Pages

Sunday, February 17, 2013

Hansen menang World Press Photo



Gambar yang diambil oleh jurugambar Itali, Fabio Bucciarelli, menunjukkan seorang pejuang Tentera Pembebasan Syria ketika bertempur menentang tentera kerajaan di daerah Sulemain Halabi, Aleppo, Syria. Gambar ini memenangi tempat kedua bagi kategori Spot News. - AGENSI
THE HAGUE 16 Feb. - Gambar oleh Paul Hansen yang memaparkan jenazah dua kanak-kanak Palestin yang dibawa untuk dikebumikan dalam satu serangan udara Israel memenangi anugerah World Press Photo 2013.
Jurugambar akhbar harian Dagens Nyheter dari Sweden itu mengambil gambar tersebut ketika upacara pengkebumian Suhaib Hijazi, 2, dan abangnya, Muhammad, 3, di Gaza City pada 20 November lalu.
"Kekuatan gambar itu terletak pada cara ia memaparkan kemarahan dan kesedihan sekumpulan orang dewasa yang mengangkat kanak-kanak tidak berdosa itu.
"Gambar itu tidak akan dapat saya lupakan selama-lamanya," kata juri dari Peru, Mayu Mohanna.
Ayah kepada kanak-kanak malang itu, Fouad, turut terbunuh dalam serangan udara rejim Zionis yang meranapkan rumah mereka manakala ibu mereka pula diletakkan di dalam unit jagaan rapi.
Dua jurugambar yang hasil kerja mereka digunakan oleh AFP, Fabio Bucciarelli dari Itali dan Javier Manzano dari Amerika Syarikat (AS), masing-masing memenangi kedudukan kedua dan ketiga bagi kategori Spot News melalui gambar mereka yang diambil di kawasan pertempuran mengerikan di bandar Aleppo, Syria.
Persaingan World Press Photo tahun ini menyaksikan sebanyak 19 juri profesional dalam bidang jurugambar berita dan jurugambar dokumentari memilih 103,481 gambar yang dihantar oleh 5,666 jurugambar dari 124 negara.
Pemenang utama, Hansen, akan menerima wang tunai sebanyak AS$13,000 (RM40,287) dan kamera dalam majlis di Amsterdam, April ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130217/lu_01/Hansen-menang-World-Press-Photo#ixzz2L9SC96iV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu bingung anak bawa diri sejak enam bulan lepas



KULIM - Seorang wanita dari Taman Keranji di sini bingung dengan tindakan anak perempuannya yang membawa diri sejak enam bulan lalu tanpa berita.

Syafrida Husin, 45, seorang peniaga di gerai Medan Usahawan Jalan Assad di sini, berkata anak sulungnya Rika Desy Rindani Redwardi, 26, sudah dua tahun tidak pulang ke rumah kerana bekerja di Pulau Pinang dan tinggal bersama adiknya Maifiaranni, 22, yang sudah berumah tangga, di Teluk Kumbar.

"Walaupun tidak pulang ke rumah dia sering menghubungi saya melalui telefon ketika tinggal bersama adiknya. Sejak Mei 2012 lalu selepas keluar dari rumah adiknya kerana berlaku selisih faham ada sekali dua dia menghubungi saya tetapi kemudian tiada khabar berita yang saya terima hingga sekarang," katanya kepada Bernama hari ini.

Syafrida yang berasal dari Pekan Baru, Riau, Indonesia menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu dan merupakan seorang penduduk tetap setelah berkahwin dengan penduduk tempatan Syed Yusuf Syed Idris, 56.

Dia menetap di Taman Keranji sejak lima tahun lalu. Sebelum itu, mereka tinggal di Ampang, Selangor.  

Dua anak perempuannya - Rika Desy Rindani dan Mafiaranni - adalah hasil perkongsian hidupnya dengan suami pertamanya di Riau yang telah meninggal dunia.

Kedua-dua anak perempuannya itu dilahirkan di Pekan Baru, Riau dan mempunyai permit bekerja di negara ini sejak lima tahun lalu.

Perkahwinan Syafrida dengan Syed Yusuf pula dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Lokman, 9. Syafrida merayu kepada anaknya itu supaya menghubunginya semula atau terus
pulang ke rumah mereka di sini kerana jika ada masalah tersirat ia boleh diatasi.

“Dia pernah memberitahu saya beberapa bulan lalu bahawa keengganannya untuk pulang ke pangkuan keluarga adalah kerana 'ada banyak dosa dengan mama'.

"Walau apa pun sebabnya...kami tidak ambil kisah, yang penting dia selamat menjalani hidup seharian kerana saya amat bimbang taraf kerakyatannya akan menyebabkan dia berada dalam kesukaran hidup," katanya.

Dia berkata dua laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu telah dibuat iaitu di Kulim dan Teluk Kumbar Pulau Pinang Sabtu lalu.

Orang ramai dan pihak tertentu yang mengenali Rika boleh menghubungi Syafrida melalui talian 012-4809244 atau suaminya Syed Yusuf melalui talian 013-6688366. - Bernama

Terkejut daun getah bentuk panjang


Terkejut daun getah bentuk panjang
Mat Isa (kiri) menunjukkan daun getah yang ditemuinya.
KEDAH - Seorang penoreh getah terkejut apabila pokok getah yang ditorehnya memiliki daun yang berbeza dari pokok getah lain iaitu berbentuk panjang.

