Pages

Wednesday, November 23, 2011

Kahwin guna duit Susilo



PERKAHWINAN Edhie Ibas Baskoro Yudhoyono dan Siti Rubiya Aliya Rajasa dijadikan isu kononnya menggunakan wang kerajaan Indonesia. - AGENSI


JAKARTA 22 Nov. - Majlis pernikahan anak kedua Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyoni, Edhie Ibas Baskoro Yudhoyono dengan Siti Rubiya Aliya Rajasa anak kepada Menteri Koordinasi Ekonomi, Hatta Rajasa tidak akan menggunakan walau sesen wang negara.

Sebaliknya, pesta pernikahan gemilang selama tiga hari antara anak dua tokoh negara itu menggunakan wang poket keluarga Susilo dan Hatta.

Menafikan pembaziran wang kerajaan dalam penganjuran majlis tersebut, Menteri Setiausaha Negara, Sudi Silalahi berkata, selain mengeluarkan belanja sendiri, Presiden Susilo juga tidak akan menerima sebarang hadiah daripada tetamu undangan.

"Tanpa mahu mengurangkan rasa hormat, Presiden dan Pak Hatta (Hatta Rajasa) selaku tuan rumah tidak akan menerima sebarang hadiah atau bingkisan daripada tetamu dalam pernikahan Ibas dan Aliya.

"Hal ini sudah ditegaskan dalam undangan perkahwinan," kata Sudi kepada wartawan di kediaman Presiden Susilo di Puri Cikeas Indah, Bogor hari ini.

Sementara itu, majlis pernikahan Ibas dan Aliya selama tiga hari bermula hari ini dengan upacara siraman pengantin mengikut tradisi Jawa dilakukan secara berasingan di kediaman pasangan pengantin itu.

Ibas menjalani upacara siraman di rumah keluarganya sementara Aliya di rumah ibu dan ayahnya di Fatmawati, Jakarta Selatan.

"Acara di Cikeas bermula jam 10 pagi sementara di rumah Aliya acara dimulakan jam 9.30 pagi," kata jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha.

Acara tradisi masyarakat Jawa yang turut diadakan ialah midodareni iaitu pertemuan antara keluarga bakal pengantin lelaki dengan keluarga pengantin perempuan.

"Rombongan keluarga Ibas akan bertemu keluarga Aliya di Fatmawati. Midodareni merupakan acara kemuncak untuk hari Selasa," jelas Julian lagi.

Majlis akad nikah pasangan ini pula bakal diadakan di Istana Cipanas pada pukul 10 pagi hari Khamis sementara majlis resepsi Ibas dan Aliya akan dilangsungkan di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) pada hari Sabtu pukul 7 malam.

Tetamu yang diundang ke acara pernikahan di Istana Cipanas terhad untuk 1,000 orang sementara untuk majlis resepsi di JCC pula akan dihadiri oleh 3,500 tetamu. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Bekas penari Soekarno saman kerajaan Indonesia


Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

JAKARTA 22 Nov. - Seorang wanita yang juga bekas penari Istana Presiden zaman pemerintahan Presiden Soekarno menyaman Kerajaan Indonesia yang didakwa merendahkan martabatnya.

Nona Nani Nurani yang berusia 70 tahun mendakwa, beliau menerima layanan diskriminasi selama berpuluh tahun kesan daripada Gerakan 30 September Parti Komunis Indonesia (PKI) 1965 yang juga dikenali sebagai Gestapu.

Nani yang menjadi penari di Istana Cipanas, Jawa Barat pernah meringkuk dalam penjara selama tujuh tahun kerana dituduh menyokong PKI selepas dia menari dalam satu acara ulang tahun parti berkenaan 46 tahun lalu.

Nani turut mendakwa, ketika itu dia cuma menjalankan tugasnya sebagai penari di Istana Cipanas dan bukan terlibat sebagai aktivis PKI.

Bagaimanapun, Nani disumbat ke penjara pada 23 Disember 1968 tanpa sebarang proses perbicaraan di mahkamah sebelum dibebaskan pada 19 November 1975.

Akhbar Media Indonesia hari ini melaporkan, keberanian Nani menyaman Kerajaan Indonesia dibuat semata-mata berlandaskan dasar perjuangan dan penderitaan yang dilalui selama puluhan tahun.

Dalam permohonan samannya itu juga, Nani menuntut ganti rugi material sebanyak Rupiah 7.4 bilion dan ganti rugi bukan material sebanyak Rupiah 30 juta.

Perbicaraan kes saman Nani ke atas Kerajaan Indonesia dibuat atas nama Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat itu, bermula semalam.

Menurut peguam Nani, Andi Muttaqien, anak guamnya telah menerima kesan buruk akibat diperlakukan dengan tindakan yang tidak adil oleh kerajaan selama berpuluh tahun termasuk dipenjarakan tanpa alasan yang jelas.

Lebih mengecewakan, kata Andi, anak guamnya juga seumur hidup merasakan penderitaan akibat stigma negatif PKI dan tindakan itu bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia.

Nani dalam laporan itu juga didakwa belum memperoleh hak untuk menjalani hidup seperti warga negara lain sejak dibebaskan dari penjara termasuk memiliki Kad Tanda Pengenalan (KTP) bagi mengesahkan status kependudukannya.

Nani juga sebelum ini pernah menyaman Penghulu Mukim Koja, Jakarta Utara pada tahun 2003 kerana enggan mengeluarkan KTP atas nama dirinya dan mahkamah memberi kemenangan padanya dalam kes saman itu. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Tiga parti umum tubuh kerajaan baru Tunisia


TUNIS 22 Nov. - Tiga parti utama Tunisia secara rasmi mengumumkan perjanjian perkongsian kuasa semalam, 10 bulan selepas bekas Presiden Zine el Abidine Ben Ali digulingkan.

Hamadi Jebali yang merupakan Setiausaha Agung Parti Ennahda, parti yang memperolehi undi majoriti dalam pilihan raya bulan lalu, dilantik menjadi Perdana Menteri manakala jawatan utama lain seperti Presiden dan Pengerusi Dewan Perhimpunan akan dibahagikan antara dua parti sayap kiri.

Moncef Marzouki dari Kongres bagi Parti Republik (CPR) akan menjadi Presiden dan dan Mustapha Ben Jaafar dari Parti Ettakatol akan mempengerusikan Dewan Perhimpunan untuk mendraf Perlembagaan baru.

Seramai 217 anggota dewan baru akan berhimpun buat pertama kalinya hari ini bagi mengesahkan tiga jawatan itu.

