Menurut laman web Oddity Central, bekas jururawat yang juga merupakan model webcam, Peter Filak memberitahu, kali terakhir dia minum air adalah pada 5 Mei 2012 dan kini bergantung sepenuhnya kepada buah-buahan dan sayuran sebagai diet harian.
Filak juga percaya, cara tersebut tidak akan menyebabkan masalah penghidratan dan mendakwa bahan seperti klorin dan fluorida untuk membersihkan air minuman boleh membahayakan tubuhnya.
“Saya akan bangun dari tidur dua hingga tiga kali setiap malam untuk membuang air kecil dengan makan buah dan sayur. Jadi, saya tidak perlu minum air lagi,” ujarnya di laman web miliknya, More Apples A Day.
Filak yakin pengambilan 800 hingga 1,000 kalori setiap hari berasaskan diet buah-buahan dan sayur-sayuran yang diamalkan dapat membantunya untuk terus hidup sehingga usia 150 tahun.
“Saya percaya usaha ini akan membantu saya untuk hidup lebih lama. Saya juga tidak perlu menghabiskan banyak masa di dapur dan tidak lagi berpeluh serta mempunyai masalah bau badan dengan diet ini,” katanya.
Namun, ramai yang tidak bersetuju dengan cara Filak itu termasuk Pakar Nutrisi Universiti New York, Profesor Lisa Sasson yang berpendapat bahawa menghidrat tubuh dengan air adalah amat penting dalam kehidupan seharian setiap manusia.
“Dehidrasi adalah sangat serius. Air mempunyai fluorida yang penting untuk kesihatan gigi, melancarkan fungsi tubuh serta membantu buah pinggang kita,” katanya.
habis.