Pages

Thursday, November 10, 2011

10 Perkara membina Akhlak Mulia


by peribadirasulullah

http://www.arabw-pearl.com/vb/temp2/11932_1277410090.gif

Ali R.A. telah berkata " Akhlak mulia terdapat pada 10 perkara :

1- Memiliki akal yang sempurna.

2- Taat dalam menjalankan ajaran Allah SWT.

3- Memiliki Ilmu.

4- Memiliki sifat himi ( santun ).

5- Memiliki sifat pemurah.

6- Memiliki manfaat.

7- Suka berbuat baik.

8- Bersikap sabar.

9- Banyak bersyukur kepada Allah SWT.

10- Lemah lembut dalam tindak tanduknya. "

Kitab Mutiara Kebijaksanaan Dalam Islam. M/S : 199.

Patung sihir pesaing

KESAL...Ahmad menunjukkan patung sihir yang ditemui di tepi pintu masuk kedainya.
KESAL...Ahmad menunjukkan patung sihir yang ditemui di tepi pintu masuk kedainya.

JOHOR BAHRU: Dengan matlamat mahu menewaskan saingan dalam perniagaan, ada usahawan bertaraf VIP menggadai akidah apabila menggunakan ilmu sihir ‘bersenjatakan’ patung diperbuat daripada tanah kubur yang dibeli daripada bomoh dengan harga RM1,000 hingga RM2,000.
Patung sihir yang dikafan dan diikat dengan benang itu dikatakan mempunyai kuasa untuk ‘menghilangkan’ sesebuah premis daripada pandangan orang ramai jika objek terbabit diletak atau ditanam di dalam kawasan premis.
Taktik kotor dalam perniagaan itu didedahkan seorang usahawan yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk Ahmad, 55, selepas dia menjadi mangsa pesaingnya yang menggunakan patung sihir terbabit.

Ahmad yang terbabit perniagaan herba sejak 20 tahun lalu berkata, dia tidak menyangka pesaingnya yang turut bergelar Datuk bertindak sejauh itu hanya kerana ingin menjatuhkan perniagaannya.


“Segala-galanya bermula apabila saya mahu mengembangkan perniagaan dengan menyewa sebuah premis di bandar raya ini sejak sebulan lalu.

“Pada jam 4.30 petang kelmarin, seorang rakan usahawan bergelar Datuk menghubungi saya dan memberitahu ada kejutan menanti saya di depan pintu kedai sebelum dia memutuskan panggilan secara tiba-tiba,” katanya.

Leher hampir putus


NGERI...keadaan mangsa yang perutnya terburai manakala lehernya hampir putus. Foto: Hazreen Mohamad
NGERI...keadaan mangsa yang perutnya terburai manakala lehernya hampir putus. Foto: Hazreen Mohamad
SUNGAI BULOH: Mayat seorang lelaki berusia 20-an ditemui dalam keadaan isi perut terburai manakala lehernya hampir putus akibat ditetak kira-kira jam 9.40 malam oleh orang awam di Tanah Perkuburan Cina Sungai Buloh, di sini, semalam. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen ditemui pada mangsa yang masih lengkap berpakaian namun berdasarkan keadaan fizikalnya, dipercayai adalah warga Indonesia. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kemungkinan mangsa adalah pekerja di kebun berhampiran tempat kejadian. ''Sehingga ini, polis masih menyiasat motif dan tiada senjata ditemui di tempat kejadian. 'Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di kawasan berkenaan,” katanya. Menurutnya, mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat, hari ini. Beliau menggesa kepada sesiapa yang menyaksikan kejadian dan mempunyai maklumat agar tampil untuk membantu siasatan. Selain itu, beliau meminta orang awam yang kehilangan ahli keluarga agar datang membuat pengecaman terhadap mayat berkenaan.

Wanita didenda RM7,000 guna ATM rakan

 KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah yang sarat mengandung tujuh bulan dikenakan hukuman denda RM7,000 terhadap tuduhan mengeluarkan wang RM1,090 menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik rakannya, Oktober lalu.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu di Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas Nor Shafarilla Ahmad Tahir, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Nor Shafarilla yang berada dalam kandang tertuduh hanya menundukkan wajahnya ketika mendengar keputusan mahkamah itu.

Mengikut pertuduhan, Nor Shafarilla didakwa menggunakan kad ATM milik Nurul Haireena Isnin, 27, dengan mengeluarkan wang berjumlah RM300 di Mesin ATM Maybank, Stesen Minyak Caltex, Jalan Kuching, Sentul di sini pada jam 12.35 tengah hari, 1 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa menggunakan kad ATM sama dengan mengeluarkan wang berjumlah RM500 di Mesin ATM Alliance Bank, Jalan Genting Klang, Sentul di sini pada jam 9.55 malam, 28 Oktober lalu.

Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama dengan mengeluarkan wang berjumlah RM40 di mesin ATM, Bank CIMB, Menara Sentul di sini pada jam 7.37 petang, 25 Oktober lalu.

Selain itu Nor Shafarilla turut didakwa mengeluarkan wang berjumlah RM250 dengan menggunakan kad ATM milik Haireen di mesin ATM Maybank, Stesen Minyak Petronas Jelatek 2, Sentul di sini pada jam 2.37 petang, 20 Oktober lalu.

Bagi semua kesalahan itu, dia yang berasal dari Bandar Tun Razak, Cheras didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM150,000 atau boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pisau daging tikam sepupu

TAWAU: Berang kerana mengesyaki isteri tersayang menjalinkan hubungan sulit dengan sepupunya, seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging untuk menikam dada sepupunya yang sedang tidur di rumahnya di Kampung Hidayat, Batu 4 di sini, kelmarin.
Mangsa yang berusia 30 tahun dikatakan menumpang di rumah lelaki terbabit sejak beberapa bulan lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, kejadian disedari isteri suspek berusia 34 tahun dan jiran selepas terdengar suara mangsa mengerang dan meronta kesakitan.

