Pages

Wednesday, August 29, 2012

Rumah terbakar ketika beraya



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Ogos 2012
Rumah terbakar ketika beraya
Abdul Manan (kiri) bersama Mohd Shohaimi (kanan) melawat rumah Mohd. Rael Mahidin (dua, kiri) yang terbakar di Kampung Paya Rambutan, Gambang di sini, semalam.
KUANTAN – Sebuah keluarga di Kampung Paya Bungor di sini bernasib baik apabila terselamat daripada rentung dijilat api setelah rumah yang didiami terbakar, kelmarin.

Mohd. Rael Mahidin, 47, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga tiada di rumah kerana pergi beraya di rumah saudaranya dan terkejut apabila melihat api sedang marak sejurus selepas balik ke rumah.
Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 2.30 petang pada Ahad lalu apabila mereka terkejut melihat sebahagian ruang rumah mereka sudah terbakar.

“Kami bernasib baik apabila tangki air yang berada di atas siling pecah dan membantu memadamkan kebakaran daripada terus merebak.

“Bagaimanapun, banyak barang yang sudah musnah dijilat api,” katanya.

Sementara itu, nasib keluarga ini mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang menghulurkan bantuan kepada mereka di sini.
Keluarga mangsa terbabit menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Abdul Manan dan barang keperluan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Abdul Manan ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban yang ditanggung meskipun mereka masih berasa trauma akibat kejadian tersebut.
"Saya bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

"Namun saya berharap penduduk harus lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling terutama dalam keadaan cuaca yang panas sejak kebelakangan ini menyebabkan kebakaran mudah berlaku.

“Malang tidak berbau, oleh itu, sebelum kita keluar rumah, pastikan terlebih dahulu peralatan elektrik telah dipadamkan dan juga segala kemungkinan lain yang boleh menyebabkan musibah seumpama ini berlaku,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd. Shohaimi Jusoh.
Mohd Shohaimi berkata, dia simpati dengan nasib yang menimpa keluarga ini pada saat semua orang Islam sedang bergembira menyambut kemeriahan Syawal.

"Saya harap selepas ini ada lagi pihak yang datang untuk menyumbangkan keperluan kepada mereka bagi memastikan kehidupan mereka tidak terjejas dengan kejadian tersebut.

“Kita akan membantu meringankan beban mereka dan semoga mereka boleh teruskan kehidupan mendatang dengan lebih baik lagi dan menjadikan kejadian ini sebagai iktibar,” katanya.

Remaja dicabul dalam kereta



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Ogos 2012
ROMPIN - Gara-gara menjalin hubungan cinta songsang, seorang remaja dibelasah dengan tongkat kayu sebelum dicabul dua lelaki di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari Bandar Tun Razak ke Temerloh.

Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Ina (bukan nama sebenar) bukan saja dibelasah dan dicabul, malah dia yang berada di tempat duduk penumpang belakang turut dimaki dengan kata kesat dan dipaksa makan cili api.
Lebih mengaibkan, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘bomoh’ sempat merakamkan gambar dan video Ina yang tidak berbaju itu dalam telefon bimbit sambil mengugut untuk menyebarkannya dalam Internet.
Ina yang berusia 19 tahun itu berkata, sepanjang perjalanan itu juga, dia didera fizikal dan mental apabila diasak pelbagai pertanyaan keluarga Tasha (bukan nama sebenar) dan bomoh terbabit tentang hubungan sejenisnya dengan wanita itu.

“Keluarga Tasha datang jumpa keluarga saya di rumah dan paksa saya supaya ikut mereka ke Temerloh kononnya untuk berbincang dan menyelesaikan secara baik kesalahan yang dilakukan saya terhadap Tasha,” katanya.

Menurutnya, ibunya yang bimbang sesuatu terjadi ke atas dirinya menghubungi abangnya memaklumkan tentang kedatangan keluarga Tasha ke rumahnya bagi menyelesaikan kes terbabit.

“Bagaimanapun keluarga Tasha tetap berkeras untuk membawa saya ke Temerloh untuk menyelesaikan perkara itu.

“Pada mulanya, mereka tidak membenarkan emak dan kakak saya ikut, namun setelah didesak beberapa kali akhirnya mereka terpaksa membawa kedua-duanya sekali ke Temerloh.

“Emak saya mula curiga, apabila saya dipaksa menaiki kereta berasingan sedangkan emak dan kakak menaiki kereta yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, atas alasan bomoh itu yang kononnya tidak berbuat apa-apa terhadap diri saya di dalam kereta terbabit, akhirnya ibu akur dengan alasan tersebut.

“Segala-galanya berubah apabila saya yang duduk di tempat penumpang belakang diapit abang Tasha dan bomoh telah bertindak kejam dengan memukul saya dengan tongkat kayu sambil melemparkan kata kesat,” katanya.

Ina berkata, bomoh itu turut merakamkan video dan gambar dia tidak berbaju sambil memaksanya untuk memandang kamera telefon bimbit tersebut.

Katanya, bomoh dan abang Tasha juga mengugut untuk membawanya ke sebuah penempatan Orang Asli kerana ada tujuh lelaki di situ yang sudah sedia menunggu untuk merogolnya.