"Ini adalah saat bersejarah kepada kebebasan Tunisia," kata jurucakap Ennahda, Nurredine Bhiri selepas ketiga-tiga parti itu menandatangani perjanjian tersebut di depan media di sebuah hotel di Tunis.

Jebali, 63, yang berpegang kepada fahaman Islam sederhana adalah timbalan kepada pemimpin Parti Ennahda, Rached Ghannouchi dan pernah dipenjara selama 15 tahun ketika pemerintahan Ben Ali.

Marzouki, 66, merupakan seorang doktor dan bekas Presiden Liga Hak Asasi Manusia Tunisia dan turut mempunyai rekod menentang Ben Ali.

Ben Jaafar, 71, pula digambarkan oleh rakan sekerja sebagai tangan besi di dalam sarung tangan baldu.

Dewan Perhimpunan didominasi oleh Parti Ennahda, parti yang diilhamkan oleh Ikhwan Muslimin dengan memiliki 89 kerusi, sementara Parti CPR dan Ettakatol masing-masing mempunyai 29 dan 22 kerusi perwakilan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Hezbollah bongkar ejen CIA



KANAK-KANAK lelaki berpakaian tentera Hezbollah, duduk di kawasan ulama Syiah semasa mendengar ucapan pemimpin mereka, Hassan Nasrallah menerusi video di Beirut pada 11 November lalu. - AFP


WASHINGTON 22 Nov. - Pergerakan Hezbollah di Lebanon berjaya membongkar dan menahan pemberi-pemberi maklumat yang bekerja untuk Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) dalam kumpulannya, satu tamparan hebat kepada agensi risikan Amerika Syarikat (AS) itu.

Dalam kes berasingan, pegawai risikan Iran juga berjaya membongkar identiti beberapa pemberi maklumat CIA.

Menurut pegawai dan bekas pegawai, pemberi maklumat terdiri daripada rakyat tempatan dan bukan warga negara AS itu dapat dikenal pasti berikutan prosedur risikan yang lemah dikenali sebagai teknik 'tradecraft' yang digunakan CIA.

Bekas pegawai operasi CIA, Bob Baer berkata, kemampuan risikan Hezbollah amat mengagumkan dan tidak sepatutnya dipandang rendah.

"Aspek keselamatan Hezbollah adalah bagus dan sama seperti agensi risikan lain di dunia. Malah ia juga lebih baik berbanding bekas agensi risikan Soviet, KGB," katanya.

Hezbollah yang diasaskan dengan bantuan Iran semasa perang saudara Lebanon 1975-1990, berkembang daripada pergerakan militia yang memerangi Israel di selatan Lebanon kepada pasukan bersenjata berpengaruh dalam politik di negara ini.

Pergerakan itu dan sekutu-sekutunya turut mendominasi kerajaan Lebanon yang dibentuk Jun lalu.

Baer berkata, satu sebab mengapa Hezbollah berjaya menumpaskan kegiatan intipan adalah kerana ia berpengaruh sehingga boleh mendesak pasukan keselamatan kerajaan Lebanon menyerahkan peralatan komunikasi dan risikan yang dibekalkan AS kepada pergerakan itu.

Hezbollah kemudian akan menggunakan peralatan tersebut untuk mengenal pasti dan mengesan pemberi-pemberi maklumat CIA.

Pegawai-pegawai AS tidak memberikan banyak reaksi terhadap kejayaan musuh utamanya itu mengesan pemberi maklumatnya sebaliknya berkata, pembongkaran tersebut merupakan satu perkara serius dan ia akan dibincangkan dengan jawatankuasa pemantau Kongres. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Waris mangsa pembunuhan mahu saman Arroyo



GAMBAR wajah Arroyo yang dirakam polis tetapi dibocorkan kepada media dan disiar di akhbar Filipina semalam, mencetuskan kemarahan peguamnya. - AFP


MANILA 22 Nov. - Ahli keluarga 57 mangsa pembunuhan beramai-ramai di selatan Filipina merancang untuk menyaman bekas Presiden Gloria Macapagal Arroyo kerana membekalkan senjata dan menyokong keluarga Ampatuan.

Saman sivil yang menuntut ganti rugi sebanyak 15 juta peso (RM1.1 juta) itu akan menyebabkan Arroyo berdepan satu lagi perbicaraan sukar selepas polis minggu lalu mendakwanya melakukan penipuan dalam pilihan raya pada 2007.

Peguam kepada ahli keluarga mangsa, Harry Roque berkata, saman itu akan difailkan di mahkamah Manila petang ini, dua hari menjelang ulang tahun pembunuhan beramai-ramai itu.

Pendakwa raya kerajaan mendakwa pemimpin-pemimpin keluarga Ampatuan yang memerintah selatan wilayah Maguindanao, merancang pembunuhan itu bagi menghalang pesaing politik mereka daripada bertanding dalam pilihan raya tempatan.

"Arroyo menyebabkan Ampatuan melakukan apa yang mereka telah lakukan dengan membekalkan senjata, mengiktiraf tentera persendirian, memberi bantuan dan sokongan politik kepada mereka," kata Roque kepada AFP.

Andal Ampatuan Snr. adalah gabenor Maguindanao dan merupakan anggota gabungan kerajaan gabungan Arroyo ketika insiden pembunuhan itu berlaku.

Kerajaan pimpinan bekas Presiden itu membekalkan keluarga Ampatuan peralatan tentera dan membenarkan mereka memiliki pasukan bersenjata sendiri yang terdiri daripada beribu-ribu anggota sebagai proksi tentera dalam menentang pemberontak di selatan Filipina.

Ampatuan Snr. kini ditahan dan dibicarakan berhubung kes itu, bersama anak lelakinya yang dituduh mengetuai 100 anggota bersenjata melakukan pembunuhan beramai- ramai tersebut.

Minggu lalu, beliau turut didakwa atas tuduhan berkonspirasi dengan Arroyo untuk menipu dalam pilihan raya senat pada 2007. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

AS, Britain larang bank berurusan dengan Iran


WASHINGTON 22 Nov. - Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada semalam mengumumkan sekatan baru ke atas sektor tenaga dan kewangan Iran, langkah yang disifatkan penganalisis bakal meningkatkan tekanan kepada Teheran tetapi tidak mungkin akan menyekat program nuklear negara itu.

AS menamakan Iran sebagai kawasan 'pengubahan wang yang utama', tindakan yang direka untuk menasihati bank-bank bukan AS supaya tidak berurusan dengan negara itu.

Sebanyak 11 entiti Iran pula disenarai hitam kerana disyaki membantu program nuklear Iran, selain memperbesarkan lagi sekatan dengan menyasarkan syarikat-syarikat yang membantu industri minyak dan petrokimia negara itu.