Sebaik masuk ke bilik tidur, mereka terkejut apabila mendapati mangsa berlumuran darah dan pada masa sama melihat suspek melarikan diri sebelum ditahan penduduk yang kemudian menghubungi polis.

Mangsa yang berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Tawau oleh jiran dan disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 1.25 tengah hari. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditahan jiran mangsa sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. 

“Polis turut merampas pisau pemotong daging dipercayai senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, semalam. Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan isteri dikatakan menumpang di rumah suspek yang juga sepupunya sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, punca kejadian dipercayai ada kaitan dengan rasa cemburu suspek terhadap mangsa yang kononnya menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya.

Ibrahim berkata, suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis, manakala isterinya dipercayai melarikan diri kerana dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tayar meletup langgar besi tengah jalan


SEREMBAN: “Tayar meletup apabila terlanggar besi di tengah jalan menyebabkan kereta hilang kawalan sebelum merempuh penghadang tepi lebuh raya lalu terbalik,” kata pemandu kereta yang nyaris maut bersama isteri dan dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 247.4 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di sini, kelmarin.
Almalix Kosni, 34, berkata, sebaik keretanya terbalik, tiada apa terlintas di fikiran selain menyelamatkan dua anak kecil dan isterinya yang berada di tempat duduk belakang.

“Nasib baik ada pengguna jalan raya yang prihatin terus memecahkan cermin depan kereta untuk mengeluarkan saya bersama dua anak serta isteri.

“Walaupun patah bahu kanan, saya bersyukur kerana isteri, Nura Azfa Mohd Mokhtar, 34, dua anak perempuan, Adra Nur Iman, lapan bulan dan Arisha Daleela, 4, tidak cedera,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam, empat sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Nilai selepas berhari raya di kampung halaman Almalix di Muar, Johor.

Menceritakan kejadian itu, Almalix berkata, dia yang dalam perjalanan ke Nilai tidak sempat mengelak besi di tengah jalan itu lalu melanggarnya sebelum kereta hilang kawalan.

“Kereta terus meluru ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang kiri lebuh raya. Syukur kerana saya sekeluarga terselamat dalam kejadian ini.

“Anak perempuan saya, Arisha Daleela terselamat kerana duduk di kerusi khas kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, K Nathan, 28, berkata, kereta BMW dinaiki mangsa berada di lorong kanan lebuh raya tiba-tiba hilang kawalan.

“Kereta itu kemudian berpusing beberapa kali sebelum terbalik. Pemandu dan penumpang tidak dapat keluar kerana keretanya rosak teruk.

“Saya bersama beberapa pengguna jalan raya lain terus berhenti dan memecahkan cermin depan kereta untuk mengeluarkan semua mangsa,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu kereta itu dipercayai mengalami kecederaan di bahu kanan manakala isteri dan dua anak kecil mereka tidak cedera.

Katanya, kejadian itu berlaku betul-betul di depan matanya dan kereta dinaiki empat sekeluarga itu rosak teruk dengan dua tayar tercabut.

“Cermin kereta Perodua Alza saya yang baru dibeli beberapa hari lalu turut retak dipercayai terkena sesuatu objek melayang dalam kejadian itu.

“Pengalaman ini kali pertama berlaku di depan mata yang pasti sukar dilupakan sampai bila-bila,” katanya

Pakar rompak mesin ATM

 KUALA LUMPUR : Pakar merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Itu gelaran buat sekumpulan enam lelaki yang melarikan ATM seberat lebih 200 kilogram mengandungi wang bernilai RM316,000 di cawangan sebuah bank tempatan di Taman Midah, Cheras, di sini, awal pagi kelmarin selepas meleraikan mesin itu dari tempat asalnya.
Ini kerana kumpulan sama dipercayai terbabit dalam satu lagi kes sama di hadapan sebuah pasar raya di Ampang, setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, berdasarkan siasatan, kumpulan itu mempunyai kepakaran tinggi dalam kegiatan memecah dan meleraikan mesin ATM dan kumpulan itu melakukannya secara terancang dalam tempoh tidak lebih lima minit.

Katanya, berdasar rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kumpulan itu memasuki premis bank secara teratur dan seorang daripada mereka dikesan menolak kamera berkenaan ke atas sebelum empat lelaki lain ditugaskan menarik dan menaikkan mesin itu ke atas kenderaan dipercayai lori atau kenderaan pacuan empat roda.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan rakaman lain, mereka mendapati enam suspek itu hanya menggunakan topi bola lisut dan selendang untuk menutup muka mereka.

“Kemampuan mereka untuk menarik mesin yang berat dan mengangkutnya ke atas kenderaan lain dalam tempoh singkat itu membuktikan mereka adalah pakar dalam bidang ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Polis Kuala Lumpur di sini , semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati enam suspek warga tempatan dan masih berada di sekitar Lembah Klang.

Penumpang bawa pistol larikan teksi

 KAJANG: Seorang pemandu teksi berdepan maut apabila diacukan pistol oleh seorang lelaki yang menumpang teksinya dalam kejadian di Bandar Tun Hussein Onn, di sini, 4 November lalu.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa mengambil seorang lelaki di sebuah stesen bas di Bandar Klang sebelum diminta menghantarnya di Bandar Tun Hussien Onn kira-kira jam 6 pagi.

Sebaik tiba di destinasi pada jam 7 pagi, suspek meminta mangsa berhenti dan meminjamkan teksi berkenaan kepadanya.

“Mangsa bagaimanapun enggan menyerahkan teksinya.

“Suspek yang berang kerana mangsa enggan menyerahkan teksinya bertindak di luar jangkaan apabila mengacukan pistol ke arah mangsa,” katanya. Beliau berkata, mangsa berjaya merampas pistol berkenaan dan membuangnya.

Suspek yang berang keluar dari teksi bagi mendapatkan semula pistol itu sebelum mengacukan semula kepada mangsa dan meminta mangsa menyerahkan teksinya.

