Pages

Wednesday, March 30, 2011

Berlusconi dibicara


ROME: Perdana menteri kontroversi Silvio Berlusconi hadir di mahkamah, semalam atas tuduhan mengelakkan cukai. Sebelum ini, beliau mengisytiharkan memperoleh pendapatan sebanyak 35 juta pound (RM75 juta) setahun.
Berlusconi, 74, kini menghadapi empat pertuduhan - termasuk menjalinkan hubungan seksual dengan pelacur bawah umur dan menyalah gunakan kuasa - kelihatan ceria ketika hadir sambil melambaikan tangan kepada kira-kira 100 penyokongnya. Dalam satu wawancara televisyen sebelum perbicaraannya bermula, beliau sekali lagi menyalahkan pendakwa raya berhaluan kiri yang dikatakan mahu menggulingkannya dan melabel tuduhan ke atasnya tidak wajar sambil menambah komunis masih berpengaruh. “Pendakwa raya membuktikan mereka ingin mendakwa saya dan tidak akan berhenti walaupun tuduhan mereka tidak berasas dan tidak wajar.

“Malang sekali komunisme di Itali tidak pernah mahu menyerah dan tidak pernah berubah,” katanya sambil menambah beliau lelaki paling banyak dituduh di dunia dan dalam sejarah.

Berlusconi berkata, pendakwa raya melihatnya sebagai musuh ideologi dan politik serta penghalang yang menyekat parti berhaluan kiri daripada berkuasa.

Maklumat lanjut mengenai gajinya itu timbul sebaik kes di Milan bermula.

Menurut pengisytiharan pendapatannya, gaji beliau meningkat daripada 23 juta euro (RM98 juta) pada 2009 kepada 40 juta euro (RM170.6 juta) tahun lalu dan beliau juga dikatakan memiliki beberapa harta di Itali dan Antigua. - DM

Nato macam Hitler: Gaddafi


KANAK-KANAK Libya bermain di atas sebuah kereta kebal tentera Gaddafi yang musnah di Benghazi, kubu kuat pemberontak, semalam.
KANAK-KANAK Libya bermain di atas sebuah kereta kebal tentera Gaddafi yang musnah di Benghazi, kubu kuat pemberontak, semalam.

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menggesa kuasa dunia yang bermesyuarat di London semalam supaya menamatkan serangan tidak bertamadun mereka terhadap negaranya.
Sementara itu, pemberontak dilaporkan sudah bersiap sedia untuk menggempur Sirte, sebuah bandar penting yang juga menjadi bandar kelahiran Gaddafi.

Gaddafi menyamakan serangan udara yang diketuai Nato dengan kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh Adolf Hitler ketika Perang Dunia Kedua.
“Hentikan tindakan tidak bertamadun anda terhadap Libya,” kata Gaddafi dalam surat yang disiarkan oleh agensi berita, Jana.

“Biarkan Libya ditentukan oleh rakyat Libya. Anda melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang yang aman dan ke atas sebuah negara sedang membangun,” katanya dalam surat yang dialamatkan kepada mesyuarat London.

Lebih 35 negara menghadiri mesyuarat berkenaan untuk merancang masa depan Libya selepas ketiadaan Gaddafi.
“Seolah-olah anda di Eropah dan Amerika tidak menyedari bahawa serangan tidak bertamadun anda sama dengan kempen Hitler apabila dia menyerang Eropah dan mengebom Britain,” kata pemimpin Libya itu.

Serangan udara terhadap negara yang kaya dengan minyak itu dilancarkan pada 19 Mac lalu oleh Britain, Perancis dan Amerika Syarikat untuk menguatkuasakan zon larangan terbang dan melindungi pemberontak daripada serangan tentera yang setia kepada Gaddafi.
Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat bersetuju rundingan London itu perlu membantu ‘peralihan politik di Libya.’ Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berkata sebelum mesyuarat, kerajaan Gaddafi sudah hilang semua kuasa pemerintahan. - AFP

Korban banjir di Thailand meningkat


BANGKOK: Banjir teruk yang melanda selatan Thailand mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang setakat ini.
Hampir sejuta orang terjejas akibat bencana itu, menurut kenyataan Jabatan Pencegahan Bencana.

Sejak hujan lebat enam hari lalu, enam orang terbunuh di Nakhon Si Thammarat, wilayah paling teruk terjejas dan seorang lagi di Phatthalung.

Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban berkata, usaha untuk membantu mangsa berdepan dengan kesukaran kerana cuaca buruk, termasuk angin kencang.

“Sebaik jarak penglihatan kembali normal, markas tentera wilayah selatan akan mengangkut bekalan keperluan kepada mangsa yang terkandas dan memindahkan pesakit,” katanya kepada wartawan.

Kejadian itu turut memaksa pembatalan perjalanan kereta api. Lapangan terbang di wilayah berkenaan juga terpaksa ditutup, termasuk di Samui, pulau peranginan popular. Dalam pada itu, 63 daerah di tujuh wilayah diisytiharkan sebagai zon kecemasan.

Cuaca sejuk luar musim itu juga mencetuskan masalah kepada industri pelancongan dengan 600 pengunjung gagal meninggalkan Samui ekoran pembatalan penerbangan Isnin lalu.

