merancang untuk menubuhkan AMF – African Monetary Fund. Lembaga AFM ini berperanan seperti International Monetary Fund (IMF)– meminjamkan dana untuk negara Afrika yang memerlukan. Bezanya AMF ini bukan untuk mencari keuntungan. AMF ini bukan untuk memberi hutang atau menjadi Along untuk negara Afrika. AMF bertujuan membebaskan negara-negara Afrika dari sistem penjajahan ekonomi yang sedang memiskin benua ini.


Lembaga AFM ini juga akan mewujudkan Central Bank of Africa yang beribu pejabat di Abuja Nigeria. Ini bererti nilai duit Afrika bukan lagi ditetapkan oleh dolar, bukan lagi ditetapkan oleh pound sterling atau ero. Dengan wujudnya Central Bank of Afrika ini maka putuslah penjajahan ekonomi kaum pemodal antarabangsa dengan benua Afrika.


Gadaffi juga akan mewujudkan Africa Bank of Investman a yang beribu pejabat di Libya. Tujuan bank ini ialah untuk mencari modal dan melabor di negara-negara Afrika. Semua lembaga keewangan ini akan diwujudkan pada tahun 2011. Semua perancagan telah berjalan dengan lancar. Semua perjanjian telah ditanda tangani. Kini semuanya tinggal impian. Kini semuanya dimusnahkan oleh serangan Nato.


Ketiga: Kuasa imperial Anglo-Amerika tidak mahu Afriak bebas. Kuasa imperialis mahu rakyat Afrika terus bodoh dan dibodohkan. Ramai warga Afrika datang belajar di Libya. Sistem pembelajaran pecuma di Libya menjadi ancamaan kepada kaum pemodal. Bertambahnya warga Afrika yang bijak bermakna berkurang pula pengaruh kuasa pemodal antarabangsa di Afrika. Justeru, kaum pemodal antarabangsa mahu Afrika terus diperintah oleh para ditaktor seperti Mobutu Sese Seko, Idi Amin Dada atau Emperor seperti Bokasa.


Melalui Lolonel Gadaffi kesatuan African Union menjadi satu organisasi yang bukan sahaja beretorik tetapi berupaya melakukan sesuatu. Melalui duit minyak Gadaffi telah menyalurkan dana yang banyak ke negara-negara Afrika. Ini dilihat oleh kaum pemodal sebagai satu yang bahaya. Sebagai satu ancaman. Bahaya kerana jika Afrika bangun membina negara mereka sendiri maka kaum pemodal antrabangsa dan kehilangan tempat untuk merompak dan menjarah kekayaan.


Tuan yang saya hormati, Tiga pekara yang telah dilakukan oleh Gadaffi ini telah dengan terang-terang menentang kepentingan kaum kapitalis antrabangsa. Semua ini adalah jenayah Gadaffi terhadap kaum pemodal antrabangsa. Semua ini adalah kesalahan Gadaffi terhadap imperialis Anglo-Amerika. Jelas, apa yang saya tuliskan bukan jenayah Gadaffi terhadap warga Libya. Ini bukan bermakna Gadafy ini seorang sosialis – tidak. Apa yang Gadaffi lakukan ialah secara jujur dia ingin membebaskan Afrika dari cengkaman kaum pemodal antarabangsa.


Tuan yang saya hormati, Pekara yang saya tulis ini tidak akan dilaporkn oleh CNN, BBC, New York Times , Washington Post atau pun Utusan Melayu. Tidak ada media arus perdana yang berani menyentuh pekara ini. Laporan yang kita baca, dengar dan tonton hanya menyatakan bahawa warga Libya telah bangun menentang Kolonel Gadaffi. Apakah ini betul?


Saya hanya ada satu pemintaan kepada tuan yang saya hormati. Sila cari gambar, sila cari klip di YouTube, sila selidiki semua media dunia – adakah pernah tuan ternampak beribu-ribu anak anak muda berkumpul menentang Gadaffi seperti di Dataran Tahrir? Adakah tuan pernah terlihat gambar puluhan ribu rakyat Libya berdemo menentang Gadaffi seperti demo Bersih 7 Julai dahulu? Atau ternampak gambar beribu-ribu anak anak muda berdemo dan terus bermalam berminggu-minggu di Benghazi?


Tidak. Tuan jangan membuang masa. Imej ribuan anak muda Libya berdemo ini tidak wujud. Kerana bukan warga Libya yang bangun menyerang kerajaan Gadaffi. Yang datang menyerang ialah soldadu upahan Amerika dan jet pengebom Nato yang bertungkus lumus siang dan malam menyerang Libya. Sejarah Libya ini tidak tamat disini. Saya akan sambung lagi minggu hadapan.(TT)


Tulisan ini telah disiarkan dalam SUARA KEADILAN terbaru
Addin: Rahsia Gaddafi Yang Kita Tidak Tahu.. (2):

'via Blog this'

‘Hanya arwah, suami tahu’

KUALA TERENGGANU: “Hanya arwah dan adik ipar tahu apa yang berlaku pada hari kejadian. Sebagai ahli keluarga, saya serahkan kepada polis menyiasat punca dan individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini,” kata Zalina Yahaya, 33, kakak sulung kepada Suriani Yahaya, 28, yang meninggal dunia selepas disyaki dibakar suami sendiri, awal pagi kelmarin.
Suriani yang juga seorang jururawat meninggal dunia jam 4.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin, selepas 10 hari bertarung nyawa akibat melecur lebih 80 peratus.