Namun sasaran Washington ke atas bank pusat Iran yang memutuskan hubungannya dengan sistem kewangan global akan menyebabkan harga minyak melambung dan membahayakan pemulihan ekonomi Eropah dan AS sendiri.

Britain mengarahkan semua institusi kewangannya untuk menghentikan urusan perniagaan dengan Iran, termasuk bank pusat republik Islam itu.

Menurut sumber, sekatan yang dikenakan bagaimanapun tidak secara langsung disasarkan kepada perdagangan minyak dengan Iran.

Kanada dalam pada itu mengharamkan eksport semua barangan yang digunakan dalam industri petrokimia, minyak dan gas Iran, selain menyekat hampir semua transaksi dengan negara itu, termasuk dengan bank pusat.

Siri pengumuman sekatan itu adalah respons kepada laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa pada 8 November lalu yang menyatakan Iran sedang membangunkan bom atom dan masih menjalankan penyelidikan berkaitan program itu secara rahsia.

Penganalisis berkata, mereka tidak percaya langkah itu dapat memujuk Iran daripada menghentikan program nuklearnya ekoran Teheran bertegas ia adalah untuk tujuan sumber tenaga dan selamat.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Iran, Mehdi Ghazanfari berkata, sekatan itu akan menjejaskan ekonomi Iran tetapi memberi amaran kepentingan negara-negara Barat turut akan tergugat. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Polis mualaf bantu sarjan mengucap syahadah



MUHAMAD Khidir Thew Abdullah (kiri) memberikan maklumat kepada Inspektor Mohd. Fuzie Samat mengenai kemalangan melibatkan Md. Nor Shukor di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 22 Nov. - Seorang anggota sukarelawan polis mualaf sempat mengajar seorang anggota polis berpangkat sarjan mengucap dua kalimah syahadah sebelum lelaki itu menghembuskan nafas terakhir dalam kemalangan di Jalan Syed Putra menghala ke Petaling Jaya, di sini pagi ini.

Muhamad Khidir Tiew Abdullah, 21, yang bertugas di Balai Polis Subang Jaya dekat sini, terserempak dengan mangsa, Md. Nor Shukor, 57, terbaring berlumuran darah di atas jalan raya pada pukul 6.50 pagi.

Dia kemudian segera memberhentikan kenderaan untuk menghulurkan bantuan kepada Md. Nor dengan menghubungi talian kecemasan dan menemani mangsa sehingga ambulans tiba di tempat kejadian.

Menurut Muhamad Khidir, semasa tiba di tempat kemalangan, dia melihat ada beberapa pengguna jalan raya lain berhenti untuk melihat mangsa, tetapi mereka tidak melakukan apa-apa termasuk menghubungi ambulans.

"Apabila saya menghampiri mangsa, beberapa orang di situ bertindak memarahi dan bertanya siapa saya seolah-olah tidak suka saya menyibuk untuk melihat apa berlaku.

"Sebaik sahaja memaklumkan saya adalah anggota polis dan menunjukkan kad kuasa, mereka semua beredar meninggalkan saya sendirian bersama mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kemalangan di sini, hari ini.

Muhamad Khidir berkata, dalam tempoh menanti bantuan sampai, dia melihat mata mangsa memandang tepat ke arah matanya sambil mulut bergerak seolah-olah mahu mengatakan sesuatu, tetapi suaranya tidak terkeluar.

Katanya, melihat keadaan mangsa yang semakin nazak, dia mengajar lelaki itu mengucap dua kalimah syahadah dan mangsa disahkan meninggal dunia semasa ambulans tiba.

Menurutnya, sebaik sahaja mengetahui mangsa ialah anggota polis dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, dia segera menghubungi IPD berkenaan untuk memaklumkan kemalangan tersebut dan beberapa rakan setugas mangsa bergegas pergi ke tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, Md. Shukor yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai mangsa langgar lari oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.

"Kita menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Fuzie Samat di talian 03-20719999 untuk membantu siasatan," katanya.

Md. Nor meninggalkan isteri, Noriyati Yaakob yang bekerja di Pusat Pakar Tawakal dan tiga anak. Sebelum ditukarkan di IPD Brickfields, beliau pernah bertugas di IPD Sentul dan Dang Wangi di sini.

Utusan Malaysia Online - Kota:

'via Blog this'

Kabinet Mesir letak jawatan


KAHERAH 22 Nov. - Kabinet Mesir semalam meletak jawatan selepas tunjuk perasaan yang menuntut perubahan politik mengakibatkan 29 maut serta menyebabkan pemerintahan tentera terpaksa mengadakan rundingan krisis.

Empat hari selepas demonstrasi besar-besaran diadakan iaitu yang terburuk sejak kejatuhan rejim bekas Presiden Hosni Mubarak, Kabinet mengumumkan peletakan jawatan semalam.

"Kerajaan Perdana Menteri Essam Sharaf telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada pemerintahan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) Mesir," kata jurucakap Kabinet, Mohammed Hegazy dalam satu kenyataan.

Stesen televisyen memetik satu sumber majlis sebagai berkata, peletakan jawatan itu ditolak, tetapi Menteri Penerangan Osama Heikal memberitahu agensi berita MENA, sebarang keputusan berhubung perkara itu masih belum dibuat.

Peletakan jawatan Sharaf jika diterima, boleh menangguhkan pilihan raya Parlimen yang dijadual pada 28 November ini, yang pertama selepas kejatuhan Mubarak.

SCAF melalui satu kenyataan yang dilaporkan MENA menyatakan, pihaknya menjemput semua kumpulan politik dan kebangsaan untuk satu dialog tergempar bagi melihat punca krisis terbaru itu serta cara menyelesaikannya secepat mungkin.

Majlis itu juga telah meminta Kementerian Kehakiman membentuk satu jawatankuasa untuk menjelaskan tentang keganasan yang berlaku dan menyeru tentera serta rakyat supaya bertenang bagi meneruskan proses politik.

Menurut pasukan perubatan, dua lagi penunjuk perasaan dilaporkan maut pagi ini di bandar Ismailiya, di Laut Merah, menjadikan angka korban kini mencecah 26 orang.