“Sebaik mendapat teksi berkenaan, suspek meninggalkan mangsa di tempat kejadian sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Sumber berkata, sejurus kejadian, mangsa mendapatkan pertolongan orang ramai yang melalui kawasan itu dan membawanya membuat laporan polis.

“Hasil maklumat yang diperoleh daripada mangsa, polis kemudian menemui semula teksi mangsa ditinggalkan di tepi jalan di Taman Tanming Jaya, Balakong, Ahad lalu,” katanya.

Nasib baik mangsa ingat plat

 KAJANG: Dua lelaki yang menyamun seorang mekanik ditahan di sebuah hotel bajet di Batu 9, Cheras, di sini hanya beberapa jam selepas kejadian itu, pagi semalam.
Polis mengesan suspek di hotel berkenaan pada jam 4 pagi sebaik menerima laporan mangsa yang berusia 20 tahun.

Suspek menyamun mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 9, di sini, pada jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata sebaik ditahan, suspek mengacukan parang ke arah mangsa sebelum mengarahkannya menunggang motosikal ke taman permainan satu kilometer dari tempat dia ditahan.

“Bimbang dicederakan, mangsa menurut arahan suspek yang kemudian mengarahkannya berhenti di kawasan gelap dan memaksa mangsa menyerahkan barangan berharga dan wang tunai,” katanya.


Katanya, mangsa yang ketakutan menyerahkan RM100 dan telefon bimbit sebelum suspek melarikan diri ke arah jalan besar dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian.

Nasib menyebelahi mangsa, apabila dia mengingati nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu 9, Cheras, selepas kejadian.

Ab Rashid berkata, bertindak atas maklumat mangsa, sepasukan polis menjalankan gerakan mencari dan mengesan motosikal suspek di kawasan pekan Batu 9.

Ketika melakukan gerakan mencari, polis terserempak motosikal suspek diletakkan di luar sebuah hotel murah di pekan Batu 9 sebelum masuk ke premis berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil maklumat daripada pihak hotel mengesahkan motosikal di luar premis berkenaan milik pelanggan hotel itu yang baru mendaftar masuk untuk menginap. “Dengan bantuan pihak hotel yang menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu, polis menyerbu bilik berkenaan dan menahan suspek, tetapi seorang daripada mereka melarikan diri melalui tingkap bilik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang melarikan diri cuba menyembunyikan diri di sebalik papan tanda hotel berkenaan sebelum dia diminta menyerahkan diri kerana kawasan hotel berkenaan dikepung.

“Suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kerana samun berkawan menggunakan senjata,” katanya.

Usung awek guna motosikal curi


PERIKSA...Azmi  memeriksa lesen lelaki terbabit sambil disaksikan kekasihnya.
PERIKSA...Azmi memeriksa lesen lelaki terbabit sambil disaksikan kekasihnya.

KUALA LUMPUR: Niat seorang lelaki untuk bersiar-siar bersama-sama kekasihnya dengan menunggang motosikal curi tidak terlaksana apabila dia dicekup malam kelmarin di Dataran Merdeka di sini.
Difahamkan, dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, lelaki berusia 25 tahun berkenaan bersama kekasihnya berusia 22 tahun ditahan di kawasan berkenaan ketika pasukan Unit Kuatkuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan Ops Samseng Jalan Raya di kawasan itu.

Ketua Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata pasangan itu berada dalam keadaan mencurigakan ketika anggota polis mendekati mereka dan pemeriksaan awal ke atas motosikal Kawasaki RR 150 berwarna merah ditunggangi lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan milik seorang juruteknik makmal dan dilaporkan hilang di kawasan Batu 9, Cheras Jun lalu.

“Selepas disoal siasat, suspek mengaku motosikal berkenaan bukan miliknya dan dicuri di kawasan Sri Hartamas serta digunakan untuk kegunaan sendiri,” katanya, di sini.

Menurutnya, motosikal yang dicuri itu disita sebelum pasangan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk diambil keterangan sebelum mereka ditahan di Balai Polis Kajang untuk siasatan lanjut.

Iran tak akan berganjak

 TEHERAN: Iran berikrar tidak akan “berganjak walau satu zarah pun” daripada usaha membangunkan tenaga nuklear walaupun laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terbaru ini, menguatkan lagi syak wasangka mereka yang Iran sedang membina senjata nuklear.
Iran turut memberi amaran Israel akan menghadapi kemusnahan sekiranya ia diserang.
Iran mengeluarkan kenyataan tersebut apabila Amerika Syarikat dan sekutunya mahu menguatkan lagi sekatan ekonomi terhadap Iran.

China pula meminta negara Republik Islam itu memberi kerjasama kepada Agensi Tenaga Atom Antaranbangsa PBB.


Laporan IAEA semalam berkata, ada bukti “yang boleh dipercayai” mengatakan Iran sedang membangunkan bom nuklear yang boleh dilancarkan peluru berpandu jarak sederhana, Shahab-3.

Pegawai Iran menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan laporan itu tidak “berasas” dan “bermotifkan politik” dan hanya berlandaskan perisikan yang didalangi oleh musuhnya, Amerika Syarikat.

Presiden Mahmoud Ahmadinejad dalam ucapannya yang disiarkan televisyen, berkata, “Kami tidak akan berganjak satu zarah pun daripada jalan yang telah kita pilih ini.”

Katanya, program nuklear Iran adalah eksklusif untuk rakyat dan bersifat aman.

“Kami tidak perlukan bom atom,” katanya.

Timbalan Ketua Ketenteraan Brigadier Jeneral Masoud Jazayeri turut memberi amaran akan bertindak balas sekiranya tapak nuklear Iran diserang Israel. - AFP 

Iran dituduh cuba hasil bom atom

 VIENNA: Iran telah cuba menghasilkan bom atom dan kemungkinan negara itu masih menjalankan penyelidikan rahsia mengenainya, kata agensi pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam laporan yang dijangka akan meningkatkan lagi ketegangan di Timur Tengah.
Memetik sumber daripada negara dan sumber lain yang “boleh dipercayai”, agensi itu menyenaraikan beberapa aktiviti yang berkaitan dengan senjata nuklear, seperti ujian letupan dan mencipta picu bom atom.
Laporan itu sekali gus mendedahkan perbezaan pendapat kuasa besar mengenai cara terbaik menangani krisis nuklear Iran.

