Pages

Friday, September 16, 2011

Ejen FBI diajar Islam serong



WASHINGTON 15 Sept. - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengajar ejen antikeganasannya pelbagai perkara tidak benar tentang Islam, antaranya majoriti penduduk Islam Amerika berkemungkinan besar menyokong pengganas dan Nabi Muhammad SAW pula adalah seorang 'pemimpin kumpulan ajaran sesat'.
Turut diajar ialah amalan bersedekah yang dituntut oleh agama Islam hanyalah 'mekanisme pembiayaan untuk berperang'.
Perkara itu terkandung dalam berpuluh-puluh muka surat dokumen latihan FBI mengenai Islam yang diperoleh oleh akhbar Huffington Post.
Di pusat latihan FBI di Quantico, Virginia, ejen-ejen diperlihatkan carta yang menggambarkan 'lagi warak seseorang Muslim, lagi besar kemungkinannya dia akan bertindak 'ganas'.
Kecenderungan tersebut tidak dapat dibetulkan, menurut bahan latihan FBI itu.
"Perang ke atas orang kafir adalah wajar mengikut undang-undang Islam, dan proses penyederhanaan tidak boleh berlaku jika al-Quran terus dianggap sebagai kalam Allah yang muktamad dan tidak boleh dipinda," menurutnya.
Dalam manual latihan itu, agama Islam yang mendapat perlindungan di sisi Perlembagaan AS dan menjadi anutan berjuta-juta rakyat Amerika dipaparkan sebagai petunjuk aktiviti keganasan.
Namun bekas ejen antikeganasan yang mendedahkan modul pengajaran itu berkata, FBI bukan sahaja mempunyai asas undang-undang yang goyah untuk memaparkan rakyat AS beragama Islam yang mematuhi undang-undang sebagai bakal pengganas, tetapi pendekatan biro itu juga boleh dieksploitasi oleh al-Qaeda.
Dengan memberi fokus terhadap amalan agama penduduk Islam Amerika, dan bukan terhadap petanda aktiviti keganasan seperti menyimpan senjata api atau menggunakan pembiayaan tidak telus, kemungkinan besar FBI akan gagal mengesan amaran sebenar tentang keganasan, kata bekas ejen.
Menggambarkan Islam sebagai tidak boleh dipisahkan daripada keganasan adalah propaganda yang disebarkan oleh al-Qaeda yang juga mahu menunjukkan AS memerangi Islam, kata mereka.
Atas sebab itulah, pendedah maklumat dalam FBI menyalurkan bahan-bahan tersebut kepadaHuffington Post.
Orang ramai boleh meneliti kertas taklimat FBI yang dimuat turun di laman web akhbar itu dengan melayari: http://www.wired.com/ images_blogs/dangerroom/2011/09/ fbi_islamic_law.pdf
Sejak beberapa tahun lalu, pertubuhan hak sivil Islam Amerika menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan pemantauan FBI dan polis di masjid dan pusat-pusat komuniti Islam.
Mereka khuatir segala tindak-tanduk mereka yang tidak menyalahi undang-undang kini menjadi sasaran di bawah kempen memerangi keganasan.
Dokumen tersebut boleh membantu menjelaskan mengapa FBI dan polis meningkatkan pemantauan terhadap penduduk Islam. - Agensi

Muka bayi cedera ketika dilahirkan





2011/09/16

KEADAAN muka bayi yang  lebam  ketika dirawat di HTAR, semalam.
KEADAAN muka bayi yang lebam ketika dirawat di HTAR, semalam.
KLANG: Seorang bayi perempuan yang baru empat hari dilahirkan mengalami kecederaan serius di muka dan mata dipercayai akibat kecuaian doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini ketika menyambut kelahiran bayi itu. 