Pertubuhan Amnesty International mendakwa, SCAF gagal mengotakan janji-janjinya dan telah melakukan penyalahgunaan hak yang lebih teruk berbanding semasa pemerintahan Mubarak. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Sarawak perlu semak undang-undang negeri

Langkah sekat umat Islam sertai pertandingan ratu cantik

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu menyemak semula Undang-Undang Syariah Negeri sebelum sebarang langkah mewartakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai larangan penyertaan umat Islam dalam pertandingan ratu cantik dibuat.
Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 menetapkan adalah berdosa dan haram bagi umat Islam menyertai pertandingan ratu cantik selain mengarahkan Majlis Islam Negeri semua negeri mewartakannya.
Undang undang berkaitan syariah di bawah kerajaan negeri dan keputusan Majlis Islam Sarawak tidak mengikut fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah berdasarkan suasana negeri. - Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak
Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Datuk Daud Abdul Rahman, berkata undang-undang berkaitan syariah di bawah kerajaan negeri dan keputusan Majlis Islam Sarawak (MIS) tidak mengikut fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah berdasarkan suasana negeri.

Bagaimanapun katanya, MIS akan segera berbincang dengan Pejabat Mufti Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bagi melihat kembali keputusan majlis fatwa itu sama ada dapat dilaksanakan.

“Terdapat dua isu di sini iaitu Majlis Fatwa Negeri mengeluarkan hukum haram ke atas umat Islam menyertai pertandingan ratu cantik, yang sebenarnya jelas bahawa hukumnya adalah haram.

“Dan kedua bagaimana penguatkuasaan dapat dilaksanakan oleh JAIS, sedangkan kita tidak mempunyai sebarang undang-undang untuk berbuat demikian selama ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Isu berkenaan timbul selepas lima gadis Islam di negeri ini menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo 2011 walaupun selepas JAIS memberikan kaunseling untuk mereka, Jumaat lalu.

Agensi penguatkuasaan agama itu bagaimanapun tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada undang undang melarang umat Islam di Sarawak menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik.

Daud berkata, pihaknya akan merujuk undang-undang syariah di negeri yang mewartakan larangan berkenaan bagi melihat sama ada ia sesuai dilaksanakan di Sarawak.

“Saya akan meminta contoh undang-undang digunakan Majlis Islam Negeri lain yang lama mempraktikannya bagi memastikannya benar-benar dapat menghalang umat Islam daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

“Kita juga akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negeri bagi membolehkan tambahan peruntukkan dibuat kepada Undang Undang Syariah Negeri dalam isu ini dan hukuman ke atas umat Islam yang melanggarnya,” katanya.
Berita Harian Online | Sarawak perlu semak undang-undang negeri:

'via Blog this'

Mati ketika tonton bola

KENANGAN...Ahmad Fauzi (belakang) yang meninggal dunia ketika menyaksikan bola sepak bersama ahli keluarganya.
KENANGAN...Ahmad Fauzi (belakang) yang meninggal dunia ketika menyaksikan bola sepak bersama ahli keluarganya.

YAN: “Arwah ada mengadu sakit dada dan lemah, tetapi dia tidak mahu ke hospital,” kata Nafishah Jusoh, 46, kakak ipar kepada Ahmad Fauzi Ismail, 42, yang meninggal dunia akibat diserang sakit jantung ketika menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea antara Malaysia dan Indonesia di sebuah kedai makan di pekan Guar Chempedak, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 10.50 malam, mangsa dikatakan pengsan di kedai makan itu sebelum dikejarkan ke Hospital Yan kira-kira 10 minit kemudian.


Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, Ahmad Fauzi bersama beberapa pelanggan lain sedang menonton perlawanan berkenaan yang ketika masuk masa tambahan.


Nafishah berkata, arwah ada memaklumkan kepadanya dia berasa tidak sihat dan mahu ke hospital bagi membuat pemeriksaan lanjut.


“Petang semalam (kelmarin) dia kata tidak sihat dan saya ajak dia pergi hospital tetapi dia kata mahu pergi selepas perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Indonesia tamat.

“Tetapi malangnya arwah tidak sempat ke hospital apabila dia diserang penyakit jantung ketika menonton perlawanan itu,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Kolam, Guar Chempedak, di sini, semalam.


Beliau berkata, arwah anak bongsu daripada empat beradik tidak mengalami masalah jantung sebelum ini dan hanya menghidap kencing manis.

“Arwah belum berkahwin dan tinggal bersendirian di rumah selepas ibu bapa kami meninggal dunia. Dia bekerja sebagai juruelektrik sambilan sekiranya penduduk kampung memerlukan khidmat arwah untuk membaiki pendawaian elektrik.


“Sejak beberapa hari lalu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, malah dia kelihatan seperti biasa. Cuma dia tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.


Seorang pembantu kedai makan, Hasli Ishak, 29, berkata, Ahmad Fauzi adalah pelanggan tetap kedai itu dan dia kerap makan di situ.


“Ketika kejadian itu, dia sedang menikmati nasi goreng sambil menonton perlawanan bola sepak.


“Sebelum dia pengsan, saya nampak dia lemah dan sempat menyuap makanan dengan perlahan sebelum dia pengsan di atas kerusinya,” katanya.


Hasli berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan kecemasan.


“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus sampai di hospital berkenaan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian berkenaan.

myMetro | Mati ketika tonton bola:

'via Blog this'

Seterika muka isteri

KUALA LUMPUR: Sukar digambarkan azab yang dilalui seorang suri rumah apabila mukanya ditekap dengan seterika panas, dipukul lebih 15 minit, lehernya dijerut dengan selendang sebelum digantung di kipas oleh suaminya.

Kejadian berlaku jam 3 pagi kelmarin di rumah pasangan terbabit di Taman Miharja, Cheras di sini, apabila wanita berusia lewat 30 tahun itu mempersoalkan tindakan suami mahu menceraikannya. Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila selendang yang digunakan untuk menjerut leher dan menggantungnya di kipas siling terputus, membolehkan dia menyelamatkan diri.


Menurut sumber, sebelum kejadian si suami memberitahu mahu menceraikannya dan menyebabkan mangsa bertanya mengapa mahu berbuat demikian.

“Bagaimanapun, tanpa diduga soalan itu menyebabkan suaminya berang lalu mengambil seterika panas dan menekap muka mangsa. Terkejut dengan tindakan suaminya, mangsa menangis dan meminta dikasihani.


“Namun rayuannya itu tidak diendahkan suspek yang dilaporkan menjadi lebih ganas dan memukul mangsa menggunakan tangan dan kakinya,” katanya.


Menurutnya, penderitaan mangsa tidak berakhir di situ apabila suspek yang bagaikan dirasuk syaitan mengambil selendang mangsa dan menjerut leher isterinya.

“Lebih kejam, suspek mengangkat mangsa dan menggantungnya di kipas siling di ruang tamu sebelum menghidupkan suis kipas dan menyaksikan isterinya terpakai-kapai meminta bantuan.


