Pages

Tuesday, March 27, 2012

Rundingan Amerika, Taliban gagal

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


KABUL 26 Mac - Rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan militan Taliban di Afghanistan sudah gagal dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengetuai usaha untuk mencerahkan peluang bagi menamatkan perang selama hampir 11 tahun di negara ini, menurut Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), hari ini.
Harapan untuk menamatkan perang menerusi rundingan mengalami tamparan apabila Taliban membekukan rundingan dengan AS dua minggu lalu berikutan pembunuhan 17 penduduk awam Afghan oleh seorang askar AS pada 11 Mac lalu dan pembakaran naskah al-Quran di pangkalan tentera AS di Bagram pada bulan lepas.
"Usaha AS untuk berunding dengan Taliban sehingga kini gagal dan kegagalan itu boleh menjejaskan lagi kestabilan negara ini serta rantau sekitarnya, dan kerana itu kami menggesa Setiausaha Agung PBB campur tangan dan melantik pasukan perunding," kata penganalisis kanan ICG, Candace Rondeaux.
Dalam laporan setebal 51 muka itu, pertubuhan penyelidik dan penganalisis itu berkata, keutamaan paling mendesak bagi masyarakat antarabangsa adalah untuk keluar dari Afghanistan tanpa mengira sama ada penyelesaian konflik dicapai atau tidak.
Gesaan supaya penyelesaian dicapai menerusi rundingan meningkat sejak beberapa tahun lalu apabila tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memerangi pemberontak Taliban yang enggan mengaku kalah dan tentera Barat mula mengurangkan saiz kontinjen mereka menjelang pengunduran hampir kesemua askar asing pada akhir 2014.
Pegawai Barat percaya penggantungan rundingan oleh Taliban bersifat taktikal dan mencerminkan konflik dalaman kumpulan itu dan bukan keputusan muktamad untuk menghentikan rundingan.
Pelbagai insiden melibatkan askar AS telah merosakan hubungan dengan Kabul ketika Washington sedang merundingkan pakatan bagi menggariskan kehadirannya di Afghanistan pada masa depan.
"Semua kejadian dalam tempoh beberapa bulan lalu menunjukkan perubahan besar dalam tanggapan Afghan terhadap peranan AS di negara itu," kata Rondeaux. - REUTERS

'via Blog this'

Presiden Senegal gagal pertahan jawatan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Beribu-ribu rakyat berpesta di jalan-jalan selepas Presiden Abdoulaye Wade tewas kepada Macky Sall dalam Pilihan Raya Presiden, di Dakar, kelmarin. - AFP


DAKAR 26 Mac - Beribu-ribu orang berkumpul dan berpesta di jalan-jalan raya di Dakar awal hari ini selepas Presiden Senegal, Abdoulaye Wade (gambar) mengaku kalah dalam cubaannya untuk mempertahankan jawatan buat penggal ketiga.
Berdasarkan keputusan awal pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Senegal semalam, pesaing Wade, Macky Sall mendahului penyandang jawatan itu.
Wade semalam memilih untuk menghubungi Sall bagi mengucapkan tahniah berbanding menunggu keputusan penuh pilihan raya itu.
Media rasmi pula mula mengumumkan keputusan terkini menunjukkan Sall mendahului Wade.
Sebelum Presiden mengaku kalah, beribu-ribu orang sudah berkumpul di jalan-jalan raya sambil menari dan membunyikan hon kereta.
Di luar ibu pejabat parti Sall, penyokong-penyokongnya sudah berpesta dengan memainkan muzik dengan kuat. - AFP

'via Blog this'

Gempa bumi kuat gegar Chile

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "


SANTIAGO 26 Mac – Satu gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter melanda tengah Chile semalam, menggegarkan bangunan-bangunan dan amaran supaya penduduk meninggalkan pesisir pantai dikeluarkan untuk tempoh beberapa ketika, namun tiada kerosakan serius dilaporkan.
Pegawai kerajaan tempatan di bandar Parral mengesahkan, seorang wanita warga emas berusia 74 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung berikutan gempa tersebut, namun tiada kemalangan atau kematian lain dilaporkan.
Kebanyakan penduduk di ibu negara Santiago meninggalkan kediaman masing-masing selepas gegaran kuat dirasakan.
Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa bumi kuat itu dikesan 27 kilometer di bahagian barat laut Talca, pada kedalaman 35 kilometer pada pukul 7.37 petang waktu tempatan.
Gegaran boleh dirasai sejauh 219 kilometer dari Santiago dan merupakan gegaran paling kuat melanda negara ini selepas bencana gempa bumi sekuat 8.8 pada skala Richter melanda Chile pada 2010, menyebabkan 500 terkorban dan merosakkan jalan raya serta infrastruktur lain.
Kerajaan menarik balik amaran meninggalkan kediaman sebagai langkah berjaga-jaga sebelum tengah malam tadi, selepas kira-kira 7,000 penduduk diarahkan meninggalkan kediaman mereka berdekatan persisiran Maule selepas tanda-tanda laut bergelora berkurangan. – REUTERS


'via Blog this'

Rusia beri amaran kepada Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Anggota keselamatan Syria memeriksa satu kawasan letupan di Damsyik pada 17 Mac lalu. Dua kejadian letupan dilaporkan berlaku di Damsyik pada 17 Mac lalu mengakibatkan beberapa anggota keselamatan dan orang awam terbunuh, didakwa dilakukan oleh pengganas. - REUTERS