“Bagaimanapun, ibu Tasha menghubungi anaknya itu supaya segera membawa saya ke rumah mereka kerana sudah lama menanti,” katanya.
Katanya, sebaik saja sampai di rumah ibu Tasha, dia dipukul wanita itu.

Menurutnya, kejadian dia dipukul itu hanya mampu disaksikan ibu dan kakaknya itu memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk menghalang perbuatan kejam tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebaik dia tiba di rumah, dia menceritakan segala-galanya detik dia dicabul dan dipukul oleh bomoh dan abang Tasha kepada keluarganya sebelum laporan polis dibuat bagi menuntut keadilan bagi pihaknya.

“Pada mulanya, kita tak mahu memperbesarkan perkara ini, namun tindakan yang dilakukan oleh keluarga Tasha amat kejam hingga mendatangkan kecederaan dan mencabul kehormatan saya,” katanya.

Menurutnya, sehari selepas kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam sebelum membuat laporan polis seterusnya di Balai Polis Bandar Tun Razak, Keratong.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Asisten Superintendan, Zainul Mujahidin Mat Yudin mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes terbabit.

Zainul Mujahidin berkata,  polis menahan seorang daripada suspek untuk membantu siasatan.

Datuk cabul cucu saudara ketika bersiar



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Ogos 2012
Noor Mushar
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar
SABAK BERNAM - Seorang warga emas bakal berhadapan tindakan undang-undang setelah dipercayai cuba mencabul kehormatan cucu saudaranya yang berusia enam tahun, Ahad lalu.

Difahamkan, kejadian sekitar jam 11.30 pagi tersebut berlaku apabila suspek dipercayai membawa mangsa bersiar-siar di kawasan berhampiran dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohd berkata, suspek kemudiannya berhenti di satu lokasi di kawasan kebun di Parit 7 Sungai Leman sebelum mengarahkan mangsa untuk membuka seluar dan kemudian meraba mangsa.

“Mangsa yang berada dalam keadaan ketakutan kemudian menangis dan merayu supaya suspek menghantarnya pulang ke rumah," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian menghantar mangsa pulang semula ke rumahnya sekitar jam 12 tengah hari.

“Kira-kira jam 8 malam, bapa mangsa mendapati mangsa menangis dan selepas didesak, mangsa memberitahu kejadian sebenar.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang oleh bapanya bagi menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar.

Noor Mushar berkata, selepas menerima laporan, polis bertindak menahan suspek yang berusia lingkungan 68 tahun itu sekitar jam 2 pagi di kediamannya.

“Polis masih menjalankan siasatan dan suspek kini ditahan di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan sementara siasatan dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak mereka agar kes sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan.

"Ini juga sedikit sebanyak dapat membantu dan memudahkan polis dalam mengambil tindakan awal terhadap mana-mana pesalah undang-undang negara ini,” katanya.

AS dalangi pemberontak




         
LONDON: Menteri Luar Syria menuduh Amerika Syarikat menjadi “dalang utama” menggalakkan pemberontak antikerajaan.

Menurut Walid Muallem, AS mungkin menggunakan Syria untuk mengekang pengaruh Iran di Timur Tengah, selain memperbesarkan kemampuan nuklear Iran bagi membolehkan senjata mereka dijual ke negara Teluk. “Kami percaya AS menjadi dalang utama dalam penentangan ke atas Syria dan selebihnya adalah alat mereka,” katanya dalam temu bual disiar akhbar Independent, semalam.


Kata Walid, kajian dijalankan kumpulan pemikir berpengaruh Washington, Brookings Institution, baru-baru ini menunjukkan bahawa jika AS mahu mengekang Iran, langkah itu perlu dimulakan dengan mengawal Damsyik.

Katanya, Syria dimaklumkan diplomat Barat ketika permulaan krisis di negara itu, hubungan Damsyik - Teheran serta Hizbullah dan Hamas adalah elemen utama di sebalik konflik berkenaan.


“Tetapi tiada sesiapa memberitahu kami mengapa hubungan dengan Iran dilarang ketika hampir semua negara Teluk menjalin hubungan penting dengan Iran,” katanya. Walid juga mendakwa AS membantu pemberontak dengan membekalkan mereka dengan peralatan telekomunikasi - satu tindakan dianggap menyokong keganasan.


Sementara itu, Walid juga menafikan rejim Presiden Bashar al-Assad akan menggunakan senjata kimia jika penguasaan mereka ke atas Syria semakin lemah.

“Tanggungjawab kerajaan adalah melindungi rakyatnya,” katanya. Semalam, pertubuhan hak asasi manusia mendakwa, 334 mayat ditemui di Daraya yang didiami majoriti penganut Sunnah ekoran serbuan tentera prokerajaan. - AFP

Iran tidak akan henti program nuklear




         
TEHERAN: Iran “tidak akan menghentikan” program pengayaan uraniumnya, kata wakil Teheran ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), semalam.

Menurut Ali Asghar Soltanieh, Iran berhak menjalankan aktiviti itu di bawah pengawasan IAEA.


“Kami tidak akan menyerahkan hak pengayaan itu,” katanya kepada media di Persidangan Pergerakan Negara Berkecuali di Teheran.