Menurut Zalina, dia dan ahli keluarganya sebolehnya tidak mahu memperbesar-besarkan peristiwa itu demi menjaga hati dan perasaan kedua-dua keluarga apatah lagi hubungan mereka dengan keluarga adik ipar sangat baik.

“Apabila berita menimpa Suriani dilaporkan dalam akhbar, pelbagai reaksi diterima terutama yang menyalahkan adik ipar. Namun, kami memohon orang ramai tidak membuat andaian melulu kerana ia masih dalam siasatan polis.

“Jika difikirkan, tidak mungkin adik ipar sanggup berbuat sedemikian apatah lagi sepanjang mengenalinya, dia seorang yang baik. Malah, sepanjang pengetahuan saya, hubungan mereka suami isteri tidak mempunyai masalah.

“Tragedi ini benar-benar memberi kesan kepada kami sekeluarga. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku terhadap mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Ya, Paya Resak, Marang, di sini, semalam.


Suriani, anak ketiga daripada enam beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Resak kira-kira jam 9 malam kelmarin. Dia meninggalkan dua cahaya mata lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun.

Harian Metro pada 17 Oktober lalu melaporkan seorang jururawat di HKL kritikal apabila lebih 80 peratus tubuhnya melecur dipercayai dibakar suami sendiri ketika mangsa mandi di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kebumi bersama ‘bakakuk’


GALI...sepasukan polis forensik menggali kubur Wahimin di Kampung Lobau Lama, kelmarin.
GALI...sepasukan polis forensik menggali kubur Wahimin di Kampung Lobau Lama, kelmarin.

RANAU: Seorang lelaki yang secara tidak sengaja tertembak bapa mentuanya ketika memburu tupai di hutan Kampung Lobau Lama di sini, pada 24 September lalu, mengebumikan lelaki terbabit bersama senapang buatan sendiri dikenali sebagai ‘bakakuk’ yang digunakannya, dipercayai sebagai tanda penghormatan dan memohon kemaafan.
Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun dipercayai bimbang dikenakan tindakan jika membuat laporan polis bertindak menyembunyikan kematian itu dengan menanam mayat bapa mentuanya berhampiran rumah selepas mendapat persetujuan ahli keluarga lain.

Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar apabila seorang sepupu yang memandikan mayat mangsa melihat luka yang mencurigakan sebelum membuat laporan polis.

Polis yang menerima maklumat kemudian menahan mangsa yang akhirnya mengaku tertembak dan menanam mayat bapa mentuanya secara rahsia. Susulan pengakuan suspek, polis mendapatkan perintah mahkamah bagi menggali semula ‘kubur’ itu bagi melakukan bedah siasat terhadap mayat terbabit, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan perintah mahkamah bagi menggali semula kubur Wahimin Usat, 50, yang mati ditembak menantunya sendiri di Kampung Lobau Lama.

“Selepas mendapat perintah mahkamah, sepasukan polis forensik menggali semula kubur mangsa bagi melakukan siasatan termasuk punca kematiannya.


“Polis menemui mayat mangsa yang ditanam bersama senapang ‘bakakuk’ dan difahamkan, senapang itu adalah senjata digunakan suspek ketika tertembak mangsa ketika memburu tupai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dan senjata berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, suspek secara tidak sengaja tertembak mangsa yang bersama-sama memburu di hutan Kampung Lobau Lama kira-kira jam 12 tengah hari, pada 24 September lalu.

“Suspek dipercayai melepaskan tembakan sebaik menyedari kehadiran seekor ‘tupai’ di sebatang pokok, namun terkejut apabila mendapati bapa mentuanya terbaring berlumuran darah dan tidak bernyawa lagi,” katanya.

Katanya, suspek membawa pulang mayat mangsa dan mengebumikan lelaki itu di sekitar rumah selepas mendapat persetujuan ahli keluarga lain tanpa melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Suspek enggan membuat laporan kerana bimbang dikenakan hukuman kerana difahamkan dia menjadi harapan untuk menyara ahli keluarganya.

“Lelaki terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Lelaki ‘bercinta’ dengan keldai

HARARE: Seorang lelaki Zimbabwe memberitahu mahkamah, pelacur yang dilanggannya tiba-tiba bertukar menjadi keldai.
Walaupun begitu, lelaki terbabit berkata, dia kini benar-benar jatuh hati kepada haiwan berkenaan.

Akhbar The Herald semalam melaporkan, Sunday Moyo juga berpendapat dirinya seekor keldai.

“Saya tak pasti apa berlaku selepas meninggalkan bar, tetapi saya benar-benar mencintai keldai itu,” katanya.

Moyo, 28, ditahan di bandar Zvishavane, 300 kilometer di selatan Harare, pada Ahad lalu, dan dituduh melakukan hubungan seks dengan keldai.

Menurut Moyo, dia membayar AS$25 (RM78) untuk mendapatkan khidmat pelacur terbabit.


Bagaimanapun, dia terkejut keesokan harinya apabila orang ramai menuduhnya bersenggama dengan seekor keldai.

Hakim kemudian mengarahkan Moyo dihantar menjalani pemeriksaan mental. - AFP

Rumah paling mahal terbiar


MEWAH TAPI TERBIAR...pembinaan bangunan eksklusif ini pernah dikecam ramai kerana seolah-olah tidak peka kepada kemiskinan sebahagian besar warga India.
MEWAH TAPI TERBIAR...pembinaan bangunan eksklusif ini pernah dikecam ramai kerana seolah-olah tidak peka kepada kemiskinan sebahagian besar warga India.