MOSCOW 26 Mac - Presiden Rusia, Dmitry Medvedev memberi amaran kepada Syria menerima peluang terakhir yang dibawa utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan untuk mengelakkan berlaku perang saudara di negara itu.
Medvedev turut menyuarakan sokongan penuh Moscow kepada misi Annan untuk mencari penyelesaian terhadap konflik di Syria.
Presiden Rusia itu memberikan mesej jelas tersebut kepada sekutu tradisinya itu semalam, hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengumumkan rancangan untuk menghantar bantuan 'bukan senjata' kepada pemberontak Syria.
Rusia menghadapi desakan semakin kuat daripada Barat dan negara-negara Arab supaya memperhebatkan tekanan ke atas Presiden Bashar al-Assad dan menghentikan bekalan senjata kepada rejim beliau berikutan keganasan sejak setahun lalu yang dilaporkan telah meragut lebih 9,100 nyawa.
Moscow pada Rabu lalu menyokong satu kenyataan Majlis Keselamatan PBB selepas menggunakan kuasa vetonya untuk menyekat dua resolusi terdahulu, tetapi hanya selepas memastikan kenyataan itu tidak mengandungi ancaman terhadap Assad.
Kenyataan Medvedev semalam dipercayai ditujukan terhadap Presiden Syria itu.
"Ini mungkin peluang terakhir untuk Syria mengelakkan perang saudara yang berlarutan.
"Kami akan memberikan sokongan penuh kepada tuan pada mana-mana peringkat kami memainkan peranan dan sangat berharap usaha tuan membawa keputusan positif," kata Medvedev kepada Annan.
Annan berkata, beliau berharap Rusia akan memainkan peranan aktif dalam memastikan kedua-dua pihak memenuhi tuntutan yang terkandung dalam kenyataan Majlis Keselamatan PBB itu.
Utusan PBB-Liga Arab itu dijadual berada di China esok untuk mendapatkan sokongan Beijing terhadap misi Annan. - AFP

'via Blog this'

Krisis minyak di Gaza meruncing

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:




Sebuah lori tangki minyak memasuki bandar Rafah selepas melintasi kawasan Kerem Shalom terletak antara Israel dan selatan Gaza pada 23 Mac lalu. - AFP



GAZA CITY 26 Mac - Krisis kekurangan bekalan minyak di Genting Gaza semakin serius dan nyawa pesakit di hospital terancam apabila satu-satunya stesen jana kuasa di wilayah Palestin ini berhenti beroperasi kerana kehabisan bahan bakar, semalam.
Hanya 48 jam selepas kira-kira 450,000 liter bahan bakar dibawa dari Israel ke wilayah tepi pantai ini pada Jumaat lalu, Lembaga Tenaga Gaza melaporkan semua tangki minyaknya kini sudah kering.
Pengguna dicatu bekalan elektrik lapan jam sehari ekoran krisis itu, kata penduduk.
"Stesen jana kuasa di Gaza City terhenti sama sekali pagi ini selepas dua hari beroperasi, dan semua pihak digesa mengambil langkah segera untuk menyelesaikan krisis bahan bakar ini supaya ia tidak berterusan," kata Menteri Kesihatan kerajaan Hamas di Gaza, Bassem Naim, semalam.
Beliau berkata, kekurangan bekalan bahan bakar itu menyebabkan nyawa pesakit terancam kerana '50 peratus daripada ambulans dan kenderaan tidak dapat bergerak dan penduduk mengalami kekangan berterusan disebabkan gangguan bekalan elektrik'.
"Dalam satu kes, gangguan bekalan itu berlaku ketika satu pembedahan dijalankan di sebuah hospital dan keadaan itu mengancam nyawa beribu-ribu pesakit," ujar Naim.
Pegawai Israel berkata, krisis bahan bakar itu adalah urusan dalaman Palestin dan sekiranya Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang beribu pejabat di Tebing Barat memesan dan membayar untuk satu lagi bekalan bahan bakar ke Gaza, Israel akan memudahkannya.
"Israel tidak pernah menghalang penghantaran bahan bakar dan tidak akan menghalangnya pada masa akan datang," kata jurucakap tentera Israel, Guy Inbar.
Penghantaran bekalan kelmarin dilakukan selepas pegawai Mesir mencapai persetujuan dengan Israel untuk membenarkan bahan bakar dihantar bagi membolehkan jana kuasa di Gaza berfungsi.
Kata seorang pegawai Mesir, persetujuan dicapai untuk penghantaran 900,000 liter bahan bakar dan belum jelas bila bakinya akan dibawa ke Gaza. - AFP

'via Blog this'

‘Drama’ ketua penyamun

myMetro | ‘Drama’ ketua penyamun:

TINGGI...suspek yang cuba terjun dari papan tanda hotel berkenaan.
TINGGI...suspek yang cuba terjun dari papan tanda hotel berkenaan.
KLANG: Kelicikan ketua geng ‘Robert Tee’ yang memiliki 20 rekod jenayah lampau membabitkan kes samun kereta mewah dan samun bersenjata di Klang dan Lembah Klang berakhir apabila ditahan ketika cuba untuk terjun dari sebuah hotel di sini, Sabtu lalu.
Episod penahanan bermula apabila lelaki berusia 34 tahun itu yang menyedari dirinya cuba ditahan polis di tingkat empat tempat letak kereta hotel berkenaan melarikan diri dengan berpaut pada palang papan tanda hotel hampir dua jam dan mengugut untuk terjun.