Lapangan terbang itu masih ditutup hingga semalam.
Banjir di seluruh Thailand hujung tahun lalu menyebabkan lebih 220 orang terbunuh dan menjejaskan kehidupan kira-kira 8.6 juta penduduk di 51 daripada 76 wilayah negara berkenaan. - AFP

Radiasi merebak ke negara Asia


MANILA: Sejumlah kecil radiasi daripada loji nuklear Jepun yang bocor sudah merebak ke beberapa negara Asia, kata pihak berkuasa, meningkatkan lagi kebimbangan jutaan penduduk yang semakin bimbang untuk makan makanan Jepun.
Kerajaan China, Korea Selatan, Filipina dan Vietnam melaporkan radiasi dikesan di wilayah negara masing-masing.

Bagaimanapun, mereka menegaskan, paras itu amat kecil dan tidak mengancam kesihatan.

“Kami meminta orang ramai tidak cemas. Jumlahnya begitu sedikit di udara,” kata jurucakap Institut Kajian Nuklear Filipina, Tina Cerbolis. Pegawai di beberapa negara lain sebelum ini turut menyuarakan perkara yang sama.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa jumlahnya tidak akan memberi kesan kepada rakyat biasa Korea,” kata Ketua Institut Keselamatan Nuklear, Yun Choul-Ho kepada wartawan di Seoul.

Namun, perkembangan itu adalah satu lagi peringatan kepada orang ramai di seluruh Asia Pasifik mengenai kesan teruk akibat kerosakan loji nuklear Fukushima selepas gempa bumi dan tsunami melanda Jepun dua minggu lalu.

Kesan radiasi pada hakikatnya sudah merebak hingga ke Amerika Syarikat dengan air hujan di Ohio dikesan tercemar Isnin lalu, kata pihak berkuasa alam sekitar.

Kerajaan dan orang ramai yang tinggal berjiran dengan Jepun sudahpun mengambil langkah berjaga-jaga apabila krisis itu meningkat.
Pihak berkuasa di rantau berkenaan mula menguji makanan import untuk mengesan radiasi sementara beberapa jenis sayur yang ditanam berhampiran Fukushima diharamkan sama sekali.

Di China, dua pengunjung dari Jepun dimasukkan ke hospital minggu lalu selepas pegawai lapangan terbang mengesan tahap radiasi yang tinggi pada mereka. Pihak berkuasa negara itu juga berkata minggu lalu, radiasi dikesan pada sebuah kapal dagang dari Jepun.

Majlis Tenaga Atom Taiwan semalam melaporkan, sejumlah kecil zarah radioaktif dikesan pada 43 penumpang dari Jepun sejak krisis itu bermula. - AFP

Tentera paling setia Gaddafi jadi sasaran


WASHINGTON: Tentera bersekutu yang menguatkuasakan zon larangan terbang terhadap Libya semalam melancarkan serangan terhadap markas unit tentera paling setia kepada Muammar Gaddafi.
Pengarah Markas Turus Bersama Tentera Amerika Syarikat, Laksamana Bill Gortney memberitahu wartawan, pasukan bersekutu itu melepaskan enam peluru berpandu Tomahawk sepanjang 24 jam lalu dan melakukan 178 penerbangan, kebanyakannya mensasarkan tentera Gaddafi. - Reuters 

Jepun akui tidak cukup pengawal keselamatan lindungi loji nuklear



TOKYO: Kerajaan Jepun mengakui tidak mempunyai pengawal keselamatan mencukupi untuk melindungi loji nuklear daripada gempa bumi dan tsunami yang melanda kemudahan berkenaan dan menyebabkan penyebaran radiasi serta terpaksa mengkaji semula tahap keselamatan.


Langkah untuk mengawal radiasi di kompleks Fukushima Dai-ichi masih belum menemui hasil memuaskan sebaliknya dihimpit masalah lain - terbaru membabitkan tiga pekerja yang basah kuyup terkena air dipercayai tercemar.
Pegawai keselamatan berkata, tiga pekerja itu dalam keadaan baik dan tidak terdapat tahap radiasi yang tinggi tetapi insiden itu mencetuskan kritikan terhadap syarikat pemilik loji berkenaan serta tahap persediaan negara itu untuk menghadapi krisis nuklear.
"Tahap persediaan kita tidak mencukupi," kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano kepada wartawan semalam.


"Apabila krisis ini berakhir, kita mesti mengkaji insiden itu secara teliti dan membuat kajian menyeluruh terhadap tahap keselamatan," katanya. - AP 

Tripoli dibedil lagi untuk malam ke-11



TRIPOLI: Letupan kuat kedengaran di ibu negara Libya, Tripoli untuk malam ke-11 berturut-turut ketika kuasa dunia mula berdebat sama ada menyalurkan senjata api kepada kumpulan pemberontak bagi menjatuhkan Presiden Muammar Gaddafi.


Ketika Perancis bersiap untuk mengadakan rundingan bagi menyalurkan bantuan ketenteraan kepada pejuang pemberontak Libya, Menteri Luar, Alain Juppe berkata beliau kini berada di satu persidangan di London bagi menyiapkan pelan masa depan bagi Gaddafi di negara rantau Afrika Utara itu.
Tentera pemberontak yang kini menguasai timur Benghazi, kawasan pertama berjaya ditawan mereka sejak enam minggu lalu berkata, wakil diplomat Perancis dan Amerika Syarikat (AS) kini dalam perjalanan untuk menemui mereka di bandar raya itu. Lewat malam tadi, dua letupan kuat menggegarkan Tripoli dan kawasan itu terletak berhampiran kediaman Gaddafi, berek pengawal dan markas tentera manakala kawasan pinggir bandar Tajura juga diserang, lapor koresponden AFP.
Letupan pertama berlaku kira-kira jam 1630 GMT, diikuti letupan kedua tiga minit kemudian di Daerah Bab Al-Azizya.