Amerika Syarikat mahukan sekatan yang lebih keras lagi terhadap Teheran tetapi Rusia berpendapat laporan itu akan menyukarkan peluang untuk diplomasi.


Media Israel pula membuat spekulasi yang Israel mungkin menyerang tapak nuklear negara musuh itu.

Tetapi, Menteri Pertahanannya, Ehud Barak berkata semalam, tiada keputusan mengenai operasi ketenteraan telah dibuat.

Iran menafikan mereka mahukan senjata nuklear dan mengutuk laporan yang dibuat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang beribu pejabat di Vienna itu sebagai “tidak seimbang dan bermotifkan politik.”

Duta Iran di agensi itu, Ali Asghar Soltanieh berkata, Ketua “IAEA Yukiya Amano itu memainkan permainan bahaya.”

Laporan itu mengatakan ada bukti bahawa ada usaha untuk mendapatkan keupayaan membina bom atom.

Menurut laporan itu lagi, sebahagian kerja pembangunan yang dilakukan oleh Iran mempunyai aplikasi untuk kegunaan orang ramai dan ketenteraan tetapi “yang lain adalah tertumpu untuk membina senjata nuklear.” - Reuters.

Kembar porno popular di AS


JAKARTA: Sejak berita mengenai dua bintang filem porno popular di Amerika Syarikat, Jade dan Nyomi Marcela berasal dari Tegal, Jawa Tengah, ia menimbulkan perbincangan hangat pro dan kontra di antara artis seksi di Indonesia.
Malah, Datuk Bandar Tegal, Ikmal Jaya kesal dan mengecam dua beradik kembar yang telah membintangi ratusan filem seks.
Artis seksi, Nikita Mirzani berpendapat, keputusan dua saudara kembar untuk menjadi bintang porno di Amerika, adalah keputusan peribadi dan hak mereka sendiri.

“Bagi mereka, itu mungkin keputusan yang terbaik. Di luar negara setiap pekerjaan itu memang dihargai,” kata Nikita kepada Pos Kota. semalam.


“Tahniah kerana mereka berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Ini mungkin kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan wanita tempatan di sana (Amerika),” katanya.

Julia Perez atau lebih dikenali sebagai Jupe berpendapat dia tidak mempunyai hak unutk menilai peribadi Jade dan Nyomi yang sekarang dikenali sebagai artis porno di negara ‘Uncle Sam’ itu.

“Saya tak ada hak untuk menilai. Sekiranya itu pilihan mereka, mahu kata apa lagi?” katanya.

Jupe yang sering tampil seksi di dunia perfileman tempatan menambah, kedua Jade dan Nyomi Marcela membuat keputusan sendiri dan tiada siapa yang boleh menghalang.

“Sekiranya mereka merasakan keputusan itu tidak merugikan diri mereka sendiri maka orang lain tidak ada hak untuk mencampuri urusan peribadi mereka,” kata Jupe. - Pos Kota

Lelaki lebih mudah tertipu di internet

LONDON: Menurut keputusan satu kaji selidik terhadap lebih 1,500 pengguna internet di United Kingdom dan Amerika Syarikat, lelaki lebih mudah tertipu di rangkaian laman sosial berbanding wanita.
Ia bukan saja disebabkan oleh wanita yang semula jadinya lebih berhati-hati ketika mendedahkan maklumat peribadi - ia sebenarnya merujuk kepada faktor seks. Kajian yang dianjurkan syarikat perisian anti-virus Bitdefender, berkata, lelaki mudah tertarik terhadap wanita tidak dikenali yang ingin menjadi rakan mereka di laman seperti Facebook.

Apabila mereka sudah memberikan maklumat peribadi, mereka boleh menjadi sasaran dalam jenayah siber.

Tinjauan dilakukan terhadap 1,649 lelaki dan wanita di United Kingdom dan AS, mendedahkan lelaki lebih mudah menerima pelawaan menjadi rakan daripada orang tidak dikenali; mendedahkan lokasi mereka; tidak menghiraukan susun atur peribadi; membiarkan akaun mereka terdedah untuk dilihat orang lain dan gagal membaca polisi laman web.

Padah melaram dengan kereta curi


KEEGAN bergaya di depan sebuah daripada kereta yang dicurinya.
KEEGAN bergaya di depan sebuah daripada kereta yang dicurinya.

GAMBAR Wilhelm bersama kenderaan seorang mangsa yang dicurinya menjerat diri sendiri.
GAMBAR Wilhelm bersama kenderaan seorang
 mangsa yang dicurinya menjerat diri sendiri.

LONDON: Dua pencuri dipenjarakan selepas memuat naik gambar mereka dalam Facebook bersama kereta yang dikebas.
Damon Keegan, 20, dan Aaron Wilhelm, 18, melakukan beberapa kecurian dengan mensasarkan kenderaan mewah di bandar raya Manchester.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar apabila gambar yang menjadi bukti jenayah dilakukan mereka dan maklumat yang mengaitkan mereka dengan kecurian itu ditemui polis.

Pasangan itu ditahan Krismas tahun lalu selepas dikaitkan dengan tapak kaki yang ditinggalkan di permukaan bersalji dalam satu kejadian pecah rumah.

Namun ketika diikat jamin, mereka masih melakukan jenayah, mengambil gambar kereta yang dicuri oleh mereka.

Polis mendapat maklumat selepas mangsa kecurian menunjukkan mereka mengenai laman Facebook Wilhelm.

Wilhelm mengubah gambar profil dirinya dengan imej menunjukkan dia bergaya di hadapan kereta mangsa yang dicuri.