Namun, akibat kepenatan dan dipujuk ahli keluarga dan pihak berkuasa, lelaki itu membatalkan hasrat untuk terjun dan menyerah diri.
Selain lelaki itu, dua lagi anggota kumpulannya ditahan di hotel sama.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, sebelum kejadian, polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta Mercedes Benz yang dilaporkan hilang di Setapak, Jumaat lalu, berada di sebuah hotel di Pandamaran melalui sistem pengesanan global (GPS) kereta berkenaan.

Katanya, sepasukan polis bergegas ke hotel berkenaan dan mendapati dua lelaki baru keluar dari kereta itu yang diletakkan di tempat letak kereta di tingkat dua hotel terbabit.
“Kecekapan polis kemudian menahan suspek yang pada mulanya cuba melarikan diri ke kawasan hotel.

“Sebaik ditahan, tiba-tiba sebuah kereta BMW yang dipandu laju seorang lagi suspek menuju tingkat empat hotel berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.
Mohamad berkata, polis mengejar sebelum suspek yang terdesak memanjat tembok hotel dan berpaut pada papan tanda hotel sebelum membuang sebuah beg sandang miliknya.

Menurutnya, suspek yang sudah buntu untuk melarikan diri mengugut untuk terjun walaupun cuba dipujuk.

Difahamkan, suspek akur dan menyerah diri apabila ada individu yang dipercayai ahli keluarganya datang ke lokasi kejadian dan memujuk suspek daripada terjun.

Semua suspek kini direman sehingga 31 Mac ini untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB), Seksyen 309 Kanun Keseksaan (KK) kerana cuba membunuh diri dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.

'via Blog this'

Sarkozy larang Yusuf Qardawi ke Perancis

myMetro | Sarkozy larang Yusuf Qardawi ke Perancis: "PARIS: Presiden Nicolas Sarkozy semalam berkata, kedatangan ulama berpengaruh yang berpangkalan di Qatar, Yusuf al-Qardawi tidak dialu-alukan di Perancis.

Yusuf, ulama kelahiran Mesir yang berusia 86, dipelawa melawat Perancis bulan depan oleh Pertubuhan Kesatuan Islam negara itu.


“Saya memberitahu sendiri Emir Qatar bahawa lelaki itu tidak dialu-alukan di wilayah Republik Perancis,” kata Sarkozy kepada radio Info.

Yusuf, hos satu rancangan popular terbitan stesen televisyen satelit, Al-Jazeera, menyokong Kebangkitan Arab di Tunisia, Mesir dan Libya. Dia juga melancarkan usaha memungut derma untuk penentang kerajaan Bashar al-Assad di Syria. - AFP"

'via Blog this'

Guru paksa murid cium kaki kerana perbezaan agama

myMetro | Guru paksa murid cium kaki kerana perbezaan agama: "MANAMA: Seorang guru digantung selama seminggu selepas dia dilaporkan memaksa seorang murid mencium kakinya sebagai menghormatinya.

Pihak pentadbir sekolah turut memutuskan untuk menggantung gaji guru terbabit bagi minggu itu ekoran insiden berkenaan, kata pengetua sekolah itu kepada Kementerian Pelajaran Bahrain selepas dia dipanggil untuk menjelaskan mengenai insiden itu.


Murid berusia empat tahun itu dipindahkan ke kelas lain bagi mengelak berurusan dengan guru itu. Kementerian Pendidikan menghadapi tekanan menerusi laman sosial Internet supaya mengambil tindakan tegas terhadap guru itu dan sekolah berkenaan.

Guru itu dikatakan bertindak demikian kerana mempunyai fahaman berbeza dari segi agama. - GN"

'via Blog this'

Homs terus dibedil

myMetro | Homs terus dibedil:

DAMSYIK: Tentera Syria mengebom kawasan kejiranan pemberontak di bandar raya Homs untuk hari ketujuh berturut-turut semalam.
Serangan itu dilakukan beberapa jam selepas Russia memberi amaran kepada Damsyik ia perlu bertindak bagi mengelak perang saudara. 
Serangan dilancarkan ketika pemimpin pemberontak Syria berhimpun di Istanbul dalam usaha untuk bersatu menjelang mesyuarat ‘Sahabat Syria’ di bandar raya Turki itu pada 1 April depan.

Dalam pada itu, Turki mengumumkan penutupan kedutaannya di Damsyik.
Krisis Syria turut dibincangkan di Seoul dalam pertemuan 90 minit Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan rakan sejawatnya dari Russia, Dmitry Medvedev, kata pegawai kerajaan. 
Kumpulan aktivis yang menamakan diri mereka Jawatankuasa Penyelaras Tempatan (LCC) berkata, Khaldiyeh diserang awal pagi semalam dengan mortar menyebabkan beberapa kediaman terbakar.

Lima penduduk cedera parah dalam serangan yang bertujuan mengusir penentang kerajaan, menurut kumpulan kumpulan Pemerhati Syria bagi Human Rights, kumpulan hak asasi manusia yang berpejabat di Britain.

Serangan di Khaldiyeh, kawasan yang dikuasai pemberontak di tengah bandar raya Homs bermula Selasa minggu lalu dan berterusan setiap hari, menyebabkan puluhan penduduk terbunuh.

Keganasan terhadap penentang kerajaan oleh tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad itu didakwa meragut lebih 9,100 nyawa sejak tahun lalu dan ia menjadi isu utama perbincangan Osama dengan Medvedev di Seoul.