Tujuh letupan juga dilaporkan berlaku di Tajura, kawasan yang menempatkan kem tentera dan serangan sepanjang malam itu mensasarkan kawasan tentera udara itu. - AFP
-bharian

Air laut ada iodin radioaktif lebih 3,335 kali daripada biasa



TOKYO: Air laut di luar loji nuklear yang meletup di timur laut Jepun didapati mengandungi iodin radioaktif 3,335 kali daripada biasa - kadar tertinggi dan petanda lebih banyak air tercemar dalam perjalanan ke dalam laut, kata pegawai, hari ini.


Jumlah iodin-131 didapati di luar pesisir kira-kira 273 meteer selatan tepi pantai loji nuklear Fukushima Dai-ichi tidak mengancam kesihatan manusia tetapi wujud "kebimbangan", kata Pegawai Nuklear dan Agensi Keselamatan Industri, Hidehiko Nishiyama.
Beliau berkata, tiada kegiatan memancing dibenarkan di kawasan itu.
"Kita akan meletakkan amaran dan memasti tahap iodin itu tidak meningkat," katanya. - AP

Ibu mangsa rogol di Libya dijanji wang jika anak tutup mulut




DAKWA DIROGOL: Muka Cik Eman al-Obaidi kelihatan lebam semasa beliau cuba bertemu wartawan asing di sebuah hotel di Tripoli, Sabtu lalu. -- Foto REUTERS


LONDON: Ibu wanita Libya yang mendakwa beliau telah dirogol oleh anggota militia propemerintah berkata beliau telah digesa meyakinkan anaknya supaya menarik balik dakwaan itu.
Sebagai ganjaran, beliau akan dibebaskan, menerima habuan wang atau rumah baru.Cik Eman al-Obaidi telah ke sebuah hotel yang sesak dengan wartawan asing di Tripoli Sabtu lalu mendakwa telah dirogol oleh 15 anggota militia yang taat kepada pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi.Beliau mendakwa telah dikurung selama dua hari.Pegawai keselamatan dan kakitangan hotel memukul wartawan yang cuba menemu ramah Cik Obaidi.Wanita itu kemudian dibawa keluar dan dimasukkan ke sebuah kereta yang meninggalkan hotel itu.Ahad lalu, pemerintah berkata Cik Obaidi telah dibebaskan dan kini bersama keluarganya.Ibunya, Cik Aisha Ahmad, memberitahu wartawan, beliau telah dihubungi oleh pihak berkuasa mengenai anak perempuannya dan apa syarat beliau dibebaskan.Tidak diketahui bila Cik Aisha diwawancara.'Malam semalam pada 3 pagi, mereka menghubungi saya dari pejabat Gaddafi dan meminta saya menyakinkan anak saya agar mengubah ceritanya, dan 'kami akan bebaskan beliau dengan segera dan anda boleh ambil apa saja yang anda dan anak-anak anda mahu,' kata Cik Aisha, yang ditukil oleh saluran televisyen Britain, Sky News, semalam.'Wang, rumah baru. Cuma minta anak anda ubah apa yang beliau telah katakan. Saya memberitahu anak saya agar berdiam saja,' kata Cik Aisha.'Beliau ingin memaklumkan dunia. Beliau ingin memberitahu mereka apa yang berlaku di Misrata, di Benghazi dan di wilayah timur,' tambah beliau. -- Reuters.

Bahan radioaktif iodin dikesan di Seoul

SEOUL: Bahan radioaktif iodin telah dikesan di Seoul berikutan krisis nuklear di Jepun, kata pihak berkuasa Korea Selatan, semalam, sambil menambah bahawa negara itu telah memulakan pemeriksaan ke atas ikan yang diperolehi dari kawasan perairannya.
Institut Keselamatan Nuklear Korea berkata ia telah mengesan unsur iodin-131 di Seoul dan tujuh tempat lain di seluruh Korea Selatan.Dalam satu kenyataannya, institut itu bagaimanapun berkata bahawa jumlahnya agak kecil dan tidak mencetuskan risiko segera kepada kesihatan awam atau sekitaran.Loji kuasa nuklear Fukushima Dai-ichi di Jepun menghadapi kerosakan teruk berikutan n gempa bumi dan tsunami di bahagian timur laut negara tersebut pada 11 Mac lalu dan bahan radioaktif telah bocor ke udara dan laut berdekatan.Korea Selatan sejak Jumaat lalu telah memeriksa ikan yang ditangkap di kawasan perairannya bagi mengesan kemungkinan berlakunya pencemaran radiasi, kata para pegawai pertanian negara itu semalam.Ikan termasuk ikan tenggiri dan ikan timah selayur (hairtail) telah diperiksa dan diuji bagi mengesan kemungkinan adanya pencemaran sesium, iodin dan bahan radioaktif lain, kata mereka.'Tidak ada kesan radioaktif sejauh ini sama ada pada ikan kami atau yang diimport dari Jepun,' kata seorang pegawai kementerian kepada agensi berita AFP.Pemerintah Korea Selatan ketika ini memeriksa ikan itu sekali setiap minggu tetapi akan meningkatkan usaha itu jika krisis nuklear di Jepun semakin teruk, kata beliau.Kebimbangan terhadap krisis di loji nuklear Fukushima itu juga telah mendorong dua peruncit utama Korea Selatan, negara paling rapat dengan Jepun dari segi geografi, menggantung penjualan ikan dari Jepun.Sementara itu, pihak berkuasa China berkata jumlah pencemaran radiasi atmosfera dari loji kuasa nuklear Jepun itu telah dikesan di beberapa bahagian lagi di China.Pihak berkuasa China telah melaporkan adanya bahan radioaktif iodin-131 pada paras rendah di udara wilayah Heilongjiang di timur laut negara itu hujung minggu lalu.Dalam satu notis yang disiarkan dalam laman webnya semalam, Kementerian Perlindungan Sekitaran China berkata kesan bahan radioaktif itu juga didapati di kawasan tenggara negara itu itu di Jiangsu, Shanghai, Zhejiang, Anhui, Guangdong and Guangxi. -- AFP, AP.

