Pages

Friday, December 2, 2011

Gambar-gambar banjir kilat diKajang

 

Strauss-Kahn luah perasaan dalam buku


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 2, 2011
Strauss-Kahn luah perasaan dalam buku

PARIS - Bekas ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn berkata, hubungan seksnya dengan seorang pembantu hotel di New York dilakukan secara sukarela tetapi mengakui perbuatan itu sesuatu yang bodoh.

Luahan Strauss-Kahn itu dibuat menerusi buku biografinya yang mula dipasarkan, semalam.

Buku tulisan Michel Taubmann itu menceritakan mengenai skandal seks dihadapi bekas menteri kewangan Perancis itu sehingga menyebabkan kariernya sebagai ketua IMF tamat dan memusnahkan impiannya untuk bertanding dalam pilihan raya Perancis, tahun depan.

“Semua ini tidak akan berlaku kalau saya tidak mengadakan hubungan seks dengan Nafissatou Diallo,” menurut Strauss-Kahn dalam buku itu.

Strauss-Kahn ditahan di lapangan terbang New York, beberapa minit sebelum beliau berlepas ke Perancis dan didakwa cuba merogol Diallo, 14 Mei lalu.

Namun, semua dakwaan ke atasnya digugurkan pendakwa raya dan beliau kembali ke negara asalnya, Perancis sebelum berhadapan dengan satu lagi kes serangan seksual yang kemudian turut digugurkan mahkamah Paris.

Strauss-Kahn luah perasaan dalam buku - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pekan Kajang dilanda banjir kilat

Harakahdaily

KAJANG, 2 Dis: Hujan lebat beberapa jam sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kajang di sini dilanda banjir kilat.

Paling terjejas teruk pekan Kajang yang dinaiki air sekaligus merosakkan barangan di dalam beberapa buah kedai.

Selain itu beberapa kenderaan juga turut terkandas ekoran air yang naik secara mendadak.

Kejadian banjir teruk di Kajang pernah berlaku pada tahun 2008.

Berikut antara gambar-gambar yang dirakam orang ramai beberapa minit lalu.

Pekan Kajang dilanda banjir kilat:

'via Blog this'

Maut dirempuh bas


Oleh : SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
Tarikh : December 2, 2011
Maut dirempuh bas

KULAIJAYA – Seorang pekerja warga Bangladesh maut dalam keadaan menyayat hati setelah tubuhnya terputus dua akibat dirempuh sebuah bas persiaran di KM 49.9
Lebuhraya Utara-Selatan di Sedenak, di sini kira-kira jam 8 pagi, semalam.
Kejadian itu menyebabkan bahagian pusat hingga kaki mangsa tercampak ke bahu jalan, manakala bahagian kepala hingga perutnya tersangkut pada bahagian hadapan bas yang sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Johor Bah­ru-Singapura.
Kemalangan ngeri itu turut menyebabkan dua rakan mangsa yang bersamanya ketika kejadian mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital ber­­ham­­piran.
Salah seorang penumpang, Valambal, 60 berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum terjatuh dari tempat duduknya dan terhumban ke arah hadapan bas bersama beberapa penumpang lain.
“Dia (pemandu) tidak dapat mengelak pekerja berkenaan lalu melanggarnya sebelum memberhentikan bas dan ketika itu ramai penumpang yang terjatuh ke hadapan bas.
“Ketika kejadian saya duduk di barisan ketiga di belakang pemandu, yang lain-lain (penumpang) selamat dan hanya alami luka ringan,” katanya.
Sementara itu, pemandu bas yang dikenali sebagai Ahmad berkata, kejadian berlaku amat pantas menyebabkan dia tidak sempat mengelak dari melanggar mangsa, namun berjaya mengawal kenderaan daripada menyebabkan terbalik ke bahu jalan.
“Kejadian ini mengejutkan saya, namun saya berasa sedikit lega kerana selamat mengelak dari melanggar pembahagi jalan dan mengawal kenderaan supaya tidak terbalik,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berpunca daripada pemandu bas yang melanggar lori kenderaan pekerja yang sedang menjalankan kerja pembaikan pada bahu jalan terbabit.
Katanya, kesemua 20 penumpang dan pemandu terselamat.

Maut dirempuh bas - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

9 mangsa banjir di Kajang termasuk 3 warga emas diselamat


Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 2, 2011
banjir

KUALA LUMPUR - Sembilan mangsa banjir termasuk tiga warga emas di Kajang berjaya diselamatkan apabila rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata mangsa berada di rumah ketika air mula menaiki rumah mereka.