Kedua-dua pemimpin itu berada di ibu negara Korea Selatan berkenaan untuk menghadiri sidang kemuncak keselamatan nuklear.

Dalam kenyataannya kepada wartawan selepas perbincangan itu, Obama mengaku tidak pernah mencapai kata sepakat dengan Russia, sekutu Bashar, sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk menyokong usaha bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan bagi mengakhiri pertumpahan darah di Syria dan matlamat untuk membentuk ‘kerajaan yang sah’ di Damsyik. - AFP

'via Blog this'

Dasar AS, Nato dikecam

myMetro | Dasar AS, Nato dikecam: "DUSHANBE: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkata, Amerika Syarikat tidak boleh lagi menentukan polisi kepada seluruh dunia.

Beliau juga menyatakan keyakinannya bahawa hubungan antara Nato dan Pakistan akan menjadi kucar -kacir.
“Nato dan Amerika Syarikat sepatutnya menukar dasar mereka kerana masa mereka menentukan hala tuju dunia sudah berlalu,” katanya ketika berucap pada persidangan mengenai ekonomi Afghanistan di ibu negara Tajikistan, semalam.

“Ketidakstabilan hubungan antara Pakistan dengan Nato pula akan meningkat,” kata Presiden Iran itu."

'via Blog this'

Hasrat bertukar pasangan musnah

myMetro | Hasrat bertukar pasangan musnah: "KAHERAH: Sepasang suami isteri yang mewujudkan laman Facebook bertukar isteri menghadapi hukuman penjara selepas polis menghantar anggota lelaki dan wanitanya untuk menyamar sebagai pasangan yang berminat untuk menyertai kumpulan itu.

Polis menerima maklumat bahawa beberapa pasangan yang menjadi ahli laman Facebook itu menganjurkan majlis seks dengan bertukar pasangan untuk mereka yang sudah berkahwin. Pegawai polis yang menyamar bertemu pasangan itu di Giza tetapi selepas mereka bersetuju untuk berjumpa di sebuah tempat kemudian, polis melakukan serbuan dan menahan pasangan berkenaan. Si suami, akauntan dan isterinya, pengetua pusat asuhan kanak-kanak mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun. Mereka sudah berkahwin selama lima tahun.


Menurut pihak berkuasa Mesir, lelaki itu mendakwa dia mendapat idea berkenaan selepas melihat laman sama yang diwujudkan oleh seorang lelaki warga Qatar enam bulan lalu.

Dia menyarankan idea itu kepada isterinya yang kemudian bersetuju dengan cadangan itu. - DM"

'via Blog this'

Miss Vancouver bukan perempuan

myMetro | Miss Vancouver bukan perempuan:JENNA jalani pembedahan jantina ketika berusia 19 tahun.
JENNA jalani pembedahan jantina ketika berusia 19 tahun.
VANCOUVER: Pengurusan Miss Universe menggugurkan seorang peserta pertandingan itu, Jenna Talackova, semalam.
Tindakan menggugurkan Jenna daripada menyertai pertandingan ratu cantik itu ialah kerana dia dilahirkan sebagai lelaki. Jenna, 23, berjaya menyertai pertandingan Miss Universe Kanada selepas memenangi pertandingan Miss Vancouver.

Ketika sesi peragaan pakaian renang, pihak juri mendapati terdapat kelainan pada susuk tubuh Jenna.
Sebaik mengetahui Jenna dilahirkan sebagai lelaki, mereka sepakat menggugurkannya daripada menyertai pertandingan Miss Universe Kanada.

Pihak penganjur bagaimanapun membelanya dengan mengatakan Jenna seorang wanita tulen.

Namun, mengikut peraturan pertandingan yang menekankan setiap peserta perlu dilahirkan sebagai perempuan, maka pihak juri sepakat membatalkan penyertaannya.
“Dia mempunyai naluri seorang perempuan dan dia memang wanita asli. Dia tidak menjangka soal jantina akan menjadi persoalan dalam pertandingan ini,” kata Pengarah Kebangsaan Miss Universe Kanada, Denis Davila.

“Jenna berharap kita dapat memberinya peluang untuk dia bersaing dalam pertandingan itu, tetapi mengikut peraturan, dia tidak layak untuk kembali bersaing,” katanya.
Sementara itu, Jenna turut memberi ulasan mengenai pengggugurannya daripada menyertai Miss Universe melalui Youtube. Jenna menceritakan sejarah hidupnya yang dilahirkan sebagai lelaki tetapi mengubah jantinanya kepada perempuan.

Jenna berkata dia merasakan dirinya sebagai perempuan sejak berusia empat tahun. Dia mendapatkan suntikan hormon ketika berusia 14 tahun. Ketika berusia 19 tahun pula, Jenna memutuskan untuk menjalani pembedahan jantina. - DM

'via Blog this'

Dominique Strauss-Kahn didakwa, terbabit skandal pekerja seks

Berita Harian Online | Dominique Strauss-Kahn didakwa, terbabit skandal pekerja seks: "PARIS: Bekas ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn yang sebelum ini dituduh terbabit skandal seks berdepan dengan tuduhan terbaru, iaitu didakwa terbabit dengan aktiviti mengimport pekerja seks ke Perancis.

