Pages

Wednesday, January 13, 2016

Nikola Tesla genius teknologi moden

Nikola Tesla

NORHANA FARIZA HARUN
Nikola Tesla
“Biarkan masa depan beritahu perkara sebenar dan nilai setiap satu berdasarkan hasil kerja dan pencapaiannya. Masa kini adalah milik mereka, tetapi masa akan datang yang saya usahakan adalah milik saya. Saya tidak kisah jika idea dicuri, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa asas sendiri,” - Nikola Tesla
Nikola Tesla adalah salah seorang saintis dan jurutera yang memainkan peranan utama dalam pembangunan elektro magnet dan penemuan saintifik lain ketika zamannya.
Beliau terkenal kerana sumbangannya kepada reka bentuk arus (AC) bagi sistem bekalan elektrik moden. Malah, kepintarannya dalam arus elektrik membuatkannya digelar sebagai seorang pembuka jalan bagi teknologi moden.
Semasa hayatnya, Tesla mencipta lampu neon, induksi motor Tesla, gegelung Tesla dan membangunkan arus (AC) sistem bekalan elektrik termasuk motor serta pengubah, dan elektrik 3 fasa.
Kehidupan peribadi
Nikola Tesla dilahirkan pada 10 Julai 1856 dalam sebuah keluarga Serbia di Smiljan Lika, Croatia. Anak kepada pasangan Milutin Tesla dan Duka Tesla ini merupakan anak keempat daripada lima beradik.
Pada tahun 1861, Tesla menghadiri sekolah rendah di Smiljan di mana beliau belajar bahasa Jerman, aritmetik dan agama.
Sejak di bangku sekolah rendah lagi, beliau merupakan seorang pelajar yang bijak. Ketika belajar di Higher Real Gymnasium pada tahun 1870, Tesla menamatkan pelajaran dalam tempoh tiga tahun berbanding empat tahun yang diperuntukkan.
Difahamkan, Tesla mempunyai keupayaan untuk menggambarkan imej di kepalanya dan sering menggambarkan ciptaan mekanikal serta teori secara spontan.
Malah apabila mengusahakan sesuatu projek, beliau jarang sekali melukis pelan tetapi hanya bergantung pada imej yang berada dalam fikirannya.
Kerjaya awal
Sekitar tahun 1880, Tesla berpindah ke Budapest di mana beliau bekerja untuk sebuah syarikat telegraf. Di sini, beliau belajar mengenai turbin berkembar dan berpeluang membantu membangunkan peranti yang menyediakan amplifikasi apabila menggunakan telefon.
Dua tahun kemudian, Tesla berpindah ke Paris dan bekerja untuk Syarikat Continental Edison. Di sini pula, beliau menambah ilmunya dalam pelbagai jenis peranti yang digunakan oleh syarikat itu.
Malah, beliau turut mengilhamkan induksi moto dan peranti yang digunakan untuk memutarkan medan magnet.
Berbekalkan surat sokongan, Tesla ke Amerika Syarikat pada 1884 untuk bekerja dengan syarikat  Edison Machine Works. Beliau menjadi salah seorang ketua jurutera dan pereka.
Tesla telah diberi tugas untuk memperbaiki sistem elektrik penjana arus terus, dan mendakwa ditawarkan ASD50,000 (RM220,000) jika beliau boleh memperbaiki penjana motor.
Namun, selepas menamatkan tugas itu beliau tidak menerima sebarang bayaran dan ia sekali gus menjadi antara faktor persaingannya dengan Thomas Edison. Akhirnya, Tesla meletak jawatan.
Ciptaan Tesla
Sekitar tahun 1885, George Westinghouse, ketua Syarikat Elektrik Westinghouse membeli kesemua hak paten unyuk sistem dynamo, transformer dan motor Tesla.
Westinghouse kemudiannya menggunakan arus AC Tesla untuk menyalakan Ekspo Columbia Dunia di Chicago pada 1893.
Pada 1886, Tesla menubuhkan syarikat namun ia boleh dikatakan tidak berjaya kerana tidak mendapat sokongan dan kepercayaan terhadap AC.
Setahun kemudian, beliau mengusahakan X-Ray dan berjaya mengambil gambar tulang tangannya. Namun, beliau juga sedar akan kesan sampingan akibat menggunakan radiasi. Ciptaannya tidak mendapat liputan meluas dan akhirnya ia dilupakan.
Pada tahun 1891, Tesla menjadi warganegara Amerika dan ia merupakan satu tempoh kemajuan terbesarnya dalam pengetahuan elektrik.
Tesla mempamerkan potensi pemindahan tenaga tanpa wayar dan kapasiti untuk penjanaan kuasa AC.
Beliau kemudiannya berpindah ke Colorado Springs pada 1899, di mana beliau mempunyai ruang untuk membangunkan eksperimen voltan tinggi. Ia termasuk pelbagai eksperimen radio dan penghantaran elektrik.
Kematian
Ketika bekerja, Tesla merupakan seorang yang tekun dan gila kerja. Dalam sehari, beliau tidak kisah jika hanya tidur selama dua jam.
Ketekunannya juga membuatkan beliau tidak berkahwin. Pada 7 Januari 1943, Tesla meninggal dunia ketika berusia 86 tahun di sebuah bilik hotel di New York.
Selepas kematiannya, Persidangan Agung Timbang dan Ukur menggunakan simbol T (Tesla) sebagai unit ukuran kekuatan medan magnet bagi menghormatinya sumbangannya dalam dalam arus elektrik.

