EL-ARISH, Mesir 10 Ogos - Mesir semalam meningkatkan kekuatan tenteranya di semenanjung Sinai dalam kempen untuk membendung serangan kumpulan bersenjata, ketika satu pos pemeriksaan di wilayah itu diserang kumpulan tersebut, kelmarin.
Trak-trak tentera membawa berpuluh-puluh askar bersenjatakan mesingan melalui bandar El-Arish menuju ke timur di mana anggota kumpulan bersenjata daripada puak Badwi berada di kawasan perkampungan berdekatan sempadan dengan Gaza.
Saluran televisyen rasmi melaporkan helikopter tentera dan askar membunuh 20 anggota bersenjata, kelmarin dalam satu operasi pertama tentera di Sinai sejak beberapa dekad lalu, sebagai tindakan balas terhadap serangan hendap kumpulan bersenjata yang mengakibatkan 16 askar maut.
Presiden Mesir, Mohamed Mursi turut memecat ketua perisikan dan dua jeneral tentera kerana gagal bertindak bagi menghalang serangan di pos pemeriksaan di sempadan negara itu.
Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab menyerang pos pemeriksaan tersebut dan pegawai Mesir pada awalnya menyatakan penyerang tersebut terdiri daripada rakyat Palestin.
Bagaimanapun, ketua kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh menafikan dakwaan tersebut.
Akhbar Al-Ahram hari ini melaporkan pos pemeriksaan di El-Arish, Sinai Utara diserang penyerang malam tadi.
Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin puak Badwi berikrar membantu kerajaan bagi membanteras serangan kumpulan bersenjata tersebut, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Ahmed Gamal al-Din, malam tadi.
Pemimpin puak tersebut bersetuju membantu tentera dan polis mengembalikan keselamatan di Sinai dan menutup terowong yang digunakan untuk kegiatan penyeludupan ke Gaza. - AFP/dpa