Pages

Tuesday, May 22, 2012

Pasangan tidak serik, dua kali dicekup khalwat

Pasangan tidak serik, dua kali dicekup khalwat - Selangor & KL - Sinar Harian:

Penguatkuasa menyoal siasat pasangan yang ditahan.
Penguatkuasa menyoal siasat pasangan yang ditahan.
AMPANG - Sepasang kekasih yang tidak serik berkhalwat dan kes tangkapan mereka masih dibicarakan di Mahkamah Syariah sekali lagi dicekup oleh penguat kuasa agama di sebuah rumah, di Taman Chempaka pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, seorang perempuan berusia 22 tahun dan teman lelakinya berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, sepasukan anggota penguat kuasa mengetuk pintu rumah berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek beberapa minit kemudian.

“Manakala teman wanitanya yang hanya berkemban berlari ke bilik dari ruang tamu untuk memakai pakaian.

“Kami menemui coli dan seluar pendek milik wanita itu di atas katil yang diletakkan di ruang tamu rumah sewa pasangan tersebut dan kondom di atas lantai.

Menurutnya, pasangan itu menyerahkan sijil nikah yang diragui berikutan tiada cop pengesahan dari pejabat agama.

“Lelaki yang sudah berkahwin itu melakukan kesalahan kerana berpoligami tanpa kebenaran dan sanggup bernikah bersama teman wanitanya di sempadan Thailand,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pasangan itu pernah ditangkap berkhalwat pada jam 1 pagi, tiga minggu lalu di kediaman sama.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

'via Blog this'

Nato aktifkan sistem pertahanan

myMetro | Nato aktifkan sistem pertahanan: "CHICAGO: Pemimpin Nato melancarkan fasa pertama sistem penangkis peluru berpandu untuk Eropah dan cuba mengurangkan kemarahan Russia ke atas sistem itu dengan mempelawa Moscow bekerjasama.

Presiden Barack Obama mengisytiharkan “kemampuan sementara” itu ketika Sidang Kemuncak G8 di Chicago dengan meletakkan kapal perang membawa pemintas di Laut Mediterranean, selain mengaktifkan radar di Turki di bawah pemerintahan Nato di Jerman.


Nato mendakwa, ia tidak disasarkan ke atas Russia, sebaliknya mahu menangkis misil yang mungkin dilancar musuh seperti Iran.

Namun, Moscow bimbang sistem itu meneutralkan senjata nuklearnya.


Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen, berkata Russia dipelawa bekerjasama dengan sistem pertahanan itu.


“Kami akan meneruskan dialog dengan Russia” katanya. - AFP"

'via Blog this'

Pembantu kedai ditikam bapa

Kosmo! Online - Negara:



IBRAHIM menunjukkan kereta Perodua Alza yang menjadi punca seorang bapa sanggup menikam anaknya sendiri di Taman Dahlia, Tampoi kelmarin.


JOHOR BAHRU - Berang dengan permintaan anak supaya mengalihkan kereta di satu kawasan lapang, seorang lelaki yang telah menduda sejak 20 tahun tergamak menikam anak kandungnya di Jalan Dahlia 19, Taman Dahlia, Tampoi di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Muhammad Afiq Zainuddin, 22, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan cedera di belakang badan akibat ditikam dengan pisau pemotong sayur.
Kejadian tidak diduga itu dikatakan berlaku apabila Muhammad Afiq yang baru pulang dari tempat kerja kira-kira 100 meter dari rumah meminta bapanya untuk mengalihkan kereta Perodua Alza yang diletakkan di tempat letak kereta jiran. Kereta tersebut milik bapa mangsa.
Mengikut abang suspek, Ibrahim Hassan, 50, dalam keadaan tidak berpuas hati, lelaki yang berusia 48 tahun itu mengalihkan kereta tersebut.
Selepas mengalihkan kenderaan, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan masih tidak dapat menahan kemarahan sehingga tercetusnya pertengkaran antara dua beranak itu di tempat letak kereta berkenaan.
Cerita Ibrahim, pertengkaran antara mereka berterusan sehingga ke dalam rumah menyebabkan suspek hilang pertimbangan lalu mengambil pisau pemotong sayur dan menikam anaknya.

