Pages

Wednesday, May 11, 2011

Palestin tiada duit angkara Zionis



RAMALLAH - Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak mampu membayar gaji pekerja sektor awam di Tebing Barat dan Genting Gaza buat pertama kali sejak 2007 kerana tindakan khianat rejim Israel menghentikan perpindahan kutipan cukai kepada Palestin.

Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad berkata, tindakan Israel itu menyebabkan kerajaan PA yang berpusat di Ramallah berhadapan dengan krisis kewangan yang teruk.

Rejim Zionis menghentikan penyaluran hasil cukai yang dikutip bagi pihak Palestin selepas kumpulan pejuang Fatah dan Hamas menandatangani perjanjian damai, minggu lalu, sekali gus menamatkan sengketa yang timbul sejak empat tahun lalu.

Fayyad berkata, kerajaan PA membayar gaji 150,000 kakitangan awam yang mencecah AS$170 juta (RM509 juta) pada minggu pertama setiap bulan sejak 2007 tetapi gagal berbuat demikian, bulan ini.

“Keadaan sememangnya sukar selama ini tetapi apabila Israel menghentikan perpindahan wang milik kami, ia menjadi mustahil untuk kerajaan membayar gaji pekerja,” katanya.

Israel mula menghentikan pemberian hasil cukai yang merangkumi 70 peratus pendapatan kerajaan PA pada 1 Mei lalu dengan alasan enggan wang itu disalurkan kepada Hamas yang dianggap sebagai pengganas.

Pemerintah Syria bertindak balas tahan ratusan aktivis



BEIRUT: Pasukan keselamatan Syria menahan ratusan aktivis dan pembantah antipemerintah dalam satu serbuan dari rumah ke rumah di seluruh negara itu, awal semalam.
Ia sebahagian daripada tindakan keras yang diambil oleh pemerintah negara itu yang bertujuan menghalang pemberontakan yang menyelubungi negara tersebut.Tindak balas pemerintah Syria itu mencetuskan sekatan antarabangsa baru ke atas negara itu, sedang Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan penjualan senjata ke negara itu.Langkah tersebut, yang mengikuti langkah sekatan yang diambil oleh Amerika Syarikat, juga melarang 13 pegawai pemerintah Syria daripada berkunjung ke salah sebuah daripada 27 negara anggota EU dan membekukan aset-aset mereka.Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, satu misi kemanusiaan telah tidak dibenarkan masuk ke bandar Daraa di selatan Syria, yang telah terputus hubungan sejak dua minggu lalu, selepas askar-askar Syria bertindak keras menghalang para pembantah antipemerintah.Ketua bantuan kemanusiaan PBB, Cik Valerie Amos, berkata misi bantuan tersebut telah ditangguhkan sehingga lewat minggu ini.Cik Amos berkata, beliau sedang cuba mendapatkan jawapan tentang mengapa misi tersebut tidak dibenarkan masuk ke Daraa kelmarin seperti yang dijadualkan.Seorang jurucakap PBB, Encik Farhan Haq, berkata Presiden Syria, Encik Bashar Al-Assad, telah menunjukkan 'kesediaannya' membenarkan misi kemanusiaan itu masuk ke Daraa dalam hubungan telefon beliau dengan Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, minggu lalu.Bagaimanapun, Encik Assad terus mengerahkan askar-askar dan kereta kebal untuk menghancurkan pemberontakan selama tujuh minggu itu, yang telah menimbulkan cabaran paling serius kepada pemerintahan keluarga beliau sejak empat dekad lalu.Rejim Encik Assad kelihatan berazam menghancurkan pemberontakan terhadapnya dengan menggunakan kekerasan dan intimidasi, walaupun adanya kemarahan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap kematian 630 orang awam sejak pergolakan tercetus di negara itu, menurut kumpulan-kumpulan hak asasi.Penangkapan semalam, yang tertumpu kepada para penganjur protes dan mereka yang menyertainya, telah dilakukan di empat kawasan - Homs, Banias, beberapa kawasan luar bandar di Damsyik dan beberapa kawasan kampung di bandar Daraa. -- AP.cyberita

Bekas menteri pelancongan Mesir dipenjara


KAHERAH: Bekas menteri pelancongan Mesir, Zuheir Garranah dijatuhi hukuman penjara lima tahun semalam selepas didapati bersalah melakukan rasuah, kata satu sumber kehakiman. 


Garranah dihukum bersama dua ahli perniagaan lain, didakwa membazirkan dana awam AS$51 juta (RM53 juta) selepas membenarkan penjualan tanah kerajaan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Beliau menteri kedua di bawah pentadbiran bekas Presiden Hosni Mubarak dipenjarakan kerana menipu, ia antara usaha kerajaan sementara tentera membongkar kes rasuah di negara itu.
Beliau dikatakan mengarahkan penjualan tanah seluas 305 juta persegi, sebahagiannya kaya hasil minyak, kepada ahli perniagaan Hisham al-Hazeq dan Hussein Segwani dengan harga AS$1 (RM3) satu meter persegi untuk projek pelancongan. 