MUMBAI: Rumah paling mahal di dunia kini terbiar kosong selepas pemiliknya enggan berpindah ke situ kerana takut ditimpa bala.
Bangunan 27 tingkat itu - dinamakan Antilia - adalah milik orang paling kaya di India dan tokoh kesembilan terkaya di dunia, Mukesh Ambani, dengan nilai kekayaan RM84.5 bilion.

Ketika ini, Antilia begitu menonjol di Mumbai sejak ia disiapkan tahun lalu.

Bagaimanapun, pelbagai spekulasi tersebar selepas Mukesh, isteri, Nita dan dua anak mereka tidak berpindah ke situ hingga kini.

Memiliki tiga tempat pendaratan helikopter, enam tingkat kawasan meletak kenderaan dan sejumlah taman tergantung, menurut penilaian vastu shastra - sejenis kepercayaan seperti feng shui - Antilia akan membawa nasib malang kepada penghuninya.

Laporan menyatakan, keluarga Mukesh bimbang apabila mendapati Antilia gagal mematuhi prinsip pembinaan yang direstui vastu shastra. Sumber berkata, Mukesh bertegas enggan mendiami bangunan itu kerana percaya dia dan keluarganya berdepan dengan sumpahan nasib malang.


Walaupun begitu, bangunan itu pernah digunakan untuk tayangan filem dan majlis makan malam dikendalikan kakitangan terlatih dari rangkaian hotel mewah Oberoi.

Menurut sumber, Mukesh akan kembali ke rumah sedia ada setiap kali majlis berkenaan selesai diadakan.
“Dia enggan bermalam di Antilia,” katanya.

Menurut falsafah vastu yang digunakan dalam pembinaan kuil Hindu, sesebuah bangunan mesti menghadap matahari terbit.

Bahagian timur Antilia pula tidak memiliki tingkap atau ruang terbuka mencukupi bagi membolehkan penghuninya mendapat cahaya pagi mencukupi.

Ketika ini Mukesh dan kaum keluarganya masih tinggal di rumah lebih sederhana mereka - sebuah apartmen 14 tingkat di selatan Mumbai.

Sementara itu, jurucakap Mukesh mendakwa alasan mengapa bilionair itu enggan berpindah ke Antilia sekadar gosip liar. - DM

Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud gegar Fiji





2011/10/27

SUVA (Fiji): Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda wilayah Fiji kira-kira 12.15 malam tadi (waktu tempatan).

Agensi berita Xinhua sebagai memetik laporan Pemantau Geological Amerika Syarikat, berkata pusat gempa dengan kedalaman 611.9 kilometer berlaku pada 17.9142 darjah latitud selatan dan 179.4242 darjah longitud barat. - BERNAMA

Pelajar selamat terkurung 61 jam





2011/10/27

Mangsa ditemui bawah runtuhan bangunan ekoran insiden gempa bumi Turki 

ERCIS: Seorang pelajar universiti berusia 18 tahun semalam diselamatkan dari runtuhan sebuah bangunan apartmen kira-kira 61 jam selepas satu gempa bumi yang memusnahkan di timur Turki Ahad lalu. 

Pasukan penyelamat menggunakan kamera kecil yang diletakkan pada kayu untuk menjejaki Eyup Erdem dan mereka bersorak gembira apabila mangsa keluar dari runtuhan sebuah bangunan di bandar Ercis, kawasan yang paling teruk terjejas dalam gempa bumi dengan magnitud 7.2 Ahad lalu.
Agensi berita tempatan, Anatolia berkata bahawa Erdem cedera dan dirawat di sebuah hospital.
Pelajar berkenaan yang berpindah ke Ercis sebulan lalu untuk belajar mekanik di sebuah universiti adalah mangsa terkini yang berjaya dibawa keluar dalam keadaan masih hidup selepas pasukan penyelamat berusaha 24 jam untuk mencari mangsa. 

Gempa bumi membunuh sekurang-kurangnya 459 orang. Pegawai kementerian kesihatan, Seraceddin Com berkata kira-kira 40 orang dibawa keluar dalam keadaan masih hidup dari bangunan yang runtuh, kelmarin. 

Mereka termasuk seorang bayi perempuan berusia dua minggu yang dibawa keluar dalam keadaan separuh bogel tetapi masih hidup dari runtuhan sebuah apartmen, kira-kira 48 jam selepas gempa melanda. Ibu dan neneknya mangsa turut diselamatkan tetapi bapa bayi masih lagi hilang. – AP 

Banjir sekitar Bangkok semakin buruk





2011/10/27

PESAWAT penerbangan Thailand, Thai Airways terpaksa menghentikan operasi di Lapangan Terbang Don Muang berikutan landasan dinaiki air.
PESAWAT penerbangan Thailand, Thai Airways terpaksa menghentikan operasi di Lapangan Terbang Don Muang berikutan landasan dinaiki air.
Lapangan terbang Don Muang ditenggelami air, mangsa dapat perlindungan kena pindah

BANGKOK: Banjir dilaporkan menghampiri terminal di Lapangan Terbang Don Muang, lapangan terbang kedua terbesar di ibu negara Thailand semalam memaksa mereka yang mendapatkan perlindungan di situ berpindah berikutan amaran beberapa bahagian Bangkok mungkin ditenggelami air sedalam 1.5 meter. 