"Kesemua mangsa kita selamatkan di kawasan perumahan di Kampung Sungai Kantan dan Jalan Kelapa di mana mereka tidak sempat melarikan diri bila banjir berlaku," katanya ketika dihubungi.

Beberapa kawasan di Kajang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira 4 petang tadi.

Kawasan yang terlibat ialah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, Pasar Besar Kajang, Jalan Jeluk, Sungai Kantan, Jalan Semenyih dan Jalan Kelapa.

Mohamad Sani berkata di Sungai Kantan, air naik setinggi 1.5 meter manakala di tempat lain pada paras paha.

"Bomba menerima panggilan pada pukul 3.51 petang sebelum sampai dalam masa 10 minit bersama 14 anggota termasuk pegawai dari balai Kajang dan Cheras.

"Banjir surut kira-kira dua jam kemudian. Beberapa buah kereta serta motosikal rosak akibat ditenggelami air banjir," katanya. - Bernama

9 mangsa banjir di Kajang termasuk 3 warga emas diselamat - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Saudi dituduh menindas

DUBAI: Amnesty International semalam menuduh Arab Saudi menjalankan kempen menindas terhadap penunjuk perasaan dan aktivis pembaharuan sejak Kebangkitan Arab meletus.

“Sembilan bulan lalu telah menyaksikan gelombang baru penindasan di Arab Saudi dengan pihak berkuasa bertindak menindas penunjuk perasaan dan aktivis pembaharuan atas alasan keselamatan,” kata kumpulan hak asasi manusia itu dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.


Pengarah Amnesty Asia Barat dan Afrika Utara, Philip Luther berkata, mereka yang menunjuk perasaan secara aman menjadi sasaran dalam usaha untuk menyekat pembaharuan di seluruh rantau itu.

“Meskipun, alasan yang diberikan untuk mewajarkan tindakan itu mungkin berbeza, pendekatan penindasan yang digunakan kerajaan Saudi mencetuskan kebimbangan, sama seperti yang mereka gunakan sejak sekian lama ke atas orang yang dituduh melakukan kesalahan keganasan,” katanya.


Arab Saudi terkecuali daripada kekacauan seperti yang melanda dunia Arab lain hingga menggulingkan pemimpin kuku besi di tiga negara, Tunisia, Mesir dan Libya.


Amnesty juga menuduh pihak berkuasa Saudi menahan beribu-ribu orang, sebahagian besarnya tanpa tuduhan atau perbicaraan, atas alasan yang ada kaitan dengan keganasan. “Penyeksaan dan layanan kejam dalam tahanan terus berleluasa,” kata kumpulan hak asasi yang berpusat di London itu. - AFP

myMetro | Saudi dituduh menindas:

'via Blog this'

Berubah lelaki sejati

ISMAIL...terikut-ikut penampilan kakak
ISMAIL...terikut-ikut penampilan kakak
HAMDAN...kembali ke pangkal jalan
HAMDAN...kembali ke pangkal jalan
IPOH: “Alhamdulillah, Allah membuka pintu hati saya untuk berubah, sekali gus membolehkan saya memenuhi amanat arwah bapa sebelum dia meninggal dunia awal tahun ini.”
Itu kata Baby atau nama sebenarnya Ismail, 29, seorang daripada 40 mak nyah yang menyertai aktiviti pemulihan dinamakan Program Mukhayyam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sebuah resort di sini, selama tiga hari, bermula kelmarin.
Ismail berkata, selepas bapanya meninggal dunia, keinginannya untuk kembali menjadi lelaki normal semakin kuat dan dia mula mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Allah.

Menurutnya, selepas mendapat tahu mengenai Program Mukhayyam, dia mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar diri sebagai peserta kerana percaya ia medan terbaik untuk kembali ke pangkal jalan.



“Saya tertarik menyertai Program Mukhayyam kerana program keagamaan ini diadakan secara santai dan tanpa diskriminasi. Insya-Allah selepas tamat program ini, hala tuju saya lebih jelas,” katanya.
myMetro | Berubah lelaki sejati:

'via Blog this'

Anak sangka bapa tidur

AJAL...keadaan Lokman yang tidak bernyawa tersandar pada cermin pintu pemandu. Gambar kecil, Lokman, sakit jantung
AJAL...keadaan Lokman yang tidak bernyawa tersandar pada cermin pintu pemandu. Gambar kecil, Lokman, sakit jantung

KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun menyangka bapanya tertidur ketika memandu sedangkan lelaki berkenaan sebenarnya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi Jalan Pedada, Taman Kota Jaya itu, Dina Alisa Lokman hanya mendiamkan diri apabila kepala bapanya, Lokman Ramlan, 42, tersandar pada tingkap sebelah pemandu sebelum Proton Wira Aeroback dipandu lelaki berkenaan berhenti perlahan-lahan.