Mat Isa Awang 60, berkata, dia menyedari keanehan daun pokok getah itu tiga hari lalu apabila hampir semua daun pokok itu luruh sebelum berputik semula.

Menurutnya, saiz daun getah itu sangat berbeza kerana ia lebih panjang dari daun getah biasa.

“Selama 25 tahun saya menoreh getah, ini kali pertama saya menemui daun getah seperti ini. Ia merupakan sesuatu yang baru bagi saya. Mungkin baka pokok getah ini lain berbanding pokok yang saya tanam sebelum ini.

"Bagaimanapun hasil getah yang diperoleh adalah sama, cuma daunnya sahaja berbeza,” katanya.

Jual baju ayat al-Quran

Jual baju ayat al-Quran
Mohd Tarmizi (kanan) menunjukkan baju yang
 dipenuhi kalimah ALLAH SWT.

KULIM - Seorang kakitangan awam kecewa dengan tindakan sesetengah premis yang dengan sengaja menjual baju dipenuhi ayat al-Quran dan kalimah ALLAH SWT secara terbuka.

Mohd Tarmizi Rejab berkata, pihak pengedar tidak seharusnya menjual pakaian seumpama itu kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Islam lebih-lebih lagi sekiranya ia dipakai di pusat hiburan.

Menurutnya, pihaknya meminta kerjasama pihak terlibat supaya memantau permasalahan ini supaya ia tidak akan menjadi satu isu pada masa akan datang.

"Mana mungkin masyarakat di Malaysia tidak tahu tentang tulisan jawi melainkan mereka tidak mengendahkan sensitiviti orang lain.

"Saya sangat berharap pada masa akan datang pakaian seumpama ini tidak dijual di negara ini kerana ia tidak sesuai dipakai dalam apa juga majlis sekali pun ,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, pihak bertanggungjawab seharusnya memandang berat tentang masalah ini dan meminta pihak berkenaan membuat siasatan terhadap penjual terlibat.

Katanya, permasalahan seperti ini tidak seharusnya didiamkan kerana ia berkait rapat dengan masyarakat yang beragama Islam.

“Bagi mereka yang beragama Islam, pakaian seperti ini tidak seharusnya dijual kerana ia boleh mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka. Banyak lagi pakaian lain yang boleh dijual. Kenapa harus rekaan mempunyai kalimah ALLAH SWT dan ayat al-Quran dijadikan bahan untuk dijadikan baju.

"Saya berharap kepada orang ramai yang ternampak sebarang tulisan ayat al-Quran atau kalimah ALLAH SWT di mana sahaja dan berada di tempat yang tidak sepatutnya supaya memaklumkan kepada Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pengecas guna 'pelapik' minuman



Pengecas guna 'pelapik' minuman
Alat ini boleh diterbalikkan kepada dua bahagian berlainan mengikut suhu minuman pengguna. Foto: Epiphany Labs
NEW CASTLE - Pengguna tidak lagi akan berhadapan kesukaran untuk mengecas telefon bimbit pada masa akan datang dengan terhasilnya ciptaan dari sebuah syarikat berpusat di New Castle, Pennsylvania.

Alat pengecas mudah alih digelar Epiphany One Puck kelihatan seperti pelapik untuk minuman panas atau sejuk yang terdiri daripada dua bahagian berlainan.

Difahamkan, alat ini berfungsi menggunakan teknologi enjin Stirling yang menukar haba kepada tenaga bagi mengalirkan kuasa untuk mengecas bateri peranti elektronik.

Tim Joseph dari Epiphany Labs berkata, ciptaan mereka diharap dapat menjadi perintis untuk menghasilkan bekalan kuasa lebih murah dengan hanya menggunakan haba.

"Epiphany One Puck masih dalam peringkat prototaip dan ia dijangka berada di pasaran pada awal tahun depan," katanya.

Pada masa ini, syarikat di Amerika Syarikat itu sedang berusaha bagi mendapatkan dana berjumlah 63,000 pound (RM300,300) untuk membiayai projek pengeluaran produk tersebut. - MailOnline

Robot pengganti ke sekolah



Robot pengganti ke sekolah
Devon 'hadir' ke sekolah menggunakan robot VGo yang boleh dikawal pada jarak jauh. Foto: AP
WEST SENECA - Alahan yang mengancam nyawa Devon Carrow ,7, menghalang kanak-kanak ini untuk pergi ke sekolah seperti rakan sebayanya.

Bagaimanapun, ciptaan robot setinggi 1.2 meter dilengkapi sistem video tanpa wayar membolehkan Devon menyertai sesi pembelajaran di Sekolah Rendah Winchester, Northville.

Kanak-kanak itu juga berpeluang  belajar dan bermain dengan murid sekelasnya menerusi robot VGo yang boleh bergerak ke seluruh kawasan sekolah tersebut.

Sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2011,  ramai pelajar telah menggunakan robot VGo untuk menjadi pengganti mereka ke sekolah.  - AP

Bahagian jahat dalam otak manusia



Bahagian jahat dalam otak manusia
Individu yang mempunyai tompok hitam ini secara luar biasa boleh mengaku melakukan perbuatan jenayah tanpa rasa bersalah. Foto: MailOnline
BERLIN - Hasil kajian ahli neurologi Jerman berjaya menemui bahagian otak yang membuat manusia menjadi jahat.

Dr Gerhard Roth berkata, bahagian itu terletak di depan bawah otak manusia yang kelihatan seperti tompok hitam melalui pemeriksaan X-ray.