Banjir di lapangan terbang itu yang digunakan untuk penerbangan domestik, adalah tamparan kepada kerajaan dalam usaha menghalang Bangkok daripada tenggelam akibat banjir. Penutupannya semakin mengurangkan keyakinan umum terhadap keupayaan pentadbiran Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra untuk mempertahankan bandar raya yang didiami sembilan juta penduduk itu.
Sehingga pagi semalam, lebih 1,000 orang yang berlindung di sana terpaksa berpindah berikutan air terus memenuhi sekitar terminal.
Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, pintu masuk antarabangsa utama belum lagi terjejas dengan banjir dan penerbangan masih beroperasi seperti biasa. Kebanyakan kawasan di bandar raya itu belum terjejas dengan banjir, walaupun air botol minuman dan bekalan kecemasan lain dilaporkan berkurangan. 

Kerajaan Yingluck mengisytiharkan cuti umum selama lima hari Selasa lalu di kawasan terjejas termasuk Bangkok manakala Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah ditutup sehingga 7 November. Gabenor Bangkok, Sukhum-bhand Paribatra meminta mereka yang tidak perlu berada di bandar raya itu supaya keluar dan meninggalkannya Bangkok. 

Perdana menteri dalam satu ucapan disiarkan televisyen Selasa lalu memberi amaran tekanan banjir akan menolak hiliran ke dalam bandar yang bergabung dengan air pasang surut bulanan tinggi pada hari Jumaat dan Sabtu boleh menjejaskan dinding banjir diperkukuh dan benteng yang melindungi bandar raya itu. 

“Ia boleh mengakibatkan banjir sehingga 1.5 meter di kawasan rendah di bandar raya itu,” katanya. 
Sukhumbhand berkata ibu negara itu tidak dapat mengelak daripada banjir dan memberi amaran kepada penduduknya di sebanyak 13 daerah di Sungai Chao Phraya, sungai terbesar di bandar raya itu supaya bersiap sedia. 

Banjir di Lapangan Terbang Don Muang menjadi simbol bahawa negara Asia Tenggara itu berhadapan dengan krisis semakin teruk, yang menyaksikan satu pertiga daripada negara itu sudah ditenggelami banjir dan membunuh 373 penduduk sejak tiga bulan lalu. 

Lapangan terbang itu juga turut menempatkan pusat operasi bantuan banjir kerajaan dan satu daripada terminalnya diubah suai kepada pusat perlindungan menempatkan 4,000 penduduk yang men-cari perlindungan. 

Seorang pekerja kerajaan yang berlindung di sana sejak tiga minggu lalu Somboon Klinchanhom, 43, bersiap sedia untuk berpindah pada Selasa selepas kerajaan berkata terminal itu mungkin menjadi terlalu sesak. 

“Saya sangkakan ia akan selamat dan dilindungi,” kata Somboon mengenai lapangan terbang itu sambil mengemaskan barangan miliknya semula. 

Pusat banjir kerajaan tetap berada di lapangan terbang terbabit setakat ini berikutan ia mudah dihubungi oleh jalan raya, kata jurucakap Wim Rungwattanajinda. – AP 

Penduduk dunia 10 bilion pada 2100



LONDON 26 Okt. - Jumlah penduduk dunia dijangka bertambah dari tujuh bilion hari ini kepada 10 bilion orang menjelang tahun 2100, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, laporan berkenaan menyebut, jumlah itu mungkin mencecah sehingga 15 bilion orang jika berlakunya peningkatan kadar kelahiran.
Menurut laporan itu, Tabung Aktiviti Kependudukan Bangsa Bersatu (UNFPA) menyatakan kebimbangan terhadap tekanan demografi yang mampu memberi cabaran kepada mengurangkan kadar kemiskinan serta pemuliharaan alam sekitar ekoran pertambahan penduduk.
''Jangkaan terkini memperlihatkan bilangan penduduk akan mencecah 9.3 bilion orang pada 2050 dan lebih 10 bilion orang menjelang 2100.
''Namun, dengan hanya variasi kecil dalam kadar kesuburan terutamanya di negara yang memiliki kepadatan penduduk, jumlah itu dijangka lebih tinggi iaitu 10.6 bilion orang pada 2050 dan lebih 15 bilion (2100),'' kata UNFPA menerusi laporan The State of the World Population 2011 setebal 126 muka surat.
Laporan itu antara lain memfokuskan beberapa cabaran berkaitan cabaran golongan belia, masalah alam sekitar, keseimbangan antara penduduk bandar dan luar bandar serta soal perancangan keluarga.
Kata UNFPA, ketika ini, penduduk di Tokyo mencatatkan bilangan tertinggi dengan 36.7 juta orang diikuti New Delhi (22 juta orang) dan Sao Paulo serta Mumbai, masing-masing mencatatkan jumlah 20 juta penduduk.
UNFPA turut mencadangkan agar diwujudkan pelan pembangunan yang seimbang bagi menghadapi jumlah pertambahan penduduk termasuk pembinaan perumahan yang mencukupi, sistem sanitasi yang baik serta 'kawasan hijau'. - AFP

Sembilan tentera Syria maut dalam serangan roket

27/10/2011 3:46am NICOSIA 27 Okt. – Sekurang-kurangnya sembilan anggota tentera Syria termasuk seorang pegawai terbunuh dalam satu serangan roket yang dipercayai dilancarkan pasukan tentera gurun di wilayah Hama, semalam. “Sembilan anggota tentera maut termasuk seorang pegawai dalam serangan roket yang dilancarkan kumpulan bersenjata. “Ketika kejadian, kesemua mangsa berada di dalam sebuah kenderaan di perkampungan Al-Hamrat,” kata jurucakap Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria. – AFP

