Rumah-rumah di Kampung Houtou Wan di Kepulauan Shengsi, China dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan liar setelah ditinggalkan penduduknya sejak 50 tahun. Agensi
BEIJING 16 Ogos – Sebuah kampung di sebuah pulau di Kepulauan Shengsi yang ditinggalkan penduduknya sejak 50 tahun lalu, menjadi sebuah taman rahsia yang indah selepas ditumbuhi tumbuhan liar.
Portal Oddity Central melaporkan, kampung Houtou Wan yang terletak di satu daripada 394 pulau di Kepulauan Shengsi, merupakan bekas bandar nelayan yang membangun pesat beberapa dekad lalu tetapi ditinggalkan selepas kawasan itu tidak lagi mampu menampung kadar pertumbuhan penduduk dan industri perikanan di sana.
Pertumbuhan industri perikanan juga menyaksikan kapal-kapal besar tidak dapat lagi berlabuh di pulau tersebut kerana kecetekan paras air di teluk di pulau itu sehingga mempengaruhi pembangunan di bandar tersebut.
Kini, pokok ivy tumbuh meliar di setiap inci kebanyakan bangunan di kampung tersebut.
Kecantikan pemandangan di kampung tersebut menarik kembali manusia ke pulau tersebut, tetapi bukan untuk tinggal semula di situ, tetapi untuk melihat keindahan pemandangan di pulau berkenaan.
Beratus-ratus pengunjung mengunjungi Houtow Wan setiap hari untuk menyaksikan sendiri keunikan bandar lama tersebut.
Sejumlah warga emas yang merupakan bekas penduduk kampung tersebut turut kembali ke pulau berkenaan.
Seorang bekas nelayan, Sun Ayue, 59, juga membuat keputusan untuk tinggal di pulau tersebut tanpa bekalan elektrik dan air.