Daripada imej yang ditemui polis daripada telefon bimbit dan Facebook menyebabkan mereka turut dikaitkan dengan kehilangan kereta di beberapa kediaman di kawasan berkenaan antara Februari dan Mei tahun lalu.

Kenderaan itu termasuk Mercedes, tiga kenderaan iaitu Audi, sebuah Volkswagen Scirocco dan Renault Clio dengan jumlah 200,000 pound (RM1 juta).

Maklumat yang dihantar kepada Keegan di Facebook menunjukkan dia mencuri kereta untuk dijual semula.

Keegan dan Wilhelm yang tidak mempunyai alamat tetap mengakui melakukan lapan perbuatan jenayah termasuk tiga pecah rumah, tiga dakwaan menjual barang curi dan dua kes curi.

Keegan yang sebelum ini disabitkan dengan sembilan kesalahan lampau dihantar ke institusi pemulihan belia selama 50 bulan, manakala Wilhelm yang disabitkan dengan 10 kesalahan sebelum ini akan dipenjarakan selama 40 bulan.

Timbalan Komisioner polis, Paul Jackson berkata: “Keegan dan Wilhelm menyusahkan ramai orang dan melakukan banyak insiden pecah rumah dan mencuri kereta dalam tempoh singkat yang berjumlah RM1 juta.

“Mereka percaya mereka boleh lari dengan jenayah yang dilakukan dan begitu sombong untuk memuat naik gambar mereka bergaya dengan kenderaan curi di Facebook.

Bagaimanapun, sebenarnya mereka hanya menunggu masa ditangkap dan diadili,” katanya.

Bak kut teh halal diragui



Oleh Siti Haliza Yusop

2011/11/10

YUSMARIATI menunjukkan mi bak kut teh dengan logo halal yang dibelinya di sebuah pasar raya di Damansara Damai, Pataling Jaya.
YUSMARIATI menunjukkan mi bak kut teh dengan logo halal yang dibelinya di sebuah pasar raya di Damansara Damai, Pataling Jaya.
Pengurus syarikat pengeluar dakwa produk disahkan tiada babi

PETALING JAYA: Seorang pengguna yang mengunjungi sebuah pasar raya di Damansara Damai di sini, terkejut apabila mendapati Mi Segera Sayuran ‘bak kut teh’, yang sering dikaitkan dengan penggunaan babi sebagai salah satu ramuan, dijual secara terbuka, dua minggu lalu. 

Tambah mengelirukan pengguna terbabit, Yusmariati Yusof, 32, mi segera jenama A1 yang dikilang sebuah syarikat dari Johor itu bukan saja dipamerkan bersama produk halal lain oleh pengurusan pasar raya berkenaan, malah turut mempunyai tanda halal dikeluarkan Islamic Food Research Centre Asia (IFRCA)
“Saya kesal dengan tindakan pengurusan pasar raya berkenaan yang dilihat tidak sensitif dengan isu ini sedangkan umum mengetahui ‘bak kut teh’ sinonim dengan babi.
“Bagaimana makanan dengan ramuan haram dimakan umat Islam boleh mendapat sijil halal serta dijual secara terbuka tanpa sebarang pemberitahuan kepada pengguna,” katanya ketika ditemui Sentral di sini. 

Kesal dengan kejadian berlaku, Yusmariati kembali semula ke pasar raya itu keesokannya untuk membeli mi segera berkenaan sebagai bukti tetapi mendapati ia tidak lagi dipamerkan diatas rak, sebaliknya disimpan di dalam stor oleh pengurusan pasar raya. 

“Pengurusan pasar raya itu berkeras tidak mahu menjual produk berkenaan tetapi apabila saya berkeras, mereka akhirnya bersetuju, itu pun pembelian dilakukan tanpa resit, tanda harga serta plastik yang tertera nama pasar raya itu,” katanya. 

Tinjauan Sentral mendapati, stok mi segera sayuran bak kut teh itu, kini tidak lagi dijual di pasar raya dimaksudkan. 
Pengurus A K Koh Enterprise Sdn Bhd, (A K Koh) Law Teng How ketika dihubungi mendakwa produk mi segera sayuran bak kut teh yang dikilangkan syarikat itu, tidak mempunyai ramuan babi seperti dikatakan pengguna. 

“Kami sedia maklum dengan kekeliruan yang timbul disebabkan nama produk ini tetapi ingin saya jelaskan, mi segera sayuran bak kut teh keluaran A K Koh tidak mengandungi babi, sebaliknya hanya resipi sup herba daging. 

“bak kut teh sebenarnya membawa maksud sup daging tulang, dan boleh dimakan sama ada dengan daging lembu atau kambing dan tidak semestinya babi seperti disangkakan kebanyakan pengguna. 

“Produk kami disahkan tidak mengandungi ramuan terlarang, termasuk babi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan A K Koh sendiri kini dalam proses memohon sijil halal daripada badan itu sejak Julai lalu. 

“Kami juga dalam proses menukar nama serta pembungkusan bagi produk ini kerana menurut JAKIM ia menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna, terutama sekali umat Islam,” katanya. 

Sementara itu, wakil JAKIM ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan memberi maklum balas segera berhubung produk keluaran A K Koh itu. 

Hubungan sejenis bawa murtad: Mufti

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
2011/11/10
 PEKAN: Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman, berkata sebarang kegiatan songsang yang bercanggah dengan agama Islam terutama membabitkan hubungan sejenis boleh menjurus seseorang Muslim itu kepada murtad.

Katanya, hubungan sejenis atau songsang ditegah dalam Islam kerana ia membawa kepada pupusnya manusia sejagat.
Beliau berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh serta terbabit dengan aktiviti tidak sihat atau program songsang yang dianjurkan pihak tertentu di negara ini.
Katanya, titah terbabit disampaikan baginda dalam satu majlis di negeri ini baru-baru ini bertujuan sebagai peringatan.

“Oleh itu, sebagai mufti menjadi tugas saya memberi nasihat kepada rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan aktiviti songsang serta dilarang agama sebaliknya banyakkan beribadah serta mengimarahkan masjid.