9 maut serangan bom dan tembakan di Iraq



27/10/2011 3:46am

BAGHDAD 27 Okt. – Kira-kira sembilan maut dan 29 cedera dalam dua serangan bom dan tembakan di Mosul, utara Iraq, semalam.
“Kejadian pertama melibatkan bom kereta yang mensasarkan pasukan tentera kawalan Iraq di kejiranan Al-Zuhour dan menyebabkan tiga anggota maut manakala tiga penduduk awam cedera.
“Serangan kedua menyusul tidak lama kemudian di kawasan kejiranan yang sama, menyebabkan dua penduduk awam maut dan 16 cedera,” kata pihak bekuasa. – AFP

Lelaki bakar al-Quran dibebaskan



COLMAR, Perancis 26 Okt. - Sebuah mahkamah rayuan semalam mengesahkan pembebasan seorang lelaki Perancis yang didakwa menghasut kebencian kaum menerusi rakaman video yang disiarkan di Internet menunjukkan tindakannya membakar al-Quran.
Lelaki itu, Ernesto Rojas Abbate (gambar), 31, ditahan Oktober tahun lalu selepas menyiarkan rakaman tersebut termasuk rakaman dia kencing pada abu helaian al-Quran yang dibakarnya itu.
Terdahulu, pendakwa raya yang menuntut mahkamah menangguhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda 1,000 euro (RM4,350) mengemukakan rayuan selepas mahkamah membebaskan Abbate, Mei lalu.
Dalam rakaman video terbabit, Abbate yang menetap di Strasbourg menggunakan beberapa muka surat al-Quran untuk menggambarkan peristiwa serangan 11 September 2001 di New York.
Dia menghasilkan kapal terbang kertas daripada helaian al-Quran dan kemudiannya mencampakkan kapal terbang kertas itu ke arah dua gelas yang menyerupai bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC). - AFP

Bencana banjir di Bangkok dijangka hanya surut selepas empat minggu




SEORANG lelaki menolak warga emas berkerusi roda meredah air banjir di Bangkok, semalam. – AFP


BANGKOK 26 Okt. – Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra hari ini memberi amaran banjir yang bakal melanda Bangkok dijangka hanya akan surut selepas empat minggu, sekali gus menyebabkan pembelian panik dan penutupan lapangan terbang kedua ekoran peningkatan paras air.
Katanya, tembok banjir yang dibina mungkin tidak dapat menampung jumlah air yang mengalir dari utara dan zon paling rendah di ibu negara itu dijangka ditenggelami air.
“Kawasan sepanjang Sungai Chao Phraya paling berisiko tinggi dan tembok turut dibina, namun saya 50 peratus yakin kawasan rendah di Bangkok tidak akan ditenggelami air sepenuhnya,” katanya.
Katanya, krisis banjir ini diburukkan lagi dengan maklumat yang bercanggah antara pihak berkuasa negara dan tempatan, sekali gus mengelirukan 12 juta penduduk di bandar ini.
Malah katanya, air pasang pada hujung minggu ini dijangka meningkatkan lagi paras air Sungai Chao Phraya dan ia merupakan senario terburuk, di mana beberapa kawasan rendah Bangkok akan ditenggelami air lebih daripada semeter.
“Pada mulanya, banjir di Bangkok akan berterusan antara dua minggu hingga sebulan,” katanya.
Banyak pasar raya kekurangan bekalan seperti air botol dan telur ekoran pembelian panik oleh penduduk Bangkok.
“Kekurangan bekalan yang paling kritikal ialah air minuman dan penduduk dinasihatkan meminum air yang dimasak,” katanya.
Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra turut memberi amaran paras air sungai yang semakin meningkat di kawasan padat penduduk di sini berdepan bencana banjir dalam tempoh beberapa hari lagi.
Katanya, paras air Sungai Chao Phraya meningkat ke tahap tertinggi dan air melimpah keluar di beberapa tempat awal hari ini. – AFP/dpa

'Golongan yang gembira Gaddafi mati akan menyesal'



CHICAGO 26 Okt. - Ketua pergerakan Nation of Islam, Louis Farrakhan (gambar) menempelak sikap sesetengah pihak yang 'bergembira' dengan kematian Muammar Gaddafi dan memberi amaran mereka akan menyesal dengan apa yang dilakukan itu.
Katanya, kematian bekas pemimpin Libya itu adalah satu pembunuhan yang dirancang Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis.
Beliau yang merupakan rakan baik Gaddafi berkata, negara-negara berkenaan bertanggungjawab dalam membantu rakyat Libya menghancurkan pemerintahan Gaddafi, di samping mahu memperoleh 'jalan mudah' untuk mengaut kekayaan sumber minyak Libya.
''Mereka mencipta satu pembunuhan yang berjaya terhadap Gaddafi.
''Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak boleh dipercayai kerana badan dunia hanyalah alat Barat,'' katanya ketika ditemu bual stesen radio Chicago, WVON-AM.
Farrakhan berkata, dia mula mengenali Gaddafi sekitar 70-an dan bekas pemimpin Libya yang dibunuh minggu lalu itu pernah memberikan pinjaman sebanyak AS$5 juta (RM15.5) kepada pertubuhannya.
Malah jelasnya, pemimpin Nation of Islam sebelum ini, Elijah Muhammad pernah diberikan pinjaman sebanyak AS$3 juta (RM9.3 juta) oleh Gaddafi bagi menukar sebuah gereja di Chicago menjadi masjid.
''Ia bukan sekadar wang tetapi prinsip hidupnya yang membuatkan kami seperti saudara,'' ujarnya.
Katanya, ketika pemerintahan Gaddafi, hasil minyak Libya digunakan untuk membina sekolah serta universiti bagi meningkatkan kadar celik ilmu dan Gaddafi juga telah berjaya memperbaiki perkhidmatan kesihatan yang dilihat terbaik di kalangan negara ketiga. - AP