Peguam yang menggendalikan kes itu, berkata Strauss-Kahn didakwa di mahkamah susulan pembabitannya dengan rangkaian membawa masuk pekerja seks ke negara itu.
Pendakwaan dilakukan hasil siasatan pihak polis Perancis membongkar aktiviti membawa masuk pekerja seks dari Belgium untuk pelanggan kelas atasan di hotel Lille dan Paris. - AFP"

'via Blog this'

Mawi, Ekin diikat, disamun RM10,000

Berita Harian Online | Mawi, Ekin diikat, disamun RM10,000:
PENYANYI Mawi atau nama sebenar Asmawi Ani menceritakan pengalaman beliau dan ahli keluarganya diikat dan diacu parang ketika rumahnya di Bangi Golf Resort, dipecah masuk perompak, awal pagi tadi. (berita lanjut) - Foto Afendi Mohamed 
ANGI: Ibarat nyawa di hujung tanduk! Demikian pengalaman cemas dilalui juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi dan isterinya, Ekin apabila diikat dan diacu dengan parang dan pisau oleh empat lelaki yang memecah masuk banglo mereka di Bangi Golf Resort di sini, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, empat perompak terbabit dipercayai warga asing melarikan wang tunai, telefon bimbit dan barang kemas bernilai RM10,000.
Penjenayah meletakkan parang di leher Ekin atau nama sebenar, Nora’ Ashikin Rahmat, 33, yang masih berpantang anak pertama apabila beliau membuka pintu biliknya selepas diketuk, manakala pisau diacukan ke muka Mawi atau nama sebenar Asmawi Ani, 31, yang sedang tidur ketika itu.
Mereka kemudian mengikat tangan pasangan itu menggunakan tali bersama ibu Ekin, Fatimah Saad, 52, dan neneknya, Salmah Sahan, 77, namun anak perempuan pasangan itu, Cahaya Malaika yang baru berusia 28 hari, tidak diapa-apakan. 

Menceritakan detik cemas itu, Mawi berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur atas tilam di lantai bilik tidur utama, manakala isteri bersama ibu mentua serta anaknya tidur atas katil apabila pintu bilik diketuk. 

“Ekin yang membuka pintu terkejut apabila melihat perompak terus mengacukan parang ke lehernya. Penjenayah kemudian mengejutkan saya dan mengacukan pisau ke muka sambil mengarahkan kami diam. 

“Selepas itu, mereka membawa nenek yang tidur di bilik sebelah ke bilik kami sebelum mengikat tangan kami dan menekup muka saya dengan baju sambil meminta wang dan barang kemas. 
“Tiga perompak mengawal gerak geri kami, manakala seorang lagi menggeledah bilik dan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam. Penjenayah melarikan diri kira-kira 20 minit kemudian. 

Mawi bagaimanapun berjaya melepaskan diri dengan menggigit ikatan tali pada tangannya selepas penjenayah melarikan diri, untuk menghubungi polis. 

Mengulas lanjut, Mawi berkata, beliau hanya pulang kira-kira jam 3 pagi selepas mengikuti rombongan jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 di Johor Bahru, kelmarin, manakala isteri dan anak tinggal di rumah bersama ibu mentua, nenek Ekin serta seorang pembantu rumah warga Indonesia. 

Pembantu rumah yang tidur di tingkat bawah banglo dua tingkat itu bagaimanapun tidak diapa-apakan, malah dia tidak menyedari rumah dipecah masuk. 

Mawi berkata, penjenayah dipercayai menceroboh rumahnya melalui kediaman jiran yang sedang diubah suai berdasarkan penemuan tangga pada tembok rumah sebelum mengumpil tingkap di tingkat bawah. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. 
Difahamkan, polis sudah menahan tiga pekerja binaan warga asing di sekitar kawasan berkenaan yang dipercayai bersubahat dengan kumpulan penjenayah itu, kira-kira tiga jam selepas kejadian, namun usaha memburu semua suspek sedang digiatkan.

'via Blog this'

Ahli sains temui ‘raja tebuan’ di Sulawesi

Berita Harian Online | Ahli sains temui ‘raja tebuan’ di Sulawesi:
MAKASSAR: Sekumpulan saintis berjaya menemui satu spesies terbaru di kawasan pergunungan Mekongga di tenggara Sulawesi, sejenis serangga yang besar dan menakutkan yang digelar sebagai ‘raja tebuan’. 

Spesies ini juga dikenali ‘tebuan naga komodo’ tebuan jantan kumpulan ini dikatakan mampu bersaiz lebih tiga sentimeter atau boleh membesarkan rahang lebih panjang daripada kaki depannya dan berbentuk seperti sabit.
Tebuan dibe terbabit, Megalara garuda dinamakan sempena simbol kebangsaan Indonesia, garuda iaitu sejenis hidupan mistik seperti burung.
Seorang profesor entomologi, di Universiti California di Davis, Lynn Kimsey dan Michael Ohl dari Muzium fur Naturkunde di Berlin menyiarkan penemuan bersama mereka itu dalam ZooKeys, sebuah jurnal bagi biodiversiti. 

“Rahangnya terlalu besar hingga menutup sebelah kepala. Apabila rahang dibuka, ia sebenarnya lebih panjang daripada kaki hadapan lebah jantan,” kata Kimsey kepada penerbitan UC Davis selepas ekspedisi yang menemui lebah gergasi itu. 

Kimsey berkata buat pertama kalinya beliau melihat spesies itu, di mana beliau tidak pernah melihatnya sebelum ini. 