Plutonium beracun cetus kebimbangan




KESAKITAN: Mami Matsuya, tiga tahun, menangis apabila dia menjalani ujian memastikan sama ada dia terdedah kepada radiasi di sebuah pusat perlindungan di bandar Kuriayama, semalam. -- Foto REUTERS


TOKYO: Plutonium yang amat beracun kini didapati meresap keluar daripada loji tenaga nuklear yang rosak ke tanah di luar kawasan itu.
Pegawai keselamatan berkata sejumlah kecil plutonium yang ditemui di beberapa kawasan di luar kompleks itu tidak memberi ancaman kepada manusia.Namun, ia membuktikan kebimbangan berlakunya kebocoran air radioaktif yang merbahaya daripada bahan api nuklear - satu perkembangan yang membimbangkan dalam usaha menstabilkan loji itu.'Situasi sekarang amat buruk. Kami melakukan yang terdaya bagi mengawal kerosakan itu,' kata Ketua Setiausaha Kabinet, Encik Yukio Edano, kepada pemberita.Tsunami yang dihasilkan gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter pada 11 Mac lalu merosakkan sistem tenaga bagi menyejukkan bahan api nuklear di kompleks Fukushima Dai-ichi, kira-kira 220 kilometer ke timur laut Tokyo.Sejak bencana itu, tiga daripada enam reaktor loji itu dipercayai sudah separa lebur dan petugas kecemasan bertungkus lumus cuba memperbaiki kerosakan ketika tahap radiasi meningkat sehingga menyebabkan mereka beberapa kali meninggalkan kawasan kompleks itu.Radiasi yang menyerap keluar sudah mencemari beberapa jenis makanan termasuk susu dan air paip sehingga ke Tokyo.Sementara itu, Perancis berkata ia akan menghantar dua pakar nuklear ke Jepun bagi membantu menangani krisis itu.Menteri Ekologi Perancis, Cik Nathalie Kosciusko-Morizet, berkata para pakar itu akan ke Jepun 'untuk berkongsi pengalaman kami mengenai cara mengepam dan merawat air beradioaktif.'Presiden Perancis, Encik Nicolas Sarzoky, juga dijadualkan mengadakan lawatan ke Jepun esok dan bertemu dengan Perdana Menteri Naoto Kan.Perancis banyak bergantung kepada tenaga nuklear dan Encik Sarkozy merupakan pemimpin asing pertama yang mengadakan lawatan ke Jepun sejak gempa bumi berlaku.Selain mendapatkan nasihat daripada Perancis, Jepun juga dilaporkan telah mendapatkan pandangan pakar dari Amerika Syarikat.Dalam pada itu, lebih 70,000 penduduk telah dipindahkan dalam lingkungan 20 kilometer dari loji nuklear Fukushima.Namun, Ahli Parlimen pembangkang, Encik Yosuke Isozaki membidas Encik Kan kerana tidak mengarahkan penduduk yang tinggal dalam lingkungan antara 20 dengan 30 kilometer dari loji itu agar berpindah juga.'Adakah perkara yang lebih tidak bertanggungjawab berbanding dengan ini?' tanya Encik Isozaki.Sekitar 130,000 penduduk yang menetap dalam lingkungan itu digalakkan tetapi tidak diarahkan berpindah. -- Agensi.

700 anggota SAF dan tentera India selesai jalani latihan berperisai dua hala






LATIHAN BERSAMA: Kenderaan infantri gempur (IFV) Bionix 1 milik SAF melepaskan tembakan dalam satu latihan yang dijalankan bersama Tentera India di sebuah padang tembak di tengah India. -- Foto MINDEF


ANGKATAN Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera India telah mengadakan latihan berperisai dua hala ketujuh berakhir semalam.Diberi nama kod Latihan Bold Kurukshetra, latihan itu bermula 1 Mac lalu, kata satu kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) semalam.Latihan tersebut diadakan di Padang Tembak Babina di daerah tengah India.Latihan Bold Kurukshetra melibatkan lima divisyen tentera Singapura - Markas Briged Berperisai Singapura ke-4, Batalion ke-42, Rejimen Berperisai Singapura, Batalion ke-38, dan Jurutera Bertempur Singapura.Pasukan India pula diwakili Briged Berperisai Tentera India ke-34, Rejimen Infantri Berkenderaan ke-12 dan Rejimen Berperisai ke-15.Kesemuanya, 700 askar terlibat dalam latihan tersebut.Mindef berkata sewaktu latihan, kededua tentera menjalankan perancangan dan latihan bersama dan melepaskan tembakan bersepadu melibatkan kenderaan infantri gempur BIONIX 1 dan pembawa trek meriam milik SAF.Kenderaan infantri gempur BMP-2 dan tangki perang utama T-90 milik Tentera India turut mengambil bahagian.Ketua Pegawai Berperisai, Kolonel Benedict Lim, dan Komander Kor 21 Tentera India, Leftenan-Jeneral Sanjiv Langer, menyaksikan latihan tembakan itu, selain mengadakan pertemuan dengan askar- askar SAF serta Tentera India.Latihan Bold Kurukshetra diadakan setiap tahun dan menggariskan hubungan pertahanan yang kukuh antara Singapura dan India.Selain latihan bersama, SAF dan Tentera India juga kerap berinteraksi menerusi lawatan, kursus, seminar dan pertukaran profesional.