Wanita ditemui selepas 3 hari




DUA lelaki mencari barangan yang masih boleh digunakan di kawasan runtuhan bangunan rumah mereka di Ercis, Turki, semalam. – AFP


ERCIS 26 Okt. – Pasukan penyelamat hari ini menarik keluar seorang wanita berusia 27 tahun dari sisa runtuhan bangunan selepas 66 jam gempa bumi melanda timur Turki dan mengorbankan sekurang-kurangnya 461 orang.
Mangsa ialah Gozde Bahar yang merupakan seorang guru di bandar Ercis, wilayah Van, kawasan yang teruk terjejas akibat gempa bumi Ahad lalu.
Kerajaan Turki terus berharap untuk menemui mangsa yang terselamat daripada sisa runtuhan bangunan, tiga hari selepas gempa berlaku dan akhirnya meminta bantuan luar untuk memberi perlindungan kepada beribu-ribu orang yang kehilangan kediaman.
Di kawasan runtuhan bangunan di tengah Ercis, pasukan penyelamat yang bekerja keras tanpa henti lebih 48 jam menghentikan operasi sambil menyakinkan tiada siapa lagi yang boleh diselamatkan hidup-hidup.
Namun beberapa saat selepas operasi menyelamat dihentikan, mereka menerima berita seorang mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan telah membuat panggilan telefon.
“Terdapat tiga mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan selepas kami mengalihkan konkrit tebal ini, talian telefon mereka akan boleh digunakan,” kata seorang anggota penyelamat selepas menyambung semula kerja mereka.
Pihak berkuasa berkata, angka kematian dijangka meningkat ekoran masih ramai yang hilang.
Sementara itu, aduan mengenai kekurangan khemah semakin meningkat setiap hari dengan mangsa gempa terpaksa berebut untuk mendapatkannya ketika pekerja bantuan mengagihkannya.
Bulan Sabit Merah Turki bergelut untuk mengagihkan bantuan khemah yang tidak mencukupi kepada mangsa yang berdepan dengan cuaca sejuk di waktu malam.
Wilayah itu turut menerima hujan semalam dan dijangka salji akan turun tidak lama lagi.
Perdana Menteri Reccep Tayyip Erdogan yang sebelum ini menyatakan mereka boleh mengendalikan bencana ini meminta bantuan material, termasuk rumah pasang siap, khemah dan kontena daripada 30 negara, semalam. – REUTERS/AFP

Mangsa asid tercicir pelajaran



SHAFIQ AIMAN (kiri) dan Shafiq Haikal masih dirawat di HKL selepas selamat menjalani pembedahan kelapan pada bahagian muka pada 20 Oktober lalu.


KUALA LUMPUR - Ibu kepada dua beradik yang menjadi mangsa simbahan asid dalam kejadian di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran pada 19 Julai lalu melahirkan rasa sedih mengenangkan nasib kedua-dua anaknya yang tercicir dalam pelajaran kerana banyak masa terpaksa dihabiskan di hospital.

Ruhashimah Julaili Mansur, 33, berkata, dia bingung setiap kali mengenangkan nasib kedua-dua anaknya iaitu Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, 10, telah hampir tiga bulan tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa berulang-alik dari Maran untuk menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, setelah dimasukkan ke HKL sejak 20 Julai lalu, kedua-dua anaknya tidak dapat menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

"Pilu hati saya apabila mengenangkan nasib kedua-dua anak saya yang ingin kembali ke sekolah tetapi mereka lebih banyak terlantar di katil hospital," katanya ketika ditemui Kosmo! di HKL semalam.

Malah katanya, nasib dua beradik itu bertambah malang apabila mereka tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak sebaya kerana mengalami kecacatan kekal seumur hidup setelah muka mereka melecur teruk akibat disimbah asid.

"Mereka berdua tidak dapat ke sekolah seperti biasa selama hampir tiga bulan kerana terpaksa menjalani pembedahan bagi merawat kerosakan kulit.

"Lebih sayu apabila mereka ada bertanya sama ada rakan-rakan di sekolah akan menerima mereka atau sebaliknya kerana muka mereka sudah tidak seperti dulu," katanya

Dalam kejadian pada 19 Julai lalu, dua beradik itu mengalami kecederaan parah apabila disimbah cuka getah oleh seorang pekerja ladang yang juga jiran mangsa ketika dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran, Pahang.

Mereka yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka, mata dan badan itu telah menjalani lapan kali pembedahan termasuk tampalan kulit baharu pada muka sejak dirawat di HKL pada Julai lalu.

Ruhashimah memberitahu, kedua-dua anaknya sempat ke sekolah selama tiga minggu selepas menyambut Aidilfitri lalu namun, terpaksa meninggalkan persekolahan buat sementara kerana menjalani pembedahan yang seterusnya.

"Ketika sempat ke sekolah itu, anak saya ada mengadu yang mereka tidak dapat menjawab soalan peperiksaan kerana sudah lama tidak ke sekolah dan kurang faham dengan apa yang diajar oleh guru mereka." ujarnya.

Katanya, walaupun kedua-dua orang anaknya itu ada mengikuti program Sekolah Dalam Hospital (SDH) ketika dirawat di Wad Pediatrik HKL pada bulan Ogos lalu namun ia tidak banyak membantu.