“Suspek meninggalkan ruang tamu buat sementara untuk ke bahagian lain di dalam rumah dan mujur ketika itu selendang yang menjerut leher mangsa terputus.

“Sebaik terselamat, mangsa berlari keluar dari rumahnya dan mendapatkan bantuan saudaranya yang tinggal berhampiran sebelum membuat laporan polis,” katanya.


Sumber berkata, mangsa dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, untuk rawatan berikutan mukanya yang melecur selain beberapa kecederaan lain di badan akibat dipukul.


Difahamkan, selepas sehari dimasukkan ke hospital berkenaan mangsa dibenarkan pulang jam 11.30 pagi, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dilakukan.

myMetro | Seterika muka isteri:

'via Blog this'

Cadangan bina tingkat tambah kawasan tawaf

MAKKAH: Jumlah jemaah yang ramai melawat Masjidil Haram di Makkah setiap hari terutama di bulan Haji dan Ramadan - telah memberi ilham kepada seorang arkitek, Eisa Al-Ibrahim merancang pembesaran Masjid Besar yang unik untuk menampung keperluan jemaah.

“Reka bentuk cadangan saya adalah untuk menambah jumlah tingkat di atas kawasan Mataf. Ini akan memberi ruang yang lebih besar dan menampung berjuta jemaah untuk melakukan tawaf,” katanya.


Reka bentuk itu akan dikaji oleh sarjana Islam. Eisa berpendapat, sangat perlu untuk membuat pilihan yang dapat menyelesaikan masalah kesesakan, terutama ketika tawaf. “Penjaga Dua Masjid Suci telah memberi arahan untuk membuat tambahan tingkat di kawasan Safa da Marwa untuk mengurangkan kesesakan ketika saie. Perubahan yang sama perlu dibuat di kawasan Tawaf kerana tidak ada kawasan lagi untuk pelebaran secara mendatar,” kata Eisa. - SG

myMetro | Cadangan bina tingkat tambah kawasan tawaf:

'via Blog this'

Pembangunan Makkah musnah sejarah

MAKKAH: Pembangunan di Makkah di masa hadapan akan lebih selaras dengan seni bina tradisional, kata Datuk Bandar.

Bagaimanapun, penduduk bimbang kota paling suci ini akan hilang ditelan bangunan pencakar langit.

Bandar bersejarah, tempat kelahiran agama Islam, kini dipenuhi dengan kren berwarna kuning dan merah, juga perancah yang digunakan untuk membina bangunan hotel dan memperbaiki kemudahan untuk memastikan musim haji setiap tahun, selamat dan lebih mudah.

Walaupun kira-kira 2.5 juta orang Islam dari serata dunia datang memenuhi jalan di Makkah setiap musim haji, rata-ratanya mendapati, menara setinggi 657 milik kerajaan yang dihiasi sebuah jam mewah itu menunjukkan kemajuan terlalu cepat dijalankan.


“Peraturan pembinaan di bandar ini perlu mengambil kira kesesuaian kelebaran ja lan, lokasi di tengah bandar dan tidak membenarkan pembinaan bangunan pencakar langit... tapi itulah yang dibina,” kata Datuk Bandar Osama Al Bar mengenai pembinaan menara itu.


“Projek pembangunan akan datang akan dibina “jauh kira-kira 300 meter daripada Masjid Besar... Bangunannya akan mempunyai ketinggian kira-kira lapan hingga 10 tingkat dengan rekabentuk Makkah,” katanya.

“Kami mahu Makkah berkembang bukan menukarnya,” kata Pengasas Pusat Kajian Haji, Sami Angawi yang berasal dari Makkah tetapi sudah lama tidak pulang ke bandar itu kerana dia tidak suka bagaimana ia diubah.

“Saya sayangkan Makkah dan tidak dapat menerima bandar kesayangan Rasulullah ini dimusnahkan dan diubah begini,” kata Agawi.

Dia berkongsi pendapat dengan ramai penduduk Makkah yang perubahan di bandar itu mestilah dibuat dengan cara sederhana.

Menara jam Pembiayaan Raja Abdul Aziz, yang dibina tidak jauh dari Masjidil Haram dan boleh dilihat dari jauh, merupakan fokus kritikan.

“Reka bentuk luarannya tidak melambangkan tradisi Arab langsung,” kata Wafa Sbbet 50, dari Sydney. - Reuters.

myMetro | Pembangunan Makkah musnah sejarah:

'via Blog this'

Recep gesa Bashar undur

ANKARA: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menggesa Presiden Syria, Bashar al-Assad supaya meletak jawatan.

“Lepaskan jawatan sebelum lebih banyak pertumpahan darah, demi keamanan rakyat dan negara anda,” kata Erdogan di Parlimen.


Selepas berminggu-minggu menyelar bekas sekutunya itu, ini adalah kali pertama Perdana Menteri Turki berkenaan menggesa secara terbuka supaya Bashar melepaskan jawatan.

Beliau menjadi pemimpin serantau kedua berbuat demikian selepas Raja Jordan, Abdullah, membuat gesaan itu.


“Bashar berkata beliau akan berjuang hingga mati. Memerangi rakyat anda sendiri bukan tindakan kepahlawanan, sebaliknya ia perbuatan pengecut,” kata Perdana Menteri Turki itu, merujuk kepada wawancara terbaru dengan Bashar yang disiarkan dalam akhbar Sunday Times di London.


“Jika anda ingin melihat seseorang yang bertarung dan mati, lihat kepada Nazi Jerman, lihat kepada Hitler, lihat kepada Mussolini dan Ceausescu di Romania.

“Jika pemimpin Syria itu gagal belajar dari sejarah, saya mempelawanya menimbang nasib bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.,” kata pemimpin Turki itu, - Reuters

myMetro | Recep gesa Bashar undur:

'via Blog this'

Iran, Russia kutuk sekatan

TEHERAN: Iran dan sekutu berpengaruhnya, Russia, semalam mengecam sekatan terbaru Barat yang dikenakan terhadap Teheran berkait dengan program nuklearnya.

Republik Islam itu juga menganggap sekatan itu sebagai haram dan sia-sia.


Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparas menyifatkan sekatan terhadap sektor kewangan, petrokimia dan tenaga yang diumumkan Isnin lalu oleh Amerika Syarikat, Britain dan Kanada sebagai propaganda dan perang saraf terhadap negara itu. - Reuters

myMetro | Iran, Russia kutuk sekatan:

'via Blog this'

Amnesty kecam majlis tentera

KAHERAH: Pemerintah tentera Mesir gagal melaksanakan janji mereka malah melakukan pencabulan hak asasi manusia lebih teruk berbanding kerajaan Hosni Mubarak yang digulingkan Februari lalu.

