Pages

Thursday, April 18, 2013

'Saiznya cukup untuk telan kami'

'Saiznya cukup untuk telan kami'
Penduduk mengangkat ular sawa gergasi itu.
SIONG - Dua sahabat berhadapan situasi cemas bergelut selama dua jam dengan seekor ular sawa batik sepanjang tujuh meter dianggarkan seberat hampir 150 kilogram ketika melakukan rondaan di kawasan kebun getah di Kampung Becah Sawa kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Penduduk, Mohd Hafiz Mohd Noor, 31, berkata, dia bersama seorang rakannya, Nasir Yaakup, 41, terpaksa bergelut mengatasi tenaga kuat ular itu yang dipercayai baru menetaskan kira-kira 80 telur dalam sebuah lubang di kebun itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama rakannya itu sedang melakukan rondaan bagi mengelakkan kecurian getah sebelum ternampak sesuatu seperti badan ular sawa di dalam sebuah lubang di kawasan kebun itu.

“Saya cuba dekatkan diri dan melihat memang terdapat ular sawa dalam lubang itu. Saya dan rakan cuba menarik ular itu, tapi tidak berjaya. Tenaganya begitu kuat. Hampir dua jam bergelut barulah saya dapat pegang kepala ular itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia dan rakannya terpaksa mengheret ular itu sepanjang beberapa meter sebelum dipindahkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Ketika itu, saya memang tidak ingat apa dah. Saya cuma nak keluarkan ular itu. Saya takut, ada orang kampung yang akan jadi mangsa.

"Saiz ular ini cukup untuk telan kami berdua,” katanya.

Kejayaan menangkap 'ular gergasi' itu turut mendapat perhatian penduduk.

Puluhan penduduk tidak putus-putus mengambil gambar termasuk melihat ular itu dari jarak dekat.

Mohd Hafiz berkata, dia belum membuat keputusan sama ada untuk melepaskan ular itu mahupun menyerahkan kepada pihak berkuasa.

Kek tanda letak jawatan


STANSTED 17 April - Seorang pekerja membuat kejutan dengan mengukir surat peletakan jawatan pada kek yang diserahkan kepada ketuanya.
Kek istimewa dengan dihiasi lapisan gula itu merupakan satu perkara unik yang dilakukan oleh Chris Holmes, 31, untuk meluahkan hasratnya.
Pekerja di Jabatan Imigresen, Lapangan Terbang Stansted itu bertindak melepaskan jawatan bagi memberi tumpuan terhadap perniagaan membuat kek yang mula diceburi secara kecil-kecilan beberapa tahun lalu.
"Saya menyerahkan sendiri kek tersebut kepada pengurus yang bertugas. Saya rasa dia terkejut dengan kek itu," katanya.
Menurutnya, kek tersebut sangat istimewa kerana dibuat daripada lobak merah yang dicampur kelapa parut, kacang, kismis dan menggunakan krim mentega oren.
"Surat itu mungkin kelihatan agak 'padat' kerana terlalu banyak perkataan yang saya mahu tulis. Bagi saya, ia 'kejutan' yang manis," katanya.
Holmes merasakan cara sedemikian sebagai jalan terbaik untuk melepaskan jawatan dan berharap rasa kek tersebut mampu memberi 'ingatan' menarik kepada mereka yang merasainya.
"Saya sudah merancang perkara ini selama enam bulan, namun merahsiakannya kerana tidak pasti bila saya akan meletak jawatan," katanya.
Holmes sudah bekerja dengan jabatan tersebut selama tujuh tahun dan mula menjalankan perniagaan kek secara kecil-kecilan sejak Julai 2010. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_13/Kek-tanda-letak-jawatan#ixzz2QleXtm6W
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Iran dilanda gempa bumi lagi