'via Blog this'

Perogol bersiri didakwa lagi

Kosmo! Online - Negara:


AMRAN ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang perogol bersiri yang sedang menjalani hukuman penjara 16 tahun dan lapan sebatan kerana satu kesalahan rogol, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi empat lagi tuduhan rogol.
Amran Che Jaafar, 30, yang disabitkan bersalah oleh mahkamah sama pada 13 Mac lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan di dua mahkamah di sini.
Tertuduh yang dipercayai telah merogol dan mencabul 20 orang wanita di negeri ini membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Irwan Suainbon dan Hakim Azman Mustapha.
Bagi tuduhan pertama dan kedua, Amran didakwa merogol dua gadis masing-masing berusia 19 tahun pada pukul 6.45 pagi, 17 September 2010 di sebuah asrama pekerja di Jalan Sultan Yahya Petra dan pada 21 September, pukul 10 pagi di sebuah rumah di Jalan Dusun Muda.

'via Blog this'

Amah hilang bersama berlian



Seorang pekerja Azizah menunjukkan pintu yang digunakan Lis (gambar kecil) untuk melarikan diri semalam.


KELANA JAYA – Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Azizah Abd. Samad, 61, kerugian hampir RM50,000 apabila satu set barang kemas bertatah berlian milik anak perempuannya lesap bersama amah warga Indonesia semalam.
Amah yang dikenali sebagai Lis itu disedari hilang pada pukul 3 petang sejurus Azizah sampai di rumah teres dua tingkat miliknya di SS7/4 di sini bersama anaknya, Zalilawati Osman, 33.
Lis yang berusia 29 tahun berasal dari Surabaya.
Menceritakan kejadian itu, Azizah berkata, sebaik sampai di rumah, beliau mendapati amah yang baru 21 hari bekerja dengannya sudah tiada di rumah.
Kata wanita itu, khuatir dengan kehilangan tersebut, Zalilawati memeriksa biliknya di tingkat atas dan terkejut mendapati set barang kemas yang disimpan dalam laci hilang.
“Sejak bekerja, Lis tidak menunjukkan sebarang kelakuan mencurigakan malah dia cekap melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan mengemas.
“Semalam (kelmarin) Lis memberitahu dia rindu keluarganya di Surabaya dan hari ini (semalam) saya tidak sangka Lis melarikan diri bersama berlian anak saya,” kata Azizah ketika ditemui di rumahnya di sini.

'Pulangkan anak kami'

'Pulangkan anak kami' - Nasional - Sinar Harian:


Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
"Pulangkan anak kami"
Mak Mah, 70
HAMPIR 10 tahun. Itu tempoh penuh penderitaan bagi keluarga Mohd Farik Amin dan Mohd Nazir Lep, dua tahanan Malaysia di Teluk Guantanamo, Cuba yang dituduh terlibat dengan aktiviti keganasan­ oleh Amerika Syarikat.
Tanpa perbicaraan di mahkamah, tuduhan itu kekal menjadi dakwaan kosong.
“Makcik rindu sangat. Teringin nak jumpa Ham. Jangan sampai makcik pejam mata baru Ham dapat pulang...,” ibu tua itu merintih. Hatinya pilu setiap detik. Wajah anak kesayangannya sudah lama tidak dapat ditatap.
Rindu Mak Mah, 70, terhadap anaknya, Mohd Farik Amin atau Ham sudah berat. Sarat.
Farik kini ditahan di penjara Guantanamo, Cuba oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
“Setakat ini belum ada pertuduhan. Tidak ada kata putus. Entah apalah kesudahan nasib Ham...”
Suara Mak Mah semakin sayu. Hatinya semakin hiba mengenang nasib si anak. Entah sempat entahkan tidak untuk menatap wajah Farik lagi, itu yang bermain di fikirannya.
Hujung kain tudungnya dipegang. Air mata yang semakin lebat menitis dikesat.
“Teringin sangat nak jumpa dia. Rindu yang makcik tanggung hanya ALLAH saja yang tahu.
“Makcik dah makin uzur… darah tinggi… kencing manis… gastrik...,” luah kerinduan diulang-ulang. Jelas, hati Mak Mah sudah tidak tertahan menanggungnya.
Air matanya dikesat lagi. Tiada suara yang kedengaran. Mak Mah terdiam. Dia menekur lantai.
Hanya bunyi kipas siling yang kedengaran. Anginnya tidak berdaya menghalau bahang panas matahari yang menyelinap ke dalam rumah papan separuh batu itu.
Penulis terasa resah. Badan berpeluh. Bimbang seandainya Mak Mah enggan meneruskan bicara.
Mata penulis tidak lepas memerhati reaksi Mak Mah. Dia membetul simpuh. Mak Mah kembali menyambung cerita. Syukur...
“Bila makcik terima berita Ham kena tangkap, badan, tangan, kaki makcik jadi kebas. Makcik seperti lumpuh. Tak boleh berjalan. Makcik benar-benar terkejut. Sampai hari ini, rasa kebas tidak mahu hilang,” kata Mak Mah.
Rindu Mak Mah pada Farik tidak mampu dizahirkan dengan kata-kata. Bukan hanya terasa waktu mata terbuka, tubuh terjaga. Malah hingga terbawa-bawa dalam tidurnya.
“Makcik selalu mimpi dia datang. Kadang-kadang makcik terasa macam bayang dia ada di depan mata.
“Masa makcik tunaikan haji pada 2007, semasa dalam bas di Makkah, macam ada bayangan Ham berlari ke arah makcik. Masa tu, makcik betul-betul terkejut.”
Kata Mak Mah, dia pernah ke Makkah bersama Farik pada 1997.
Mak Mah bercerita yang Farik ada mengirim surat dan kad lebaran Aidilfitri dari penjara. Namun lembaran kertas yang sampai tidak mampu mengubat rasa. Dia mahu bersua muka dengan anak kesayangannya.
“Bila hari raya, makcik kirim biskut raya dengan rendang kering. Tapi Ham baru dapat merasa lepas tiga empat bulan. Hati makcik pedih.”
Mak Mah kembali termenung. Ada bunyi resah pada nafasnya yang turun naik.
“Kat mana makcik hendak luahkan rasa terkilan hati ini. Makcik tak tahu kisah sebenar anak makcik. Dia bersalah ke? Kalau salah, salah apa? Kerajaan pun tak ada beritahu.”
Bila mengenang Farik yang gemar mengaji al-Quran, hatinya semakin sayu. Pedih. Mak Mah menaruh harapan tinggi. Namun ia hanya tinggal harapan... kerana tiada apa yang berubah walaupun perpisahan mereka sudah menjangkau 10 tahun. Baginya, biarlah anaknya itu pulang dan diadili mengikut undang-undang.
“Makcik risau sangat kerana dah lama dia ditahan tapi tak dibicarakan. Tidak tahu dia bersalah ke tidak. Kat mana, pada siapa makcik nak beritahu suara hati makcik ni? Makcik dan suami orang kampung. Tak tahu nak mengadu pada siapa,” Mak Mah semakin pilu.
“Nampaknya makcik kena duduk di rumah saja. Tunggulah entah sampai bila. Tapi makcik tak jemu berdoa. Biarlah Ham pulang sebelum makcik menutup mata.”
Mak Mah mengakhiri ceritanya. Air matanya dikesat dengan lengan baju.
 