Kabinet Syria dijangka dibubar



Beribu-ribu penduduk Syria mengibarkan bendera negara itu semasa mengadakan tunjuk perasaan di Damsyik sebagai tanda sokongan kepada Presiden Bashar al-Assad, semalam. - AFP


DAMSYIK 29 Mac - Kerajaan Syria dijangka dibubarkan hari ini dan Kabinet akan dibentuk dalam tempoh 24 jam, kata seorang pegawai kanan di sini kepada AFP.
Pegawai itu yang enggan namanya disiarkan berkata, kerajaan akan mengemukakan peletakan jawatannya hari ini dan Kabinet baru bakal dibentuk dalam tempoh 24 jam.
Perdana Menteri Mohammed Naji Otri membentuk kerajaannya pada 2003 dan melakukan rombakan terakhir pada April 2009.
Sementara itu, beribu-ribu rakyat Syria berhimpun di ibu negara ini dan sekurang-kurangnya empat bandar lain hari ini sambil membawa gambar Presiden Bashar Assad dan mengibarkan bendera Syria bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan.
Penyokong kerajaan hari ini berhimpun di Damsyik, wilayah Aleppo dan Hasakeh di utara Syria dan bandar Hama dan Homs di bahagian tengah negara.
Sesi persekolahan dibatalkan hari ini sementara golongan pekerja diberikan pelepasan selama dua jam bagi menghadiri perhimpunan tersebut.
"Rakyat mahukan Assad. Kami menolak perpecahan kaum dan perselisihan sivil," laung mereka sambil membawa sepanduk prokerajaan.
Assad yang menguasai Syria selama empat dekad dan mempunyai rekod menumpaskan pihak yang menentangnya dengan kejam, cuba untuk meredakan protes secara kompromi.
Beliau dijangka menyampaikan ucapan kepada negara dalam tempoh 24 jam bagi mengumumkan penarikan balik pemerintahan darurat selama hampir 50 tahun dan membatalkan sekatan ketat ke atas kebebasan sivil serta politik. - AFP

Rumah penuh wang

SPRM temui ratusan ribu ringgit berselerakan di rumah pegawai kastam
PUTRAJAYA: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui ratusan ribu ringgit wang tunai berselerakan ketika menyerbu rumah seorang pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bergelar Datuk, di Pahang kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit.
Pegawai kastam berkenaan dan isterinya, juga seorang pegawai kastam disyaki terbabit dalam kegiatan yang turut membabitkan sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis KDRM di seluruh negara.
Sindiket terancang itu dipercayai terbabit dalam pengisytiharan barangan import di bawah nilai sebenar cukai kastam, mengelak cukai pendapatan, pengubahan wang haram dan penghantaran wang secara tidak sah ke luar negara menggunakan penggurup wang serta perlakuan jenayah rasuah.


Jenayah itu dilumpuhkan oleh pasukan bertindak khas dianggotai KDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua agensi lain, diketuai oleh SPRM dalam operasi serentak secara besar-besaran pada jam 10 pagi kelmarin di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.


Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, berkata berikutan itu, pihak berkuasa sudah membekukan lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan mengikut peruntukan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.


"Kami menemui ratusan ribu ringgit berselerakan di rumah yang diduduki pasangan pegawai kanan Kastam berkenaan dan mereka kemudian ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pembersihan wang haram membabitkan lebih 100 premis yang diserbu kelmarin,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Beliau berkata, selain rumah pasangan itu, pasukan bertindak turut membuat serbuan terhadap 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis kastam di seluruh negara.


Katanya, siasatan membabitkan kesalahan Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 selain Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.


Mustafar berkata, operasi itu khusus bagi mencegah kegiatan haram yang menyebabkan kerugian hasil cukai kerajaan berbilion ringgit kerana kegagalan mengutip cukai dan duti kastam, pendapatan tidak dilapor yang dihantar keluar negara tanpa kelulusan, pengisytiharan tidak betul barangan import dan penyeludupan wang keluar sempadan negara.


"Apabila sesuatu barangan diimport dan harganya diisytihar lebih rendah daripada nilai sebenar, cukai yang ditaksir juga rendah. Justeru, wujud perbezaan dari segi nilai import dan harga sebenar yang menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit kutipan cukai.


"Operasi ini adalah hasil siasatan kita selama sebulan bagi mengenal pasti rangkaian keseluruhan kegiatan haram yang kita umpamakan sebagai sindiket yang mempunyai hubung kait. Kita akan meneruskan siasatan dengan mengambil keterangan daripada pasangan pegawai kastam itu,” katanya.


