Pages

Tuesday, September 11, 2012

Lelaki Arab sorok monyet dalam seluar




         
NEW DELHI: Kastam India menahan seorang lelaki yang cuba menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi bersama seekor monyet terancam disorok dalam seluar dalamnya, kata pegawai agensi itu, semalam.

Suspek berasal dari Emiriah Arab Bersatu kini ditahan bersama dua rakannya.


Menurut jurucakap kastam, suspek tiba dari Bangkok dan sepatutnya menaiki penerbangan Jet Airways ke Dubai. “Kastam mengesan monyet itu ketika membuat pemeriksaan badan,” katanya. Monyet berukuran 17 sentimeter itu - dikenali sebagai loris - hidup di India dan Asia Tenggara, dianggap mempunyai khasiat bagi menguatkan tenaga batin. Ia adalah spesies terancam di dunia. Seekor lagi monyet itu ditemui ditinggalkan dalam tong sampah lapangan terbang berkenaan. - AFP

Zionis terus serang Gaza




         
GAZA: Seorang kanak-kanak Palestin cedera berikutan empat serangan udara yang dilancarkan rejim Zionis.

Serangan itu turut mensasarkan pos polis di El Tufah, timur bandar Gaza.


Minggu lalu, enam rakyat Palestin maut dalam dua serangan tentera Zionis di wilayah itu. - Reuters

Bekas panglima tentera Mesir hadapi tindakan undang-undang




         
KAHERAH: Bekas Panglima Tentera Mesir, Fil Marsyal Hussein Tantawi dan timbalannya, Jeneral Sami Annan berdepan dengan tindakan undang-undang selepas 30 aduan difailkan terhadap mereka.

Satu sumber kehakiman berkata, aduan itu berkait dengan tindakan tentera menangani kebangkitan rakyat Mesir tahun lalu.


Sami juga berdepan dengan aduan tambahan yang menuduh dia memperoleh beberapa tapak bangunan berhampiran Kaherah secara tidak sah.

Peguam Negara, Abdel Meguid Mahmud akan menyerahkan aduan itu kepada pejabat pendakwa raya tentera yang akan memutuskan sama tindakan selanjutkan perlu diambil. — AFP

Brahimi mula tugas di Syria



 

Brahimi (kanan) dan Elaraby keluar dari Ibu Pejabat Liga Arab, di Kaherah selepas mengadakan sidang media.
Wakil PBB lawat Damsyik lancar proses pulih keamanan

Kaherah: Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi, semalam berkata beliau akan melakukan lawatan pertama ke Damsyik sejak mengambil alih jawatan itu dalam masa beberapa hari lagi dan berharap untuk bertemu Presiden Bashar al-Assad.

Brahimi yang menggantikan Kofi Annan sebagai wakil antarabangsa bulan ini, memberitahu wartawan tugasnya amat sukar tetapi tidak berhak menolak apa yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat Syria.
Bertemu pegawai, aktivis

Beliau membuat kenyataan sama mengenai misinya sejak dinamakan wakil baru. Annan menyalahkan kebuntuan dalam Majlis Keselamatan PBB kerana menggagalkan usahanya selama enam bulan yang membawa kepada peletakan jawatannya.

“Saya akan ke Damsyik dan bertemu pegawai serta aktivis persatuan sivil serta intelektual di Damsyik, dan Insya-Allah, juga di luar bandar raya itu,” kata Brahimi tetapi tidak memberikan tarikh tepat.

Ditanya jika beliau akan bertemu Presiden Syria, Brahimi berkata: “Saya berharap dapat menemuinya tetapi saya tidak dapat kata dengan pasti.”

Agensi berita MEHR memetik Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, sebagai berkata, Brahimi akan melawat Tehran, berikutan perbualan telefon Sabtu lalu dengan Menteri Luar republik itu, Ali Akbar Salehi.

Bertemu penunjuk perasaan


Iran masih setia menyokong Bashar ketika beliau berusaha menghapuskan kebangkitan rakyat menentang pemerintahan keluarganya selama 42 tahun.
Tehran menuduh negara seperti Qatar, Arab Saudi dan Turki membantu pemberontak Syria.

Brahimi dan Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby, bertemu penunjuk perasaan anti-Bashar di luar ibu pejabat liga itu di Kaherah.

Penunjuk perasaan menggesa Liga Arab dan negara lain melaksanakan zon larangan terbang di Syria, dan Elaraby membalas: “Kami tidak boleh buat demikian. Negara yang boleh melaksanakan zon larangan terbang di Syria tidak mahu berbuat demikian.” - Reuters

Ahli parlimen suka ponteng

Keadaan di Parlimen Indonesia yang  tidak penuh dengan anggota.Keadaan di Parlimen Indonesia yang tidak penuh dengan anggota.
Isteri disaran suruh penggubal undang-undang negara rajin kerja 

Jakarta: Pengerusi parti Demokratik Indonesia, Anas Urbaningrum menggesa isteri ahli penggubal undang-undang negara itu mengingatkan suami mereka supaya lebih rajin bekerja berikutan kedatangan anggota untuk menghadiri sidang dewan adalah rendah.