Difahamkan bayi sulung kepada pasangan suami isteri yang baru setahun berkahwin itu tidak dapat menyusu seperti biasa kerana luka di mulut sehingga pihak hospital terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memberi susu kepada bayi terbabit yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonate (NICU) hospital berkenaan.
Ibrahim Umran, 23, berkata lebih menyedihkan sehingga sekarang pihak hospital masih gagal memberi penjelasan munasabah mengenai punca kecederaan bayinya itu, malah diherdik oleh doktor bertugas apabila beliau terus mendesak meminta penjelasan.
“Apa yang dikesalkan, apabila ditanya jururawat yang menyambut kelahiran bayi saya mengapa kejadian itu berlaku, mereka hanya menjawab tak tahu. Isteri saya memberitahu doktor yang menyambut kelahiran anak kami ialah doktor perempuan dan masih muda tetapi sehingga sekarang saya belum dapat menemuinya untuk meminta penjelasan. 

“Saya turut ditengking oleh doktor bertugas dengan mengatakan saya terlampau banyak bertanya serta tidak memikirkan masalah doktor yang terpaksa bekerja siang dan malam tanpa rehat mencukupi untuk merawat pesakit,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori ketika ditemui di sini, semalam. 

Ibrahim berkata, ketika kejadian, beliau menunggu di luar bilik pembedahan bersalin sementara isterinya, Siti Aishah Abdullah, 23, menjalani pembedahan pada jam 10.15 malam, Isnin lalu. 

“Selepas menunggu kelahiran anak sulung dengan penuh debaran, dua jururawat wanita membawa keluar bayi dan saya sangat terkejut apabila mendapati bayi saya banyak lebam di bahagian muka. 
“Hancur luluh hati saya apabila melihat anak sulung yang dilahirkan cedera sedangkan sepanjang tempoh kandungan, doktor mengesahkan bayi saya sempurna dan sihat. Doktor yang melihat bayi saya ada mengatakan kecederaan ini mungkin kerana terkena tangan ketika proses melahirkan bayi,” katanya. 

Sementara itu, ketika dihubungi jurucakap hospital berkata pihaknya akan menyiasat kes berkenaan dengan mendapatkan maklumat dari bahagian bersalin sebelum memberikan ulasan lanjut. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop pula berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenainya dan siasatan sedang dijalankan. 

Obama mungkir janji kepada Palestin





2011/09/16

  • Foto
    Barack Obama (kiri) dan Mahmoud Abbas
  • Foto
    SEORANG perunding Palestin memegang kerusi simbolik Palestin ketika di luar PBB, kelmarin.

Foto
SEORANG perunding Palestin memegang kerusi simbolik Palestin ketika di luar PBB, kelmarin.


Presiden AS bekerjasama dengan pemimpin Eropah sekat dunia iktiraf anggota baru PBB
WASHINGTON: Setahun selepas membuat gesaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan negara Palestin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sudah hampir pasti menggunakan kuasa veto untuk menghalang ia menjadi kenyataan, dengan bantuan Perancis dan Britain.
Obama yang menghadapi tekanan politik di negaranya memberi amaran bahawa perisytiharan negara Palestin dianggap satu ‘gangguan’ dan tidak akan menamatkan konflik dengan Israel atau membawa kepada sebuah negara tulen.
Ia berikutan keazaman pemimpin Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Majlis Keselamatan PBB sebagai anggota penuh badan dunia selepas kecewa rundingan damai dengan Israel buntu dan proses menuju pembentukan negara terhenti.

Mengambil kira kata-katanya itu, tidak hairan pentadbiran Obama sedar kesan mengenakan veto terhadap permohonan Palestin dengan melancarkan usaha di saat akhir bagi mengelakkannya dibuat.

Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, berkata bahawa usaha saat akhir itu bertujuan mendapatkan kerjasama ke arah mengadakan rundingan. Langkah lain termasuk mengelakkan permohonan itu dibuat di Majlis Keselamatan.

Jika pemimpin Palestin memilih meningkatkan status kepada negara pemerhati bukan ahli di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Washington boleh mengundi menentang langkah terbabit sambil mengelak kuasa veto digunakan dalam sesi Majlis Keselamatan. 
Walaupun beberapa negara Eropah memihak kepada penubuhan negara Palestin, Washington dan Israel terus menentang.

Biarpun amaran Israel mengenai kesan buruk langkah itu dan kemungkinan Kongres Amerika akan menarik balik bantuan bernilai beratus juta dolar, Presiden Palestin Mahmoud Abbas sudah menetapkan pendirian meneruskannya.