Pokok berjalan di Amazon

WARTAWAN SINAR HARIAN

PERCAYA
 atau tidak, di hutan Amazon terdapat spesies pokok yang boleh beralih dari tempat asalnya dengan sendiri.
Spesies flora yang memiliki kemampuan unik ini dikenali sebagai Socratea exorrhiza atau terkenal dengan jolokan pokok berjalan atau Cashapona.
Ia merupakan sejenis pokok palma yang tumbuh di dalam hutan hujan tropika di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Berdasarkan rekod, pokok ini boleh tumbuh setinggi 25 meter dengan ukuran batangnya mencapai 17 sentimeter ukur lilit.
Pokok ini dikatakan mempunyai sistem akar yang rumit dan boleh berfungsi sebagai kaki. Akar tersebut membantu pokok ini untuk terus berpindah mengikuti cahaya matahari.
Dianggarkan pokok ini boleh bergerak 2 hingga 3 sentimeter setiap hari dan mencapai 20 meter setahun.
Ia bergerak dengan cara menumbuhkan akar baharu di tempat yang terjangkau sinar matahari dan akar yang telah tua akan mati.
Meskipun begitu, ramai saintis yang tidak mempercayai cerita jika pokok tersebut boleh bergerak ke arah matahari.
Mereka menganggap tumbuhan tidak boleh berpindah kecuali kerana didorong oleh angin. - Livescienc
e

Monyet terkecil di dunia

Monyet terkecil di dunia
12 JANUARI 2016

Pygmy Marmoset adalah spesies monyet terkecil di dunia. Ia berasal dari hutan hujan Amazon dan hanya memiliki ketinggian 15 sentimeter (sm).
Bentuk badannya yang kecil memudahkannya bertahan hidup lebih lama di dalam hutan.
Seperti monyet lain, Pygmy Marmoset juga melompat dan bergayut dari satu pokok ke pokok yang lain.
Ia menggunakan cakar serta ekornya untuk berpaut di dahan pokok, manakala kepalanya boleh berpusing sehingga 180 darjah bertujuan memudahkannya mengawasi kawasan sekitar ketika mencari makanan.
Haiwan kecil ini pula tidak menggemari pisang sebaliknya ia menjadikan getah pokok, serangga serta buah-buahan hutan sebagai makanannya. - Amusingplane
t

Restoran dalam pesawat

Restoran dalam pesawat

12 JANUARI 2016 
SEORANG
 petani di China bukan sahaja memperkenalkan pesawat Boeing 737 buatan sendiri, malah turut mempunyai rancangan untuk mengubahnya menjadi sebuah restoran.
Meskipun Wang Lin, 61, membesar dalam keadaan tidak berpendidikan dan buta huruf, namun dia mampu mengetuai kumpulannya dalam pembinaan replika pesawat itu di atas tanah dekat wilayah Henan.
Menurutnya, keputusan untuk membina replika tersebut dibuat selepas dia belajar kejuruteraan mekanikal dan kerja logam pada penghujung 2013.
“Rangka kapal terbang berukuran 35 meter (m) panjang dengan lebar sayap 38m. Ia menelan kos kira-kira ASD22,000 (RM97,000) untuk dibina,” katanya.
Wang berkata, langkah seterusnya untuk ‘pesawat palsu’ berkenaan adalah menjadikan ruang dalamannya sebagai sebuah restoran yang berfungsi sepenuhnya. – Up
i

Gempar anak babi bermuka monyet


Sedutan video anak babi bermuka monyet yang viral

HAVANA - CUBA . Penduduk di bandar Ciego de Avila gempar dengan kelahiran seekor anak babi yang memiliki muka seakan monyet.
Menurut laporan Dailymail, anak babi tersebut memiliki rahang beruk yang sama dengan beberapa kes kelahiran dan penemuan serupa di China pada 2008.
Haiwan tersebut memiliki hidung yang lebih pendek dan dahi berlekuk menyerupai monyet.
Sebuah video yang dirakam penduduk tempat juga telah dimuat naik pada awal Januari lalu selepas haiwan tersebut dipamerkan untuk umum.
Difahamkan, haiwan tersebut mati selepas empat hari.
Menurut klinik veterinar tempatan, rupa aneh anak babi tersebut berkemungkinan disebabkan penyakit Holoprosencephaly, sejenis kecacatan otak dan menyebabkan bentuk muka atau kepala haiwan berubah dengan mendadak.
Pada tahun 2008, seekor anak babi bermuka monyet juga telah ditemui di bandar Xi Ping di China.
Haiwan tersebut juga mati tidak lama kemudian
.