Pages

Wednesday, May 8, 2013

Padah suntikan minyak masak

hang mioku before and after plastic surgery
sebelum dan selepas
<a href=
selepas pembedahan plastik


Seoul: Seorang wanita yang ketagihan pembedahan plastik menyuntik minyak masak ke wajahnya apabila doktor enggan memberikan suntikan silikon lagi.

Bekas model Hang Mioku mengalami kecacatan kekal ekoran rawatan kecantikan yang dilakukan sendiri itu.


Selepas menyuntik sebotol silikon dari pasaran gelap ke wajahnya, Hang menggunakan minyak masak hingga menyebabkan wajahnya membengkak dan berparut.


Kegetirannya itu disiarkan televisyen Korea dan penonton memberi sumbangan jutaan won bagi bayaran pembedahan memulihkan wajahnya.


Ketika 10 pembedahan pertama, pakar bedah mengeluarkan 60 gram silikon, minyak serta bahan asing lain dari mukanya dan 200 gram dari lehernya.


Bagaimanapun, Hang masih kelihatan cacat dan dia berkata, dia berharap dapat memiliki wajah lamanya semula.

Hang menjalani prosedur pembedahan plastik pertama ketika berusia 28 tahun dan kemudian berpindah ke Jepun, di mana dia mendapatkan rawatan berulang kali. Dia serta-merta ketagih untuk memperoleh kulit yang lembut dan licin. Doktor akhirnya enggan melakukan pembedahan terhadapnya selepas wajahnya membesar dengan ketara.


Bagaimanapun, dia dapat membeli sebotol silikon dan picagari untuk menyuntik dirinya tetapi apabila sudah habis, dia menggunakan minyak masak.

Wajahnya jauh berubah hinggakan ibu bapanya tidak dapat mengenalinya dan kanak-kanak menggelarnya ‘kipas angin berdiri’ kerana wajahnya amat besar berbanding dengan tubuhnya yang kecil. Pelbagai pembedahan yang dibayar dengan wang sumbangan berjaya mengecilkan saiz wajah dan lehernya, tetapi dia masih mengalami kecacatan.


Baru-baru ini, bekas model itu bekerja di kedai pakaian kitar semula bernama ‘The Beautiful Shop’ dan menerima bantuan daripada kerajaan.- Daily Mail

Benua tenggelam 100 juta tahun ditemui




SEORANG pegawai Pusat Perkhidmatan Geologi Brazil (CPRM) melihat ketulan batu granit yang telah diangkut dari dasar laut.- AFP


RIO DE JANEIRO, Brazil - Ahli geologi Brazil kelmarin mengumumkan penemuan sebahagian benua negara itu yang tenggelam pada kedudukan 1,500 kilometer dari Rio De Janeiro.
Penemuan itu mungkin merupakan sebahagian daripada benua yang tenggelam ketika Lautan Atlantik telah membentuk benua Afrika dan Amerika Selatan kira-kira 100 juta tahun dahulu.
Seorang pegawai kanan Pusat Perkhidmatan Geologi Brazil (CPRM), Roberto Ventura Santos berkata, beberapa sampel batu granit ditemui pada dua tahun lalu semasa kerja-kerja cari gali dilakukan di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Rio Grande Elevation.
Kawasan itu merupakan sebuah kawasan banjaran pergunungan di Brazil dan perairan antarabangsa.
Batu granit yang dijumpai itu didapati membentuk benua tersebut.
"Kawasan ini mungkin merupakan Atlantis Brazil. Kami hampir pasti, namun hipotesis kami perlu dibuktikan. Kami akan mendapatkan pengesahan saintifik terakhir pada tahun ini dengan menjalankan aktiviti penggerudian di kawasan sama tidak lama lagi," kata laman web berita G1 memetik kenyataan Ventura. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2Sg1IJylh 
Hakcipta terpelihara 

Empat maut terkena letusan gunung berapi




PASUKAN penyelamat membawa seorang pemandu pelancong yang terselamat di kaki Gunung Mayon, semalam.- AP