Pegawai Rumah Putih enggan membincangkan kemungkinan kesan veto terhadap Amerika tetapi, langkah itu tentunya memalukan Obama selepas beliau menjadikan Palestin dan memulihkan kepercayaan kepada Amerika sasaran utama sebagai presiden.

Pada 2009, beliau ke Kaherah untuk berucap kepada dunia Islam dan mengisytiharkan: “Amerika tidak akan berpaling daripada aspirasi Palestin demi maruah dan sebuah negara mereka sendiri.”

Setahun lalu, Obama menggesa Arab dan Israel serta Palestin di PBB supaya bersikap toleransi, amalan penganut Kristian, Islam dan Yahudi.

“Apabila kita kembali semula ke sini tahun depan, kita masih boleh capai perjanjian membawa kepada sebuah ahli baru PBB, sebuah negara berdaulat dan bebas, Palestin, tinggal dengan aman bersama Israel,” kata Obama.

Harapan itu disusuli keengganan Israel untuk melanjutkan moratorium penyelesaian, mengakibatkan kemarahan Palestin dan terjejasnya hubungan Amerika dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Bekas menteri luar Jordan yang kini bersama Carnegie Endowment for International Peace, Marwan Muasher, berhujah kuasa veto boleh merosakkan kredibiliti Amerika kerana ia menolak reformasi di rantau yang baru dilanda kebangkitan rakyat.

“Ia tidak boleh mengatakan ‘jika anda warga Libya atau Mesir atau Syria, kita adalah untuk kebebasan, kami bersama anda, tetapi tidak jika anda Palestin,’ ini tidak boleh diterima,” katanya. – AFP 

Gempa 7.2 magnitud gegar Fiji





2011/09/16

WELLINGTON: Gempa kuat 7.2 magnitud melanda kepulauan Pasifik di Wilayah Fiji awal pagi ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini. 

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa berlaku jam 7.30 pagi waktu tempatan yang berpusat di kedalaman 593 kilometer di 120 kilometer dari Pulau Ndoi Island di Fiji dan 421 kilometer dari ibu negara Tonga, Nuku’alofa.
Sementara itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii mengesahkan gempa berkenaan tidak membawa risiko tsunami. - AFP

Koperal tembak mati remaja dijel




NORSIAH (kanan) bersama seorang ahli keluarga selepas mendengar keputusan kematian Aminulrasyid yang ditembak polis tahun lalu.


SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Koperal Jenain Subi selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, pada 2010.
Hakim Latifah Mohd. Tahar bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman yang diarahkan berkuat kuasa semalam bagi membolehkan Jenain membuat rayuan berhubung keputusan itu.
Latifah mengekalkan jumlah jaminan RM10,000 sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh.
Dalam penghakimannya, Latifah berkata, mahkamah membuat keputusan Jenain bersalah selepas mengambil kira keterangan tertuduh di akhir kes pembelaan yang mengaku melepaskan 21 das tembakan dalam kejadian itu.
Selain itu, tertuduh juga bersetuju bahawa kelajuan kereta Proton Iswara bernombor pendaftaran BET 5023 dipandu remaja itu semasa memasuki Jalan Tarian 11/2 pada 26 April 2010 semakin perlahan dan kereta itu tidak membahayakan mana-mana pihak termasuk terhadap diri tertuduh.
JENAIN dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.


"Disebabkan keadaan tidak membahayakan tertuduh tidak perlu melepaskan tembakan lebih-lebih lagi 21 das," kata Latifah.
Jenain, 49, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 hingga 2 pagi pada 26 April 2010 selepas melepaskan tembakan ke arah kereta dipandu remaja itu.
Bapa kepada empat orang anak berumur antara 15 hingga tiga tahun itu dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
AMINULRASYID