“Tompok hitam itu ditemui pada hampir setiap pelaku jenayah,” katanya.

Beliau menemuinya ketika membuat kajian tentang pelaku jenayah di Jerman yang dipenjarakan untuk tempoh lama.

Penyelidikan tersebut menunjukkan perilaku jahat juga boleh diwarisi daripada genetik.

"Jika terdapat ahli keluarga mempunyai penyakit di bahagian hadapan otaknya, sebanyak 66 peratus generasi berikutnya berpotensi mengalami simptom sama," jelasnya lagi. - MailOnline

Tempat parkir paling bahaya di dunia



Tempat parkir paling bahaya di dunia
Freyr bersama rakannya mengambil masa tiga jam untuk sampai ke kawasan glasier berbahaya ini. - MailOnline
REYKJAVIK - Sekumpulan pemuda di Iceland sanggup mengambil risiko untuk menyaksikan sendiri panorama berhampiran gunung berapi Eyjafjallajokull yang pernah meletus dengan kuat hingga menjejaskan kawasan Eropah pada tahun 2010.

Mereka turut meletakkan kenderaan pacuan empat roda masing-masing berhampiran kawasan aliran lava mencatatkan suhu 1,200 darjah Celsius.

Gambar ini yang dimuat naik oleh salah seorang peserta, Kristjan Freyr, 25, telah menjadi topik hangat di kebanyakan forum di internet dalam tempoh singkat.

"Jarak aliran lava itu dengan kawasan parkir kenderaan tersebut hanya kira-kira setengah meter. Suasana terbabit kelihatan seperti satu persembahan bunga api yang besar," katanya. - MailOnline

Kipas angin gergasi di Kota Tinggi



Kipas paling besar
Kipas angin gergasi yang dipercayai bukan sahaja terbesar di Kota Tinggi, malah di Malaysia
Kipas paling besar
Seorang kanak kanak teruja melihat kipas angin di Masjid Jamek Kota Tinggi.
KOTA TINGGI – Masjid Jamek Kota Tinggi, di sini, melakar sejarahnya tersendiri apabila memiliki sebuah kipas angin gergasi yang dipercayai bukan sahaja terbesar di daerah ini, malah di Malaysia.

Ketua unit masjid berkenaan, Azizul Fahmi Salleh berkata, kipas dengan panjang bilahnya yang berukuran 7.2 meter itu dipasang hasil sumbangan daripada sebuah syarikat persendirian dan tabung masjid.

Menurutnya, dengan kos kira kira RM55,000, kipas yang mempunyai 15 kali ganda kuasa berbanding kipas angin biasa itu mampu memberikan keselesaan buat jemaah dan secara tidak langsung menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

“Alhamdulillah dengan dana yang berjaya dikumpul dalam masa sebulan, kipas itu mula dipasang pada hujung tahun lalu iaitu bulan Disember.

“Ia digunakan setiap kali waktu solat dan ketika adanya majlis yang diadakan di masjid ini. Malah kipas yang lain juga tidak perlu digunakan sewaktu kipas tersebut dihidupkan.

“Bagaimanapun, dalam masjid tersebut juga masih terdapat kira kira 10 kipas biasa yang ada sekitar masjid untuk kemudahan jemaah yang  hadir terutamanya bagi mereka yang hendak bersolat berseorangan,” katanya.

Azizul Fahmi berkata, pihaknya menerima pelbagai reaksi yang positif daripada jemaah dan ada yang menyatakan keterujaan ketika melihat kipas berkenaan.

Menurutnya, sekiranya ada rezeki, sebuah lagi kipas yang sama akan dipasang di bahagian belakang untuk memberikan keselesaan kepada jemaah.

Sementara itu, penderma daripada syarikat persendirian itu yang enggan dikenali berkata, kipas seumpama itu hanya boleh didapati di Turki dan Amerika Syarikat sahaja.

Beliau yang juga merupakan pemegang tunggal bagi syarikat kipas angin berkenaan di Malaysia, Indonesia dan Brunei berkata, kipas sama juga digunakan di masjid di Singapura, namun ukuran bilahnya hanya sepanjang 6 meter (20 kaki) sahaja.

“Melihat Masjid Jamek Kota Tinggi yang mempunyai kelebaran yang besar, kita memilih untuk memasang kipas berukuran 24 kaki (7.2 meter) ini yang hanya diperoleh dari Turki.

“Difahamkan, setakat ini ia kipas paling besar di Malaysia dan Singapura. Malah untuk masjid ini, dengan pemasangan dua buah kipas bersaiz yang sama juga sudah memadai dan memberi cukup keselesaan buat jemaah,” katanya.

Pertembungan batu angkasa



Pertembungan batu angkasa
Hujan meteor di Chelyabinsk, Moscow, kelmarin.
Pertembungan batu angkasa
Beberapa bandar musnah akibat hujan meteor.
Pertembungan batu angkasa
Lubang besar ditemui akibat daripada hujan meteor.
TANGGAL 15 Februari menjadi tarikh penting buat Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dan akademi sains antarabangsa dalam memberi kesan terhadap risiko pendaratan objek cekerawala.

Kejadian hujan meteor dan Asteroid 2012 DA14 menghampiri bumi berlaku selang kira-kira 10 jam antara satu dengan lain. Dipercayai juga fenomena itu memberi kesan kepada pembangunan manusia sekali gus menimbulkan kebimbangan dan kebingungan orang ramai.