Dia juga masih terus mendiamkan diri apabila orang ramai datang membantu dan hanya menangis selepas pasukan perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT) yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan bapanya meninggal dunia.

Orang ramai menghubungi isteri mangsa, Yusniza Yusof, 37, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan wanita berkenaan tiba ditemani rakan sekerja sebelum ibu Lokman, Dinah Abu Bakar, 68, sampai bersama kakaknya, Zaleha Ramlan, 49.


Menurut Zaleha, Lokman pernah bekerja di sebuah bank di daerah berkenaan sebelum meletak jawatan setahun lalu untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.


“Lokman mengedar produk hasil pertanian kepada pekedai sekitar bandar ini. Dia tidak pernah mengadu sakit dan gigih bekerja,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HKT.

Menurut Zaleha, Dina yang juga anak kedua daripada empat beradik tidak faham dengan apa yang menimpa bapanya.


“Dina menyangka bapanya tertidur dan kerana itu dia mendiamkan diri sehinggalah menyedari bapanya sudah tiada lagi.

“Walaupun sedih, kami reda dengan kejadian dan menganggapnya sebagai takdir,” katanya.


Seorang lelaki yang enggan dikenali pula menyatakan Lokman serta Dina dilihat bersarapan di sebuah kedai berhampiran lokasi berkenaan sejam sebelum itu.


“Mangsa sempat membelikan aiskrim untuk anaknya sebelum mereka berlalu pergi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian.


“Setiba di Jalan Pedada, mangsa mendapat serangan jantung lalu memperlahankan kereta ke bahu jalan.


“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian Lokman akibat serangan jantung dan jenazahnya dituntut ahli keluarga,” katanya.


Jenazah Lokman dibawa pulang ke Kampung Bukit Lintang, Lukut, untuk dikebumikan.

myMetro | Anak sangka bapa tidur:

'via Blog this'

‘Ustazah jadi-jadian’

CATRIONA....belum tinggalkan dunia lakonan
CATRIONA....belum tinggalkan dunia lakonan
KOTA BHARU: Digelar ‘ustazah jadi-jadian’ antara cercaan terbaru diterima pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland, Catriona Noorhayati Ross Bahrin Ross atau lebih dikenali sebagai Catriona Ross, 31, selepas dia memakai tudung dan banyak terbabit memberi ceramah serta motivasi berkaitan perubahan dirinya.
Catriona yang terkenal dengan drama Mek Salmah Dari Scotland berkata, dia juga dipinggirkan rakan rapat yang terus menghilangkan diri selepas dia lebih cenderung melakukan pelbagai aktiviti berkaitan Islam.
“Sudah menjadi lumrah, apabila kita berubah, akan ada yang mencerca. Ada yang menggelar saya ‘ustazah jadi-jadian’ dan ia datang daripada mereka yang dalam industri seni sendiri.

“Rakan rapat yang dulu sentiasa bersama juga hilang entah ke mana. Ada juga menuduh saya masuk politik,” katanya yang ditemui selepas menjadi panel Program Bual Bicara Hijrah - Antara Usaha atau Hidayah Sempena Majlis Budaya Ilmu Perdana Sempena Maal Hijrah 1433H/2011 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, semalam.

Program itu turut disertai Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, Dr Aminurrasyid Yatiban dan Dr Noorhisham Md Nawi.
myMetro | ‘Ustazah jadi-jadian’:

'via Blog this'

Adik Bashar jadi sasaran sekatan Liga Arab

KAHERAH: Adik Presiden Syria, Bashar al-Assad, beberapa menteri dan jutawan telekomunikasi, Rami Makhluf, termasuk dalam senarai tokoh penting yang menjadi sasaran sekatan Liga Arab.

Menerusi sekatan ekonomi yang dipersetujui 22 negara anggota pertubuhan itu Ahad lalu, mereka akan dilarang bergerak di rantau itu dan semua aset mereka di negara Arab akan dibeku, jika senarai itu dsahkan pada satu mesyuarat di Doha. Mesyuarat itu akan dihadiri oleh menteri dari Qatar, Algeria, Oman dan Sudan di Doha hari ini.


Beberapa negara lain dipelawa tetapi Iraq sudahpun memaklumkan ia akan memulaukan keputusan Liga Arab itu.

