12 Ogos 2012
SINGAPURA - Rakyat Singapura diingatkan akan betapa pentingnya berkahwin dan mempunyai anak untuk memastikan mempunyai warganegara asal yang mencukupi bagi membentuk majoriti di republik ini.
Melahirkan kebimbangan berhubung kadar kesuburan yang rendah di negara itu, bekas Menteri Mentor Lee Kuan Yew menyatakan akan ada impak merugikan bagi Singapura sekiranya kadar kelahiran yang menurun di republik itu berterusan.
"Jika kita terus menerus seperti itu, tempat ini akan bungkus, disebabkan tidak ada lagi warganegara asal yang tinggal untuk membentuk majoriti, dan kita tidak ada warganegara baharu, tidak ada pemastautin tetap (PR) baharu, dalam mengatasi etos sosial kita, semangat sosial, norma sosial.
"Jadi mesej saya mudah. Jawapannya sangat sukar tetapi masalahnya jika kita tidak mencari jawapannya, adalah sesuatu yang sungguh besar," kata Kuan Yew semasa berucap di majlis makan malam Hari Kebangsaan di Tanjong Pagar GRC dan Tiong Bahru, di sini malam semalam.
Kuan Yew yang merupakan bekas Perdana Menteri Singapura, berkata kadar kelahiran kaum Cina ialah 1.08, India 1.09 dan Melayu 1.64.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa pemegang permit kerja telah memain peranan penting ke arah pembangunan infrastruktur negara itu.
Dengan tidak melupakan sumbangan daripada penduduk tetap, Kuan Yew berkata, tanpa PR, penduduk republik itu akan menjadi lebih berumur, bertambah kecil dan hilang daya ketahanan hidup.
Menyatakan pilihan mereka adalah mudah, Kuan Yew menegaskan sama ada menerima kehadiran migran pada kadar di mana 'kita boleh menyerap mereka dan menjadikan mereka tunduk kepada nilai-nilai kita' atau mempunyai yang lainnya yang memiliki permit kerja sementara untuk membangunkan Singapura dan memperbaikinya.
Bagaimanapun, bagi tempoh jangka panjang, kata Kuan Yew, apa yang penting ialah membuat perubahan pada pemikiran.
"Lelaki dan wanita kita yang berpendidikan mesti membuat keputusan sama ada mahu menggantikan diri mereka pada generasi akan datang. Pada masa ini, 31 peratus daripada wanita dan 44 peratus lelaki memilih untuk tidak turut serta, tidak mahu melahirkan generasi akan datang.
"Jadi fikirkanlah tentang perkara ini, anda akan tahu penyelesaiannya bukanlah mudah. Tetapi kita mesti memujuk orang memahami bahawa berkahwin dan mempunyai anak adalah penting.
"Mahukah kita menggantikan diri kita atau mahukah kita ini mengecut dan menjadi tua serta digantikan oleh golongan migran dan pemegang permit kerja? Inilah persoalannya," kata beliau. - Bernama