BERKUMPUL DI MASJID: Penduduk Aceh berkumpul di kawasan masjid terbesar wilayah itu, Masjid Baiturrahman, yang terselamat daripada kejadian tsunami pada Disember 2004, yang mengorbankan 170,000 penduduk Aceh. -- Foto-foto REUTERS |
Selain negara di Lautan Hindi, beberapa negara Afrika seperti Kenya dan Tanzania turut keluarkan amaran tsunami
BANDA ACEH: Gempa sekuat 8.6 pada skala Richter dan gempa-gempa susulan melanda Indonesia petang semalam menyebabkan penduduk sejauh di India berlari keluar dari bangunan dan bergegas ke kawasan tanah tinggi kerana bimbang bencana tsunami seperti yang berlaku pada 2004 berulang kembali.Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, berkata tiada laporan segera mengenai korban jiwa atau kerosakan di Aceh, wilayah terdekat dengan gempa bumi pertama.Namun, gempa susulan sekuat 8.2 pada skala Richter melanda sejurus selepas Dr Yudhoyono mengadakan sidang medianya bersama Perdana Menteri Britain yang sedang melawat negara itu, Encik David Cameron.Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat menyatakan gempa kuat kedua itu berpusat kira-kira 16 kilometer di dasar laut dan terletak kira-kira 615 kilometer dari Banda Aceh.Beberapa penduduk Aceh, yang masih teringatkan bencana tsunami yang melanda wilayah itu pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan 170,000 penduduknya, kelihatan menangis sambil berlari ke tempat lebih selamat.Gempa pertama melanda pada 2.38 petang (waktu tempatan) dan gempa kedua menyusul sekitar dua jam kemudian.Dua lagi gempa susulan yang agak kuat melanda selepas itu.Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami baru ke seluruh Lautan Hindi selepas gempa-gempa susulan berlaku.Namun, empat jam setelah gempa pertama berlaku, pusat itu menarik balik amaran tsunami di kebanyakan kawasan Lautan Hindi dan hanya meminta Indonesia, India, Kepulauan Maldives, Sri Lanka dan wilayah jajahan Britain, Diego Garcia, supaya terus berjaga-jaga.Selain negara-negara di Lautan Hindi, beberapa negara Afrika seperti Kenya dan Tanzania turut mengeluarkan amaran berjaga-jaga terhadap bahaya ombak tsunami.Pihak berkuasa Thailand juga telah menutup Lapangan Terbang Phuket menyusuli amaran tsunami itu.Sekurang-kurangnya tiga tsunami kecil sehingga 80 sentimeter dilaporkan melanda kawasan pantai Indonesia akibat gempa dengan kekuatan 8.6 pada skala Richter itu.'Alat pantau pasang surut dan boya kami mencatatkan kejadian tsunami kecil,' kata Encik Said Kristiawan, dari Agensi Geofizik dan Meteorologi Indonesia.Menurutnya, ombak tsunami tertinggi dicatatkan di Meulaboh, barat Aceh, dengan ketinggian 80 sentimeter dan beberapa kejadian ombak tsunami lebih kecil dicatatkan di pantai-pantai berdekatan.Namun, pihak berkuasa India di kepulauan Andaman dan Nicobar, di bahagain utara pusat gempa, menganggarkan ombak tsunami setinggi 3.9 meter mungkin melanda kawasan itu.Beribu penduduk kawasan itu telah pun dipindahkan ke kawasan tanah tinggi.'Kita mungkin melihat ombak besar setinggi 1.5 meter di Port Blair dan 3.9 meter di Campbell Bay,' kata Encik Prabhakar Rao, pegawai bertanggungjawab bagi operasi bilik kawalan bencana di Port Blair, bandar utama kepulauan itu.Menurutnya, ombak kecil setinggi kira-kira setengah meter telah pun melanda pantai Campbell Bay di Pulau Besar Nicobar.Agensi Pengurusan Bencana Indonesia pula menyatakan bekalan elektrik terputus di wilayah Aceh dan orang ramai kini berkumpul di kawasan tanah tinggi sedang semboyan memberikan amaran tentang bahaya yang mungkin berlaku.'Bekalan elektrik terputus, jalan menuju ke kawasan tanah tinggi sesak. Semboyan dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari masjid-masjid dapat didengari di mana-mana,' kata Encik Sutopo, jurucakap agensi itu. -- Reuters, AFP. AFP.