Antara mereka yang termasuk dalam senarai itu ialah Maher al-Assad, adik Bashar, sepupunya, Makhluf, Menteri Pertahanan, Jeneral Daood Rajha, Menteri Dalam Negeri, Mohammed Ibrahim al-Shaar dan beberapa pegawai kanan tentera dan perisikan. -AP

myMetro | Adik Bashar jadi sasaran sekatan Liga Arab:

'via Blog this'

Padah tolak lamaran

KUNDUZ: Seorang gadis berusia 17 tahun dan keluarganya disembur dengan asid, dipercayai kerana menolak lamaran.
Gadis berkenaan, Mumtaz cedera parah apabila asid itu disembur pada mukanya oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang memecah masuk ke rumahnya di Kunduz, utara Afghanistan, semalam.

Ibu dan empat adik perempuannya melecur seditkit dalam serangan itu selepas mereka terkena asid yang disasarkan ke arah Mumtaz, kata bapa mangsa, Sultan Mohammad.
Serangan itu adalah antara bahaya yang masih dihadapi ramai wanita Afghanistan selepas 10 tahun pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat menggulingkan kerajaan Taliban, yang didakwa menjalankan dasar yang menindas wanita.

“Kejadian berlaku pada tengah malam. Mereka memecah masuk ke rumah saya sebelum memukul dan memasukkan saya ke dalam beg besar.

Mereka kemudian memukul isteri dan anak saya. Sebelum meninggalkan rumah kami, mereka menyemburkan asid ke muka Mumtaz,” kata Sultan.
Mangsa yang sukar bercakap dan masih dirawat di hospital berkata: “Pada mulanya mereka memukul saya, kemudian ibu dan adik saya sebelum melemparkan asid ke muka saya.” Sultan menyalahkan seorang pemerintah militia yang melamar Mumtaz tetapi ditolak oleh keluarga itu.

“Seorang lelaki melamarnya. Kami menolaknya dan Mumtaz ditunangkan dengan lelaki lain. Saya mengesyaki lelaki itu yang bertanggungjawab dalam kejadian ini,” katanya.
Penyerang melarikan diri sebelum polis tiba di tempat kejadian.

Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Bismullah Mohammadi, secara peribadi mengarahkan polis menyiasat dan menghukum mereka yang terbabit.

Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Afghanistan mencatatkan 1,026 kes keganasan terhadap wanita pada suku kedua tahun ini berbanding 2,700 kes sepanjang tahun lalu.

Kira-kira 87 peratus wanita Afghanistan mengadu berdepan dengan keganasan fizikal dan seksual. - AFP
myMetro | Padah tolak lamaran:

'via Blog this'

Sekolah seks pertama tawar praktikal

VIENNA: Seorang wanita Sweden membuka sekolah seks antarabangsa pertama di dunia dengan menawarkan ilmu menjadi kekasih yang lebih baik.

Dengan kos kira-kira RM6,900 untuk satu semester, Sekolah Seks Antarabangsa Austria di Vienna itu menerima penuntut yang berminat mengetahui selok-belok menjadi kekasih yang memuaskan pasangan.


Media semalam melaporkan, Ylva-Maria Thompson menawarkan ilmu menggoda secara praktikal kepada sesiapa yang berminat.

Menurutnya, sesiapa saja yang berusia lebih 16 tahun layak menyertai ‘kolej seksual amali pertama di dunia’ itu.


“Penuntut akan tinggal dalam blok penginapan yang bercampur lelaki dan perempuan bagi membolehkan segala ilmu yang dipelajari dicuba,” katanya.


Menurut Ylva-Maria, pendidikan asas yang diberikan bukan berbentuk teori, sebaliknya praktikal. - DM

myMetro | Sekolah seks pertama tawar praktikal:

'via Blog this'

40 ular untuk ‘ajar’ perasuah

CETUS PANIK...kakitangan pejabat cukai dan orang ramai memanjat kerusi dan meja selepas ular diisi dalam dua karung guni dilepaskan semalam.
CETUS PANIK...kakitangan pejabat cukai dan orang ramai memanjat kerusi dan meja selepas ular diisi dalam dua karung guni dilepaskan semalam.

MUMBAI: Dua petani yang bosan dengan tuntutan rasuah pegawai kerajaan, meletakkan tiga guni ular di pejabat cukai yang sibuk dengan orang ramai di utara India, kata pegawai keselamatan, semalam.

Ada kira-kira 40 ular pelbagai saiz dan spesies termasuk sekurang-kurangnya empat ular tedung menyebabkan kerani dan orang kampung kelam-kabut memanjat meja atau keluar dari pejabat sebaik menyedari insiden itu.