Dapatkan laporan eksklusif dalam Sinar Harian terbitan hari Isnin, 21 Mei 2012.
Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: Pernah bincang dengan FBI

Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin'

Pautan laporan berita berkaitan - 'Pulangkan anak kami'

'via Blog this'

Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin'

Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin' - Nasional - Sinar Harian:

Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
Pak Amin
Pak Amin
“Abah, mana ada ikan kat tepi sungai ni?” rengek Farik.
Farik disuruh Pak Amin memancing ikan di tebing sungai kerana jorannya pendek.
“Ada, Ham percaya la cakap abah,” Pak Amin menjawab tenang sambil sampan yang didayung menyusur ke tengah sungai.
Seketika kemudian, Farik menjerit kegembiraan. Tilapia sebesar lengan dapat dinaikkan.
“Ha, kan abah dah kata, banyak ikan besar di tepi tu,” Pak Amin tersenyum.
Kenangan bahagia itu masih segar dalam ingatan.
Itulah singkapan sejarah yang diceritakan Pak Amin, 76, bapa kepada Mohd Farik semasa ditemui penulis di rumahnya di pinggir ibu negara.
“Pakcik dengan Ham selalu sama-sama pergi memancing. Kami macam sahabat,” katanya.
“Siapa Ham tu pakcik?” Penulis memotong cerita Pak Amin.
“Oh, Ham tu nama panggilan Farik,” jawabnya sambil tersenyum.
“Macam mana boleh dapat nama tu pakcik?” Penulis bertanya lagi.
Pak Amin menceritakan sejarah nama itu. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.
“Masa kecik, dia suka makan makanan pedas. Setiap kali pedas, dia akan buat bunyi ‘ham...ham...’ sebab tak tahan. Itu yang dapat nama panggilan Ham. Sampaikan dia sendiri yang gelar diri dia macam tu,” cerita Pak Amin sambil tertawa kecil. Dia seolah membayangkan anak kecil itu ada di depan mata.
Mata tua itu bercahaya setiap kali mengingati saat-saat bahagia sebelum anaknya ditahan di kem Guantanamo, Cuba, iaitu pusat tahanan milik tentera Amerika Syarikat (AS).
Namun, wajah penuh ketenangan itu kemudian bertukar muram.
“Dah lama sangat pakcik tunggu Ham balik. Pakcik terlalu rindukan dia,” Pak Amin sebak. Riak sedih terpamer di mukanya.
“Tetapi pakcik tak pernah berhenti berdoa. Bersabar...” katanya penuh harapan.
Pak Amin mengaku, hatinya remuk apabila melihat gambar tahanan Guantanamo diseksa dan menerima layanan buruk.
“Kalau betul pun Ham bersalah, biarlah dia kena tahan di Malaysia. Di tanah air sendiri.”
Pak Amin mengingati kembali janji Presiden AS, Barack Obama untuk menutup kem Guantanamo sebaik beliau berkuasa, pada 2008. Tetapi dia kecewa kerana sehingga kini, tempat itu masih dibuka.
Bekas pekerja kilang papan yang mempunyai masalah lemah jantung dan sakit buah pinggang itu kemudian menceritakan semula keadaan mereka sekeluarga selepas anaknya ditahan tentera AS.
Katanya, dia ada menerima panggilan telefon yang memberitahu Farik ditahan pada 2003, tetapi tidak dapat mengesahkan berita itu.
“Masa tu, ada orang telefon, pakcik pun tak pasti sama ada itu Ham atau kawan dia. Tapi belum pun sempat perbualan tamat, talian terputus,” katanya.
Kata Pak Amin, mereka sekeluarga sebenarnya tidak mendengar khabar berita daripada Farik buat beberapa tahun selepas 2003. Dan dia juga langsung tidak tahu anaknya itu telah ditahan di Thailand.
“Bila dah dekat tiga tahun tak dengar khabar berita, macam-macam sangkaan timbul. Sampaikan pakcik dan makcik sangka Farik menjadi mangsa tsunami pada 2004,” katanya.
Namun, tidak lama selepas itu, semasa Pak Amin sedang membersihkan rumput di hadapan rumah, dia dikunjungi pegawai polis yang mengesahkan anaknya ditahan oleh AS.
“Jiwa pakcik menjadi kosong bila mendengar berita tu.”
Sejak itu, Pak Amin hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT dan mengutus doa kepada anaknya itu.
“Siapalah kami. Kami tidak mampu jumpa dengan orang atasan untuk mintak bantuan. Hanya kepada ALLAH SWT kami mengadu nasib,” katanya.
Lama bersembang, penulis kemudian bertanya sama ada Farik ada menghantar khabar berita sepanjang ditahan hampir 10 tahun lalu.
Hati penulis terasa sayu melihat kudrat tua itu bergegas bangun. Mencari kad raya yang dikirim Farik dari Guantanamo untuk ditunjukkan.
“Setiap kali dapat kad atau surat daripada Ham, hati pakcik dan makcik terasa sedikit lapang walaupun banyak isi kandungan surat Ham dah dipotong (oleh tentera AS).”
Kata Pak Amin, mereka berbalas surat melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) yang menjadi orang tengah.
Bila ditanya apakah harapan Pak Amin mengenai Farik, dia hanya menjawab ringkas.
“Hanya satu. Pakcik harap penjara Guantanamo ditutup. Jadi Farik akan pulang.”
Pak Amin memandang kejauhan. Lama dia terdiam melayan fikirannya.
Kemudian dia bergumam, “Abah ni dah tua…” katanya penuh makna. Seolah-olah mengharapkan bayu petang mengirim bisikan itu kepada anaknya yang kini berada jauh ribuan batu di hujung dunia.