Selain itu, Latifah dalam hujahnya turut berkata, selepas meneliti keterangan saksi-saksi dalam perbicaraan itu, jelas tiada keraguan bahawa peluru yang terkena pada bahagian kepala Aminulrasyid yang menyebabkan kematiannya datang daripada senjata tertuduh.
Berikutan itu, kata beliau, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan dengan itu tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun.
"Mahkamah bukan sahaja simpati kepada keluarga mangsa tetapi juga kepada tertuduh namun perlu diingatkan penggunaan senjata bagi polis ada had dan perlu digunakan secara munasabah," kata Latifah ketika membacakan keputusannya.
Jenain yang berdiri di kandang tertuduh mengalirkan air mata dan tunduk ke lantai mendengar keputusan itu.
Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 61, dan dua kakaknya Nor Azura Amzah, 40, dan Tuty Shaninza Anom Amzah, 37, turut mengesat air mata masing-masing.
Sepanjang bicara, 39 saksi dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan manakala pembelaan mengemukakan tiga saksi termasuk Jenain.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan - Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar, Idham Abd. Ghani dan Adilla Ahmad manakala Jenain diwakili peguam bela, M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar.

Penyanyi miliki kuku paling panjang di dunia




CHRIS 'The Dutchess Walton' memiliki kuku paling panjang di dunia.


NEW YORK - Seorang penyanyi rock, Chris 'The Dutchess Walton' disenaraikan dalam Guinness Book of World Records buat kali pertama sebagai individu yang memiliki kuku paling panjang di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang berusia 45 tahun memiliki kuku sepanjang 609.6 sentimeter (sm) di kedua-dua tangannya.
Walton yang merupakan ibu enam anak dan nenek kepada tiga cucu menyatakan dia mula menyimpan kuku tersebut 18 tahun lalu.
"Saya pasti pada satu hari nanti, saya akan memotongnya tetapi saya tidak terfikir mengenainya (untuk memotong kuku) kerana saya mahu memilikinya," kata wanita tersebut.
Walton menjalani rawatan kuku sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Dia memiliki kuku paling panjang di dunia selepas pemegang rekod itu sebelum ini, Lee Redmond yang juga seorang nenek kehilangan kukunya dalam kemalangan jalan raya pada 2009.
Redmond memiliki kuku lebih 853.44sm. - Agensi

Sekumpulan isteri cemburu pelayan seksi



LOREDANA POPESCIUE


CADELBOSCO SOPRA, Itali - Sekumpulan isteri yang cemburu menandatangani satu petisyen bagi menghalang seorang pelayan seksi daripada terus bekerja di sebuah bar di bandar ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Para isteri itu mendakwa pelayan berkenaan, Loredana Popesciue sebagai terlalu seksi untuk bekerja di bar yang menjadi tumpuan suami mereka.
Popesciue, 27, yang berasal dari Romania beberapa kali disiasat pihak berkuasa tempatan kerana melakukan tarian seksi dengan cuma memakai pakaian dalam.
"Kini saya terpaksa berdepan dengan petisyen pula. Isteri-isteri mereka tidak habis-habis cemburu. Apa salahnya saya gemar menari kerana saya berketurunan Brazil," katanya.
Ramai lelaki datang ke premis berkenaan untuk menonton tariannya dan memberikannya wang tunai sebagai tip kepada wanita itu.
Majikannya yang mendapat keuntungan besar dengan menggaji Popesciue bertindak menamakan bar tempatnya bekerja Lory Pink Bar sempena nama wanita tersebut. - Agensi

Guna pencungkil gigi bina replika Teluk San Francisco




MODEL Teluk San Francisco yang dihasilkan Scott Weaver dengan menggunakan 103,987 pencungkil gigi.


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Seorang artis, Scott Weaver membina replika Teluk San Francisco setinggi 2.7 meter dengan menggunakan sejumlah 103,987 pencungkil gigi, lapor sebuah akhbar semalam.
Hasil kerjanya yang dinamakan Rolling Through the Bay itu turut berfungsi sebagai laluan guli.
Guli yang dijatuhkan di atas laluan itu akan bergerak melalui beberapa tempat popular di lokasi berkenaan.
Dia mengambil masa selama tiga ribu jam untuk menyiapkan model Teluk San Franciso yang kini dianggap sebagai antara hasil seni yang menakjubkan. - Agensi

Volkswagen Beetle jadi Porsche 356




KERETA Volkswagen Beetle sebelum ia diubahsuai oleh Megan Ashton.