Kejadian hujan meteor atau hujan tahi bintang yang berlaku di Rusia hinggan menyebabkan 1,000 kecederaan kelmarin adalah sesuatu yang tidak dijangka.

Pakar-pakar di Universiti Southampton Rusia melaporkan, pada jangkaan awal, fenomena itu hanya akan berlaku jauh dari kawasan penempatan atau perniagaan.
Sebaliknya, pada kejadian 9.20 pagi (waktu tempatan) kelmarin, objek angkasa yang berapi-api itu mengenai bangunan dan kediaman.

Fenomena sama pernah berlaku di daerah Muju, 300 kilometer, barat daya Seoul, Korea Selatan pada 19 November 19, 2001. Namun ia tidak menyebabkan  kemusnahan atau kecederaan.

Pada 2009, Nicholas Bailey membuat andaian bahawa kedudukan Rusia di tempat kedua paling berkemungkinan untuk mengalami kerosakan selepas China dan Amerika Syarikat (AS).

Kajian sama pernah diterbitkan pada 2007, dengan menyenaraikan AS, China, India, Japan, Filipina, Itali, Britain, Brazil, Nigeria dan Indonesia bakal menerima kesan sama seperti Rusia.

Bagi kesan pendekatan asteroid 2012 DA14 dengan bumi pula, Nasa dalam laporan rasminya menyatakan ia tidak memberi sebarang kesan.

“Fenomena hujan meteor di Rusia adalah berbeza dengan kehadiran Asteroid 2012 DA14 mendekati bumi dan kedua-duanya tidak mempunyai kaitan,” menurut laporan itu.

Hujan meteor di Rusia

Kejadian hujan meteor atau hujan tahi bintang selaju 54,000 kilometer (km) sejam meletup di udara daerah Chelyabinsk, 1,500 km ke timur Moscow dan merebak ke sebuah empangan di luar bandar Cherbakul 9.20 pagi (waktu tempatan).

Tahi bintang seberat 11 tan itu melalui kawasan pergunungan Ural, Russia dan meletup pada ketinggian 30 hingga 50 kilometer di udara.

Akademi Sains Russia melaporkan, letupan itu menyebabkan bayak kaca pecah di banyak tempat selepas letupan besar itu menggegarkan premis kediaman dan perniagaan dan menggagu rangkaian telefon mudah alih.

Seorang penduduk Chelyabinsk, Valya Kazakov berkata, ada juga beberapa wanita tua dekat rumahnya mula menangis kerana percaya dunia kiamat.

“Kami nampak satu letusan besar cahaya dan keluar rumah untuk menentukan apa sebenarnya berlaku dan dengar bunyi dentuman kuat,” katanya.

Agensi berita tempatan pula memetik, pihaknya menemui sebuah lubang besar enam meter lebar di tempat beberapa serpihan mengenai bumi.

Sementara itu, laman web pihak berkuasa Rusia meminta penduduk supaya jangan mendekati sebarang objek yang dipercayai serpihan tahi bintang.

“Kementerian Kecemasan Rusia memberi amaran kepada penduduk di kawasan pergunungan Ural supaya tidak mendekati objek yang tidak dikenali,” menurut kenyataan itu.

Asteroid hampiri bumi

Sebuah asteroid sebesar kolam renang Sukan Olimpik sedang menghampiri bumi pada jarak kira-kira 27,700 kilometer, antara jarak terdekat pernah diramalkan bagi objek bersaiz demikian.

Nasa menjangkakan ia berlaku antara semalam hingga hari ini sekitar jam 7.25 malam.

Ia jauh lebih dekat berbanding dengan satelit geosynchronous dari orbit bumi tetapi tidak berdepan dengan risiko perlanggaran.

Asteroid itu mampu dilihat dalam keadaan gelap menggunakan teleskop.

Alan Fitzsimmons dari Universiti Queens Belfast memberitahu, asteroid sebesar kolam renang itu tiada kaitan dengan kejadian yang menimpa Rusia kelmarin sebaliknya ia hanya  kosmik secara kebetulan muncul.

“Asteroid akan mengorbit matahari dalam tempoh 368 hari iaitu tempoh yang sama bagi tahun di bumi tetapi ia tidak akan mengorbit melalui satah yang sama seperti bumi. Ia bagaimanapun bakal menjunam ke arah timur Lautan Hindi dan boleh disaksikan dari Eropah Timur, Asia dan Australia,” katanya.

Beberapa saintis berkata, Asteroid 2012 DA14 bakal mendarat ke bumi lalu menyebabkan kerosakan 1,000 kali ganda lebih teruk daripada bom atom seperti di Hiroshima pada perang dunia ke dua.

“Dua peristiwa kebetulan berlaku dan objek bergerak dalam arah yang bertentangan,” kata mereka.

Pendaratan asteroid ini juga dipercayai menyebabkan dinosaur lenyap pada 65 juta tahun lalu.

Namun, jika ia mendarat ke bumi, ia mampu menyebabkan kerosakan besar kerana asteroid akan membebaskan logam seberat 143,000 tan, membebaskan tenaga bersamaan 2.4 juta tan dan mengelap 750 km persegi.

Boleh jatuh tanpa amaran


Cape Carnival (Florida): Sebutir batu angkasa, malah lebih besar daripada meteor yang meletup seperti bom atom di Russia boleh jatuh dari langit bila-bila masa saja dan mencetuskan huru-hara.