Mustafar mengesahkan serbuan itu ada kaitan dengan serbuan SPRM terhadap pejabat seorang ahli perniagaan yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Selangor, Ang Leng Kiat, kelmarin tetapi menegaskan premis berkenaan hanya secara kebetulan dimiliki sebuah parti politik.


Sementara itu, Mahkamah Majistret Kuantan semalam mengeluarkan arahan menahan reman pasangan berusia 50-an itu selama empat hari bermula semalam ketika dibawa ke mahkamah selepas ditahan di pejabat SPRM di sini.


Pegawai Pendakwa SPRM, Raja Mohd Shasrizam Raja Nik Mahmud, berkata mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara tidak lebih 20 tahun.


Beliau berkata, pasangan berkenaan datang bersama peguam, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.


“Pasangan berkenaan ditemui pegawai SPRM di rumahnya di Temerloh kelmarin bagi direkodkan keterangan dan ditahan secara sah di pejabat SPRM, jam 5 pagi semalam sebelum dibawa ke mahkamah untuk perintah reman," katanya. 

Sidang London bincang pengganti Gaddafi

LONDON: Lebih 40 wakil negara dan pertubuhan antarabangsa memulakan sidang semalam untuk menetap proses mencari pemerintah baru di Libya menggantikan Muammar Gaddafi yang mengutus surat kepada persidangan itu dengan menyifatkan tentera bersekutu melakukan pembunuhan beramai-ramai di negaranya menerusi kempen serangan udara.


Kempen serangan udara tentera bersekutu lebih seminggu lalu membantu penentang Gaddafi menawan bandar Ajdabiyah dan mara ke kampung halaman pemimpin itu di Sirte.
Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, yang mengetuai usaha campur tangan di Libya menggesa Gaddafi berundur dan meminta penyokongnya berhenti memberi sokongan sebelum ‘semuanya terlambat.’
“Kami meminta semua penduduk Libya yang percaya bahawa Gaddafi membawa Libya ke arah kehancuran supaya mula bertindak melakukan peralihan kuasa,” menurut kenyataan bersama Cameron dan Sarkozy.


Dalam suratnya, Gaddafi pula menyifatkan kempen udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) umpama serangan Nazi Jerman pimpinan Adolf Hitler pada Perang Dunia Kedua.


“Hentikan serangan tidak berperikemanusiaan kamu terhadap Libya. Tinggalkan Libya kepada penduduknya. Kamu lakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk sebuah negara membangun,” katanya.


Di sebalik retorik itu, askar Gaddafi meneruskan usaha menyekat pemberontak daripada mara ke Sirte dengan melancarkan serangan roket Grad dan menawan semula kota Nawfaliyah, 120 kilometer ke timur Sirte.
Tanpa bantuan serangan udara, pemberontak kelihatan tidak mampu bertahan atau terus mara. Pertempuran di sekitar Sirte menjadi petanda sama ada penentang Gaddafi masih mampu atau tidak meneruskan kempen.


Laporan pemberontak yang berundur memberi petanda awal selepas mereka melaporkan ada penduduk di luar Sirte menyertai askar Gaddafi melawan penentang.


Britain, bagaimanapun, mahu sidang di London memperkuat komitmen mengenai pelaksanaan dua resolusi PBB selepas Russia menuduh serangan udara terhadap Libya tidak diberi mandat badan dunia.


Sidang itu bermula 9 malam waktu Kuala Lumpur dan berakhir dengan sidang akhbar pada 12.30 malam tadi, juga mungkin membincangkan sekatan baru bagi mengasingkan lagi Gaddafi, kata diplomat. – Agensi 

Radiasi ada dalam tanah di Fukushima


Foto
PEKERJA TEPCO berusaha menyambung kuasa elektrik di reaktor Fukushima ketika ancaman radioaktif meningkat.

Foto
Plutonium di 5 tempat sekitar loji nuklear

TOKYO: Radiasi dari reaktor nuklear Jepun yang terjejas kini mencemarkan tanah dan laut sekitar kompleks Fukushima Daiichi ketika pihak berkuasa bimbang beberapa reaktor sudah sebahagiannya lebur.
Pegawai syarikat kuasa terbabit mengakui bahawa plutonium ditemui dalam tanah di lima tempat pada loji terbabit walaupun mereka menekankan bahawa kadar bahan radioaktif adalah kecil dan tidak menjadi satu ancaman kepada umum, lapor Associated Press. Malah radiasi juga dikesan lebih satu kilometer ke utara loji terbabit.
Sementara itu, Filipina mengesan sedikit radiasi dipercayai dari reaktor Jepun, China pula terus mengesan kesan radiasi manakala Korea Utara memantau keadaan.

Kadar radiasi lebih tinggi dari biasa juga dikesan di Cyrstal River di Florida walaupun ia tidak menjadi satu ancaman kepada kesihatan. Florida berada kira-kira 11,000 kilometer dari loji Jepun.

Di dalam loji terbabit, rakaman video menunjukkan asap dari reaktor dua dan tiga, satu petanda adanya kesukaran di sana. Semua reaktor setakat ini berada pada tekanan walaupun berlakunya retakan pada komponen konkrit dan keluli.

Air radioaktif juga ditemui di semua empat reaktor di loji terbabit di mana pekerja terus berusaha mengepam keluar.
Pegawai berkata, air tercemar terbabit perlu dikeluarkan sebelum pekerja boleh memasang semula sistem penyejukan loji terbabit. Pekerja di loji tidur di koridor dan bilik mesyuarat, dengan melindungi diri daripada radiasi dengan memakai pakaian buatan plumbum.