Majlis Keselamatan PBB menuntut Iran menghentikan aktiviti itu dan mengenakan empat set sekatan ke atas negara terbabit. - AFP

Jualan senjata AS meningkat tiga kali ganda



         
WASHINGTON: Jualan senjata Amerika Syarikat ke negara lain meningkat hampir tiga kali ganda kepada $66.3 billion (RM206 bilion) tahun lalu.

Ia meletakkan pasaran Amerika menguasai hampir 80 peratus pasaran senjata dunia.


Perkhidmatan Kaji Selidik Kongres berkata, jumlah bagi 2011 itu adalah yang terbesar untuk tempoh setahun dalam sejarah program mengeksport senjata Amerika Syarikat. - Reuters

Serangan udara ragut puluhan nyawa di Damsyik




29 Ogos 2012
Sebuah helikopter milik tentera kerajaan ditembak jatuh oleh pemberontak, kelmarin.
Sebuah helikopter milik tentera kerajaan ditembak jatuh oleh pemberontak, kelmarin.
DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 60 terkorban selepas dua jet pejuang milik tentera  kerajaan melancarkan serangan bertubi-tubi di pinggir Damsyik, menurut aktivis, kelmarin.

Mereka menyatakan insiden lewat malam kelmarin itu dipercayai adalah serangan balas susulan daripada tindakan Tentera Pembebasan Syria (FSA) menggempur dan menawan beberapa pusat pemeriksaan askar kerajaan di pinggir Saqba.

Difahamkan, serangan itu juga menyasarkan kawasan kejiranan Zamalka yang dihuni penduduk miskin dan majoriti pengikut Sunnah (penentang kuat Presiden Bashar al-Assad).

Menerusi rakaman video yang diperoleh oleh media antarabangsa menunjukkan penduduk termasuk kanak-kanak lari bertempiaran menyelamatkan diri selepas salah sebuah jet pejuang melancarkan peluru berpandu ke arah apartmen enam tingkat di pinggir ibu negara.

"Serangan jet pejuang itu adalah yang pertama kali di pinggir Damsyik. Ia dilihat berlegar-legar di ruang udara sebelum bertindak melancarkan serangan bertalu-talu," menurut seorang aktivis yang enggan mendedahkan identitinya.

Dalam satu kejadian berasingan, kumpulan pemberontak memaklumkan mereka telah menembak jatuh sebuah helikopter di Damsyik, sehari selepas pasukan keselamatan Assad melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar Daraya.

Lelaki menyamar Bigfoot mati dilanggar




29 Ogos 2012
KALISPELL -  Gara-gara mahu menakut-nakutkan penduduk setempat dengan kelibat Bigfoot di utara barat Montana, seorang lelaki menemui ajal selepas dilanggar dua buah kereta, Ahad lalu.

Peronda lebuh raya Montana memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Randy Lee Tenley, 44, turut mengenakan baju Ghillie yang dipakai tentera semasa berperang untuk melakukan penyamaran itu.

"Mangsa dirempuh kereta di laluan kanan lebuh raya selatan Kalispell lalu tercampak ke tengah jalan sebelum digilis sebuah lagi kereta," kata anggota polis, Jim Schneider.

Perancis mula inkuiri siasat kematian Yasser Arafat




29 Ogos 2012
Arafat meninggal akibat diracun
Yasser Arafat
PARIS - Pihak berkuasa Perancis memulakan inkuiri ke atas kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat lapan tahun yang lalu.

Langkah ini diambil ekoran permohonan keluarganya, yang mendakwa bahawa Allaharham Yasser meninggal dunia pada 2004 kerana telah diracuni dengan polonium-210, satu bentuk elemen radioaktif.

Mengumumkan perkara itu semalanm, pendakwa raya Perancis berkata, pihaknya bersetuju untuk memulakan inkuiri.

Kata pendakwa raya, pihaknya akan melantik seorang hakim untuk mengetuai inkuiri tersebut.

Susulan aduan dibuat oleh keluarga Yasser, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah mengemukakan permintaan secara rasmi kepada kerajaan Perancis agar diadakan  satu siasatan.

Isteri Yasser, Suha membuat aduan ekoran dokumentari Al-Jazeera yang disiarkan Julai lalu menunjukkan saintis menemui kewujudan polonium-210 pada pakaian pemimpin itu.

Pegawai kanan Palestin, Saeb Erekat berkata, Pihak Berkuasa Palestin menyambut baik inkuiri tersebut.

"Kami berharap akan ada siasatan yang serius untuk mendedahkan kebenaran (berkaitan punca kematian)," katanya lagi.

Yasser meninggal dunia pada Oktober 2004 ketika berusia 75 tahun di sebuah hospital tentera Perancis.

Allahyarham mengetuai Pertubuhan Pembebasan Palestin selama 35 tahun dan menjadi presiden pertama Pihak Berkuasa Palestin pada 1996.

Biar mayat ibu reput




         
TAIPEI: Seorang lelaki ditangkap kerana didakwa membiarkan ibunya mati selepas mayat wanita itu ditemui reput dan berulat di rumahnya.

Isteri lelaki itu menghubungi polis Jumaat lalu apabila mendapati ibu mentuanya yang berusia 53 tahun dan dikenali sebagai Yeh, mati di apartmen mereka di utara Taiwan.