Berbeza dengan dunia Holywood, tiada banyak yang dapat dilakukan ahli sains dunia mengenainya. Bagaimanapun, beberapa bekas angkasawan ingin berjuang untuk melawannya. Mereka berharap insiden kosmos secara kebetulan Bumi hampir bergeser dengan asteroid berukuran 46 meter beberapa jam selepas meteor bersaiz 15 meter jatuh di Russia akan memberi kesedaran mengenai bahaya di ruang angkasa dan mendorong tindakan diambil seperti langkah mengesan dan menjejaki asteroid yang lebih baik. “Selepas insiden kelmarin, ramai orang mula sedar,” kata Rusty Schweickart yang terbang dalam misi Apollo 9 pada 1969 dan membantu mewujudkan Yayasan B612 yang melindungi planet serta memberi amaran kepada NASA selama bertahun-tahun agar menyalurkan lebih banyak usaha dan wang untuk meingkatkan kesedaran mengenai asteroid. Bumi diancam meteor setiap masa iaitu serpihan asteroid atau komet yang menembusi atmosfera Bumi. Namun, banyak jika tidak semua terlalu kecil untuk dikesan dari jauh dengan peralatan yang ada sekarang. Meteor yang menggegarkan Pergunungan Ural dianggarkan 20 kali lebih berkuasa daripada bom atom yang digugurkan di Hisroshima pada Perang Dunia Kedua. Ia memecahkan ribuan kaca tingkap dan menyebabkan lebih 1,000 orang cedera di Chelyabinsk, bandar raya yang dihuni sejuta orang.


Malah, tiada siapa dapat mengesan kemunculannya yang dianggarkan bersaiz seperti sebuah bas. “Ia adalah asteroid yang kecil,” kata ahli astronomi Paul Chodas yang bekerja dalam program Objek DEkat-Bumi NASA di Pasadena, California.

“Ia hanya samar-samar dan sukar dikesan bukan mustahil tetapi sukar,” katanya. - AP

Asteroid hampiri Bumi


Florida: Sebutir asteroid terbang 27,600 kilometer dari Bumi hanya beberapa jam selepas sebuah meteorit terhempas di Pergunungan Ural di Chelyabinsk, kelmarin. Saintis berkata, ia adalah asteroid besar pertama mencatat jarak terbang paling hampir dengan Bumi.

Saintis dan Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) AS bertegas, meteorit itu tidak ada kena mengena dengan asteroid berkenaan kerana kedua-duanya terbang dalam arah bertentangan.


Asteroid adalah objek yang lebih besar berbanding meteor (tahi bintang) dan mengujakan peminat astronomi di Australia yang menyaksikan ia berlalu tanpa membahayakan Bumi. Dikenali sebagai Asteroid 2012 DA14, objek itu berada lebih hampir berbanding kebanyakan satelit komunikasi dan cuaca di angkasa.

Asteroid itu terlalu kecil untuk dapat dilihat dengan mata kasar walaupun ketika ia berada di kedudukan paling hampir dengan Bimi pada jam 2.25 petang (10.25 malam waktu Malaysia) di Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Tempat terbaik untuk menyaksikan asteroid itu menggunakan teropong ialah di Asia, Australia dan timur Eropah. Walaupun begitu, mereka hanya dapat melihat satu titik kecil bercahaya kerana ia bergerak pada kelajuan 28,000 kilometer sejam.


Secara bandingan, asteroid kelmarin itu dianggap kecil berbanding meteorit yang memusnahkan dinasor 65 juta tahun lalu selebar 9.6 kilometer. Bagaimanapun, saintis berkata, asteroid kelmarin masih boleh menyebabkan kemusnahan besar berdasarkan beratnya (143,000 tan) yang mampu menghasilkan tenaga bersamaan 2.4 juta tan TNT.


Dalam keadaan itu, kata saintis, ia boleh memusnahkan kawasan seluas 1,942 kilometer persegi. Nasa menganggarkan, meteor yang terhempas di Russia kelmarin jauh lebih kecil - kira-kira 15 meter lebar dan seberat 7,000 tan sebelum memasuki atmosfera. Ia bersamaan satu per tiga daripada asteroid yang terbang berhampiran Bumi kelmarin. Pegawai kanan Nasa, Jim Green, berkata kejadian kelmarin itu sangat luar biasa dan bersejarah. - AP

Suami boleh mati pucuk jika isteri gaji besar


COPENHAGEN: Lelaki yang memiliki isteri berpendapatan lebih tinggi berkemungkinan besar mengambil Viagra dan ubat lain kerana kurang bertenaga di bilik tidur, lapor satu kajian.

Penyelidik kurang pasti mengapa perkara itu berlaku tetapi rasa hilang harga diri selain marah dan kecewa mungkin memainkan peranan.
Kajian dilakukan di Denmark, lokasi penggambaran drama politik popular, Borgen, yang memaparkan bagaimana Perdana Menteri wanita bergelut dengan kesukaran mentadbir negara manakala suaminya mengu-ruskan rumah tangga dan anak-anak.

Penyelidik Denmark dan Amerika Syarikat bermula dengan mengkaji gaji pada data lebih 200,000 pasangan suami isteri. Ia mendedahkan Viagra dan ubat bagi masalah mati pucuk lain lebih popular di kalangan pasangan yang isteri menerima gaji lebih tinggi.

Kesan malah dapat dilihat pada keluarga yang isteri memiliki pendapatan cuma sedikit lebih tinggi daripada suami.

Penyelidik berkata: Malah perbezaan kecil dalam pendapatan dikaitkan dengan risiko besar penggunaan ubat mati pucuk apabila wanita menjadi penyumbang utama dalam rumah tangga berbanding lelaki.