MANILA - Tiga pelancong Jerman dan seorang pemandu pelancong maut apabila salah sebuah gunung berapi paling aktif di Filipina menghamburkan kepulan abu dan hujan batu kelmarin, kata pihak berkuasa.
Menurut pegawai dan pengendali pelancongan, kira-kira 20 orang pelancong dan pemandu mereka berada di lereng Gunung Mayon di wilayah Albay, pulau Luzon apabila ia meletus tanpa sebarang amaran. Pasukan penyelamat telah dihantar menggunakan helikopter untuk mencari mangsa.
"Batu-batu yang jatuh bersaiz sebesar set meja makan," kata operator pelancongan tempatan, Marti Calleja.
Tambah Calleja, tiga pemandu pelancong Filipina dari syarikatnya bersama lima warga asing mula mendaki Gunung Mayon beberapa jam sebelum ia memuntahkan abu tebal sejauh 500 meter ke udara.
Jurucakap polis serantau, Supritendan Renato Bataller, mengesahkan empat kematian dengan tujuh yang lain cedera termasuk empat pelancong Thailand.
Kawasan seluas enam kilometer radius itu merupakan zon bahaya tetap, namun kerajaan tempatan membolehkan orang ramai mendaki jika tiada tanda letusan berlaku.
"Ia meletus secara tiba-tiba dan orang ramai menjadi panik," kata seorang pemandu bas, Jun Marana kepada agensi berita AFP melalui telefon.
Pengkaji gunung berapi memberitahu, ia adalah letusan stim yang didorong oleh letupan kecil selama 73 saat dan dijangka tidak berulang dalam masa terdekat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2Sg0oPmjI 
Hakcipta terpelihara 

Kuantiti ubat bius dalam badan Jacko menyamai kegunaan pembedahan




GAMBAR fail 5 Mac 2009 menunjukkan Michael Jackson mengumumkan konsertnya di Stadium Arena O2 di London, Britain.


LOS ANGELES - Kandungan ubat bius di dalam badan Michael Jackson semasa dia meninggal dunia pada 2009 menyamai kuantiti yang digunakan untuk pembedahan serius, kata seorang koroner kelmarin.
Bekas raja pop berusia 50 tahun itu meninggal dunia kerana terlebih mengambil ubat bius propofol yang diberikan oleh doktor peribadinya, Conrad Murray.
Michael didakwa memerlukan ubat bius tersebut kerana menghidap insomnia dan sakit belakang yang kronik.
Penemuan tersebut disahkan oleh pakar Pejabat Koroner Los Angeles, Daniel Anderson.
"Kandungan propofol itu mengejutkan saya. Kandungan ubat bius seperti itu hanya digunakan kepada pesakit yang menjalani pembedahan serius dan di bawah pengawasan pakar," kata Anderson.
Ibu Michael kini menyaman promoter konsert anaknya, AEG Live kerana cuai apabila mengupah Murray sebagai doktor peribadi penyanyi tersebut.
Murray didapati bersalah kerana membunuh tanpa niat berhubung kematian bintang tersebut pada 2011.
AEG sebelum ini mendakwa, Michael sendiri yang mengupah Murray dan penyanyi itu telah menggunakan ubat bius propofol sejak tahun 1990-an. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2Sg0hGxW4 
Hakcipta terpelihara 

AS pulangkan tengkorak dinosaur kepada Mongolia




Rangka tengkorak dan tulang rahang dinosaur yang dipamerkan semasa majlis penyerahan kepada Mongolia di New York.- AP


NEW YORK - Amerika Syarikat (AS) semalam telah menyerahkan semula tengkorak dinosaur yang berusia 70 juta tahun kepada Mongolia.
Tengkorak itu merupakan rangka dinosaur Tyrannosaurus yang telah dicuri dari kawasan gurun Gobi di Mongolia dan kemudian dijual di sebuah pusat lelongan di New York.
Tengkorak yang hampir lengkap itu merupakan rangka dinosaur Tyrannosaurus bataar yang merupakan dari spesies Tyrannosaurus rex.
Ia cuba dilelong dengan nilai AS$1.05 juta (RM3.13 juta) tahun lalu sebelum pihak berkuasa AS mendapatkannya kembali selepas diminta Mongolia.
Peguam pendakwa raya terkenal di New York, Preet Bharara berkata:, "AS telah menumpaskan satu sindiket jenayah berkaitan. Kini, kami dengan rasa gembira ingin menyerahkan semula tengkorak yang bernilai jutaan ringgit ini kepada Mongolia."
Rangka dinosaur itu akan disambut dengan meriah apabila dibawa pulang ke Mongolia.
"Kita tidak pernah memiliki rangka dinosaur untuk dipamerkan di muzium sebelum ini. Jadi kami akan menyediakan sebuah muzium baharu yang dipanggil Muzium Pusat Dinosaur Mongolia.
"Rangka Tyrannosaurus bataar akan menjadi bahan pameran utama. Ia akan dipamerkan di muzium ini," kata Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Mongolia, Oyungerel Tsedevdamba. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2Sg0M9Jsb 
Hakcipta terpelihara 