Jurucakap kerajaan tempatan, Ramsukh Sharma, berkata kejadian berlaku di Basti, kira-kira 300 kilometer di tenggara Lucknow.

Kata Ramsukh, sebaik dituang dari guni, ular itu menjalar ke meja dan kerusi.


“Keadaan sangat kelam-kabut dan sejurus kemudian ratusan orang berhimpun di luar bilik itu dengan sesetengahnya membawa kayu untuk membunuh ular berkenaan,” katanya.


Bagaimanapun, tiada sesiapa dipatuk ular berkenaan.

Menurut Ramsukh, petani terbabit meminta rekod cukai bagi tanah mereka di sebuah kampung di Narharpur.


“Masalahnya, mereka gagal mendapat rekod berkenaan kerana kakitangan di pejabat percukaian memeramnya selama dua minggu bagi mendesak petani terbabit membayar sedikit wang sebagai upah,” katanya.

Mengenai insiden itu, Ramsukh berkata, cara petani terbabit memprotes amalan rasuah itu tidak boleh diterima.


“Polis kini mencari dua suspek yang dikenali sebagai Hukkul Khan and Ramkul Ram,” katanya.


Sementara itu, sumber berkata, Hukkul memang dikenali di kalangan penduduk setempat sebagai penjinak ular. - DM

myMetro | 40 ular untuk ‘ajar’ perasuah:

'via Blog this'

Arroyo kena masuk hospital tentera

Kerajaan Filipina arah bekas presiden dipindah

MANILA: Mahkamah Filipina semalam mengarahkan bekas Presiden Gloria Arroyo supaya dipindahkan dari sebuah hospital eksklusif ke sebuah pusat perubatan tentera sementara menunggu perbicaraan atas dakwaan memanipulasi undi ketika pilihan raya.
Hakim di mahkamah Pasay City yang mengendalikan kes memerintahkan prosedur perubatan yang diperlukan Arroyo, 64, boleh dilakukan di Pusat Perubatan Memorial Veteran, kata kerani mahkamah, Joel Pelicano.
Lima hari dari hari ini Arroyo akan dipindahkan ke Pusat Perubatan Memorial Veteran. - Joel Pelicano, Kerani mahkamah
“Lima hari dari hari ini Arroyo akan dipindahkan ke Pusat Perubatan Memorial Veteran,” kata Pelicano kepada pemberita.

Hospital veteran berkenaan adalah sebuah kemudahan yang dikawal ketat di utara Manila. Keselamatan Arroyo akan terjamin dan doktor kerajaan yang terlatih boleh memenuhi segala keperluan beliau, katanya.

Arroyo yang memerintah negara itu hampir satu dekad sehingga tahun lalu dilaporkan dirawat di hospital persendirian yang mengenakan bayaran AS$1,100 (RM3,300) sehari sejak beliau ditahan bulan lalu atas dakwaan melakukan penipuan dalam pilihan raya 2007.

Kesalahan memanipulasi undi adalah satu kesalahan yang tidak dibenarkan ikat jamin dan jika didapati bersalah seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup. Perbicaraan boleh memakan masa bertahun-tahun.
Pemimpin yang menggantikan Arroyo, Benigno Aquino berikrar untuk mendakwa bekas presiden itu atas dakwaan rasuah ketika memerintah.

Peguam Arroyo pula menegaskan bahawa anak guamnya itu mengalami masalah tulang yang luar biasa, kehilangan selera makan dan jangkitan usus yang memerlukan beliau tinggal di hospital swasta dan memakai penyokong leher.

Doktor yang merawat Arroyo mengaku di mahkamah bahawa bekas pemimpin itu boleh dirawat di mana-mana hospital kerajaan selain sudah semakin pulih.

Jurucakap Arroyo, Elena Horn berkata bahawa ketika keputusan berkenaan dibuka untuk rayuan, bekas presiden itu mungkin akan dipindahkan minggu depan.

“Kami akan patuh dan menghormati keputusan mahkamah,” kata Horn tetapi menekankan bahawa Arroyo akan terus menggunakan segala pilihan perundangan yang ada untuk dirinya.