Polis yang tiba di kediaman berkenaan menemui mayat berulat itu dan percaya wanita itu mati lebih seminggu lalu.

Lelaki berkenaan ditangkap kerana disyaki membiarkan mayat itu begitu saja. Bagaimanapun, belum ada tuduhan dikenakan terhadapnya.


Media tempatan berkata, dia menghabaiskan masanya bermain permainan komputer di kafe Internet.


Kes penderaan dan membiarkan warga tua terlantar semakin meningkat di Taiwan sejak beberapa tahun lalu hingga mendorong anggota Parlimen mengusulkan rang undang-undang untuk memenjara golongan dewasa yang gagal menjaga ibu bapa mereka.

Menurut bancian terbaru, 10.7 peratus daripada 23 juta penduduk Taiwan terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun atau lebih.


Ia mengatasi paras tujuh peratus yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk mendefinisikan sebuah masyarakat sebagai meningkat tua.- AFP

Mursi mahu Bashar disingkirkan

KAHERAH: Presiden Mesir menggesa sekutu Bashar al-Assad supaya membantu menyingkirkan pemimpin itu daripada kekuasaan di Syria.

Menurut Mohamed Mursi Isa, kini adalah masa yang sesuai menghentikan pertumpahan darah dan memberikan hak sepenuhnya kepada rakyat Syria.


“Inilah masanya bagi menghapuskan rejim yang membunuh rakyat sendiri,” katanya dalam temu bual pertamanya dengan pertubuhan berita antarabangsa, semalam.

Mohamed Mursi berkata, tiada ruang untuk rundingan reformasi di Syria, sebaliknya apa yang ada hanyalah mengenai perubahan.


“Rakan rakyat Syria di China dan Russia perlu menyokong rakyat Syria,” katanya. Mursi, 61, bercakap kepada wartawan Reuters menjelang lawatannya ke China dan Iran - dua negara penyokong Syria - minggu ini. - Reuters

Bayi perempuan parah diserang kucing jiran ketika tidur

KESAN luka di kening Georgie.
KESAN luka di kening Georgie.

LONDON: Seorang ibu dikejutkan jeritan bayi perempuannya awal pagi semalam dan mendapati dia cedera diserang kucing jiran di dalam katilnya.
Menurut Samantha Gittus, ketika dia bergegas memeriksa anaknya, kucing berkenaan masih menyerang muka anaknya, Georgie, 17 bulan.

Samantha, 23, kemudian bergegas membawa anaknya ke hospital dan doktor terpaksa mengenakan 17 jahitan untuk mencantumkan semula luka berkenaan.

Luka itu dipercayai akan menjadi parut kekal di kening Georgie. Insiden itu adalah yang terbaru membabitkan serangan kucing ke atas manusia. Ia mencetuskan desakan awam supaya ada undang-undang digubal bagi mengawal kucing berbahaya - sama seperti dilakukan ke atas anjing. Kata Samantha, pengalaman itu amat menakutkan.

“Hingga kini kucing itu masih berkeliaran di halaman kami dan tiada apa dapat dilakukan,” katanya. Ekoran kejadian itu, Samantha - seorang pelayan sambilan - bercadang berpindah ke rumah lain berhampiran Salisbury.

Katanya, kucing itu masuk melalui tingkap terbuka. “Kejadian berlaku pada tengah malam dan ketika saya tiba di bilik Georgie, dia berlumuran darah,” katanya.


Samantha juga bersyukur kerana luka itu tidak menyebabkan mata anaknya terjejas. - TS

Pemilik pistol, dadah diberkas




MOHD. ADNAN (kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Pemburuan polis ke atas seorang lelaki yang disyaki pemilik sepucuk pistol dan pelbagai jenis dadah yang ditinggalkan di dalam sebuah kereta pada 18 Ogos lalu berakhir apabila suspek ditahan di Seksyen 9 di sini kelmarin.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek merupakan suami kepada pemilik kereta terbabit yang ditemui terbabas berhampiran Stadium Malawati di Seksyen 13 pada pukul 2.45 pagi.
Difahamkan, isteri suspek bagaimanapun tidak terlibat.
"Kejadian berlaku apabila kereta dipandu suspek ditahan polis peronda di Jalan Subang di sini selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan selain dipandu secara berbahaya.
"Sebaik ditahan, anggota polis meminta kad pengenalan daripada suspek lelaki yang memandu bersendirian itu, namun dia cuba berlengah serta cuba mengeluarkan satu objek dari beg sandangnya tetapi dihalang anggota polis terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, suspek kemudian memecut tetapi beg sandangnya berjaya dirampas oleh polis. Pemeriksaan di dalam beg itu menemui sepucuk pistol semi automatik dengan tujuh butir peluru 9 milimeter.
Menurut Mohd. Adnan, sejam selepas itu, polis menerima maklumat kereta yang dipandu suspek terbabas di sebatang jalan di Seksyen 13 namun suspek telah melarikan diri.
"Pemeriksaan di dalam kereta itu menemui 107 gram pelbagai jenis dadah," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Lima didakwa culik ahli perniagaan




LIMA tertuduh (dari kiri sehingga tertuduh berbaju batik hitam) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Melaka semalam atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan.


