LONDON 16 Dis. - Gempa bumi kuat yang meragut nyawa berpuluh-puluh ribu orang, didapati berlaku ekoran aktiviti manusia seperti perlombongan, pembinaan sumber air selain penggalian minyak dan gas, menurut laporan saintis.
Satu kajian global yang dilakukan oleh ahli geofizik, Christian Klose mengenal pasti 92 gempa bumi kuat mungkin disebabkan oleh manusia.
Klose berkata, kerak Bumi dipenuhi dengan kecacatan geologi ekoran tekanan yang wujud di permukaan Bumi, keadaan sama seperti satu lingkaran spring.
"Tindakan manusia menimbuni permukaan Bumi dengan air atau bahan mineral dalam jumlah besar atau menggali sumber bawah tanah, mewujudkan perubahan tekanan di kawasan itu yang cukup untuk menghasilkan tekanan geologi, menyebabkan berlakunya gempa bumi.
"Data secara jelas menunjukkan, perubahan besar dilakukan manusia mempercepatkan jangka waktu kitaran seismik dan mencetuskan atau menyebabkan gempa bumi baharu,'' katanya.
Menurut kajian tersebut yang disiarkan di Journal of Seismology, gempa bumi sekuat 7.9 pada skala Richter di Sichuan, China pada 2008 dan menyebabkan 80,000 orang maut, dicetuskan oleh pembinaan takungan air Zipingu.
Majalah The Time melaporkan, gempa bumi sekuat 4.3 pada skala Richter tenggara England pada 2007, dicetuskan oleh berjuta-juta kepingan genting yang disusun untuk melindungi pelabuhan Folkestone.
Gempa bumi di Lorca, Sepanyol pada 2011 pula dicetuskan selepas air disedut keluar dari takungan bawah tanah, manakala gempa bumi sekuat 5.6 pada skala Richter di Newcastle, Australia pada 1989 yang menyaksikan 13 orang maut dan beratus cedera, berlaku ekoran penggalian arang batu di lombong berdekatan. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131217/lu_07/Gempa-bumi-kuat-berlaku-akibat-kerakusan-manusia#ixzz2nj4lHuW6
© Utusan Melayu (M) Bhd