Bekas menteri itu ditahan 17 Februari lalu, kurang seminggu selepas bantahan rakyat memaksa Hosni Mubarak meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera. – AFP 

Washington didakwa edar video palsu ketua al-Qaeda


DUBAI: Sebuah laman web yang sering digunakan oleh kumpulan militan Islam semalam menuduh Amerika Syarikat mengedar dan menyiarkan rakaman palsu yang menunjukkan Osama menonton rakaman dirinya sendiri.
Shaoumoukh al-Islam,. laman web yang sering menyiarkan rakaman video al-Qaeda sebaliknya menyiarkan satu video yang membandingkan rakaman yang disiarkan oleh Amerika Syarikat.

Menurutnya, video itu adalah tindak balas terhadap video yang disiarkan oleh media Arab dan asing mengenai Osama menonton rakaman dirinya sendiri.

“Waspada, waspada dengan pembohongan Amerika,” menurut keterangan yang tercatat dalam rakaman video selama 10 minit itu, lengkap dengan gambar telinga dan mata Osama yang berbeza dengan rakaman yang disiarkan Amerika Syarikat. - AP

Revolusi Syria 2011 ajak rakyat demonstrasi lagi

DAMSYIK: Aktivis demokrasi Syria menggesa rakyat negara itu bangkit mengadakan protes di seluruh negara sebagai menunjukkan sokongan kepada ribuan orang yang ditahan kerajaan kerana menuntut reformasi di negara itu.
Gesaan Revolusi Syria 2011 itu memungkinkan berlaku sekali lagi pertempuran berdarah di antara penyokong demokrasi dan pemerintah.

Pada masa sama, adik Presiden Bashar al-Assad disenaraikan Kesatuan Eropah sebagai seorang daripada 13 pegawai kerajaan Syria yang dikenakan sekatan atas pembabitan mereka menekan gerakan prodemokrasi.

Jurucakap Revolusi Syria 2011 berkata, demonstrasi akan diteruskan setiap hari.

“Protes hari ini menunjukkan sokongan kita kepada ribuan tahanan dalam penjara rejim penjenayah Syria,” katanya. - AFP

AS yakin dibenar siasat isteri Osama


WASHINGTON: Pakistan mungkin membenarkan pegawai Amerika Syarikat menyoal siasat tiga isteri Osama bin Laden.
Seorang pegawai Amerika berkata, keputusan itu akan menstabilkan hubungan antara kedua-dua negara yang terjejas teruk selepas pembunuhan pemimpin al-Qaeda di Pakistan.

Bagaimanapun, pegawai kanan Pakistan berkata di Islamabad, belum ada keputusan dicapai berhubung rancangan Amerika Syarikat itu.

Osama ditembak mati 2 Mei lalu dalam serangan sulit di Abbottabad, utara Pakistan. Pegawai Pakistan sebelum ini enggan membenarkan Amerika Syarikat menyoal siasat ketiga-tiga isteri Osama itu dengan alasan penyiasat tempatan belum selesai melakukan tugas mereka.

Ia juga berkata, ketiga-tiga wanita berkenaan, seorang warga Yaman dan dua dari Arab Saudi serta anak mereka akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Seorang isteri Osama itu cedera di kaki akibat terkena tembakan ketika operasi membunuh suaminya. Amerika Syarikat berhasrat menyoal siasat isteri Osama itu sebagai sebahagian daripada usaha menjejaki pergerakan dan rangkaian militannya di seluruh dunia. Dalam pada itu, Kementerian Luar Pakistan berkata, ia tidak menerima permohonan rasmi daripada Amerika Syarikat untuk menyoal anggota keluarga Osama yang berada dalam tahanannya.


Jurucakap kementerian, Tehmina Janjua. juga memberitahu wartawan di Islamabad, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi daripada negara asal ketiga-tiga isteri Osama. — Agensi

Usaha buru Mullah Omar diperhebat


WASHINGTON: Usaha memburu sekutu Osama bin Laden, Mullah Omar mula ditingkatkan, semalam.
Pasukan khas tentera Amerika Syarikat dan Pakistan memperhebatkan usaha masing-masing selepas mendapat maklumat baru mengenai tempat persembunyian pemimpin Taliban itu.

Menurut laporan, sumber perisikan percaya Omar bersembunyi di Quetta, bandar di barat Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan.

Agensi perisikan Pakistan, ISI dikatakan begitu terdesak untuk mengesan Omar selepas dimalukan oleh gerakan tentera Amerika yang membunuh Osama.

Pasukan khas Amerika dikatakan sudah berlatih untuk melancarkan serangan terhadap tempat persembunyian Omar selepas mengetahui mengenainya menerusi maklumat yang dirampas dari kediaman Osama di Abbottabad.