MELAKA – Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan pada 22 Ogos lalu.
Tertuduh terdiri daripada Mi Chew Kek, 40, Lim Lian Huat, 41, Chow Diong Ching, 51, Chong Noon Chee, 38, dan Teo Boon Han, 35.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syajaratudur Abd. Rahman.
Kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama beberapa orang lagi rakan sejenayah yang masih bebas menculik, Tan Lung Lai, 36, bagi memaksa lelaki berkenaan menyerahkan wang tebusan RM8 juta.
Perbuatan itu dilakukan di tempat letak bas dan kenderaan awam berhampiran medan selera Perkampungan Portugis di sini pada pukul 9.10 malam, 22 Ogos lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.
Pegawai Pendakwa yang mengendalikan kes berkenaan, Inspektor Muhather Mohd. Kudus memohon agar kesemua tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang.
Bagaimanapun, peguam bela, Rosal Azimin Ahmad yang mewakili kelima-lima tertuduh memohon agar mereka dikenakan jaminan rendah atas alasan mereka merupakan peniaga kecil-kecilan.
Setelah mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, Syajaratudur membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula.

Waspada penipu menyamar wartawan




MICHAEL (duduk di kiri) dan Man Fai (duduk di tengah) pada sidang akhbar bersama beberapa pengusaha restoran yang ditipu dua lelaki menyamar sebagai petugas media di Wisma MCA di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menasihati pemilik restoran di ibu negara supaya berhati-hati jika didatangi oleh mana-mana individu yang mengaku sebagai wartawan dan jurugambar media cetak.
Ketuanya, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya mendapat laporan terdapat dua lelaki yang giat menipu pengusaha restoran di sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini dengan menyamar sebagai petugas media.
“Lelaki dikenali sebagai Jonathan dan Edmund ini memaklumkan pengusaha restoran bahawa premis mereka dipilih sebagai restoran terbaik di Malaysia oleh syarikat penerbitan.
“Mangsa diyakinkan bakal menerima Anugerah Restoran Terbaik Malaysia tetapi perlu bayar wang sehingga beribu ringgit kononnya untuk tujuan pengiklanan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Michael berkata, Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menerima sebanyak 10 aduan kes seperti itu membabitkan kerugian lebih RM30,000 sejak beberapa bulan lalu.

Dua wanita dibunuh lelaki mabuk



DI kawasan rumah inilah tempat berlakunya kejadian seorang lelaki yang mabuk bertindak 
menikam Bibia dan Jalijah hingga mati di Kolombong, Kota Kinabalu kelmarin.


KOTA KINABALU – Bahana meneguk arak, seorang lelaki bertindak di luar batas kemanusiaan apabila membunuh dua wanita yang merupakan jiran bilik sewanya hanya kerana berang selepas ditegur meminum minuman keras tersebut dalam kejadian di Kampung Cenderakasih, Kolombong dekat sini kelmarin.
Pembunuhan pukul 7 petang itu mengakibatkan Bibia Daud, 40, dan Jalijah Jalin, 30, mati di tempat kejadian selepas masing-masing ditikam di leher dan perut oleh suspek berusia lingkungan 30-an tersebut. Kedua-dua mangsa merupakan warga Filipina.
Kejadian berlaku apabila suspek yang sedang mabuk naik berang selepas ditegur berulang kali mengenai kegiatannya itu oleh Bibia dan suaminya yang dikenali sebagai Elon, 52.
Tanpa disangka, suspek kemudian mengambil sebilah pisau lalu terus menikam leher suri rumah tersebut sebelum Elon mengejar suspek hingga berlaku pergelutan di dalam kawasan kejadian.
Bertambah malang apabila Jalijah yang baru pulang dari tempat kerja di sebuah pasar raya dirodok di perut oleh suspek ketika dia ingin memasuki rumah tersebut. Jalijah baru menyewa di situ sejak dua bulan lalu.
Difahamkan, kesemua yang terlibat tinggal di satu deretan rumah diperbuat daripada papan mempunyai 20 buah bilik dan dihuni lebih 60 penyewa.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun (gambar kecil) berkata, Elon yang semakin geram dengan tindakan suspek kemudian terus mengejar lelaki itu sejauh kira-kira 100 meter sambil membawa sebatang besi.
“Ekoran pergaduhan itu, kedua-duanya parah selepas mengalami pendarahan teruk. Mereka kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

Rumah Imuda dipecah masuk, pencuri sempat ratah kuih raya



IMUDA menunjukkan jeriji besi yang diumpil oleh pencuri untuk memasuki rumahnya.