Badan pemerhati hak asasi manusia yang berpangkalan di London, Amnesty International membuat kritikan itu dalam satu laporan selepas pertempuran polis dan tentera dengan penunjuk perasaan menyebabkan sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh di Dataran Tahrir, Kaherah dan di beberapa daerah lain di negara itu sejak Sabtu lalu.


Laporan itu disediakan sebelum pengumuman lewat kelmarin mengenai tindakan Perdana Menteri, Essam Sharaf mengemukakan perletakan jawatan kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF). - AFP

myMetro | Amnesty kecam majlis tentera:

'via Blog this'

Hussein jadi sasaran

KAHERAH: “Letak jawatan!” kata ribuan penunjuk perasaan Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir di bandar raya ini, kepada pemerintah tentera, Hussein Tantawi.

Gesaan serupa 10 bulan lalu berjaya menggulingkan bekas ketuanya, Hosni Mubarak.

Puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri dataran berkenaan semalam untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) yang mengambil alih kuasa Februari lalu selepas Hosni disingkirkan.

“Rakyat mahu ketua majlis tentera dijatuhkan,” laung mereka, merujuk kepada Hussein, bekas Menteri Pertahanan Hosni yang kini memerintah negara itu.


Seorang penunjuk perasaan dilihat menggantung patung seorang lelaki pada tiang lampu dengan kata-kata berbunyi ‘hukuman gantung terhadap Ketua Majlis Tentera.’


Perhimpunan besar-besaran di Tahrir diadakan selepas pertempuran selama tiga hari antara polis dengan penunjuk perasaan yang menuntut perubahan demokratik.

Pertempuran masih berterusan di pinggir dataran berkenaan dengan polis menggunakan belantan, gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyurai penunjuk perasaan.

Dalam usaha meredakan krisis berkenaan, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) mempelawa semua parti politik menghadiri mesyuarat tergempar, semalam.
Ikwanul Muslimin, badan politik yang paling tersusun di Mesir berkata, ia akan mengambil bahagian dalam perbincangan itu.

Bagaimanapun, tidak ada tanda-tanda menunjukkan mereka yang berada di belakang tunjuk perasaan itu akan menghadirinya.

Sebelum itu, penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, pusat revolusi Mesir yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak Februari lalu, berarak sambil melaungkan slogan menyelar SCAF dan polis.

“Kementerian Dalam Negeri ialah penjahat,” laung penunjuk perasaan itu ketika berarak untuk menghadiri perhimpunan berkenaan.

Pasukan perubatan berkata, dua lagi terbunuh awal semalam, menjadikan angka kematian akibat pertempuran di antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan sejak Sabtu lalu kepada 36.

Kabinet Mesir yang terdiri daripada pegawai awam yang dilantik SCAF mengumumumkan perletakan jawatannya lewat kelmarin.

Bagaimanapun, laporan televisyen milik kerajaan memetik sumber SCAF sebagai berkata, perletakan jawatan itu ditolak.

“Kerajaan Perdana Menteri Essam Sharaf mengemukakan perletakan jawatannya kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera,” kata jurucakap Kabinet, Mohammed Hegazy dalam satu kenyataan. - AFP

myMetro | Hussein jadi sasaran:

'via Blog this'

Iklan seram Phones4u disiasat

LONDON: Iklan sebuah syarikat telefon bimbit gergasi Britain, Phones4u, disiasat pihak berkuasa selepas pelbagai pihak mengadu ia tidak sesuai dipaparkan kepada umum.

Iklan itu menunjukkan hantu budak perempuan yang menakutkan seorang wanita di kawasan meletak kenderaan bawah tanah.


Menurut pelbagai pihak, iklan berkenaan dianggap terlalu menyeramkan untuk kanak-kanak.

Pihak Berkuasa Standard Pengiklanan (ASA) semalam mengesahkan menerima 341 aduan mengenai iklan berkenaan.


Ia adalah aduan tertinggi dicatatkan pada tahun ini.


Pengguna yang berang dengan Phones4u menyatakan kemarahan mereka melalui YouTube dan mendesak pihak berkuasa mengharamkannya. Sementara itu, jurucakap ASA berkata, dia mengesahkan iklan berkenaan kini disiasat kerana dianggap keterlaluan serta tidak sesuai untuk tatapan kanak-kanak.

“Kami akan berhubung dengan Phones4u untuk menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.


Iklan itu disiarkan pada waktu perdana televisyen memaparkan hantu budak perempuan seperti sering dilihat dalam filem seram.

‘Hantu’ itu mengejutkan wanita terbabit yang baru habis membeli-belah dengan mengangkat telefon bimbit di tepi tingkap bersama pesanan “kamu akan dihantui sesalan jika terlepas tawaran kami.” - DM

myMetro | Iklan seram Phones4u disiasat:

'via Blog this'

Hugh Grant berang diintip akhbar

BERI KETERANGAN... Grant tiba untuk memberi kenyataan dalam perbicaraan akhbar tabloid di London, semalam.
BERI KETERANGAN... Grant tiba untuk memberi kenyataan dalam perbicaraan akhbar tabloid di London, semalam.

LONDON: Aktor Hugh Grant mendakwa akhbar tabloid Britain menggodam talian telefonnya dan menjadikan kecurian di rumahnya sebagai bahan berita.

Grant - diingati kerana peranannya dalam filem Notting Hill - menuduh akhbar Mail on Sunday menyiarkan berita palsu mengenai hubungannya dengan Jemima Khan pada 2007 hasil pengintipan talian telefon.


Disaksikan jutaan orang yang mengikuti perbicaraan itu secara langsung, Grant menggesa warga Britain bangkit membantah “industri pencerobohan privasi” di negara itu yang dianggapnya pengecut.

“Apa yang paling mengejutkan, perlakuan ini dibenarkan berlangsung begitu lama dengan tiada sesiapa bersuara untuk menamatkannya,” katanya.


Grant, 51, juga mendakwa pemilik akhbar berkenaan menakut-nakutkan polis, ahli politik dan kerajaan.


Dakwaan Grant ke atas akhbar tabloid dimiliki Kumpulan Associated Newspapers itu adalah yang kedua dibuat dalam perbicaraan kes salah laku News of the World.

Keterangan Grant itu menunjukkan News of the World milik Rupert Murdoch bukan satu-satunya akhbar yang melakukan pencerobohan talian telefon peribadi tokoh terkemuka dunia.