Perbezaan gaji sebanyak 10,000 (RM 47,095) yang memihak kepada wanita, menggandakan penggunaan Viagra.
Menariknya, fenomena itu tidak dilihat pada pasangan yang selalunya memiliki pendapatan lebih tinggi. Sebaliknya, ia terhad kepada perkahwinan yang isteri mengambil alih kedudukan itu daripada suami.

Ia menunjukkan rasa hilang harga diri menjadi punca keadaan itu.

Menulis dalam Buletin Personality and Social Psychology, penyelidik berkata, peningkatan aliran bagi wanita menjadi penyumbang utama rezeki mencabar peranan tradisi lelaki sebagai pencari nafkah dan meletakkan mereka di bawah tekanan psikologi.

Kehendak seksual lelaki dikaitkan dengan budaya dan faktor sosial seperti kuasa bapa, wang dan rangkaian sosial, berpotensi menyebabkan lelaki berdepan masalah penurunan kehendak seksual atau tidak berfungsi apabila mendapati peranan tradisi mereka dirampas.

Kemarahan dan kekecewaan juga boleh membawa kepada masalah seksual serius seperti mati pucuk, kata penyelidik. - Agensi

Mahkamah Jerman sebelahi Facebook

Facebook berpendapat penggunaan nama sebenar di laman itu akan melindungi hak individu yang melayari laman itu.
Facebook berpendapat penggunaan nama sebenar di laman itu akan melindungi hak individu yang melayari laman itu. Laman sosial dibenar arah pelayar guna nama sebenar

Berlin: Mahkamah Jerman menyebelahi Facebook dalam kes suruhanjaya data di Schleswig-Holstein yang mahukan laman web sosial itu membenarkan penggunaan nama samaran.

Facebook berkata, ia tidak perlu mematuhi undang-undang hak peribadi Jerman kerana data peribadi di laman web itu dikendalikan operasi antarabangsanya di Ireland dan ia berada di bawah naungan Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland.
Guna nama samaran


Keputusan Mahkamah Pentadbiran Negeri Schleswig-Holstein kelmarin bermakna Facebook boleh terus meminta pengguna laman itu menggunakan nama sebenar dan tidak berlindung di sebalik nama samaran.

Pertubuhan perlindungan data negeri itu berkata ia akan merayu keputusan berkenaan.

Suruhanjaya terbabit menyatakan larangan penggunaan nama samaran melanggar undang-undang hak peribadi Jerman yang ditubuhkan untuk melindungi kebebasan bersuara di online.

Sementara itu, Facebook percaya penggunaan nama sebenar melindungi pengguna. Mahkamah memutuskan disebabkan data peribadi dikendalikan oleh operasi antarabangsa Facebook di Dublin berbanding di Jerman, cuma undang-undang perlindungan data dipakai.

Disember lalu, suruhanjaya perlindungan data Schleswig-Holstein mengarahkan Facebook berhenti menguat kuasa dasar nama sebenar kerana ia melanggar undang-undang Jerman yang membolehkan pengguna menggunakan nama samaran di online dan mengancam rangkaian sosial itu dengan denda sebanyak 20,000 euro (RM82,611).

Facebook melaporkan secara kasar ada 76 juta daripada 1.06 bilion akaun penggunanya adalah palsu.

Syarikat berkenaan mengenal pasti tiga jenis akaun yang tidak mewakili pengguna sebenar: akaun pendua, akaun tidak dikelaskan dan akaun tidak diingini. Ia menambah kepada lebih tujuh peratus pengguna aktif setiap tahun di seluruh dunia. - Agensi

Asteroid besar kian jauhi bumi

Menteri Darurat Russia Vladimir Puchkov (tengah)  meninjau kerosakan di sebuah pusat sukan  
di bandar Urals, Chelyabinsk, selepas letupan meteor yang mencederakan 1,200 orang, kelmarin.
Menteri Darurat Russia Vladimir Puchkov (tengah) meninjau kerosakan di sebuah pusat sukan di bandar Urals, Chelyabinsk, selepas letupan meteor yang mencederakan 1,200 orang, kelmarin. Moscow: Asteroid besar 2012 DA14 terbang menghampiri bumi lewat kelmarin dan kini menjauhi planet ini, kata ahli astronomi Russia.

Asteroid itu bersaiz bangunan 15 tingkat, sampai ke titik paling dekat ke bumi jam 11.25 malam Jumaat, mendekati planet pada jarak 27,700 kilometer, lebih rapat berbanding satelit komunikasi dan cuaca.
Ketika ini ia boleh disaksikan di bahagian tenggara langit, dalam buruj Virgo, lapan darjah di atas ufuk, kata pakar kaji bintang Institut Matematik Gunaan Keldysh, Leonid Yelenin.


Situasi itu berlaku kira-kira 16 jam selepas serpihan tahi bintang menyebabkan kira-kira 1,200 penduduk cedera di bandar Urals di Chelyabinsk, Russia.

Tak dapat dilihat

Asteroid itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, bercahaya paling terang dengan magnitud jelas kira-kira 7.0.

Seorang individu dengan penglihatan biasa dapat melihat objek cerah di langit pada magnitud 6.
Asteroid 2012 DA14, yang secara kasar bersaiz 50 meter dan seberat kira-kira 130,000 tan metrik, kali pertama dilihat sepasukan ahli astronomi Sepanyol di La Sagra Sky Survey.

