Pages

Sunday, September 30, 2012

Pertempuran semakin sengit





ALEPPO 29 Sept. - Pertempuran bertambah sengit di kawasan strategik ibu negara komersial, Aleppo pada hari ketiga hari ini, dalam cubaan habis-habisan pemberontak untuk menawan bandar itu, menurut pemantau.
Tumpuan utama serangan adalah Salaheddin, iaitu kubu kuat pemberontak di barat daya Aleppo di mana mereka bertindak menyerang kem tentera, kata Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi.
Di kawasan lain, pasukan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad melepaskan tembakan di kawasan selatan wilayah Daraa sehingga berlaku pertempuran, juga di kawasan Deir Ezzor di timur dan Aleppo sendiri.
Sekurang-kurangnya enam askar terbunuh di Daraa, sementara empat orang awam menjadi korban dan dua pemberontak terbunuh di Deir Ezzor.
Di Maskana, seorang bayi meninggal dunia, manakala ibu dan abangnya cedera akibat ditembak.
Semalam, penduduk kawasan kejiranan Aleppo menggambarkan pertempuran yang berlaku di situ, sebagai paling dahsyat sepanjang tempoh dua bulan dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Di seluruh Syria, sekurang-kurangnya 117 terbunuh semalam, dengan 71 daripadanya adalah orang awam, menurut pertubuhan itu lagi.
Sementara itu di New York, Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton mendedahkan jumlah dana baru bernilai AS$45 juta (RM135 juta) diperlukan bagi bantuan kemanusiaan serta membantu penduduk awam yang menentang kerajaan. - AFP

Omar, tahanan termuda Guantanamo kembali ke Kanada

Omar, tahanan termuda Guantanamo kembali ke Kanada
Wajah Omar Khadr semasa remaja (kiri) dan sekarang.
OTTAWA - Tahanan termuda dari Kanada, Omar Khadr, yang dipenjarakan di Pusat Tahanan Tentera Guantanamo milik Amerika Syarikat (AS), dipindahkan ke penjara negaranya susulan keputusan Mahkamah Agung Kanada memutuskan berlaku pelanggaran haknya.

Omar, 26, yang juga tahanan terakhir dari Kanada akan dipindahkan ke kem tahanan tentera di Trenton, Ontario sebelum dipindahkan ke Millhaven, penjara yang mempunyai kawalan keselamatan yang sangat ketat.

Tribunal Jenayah Tentera AS pada 2010 menjatuhkan hukuman 40 tahun penjara ke atas Omar berhubung kesalahan berkonspirasi dengan al-Qaeda untuk membunuh tentera negara itu.

Pusat tahanan penuh kontroversi itu merupakan tempat soal siasat tentera yang terletak pangkalan tentera laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba.

Menteri Keselamatan Awam Kanada, Vic Toews berkata, Omar ditangkap pada 2002 semasa perang di Afghanistan dan ketika itu baru berusia 15 tahun.

“Kes Omar pernah menjadi kontroversi berikutan pertikaian umurnya dan disebabkan kelemahan pendakwaan inilah yang menyebabkan tempoh tahanan dipendekkan.

"Saya berpuas hati dengan Perkhidmatan Pembetulan Kanada yang menangani hukuman Omar dan mengakui jenayah yang dilakukannya adalah serius dalam memastikan keselamatan warga Kanada dilindungi  semasa dipenjarakan," kata Toews.

Omar didapati bersalah termasuk membunuh pegawai perubatan tentera AS, Christopher Speer dengan bom pada 2002, bersubahat dengan al-Qaeda untuk melakukan perbuatan pengganas, membuat bom tepi jalan yang menyasarkan tentera AS di Afghanistan, mengintip konvoi tentera Amerika dan menyediakan kelengkapan untuk pengganas.

Omar yang kini berusia 26 tahun merupakan orang pertama selepas Perang Dunia Kedua dibicarakan di tribunal itu dan dijatuhi hukuman ketika masih bawah umur dan merupakan tahanan termuda di Guantanamo.

Anak kelahiran Kanada itu telah dibawa ke Afghanistan oleh bapanya, seorang ahli al-Qaeda senior yang melatih sekumpulan remaja  membuat bom dan menembak tentera AS jika memasuki kawasan mereka.