KUALA LUMPUR - Rumah pelawak dan pelukis terkenal, Imuda dipecah masuk oleh sekumpulan pencuri yang sempat menjamu selera sebelum lesap dengan barangan serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM7,000 di Taman Datuk Ahmad Razali di sini baru-baru ini.
Kejadian itu hanya disedari oleh Imuda atau nama sebenarnya, Abdul Rahim Muda, 52, pukul 3 petang kelmarin selepas beliau bersama tiga ahli keluarganya pulang daripada bercuti raya di Pulau Pinang sejak 10 hari lalu.
Apa yang mengejutkan Imuda, kumpulan pencuri itu sempat membancuh beberapa gelas air sirap serta menjamah kuih raya yang diletakkan di dapur sebelum mereka menghilangkan diri.
Katanya, sebelum lari, mereka telah menggeledah rumah teres dua tingkat yang dihuni oleh keluarga Imuda sejak setahun lalu.
"Seluruh rumah termasuk kelima-lima bilik berselerak. Saya percaya kejadian ini dilakukan oleh tiga hingga empat orang.
"Setelah memeriksa persekitaran rumah, saya yakin penyamun berkenaan masuk ke dalam rumah setelah mengumpil jeriji besi di ruang tamu rumah dengan pemutar skru," katanya yang mula dikenali menerusi sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada tahun 1980-an.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya dengan melaporkan kehilangan komputer bimbit, empat utas jam tangan, tiga buah telefon bimbit serta wang tunai RM300.

Bertemu selepas 59 tahun terpisah



NORMA (duduk dua dari kiri) bersama ahli keluarganya dan Chong (duduk di tengah) dalam pertemuan yang diatur oleh Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang wanita Cina yang dibesarkan dalam keluarga Melayu dan menganut agama Islam memperoleh hadiah cukup istimewa pada Syawal ini apabila dia akhirnya dipertemukan dengan ahli keluarganya yang sebenar selepas 59 tahun terpisah.
Meskipun kini berlainan agama, Norma Hashim, 59, seorang pesara kerajaan, cukup gembira kerana berpeluang menjalin semula hubungan kekeluargaan dengan enam lagi saudara kandungnya sejak dia diserahkan kepada keluarga angkat pada tahun 1953.
Katanya, dia telah lama berusaha menjejaki ahli keluarga kandungnya itu sebelum mereka dipertemukan tengah hari semalam hasil bantuan Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA.
“Saya diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia tiga bulan selepas ibu bapa kami terlalu miskin untuk menyara keluarga yang besar.
“Walaupun saya tidak lagi dapat berjumpa dengan ibu bapa kerana mereka telah meninggal dunia, peluang bertemu dengan adik-beradik pun sudah cukup menggembirakan,” katanya pada majlis pertemuan itu semalam.
Turut hadir Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, tiga saudara kandung Norma iaitu Teo Hooi Nai, 63, Teo Hong Hing, 57, Teo Hong Meng, 71, serta beberapa keluarga terdekat.
Pada majlis itu, Norma ditemani oleh anak perempuannya yang juga seorang pegawai bank, Nuraida Mohd. Ali, 35, manakala suaminya, Mohd Ali. Awang, 61, seorang pesara swasta, tidak hadir kerana ada urusan lain yang tidak dapat dielakkan.
Kisah pencarian keluarga Norma ini pernah disiarkan oleh Kosmo! pada 21 Ogos lalu.

Mati tertimbus dalam liang lahad



Beberapa penduduk melihat kubur yang meragut nyawa Zailan (gambar kecil) di Kampung Penak, Mentakab semalam.


TEMERLOH - Seorang penggali kubur menemui ajalnya selepas tertimbus selama kira-kira lima minit di dalam liang lahad yang digalinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penak dekat Mentakab di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 10.15 pagi, Zailan Hamid, 40, sedang menggali tiang lahad untuk mengebumikan seorang penduduk kampung, Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira empat jam sebelum itu.
Rakan sekampung mangsa, Nizri Bakar, 57, berkata, sebelum kejadian, Zailan yang sudah 10 tahun berpengalaman menggali kubur bersama seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Nasir Musa, 44, berada di dalam kubur tersebut bagi menyudahkan liang lahad yang akan menempatkan jenazah Minah.
"Dalam keadaan berdiri, Zailan dan Nasir melakukan kerja-kerja terakhir membaiki liang lahad namun tanpa diketahui puncanya kubur tersebut tiba-tiba tertimbus dengan tanah yang berada di tebing kubur hingga menutupi badan Zailan," kata pemuda itu.
Bagaimanapun, Nasir bernasib baik kerana runtuhan tanah tersebut tidak menimpa badannya.
Nizri memberitahu, Zailan terkambus sedalam kira-kira setengah meter dan semasa itu hanya kaki kanan mangsa yang terjulur keluar dari timbunan tanah.
"Melihat kejadian tersebut, saya menjerit meminta tolong kawan-kawan yang sedang berehat di kawasan kubur," kata Nizri.
Tambah Nizri, mereka kemudian beramai-ramai menggali kubur itu semula menggunakan tangan tanpa cangkul kerana takut akan mencederakan kepala dan badan mangsa yang tertimbus.

Derma darah dapat minyak enjin percuma




DUA lelaki menderma darah di dalam pusat menderma darah bergerak di hadapan bangunan syarikat Virginia Tire & Auto di Centerville, Amerika Syarikat kelmarin.