TEHERAN 18 April - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 skala Richter menggegarkan barat laut Iran hari ini, beberapa hari selepas satu gempa kuat melanda kawasan sempadan Iran-Pakistan yang mengorbankan 40 orang.
Gempa yang berlaku di bandar Tassouj dengan kedalaman lapan kilometer itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemusnahan.
Agensi berita ISNA yang memetik pegawai tempatan di wilayah Azerbaijan Timur, Khalil Saiie berkata, pihaknya masih memantau gempa susulan dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Gegaran gempa itu turut dirasai di beberapa bandar berhampiran Tassouj. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_23/Iran-dilanda-gempa-bumi-lagi#ixzz2Qra0kSpZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Boleh gemuk layan laman sosial



Kajian mendapati wanita sanggup tidak bersarapan kerana menghabiskan masa melayari internet. - AGENSI
LOS ANGELES 17 April - Kajian mendapati hampir empat daripada 10 orang wanita berisiko menjadi gemuk kerana tidak mengambil sarapan pagi semata-mata mahu menghabiskan masa melayari internet terutamanya laman sosial seperti Facebook dan Twitter atau memeriksa e-mel.
Tekanan hidup dalam dunia moden ini menyebabkan hanya 63 peratus golongan wanita mengambil sarapan di rumah dengan selebihnya memilih untuk melayari internet.
Sekurang-kurangnya seorang daripada tiga orang dewasa akan memeriksa e-mel pada sebelah pagi, manakala satu perempat pula lebih gemar melayari Facebook dan Twitter.
Golongan itu tidak menyedari bahawa kajian itu juga mendapati mereka yang tidak mengambil sarapan akan terdedah untuk mengambil makanan yang banyak semasa makan tengah hari.
Keadaan itu menyebabkan mereka mudah menjadi gemuk kerana makanan yang diambil pada tengah hari mengandungi lebih banyak lemak dan manis.
Kajian itu juga mendapati hampir satu daripada lima orang tidak mengambil sarapan pagi selagi tidak menyiapkan kerja mereka.
Manakala terdapat juga yang mengambil sarapan semasa berada di dalam perjalanan ke tempat kerja.
Kajian juga mendapati, satu daripada tujuh orang terlepas mengambil sarapan kerana mereka sibuk dengan tugasan di rumah.
Malah satu daripada dua orang mengakui tahap tenaga mereka akan menjadi lemah jika terlepas sarapan manakala 45 peratus lagi memberitahu mereka merasa lebih produktif apabila mengambil sarapan pagi.
Penyelidik telah memberi amaran bahawa seseorang yang tidak mengambil makanan dalam tempoh yang panjang akan mengidam makanan berkalori tinggi yang berlebihan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_12/Boleh-gemuk-layan-laman-sosial#ixzz2QleDMtsP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelabuhan zaman Firaun ditemukan



Sebuah pelabuhan yang dipercayai berusia 4,500 tahun ditemukan oleh pakar arkeologi di kawasan perairan Laut Merah, di Mesir, kelmarin. - AGENSI
KAHERAH 17 April - Pakar arkeologi menemukan satu pelabuhan tertua di dunia yang terletak di kawasan perairan Laut Merah di Mesir.
Pelabuhan tersebut dipercayai berusia 4,500 tahun yang digunakan ketika pemerintahan Firaun Khufu (Cheops) pada Dinasti Keempat.
Pelabuhan itu ditemui di kawasan Wadi el-Jarf, selatan Suez, Mesir bersama beberapa manuskrip papirus dalam aksara hiroglif.
Struktur yang dipercayai 1,000 tahun lebih tua dari pelabuhan lain di dunia itu ditemui oleh pasukan Institut Pengajian Arkeologi Perancis.
Akhbar Daily Mail semalam melaporkan pasukan arkeologi itu percaya, pelabuhan berkenaan merupakan pelabuhan komersial paling penting pada zaman purba Mesir dan digunakan untuk mengeksport tembaga dan bahan mineral lain dari Semenanjung Sinai.
Manuskrip tersebut mengandungi maklumat pengurusan untuk mendapatkan roti dan arak kepada pekerja yang akan keluar dari pelabuhan itu.
Satu daripada manuskrip itu juga menceritakan maklumat tentang kehidupan penduduk Mesir purba.
Pihak berkuasa Mesir berkata, pasukan arkeologi tersebut menemukan pelbagai jenis limbungan dan batu sauh. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_09/Pelabuhan-zaman-Firaun-ditemukan#ixzz2Qle1Hq8t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kek gulung paling panjang di dunia dibuat di Jepun




SEBAHAGIAN pelajar meraikan kegembiraan selepas berjaya membuat kek gulung paling panjang di dunia.


