Pages

Thursday, July 23, 2015

5 gunung meletus serentak

Jakarta: Letusan lima gunung berapi di Indonesia semalam menyebabkan beberapa bahagian di negara itu dilitupi awan debu tebal yang mengakibatkan tiga lapangan terbang ditutup.
Pakar gunung berapi Indonesia, Surono berkata, gunung Raung di Pulau Jawa sejak beberapa minggu lalu memuntahkan debu dan batuan ke udara setinggi dua kilometer.
Gunung berapi Gamalama dan Dukono yang terletak di kepulauan Moluccas turut meletus serta mengeluarkan debu ke udara.
Keadaan diburukkan lagi selepas gunung Sinabung di Sumatera dan gunung Karangetang di pulau Siau turut meletus, semalam.
Lebih 13,000 penduduk yang majoritinya tinggal di kaki gunung Sinabung telah dipindahkan akibat aktiviti gunung berapi berkenaan sejak bulan lalu.
Kata Surono, letusan lima gunung berapi secara serentak itu bukan dicetuskan oleh aktiviti luar biasa.
“Penilaian kami menunjukkan tiada fenomena luar biasa yang menyebabkan letusan lima gunung berapi secara serentak ini,” ujarnya.
Menurutnya, semua letusan berkenaan berlaku secara semula jadi dan perkara normal di negara yang mempunyai kira-kira 130 gunung berapi aktif.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Julius Adravida Barata berkata, lapangan terbang Jember dan Banyuwangi ditutup lewat kelmarin manakala lapangan terbang Bali ditutup selama beberapa jam semalam.
Media melaporkan, 37 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali terpaksa dibatalkan.
Letusan gunung Raung pada awal bulan ini menyebabkan kekecohan di lapangan terbang berkenaan apabila menyebabkan ribuan pelancong terkandas.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:20 AM


SEORANG penunggang motosikal melintasi Gunung Raung yang masih mengeluarkan debu ke udara kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65573#sthash.9iD8lv4l.dpuf

Remaja main piano ketika tidur

Wellington: Seorang remaja perempuan berusia 12 tahun mengejutkan keluarganya apabila bermain piano dengan baik ketika tidur.
Isabelle yang menghidap penyakit berjalan dalam tidur tiba-tiba bermain piano walaupun baru mengikuti kelas alat muzik berkenaan.
Aksi Isabelle bermain piano sambil tidur dirakam oleh bapa saudaranya, James Hodgson dan dimuat naik di laman YouTube.
Dalam video berkenaan Isabelle bermain piano dengan baik walaupun matanya tertutup dan berdengkur.
Beberapa ahli keluarga remaja itu kelihatan terpegun melihat dia bermain alat muzik berkenaan.
Hodgson berkata, Isabelle sering berjalan di dalam tidur, tetapi ini kali pertama dia bermain piano.
“Isabelle baru mengikuti kelas piano dan belum mampu bermain piano dengan baik.
“Bagaimanapun, aksinya bermain piano ketika tidur sangat mengejutkan kerana dia seperti sudah bertahun-tahun bermain alat muzik berkenaan.
“Lebih pelik lagi Isabelle kembali semula ke katil selepas bermain piano dan keesokan harinya dia tidak mengingati apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, Isabelle juga tidak boleh bermain piano dengan baik seperti dilakukannya ketika tidur.
Tambahnya, Isabelle sebelum ini pernah menyanyi ketika tidur dan keesokan harinya remaja itu memberitahu dia bermimpi bernyanyi di satu konsert.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:22 AM


AKSI Isabelle bermain piano ketika tidur.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65575#sthash.H1LMdyn6.dpuf