CENTERVILLE, Virginia - Sebuah syarikat automotif di Amerika Syarikat (AS), Virginia Tire & Auto memberikan perkhidmatan menukar minyak enjin percuma kepada penderma darah.
Dianjurkan bersama oleh sebuah pertubuhan bukan bermotifkan keuntungan, kempen derma darah tersebut diadakan bagi mengisi tabung darah negeri Virginia.
Kempen tersebut diadakan di dalam sebuah bas yang dijadikan pusat menderma darah bergerak di hadapan bangunan syarikat berkenaan di sini kelmarin.
Penderma darah boleh juga memilih untuk mendapatkan diskaun servis kenderaan sebanyak AS$30 (RM93.95).
- AFP

AS lulus pil tunggal untuk rawat HIV



WASHINGTON - Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) meluluskan pil baharu bagi melawan jangkitan virus HIV yang menyebabkan penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) di Amerika Syarikat (AS).
Pil tersebut yang diluluskan penggunaannya kelmarin menggabungkan empat jenis ubat bagi melawan virus AIDS.
Diberi nama Stribild, ubat tersebut dikeluarkan oleh firma AS, Gilead Sciences Inc. Pil itu boleh digunakan untuk merawat pesakit dewasa yang belum pernah menerima rawatan HIV.
Penghidap HIV sebelum ini terpaksa memakan kombinasi beberapa biji pil pada setiap hari bagi mengekang jangkitan virus berkenaan di dalam badan mereka.
Kajian firma tersebut mendapati tiada kesan virus HIV dalam darah 88 hingga 90 peratus pesakit yang mengambil pil Stribild selepas 48 minggu. - AP

Api dua tangki simpanan minyak terbakar berjaya dipadam




Reuters
API yang marak serta asap tebal dapat dilihat dari jauh apabila tangki di loji penapisan minyak Amuay, Paraguana meletup dan terbakar pada Isnin lalu.


PARAGUANA, Venezuela - Pasukan bomba akhirnya berjaya memadamkan kebakaran dua daripada tiga tangki penyimpanan di loji penapisan minyak terbesar di Venezuela yang sehingga kini telah meragut lebih 48 nyawa.
Pihak berkuasa juga berazam untuk memulakan semula operasinya menjelang akhir minggu ini.
Presiden Venezuela, Hugo Chavez mengumumkan berita mengenai tangki pertama itu melalui mesej pada tweeter miliknya. Sementara kebakaran tangki kedua yang berjaya dipadamkan diberitahu oleh Menteri Tenaga Venezuela, Rafael Ramirez selepas dihubungi oleh Reuters.
Ramirez juga menyatakan tangki-tangki lain tidak lagi berisiko dijilat api kerana ia sama ada kosong atau berisi bahan api yang tidak mudah terbakar.
Loji yang berupaya menghasilkan 645,000 tong minyak sehari itu dikatakan boleh beroperasi semula pada Jumaat. Ketiga-tiga buah tangki yang terbakar dijangka dapat dipadamkan dalam tempoh dua hari.
Isnin lalu, Chavez menyatakan bahawa beliau telah menubuhkan dana berjumlah AS$23 juta (RM71.5 juta) untuk membantu operasi pembersihan dan menggantikan rumah yang musnah. - Reuters

Lebih satu tan dadah dibakar




BEBERAPA pegawai polis dan orang ramai melihat dadah berjumlah lebih satu tan dibakar dalam satu majlis di Phnom Penh semalam.


PHNOM PENH - Kerajaan Kemboja memusnahkan pelbagai jenis dadah berjumlah lebih satu tan dalam satu majlis yang berlangsung di sini semalam.
Media tempatan melaporkan, semua dadah tersebut yang merupakan hasil rampasan oleh pihak berkuasa dibakar pada majlis berkenaan.
Selain pihak media, polis dan orang awam majlis tersebut turut dihadiri oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan termasuk Gabenor Phnom Penh, Kep Chuk Tema dan Timbalan Pihak Berkuasa Kebangsaan Dalam Memerangi Dadah, Keo Khondara. - Reuters

Wanita punca 17 orang dipenggal




AP
BEBERAPA anggota kumpulan Taliban menaiki sebuah trak pikap semasa meronda kubu kuat mereka di Shawal, dalam wilayah Waziristan Selatan di Pakistan pada 5 Ogos lalu.


KABUL - Seorang jurucakap di Afghanistan menyatakan, 17 orang termasuk yang ditemui mati dengan kepala mereka dipenggal kelmarin merupakan mangsa yang terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.
Beberapa pegawai tempatan sebelum ini mendakwa, kumpulan Taliban menyerang satu parti di kawasan yang dikuasai mereka di selatan Afghanistan dan memenggal kepala 17 orang termasuk dua wanita, malam Ahad lalu.
Seorang pegawai tersebut, Neyamatullah Khan berkata, mereka dibunuh kerana mengadakan parti yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita berserta iringan muzik serta acara tarian yang melanggar ajaran Islam.
Serangan kejam itu berlaku di sebuah rumah dekat daerah Musa Qala, sekitar 75 kilometer ke utara ibu negeri wilayah Helmand, Lashkar Gah.
Namun, jurucakap gabenor wilayah Helmand memberitahu, semua mangsa maut akibat terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.
Jurucakap berkenaan, Daoud Ahmadi berkata, mereka bergaduh dipercayai kerana berebutkan dua wanita itu.
Menurutnya, satu kejadian tembak-menembak berlaku semasa pergaduhan tersebut.
Namun, jelasnya, beliau tidak pasti pergaduhan itu mempunyai kaitan dengan muzik dan acara tarian yang diadakan atau sama ada beberapa anggota Taliban adalah antara mereka yang maut dalam insiden tersebut.
"Semua mangsa dipenggal kepala mereka tetapi tidak jelas sama ada mereka ditembak terlebih dahulu," ujarnya.
Dalam pada itu, jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi menafikan dakwaan pihaknya terbabit dalam pembunuhan tersebut.
"Anggota Taliban tidak akan membunuh orang awam. Komander Taliban juga tidak bergaduh sesama mereka," kata Qari.
"Kami tidak tahu tentang kejadian ini. Sama ada ia berlaku atau sebaliknya, kami tidak terbabit," tegasnya.
Kumpulan Taliban menguasai sebahagian besar daerah Musa Qala yang mengandungi lebih 100 buah kampung sejak 2001. - AP