Bagaimanapun, tidak seperti Osama, Omar dipercayai dikelilingi oleh beratus-ratus pengikutnya yang lengkap bersenjata. Seorang pegawai kanan ISI mengesahkan mereka memburu Omar dan berkata: “Tindakan ketenteraan besar-besaran akan dilakukan di Quetta tidak lama lagi.” - Agensi

Obama kerah tentera secukupnya hadapi kemungkinan campur tangan

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengerahkan anggota tentera secukupnya untuk memerangi tentera Pakistan jika ada campur tangan dalam serangan yang membunuh Osama bin Laden pada 2 Mei lalu.
Akhbar New York Times memetik sumber keselamatan sebagai berkata, Obama membangkitkan kemungkinan pertempuran itu 10 hari sebelum serangan berkenaan, menyebabkan dua helikopter pejuang tambahan dikerah bagi melindungi komando yang melancarkan serangan terhadap kediaman Osama di Abbottabad. - AFP

Terowong canggih penyeludup dadah





SEBUAH tangga terletak dalam terowong canggih untuk penyeludup dadah dari Mexico ke bandar Nogales, Arizona, Amerika Syarikat kelmarin.



TUCSON - Sebuah terowong canggih ditemui polis sempadan Amerika Syarikat (AS) yang dilengkapi lampu, sistem pengudaraan dan pam air untuk menyeludup dadah, kata pihak berkuasa kelmarin.
Terowong itu sepanjang 76 meter digunakan untuk menyeludup dadah dari Mexico melalui sempadan negeri Arizona, AS.
Ia bermula dari sebuah bangunan tinggal di Nogales, Mexico ke bandar Nogales, Arizona dengan kedalaman 15 meter. - Reuters, kosmo

Ibu lahir anak dua kepala






BEIJING - Seorang ibu melahirkan bayi yang mempunyai dua kepala di sebuah hospital di bandar Suining, wilayah Sichuan, China pada minggu lalu.
Bayi itu berkongsi dua tangan dan dua kaki dilahirkan menerusi pembedahan.
Kembar ganjil itu menghidap dicephalic parapagus kerana bayi berkenaan hanya berkongsi satu badan yang menyebabkan pembedahan untuk memisahkannya tidak boleh dilakukan.
Bayi seberat 4.05 kilogram dan tinggi 50 sentimeter itu dilahirkan selepas satu sel telur gagal untuk berpecah dengan sempurna dan dianggap jarang berlaku dengan kebanyakan kes seperti ini dikesan di Asia Tenggara dan Afrika.
Bagaimanapun, di Barat, pada 2009, Lisa Chamberlain dari Portsmouth melahirkan kembar Joshua dan Jayden yang berkongsi satu badan. - Agensi

Kapal mewah Abramovich lawan pengasas Microsoft




KAPAL milik Paul Allen dekat bandar Antibes, Perancis baru-baru ini.


LONDON - Kapal mewah milik dua bilionair terkenal, Roman Abramovich dari Rusia dan Paul Allen yang merupakan pengasas syarikat perisian komputer, Microsoft menjadi tumpuan media semalam.
Kapal mewah milik Abramovich yang juga pemilik kelab bola sepak Chelsea diberi nama Luna, sepanjang 114.90 meter berlabuh dekat bandar Antibes, Perancis baru-baru ini.
Ia memiliki sebuah kolam renang dan tempat pendaratan helikopter, tingkap kalis peluru dan setiap bilik mengandungi skrin pawagam sebesar televisyen.
Namun, kapal milik Allen sepanjang 126.18 meter yang diberi nama Octopus pula mempunyai gelanggang bola keranjang dan dua tempat pendaratan helikopter.
Kapal pengasas bersama Microsoft itu dilengkapi dua kapal selam kecil, sebuah kolam renang dan sebuah studio muzik.
Allen menggunakan kapal itu untuk berparti.
Kedua-dua lelaki itu berada dalam senarai 100 individu paling kaya di dunia dengan Abramovich berada di tempat ke-53 dan Allen di tangga 57.
Kedua-dua kapal itu juga berlabuh dekat bandar Antibes, Perancis baru-baru ini. - Agensi

Tripoli diserang jet NATO




BEBERAPA anggota media merakamkan gambar sebuah bangunan yang musnah akibat serangan jet tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara di Tripoli semalam.


TRIPOLI - Jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengebom bandar raya Tripoli di Libya semalam.
Pengeboman itu merupakan yang paling besar dilakukan sejak beberapa minggu lalu bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di negara berkenaan.
Jet-jet pejuang itu mengebom empat lokasi di bandar raya ini menyebabkan letupan berlaku manakala satu serangan mengenai bangunan agensi perisikan tentera.
Satu lagi serangan mengenai sebuah bangunan pentadbiran yang kadangkala dijadikan tempat persidangan parlimen.
Kepulan asap juga dilihat dari kawasan kediaman anggota-anggota keluarga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Pertempuran juga berlaku antara kumpulan pemberontak dengan tentera Gaddafi di Dafniya dan dekat sebuah lapangan terbang di Misrata.
Pergolakan di Libya masih belum selesai selepas para pemberontak bangkit menentang pemerintahan Gaddafi pada 15 Februari lalu.
Tentera Barat turut terlibat dalam serangan di Libya dengan tujuan untuk memastikan Gaddafi meletakkan jawatan. - Agensi, kosmo