“Ada satu retakan di dalamnya di mana radiasi terlepas keluar,” kata ahli fizik Amerika Syarikat, Michio Kaku. “Ini bermaksud jika terasnya mulai lebur, kita akan mendapati letupan wap, satu letupan gas hydrogen seperti Chernobyl.”

Sekumpulan jurutera berusaha untuk mengawal enam reaktor kompleks Fukushima sejak ia meletup akibat gempa bumi 11 Mac lalu dan tsunami yang menyebabkan lebih 27,000 penduduk maut atau hilang di seluruh timur laut Jepun.

Gempa bumi sekuat 6.5 melanda wilayah itu sekali lagi Isnin lalu. dan pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang tsunami setinggi 50 sentimeter. – Agensi 

'Spiderman' takluki Burj Khalifa



PEMANJAT Perancis, Alain Robert (dalam bulatan), memanjat bangunan Burj Khalifa setinggi 828 meter di Dubai semalam.


DUBAI - Pemanjat nekad dari Perancis, Alain Robert berdepan cabaran terhebatnya apabila memanjat binaan setinggi 828 meter yang merupakan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, semalam.
Halangan angin kencang menyebabkan Robert, 48, tiba di puncak Burj Khalifa lewat beberapa jam daripada jadual asalnya.
Mendapat jolokan Spiderman kerana kehebatannya memanjat, dia mengambil masa sekitar enam jam untuk memanjat bangunan setinggi lebih 160 tingkat itu dengan menggunakan tali dan abah-abah seperti yang ditetapkan oleh penganjur.
"Sebenarnya, saya berdepan tekanan yang besar kerana mereka memasang semuanya untuk saya di sini. Terdapat sebuah skrin gergasi setinggi 50 meter dan sepanjang 30 meter. Saya sedar saya menjadi tumpuan orang ramai dan faktor tersebut memberi tekanan kepada saya," kata Robert sebelum mula memanjat.
Dia memanjat bangunan seawal usia 12 tahun apabila terpaksa memanjat untuk masuk ke dalam apartmen setinggi lapan tingkat milik keluarganya selepas tertinggal kunci rumah.
Sejak itu, Robert telah memanjat lebih 80 buah bangunan pencakar langit di seluruh dunia termasuk Menara Sears di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan Taipei 101 di Taiwan.- Reuters

Saintis rancang gali pusat Bumi



GAMBARAJAH lapisan bumi.


LONDON - Sekumpulan saintis Britain merancang untuk menggerudi lapisan batu-batan untuk sampai ke bahagian mantel bumi buat kali pertama, lapor sebuah akhbar semalam.
Ekspedisi itu bertujuan membawa naik sampel mantel Bumi untuk kajian. Ia melibatkan operasi menggerudi melepasi lapisan batu pejal sejauh 8 kilometer di dasar laut dengan suhu mencecah 298° Celsius.
Projek itu bakal dilaksanakan pada tahun 2018 dan diketuai oleh pakar Pusat Oseanografi Southampton, Dr. Damon Teagle serta Dr. Benoit Ildefonse dari Universiti Montpellier, England.
Terdapat beberapa cubaan untuk menggali mantel Bumi pada tahun 1960-an tetapi gagal kerana masalah organisasi dan kos. - Agensi
-kosmo

Penulis nafi tuduh Gandhi biseksual



BUKU biografi "Great Soul:Mahatma Gandhi and His Struggle With India" yang ditulis olehJoseph Lelyveld.


NEW DELHI, India - Seorang penulis Amerika Syarikat (AS) semalam menafikan sekeras-kerasnya bahawa buku terbarunya tentang Mahatma Gandhi menuduh bapa kemerdekaan India itu seorang biseksual dan berfahaman rasis yang meninggalkan isterinya demi seorang ahli bina badan.
Akhbar-akhbar di India berang dengan ulasan di AS dan Britain mengenai buku biografi Gandhi tulisan Joseph Lelyveld itu. Ia menceritakan tentang hubungan pemimpin itu dengan seorang arkitek dan ahli bina badan amatur berdarah campuran Jerman-Yahudi, Hermann Kallenbach.
Gandhi menetap di Kallenbach, Johannesburg selama dua tahun dari tahun 1907 sebelum meninggalkan Afrika Selatan untuk kembali ke India pada 1914.
"Anda telah memiliki seluruh tubuh saya," Gandhi dipetik sebagai berkata dalam sepucuk surat kepada Kallenbach yang dipaparkan dalam buku tersebut.
Akhbar Britain, Daily Mail menyiarkan tajuk utama "Gandhi meninggalkan isterinya untuk hidup bersama seorang kekasih lelaki, dakwa buku baru", manakala akhbar Daily Telegraph menyatakan, beliau berfahaman perkauman terhadap penduduk kulit hitam Afrika Selatan.
Namun, Lelyveld, seorang bekas pengarang eksekutif akhbar New York Times menegaskan: "Buku berjudul, Great Soul: Mahatma Gandhi And His Struggle With India telah disalah tafsir oleh media cetak.
"Saya tidak menuduh Gandhi seorang rasis atau biseksual. Perkataan biseksual langsung tidak digunakan dalam buku ini," katanya.
"Perkataan rasis hanya digunakan sekali bagi menggambarkan komen-komen Gandhi ketika beliau baru menetap di Afrika Selatan. Ia langsung tidak merumuskan bahawa Gandhi seorang yang rasis," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, saudara-mara Gandhi di India, di mana buku tersebut belum lagi dipasarkan, mengecam dakwaan terhadap kehidupan cinta Gandhi oleh Lelyveld.
"Penulis-penulis Barat begitu taksub tentang seksualiti Gandhi. Cerita ini cuma dapat membantu menjual buku mereka," kata cicit pemimpin itu, Tushar Gandhi. Buku tersebut mula dipasarkan di AS semalam.
Gandhi meninggal dunia pada 30 Januari 1948 akibat ditembak oleh seorang ekstremis Hindu. - AFP