“Saya juga bimbang jika tidak diberi nasihat, umat Islam akan terus hanyut melakukan perkara atau aktiviti yang merosakkan akidah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Rahman mengulas penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang dikecam dan mendapat bantahan meluas pelbagai pihak termasuk wakil agama di dalam negara.
Katanya, umat Islam negeri ini yang terbabit dengan program seumpama itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 iaitu tidak mematuhi arahan pihak berkuasa agama yang boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

“Saya menyeru umat Islam supaya tidak turut serta dan membantah program seumpama itu kerana sebagai orang Islam kita mengetahui sesuatu perkara mungkar akan tetap mungkar, ” katanya.

Abdul Rahman juga menolak tanggapan pihak tertentu yang mendakwa kenyataan dikeluarkan mufti berhubung isu Seksualiti Merdeka bermotifkan politik sebaliknya apa yang diluahkannya atas sebab menjaga kesucian agama.

Selain itu, katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi memastikan anak mereka tidak terbabit dengan program yang memperjuangkan sesuatu yang bertentangan dengan agama.

Mengenai penganjuran konsert artis antarabangsa Elton John pada 22 November ini, beliau menasihatkan umat Islam untuk tidak menyertainya.

“Saya bimbang konsert itu akan memberi kesan negatif kepada masyarakat khususnya remaja," katanya. 

Indonesia digesa percepat siasat kes Adrian





2011/11/10

MAYAT Adrian  dibawa dengan pesawat penerbangan Malaysia, MH870  dari Surabaya tiba di Advance Cargo Centre, MASKargo, di Sepang kira-kira jam 2.30 petang, semalam.
MAYAT Adrian dibawa dengan pesawat penerbangan Malaysia, MH870 dari Surabaya tiba di Advance Cargo Centre, MASKargo, di Sepang kira-kira jam 2.30 petang, semalam.
KLANG: Kementerian Luar mendesak pihak berkuasa Indonesia mempercepatkan siasatan berhubung kes pembunuhan pelajar perubatan Universiti Brawijaya, Malang, Adrian Jay Pereira, 22, pada Isnin lalu agar suspek didakwa di mahkamah. 

Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata pihaknya menganggap pembunuhan pelajar perubatan tahun tiga itu terlalu kejam tetapi menjelaskan keadaan keselamatan pelajar negara di Indonesia masih terkawal.
Katanya, kes pembunuhan membabitkan pelajar negara yang menuntut di Indonesia adalah yang pertama kali berlaku.
“Memang ada laporan seperti kemalangan atau jenayah curi berlaku namun masih dalam kawalan. Justeru, keluarga penuntut lain tidak perlu bimbang dengan keadaan keselamatan di Indonesia. 

“Apapun, saya akan menghubungi rakan sejawatan di sana untuk mendesak pihak berkuasa Indonesia mengambil perkara ini secara serius dengan melakukan siasatan segera,” katanya ketika menziarahi keluarga mendiang Adrian di rumah mereka di Taman Klang Jaya, di sini, semalam. 

Hadir sama, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah; Naib Ketua UMNO bahagian Kota Raja, Abdul Raof Mokhtar dan saudara-mara, jiran serta rakan rapat mendiang. 

Tinjauan mendapati suasana di rumah keluarga mangsa hening dan tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai yang mengucapkan takziah kepada keluarga terutama ibunya, Mary Catherine De Cruz, 52, dan dua adik perempuan mangsa iaitu Felicity Janet Pereira, 19, dan Alma Jacelyn Pereira, 16. 
Difahamkan, mendiang dijangka di tanah perkuburan Kristian berdekatan Bulatan Simpang Lima, di sini, Jumaat ini. 

Terdahulu di Sepang, jenazah Adrian selamat tiba di Advanced Cargo Centre (ACC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menerusi pesawat MH 870 kira-kira jam 2.30 petang semalam dari Surabaya, Indonesia dan disambut ahli keluarga. 

Kurang 5 minit larikan ATM



0leh Nor Fazlina Abdul Rahim

2011/11/10

Geng Oxy disyaki terbabit samun

KUALA LUMPUR: Enam penjenayah dipercayai Geng Oxy yang melarikan mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Taman Midah, Cheras di sini, kelmarin hanya mengambil masa kurang lima minit. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata berdasarkan modus operandi yang dilakukan kumpulan penjenayah itu mendapati mereka mempunyai kepakaran dalam rompakan bank.
Malah, Ku tidak menolak kemungkinan rompakan membabitkan mesin ATM di sebuah pasar raya di Ampang tahun lalu turut didalangi kumpulan sama.
“Kumpulan yang didalangi enam individu ini memang pakar kerana hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk melarikan mesin ATM, malah perancangan rapi juga dibuat sebelum bertindak nekad merompak mesin ATM itu. 

“Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) di bank terbabit, kumpulan penjenayah itu memakai topi besbol dan topeng muka bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Deepavali, di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, kumpulan penjenayah itu dikatakan mengikat mesin ATM menggunakan tali dan mengheretnya keluar menggunakan lori mengakibatkan kehilangan wang RM316,000. 

Mesin ATM yang sudah dipecahkan itu kemudian ditemui orang awam 10 jam kemudian di hadapan sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Ukay, Hulu Klang, iaitu 10 kilometer dari bank terbabit. 

Rompak kakak timbalan menteri



Oleh Nurhasyima Hasim

2011/11/10

Lima termasuk warga Indonesia didakwa

AYER KEROH: Lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan merompak harta milik kakak dan anak saudara seorang timbalan menteri di sebuah rumah di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di sini, pada 21 September lalu. 