Pengiraan mereka menunjukkan objek langit mungkin terbang hampir ke bumi pada 2013, dengan kemungkinan kecil pelanggaran.

Sementara itu di PASADENA, California, maklumat awal menunjukkan bahawa meteor di Chelyabinsk tidak dikaitkan dengan asteroid 2012 DA14, yang terbang menghampiri bumi kata Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA) semalam. - Agensi

Korea Utara rancang 2 lagi ujian nuklear

Rakyat Korea Utara yang berpaling tadah  menerbangkan belon mengandungi risalah anti Pyongyang di Taman Imjingak di sempadan Korea Selatan semalam. Sumber melaporkan Korea Utara merancang melancarkan dua lagi ujian nuklear tahun ini.
Rakyat Korea Utara yang berpaling tadah menerbangkan belon mengandungi risalah anti Pyongyang di Taman Imjingak di sempadan Korea Selatan semalam. Sumber melaporkan Korea Utara merancang melancarkan dua lagi ujian nuklear tahun ini. Tak takut sekatan, guna wang dadah, seludup senjata biaya program

Pyongyang: Korea Utara mengumpul wang selama berdekad daripada penyeludupan dadah, senjata dan penipuan kewangan dan semakin bijak menyorokkannya bagi membiayai program senjata dan gaya hidup mewah pemimpinnya.

Sumber atasan kerajaan di kedua-dua Korea Utara dan China, satu-satunya sekutu utama, memberitahu Reuters bahawa Pyongyang tidak takut dengan sekatan dan sedang mempertimbangkan dua lagi ujian nuklear dan pelancaran roket tahun ini.
Korea Utara memberitahu sekutu utamanya, China, ia bersiap sedia melancarkan satu atau dua lagi ujian nuklear tahun ini bagi memaksa Amerika mengadakan rundingan diplomatik, kata sumber itu.


Ujian lanjut mungkin diiringi satu lagi pelancaran roket, kata sumber, yang mempunyai akses langsung kepada pegawai atasan kerajaan di Beijing dan Pyongyang.

Ia yakin pembaharuan pertanian dan ekonomi akan menambah penuaian bijirin tahun ini, mengurangkan pergantungan makanan dengan China, kata sumber.

Dengan perdagangan dan sumber semula jadi terhad, hasil Pyongyang bergantung penuh kepada penipuan menghasilkan daripada wang tunai palsu AS$1 (RM3.20) sehingga jualan senjata dan wang dadah, menurut laporan kerajaan Amerika.

Gubah wang haram
Pada 2005, wang tunai AS$25 juta (RM77.35 juta) rejim dibekukan di Banco Delta Asia berpusat di Macau dipercayai hasil penggubahan wang haram.

Kes itu kini dianggap secara praktikal satu-satunya kejayaan merampas dana dari negara terpencil yang kini diketuai Kim Jong-un, 30, dinasti ketiga Kim yang memerintah.

Ada kesukaran besar untuk mengenal pasti akaun bank, kata sumber kerajaan Korea Selatan yang secara langsung terbabit dalam satu lagi sekatan digesa Majlis Keselamatan PBB selepas Utara menjalankan ujian nuklear ketiga minggu ini.

Wang tunai AS$25 juta itu dilepaskan selepas rundingan panjang diketuai, perunding Utara Kim Kye-gwan dengan wakil Amerika Christopher Hill, pegawai yang hadir dalam rundingan.

REUTERS/AGENSI

‘Terbayang waktu kiamat’

Moscow: Ketika satu objek bercahaya terbang pantas di udara, kelas gimnastik yang diadakan di Institut Kereta Api Chelyabinsk pagi kelmarin terhenti.
Semua pelajar tertumpu ke tingkap untuk melihat objek aneh berkenaan. Beberapa detik berlalu, dan tiba-tiba dengan dentuman kuat kaca tingkap di situ berkecai dan bandar Chelyabinsk bergegar. Hentaman meteorit (tahi bintang yang gugur ke bumi) di bandar Chelyabinsk yang tidak jauh dari sempadan memisahkan Eropah serta Asia itu membayangkan bagaimana suasana dunia apabila tiba waktu kiamat.

Walaupun ia bukan yang pertama, saintis berkata, hentaman sebelum ini tidak pernah mencederakan begitu ramai orang. Pelajar di institut berkenaan bergegas menuruni tangga untuk mencari tempat selamat di luar bangunan.
Di situ, ratusan orang terpaku memandang pancaran cahaya yang amat terang - bermula dengan warna kuning sebelum bertukar menjadi oren - di langit.

Sejurus kemudian, terdengar jeritan di mana-mana dan orang ramai kelihatan keliru. Kira-kira 1,200 orang dengan 200 daripadanya kanak-kanak cedera dan sebahagian besar mereka akibat terkena kaca yang berkecai di sekolah atau tempat kerja. Kementerian Dalam Negeri berkata, beberapa mangsa mengalami kecederaan kepala dan patah tulang.

Sehingga petang semalam, tiada laporan kematian diterima. Pihak berkuasa tempatan berkata, ada hampir 305,000 meter persegi kaca pecah, menyebabkan banyak bangunan terdedah kepada cuaca sejuk. Ketika saintis cuba mencari jawapan kepada insiden itu, penduduk Chelyabinsk terpaksa berdepan kenangan yang sebelum ini hanya dapat dilihat dalam filem fiksyen sains. Bloger Darya Frenn berkata, dia terkejut apabila ada haba panas menerpa masuk ke rumah ketika dia membuka tingkap.
Foto
ASAP dari meteorit dapat dilihat di langit.
“Seolah-olah laman saya mengalami musim panas. Kemudian saya nampak cahaya terbang di langit dan semakin kecil sebelum hilang di kawasan hutan,” katanya.