"Mereka hanya sempat mengikuti program tersebut selama dua minggu sebelum dipindahkan dari Wad Pediatrik ke Wad Plastik di Institut Kaji Saraf HKL kerana keadaan mereka alah kepada cuaca panas," katanya.

Sementara itu, Ruhashimah turut merayu bantuan kewangan daripada pihak-pihak tertentu bagi menampung perbelanjaan perubatan kedua-dua anaknya itu.

Menurutnya yang merupakan seorang suri rumah, dia terpaksa menampung kos perjalanan pergi balik, kos pembiayaan perubatan dan kos pembedahan plastik yang menelan belanja yang banyak.

"Saya terpaksa membeli topeng dan sarung badan khas daripada klinik swasta untuk mereka berdua bagi melindungi kulit mereka yang melecur daripada matahari dan jangkitan bakteria.

"Topeng getah yang disediakan pihak HKL tidak cukup selesa dan kulit mereka akan berasa gatal-gatal jika terdedah kepada cuaca panas," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ruhashimah di talian 013-9590706.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Sorok bayi dalam plastik


KUALA LUMPUR – Kemusykilan seorang bapa terhadap anak gadisnya yang didapati berlumuran darah terjawab apabila remaja berkenaan rupa-rupanya telah melahirkan anak sebelum membungkus mayat bayinya itu di dalam plastik di Kampung Sungai Rasau, Sepang kelmarin.

Perkara itu terbongkar selepas bapa gadis berusia 14 tahun tersebut membawa remaja itu ke Hospital Putrajaya untuk dirawat sehari sebelum penemuan tersebut.

Difahamkan, gadis tersebut telah empat kali mengalami keguguran sebelum ini.

Sumber memberitahu, sebaik dirawat, doktor mengesahkan yang suspek telah melahirkan bayi yang tidak cukup bulan dan masih terdapat uri di dalam rahimnya.

Katanya, salah seorang ahli keluarga suspek kemudian terus memaklumkan kejadian itu kepada polis.

“Polis yang pergi ke rumah gadis tersebut pada pukul 6 petang semalam (kelmarin) telah menemui mayat bayi lelaki yang disorok di dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut.

“Mayat bayi itu dibungkus dalam beg plastik kuning. Siasatan awal mendapati bayi itu telah mati sebaik dilahirkan,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, remaja tersebut tinggal di rumah itu bersama ibu bapanya yang merupakan peniaga kedai runcit.

Menurut sumber itu lagi, pihaknya percaya suspek melahirkan bayi itu kurang 24 jam sebelum mayat bayi malang itu ditemui. Keadaan suspek dilaporkan stabil di hospital tersebut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah mengesahkan kes tersebut.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Gadis hilang mati dibunuh



ANGGOTA polis mengangkat mayat Nurul Atikah yang ditemui mati dibunuh di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor semalam.


KOTA TINGGI – Misteri kehilangan seorang gadis sejak petang kelmarin terjawab apabila dia ditemui mati akibat dibunuh di ruang dapur sebuah rumah jirannya di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedeli kira-kira 40 kilometer dari sini semalam.

Mayat Nurul Atikah Samsiah, 15, yang lengkap berbaju T dan berseluar sukan ditemui dengan kesan lebam di seluruh muka dan anggota badan.

Difahamkan, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibawa ke situ berdasarkan terdapat kesan seretan di lantai dapur dan di kawasan sekitar. Rumah itu hanya terletak selang tiga pintu dari kediaman gadis malang tersebut.

Rumah itu sering kosong dan hanya didiami oleh seorang pekerja bujang yang hanya datang untuk memasak.

Datuk mangsa, Muhammad Kasim, 62, berkata, mangsa yang menetap di situ bersama ibu bapanya dikatakan hilang sejak pukul 2 petang kelmarin.

Katanya, mayat mangsa ditemui pukul 6.30 pagi semalam oleh penduduk yang melancarkan operasi mencari sejak kehilangannya dihebahkan.

“Saya terus membuat laporan di Balai Polis Tanjung Sedeli sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat cucu saya oleh ibunya, Rahimah. Ketika itu saya berada di Kampung Sungai Perepat kira-kira 10 kilometer dari Ladang Kambau,” ceritanya yang enggan mengulas lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Abdul Samad Salleh memberitahu, pihaknya telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya menganggap kes itu selesai dengan penahanan pekerja ladang berusia 41 tahun tersebut.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Tragedi Deepavali empat beranak



ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat salah seorang mangsa yang rentung dalam kemalangan di Rembau, Negeri Sembilan semalam.


REMBAU – Sebuah keluarga yang sedang berkabung atas kematian dua ahlinya tidak menyangka akan kehilangan dua lagi ahli keluarga mereka secara serentak selepas terlibat dalam kemalangan ngeri semalam.

Kejadian pukul 8.50 pagi di Kilometer 16, Jalan Seremban-Tampin di sini itu mengakibatkan P. Mugunthan, 42, dan isterinya, K. Jothi, 36, rentung manakala dua anak lelaki mereka, M. Visagaran, 14, dan M. Sreekhantuun, 10, cedera parah.

Difahamkan, keluarga Jothi tidak membuat sebarang persiapan menyambut Deepavali kerana masih berkabung atas kematian bapa saudara dan sepupu mereka akibat sakit beberapa bulan lalu.

Sebelum kejadian, empat beranak itu dalam perjalanan ke Palong, Jempol dari Taman Seremban Jaya, Seremban bagi melawat saudara-mara Mugunthan.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dinaiki empat beranak itu bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan sebelum kereta mangsa terbakar.