Guna anjing kesan gempa bumi




SELAIN digunakan untuk mencari mangsa bencana yang terselamat, anjing juga dipercayai boleh mengetahui gempa bumi yang akan berlaku.- AFP


BEIJING - Sebuah bandar di China menggunakan anjing untuk meramal kejadian gempa bumi, kata sumber rasmi pada Selasa lalu selepas media negeri itu melaporkan ramai penduduk merungut mengenai amaran palsu berbentuk salakan itu.
China kerap dilanda gegaran seismik. Kira-kira 200 orang mati atau hilang dalam kejadian gempa bumi di wilayah Sichuan pada bulan lepas sementara beratus-ratus ribu terbunuh dalam bencana besar sebelum ini.
Jawatankuasa gempa bumi Nanchang menggunakan anjing kerana mendakwa, haiwan tersebut akan bertindak luar biasa sebelum gempa bumi berlaku.
Malah pernah terjadi bencana itu berjaya dikesan sepuluh hari lebih awal, kata seorang pegawai, Song.
Namun, ramai penduduk mengadu di laman media sosial bahawa keadaan pada waktu malam di kawasan itu terlalu bising dengan salakan haiwan tersebut.
"Saya tidak tahu ada berapa ekor anjing di pejabat pihak berkuasa gempa bumi Nanchang, tetapi setiap pukul 11 malam haiwan itu akan mula menyalak," kata seorang penduduk. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Sfz4YQxT 
Hakcipta terpelihara 

Tiga wanita hilang ditemui selepas satu dekad



SEORANG anggota polis berkawal di luar rumah di mana tiga wanita dikurung selepas mereka diculik sedekad lalu di Cleveland, semalam.- AP


CLEVELAND, Amerika Syarikat - Tiga wanita yang diculik sedekad lalu ditemui dalam keadaan masih hidup di sebuah rumah di sini kelmarin.
Polis berkata, pihaknya menahan tiga adik-beradik lelaki termasuk seorang pemandu bas berhubung kehilangan mereka.
Tiga wanita tersebut iaitu Gina DeJesus, 23, Amanda Berry, 24, dan Michelle Knight ditemui dalam keadaan sihat.
Media AS melaporkan, Berry hilang pada 2003 manakala DeJesus pada 2004 ketika mereka masih di usia remaja.
Stesen televisyen CNN pula melaporkan bahawa Knight didapati hilang pada 2000 pada usia 20 tahun.
Menurut polis, mereka menyerbu kediaman tersebut selepas menerima panggilan kecemasan daripada Berry.
Wanita itu dibebaskan daripada kediaman itu oleh seorang jiran yang terdengar jeritan mangsa.
"Tolong saya! Saya Amanda Berry, saya diculik dan hilang selama 10 tahun. Saya kini bebas," menurut rakaman percakapan Berry dengan operator perkhidmatan kecemasan 911.
Semasa membuat panggilan tersebut, mangsa mendedahkan nama penculiknya dan memberitahu, dia berada di luar rumah tempat dia dikurung.
Berry juga merayu polis supaya segera ke tempat kejadian.
Jiran berkenaan, Charles Ramsey memberitahu dalam wawancara bersama CNN, dia melihat Berry berusaha untuk keluar daripada pintu rumah yang belum terbuka sepenuhnya apabila tiba di kediaman tempat mangsa dikurung.
"Saya melihat dia panik dan seboleh-bolehnya mahu membuka pintu dan keluar dari rumah itu," kata Ramsey.
Menurut lelaki tersebut, dia melihat Berry muncul daripada kediaman itu bersama seorang budak perempuan.
Polis yang menyerbu rumah tersebut tidak lama kemudian turut menemui DeJesus dan Knight.
Ketiga-tiga wanita itu kemudian dibawa ke sebuah hospital dan berada dalam keadaan selamat.
"Kita jarang mendengar kisah penculikan seperti ini berakhir dengan selamat," kata pegawai hospital berkenaan, Dr.Gerald Maloney.
Beliau enggan mengulas laporan media bahawa dua kanak-kanak turut ditemui bersama tiga wanita tersebut di kediaman itu.
Tiga suspek yang masing-masing berusia 50, 52 dan 54 tahun kini ditahan untuk soal siasat.
Seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai Ariel Castro, 52, yang merupakan pemandu bas sekolah awam di sini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Sfyvp63h 
Hakcipta terpelihara