Arroyo mempunyai satu lagi pertuduhan di mahkamah yang akan membolehkan beliau diletakkan dalam tahanan kediaman. Mahkamah berkata bahawa ia mungkin akan diselesaikan dalam masa 10 hari. – AFP
Berita Harian Online | Arroyo kena masuk hospital tentera:

'via Blog this'

Iran bebas 11 gempur kedutaan

Pemimpin puji tindakan geledah misi diplomatik Britain di Tehran

TEHRAN: Iran membebaskan 11 pelajar yang menyerbu dan menggeledah kedutaan Britain di sini minggu ini malah ada pemimpinnya yang memuji perbuatan mereka, lapor agensi berita Fars, semalam.
Pelajar terbabit dibebaskan lewat kelmarin, sehari selepas ditahan kerana menyerbu masuk dan menggeledah kawasan diplomatik itu.
Tiada penjelasan diberi kepada pembebasan itu. Mengikut undang-undang Iran, tindakan merosakkan hartanah boleh menyebabkan seseorang itu dipenjara sehingga tiga tahun. Agensi berita menganggap 11 orang terbabit dilindungi orang berpengaruh dalam kerajaan Iran.

Menteri Luar Britain, William Hague mendakwa pelajar berkenaan ada hubungan dengan pertubuhan Basij yang bersekutu dengan Pengawal Revolusi Iran. Basij banyak merekrut anggotanya di kampus universiti.

Hague memberitahu Parlimen, ruang kediaman kakitangan dan dutanya di negara itu digeledah dan ada barangan peribadi diplomat dicuri.

Presiden Mahmoud Ahmadinejad masih mendiamkan diri atas kejadian itu manakala Kementerian Luar meminta maaf.
Wakil pemimpin agung Iran, Mohammad Mohammadian, memuji penyerang sambil menyifatkan mereka menyasar ‘ibu pejabat penghasut.’

Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani berkata: “Penduduk berang selepas Britain menunjukkan sikap cuba menjajah mereka sejak beberapa dekad lalu.”

Serbuan ke atas kedutaan itu berlaku dua hari selepas Parlimen Iran mengundi untuk mengurangkan hubungan dengan Britain selepas menyertai usaha Amerika mengenakan sekatan ke atas Tehran.

Sebelum serbuan dibuat, ia mulai dengan satu perarakan di luar kedutaan di Tehran bagi mengutuk sokongan Britain ke atas sekatan itu.

Insiden itu juga menyebabkan Iran semakin terasing selain menegangkan hubungan dengan negara Barat.

Britain kemudian memanggil pulang semua diplomat dari Iran, menutup misi diplomatik itu sebelum mengusir semua diplomat Iran dari negara itu dalam masa 48 jam.

Turut memanggil pulang duta mereka dari Iran termasuk Jerman, Perancis dan Belanda sebagai menyokong tindakan Britain. – AP
Berita Harian Online | Iran bebas 11 gempur kedutaan:

'via Blog this'

Pakistan sedia henti bantu Amerika

KAIN rentang membantah serangan udara NATO digantung berhampiran Konsulat Amerika di Peshawar, kelmarin.
KAIN rentang membantah serangan udara NATO digantung berhampiran Konsulat Amerika di Peshawar, kelmarin.
Anggota keluarga askar maut kerana serangan NATO tuntut keadilan

ISLAMABAD: Islamabad mungkin menarik balik sokongan kepada Amerika Syarikat dalam perang menentang militan jika kedaulatannya terus dicabul, lebih-lebih lagi selepas serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengorbankan 24 askar Pakistan, kata Menteri Luar, Hina Rabbani Khar, semalam.
“Cukuplah. Kerajaan tidak akan bertoleransi lagi walaupun setitik darah orang awam atau pun tentera yang tumpah. Peranan Pakistan menentang keganasan tidak boleh diketepikan,” lapor akhbar The News.
Pegawai tentera Pakistan juga membatalkan satu lawatan delegasi 15 anggota, diketuai Ketua Pengarah Turus Kakitangan, Leftenan Jeneral Mohammad Asif ke Amerika, minggu ini.

“Serangan yang bermula jam 12.05 pagi dan berakhir selepas 30 minit apabila mereka dimaklumkan ia dihentikan,” kata satu sumber.

Tetapi, helikopter penyerang NATO dan jet pejuang kembali menyerang 35 minit kemudian.

Tentera Pakistan membalas tembakan dalam pertempuran yang berakhir selepas 45 minit. Apabila ia berakhir, 24 askar Pakistan maut dan 13 cedera.
Dua pos kawalan berkenaan, Volcano dan Boulder, terletak di atas rabung setinggi 2,438 meter berhampiran sempadan Afghanistan.

Ia antara 28 pos seperti itu yang didirikan Agensi Mohmand untuk menghalang pergerakan merentasi sempadan oleh militan Taliban.

Sumber berkata, tiada militan di kawasan itu kerana mereka diusir dalam satu operasi tentera Pakistan dilakukan lebih setahun lalu.