Sambutan Aidilfitri terbesar di Eropah


SEBAHAGIAN daripada 70,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri
SEBAHAGIAN daripada 70,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Small Heath Park di Birmingham, Britain, kelmarin. AGENSI
LONDON 18 Julai - Kira-kira 70,000 umat Islam berkumpul menunaikan solat sunat Aidilfitri di Small Heath Park di Birmingham, semalam dalam satu perhimpunan terbesar umat Islam di Eropah bagi menyambut Aidlfitri pada tahun ini.
Sejurus selesai menunaikan solat sunat, kumpulan itu kemudiannya berpecah mengunjungi gerai-gerai makanan dan taman hiburan berhampiran.
Pengurus Masjid Green Lane, Amer Ijaz berkata, persediaan untuk mengadakan majlis besar-besaran itu dirancang sejak enam bulan lalu.
"Menerusi acara ini, kami menyatukan masyarakat. Agak penting kami meneruskan majlis ini sebagai satu acara kekeluargaan,’’ katanya sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Masjid Green Lane dan Pusat Komuniti Birmingham, mula menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri pada 2012 yang menyaksikan lebih 12,000 umat Islam menghadirinya dan jumlah itu terus meningkat sehingga sekarang.
Sementara itu, sebahagian besar daripada kira-kira 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri, semalam manakala sebahagian lagi termasuk penduduk Islam di India, Iraq, Iran, Pakistan dan Bangladesh menyambut hari kemenangan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan itu, hari ini.
Sambutan itu diraikan secara sederhana oleh umat Islam ketika beberapa negara seperti Syria, Iraq, Yemen, Palestin, Myanmar dan selatan Thailand masih dibayangi keganasan akibat perang saudara, penindasan dan pemberontakan.
Di Indonesia, kemeriahan Aidilfitri sedikit terjejas selepas sebahagian besar penduduk tidak dapat pulang ke kampung bagi meraikannya bersama keluarga, setelah banyak pesawat tidak dapat berlepas ekoran letusan gunung berapi.
Portal Channelnewsasia.com melaporkan, bagaimanapun lapangan terbang antarabangsa di Surabaya, bandar kedua terbesar selepas Jakarta dan sebuah lapangan terbang kecil di Jawa Timur yang ditutup sejak kelmarin dibuka semula semalam menyaksikan syarikat penerbangan menyambung operasi mereka pada sebelah petang.
Lapangan terbang Surabaya dan empat buah lapangan terbang kecil ditutup sejak kelmarin menjelang cuti hari raya berikutan letusan Gunung Berapi Raung di kepulauan Jawa, manakala sebuah lapangan terbang di kawasan terpecil Ternate ditutup ekoran debu yang dihemburkan dari Gunung Berapi Gamalama.
Dalam perkembangan berasingan, ribuan penduduk Islam Palestin di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki Israel mengunjungi Masjid al-Aqsa semalam bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri, yang disambut selama tiga hari di wilayah tersebut.
"Saya mahu menghabiskan hari pertama Aidilfitri di Bandar Lama Baitulmaqdis. Ini mungkin peluang terakhir saya untuk melawat al-Aqsa sehingga Ramadan yang akan datang,’’ kata Jihad Kioswani, 40, yang keluar dari rumahnya di bandar Tebing Barat sejak pukul 5 pagi waktu tempatan bagi melawat masjid berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/sambutan-aidilfitri-terbesar-di-eropah-1.114601#sthash.xwcIiCiA.dpuf

Rakyat China paling ramai hisap rokok



Gambar hiasan, seorang lelaki warga China sedang merenung jauh sambil menghisap rokok. – AGENSI
LONDON 21 Julai - Sepuluh tahun lalu, adalah menjadi satu kebiasaan melihat penduduk barat menghisap rokok di bar-bar, restoran-restoran dan malahan dalam pengangkutan awam di bandar-bandar utama di Eropah.
Namun, selepas kempen mengurangkan amalan merokok di tempat-tempat awam dijalankan dengan giat di Eropah, tabiat merokok telah berubah dengan drastiknya di Barat Eropah.
Ketika penggunaan tembakau mengalami kejatuhan di Barat, kajian terbaharu pula menunjukkan tabiat itu meningkat dalam kalangan negara membangun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), daripada satu bilion penghisap rokok global, hampir 80 peratus perokok adalah di negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan.
Jumlah perokok di negara China merupakan yang tertinggi daripada gabungan perokok di negara berpendapatan rendah dan pertengahan.
Sehubungan itu, kerajaan China kini memperhebatkan kempen untuk menangani gejala itu dengan meningkatkan larangan menghisap rokok, mengenakan denda yang lebih tinggi dan larangan merokok sepenuhnya di tempat awam di Beijing.
Daripada 5.8 trilion perokok pada 2014, penduduk negara manakah yang paling ramai menghisap rokok?
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rakyat-china-paling-ramai-hisap-rokok-1.115599#sthash.fNTut5IY.dpuf

Helaian al-Quran tertua

Dijumpai pasukan penyelidik di Universiti Birmingham


Beberapa helaian muka surat al-Quran paling tua di dunia dijumpai
Beberapa helaian muka surat al-Quran paling tua di dunia dijumpai di Universiti of Birmingham. Agensi
BIRMINGHAM 22 Julai - Beberapa helaian muka surat al-Quran dipercayai paling tua di dunia, dijumpai di Universiti Birmingham, lapor saluran penyiaran BBC.
Jelas laporan berkenaan, pe­meriksaan radiokarbon mendapati, helaian muka surat menggunakan kulit kambing biri-biri atau kambing tersebut berusia sekurang-kurang 1,370 tahun, menjadikannya antara al-Quran terawal di dunia.
Helaian muka surat al-Quran tersebut berada di perpustakaan universiti itu sejak satu dekad lalu, tetapi tidak pernah dikenal pasti kewujudannya.
Ujian yang dilakukan oleh Unit Radiakarbon Universiti Birmingham memberikan beberapa tarikh penghasilan kitab suci itu dengan lebih 95 peratus keberangkalian bertarikh antara 568 dan 645 tahun Masihi.
Pakar Perpustakaan Britain, Dr. Muhammad Isa Waley berkata, penemuan luar biasa tersebut pasti disambut kegembiraan umat Islam.
Helaian tersebut sebelum ini ditempatkan bersama koleksi buku-buku dan dokumen Asia Barat lain tanpa dikenal pasti sebagai antara helaian muka surat al-Quran tertua di dunia.
Perkara itu disedari apabila seorang penyelidik sarjana menemukannya dan membuat keputusan untuk melakukan proses ujian radiokarbon.
Pengarah Koleksi Khas Universiti Birmingham, Susan Worrall berkata, beliau tidak menjangka usia helaian muka surat al-Quran tersebut.
“Penemuan ini sangat menarik,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/helaian-al-quran-tertua-1.115894#sthash.W1CdVoWC.dpuf