|
SERI... gagal daftar nama anak |
KUALA LUMPUR: Kemaruk mahu bersuamikan lelaki asing yang dikatakan lebih kacak, gagah, romantis dan pandai mengambil hati berbanding lelaki tempatan, rumah tangga dibina seorang wanita bagaikan neraka apabila dia hanya dijadikan tempat pemuas nafsu selain mangsa sepak terajang.
Lebih teruk, tidak sampai setahun berkahwin dan sebaik hartanya habis dikikis, lelaki Nigeria dikahwininya menghilangkan diri.
Itu antara pengalaman dilalui Seri, 29, angkara termakan umpan cinta Khazem, 38, yang pada mulanya memberikan layanan istimewa untuk memikatnya.
Bagaimanapun, sebaik berkahwin, istana cinta diimpikan bertukar neraka apabila dia dilayan seperti pelacur selain keringatnya dikerah untuk mencari duit bagi menyara hidup suaminya.
Menceritakan detik pertemuan mereka, Seri berkata, dia diperkenalkan kepada Khazem oleh rakannya yang turut menjalin hubungan dengan lelaki Afrika ketika belajar di sebuah kolej di Subang Jaya.
“Pada mulanya saya tak terfikir nak mengenali Khazem dengan lebih rapat. Namun disebabkan belajar di kolej sama, hampir setiap hari kami bertemu dan bermula dari situlah dia mengambil berat mengenai saya berbanding rakan lelaki lain.
“Boleh dikatakan setiap kali keluar bersama, dia mengeluarkan belanja, malah ketika saya tak cukup duit untuk membayar sewa rumah, dia yang datang membantu,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.
Asyik dengan layanan istimewa Khazem, Seri akhirnya jatuh hati walaupun tidak mengetahui latar belakangnya.
“Saya tak tahu nak cakap perasaan saya kepadanya. Kalau ikutkan perasaan, ramai lagi rakan lelaki lain yang saya suka, tapi bila dengan Khazem saya jadi lupa dan sentiasa ingin bersamanya.
“Dia beritahu saya, keluarganya mempunyai perniagaan di Nigeria dan segala perbelanjaannya ditanggung keluarga,” katanya.
Menurut Seri, empat bulan selepas perkenalan, dia kehilangan ‘mahkotanya’ pada Khazem selepas lelaki itu membawanya ke sebuah kelab malam.
“Sebenarnya saya tak sedar waktu itu, mungkin kerana diberi dadah. Saya hanya tahu sudah terlanjur dengannya apabila bangun keesokannya dan mendapati Khazem tidur di sebelah saya tanpa pakaian.
“Kerana sayangkannya, saya mengambil keputusan berkahwin dengannya tanpa pengetahuan keluarga dan berhenti belajar,” katanya.
Seri berkata, selepas tiga bulan, dia terpaksa keluar mencari kerja apabila suaminya memberitahu tidak lagi menerima wang daripada keluarga dengan alasan berkahwin tanpa pengetahuan mereka, selain sukar mendapat pekerjaan kerana berstatus warga asing yang memegang pasport pelajar.
Walaupun pada mulanya Seri mendapat tawaran bekerja sebagai penyambut tetamu dengan gaji RM1,500 sebulan, namun selepas didesak Khazem, dia hanya sempat bekerja sebulan dengan alasan bayaran diterima tidak setimpal.
“Kerja kedua saya sebagai pelayan kelab malam dengan gaji RM2,300 tak termasuk elaun serta tip pelanggan. Saya terima kerja ini setelah Khazem berjumpa pengurus kelab itu bagi mendapatkan kerja untuk saya.
“Mulanya saya tak mahu, tapi setelah Khazem berjanji ia hanya sementara sebelum dia mencari pekerjaan tetap, saya terus bersetuju,” katanya.
Bagaimanapun, Seri berkata, sebaik bekerja sebagai pelayan kelab malam, suaminya mula menunjukkan belang apabila hanya menjadikannya sebagai pemuas nafsu dan mengikis gaji serta tip diterimanya.
“Saya bekerja dari jam 10 malam hingga jam 4 pagi. Jadi kebanyakan waktu siang saya di rumah. Sepanjang saya di rumah, Khazem keluar dengan alasan merancang perniagaan bersama rakan selain menguruskan dokumen perjalanan di negara ini.
“Kami hanya berjumpa sekejap sama ada kerana dia mahu layanan seks, minta duit atau balik untuk menyalin pakaian hinggalah pada satu hari dia memukul saya kerana tiada wang,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, Khazem bijak menyusun kata untuk memujuknya.
“Jika saya dipukul kerana tiada duit atau keinginan seksnya tidak diendahkan, keesokannya dia balik membawa makanan serta sedikit duit bagi memujuk.
“Bagaimanapun, kalau hampir setiap hari dipukul, wanita mana boleh tahan. Banyak kali juga saya minta cerai tapi apabila dia balik ke rumah, memujuk serta berjanji untuk mengubah perangai, saya jadi cair dan makin sayang dengannya.
“Bayangkan, saya berani ke kelab malam untuk berhibur, minum arak, terlanjur dan bekerja di kelab malam, semuanya kerana Khazem. Walaupun awalnya menolak, selepas dipujuk rayu saya jadi cair dan terus mengikut katanya,” katanya.
Bagaimanapun, ketika usia perkahwinan mencecah setahun dan disahkan hamil serta tidak dapat lagi meneruskan kerja sebagai pelayan kelab malam, suami dicintai tiba-tiba menghilangkan diri hinggalah dia melahirkan anak pada Oktober tahun lalu.
“Saya kesal mengenalinya kerana jika diimbas kenangan bersamanya, tiada yang indah. Sudahlah terpaksa bekerja, setiap sen gaji yang saya terima habis dikebasnya.
“Lebih dikesali, perkahwinan kami tidak mendapat pengesahan jabatan agama, menyebabkan saya tidak dapat mendaftarkan nama anak saya,” katanya.