Beberapa saat kemudian, kata Darya, dia terdengar letupan kuat menyebabkan tingkapnya tertanggal. “Mudah-mudahan Tuhan melindungi anda daripada mengalami insiden ini,” katanya. Guru Valentina Nikolayeva berkata, dia melihat cahaya luar biasa yang menerangi kelasnya. “Ia cahaya yang tak pernah saya lihat, mungkin hanya berlaku pada hari kiamat,” katanya. Pada jam 9 pagi (waktu tempatan), matahari baru naik di Pergunungan Ural yang memanjang antara bahagian Eropah Russia hingga ke Siberia di timur.
Chelyabinsk adalah bandar perkilangan industri pertahanan Russia, termasuk sebahagiannya menghasilkan senjata nuklear.

Kawasan kilang di situ dipisahkan kawasan hutan luas dan tidak berpenghuni. Ketika penduduk Chelyabinsk memulakan hari baru kelmarin, seketul meteorit seberat 10 tan dan selebar tiga meter jatuh ke bumi dengan kelajuan sehingga 19 kilometer sesaat. Akademi Sains Russia berkata, ia dianggap luar biasa kerana sifatnya terlalu keras dan mungkin dihasilkan daripada besi, membolehkan serpihan daripada meteor lebih besar sampai ke bumi.

Pengarah Pusat Sains Planet dan Penerokaan di Universiti Western Ontario Peter G Brown berkata, saiz asal meteor itu mungkin selebar 15 meter dan seberat 7,000 tan. “Tenaga dihasilkan daripada letupan itu menyamai 300 kilotan bahan letupan.

“Ini menjadikannya yang terhebat direkodkan sejak kejadian di Tunguska, Siberia pada 1908,” katanya. - NYT

Imej asteroid gergasi disiarkan NASA




LAKARAN artis menunjukkan asteroid (kanan) itu mendekati bumi.


BOSTON - Imej sebuah asteroid gergasi yang mempunyai saiz separuh padang bola sepak disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan ketika ia menghampiri bumi kelmarin.
Asteroid 2012 DA14 yang dikesan pada tahun lalu itu berada pada kedudukan 27,700 kilometer dari bumi pada pukul 2.25 petang pada waktu pantai timur Amerika Syarikat.
Ia dirakamkan menerusi satelik robotik di Balai Cerap Pierre Auger di wilayah Mendoza, Argentina.
Asteroid tersebut yang seberat 7,000 tan melintasi bumi pada kelajuan 13 kilometer sesaat beberapa jam selepas sebutir tahi bintang jatuh di wilayah Chelyabinsk, Rusia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2L73vWZbV 
Hakcipta terpelihara 

Misi cari serpihan tahi bintang dicari



SEORANG pegawai polis Rusia semalam mengawal lubang yang dipercayai tempat sebutir tahi bintang jatuh di Tasik Chebarkul, Chelyabinsk kelmarin.


MOSCOW - Sekumpulan orang menyelam ke dasar sebuah tasik yang berais semalam untuk mencari serpihan sebutir tahi bintang yang jatuh ke bumi selepas meletup di udara sehingga mengakibatkan 1,200 penduduk cedera dan ribuan rumah musnah.
Seorang jurucakap Kementerian Kecemasan Rusia berkata, enam penyelam memeriksa dasar Tasik Chebarkul di wilayah Chelyabinsk, 1,500 kilometer dari sini untuk mencari serpihan tahi bintang yang jatuh kelmarin.
Terdapat sebuah lubang besar di tasik berais itu yang dipercayai menjadi tempat tahi bintang tersebut jatuh.
Tasik itu terletak 80 kilometer dari bandar Chelyabinsk.
Namun, enam penyelam tersebut yang menyelam selama tiga jam gagal menemui sebarang serpihan tahi bintang.

SATU serpihan kecil (dalam bulatan) dipercayai serpihan tahi bintang itu diukur dengan sebatang pembaris dekat lubang yang terdapat di tasik tersebut.


"Mereka mendapati dasar tasik itu dipenuhi dengan 1.5 meter lumpur tebal," kata salah seorang anggota mencari itu kepada media Rusia.
Gambar yang disiarkan agensi berita Reuters semalam menunjukkan satu serpihan kecil dipercayai daripada tahi bintang itu.
Beberapa saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan milik Amerika Syarikat menganggarkan jumlah tenaga yang dibebaskan akibat kesan perlanggaran dengan atmosfera itu adalah kira-kira 30 kali ganda daripada bom atom yang digugurkan di bandar Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Letupan tahi bintang seberat 10 tan itu telah menyebabkan sejumlah tingkap kaca lebih 4,000 buah bangunan pecah di wilayah itu.
Bumbung dan dinding sejumlah bangunan juga runtuh selepas bebola api dan letupan dilihat sebahagian penduduk di wilayah berkenaan.
Gabenor wilayah berkenaan, Mikhail Yurevich menyatakan kerugian akibat letupan itu dianggarkan AS$33 juta (RM102 juta).
Ramai mangsa cedera akibat terkena kaca dan pelbagai serpihan yang pecah akibat letupan tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2L73BdSnU 
Hakcipta terpelihara