Bagi anggota keluarga askar Pakistan yang terbunuh, mereka menuntut keadilan atas kematian orang tersayang.

“Saya mahu askar kami tahu bahawa mereka patut balas dendam pembunuhan Usman dan askar lain,” kata Azra Bashir.

Kapten Usman Bashir meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia dua bulan.

“Berapa lama mesti kita korbankan askar kita untuk orang lain? Ini bukan peperangan kita. Ini adalah peperangan mereka,” kata suaminya, Bashir.

Seorang bapa yang menangisi kematian anaknya ialah Asfandyar Khan yang berada dekat kubur anak lelakinya, Najibullah, 22.

“Kami tidak mahu mereka hanya menyiasat. Saya mahukan keadilan. Hukum mereka yang bertanggungjawab. Kamu Amerika panggil kami sahabat? Jika inilah persahabatan, kami tidak mahukannya,” kata Asfandyar. – Reuters/AP
Berita Harian Online | Pakistan sedia henti bantu Amerika:

'via Blog this'

Untung bersih PETRONAS RM40b

pix_gal0
Pendapatan enam bulan disumbang harga lebih tinggi semua produk

PETRONAS meraih keuntungan bersih RM40 bilion dalam tempoh enam bulan pertama berakhir 30 September 2011, melonjak 50.9 peratus berbanding RM26.5 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan lalu.
Ia diraihnya daripada pendapatan berjumlah RM144.8 bilion, meningkat 25.3 peratus daripada RM115.5 bilion.
Naib Presiden Eksekutif Kewangannya, Datuk George Ratilal, berkata peningkatan dalam pendapatan disumbangkan harga lebih tinggi merentasi semua rangkaian produk PETRONAS, sungguhpun sedikit terjejas daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Peningkatan keuntungan bersih pula susulan keuntungan kasar lebih tinggi sungguhpun berdepan persekitaran kos lebih tinggi.

“Tidak termasuk laba daripada pelupusan Cairn India Ltd pada suku kewangan pertama, keuntungan bersih Petronas mengukuh sebanyak 41.5 peratus,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi suku kewangan kedua Petronas di Kuala Lumpur, semalam.

PETRONAS mencatat keuntungan bersih RM18.349 bilion pada suku kedua berakhir 30 September 2011, meningkat 53.8 peratus berbanding RM11.885 bilion suku sama tahun sebelumnya.
Pendapatannya dalam suku berkenaan naik 26 peratus kepada RM71.831 bilion daripada RM56.990 bilion.

George berkata, kunci kira-kira PETRONAS kekal kukuh dengan hartanah, kilang dan peralatan (PPE) dan jumlah aset masing-masing berkembang 7.4 peratus dan 7.6 peratus didorong strategi pertumbuhan kumpulan.

Tunai daripada operasi berada pada RM47.4 bilion meningkat 61 peratus daripada RM29.5 bilion pada suku kewangan tahun sebelumnya, disumbang terutama oleh pendapatan lebih tinggi, katanya.

Beliau berkata, perbelanjaan modal dalam suku dikaji berjumlah RM24 bilion, 43 peratus lebuh tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya.

“Pembayaran dividen kepada kerajaan pula berjumlah RM21 bilion,” katanya.

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Eksekutif PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata syarikat minyak kebangsaan itu mengunjurkan meraih keuntungan antara RM70 bilion hingga RM75 bilion bagi seluruh tahun kewangan semasa berdasarkan prestasi kukuh dalam tempoh separuh pertama itu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemulihan ekonomi global dijangka kekal tidak stabil dengan potensi risiko ia akan bertambah buruk lagi tahun depan dengan krisis zon euro dijangkakan bertambah runcing dan kelemahan berterusan ekonomi AS.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden Eksekutif Penerokaan dan Pengeluaran PETRONAS, Wee Yiaw Hin, berkata PETRONAS sudah membida bagi pembangunan lapangan minyak pesisir di Myanmar.
Berita Harian Online | Untung bersih PETRONAS RM40b:

Iran, Britain terus berantakan


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 2, 2011
Iran, Britain terus berantakan

TEHERAN - Hubungan sedia tegang antara Iran dan Britain semakin buruk apabila Britain menutup kedutaan Iran di London dan mengarahkan semua pegawai kedutaan itu keluar dari Britain dalam tempoh 48 jam, kelmarin.