“Saya tidak pernah melihat spesis lain seperti Dalara ini,” katanya. 
“Kami tidak tahu apa-apa mengenai biologi tebuan ini. Mereka hanya dikenali dari Sulawesi tenggara.” 

Penyelidik berkenaan meramalkan bahawa rahang besar itu boleh memainkan peranan penting dalam pertahanan dan reproduksi. 

Sebagai tambahan, beliau berkata rahang tebuan terlalu besar untuk mencengkam badan lebah betina dan memegangnya ketika mengawan. – Agensi

'via Blog this'

160 sebatan pegang tangan wanita

Berita Harian Online | 160 sebatan pegang tangan wanita:
RIYADH: Seorang tukang jahit India di Arab Saudi yang disifatkan terlalu berani kerana menyentuh tangan seorang pelanggan wanita Arab yang disukainya berhadapan dengan hukuman penjara tujuh bulan dan 160 sebatan. 

Wanita itu dikatakan bertanyakan mengenai pakaian miliknya yang dijahit di kedai jahit berhampiran pelabuhan barat Laut Merah, Jeddah apabila lelaki terbabit menghampirinya.
Mangsa memberitahu polis bahawa lelaki berkenaan menyentuh tangannya dan mengundang beliau ke rumahnya, sambil menambah bahawa dia turut menawarkan sejumlah wang dan berkata mahu mengahwininya.
Pekerja yang tidak dinamakan itu pada mulanya menafikan dakwaan wanita itu dengan mengatakan bahawa laporan itu dibuat kerana marahkan tindakannya menangguhkan tempoh untuk menyiapkan pakaiannya. 

Beliau memberitahu penyiasat bahawa beliau sering kali menyifatkan wanita itu sebagai adiknya dan mangsa menerima perasaan itu. Beliau bagaimanapun mengakui menyentuh tangan wanita itu dan menyatakan kesilapannya serta memohon maaf. 

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan 160 sebatan sepanjang empat sesi termasuk 40 sebatan setiap minggu. Dia juga perlu membuat satu pengakuan bertulis mengakui kesilapan dan berikrar untuk mematuhi cara yang betul dan menjauhi daripada melakukan sebarang kelakuan buruk,” lapor akhbar berbahasa Arab, Okaz. 

Akhbar itu menyatakan bahawa mahkamah turut meringankan hukuman dan memutuskan untuk tidak menghantar pulang ke negara asal bagi membersihkan rekod polis. – Agensi

'via Blog this'

Keluarga Osama mungkin dipenjara

Berita Harian Online | Keluarga Osama mungkin dipenjara:
ISLAMABAD: Mahkamah Pakistan akan mendakwa lima anggota keluarga Osama bin Laden kerana memasuki dan menetap di negara itu secara haram, kata peguam mereka semalam. 

Keluarga pemimpin al-Qaeda itu berada dalam tahanan Pakistan sejak Mei lalu, apabila komando Amerika Syarikat menyerbu sebuah rumah di bandar Abbottabad dan menembak mati Osama.
Pakistan berang dengan serbuan itu kerana tidak dimaklumkan terlebih dulu. Pegawai menegaskan mereka tidak tahu Osama tinggal di situ tetapi Amerika tidak menemui bukti komando mereka mengetahuinya.
Peguam mereka, Mohammad Amir berkata, Mahkamah akan mendakwa tiga balu Osama dan dua anak perempuannya 2 April ini apabila keterangan terhadap mereka disambung. 

“Mahkamah sudah memberikan kelima-lima wanita berkenaan salinan kes dan bukti terhadap mereka semalam,” katanya. 

Pakar perundangan Pakistan berkata, hukuman maksimum yang bakal diterima mereka ialah lima tahun penjara. Osama dan isterinya tinggal bersama lapan orang anak dan tiga pekerja di Abbottabad. 

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rehman Malik, sebelum itu berkata kanak- kanak yang tidak terbabit dalam kes itu bebas meninggalkan Pakistan atau tinggal bersama ibu mereka sepanjang tempoh perbicaraan. 

Salah seorang balu Osama diketahui berasal dari Yaman dan seorang lagi dari Arab Saudi. Kerakyatan seorang lagi balunya tidak diketahui. 

Salah seorang saudara dilaporkan melawat Pakistan baru-baru ini untuk menggesa pihak berkuasa membenarkan mereka meninggalkan negara itu tetapi usaha itu gagal. – AP

'via Blog this'

China bimbang roket sekutu

Berita Harian Online | China bimbang roket sekutu:

OBAMA (kiri) menyambut ketibaan Hu sebelum  memulakan mesyuarat dua hala di Seoul, Korea Selatan, semalam.
OBAMA (kiri) menyambut ketibaan Hu sebelum memulakan mesyuarat dua hala di Seoul, Korea Selatan, semalam.
Obama rayu Beijing lebih tegas halang Pyongyang teruskan program nuklear

SEOUL: China meluahkan kebimbangan serius kepada sekutunya, Korea Utara, mengenai pelancaran roket yang dirancang, kata pegawai Amerika Syarikat semalam selepas rundingan antara Presiden Barack Obama dan Presiden Hu Jintao. 

Kedua-dua pemimpin itu bertemu sehari selepas Obama merayu supaya Beijing lebih tegas terhadap Pyongyang.
Beberapa negara mengkritik keras pelancaran yang dijadualkan pertengahan April ini tetapi Korea Utara menegaskan ia cuma mahu meletakkan satelit ke orbit.
Namun pembangkang berkata ia akan menguji teknologi peluru berpandu yang boleh membawa peledak. 