Gaddafi diberi pilihan tinggalkan Libya




SEORANG pemberontak dan beberapa kanak-kanak bergambar di atas pelancar roket tentera Libya semalam yang ditawan di bandar Adabiya.


LONDON - Kuasa-kuasa antarabangsa bersidang di ibu negara Britain, di sini semalam bagi merencanakan masa depan Libya tanpa kepimpinan Muammar Gaddafi.
Lebih 35 buah negara, termasuk tujuh negara Arab, bersidang selepas Gaddafi, 68, menggesa Barat supaya menamatkan serangan ke atas negara Afrika Utara itu.
Serangan udara Barat selama 10 hari ke atas tentera Gaddafi mengubah arus konflik di Libya dengan pihak pemberontak kini mara ke barat negara itu tetapi dihalang rejim pro-Gaddafi dekat bandar kelahirannya, Sirte semalam.
Dalam persidangan tersebut, Britain dan Sepanyol bercadang menawarkan laluan selamat untuk Gaddafi meninggalkan Libya dengan pelan untuk beliau hidup dalam buangan di luar negara turut dibincangkan.
"Bukan kami yang menentukan ke mana beliau akan pergi. Saya tidak akan memilih tempat persaraan untuk Gaddafi," kata Setiausaha Luar Britain, William Hague yang mempengerusikan persidangan itu.
Menteri Luar Sepanyol, Trinidad Jimenez berkata, pilihan hidup dalam buangan di luar negara untuk Gaddafi masih sah kerana Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) belum mendakwanya atas dakwaan jenayah kemanusiaan.
Terdahulu, dalam satu sidang video, pemimpin Britain, Perancis, Jerman dan AS bersetuju bahawa sidang di London perlu membincangkan isu peralihan kuasa politik di Libya.
Bagi membincangkan isu tersebut, Britain mengundang kumpulan utama yang mewakili pihak penentang Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC) ke London. Namun, wakil mereka tidak mengambil bahagian dalam persidangan tersebut.
Seorang pegawai kanan pentadbiran AS memberitahu, sebelum sidang itu berlangsung, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mengadakan pertemuan dengan pegawai TNC yang mengendalikan hal-ehwal luar Libya, Mahmud Jibril.
Selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Jibril semalam, Hague menyifatkan TNC sebagai wakil politik yang penting dan sah bagi Libya.
Sementara itu, satu perwakilan AS akan dihantar ke bandar Benghazi yang menjadi kubu kuat pihak penentang bagi mewujudkan saluran sistematik dengan kumpulan-kumpulan yang mahu menyingkirkan Gaddafi.
Setakat ini, Perancis merupakan satu-satunya negara Barat yang mengiktiraf secara rasmi pihak penentang di Libya dengan Qatar mengambil langkah serupa kelmarin.- Reuters.

Radiasi dari Fukushima dikesan di Filipina


Seorang saintis menggunakan alat pengesan radiasi yang dipanggil SAM 935 untuk memantau tahap radiasi di ibu pejabat Institut Kajian Nuklear Filipina (PNRI) di Manila.

MANILA - Sejumlah kecil bahan radiasi bawaan udara dari loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi, Jepun telah dikesan di Filipina semalam, tetapi Institut Kajian Nuklear Filipina (PNRI) berkata, ia tidak akan membahayakan orang awam.
Agensi nuklear itu memberitahu, pihaknya menemui isotop radioaktif dari loji janakuasa nuklear Fukushima dalam kuantiti yang sangat kecil. "Tahap radiasi bahan tersebut sangat rendah dan ia tidak akan memberi mudarat kepada kesihatan," jelasnya.
Minggu lalu, PNRI juga telah menguji beberapa sampel makanan proses yang diimport dari Jepun sebelum bencana berlaku bagi menentukan asas tahap radiasi dalam produk makanan keluaran Jepun.
Setiausaha Kesihatan Filipina, Enrique Ona menyatakan import makanan dari Jepun tidak perlu diharamkan. Agensi dari Jabatan Pertanian Filipina bagaimanapun mencadangkan supaya penggantungan permit import produk-produk susu dari empat kawasan berhampiran loji nuklear Fukushima dilaksanakan.
Sementara itu, pihak berkuasa China menyatakan ia dapat mengesan kehadiran bahan radiasi di atmosfera di beberapa lokasi di China. China melaporkan bahan radioaktif, iodin-131 dikesan dalam udara di timur laut wilayah Heilongjiang sepanjang hujung minggu lalu.
Dalam amaran yang boleh dibaca dalam laman webnya, Kementerian Perlindungan Alam Sekitar China mengumumkan beberapa lagi kawasan di bahagian tenggara China seperti di Jiangsu, Shanghai, Zhejiang, Anhui, Guangdong dan Guangxi turut dikesan mempunyai bahan radiasi. - Reuters.
-kosmo