Ketika ditahan, mata sebelahnya telah buta dan belakang badannya terkena dua das tembakan.

"Dia sukar mempercayai bahawa perkara ini benar-benar berlaku.
"Semangatnya kuat dan benar-benar gembira dapat pulang ke pangkuan keluarga," kata John Norris, salah seorang peguam Omar, lapor Canadian Press.

Ratusan penduduk serah senjata api di Libya



BENGHAZI: Ratusan penduduk Libya semalam berkumpul di dataran tengah Benghazi serta di Tripoli bagi menyambut arahan tentera agar menyerahkan senjata api yang dimiliki mereka.

Sesetengah mereka ada yang memandu kenderaan tentera, kereta kebal, kereta perisai, kenderaan anti-pesawat dan ratusan pelancar roket. Arahan itu dibuat Panglima Angkatan Tenetra Libya menerusi stesen televisyen, sejak Ogos lalu.
Keperluan menyerahkan senjata api itu semakin ketara berikutan kejadian terbaru serangan ke atas Kedutaan Amerika Syarikat, di Benghazi baru-baru ini yang mengorbankan duta Amerika di Libya serta tiga wakil kedutaan.

Kerajaan menyeru agar semua anggota militan membubarkan perjuangan mereka atau menyertai pusat arahan bersepadu membabitkan kerjasama tentera dan militan.

Kolonel Omran al-Warfali berkata, berdasarkan jumlah mereka yang tampil menyerahkan senjata adalah amat memberangsangkan.

“Beratus penduduk tiba sejak awal pagi untuk menyerahkan senjata mereka membabitkan lelaki, belia dan wanita, termasuk kanak-kanak yang tampil menyerahkan peluru yang mereka jumpa di jalan raya," katanya.
Sebelum ini, kerajaan Libya menganggarkan lebih 200,000 penduduknya memiliki senjata api.

Bagi menarik kempen penyerahkan senjata itu, kerajaan turut menawarkan pekerjaan kepada penduduk serta membeli senjata mereka. - AFP

Banduan bimbang rahsia kahwin 2 terbongkar

DUBAI: Selepas menjalani hukuman penjara 17 tahun kerana kesalahan membunuh, seorang warga Pakistan semakin risau menjelang pembebasannya.

Ahmad Abdul Rahim, 47, dalam wawacara eksklusif dengan akhbar Gulf News semalam, mengaku kebimbangan rahsianya berkahwin dua terbongkar mengatasi kegembiraan pembebasannya. Dia yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh bersama-sama empat yang lain akan dibebaskan dan diusir ke negara asal mereka minggu ini.


“Sudah tentu saya gembira kerana akan pulang ke tanah air. Saya merindui keluarga saya. Kami sudah berpisah terlalu lama. “Yang menjadi masalah, saya mempunyai dua isteri. Kedua-duanya tidak tahu mereka dimadu. “Saya amat bimbang jika mereka mengetahuinya. Jika rahsia itu terbongkar, kesannya mungkin lebih teruk daripada hukuman penjara 17 tahun yang saya lalui. “Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan mereka lakukan jika rahsia itu terbongkar. Tindakan mereka lebih merunsingkan saya lebih daripada hari saya ditangkap kerana kesalahan membunuh,” katanya. - GN

Bekas paderi Amerika bunuh dua isteri didakwa

Bekas paderi Amerika bunuh dua isteri didakwa
Schirmer (kanan) diiring polis ketika di luar mahkamah.
PENNSYVANIA - Bekas paderi Pennsylvania berhadapan tuduhan membunuh dua isterinya dengan objek tumpul dan bukan disebabkan oleh kemalangan, kata Peguam Cara Mahkamah Lebanon County, David Arnold.
"Sukar mempercayai kedua-dua isterinya mengalami kemalangan kerana dakwaan itu tidak masuk akal,” katanya

Arthur Burton Schirmer, 64, yang sedang dalam perbicaraan tuduhan membunuh isteri keduanya.

Kini, dia berhadapan pula  dengan tuduhan membunuh isteri pertamanya, Jewel Schirmer, 50, selepas juri tidak berpuas hati dengan keterangan yang tidak konsisten.