Tindakan Britain itu, sehari selepas kedutaannya di Iran diserang penunjuk perasaan, dianggap terburu-buru oleh Teheran yang kemudian memberi amaran penutu-pan kedutaan Iran di London akan mencetuskan tindak balas buruk.
Setiausaha Luar Britain, William Hague berkata, kedutaan Britain di Teheran turut ditutup dan semua pekerjanya dibawa pulang.
Konflik terburuk antara kedua negara dalam tempoh 12 tahun itu tercetus selepas Britain menuduh kerajaan Iran membenarkan penunjuk perasaan menyerang bangunan kedutaan Britain di Teheran, Selasa lalu.
Serangan yang dilakukan semasa demonstrasi menentang sekatan terbaru dikenakan London ke atas Teheran itu menyebabkan bangunan kedutaan Britain rosak dan bendera negara itu turut dibakar.
Iran, Britain terus berantakan - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Jerman larang pelajar solat


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 2, 2011
Jerman larang pelajar solat

BERLIN - Sebuah mahkamah di Jerman menghalang seorang pelajar beragama Islam daripada menunaikan solat di dalam kawasan sekolah, walaupun selepas waktu pembelajaran kerana menganggap perbuatan itu sebagai gangguan kepada sekolah.

Mahkamah persekutuan mendakwa perbuatan itu akan mencetuskan masalah di sekolah, walaupun mengakui hak untuk menunaikan solat di sekolah adalah kebebasan beragama yang dijamin perlembagaan negara.
Menurut mahkamah, sekolah tinggi di Berlin mengambil tindakan betul apabila menghalang Yunus Mitschele, 18, menunaikan solat secara terbuka di dalam kawasan sekolah kerana mendakwa ia akan mencetuskan konflik antara pelajar berlainan agama.
Selain menyokong lara-ngan pihak sekolah supaya pelajar tidak menunaikan solat, mahkamah turut memutuskan sekolah tersebut tidak perlu menyediakan bilik khas untuk pelajar Islam bersolat kerana ia di luar tanggungjawab pihak sekolah.
Perbicaraan kes selama lebih dua tahun itu bermula apabila Yunus dan beberapa rakannya menunaikan solat secara berjemaah di koridor sekolah semasa waktu rehat pada 2007.
Pengetua sekolah kemudian memberi amaran kepada remaja itu dan ibu bapanya bahawa menunaikan solat di sekolah tidak dibenarkan kerana didakwa akan menimbulkan masalah, menyebabkan Yunus membawa kes tersebut ke mahkamah.
Kes itu menerima perhatian meluas di Jerman, negara dengan hampir empat juta penduduk beragama Islam, apabila keputusan dua mahkamah daerah sebelum ini menyebelahi Yunus sebelum ia ditarik balik mahkamah persekutuan.
Jerman larang pelajar solat - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Askar Indonesia lepas tembakan



Polis dan askar Indonesia dibantu kereta perisai menyuraikan penunjuk perasaan Papua yang menaikkan bendera wilayah itu, Morning Star yang diharamkan kerajaan Indonesia sempena ulang tahun ke-50 wilayah itu menuntut kemerdekaan dari Indonesia di Timika, semalam. - AFP


TIMIKA 1 Dis. - Pasukan keselamatan Indonesia melepaskan beberapa das tembakan ke arah penduduk yang mengadakan upacara menaikkan bendera wilayah Papua itu menjelang ulang tahun ke-50 wilayah itu menuntut kemerdekaan dari Indonesia.

Menurut seorang wartawan AFP, kira-kira 500 penunjuk perasaan menyaksikan tarian tradisional dan mula bersorak serta berjalan dalam satu bulatan besar ketika bendera Morning Star wilayah itu dinaikkan pada tiang buluh di satu tenmpat di wilayah itu.

Seramai 120 polis dan tentera Indonesia bersama-sama sebuah trak tentera, menyerbu penunjuk perasaan serta melepaskan beberapa das tembakan ke udara dan ke arah orang ramai selepas bendera itu dinaikkan.

Polis turut menendang, menumbuk beberapa penunjuk perasaan dan menahan tiga orang penunjuk perasaan.

Pemimpin aktivis remaja Papua, Markus Haluk berkata, sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan ditembak.

Tambahnya, seorang lagi dibawa oleh polis dalam keretanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis wilayah Timika, Mada Indra Laksanta menafikan dakwaan itu dan memaklumkan polis hanya melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran untuk meleraikan protes itu.

"Tiada penunjuk perasaan ditembak dan mereka dilaporkan membawa senjata tajam dan batu-batu.

"Tiga polis cedera di muka dan kepala kerana dipukul dengan batu oleh penunjuk perasaan," kata Laksanta. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'