SALISBURY - Seorang pegawai kejuruteraan Tentera Laut Diraja Britain, Megan Ashton, 26, mengambil masa selama enam tahun untuk mengubahsuai sebuah kereta Volkswagen Beetle untuk kelihatan seperti Porsche 356, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta Porsche 356 itu dicipta oleh Ferdinand Porsche yang merupakan anak lelaki pengasas syarikat Porsche yang telah mereka bentuk Volkswagen Beetle.
Kereta Volkswagen Beetle berkongsi banyak peralatan dengan Porsche 356 menyebabkan mudah buat Ashton untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian.

MEGAN ASHTON berdiri dekat kereta Volkswagen Beetle yang diubahsuai menjadi Porsche 356.


Ashton membelanjakan £200 (RM978) untuk membeli kereta Volkswagen yang berusia 40 tahun itu dan menanggalkan kepingan badannya.
Dia turut menggunakan enjin kereta 1776cc untuk menggantikan enjin lama yang berkuasa 1285cc.
Ashton membeli kereta itu ketika dia menjadi pelajar.
Kos untuk menyiapkan keseluruhan kenderaan itu ialah £4,000 (RM19,548).
Kereta itu mempunyai tempat duduk kulit dan ia boleh bergerak lebih 160 kilometer sejam dan kini bernilai £25,000 (RM122,276). - Agensi

Johansson buat aduan kepada FBI



SCARLETT JOHANSSON


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Bintang filem Lost In Translation, Scarlett Johansson membuat aduan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat bagaimana gambar-gambar bogelnya digodam daripada telefon iPhone miliknya, lapor sebuah akhbar semalam.
Foto-foto bogel tersebut yang dirakamkan sendiri oleh aktres berusia 26 tahun itu disiarkan di sebuah laman web pada Rabu lepas.
Jika gambar-gambar itu terbukti asli, aktres berkenaan mungkin merupakan mangsa sindiket menggodam telefon bimbit terkini yang dipercayai bertanggungjawab mencuri gambar dan rakaman video bogel daripada sekurang-kurangnya 50 selebriti wanita.
Sasaran lain sindiket tersebut termasuk aktres Jessica Alba, Vanessa Hudgens, Selena Gomez dan Miley Cyrus selain penyanyi Christina Aguilera. - Agensi

Disindir serangan 9/11



BUNGKUSAN polistirena burger yang dipesan Tarek Ghalayani 
mengandungi lukisan pesawat dan bangunan berkembar World 
Trade Centre di New York.


HOUSTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang penduduk Islam AS, Tarek Ghalayani kecewa kerana disindir berhubung peristiwa serangan pengganas ke atas AS pada 11 September 2001 semasa dia mengunjungi sebuah restoran burger yang popular di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian berlaku semasa Tarek memesan burger di restoran makanan segera itu ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menonton separuh masa pertama satu perlawanan bola sepak Amerika.
Namun, dia terkejut melihat lakaran gambar bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) di new York dan lukisan sebuah pesawat sedang menuju ke bangunan tersebut pada bungkusan polistirena makanan burger yang dipesannya.
Turut tertera pada bungkusan itu ialah ungkapan Selamat 11 September yang merujuk kepada kemusnahan WTC selepas ia dirempuh oleh dua pesawat penumpang pada 2001.
Tarek yang bekerja berhampiran WTC pada pagi 11 September 2001 berkata, dia kecewa dan marah dengan perbuatan pekerja restoran berkenaan yang dianggapnya sebagai biadap.
Serangan itu juga dikenali sebagai peristiwa 9/11.
"Hari tersebut adalah hari yang sedih di AS yang mengorbankan hampir 3,000 penduduk negara ini dan ia bukan satu jenaka," katanya dalam satu wawancara bersama saluran televisyen tempatan, ABC 13.
Selepas kejadian itu tersebar di Internet, pemilik premis berkenaan, Ben Fullelove memecat pekerja yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu sebelum dia datang sendiri ke rumah Tarek di sini untuk memohon maaf. - Agensi