Katanya, sebuah kereta jenis Toyota Camry yang berada di belakang kereta mangsa turut melanggar kenderaan empat beranak tersebut selepas gagal menekan brek. Pemandu kereta itu tidak cedera manakala pemandu Proton dikejarkan ke hospital.

“Polis masih menyiasat bagaimana kereta tersebut boleh bertembung hingga mengakibatkan kemalangan ngeri,” kata jurucakap itu lagi.

Tambahnya, dua anak mangsa sempat dibawa keluar oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut tetapi pasangan suami isteri itu tersepit dan gagal ditarik.

Menurut jurucakap itu, dua beranak yang diselamatkan sempat melihat ibu bapa mereka terbakar sebelum kedua-duanya pengsan lalu dibawa ke hospital.

Seramai 14 anggota dan tiga buah jentera bomba dari Senawang, Seremban 2 dan Rembau dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran serta mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah memberitahu pihaknya masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu.

Dalam pada itu, adik Jothi, K. Vishnu, 28, memberitahu, keluarga kakaknya tiba di rumah ibunya di Seremban dari Skudai, Johor sejak Sabtu lalu sempena cuti Deepavali.

Katanya, sepanjang berada di Seremban, empat beranak itu tidak menunjukkan perangai pelik tetapi gembira kerana dapat berjumpa dengan adik-beradik yang lain walaupun masih berkabung.

“Kami jarang berjumpa kerana kakak menetap bersama suaminya di Skudai dan hanya pulang ke Seremban apabila cuti.

“Mereka sekeluarga sebenarnya mahu melawat abang Mugunthan yang tinggal di Palong tetapi hajat mereka tidak kesampaian,” ceritanya sedih.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Minyak keluar dari tanah penduduk di Bosnia





TUZLA, Bosnia - Seorang penduduk, Hajrudin Bilalic menemui minyak mentah yang keluar dari tanah yang didudukinya sejak 10 tahun lalu.

Hajrudin menemui minyak tersebut yang keluar dari tiga sumber di tanah tersebut yang terletak di Dubrave dekat ini, kira-kira 130 kilometer dari Sarajevo.

Persekutuan Muslim-Croat Bosnia akan menandatangani satu perjanjian awal pada bulan depan dengan syarikat cari gali minyak Shell untuk mengeksploitasi potensi minyak dan gas di wilayah tersebut. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

20 bulan buang tatu pada tubuh



PERUBAHAN muka Byron Widner yang menjalani proses rawatan membuat tatu pada muka dan lehernya.


PASADENA, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bekas gengster skinhead di AS, Byron Widner mengalami sakit kepala dan kesakitan lain selepas menjalani pembedahan untuk membuang tatu perkauman pada muka sehingga ke kakinya.

Menyentuh mengenai kesakitan itu, Widner berkata: "Ia merupakan harga yang kecil untuk dibayar bagi menjadi manusia semula."

Dia kini tinggal di sebuah lokasi rahsia bersama isterinya, Julie Larsen, dan anaknya untuk membina kehidupan baharu selepas berkahwin pada 2006.

Widner bergelumang dengan kumpulan gengster selama 16 tahun.

Dia merupakan pengasas bersama sebuah kumpulan perkauman kulit putih skinhead yang beroperasi di Indiana dan Ohio yang dikenali sebagai Kelab Sosial Vinlanders.

Namun, Widner kemudian insaf selepas menyedari dia tidak mahu membesarkan anaknya dalam budaya permusuhan dan keganasan yang melanggar batas undang-undang.

Dia menjalani proses membuang tatu selama 20 bulan dengan bantuan kewangan Pusat Undang-Undang Kemiskinan Selatan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Makmal kelahiran Internet dibuka



GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan para saintis komputer di makmal kelahiran Internet di Universiti California Los Angeles.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Jabatan Komputer Sains, Universiti California Los Angeles (UCLA) dan Sekolah Kejuruteraan dan Sains Gunaan Henry Samueli bekerjasama membina semula makmal kelahiran Internet.

Tempat kelahiran Internet itu adalah di 3420 Dewan Boelter, UCLA.

Makmal itu dikenali sebagai Tapak Warisan Internet dan Arkib Kleinrock (KIHSA).

Mesej Internet pertama itu telah dihantar lebih 40 tahun tahun lalu dari makmal berkenaan dalam projek yang dinamakan ARAPANET melibatkan penghantaran mesej antara dua buah komputer.


RUANG dalam Peranti Pemprosesan Mesej Antara Muka yang disimpan Kleinrock selama 20 tahun di 3420 Dewan Boelter, Universiti California Los Angeles.


Hubungan antara komputer itu dibuat melalui mesin sebesar sebuah almari yang dikenali sebagai Peranti Pemprosesan Mesej Antara Muka (IMP).

Mesin IMP yang pertama itu masih disimpan oleh seorang profesor UCLA, Leonard Kleinrock di 3420 Boelter Hall, UCLA.

Kleinrock memajukan teori matematik mengenai rangkaian paket, teknologi yang menjadi asas Internet yang digunakan dalam penghantaran mesej pertama.

Mesej Internet pertama yang dihantar ialah huruf LO atau daftar masuk kepada Institut Penyelidikan Stanford pada 29 Oktober 1969.

Satu pertemuan semula melibatkan para saintis komputer yang terlibat dalam penghantaran mesej itu akan turut diadakan.

Teknologi ARAPANET berevolusi menjadi rangkaian Internet.

Kini makmal ARAPANET dibuka kepada umum pada Sabtu ini. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'