Namun, peguam bela Schirmer berkata, bekas paderi Gereja Methodist Reeders United di Jackson Township, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) bertegas anak guamnya tidak terlibat dalam dua kes kematian isterinya.

Jewel maut di Pusat Perubatan Hershey selepas dipercayai mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh dari tangga pesawat.

Laporan kematian itu menimbulkan keraguan penyiasat dan keluarga mangsa.

Polis dan pihak pendakwaan terpaksa membuka siasatan terhadap punca kematian isteri keduanya, Betty pada tahun 2008 yang dikatakan mengalami kemalangan di pergunungan Pocono, AS.

Bagi kejadian itu, Schirmer didakwa sengaja membunuh Betty, tetapi beliau melaporkan ianya adalah  kemalangan maut. - Dailymail

Israel kian terdesak sekat nuklear Iran

Baitulmaqdis: Sebahagian penduduk Israel tidak faham mengapa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menyebelahi calon Presiden Republikan, Mitt Romney semata-mata kerana percaya Romney akan lebih tegas terhadap Iran jika menang.

Menjadi pantang larang kepada pemimpin Israel cuba mempengaruhi kempen pilihan raya Amerika Syarikat, sekutu kuat rejim Zionis itu. Dengan Presiden Barack Obama cuma sedikit mendahului dalam tinjauan pendapat, strategi Netanyahu kelihatan berisiko kepada penduduk Israel yang bimbang hubungan baik dengan Amerika akan bermasalah jika Obama menang.
Jika Perdana Menteri kita tidak sependapat dengan pemimpin mereka, ia akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Amerika adalah sekutu kuat Israel dan memang bagus mempunyai kawan yang kuat di belakang anda, kata kerani syarikat sewa kereta di Baitulmaqdis, Shai Hugi, 20.

Netanyahu yang yakin Iran semakin hampir membangunkan senjata nuklear, berkata, Tehran perlu disekat.

Serius guna kekerasan
Mendakwa usaha diplomatik antarabangsa dan sekatan ekonomi gagal, Netanyahu berkata, ancaman kekerasan perlu dipertimbangkan secara serius.

Beliau menggesa Obama mengisytiharkan garisan merah yang akan mencetuskan serangan Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran, bergandingan dengan ancaman serangan Israel terhadap republik Islam itu.

Obama menolak semua desakan itu dan berkata, usaha diplomasi serta sekatan diketuai Amerika mesti diberi lebih masa, manakala Iran tidak akan dibenarkan memiliki senjata nuklear.

Pada masa sama, pegawai Amerika menekan Israel supaya tidak melancarkan serangan sehala, tindakan yang boleh mencetuskan keganasan di rantau itu menjelang pilihan raya presiden November ini.

Netanyahu bagaimanapun tidak berganjak daripada pendiriannya. Dalam mesej kepada Rumah Putih, baru-baru ini, beliau berkata: Masyarakat antarabangsa yang enggan meletakkan garisan merah kepada Iran tidak mempunyai hak moral untuk memberi lampu merah pada Israel.

Pemimpin Israel bergantung kepada sokongan Amerika selama berdekad lamanya tetapi hubungan Netanyahu dengan Obama agak goyah, berikutan perbezaan pendapat berhubung Iran.

Israel sokong Republikan

Perjanjian itu disertai dengan persahabatan sekian lama dengan Romney, mencipta persepsi pemimpin Israel itu menyokong Republikan.

Sama ada ia benar atau tidak beliau menyebelahi mana-mana pihak, saya tidak tahu. Namun, corak tindakannya menunjukkan persepsi itu berasas, kata bekas diplomat Israel di New York, Alon Pinkas.

Pakar hubungan Amerika dan Israel di Universiti Bar-Ilan, Eytan Gilbao, berkata Obama jika terpilih semula mungkin bertindak balas terhadap penduduk Israel dengan menekan Netanyahu membuat tolak ansur baru kepada pemimpin Palestin bagi mengatasi kebuntuan yang dilihat sebagai kegagalan utama pentadbiran Amerika.

Pada temu bual dalam televisyen Amerika minggu ini, pemimpin Israel itu menafikan campur tangannya dalam kempen pemilihan semula Obama dan berkata beliau menghargai kepentingan sokongan Washington.
AP