Dapatkan laporan eksklusif dalam Sinar Harian terbitan hari Isnin, 21 Mei 2012.

Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: Malaysia pernah bincang dengan FBI

Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin'

Pautan laporan berita berkaitan - 'Pulangkan anak kami'

'via Blog this'

Tahanan di Guantanamo: Malaysia pernah bincang dengan FBI

Tahanan di Guantanamo: Malaysia pernah bincang dengan FBI - Nasional - Sinar Harian:

Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan beliau pernah cuba mendapatkan kerjasama Amerika Syarikat (AS) berhubung kes dua tahanan Malaysia di Guantanamo.

Bagaimanapun menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai banyak maklumat mengenai penglibatan Mohd Farik Amin dan Mohd Nazir Lep dalam serangan pengganas seperti didakwa AS, dan PDRM juga tidak dapat bertemu dengan kedua rakyat Malaysia itu.

“Saya pernah ke AS untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Biro Siasatan Persekutuan AS (FBI) mengenai kes ini pada Oktober 2009. Memandangkan mereka (Farik dan Nazir) telah terlalu lama ditahan tanpa didakwa di mahkamah, saya minta mereka dipulangkan ke Malaysia supaya siasatan dapat diambil alih oleh polis negara ini.

“Pengarah FBI pada waktu itu, John Pistole berkata beliau akan mengkaji permohonan ini dan berjanji akan melepaskan kedua-dua tahanan ini jika tiada bukti mencukupi,” katanya yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara dari 2006 sehingga 2010.

Musa berkata, beliau menyerahkan laporan pertemuan itu kepada kerajaan sebelum bersara pada 2010.

Ditanya mengenai peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi membantu membebaskan Farik dan Nazir daripada tahanan, Musa berkata, proses habeas corpus boleh difailkan di mahkamah AS.

Namun, katanya, kerajaan Malaysia perlu mengkaji sama ada proses ini boleh dikemukakan melalui undang-undang antarabangsa.

“Saya tidak tahu sama ada permohonan sedemikian telah dibuat oleh keluarga tahanan,” katanya yang turut mengesahkan kes itu adalah yang pertama di mana rakyat Malaysia ditahan di negara luar tanpa dibicarakan di mahkamah.


Dapatkan laporan eksklusif dalam Sinar Harian terbitan hari Isnin, 21 Mei 2012.

Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: Malaysia pernah bincang dengan FBI

Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin'

Pautan laporan berita berkaitan - 'Pulangkan anak kami'

'via Blog this'

Azab 10 jam

myMetro | Azab 10 jam:

BERDURI...jenis ikan puyu yang tersekat di mulut mangsa.
BERDURI...jenis ikan puyu yang tersekat di mulut mangsa.
SAKIT...Philip ketika dibawa menjalani rawatan di HUS.
SAKIT...Philip ketika dibawa menjalani rawatan di HUS.
LUBOK ANTU: Gara-gara mahu mematikan seekor ikan puyu yang dipancing dengan cara menggigitnya, seorang kanak-kanak terpaksa menanggung kesakitan kira-kira 10 jam apabila tercekik ikan berkenaan dalam kejadian di anak sungai berhampiran Rumah Panjang Endawie Nangka Jela Engkari, di sini, kelmarin.
Philip anak Muan, berusia 12 tahun, terpaksa menahan kesakitan itu sebelum ikan bersaiz kira-kira tiga sentimeter lebar itu dikeluarkan sepenuhnya oleh doktor selepas dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) terletak lebih 200 kilometer dari rumahnya.

Bapa mangsa, Muan anak Burong, 40, berkata sebelum kejadian, Philip dan adiknya berusia sembilan tahun memancing di anak sungai berhampiran rumah panjang mereka, sebaik pulang dari sekolah, kira-kira jam 2.30 petang.
Menurutnya, dalam tempoh 10 minit, anaknya berjaya memancing seekor ikan puyu sebelum menggigit ikan itu bertujuan mematikannya, tetapi ikan itu tiba-tiba menggelupur dan terus masuk ke kerongkong anaknya.

“Saya pelik apabila melihat anak saya berlari sambil menangis dengan keadaan mulut ternganga.

“Saya terkejut apabila mendapati seekor ikan di dalam mulut anak dan cuba memasukkan jari bagi mengeluarkan, namun anak saya menjerit kesakitan kerana duri pada pada ikan itu tersangkut di lelangit mulut,” katanya.
Muan berkata, ikan itu masuk lebih jauh ke dalam kerongkong anaknya apabila dia cuba menarik ekor ikan berkenaan.

Menurutnya, apabila melihat Philip semakin sukar bernafas, dia bergegas membawanya ke Klinik Kesihatan Batang Ai, sebelum dirujuk ke Hospital Sri Aman.
“Ketika itu mulut anak saya sudah berdarah kerana lelangitnya yang tertusuk duri ikan itu, cuma dia bernasib baik kerana masih boleh bernafas dan masih mampu bertahan.

“Sebaik sampai di Hospital Sri Aman, Philip terpaksa dihantar menaiki ambulans ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan sampai di hospital berkenaan, kira-kira jam 11.30 malam.

“Sementara menunggu menjalani pembedahan, anak saya tiba-tiba termuntah cebisan daging ikan berkenaan yang mula hancur.

“Anak saya muntah beberapa kali sebelum doktor melakukan pembedahan kecil mengeluarkan sisa ikan yang masih tertinggal dalam mulutnya,” katanya.

Mangsa dipindahkan ke wad pediatrik HUS dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

'via Blog this'

2 banduan Israel mulakan mogok baru

myMetro | 2 banduan Israel mulakan mogok baru: "BAITULMAQDIS: Dua banduan Palestin dalam penjara Israel menolak sebarang makanan semalam, seminggu selepas tahanan tanpa bicara dan Israel bersetuju menamatkan mogok lapar beramai-ramai.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak membesarkan mogok Mahmud Sarsak dan Akram Rikhawi itu kerana kedua-dua mereka tidak mengambil bahagian dalam mogok sebelum ini yang berakhir Isnin lalu.


Jurucakap penjara Israel berkata, kedua-dua tahanan terbabit mogok bukan kerana membantah keadaan mereka dalam jel.