Beri ingatan
“Jika ada tanda-tanda suami anda mahu mengelak menghadiri tugas mereka di Dewan Perwakilan, beri ingatan kepada mereka (supaya pergi kerja),” kata Anas pada satu mesyuarat kelab Isteri Penggubal Undang-Undang Parti Demokrat semalam.

“Jika perlu, iringi mereka apabila mereka ke kawasan pilihan raya berikutan pilihan raya perundangan semakin hampir.”

Penggubal undang-undang Indonesia menjadi sasaran kritikan mengenai kekerapan mereka tidak hadir bersidang dan prestasi teruk ketika mesyuarat Dewan Perwakilan.


Sesi Dewan tak produktif


Kehadiran yang kurang menyumbang kepada sesi Dewan yang tidak produktif pada tahun ini selain menyebabkan sejumlah 38 rang undang-undang terhenti dalam perbincangan.
Selain itu, ketika satu mesyuarat berlangsung sempena memperingati ulang tahun 67 badan perundangan terbabit, hanya 350 daripada 560 ahli perundangan yang hadir. Pada masa sama, kebanyakan mereka yang hadir juga menyelinap keluar lebih awal.

Sebelum ini, ada pihak mencadangkan supaya dewan menggunakan sistem cap jari elektronik dipasang untuk mengambil kehadiran tetapi rancangan itu terkubur begitu saja berikutan bantahan kebanyakan ahli dewan.

Anas memberitahu kelab isteri ahli Parlimen bahawa pembabitan mereka adalah perlu untuk memastikan kejayaan Parti Demokratik. - Agensi

Al-Maliki mahu pecat TPM pula

Saleh al-MutlakSaleh al-Mutlak
Gara-gara dituduh lebih teruk daripada Saddam Hussein

Baghdad: Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki, turut berhasrat memecat Timbalan Perdana Menteri negara itu yang berfahaman Sunnah, Saleh al-Mutlak, kerana melabel beliau ‘lebih teruk daripada bekas Presiden Saddam Hussein.’

Perkembangan itu menyusuli hukuman mati yang dikeluarkan mahkamah Iraq terhadap Naib Presiden Tareq al-Hashemi. melanjutkan ketegangan politik di negara itu yang melumpuhkan kerajaan selama beberapa bulan selepas kematian lebih 100 orang dalam serangan di seluruh negara sejak dua hari lalu.
Hashemi yang berada di Turki, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kelmarin kerana membunuh seorang peguam dan pegawai tentera berpangkat brigadier jeneral, dalam perbicaraan yang meliputi sebahagian daripada 150 dakwaan terhadap beliau dan pengawal peribadinya.

Tokoh politik berpengaruh Sunnah itu, dituduh membentuk skuad pembunuh, menolak sabitan dan hukuman berkenaan serta menolak kemungkinan kembali ke Iraq sehingga beliau dijamin selamat dan mendapat perbicaraan adil.

“Saya tidak akan kembali ke Iraq. Apa yang saya perlukan ialah jaminan keselamatan dan perbicaraan yang adil,” katanya pada sidang media di Ankara.


Sering bertelagah


Parti Iraqiya, blok dikuasai Sunnah yang turut dianggotai Hashemi dan sering bertelagah dengan al-Maliki, mengecam keputusan mahkamah itu dalam satu kenyataan semalam.
Hukuman dibuat atas dasar tiada keadilan, termasuk seksaan teruk ke atas tertuduh yang didedahkan. Cara perbicaraan dikendalikan sejak hari pertama mengukuhkan kepercayaan keputusan mahkamah khas bermotifkan politik dan sudah dijangka.

“Hukuman dijatuhkan tanpa kehadiran tertuduh dan dibayangi krisis keselamatan kompleks. Daripada menenangkan keadaan, parti politik melakukan penindasan. Amalan ini memuncak dalam penghakiman politik ke atas naib presiden negara itu,” kata kenyataan Iraqiya.

Iraq digegarkan dengan siri krisis politik yang bermula pertengahan Disember tahun lalu, walaupun keadaan lebih tenang sejak beberapa bulan lalu. - AFP

Hospital di India upah kaki pukul kawal keselamatan




DUA kaki pukul beruniform berkawal di hadapan pintu masuk ke wad di Hospital Deen Dayal Upadhyay di New Delhi pada 21 Ogos lalu.