Mereka adalah Azlan Azmi, 29, dari Bukit Katil; Mohd Afandi Hassan, 24, dari Bemban; Mohd Nizam Mohd Shahadan, 24, dari Tiang Dua; Mohd Azrul Aminrashid Jasmin, 26, dari Paya Dalam dan Muhamad Yusuf Rahmat, 22, dari Indonesia.
Bagi tuduhan pertama, lima lelaki terbabit didakwa merompak wang tunai berjumlah RM4,000 dan sebuah telefon bimbit milik Samidah Yusop, 74, di sebuah rumah di Kampung Paya Rumput, kira-kira jam 11.30 malam.
Pertuduhan kedua pula, kelima-limanya didakwa merompak dua rantai leher emas dan dua cincin milik Rosiah Mansor, 54, di lokasi, waktu dan tarikh sama. 

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama bagi kedua-dua pertuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. 

Azlan, Mohd Afandi, Mohd Nizam, Mohd Azrul dan Muhamad Yusuf mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua dakwaan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Katar. 
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff manakala kelima-lima tertuduh tidak diwakili peguam. 
Mahmoodah kemudian menawarkan mahkamah wang jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap tertuduh kecuali Muhamad Yusuf. 

Ketika merayu jaminan dikurangkan, Azlan memberi alasan terpaksa menanggung seorang isteri dan dua anak manakala Mohd Afandi pula tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kadang kala bergantung kepada bapanya. 

Mohd Nizam memohon mahkamah mempertimbangkan dirinya yang terpaksa menjaga ibu yang tinggal berseorangan sementara Mohd Azrul pula tiada pendapatan tetap dan berharap kepada keluarganya untuk menyara hidup. 

Abu Bakar kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh kecuali Muhamad Yusuf dan menetapkan tarikh sebutan semula bagi kes berkenaan pada 14 Disember ini bagi lantikan peguam. 

Penghidap diabetes meningkat 3 juta tahun ini





2011/11/10

KOTA BHARU: Jumlah penghidap diabetes di negara ini semakin membimbangkan apabila kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan tiga juta penghidap tahun ini berbanding hanya 1.5 juta lima tahun lalu. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, keadaan lebih membimbangkan apabila dua juta rakyat negara ini yang mempunyai kandungan gula dalam darah tinggi masih belum membuat pemeriksaan doktor.
Katanya, diabetes penyakit senyap dan jika dibiarkan berlanjutan ia akan memberikan komplikasi kesihatan seperti risiko buta, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan mati pucuk.
“Keputusan awal kajian NHMS 2011 yang dijangka diterbitkan Disember ini, menunjukkan peningkatan penghidap diabetes di negara ini dengan lebih tiga juga orang berbanding lima tahun lalu, hanya 1.5 juta orang. 

“Lebih membimbangkan lagi ialah dua juta orang dewasa mempunyai kandungan gula tinggi dalam darah dan ini menunjukkan masih ramai rakyat negara ini belum melakukan ujian saringan kesihatan mereka secara tetap serta berkala,” katanya dalam kenyataan media yang dipetik melalui laman web Kementerian Kesihatan (KKM). 

Dr Hasan berkata, tahap penjagaan penyakit bagi mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes dan penyakit NCD masih tidak memuaskan, apabila data KKM mendapati satu daripada lima pesakit terbabit mencapai sasaran gula dalam darah yang baik. 

“Data juga mendapati dua daripada lima pesakit mencapai sasaran tekanan darah yang optimum; satu daripada empat pesakit mencapai sasaran tahap kolesterol yang baik dan hanya satu daripada enam pesakit berada pada tahap BMI yang ideal,” katanya. 
Sehubungan itu, katanya, semua rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas disyorkan segera menjalani ujian saringan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) setiap tahun bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa terjamin.

Wanita Arkansas hamil kali ke-20





2011/11/10

Pasangan selebriti gembira dapat anak lagi

NEW YORK: Seorang ibu dari Arkansas, Michelle Duggar dengan bangga mengumumkan kepada dunia semalam bahawa beliau kini hamil anaknya yang ke-20. 

Duggar, 45, dan suaminya, Jim Bob, 46, yang mempunyai banyak pengalaman menyambut kedatangan bayi baru itu memberitahu televisyen NBC bahawa mereka sendiri terkejut dengan kehamilan terbaru berkenaan.
“Saya tidak terfikir bahawa tuhan akan memberikan kami seorang lagi anak, dan kami amat bersyukur,” kata Duggar, bintang sebuah rancangan realiti melalui TLC, ‘19 kids and counting.’
Keluarga terbabit tinggal di Little Rock dan juga mengendalikan halaman web sendiri, yang turut menjual buku yang ditulis ibu bapa dan DVD selain turut memberikan nasihat kepada ibu bapa. 

Pasangan itu kini mempunyai 10 anak lelaki dan sembilan anak perempuan berusia antara 23 bulan dan 23 tahun. Anak mereka yang ke-19 dilahirkan pra matang pada Disember 2009 dan Duggar mengalami komplikasi. 

Duggar berkata, walaupun berhadapan dengan risiko tetapi beliau tidak bimbangkan kesihatannya. 

“Saya sekarang mempunyai ukuran badan yang menarik berbanding sepanjang tempoh 20 tahun lalu,” katanya. 
Ketika meraikan kegembiraan itu, Bob mempunyai pandangan sendiri mengenai keadaan itu : “Kami tidak mahu berhenti dengan nombor ganjil.” 

Sambil mengakui tidak menggunakan pil perancang keluarga, Duggar sendiri membayangkan ‘keletihan’ mempunyai anak ramai apabila menekankan tidak memikirkan untuk untuk menambah anak lagi. – AFP/Agensi 

Filipina sedia bayar bil Arroyo





2011/11/10

Permohonan bekas pemimpin dapat rawatan di luar negara ditolak

MANILA: Kerajaan Filipina semalam menawarkan membawa doktor dari luar negara untuk merawat bekas pemimpin, Gloria Arroyo selepas menolak permohonan Arroyo mendapat rawatan di luar negara. 