TOKYO - Kira-kira 90 orang tukang masak dan pelajar membuat kek gulung yang terpanjang di dunia di sini semalam.
Kek yang sepanjang 130.68 meter (m) itu diperbuat daripada gula seberat 43 kilogram (kg) dan menggunakan tepung sebanyak 54kg.
Sebanyak 2,682 biji telur digunakan untuk membuat kek tersebut.
Panjang kek itu diiktiraf oleh pihak Guinness World Records.
Ia memecahkan rekod kek gulung sepanjang 115.09m yang dibuat di Takasaki, Gunma, Jepun pada 19 November 2011. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2QlFV5PYA 
Hakcipta terpelihara 

Tukang gunting rambut cuci mata pelanggan




SEORANG tukang gunting rambut mencuci mata seorang pelanggannya di sebuah taman di Chengdu, wilayah Sichuan pada 12 April lalu.


CHENGDU - Seorang tukang gunting rambut menggunakan sebilah logam kecil untuk mencuci mata seorang pelanggan di sebuah taman di Chengdu, wilayah Sichuan, China pada 12 April lalu.
Mencuci mata merupakan amalan tradisional penduduk China yang dipercayai akan menyebabkan penglihatan menjadi lebih terang.
Tukang gunting rambut itu, Liu Deyuan menyediakan perkhidmatan mencukur rambut termasuk membersihkan mata pada harga lima yuan (RM2.45).
Deyuan menggunakan logam kecil itu yang dimasukkan ke dalam mata di tepi kelopak semasa dia membersihkan mata tersebut.
Dia menyediakan perkhidmatan itu sejak tujuh tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2QlFAJgoQ 
Hakcipta terpelihara 

Bot gergasi guna kuasa suria tiba di Rabat




BEBERAPA orang nelayan melihat bot PlanetSolar belayar di Sungai Bouregreg, Rabat kelmarin.


RABAT, Maghribi - Sebuah bot gergasi yang menggunakan kuasa suria tiba di Sungai Bouregreg di sini kelmarin.
Bot sepanjang 31 meter itu dikendalikan oleh Gerard d'Aboville.
Ia yang dilengkapi dengan lebih 500 meter persegi panel suria merupakan bot paling panjang yang menggunakan tenaga suria di dunia.
Bot yang dibina di Kiel, Jerman pada tahun 2010 itu diberi nama PlanetSolar.
Ia kemudian akan belayar ke Lautan Atlantik dan tiba di Miami, Amerika Syarikat pada Mei ini untuk memulakan ekspedisi saintifik. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2QlEocii3 
Hakcipta terpelihara 

Kuzmanovic cipta kereta F1 di dalam bengkel




KERETA itu dipandu di sebatang jalan raya yang turut digunakan kenderaan lain.


PRNJAVOR, Bosnia - Seorang penduduk di sini, Miso Kuzmanovic membina sebuah kereta lumba Formula Satu (F1) di dalam sebuah bengkel sejak dua tahun lalu.
Dia membina kereta tersebut bersama rakan-rakan dan anggota keluarganya dengan kos sebanyak AS$33,000 (RM100,006).
Ia menggunakan enjin kereta sport, Porche.
Apabila dia berpindah ke Kanada pada tahun depan, Kuzmanovic merancang untuk mencari sebuah syarikat yang akan mengeluarkan reka bentuk kereta itu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2QlEbiVzM 
Hakcipta terpelihara