NEW DELHI - Sebuah hospital di India mengupah sejumlah kaki pukul bagi mengelakkan kakitangannya daripada menjadi mangsa keganasan di tempat kerja.
Seorang kaki pukul berkenaan, Pradeep Kumar dan lebih 20 rakan sekerjanya bertugas mengawal wad kecemasan dan bersalin Hospital Deen Dayal Upadhyay (DDU) di sini.
Mereka akan memastikan saudara-mara dan rakan pesakit tidak memenuhi dan mengganggu ketenteraman di kedua-dua wad berkenaan.
"Orang ramai yang datang bersama pesakit yang mengalami trauma atau wanita mengandung mudah hilang sabar," kata Pradeep.
"Sebab itu, kami hanya membenarkan seorang pelawat untuk seorang pesakit di wad kecemasan," tambahnya.
Kumpulan kaki pukul itu melayan pelawat ke wad berkenaan dengan sopan tetapi wajah garang dan tubuh sasa mereka membuatkan orang ramai berfikir dua kali untuk tidak menghiraukan arahan lelaki-lelaki berkenaan.
"Mereka kelihatan ganas seperti watak dalam filem aksi," kata seorang bapa, Pawan Desai semasa membawa anak perempuannya yang berusia empat tahun ke DDU bagi merawat luka pada tangannya.
Pekerja hospital di India berdepan risiko bahaya dengan beribu-ribu serangan berlaku pada setiap tahun.
Kebanyakan serangan itu ekoran rasa tidak puas hati saudara-mara dan rakan pesakit.
Pada April lalu, beberapa rakan seorang pesakit di wad kecemasan DDU menumbuk muka seorang doktor dan mematahkan hidungnya sebelum mengamuk dengan bersenjatakan beberapa kayu hoki.
Mereka menghayunkan senjata itu terhadap staf perubatan dan memecahkan sejumlah tingkap, lampu dan perabut hospital berkenaan. - Agensi

Traktor berentap di Jerman




SEBUAH traktor yang diubah suai beraksi pada pertandingan traktor di bandar Fuechtorf, Jerman kelmarin.


FUECHTORF - Satu pertandingan traktor diadakan di sini, barat Jerman kelmarin.Dinamakan Tractor Pulling Euro Championships, acara tersebut disertai oleh 80 buah pasukan dari seluruh benua Eropah.
Pertandingan selama dua hari itu menyaksikan penyertaan pelbagai jenis traktor yang diubah suai dan berkuasa tinggi.
Traktor yang dapat menarik beban sejauh mungkin di atas trek sejauh 100 meter akan memenangi pertandingan tersebut. - Reuters

Mesir adakan pertemuan empat hala



UTUSAN PBB/Liga Arab, Lakhdar Brahimi (kiri) menemui Presiden Mesir, Mohammed Morsi di Kaherah semalam.


KAHERAH - Kementerian Luar Mesir semalam mengesahkan bahawa pihaknya menjadi penganjur pertemuan empat hala bagi menamatkan konflik di Syria selepas Iran bersetuju menyertai rundingan berkenaan.
Dalam satu kenyataannya, kementerian itu menyatakan, delegasi dari Turki, Iran dan Arab Saudi dijadualkan bertemu semalam bagi menangani situasi yang semakin buruk di Syria dan mengakhiri penderitaan rakyat Syria serta menamatkan pertumpahan darah melalui proses politik.
Pertemuan empat hala itu merupakan yang pertama melibatkan kumpulan hubungan di rantau Arab berhubung isu Syria.
Ia dicadangkan oleh Presiden Mesir yang baharu, Mohamed Morsi pada persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam di Arab Saudi.
Berlangsung pada Ogos lalu, persidangan tersebut membuat keputusan untuk menggantung keanggotaan Syria dalam organisasi berkenaan.
Pegawai Kementerian Luar Mesir, Nazih Al-Naggari dipetik sebagai berkata, para delegasi akan bertukar-tukar pendapat berhubung perkembangan tragis di Syria dan cara menamatkan pertumpahan darah serta mencapai aspirasi rakyat Syria.
Menurutnya, Mesir akan mengusahakan satu konsensus untuk segera menamatkan pembunuhan dan keganasan, mengekalkan penyatuan, kedaulatan dan integriti wilayah Syria di samping menolak campur tangan tentera asing di negara berkenaan.
Ia juga akan melancarkan proses politik dengan penyertaan daripada semua segmen masyarakat Syria.
Pada masa yang sama katanya, pertemuan itu turut menyokong usaha Arab dan antarabangsa bertujuan untuk menamatkan krisis di Syria termasuk misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) /Liga Arab yang diketuai oleh Lakhdar Brahimi.
Terdahulu, Kementerian Luar Iran dalam satu laporan menyatakan, Timbalan Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian telah meninggalkan Teheran menuju ke bandar raya ini bagi menyertai rundingan berkenaan.
"Penglibatan Iran dalam pertemuan ini adalah dalam rangka kerja untuk menyelesaikan krisis Syria dan mendengar usul Mesir," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast.
Perkembangan tersebut berlaku ketika tentera rejim Presiden Bashar- Al Assad menguasai semula beberapa berek tentera di bandar raya Aleppo selepas berlaku pertempuran sengit selama beberapa hari dengan pemberontak.
"Tentera Syria kini menguasai sepenuhnya berek tentera Hanano selepas pertempuran tamat pada malam semalam," kata satu sumber kepada agensi berita AFP dari dalam berek berkenaan.
Pada Jumaat lalu, pejuang-pejuang pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria melancarkan serangan bertujuan untuk menawan pangkalan tentera berkenaan yang terletak di timur Aleppo.
Dalam pada itu, kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia menyatakan, lebih 23,000 nyawa melayang sejak rakyat Syria bangkit menentang Bashar pada Mac tahun lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi. - Agensi