China, satu-satunya sekutu kuat Korea Utara, rakan dagang terbesarnya serta pemberi sumbangan, dilihat sebagai antara segelintir negara yang boleh mempengaruhi rejim itu. 

“Kedua-dua pemimpin bersetuju bekerjasama dalam memberi tindak balas kepada provokasi ini dan meluahkan kebimbangan serius kami kepada Korea Utara dan jika perlu, mempertimbangkan langkah yang perlu diambil berikutan pelancaran satelit itu,” kata Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Ben Rhodes. 

Menyedari pengaruh China, Obama berkata, Rhodes berasa penting untuk bekerjasama dengan China dan untuk China memberikan mesej tegas kepada Korea Utara. 
“China menegaskan kepada kami pihaknya memandang serius perkara ini dan menyatakan kebimbangan mereka kepada Korea Utara,” katanya kepada wartawan. 

Beijing akan bekerjasama aktif dengan Washington dan enam pihak lain untuk menunjukkan dengan jelas kepada Korea Utara mengenai kebimbangan masyarakat antarabangsa jika mereka meneruskan tindakan provokasi itu. 

Forum enam pihak yang kini tergantung, dianggotai Korea Selatan dan Korea Utara, Russia, China, Amerika dan Jepun, cuba sejak tahun 2003 untuk berunding bagi menamatkan program senjata nuklear Pyongyang. 

Obama dan Hu bertemu sebelum bermulanya persidangan keganasan nuklear di Korea Selatan yang dibayangi pelancaran itu dan cubaan Iran membina senjata nuklear. 

“China tidak boleh lagi membiarkan provokasi sengaja itu, ia juga sekadar kata-kata provokatif tetapi tindakan provokatif luar biasa yang mencabul norma antarabangsa,” katanya. – AFP

'via Blog this'

Mawi diikat, Ekin diacu pisau

Kosmo! Online - Negara:



MAWI menunjukkan tangga aluminium yang digunakan empat perompak untuk memanjat tembok rumahnya di Bangi Golf Resort, Bangi, Kajang semalam.


BANGI – Penyanyi terkenal Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi kerugian RM10,000 apabila banglonya dipecah masuk empat perompak Indonesia bersenjatakan parang serta pisau dalam kejadian yang mengambil masa selama 20 minit di Bangi Golf Resort di sini semalam.
Kejadian mencemaskan itu berlaku pada pukul 4 pagi ketika Mawi, isterinya, Nora’asikin Rahmat atau lebih dikenali sebagai Ekin; ibu mertuanya, Fatimah Saad, 55; neneknya, Salmah Sehan, 77; anak mereka, Cahaya Malaika dan seorang pembantu rumah sedang tidur di dalam banglo tersebut. Bagaimanapun, kesemua mereka tidak cedera.
Banglo tersebut mempunyai lima bilik.
Difahamkan, dua jam sebelum kejadian, Mawi baru tiba dari Johor Bahru untuk mempromosikan majlis Anugerah Bintang Popular yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Mengimbau semula kejadian itu, Mawi memberitahu, dia terjaga selepas pintu biliknya diketuk kuat oleh perompak tersebut sebelum Ekin bangun untuk membuka pintu kerana menyangka Salmah yang berbuat demikian.
Katanya, apabila pintu dibuka, tiga daripada empat perompak yang memakai serba hitam dan bertopeng itu terus mengacukan pisau ke leher isterinya dan meminta barang kemas.
“Suspek kemudian menolak Ekin ke atas katil sebelum mengikat tangan dia dan ibu mertua saya menggunakan wayar pengecas telefon bimbit. Salah seorang suspek pula mengikat kaki dan tangan saya sebelum menutup muka saya dengan baju.
“Mereka kemudian mula menggeledah bilik sebelum melarikan rantai nenek, wang, serta empat buah telefon bimbit jenis BlackBerry dan Nokia yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000,” cerita juara Akademi Fantasia musim ketiga itu.

'via Blog this'

Penunjuk perasaan Tibet bakar diri

Kosmo! Online - Dunia:


Dia menjerit semasa api membakar baju dan seluarnya.


NEW DELHI - Seorang penduduk Tibet, Janphel Yeshi yang membakar dirinya berlari ke sebatang jalan di New Delhi semalam.
Dia melakukan perbuatan itu bagi menyatakan bantahan terhadap Presiden China, Hu Jintao yang akan melawat India.
Penduduk Tibet tersebut, Janphel Yeshi, 27, melakukan perbuatan itu di Jantar Mantar yang merupakan tempat perhimpunan awam dan demonstrasi.
Beberapa saksi berkata, dia yang memakai baju dan seluar panjang menjerit semasa api membakar tubuhnya.
Menurut seorang ahli perniagaan Tibet, Nyima Tashi, Yeshi kemudian terjatuh selepas dia berlari.
"Kami semua terkejut," katanya yang berusia 39 tahun.
"Salah seorang penyokong kami membaling sehelai kot ke arahnya sebagai usaha untuk memadamkan kebakaran.
"Polis kemudian menghantarnya ke hospital," tambahnya.
Tashi berkata, dia pernah melihat Yeshi menghadiri perhimpunan bagi menuntut kebebasan Tibet.
"Kami menentang penguasaan China ke atas Tibet, kekurangan kebebasan agama dan hak asasi," jelasnya.
Seorang pegawai polis berkata, 85 peratus tubuhnya melecur.
Menurut Dr, R.K. Doshi di Unit Kecemasan Hospital Ram Manohar Lohia, beberapa kakitangan perubatan berusaha untuk menyelamatkan nyawa Yeshi.
"Keadaan dirinya amat kritikal. Peluang untuknya hidup amat tipis," katanya.
Sebilangan aktivis Tibet berkata, Yeshi merupakan penganggur yang telah merancang untuk melakukan perbuatan tersebut sejak beberapa hari lalu.
Menurut mereka, lelaki itu tiba di lokasi penunjuk perasaan dengan membawa botol mengandungi minyak tanah yang digunakan untuk membakar dirinya.
Dia melarikan diri dari Tibet pada tahun 2006 dan tinggal di sini sejak dua tahun lalu. - Agensi