Kata Grant, berita hubungannya dengan Jemima didakwa Mail on Sunday bermasalah dan kononnya dia berbual dengan seorang eksekutif studio pada lewat malam terbukti palsu.

“Saya teringin tahu siapa sumber akhbar itu jika mereka tidak menceroboh talian telefon saya,” katanya.


Turut menjadi kecaman Grant, akhbar Daily Mirror milik Trinity Mirror yang memperoleh rekod perubatan secara haram.


Seorang peguam minggu lalu berkata, Daily Mirror disenaraikan dalam komputer riba dirampas polis daripada seorang penyiasat persendirian yang dipenjara pada 2007 kerana menceroboh talian telefon untuk News of the World.


Grant berkata, dia mula curiga selepas kediamannya di London dipecah masuk sejurus selepas ditahan bersama pelacur di Los Angeles pada 1995.


Tiada barang hilang dalam kejadian itu, tetapi gambaran penuh mengenai kediamannya dipaparkan dalam akhbar berkenaan tidak lama kemudian.


“Butiran itu mungkin datang daripada pencuri, polis atau kedua-duanya,” katanya. - AFP

myMetro | Hugh Grant berang diintip akhbar:

'via Blog this'

Selamat RM2,000

PASIR MAS: “Saya ditikam dengan pisau ketika berada dalam van, tetapi lelaki itu melarikan diri sebaik saya menjerit minta tolong,” kata warga emas, Ibrahim Mamat, 61, yang menerima beberapa jahitan di belakang badan akibat serangan ketika cubaan samun di Kubang Kerian, dekat Kota Bharu.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari Ahad lalu, penjenayah yang menyamar pelanggan nekad mencederakan Ibrahim dalam usaha merampas beg pinggang dipakai mangsa yang mengandungi wang tunai RM2,000. Ibrahim yang berniaga telur berkata, sebelum kejadian, dia baru selesai menghantar telur di sebuah kedai runcit di kawasan itu.


“Selepas menghantar telur, saya masuk ke dalam van dan tiba-tiba seorang lelaki datang membuka pintu van sambil bertanyakan telur dijual. Saya memberitahu telur itu dijual secara runcit atau borong. “Lelaki itu cuba meragut beg pinggang menyebabkan berlaku pergelutan lebih 10 minit sebelum dia menikam belakang badan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Petaling di sini, semalam.

Ibrahim yang turut cedera di tangan kiri dikejarkan orang awam yang melihat kejadian itu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.


Menurutnya, dia menerima rawatan semalaman di hospital berkenaan sebelum dibenarkan pulang kelmarin.


“Saya menghantar telur di merata tempat sejak lebih 12 tahun lalu. Ini kali pertama berdepan kejadian menakutkan seperti itu,” katanya.

Katanya, lelaki yang menikamnya dipercayai berusia 30-an dan melarikan diri bersama dua lagi lelaki menaiki sebuah Proton Iswara. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian, Kota Bharu.

myMetro | Selamat RM2,000:

'via Blog this'

Ugutan ‘bunuh’ pelajar Malaysia di Bandung

Ugutan itu disebarkan semalam melalui pengguna Twitter bernama @hikmat_maswara kepada akaun twitter sebahagian besar artis Malaysia selepas keputusan sepakan penalti menentukan Malaysia menang berbunyi: “Tomorrow I will kill Malaysia student at the University of Padjadjaran” di Jatinangor, Bandung.

Selepas mendapat kecaman, pengguna Twitter itu memohon maaf atas tulisannya itu, namun pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia tidak memandang ringan ugutan berkenaan dan sudah membuat laporan polis berkaitan perkara berkenaan.


Atase Pendidikan, yang juga Setiausaha I (Pendidikan) Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Ludinata Misnun berkata, Twitter mengandungi ugutan itu tersebar luas di Malaysia.

“Selepas mendapat kecaman pelbagai pihak, @hikmat_maswara memohon maaf di twitternya dan memaklumkan beliau tidak berniat untuk membunuh tetapi didasarkan rasa kecewanya atas kekalahan pasukan Indonesia kepada Malaysia dalam pertandingan akhir itu,” katanya.


Ludinata berkata, pimpinan PKPMI di Bandung sudah membuat laporan polis di Jatinangor dan polis memberi jaminan akan menyiasat kes itu.


Pada masa yang sama Education Malaysia (EM) Indonesia dengan kerjasama Atase Polis dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan memanjangkan perkara ini kepada Ibu Pejabat Polsi Indonesia untuk tindakan selanjutnya.

“Saya juga sudah menghubungi Rektor Universitas Padjadjaran, Bandung bagi meminta bantuan dan kerjasama pengurusan universiti untuk memastikan keselamatan mahasiswa Malaysia di sana,” katanya.


EM Indonesia katanya, sudah meningkatkan pemantauan mahasiswa Malaysia di Bandung dan seluruh Indonesia.

Pada masa ini, ada 1,005 pelajar Malaysia menuntut di Universiti Padjajaran, iaitu mewakili sebahagian besar daripada sejumlah 1,148 pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pendidikan tinggi sekitar Kota Bandung pada masa ini. - Bernama

myMetro | Ugutan ‘bunuh’ pelajar Malaysia di Bandung:

'via Blog this'

Anggota polis terbunuh dalam kejadian langgar lari

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Syed Putra berhampiran Pusat Beli Belah Mid Valley Megamall di sini, awal pagi semalam.

Ketika kejadian jam 6.40 pagi itu, Md Nor Shukor, 57, yang bertugas di Cawangan Risikan dan Operasi (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, dikatakan dalam perjalanan ke pejabatnya untuk menghadiri mesyuarat.
Mangsa yang berasal dari Alor Gajah, Melaka dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu laju dari arah belakang. Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian yang menimpa anggotanya supaya tampil untuk membantu siasatan.

“Pihak kami menyerahkan siasatan kepada Polis Trafik Kuala Lumpur dan sehingga kini mengklasifikasikan kes itu sebagai langgar lari,” katanya.

Isteri mangsa, Noriyati Yaakob, 54, ketika ditemui di Masjid Jamiul Al-Ehsan tidak mampu berkata apa-apa, hanya menangis di sisi jenazah suaminya dalam van jenazah untuk dibawa pulang ke kampung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Labu, Negeri Sembilan.

Di JOHOR, seorang anggota polis yang sedang membuat rondaan bersama pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS), parah selepas dilanggar seorang penunggang motosikal ketika melarikan diri daripada sekatan polis di Parit Bunga, Ledang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Mohd Angawam Maikon, 52, dari Balai Polis Parit Bunga, bersama beberapa anggota SRS Parit Bunga dikatakan sedang meronda di kawasan berkenaan apabila terserempak dengan seorang penunggang motosikal yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya dengan melawan arus.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak, berkata suspek yang datang dari arah Jambatan Kedua Muar menghala ke Sungai Mati dikatakan berpatah balik selepas menyedari sekatan jalan raya dilakukan pihaknya.