Tentera Bashar bedil timur Damsyik



REUTERS
SEORANG anggota pemberontak mengibarkan bendera Islam semasa 
pertempuran dengan tentera Syria di pinggir bandar Damsyik kelmarin.


DAMSYIK - Tentera Syria membedil timur bandar raya ini semalam selepas sebuah pertubuhan hak asasi manusia menyatakan seramai 60 orang terbunuh di wilayah Damsyik pada hari sebelumnya.Pertubuhan berkenaan, Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia memberitahu, angka kematian itu menyusul selepas 190 orang iaitu 116 penduduk awam, 40 pemberontak dan 34 askar terbunuh di seluruh negara tersebut.
Pertubuhan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu turut melaporkan beberapa daerah di timur bandar raya ini termasuk Zamalka, Qaboon, Jubar dan Ein Tarma dibedil bertubi-tubi oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Serangan tersebut dilakukan bagi menghapuskan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Kelmarin pemberontak FSA mendakwa mereka menembak jatuh sebuah helikopter tentera semasa pertempuran sengit berlaku di Qaboon dan Jubar serta beberapa bandar lain di pinggir ibu kota Syria, dekat sini.
Tentera Bashar kemudian melakukan serangan balas di timur bandar raya ini dan beberapa kubu kuat pemberontak di kawasan sekitarnya.
Beberapa helikopter tentera Syria turut menjatuhkan beribu-ribu risalah di sini dan kawasan sekitarnya semalam untuk mengugut anggota-anggota (FSA) supaya menyerah diri atau berdepan dengan kematian.
Tindakan tersebut adalah sebahagian strategi tentera Bashar untuk menawan kawasan-kawasan di pinggir bandar raya ini yang jatuh ke tangan pemberontak.
Risalah itu juga merupakan perang saraf terhadap pemberontak. Namun beberapa penganalisis sangsi tindakan itu akan membuahkan hasil.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kumpulan hak asasi manusia menyatakan, lebih 20,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan rakyat menentang Bashar bermula pada Mac 2011.
Penentangan itu berlaku ekoran rakyat negara itu mahukan perubahan dalam sistem pemerintahan negara termasuk kebebasan demokrasi.
Sementara itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) semalam menyatakan, bilangan pelarian Syria yang tiba di utara Jordan meningkat dua kali ganda sejak seminggu lalu.
Menurut UNHCR, seramai 10,200 pelarian Syria tiba ke kem Za'atri di Jordan sepanjang tempoh tersebut.
"Kami percaya ini merupakan permulaan kebanjiran pelarian Syria secara besar-besaran di Jordan," kata ketua jurucakap UNHCR, Melissa Fleming pada satu sidang media di Geneva.
Menurutnya, setakat ini terdapat hampir 70,000 pelarian Syria yang didaftarkan di Jordan dengan ribuan lagi tidak mendaftarkan diri untuk mendapatkan bantuan UNHCR. - Agensi

Roket Palestin mengenai selatan Israel



BAITULMUQADDIS - Sebuah roket yang ditembak oleh kumpulan militan Gaza mengenai selatan Israel pada petang kelmarin, kata seorang jurucakap tentera Israel.
Roket terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada empat yang disasarkan ke negara Yahudi itu.
Menurut jurucakap itu, roket tersebut meletup di sebuah kawasan lapang di Eshkol, tetapi tidak menyebabkan sebarang kerosakan dan kecederaan.
Terdahulu, tiga buah roket yang disasarkan ke Israel merosakkan dua buah kilang di bandar Sderot tanpa sebarang kecederaan berlaku, kata tentera Israel.
Kumpulan Salafi dari Gaza, Majlis Syura Mujahedeen pada petang kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya melancarkan tiga serangan pertama roket tersebut. - AFP

Roket Palestin mengenai selatan Israel



BAITULMUQADDIS - Sebuah roket yang ditembak oleh kumpulan militan Gaza mengenai selatan Israel pada petang kelmarin, kata seorang jurucakap tentera Israel.
Roket terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada empat yang disasarkan ke negara Yahudi itu.
Menurut jurucakap itu, roket tersebut meletup di sebuah kawasan lapang di Eshkol, tetapi tidak menyebabkan sebarang kerosakan dan kecederaan.
Terdahulu, tiga buah roket yang disasarkan ke Israel merosakkan dua buah kilang di bandar Sderot tanpa sebarang kecederaan berlaku, kata tentera Israel.
Kumpulan Salafi dari Gaza, Majlis Syura Mujahedeen pada petang kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya melancarkan tiga serangan pertama roket tersebut. - AFP