Manila juga enggan menarik balik pengharaman terhadap Arroyo ke luar negara bagi mendapatkan rawatan atas kebimbangan bekas pemimpin itu mengelak daripada tuduhan rasuah terhadapnya.
Malah, Presiden Benigno Aquino berkata pentadbirannya sedia membayar bil biopsi tulang Arroyo di Filipina.
“Kami mahu Arroyo segera pulih tetapi jika kami benarkan tertuduh dalam kes tiada ikat jamin berkunjung ke negara luar yang tiada perjanjian ekstradisi dengan Filipina, sedangkan hospital di sini boleh buat rawatan sama, adakah itu adil? 

“Jika beliau memilih untuk tidak pulang, bagaimana kita boleh membuatnya memberi jawapan atas tuduhan itu?” kata Benigno. 

Pada masa ini, Arroyo, wakil rakyat bandar asalnya di Pampanga, tengah Filipina dan suaminya, Jose Miguel Arroyo, meminta Mahkamah Agung membenarkan mereka ke luar negara atas alasan langkah memasukkan nama mereka dalam senarai pemerhati Biro Imigresen sebagai melanggar perlembagaan. 

Dalam rayuan berasingan, pasangan itu meminta mahkamah membatalkan pekeliling dikeluarkan Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima yang meletakkan mereka dalam senarai itu. 
Mereka juga meminta mahkamah mengeluarkan injuksi sementara ke atas pelaksanaan arahan Jabatan Kehakiman. 

Arroyo meminta kebenaran ke luar negara bagi mendapatkan rawatan kelenjar paratiroid selepas tiga pembedahan gagal merawat saraf lehernya di Pusat Perubatan St Luke, pinggir Taguig, awal tahun ini. 

De Lima secara rasmi melarang Arroyo meninggalkan negara itu kerana beberapa destinasinya membabitkan negara tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Filipina. 

Arroyo kini menjalani pemulihan dengan baik, berdasarkan kenyataan doktornya di St Luke dan penilaian Setiausaha Kesihatan (yang juga seorang doktor), Enrique Ona, kata de Lima. 

Beliau juga merujuk kenyataan Persatuan Perubatan Filipina bahawa Arroyo boleh mendapatkan rawatan pakar tulang tempatan. 

Arroyo dan suaminya diletakkan dalam senarai pemerhati 28 Oktober lalu selepas Jabatan Kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Senator Aquilino Pimentel menamakan mereka responden dalam dua kes sabotaj pilihan raya. 

Bagaimanapun, Gabungan Nasionalis Rakyat (NPC), diasaskan ahli perniagaan bilionaire Eduardo Cojuangco Jr, bapa saudara Presiden, menyokong permohonan Arroyo mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. – Agensi/AP 

Palestin perlu satu undi lagi





2011/11/10

 
AKTIVIS asing dan Palestin memprotes dasar penjajahan Israel di kawasan Arab dalam kempen menuntut masyarakat antarabangsa menyokong pembentukan negara Palestin.- Foto AFP
AKTIVIS asing dan Palestin memprotes dasar penjajahan Israel di kawasan Arab dalam kempen menuntut masyarakat antarabangsa menyokong pembentukan negara Palestin.- Foto AFP
Menteri Luar dedah masalah dapat sokongan di Majlis Keselamatan PBB

RAMALLAH: Pemimpin Palestin buat kali pertama mengaku tidak mendapat sokongan mencukupi dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengiktiraf negara Palestin yang merdeka.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Majlis Keselamatan PBB menerima laporan menyebut belum ada kata sepakat di kalangan 15 negara anggotanya mengenai permohonan menjadikan Palestin anggota baru badan dunia itu.
Sembilan undian diperlukan untuk kelulusan tetapi mana-mana lima negara anggota boleh menggunakan kuasa veto iaitu Amerika Syarikat, Russia, China, Perancis dan Britain.
Amerika dan Israel menegaskan negara Palestin hanya boleh wujud menerusi rundingan.

Menteri Luar Palestin, Riad Malki, memberitahu agensi berita kelmarin: “Jelas sekarang, kami tidak akan memperoleh sembilan undi kerana campur tangan Amerika.”

Namun, mereka masih boleh memohon kepada Perhimpunan Agung PBB. Palestin memulakan usaha mereka di PBB September lalu, membayangkan kemarahan berhubung rundingan damai dengan Israel tergantung.

Terdahulu, 15 negara anggota Majlis Keselamatan tidak mencapai kata sepakat berhubung permohonan Palestin menganggotai PBB, menurut deraf laporan diedarkan kelmarin. 
Laporan empat muka surat itu yang diperoleh Associated Press menyebut anggota majlis terbahagi antara mereka yang menyokong keanggotaan Palestin, mereka yang tidak dapat menyokongnya sekarang dan mereka yang menentang kerana percaya permohonan tidak memenuhi kriteria keanggotaan.

Selepas menilai deraf laporan, Duta Portugal ke PBB, Jose Filipe Moraes Cabral, yang menjadi Presiden Majlis Keselamatan, merumuskan jawatankuasa kemasukan tidak dapat membuat cadangan sebulat suara kepada Majlis Keselamatan.

Lima belas negara anggota itu, yang mengandungi jawatankuasa kemasukan, diberi deraf berkenaan untuk menilai dan diminta memberikan sebarang cadangan menjelang semalam.

“Kami akan meneliti sama ada akan memindanya lagi,” kata Duta Perancis ke PBB, Gerard Araud.

Jawatankuasa kemasukan penuh dijangka mengadakan pertemuan esok, dan diplomat berkemungkinan meluluskan deraf berkenaan dan menghantarnya kepada Majlis Keselamatan. Apa yang akan berlaku seterusnya masih samar.

Salah satu penyokong Palestin dalam majlis berkenaan, berkemungkinan Lubnan atau Afrika Selatan, akan menyerahkan resolusi mencadangkan keanggotaan Palestin diundi dalam badan itu, kata diplomat yang enggan dikenali. 

Bagi membolehkan resolusi itu diterima majlis, ia memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan mesti mengelak veto daripada mana-mana anggota tetap iaitu Amerika, Russia, China, Britain dan Perancis. – AFP