Katanya, pada masa sama mangsa bersama beberapa anggota SRS Parit Bunga melakukan rondaan di tepi jalan menyebabkan beliau meminta suspek berhenti, bagaimanapun penunggang motosikal itu terus memecut motosikalnya sebelum melanggar anggota polis berkenaan.

“Mangsa yang terjatuh dan mengalami cedera di kaki dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan doktor mengesahkan kakinya patah," katanya, di sini, semalam.

Katanya, anggota polis itu kini ditempatkan di HPSF untuk rawatan lanjut, manakala usaha dijalankan bagi mengesan penunggang motosikal berkenaan.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis dari Balai Polis Parit Bunga bersama anggota SRS melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Berita Harian Online | Anggota polis terbunuh dalam kejadian langgar lari:

'via Blog this'

Wanita hamil proses heroin

WANG RM199,500 antara dirampas dalam serbuan di kondomunium Queenbay,  Pulau Pinang, semalam.
WANG RM199,500 antara dirampas dalam serbuan di kondomunium Queenbay, Pulau Pinang, semalam.
GEORGETOWN: Wanita sarat mengandung adalah antara dua wanita tempatan yang ditahan dalam serbuan ke atas unit kondominium yang dijadikan makmal memproses dadah di Bayan Indah, Sungai Nibong di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, polis merampas 11.6 kilogram (kg) heroin, heroin mentah (17.9kg), serbuk kafein (150kg) bernilai RM4 juta, pelbagai peralatan memproses dadah dan bahan kimia.
Turut dirampas dua pistol jenis Baretta dan Glock serta 212 butir peluru hidup, satu unit penyerap bunyi tembakan, gari, empat buah kenderaan, masing-masing Mercedes, Suzuki, Toyota Altis dan Honda City dan motosikal Sym yang semuanya bernilai RM981,000.
Polis turut menemui wang tunai RM199,500 dan barang kemas bernilai RM42,000.

Meskipun wanita berusia 25 tahun itu sedang menghitung hari untuk bersalin, dia dipercayai ‘tukang masak’ sindiket berkenaan kerana mahir memasak campuran dadah sebelum dikeringkan menjadi pil atau serbuk.
Berita Harian Online | Wanita hamil proses heroin:

'via Blog this'

Dua warga Iran ke tali gantung

SHAH ALAM: Dua warga Iran dihukum gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine disorok dalam kasut tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Hojjat Shahbazi Vali dan Asghar Rah Gozar Jalil berumur 28 tahun selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Hojjat didakwa mengedar dadah Methamphetamine seberat 465 gram di kawasan tuntutan Bagasi F, Ketibaan Antarabangsa aras 3, MTB, KLIA, Sepang pada jam 11 malam, 21 Julai 2010.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

myMetro | Dua warga Iran ke tali gantung:

'via Blog this'

Tiga daerah mula bah

KUALA TERENGGANU: Hujan lebat sejak awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Besut dan Setiu dinaiki air menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Sehingga jam 5 petang, lapan pusat pemindahan dibuka di tiga daerah itu bagi menempatkan 373 mangsa daripada 84 keluarga manakala dua jalan di Hulu Terengganu iaitu Jalan Kuala Berang ke Sungai Tong (Lubuk Tengkawang) dan Jalan Kampung Jak ditutup.


Mengikut laman web Majlis Tindakan Negara (MKN) Terengganu semalam, dua pusat pemindahan dibuka di Setiu iaitu Masjid Kampung Merbau Menyusut dan Balai raya Kampung Tasek menempatkan 115 mangsa manakala di Hulu Terengganu di Balai raya Masjid Sekayu, Kampung Cheting dan Kampung Pelandan menempatkan 83 mangsa.

Di Besut, seramai 175 mangsa ditempatkan di Dewan Serba guna Kampung Keruak, Dewan Masjid Kampung Keruak dan Masjid Kampung La.


Sementara itu, Setiausaha MKN Terengganu, Tajul Ariffin Muhamad, menasihatkan orang awam sentiasa peka dengan amaran pihak berkuasa demi keselamatan mereka.


“Saya berharap orang awam mengikuti arahan jika diarahkan berpindah awal.

“Jangan tunggu air naik baru berpindah kerana menyukarkan proses pemindahan,” katanya, semalam.


Orang ramai yang menghadapi masalah banjir atau bencana boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Negeri di talian 09-6316021.

myMetro | Tiga daerah mula bah:

'via Blog this'

Wanita datang minta hutang kena cabul

KUALA LUMPUR: Hanya kerana menuntut hutang, seorang wanita dicabul sebelum dipukul seorang lelaki di rumahnya di Seksyen 10, Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Malah, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, suami mangsa yang cuba mempertahankan isterinya turut dibelasah lelaki terbabit yang berusia 30-an.


Menurut sumber, kejadian bermula apabila pasangan suami isteri berusia 34 tahun itu pergi ke rumah lelaki berkenaan untuk menuntut ganti rugi selepas lelaki itu merosakkan kenderaan mewah mereka jenis BMW kira-kira tiga bulan lalu. Difahamkan, ganti rugi itu dituntut pasangan suami isteri itu selepas lelaki terbabit melanggar kenderaan mereka.

Sumber berkata, pada mulanya, mangsa menghubungi lelaki terbabit apabila dia gagal membayar wang ganti rugi seperti dijanjikannya.


“Lelaki itu kemudian mengarahkan mangsa ke rumahnya untuk mengambil wang. Mangsa yang tidak mengesyaki sesuatu bersetuju ke rumah lelaki terbabit bersama suaminya.


“Pada mulanya, mangsa bersendirian masuk ke kawasan rumah manakala suaminya menunggu di luar,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian dipelawa masuk dan diarahkan duduk sementara lelaki itu masuk ke bilik kononnya untuk mengambil wang.


“Beberapa minit kemudian, lelaki itu keluar dan duduk di sebelah mangsa. Dia kemudian meraba badan mangsa menyebabkan wanita itu terkejut sebelum memarahinya,” katanya.

Lelaki terbabit kemudian terus memukul mangsa tanpa belas kasihan.


Jeritan mangsa didengari suaminya sebelum dia bergegas masuk dan bergelut dengan lelaki terbabit untuk mempertahankan isterinya itu.

myMetro | Wanita datang minta hutang kena cabul:

'via Blog this'