'via Blog this'

Jantung cimpanzi diperiksa

Kosmo! Online - Dunia:



BEBERAPA pakar haiwan memeriksa jantung seekor cimpanzi di Zoo Chester, Liverpool semalam.


LIVERPOOL - Sekumpulan pakar haiwan dari Universiti Metropolitan Cardiff melakukan ujian imbasan ke atas beberapa ekor cimpanzi di Zoo Chester di sini semalam.
Ia merupakan sebahagian daripada satu program antarabangsa untuk memeriksa tahap kesihatan jantung haiwan tersebut. - Reuters

'via Blog this'

Cameron tiba di kawasan paling dalam Lautan Pasifik

Kosmo! Online - Dunia:



CAMERON keluar dari kapal selam selepas dia berjaya meneroka Mariana Trench di Lautan Pasifik semalam.


HONOLULU - Pengarah filem Avatar, James Cameron menamatkan penerokaan ke Mariana Trench yang merupakan tempat paling dalam di Lautan Pasifik.
Dia menggunakan sebuah kapal selam khas untuk menyelam hampir 11 kilometer di dasar lautan.
Cameron meluangkan masa sekitar tiga jam dengan mengambil sampel bagi penyelidikan saintifik dan merakamkan kawasan Mariana Trench.
Kapal selam itu diturunkan ke lautan tersebut dari sebuah kapal.
Kawasan paling dalam itu terletak di barat Lautan Pasifik dan timur Filipina, sekitar 200 ke timur Kepulauan Mariana.
Ia merupakan kawasan berbentuk bulan sabit sepanjang 2,550 kilometer (km) dengan lebar 69km.
Mariana Trench diselubungi kegelapan dengan suhu hampir beku.
Cameron melakukan ekspedisi itu yang turut mendapat kerjasama daripada institusi pendidikan terkenal, National Geographic Society.
Menurut pegawai saluran National Geographic, Stephanie Montgomery, Cameron kembali ke permukaan Lautan Pasifik pagi semalam.
Pengarah filem itu menyelam pada kedalaman 10,898 meter sebelum kapal selam kecilnya tiba pada permukaan laut.
Kumpulan ekspedisi tersebut menyatakan, Cameron pada mulanya merancang meluangkan masa hingga enam jam di Mariana Trench.
"Namun, kapal selam Deepsea Challenger seberat 12 tan yang dinaikinya timbul lebih awal daripada jangkaan," menurut kenyataan National Geographic.
Pihak penganjur memberitahu, kapal selam berkenaan yang terapung di tengah laut ditemui sebuah helikopter peninjau.
Setakat ini, belum ada laporan mengenai keadaan kesihatan Cameron tetapi seorang doktor ekspedisi berkenaan Joe MacInnis memberitahu bahawa pengarah filem itu cukup sihat untuk membuat selaman tersebut.
Cameron, 57, ialah manusia pertama yang meneroka Mariana Trench secara solo.
Sebelum ini cuma jurutera Switzerland, Jacques Piccard dan anggota tentera laut Amerika Syarikat (AS), Kapten Don Walsh yang pernah sampai ke tempat itu pada tahun 1960 dengan menaiki kapal selam tentera laut AS, Trieste.
- Agensi

'via Blog this'

Hon khas untuk kereta Audi di India

Kosmo! Online - Dunia:


GAMBAR fail menunjukkan ruang dalam sebuah kereta Audi yang dipamerkan di Hyderabad, India pada 9 Ogos tahun lalu.


NEW DELHI, India - Pembuat kereta Jerman, Audi membuat hon khas untuk kenderaan jenama berkenaan yang dijual di India.
Ia dicipta kerana pemandu tempatan kerap membunyikan hon itu semasa mereka menempuh kesesakan lalu lintas pada setiap hari.
"Jelas di India, hon kereta perlu berada dalam kategori tersendiri," kata Pengarah Audi India, Michael Perschke kepada akhbar Mint semalam.
"Jika anda menggunakan hon kereta Eropah ia akan rosak dalam tempoh seminggu atau dua minggu. Di India, pemandu membunyikan hon pada setiap hari sama seperti kegunaan hon selama setahun di Jerman," tambahnya.
Menurutnya, hon berkenaan dibuat khusus untuk pemanduan di India yang merupakan pasaran memberangsangkan buat Audi dan jenama kereta Barat lain.
"Hon ini diuji dengan ia dibunyikan berterusan selama dua minggu," ujarnya.
Pemandu di negara berkenaan kerap menempuh kesesakan lalu lintas ekoran jalan raya yang kerap rosak selain gangguan daripada kereta lembu, lembu dan beca. - AFP


'via Blog this'