“Mereka mogok atas sebab peribadi,” katanya. - AFP"

'via Blog this'

Tentera Zionis cuma lihat Yahudi tembak Palestin

myMetro | Tentera Zionis cuma lihat Yahudi tembak Palestin:

BAITULMAQDIS: Tentera Israel semalam berkata, mereka menyiasat insiden yang terdedah melalui dua klip video menunjukkan anggota mereka sekadar melihat penduduk haram menembak warga Palestin.
Kejadian berlaku Sabtu lalu ketika penduduk kampung Asira al-Qibliya berhampiran Nablus dan pendatang haram Yahudi dari kawasan Yitzhar saling membaling batu.

Rakaman itu menunjukkan seorang penduduk Palestin ditembak dua pendatang haram Yahudi dengan kehadiran sekurang-kurangnya tiga tentera.
Imej itu dirakam seorang sukarelawan kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem.

Insiden itu lapor secara meluas oleh media Israel.

Sementara itu, tentera berkata, anggota mereka tiba di tempat kejadian untuk menyuraikan pertempuran apabila kedua-dua pihak saling membaling batu.
“Ketika konfrontasi itu, peluru hidup dilepaskan dan insiden itu sedang disiasat komander tentera.

“Rakaman itu tidak menggambarkan insiden berkenaan sepenuhnya,” kata kenyataan dikeluarkan semalam. - AFP

'via Blog this'

Campak 2 anak dari tingkat 6

myMetro | Campak 2 anak dari tingkat 6:

APARTMEN yang didiami keluarga Turrini di bandar Brescia, utara Itali.
APARTMEN yang didiami keluarga Turrini di bandar Brescia, utara Itali.
ROME: Seorang lelaki mencampak dua anaknya dari balkoni apartmen mereka sebelum dia sendiri melompat membunuh diri kerana tertekan akibat kehilangan kerja, lapor media semalam.
Marco Turrini mencampak bayi perempuannya - berusia 14 bulan - dan anak lelaki berusia empat tahun dari tingkat enam rumah mereka di Brescia, Lombardy, di utara Itali.

Saksi berkata, sebelum itu Turrini, 41, bertengkar dengan isterinya.
Sumber polis berkata, selepas mencampak anaknya ke bawah, bekas kakitangan pengiklanan yang kehilangan kerja 18 bulan lalu itu turut cuba menolak isterinya ke luar.

Selepas gagal, katanya, Turrini melompat dari tingkat enam apartmen berkenaan dan mati di tempat kejadian.

“Dua anak Turrini masih hidup selepas terhempas ke bawah, tetapi gagal diselamatkan kerana cedera parah,” katanya.
Sumber itu berkata, isteri Turrini bekerja sebagai jururawat dan berselisih faham dengan lelaki terbabit.

“Wanita itu kini dirawat di hospital kerana terkejut,” katanya.
Turrini tidak mempunyai sebarang rekod keganasan atau jenayah, tetapi dilaporkan semakin tertekan kerana gagal mendapat pekerjaan lain.

Jiran berkata, keadaan dirinya yang menganggur juga menyebabkan dia bimbang kehilangan isteri dan kediaman mereka apabila keadaan ekonomi mereka semakin parah.

Saksi, Elisabetta, berkata dia terdengar jeritan dan bergegas ke jalan di tingkat bawah apartmen berkenaan untuk melihat apa berlaku.

Di situ, katanya, dia melihat dua anak Turrini berlumuran darah dan masih bernafas, tetapi degup jantungnya sangat lemah.

Sepupu Turrini pula berkata, lelaki terbabit pernah cuba membunuh diri setahun lalu dengan menggantung dirinya. - DM

'via Blog this'

Bomba jumpa RM300,000 dalam baldi

Berita Harian Online | Bomba jumpa RM300,000 dalam baldi:
MELAKA TENGAH: Anggota bomba dan penyelamat menemui wang tunai RM300,000 ketika memadam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Penghulu Abas, Bukit Baru di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 7.45 pagi, rumah dipercayai menjadi stor simpanan mercun dan bunga api berdekatan Akademik Kastam Melaka itu meletup dan terbakar, namun penghuninya berusia 60-an berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata wang kertas RM50 dan RM100 itu ditemui disimpan dalam satu baldi di rumah berkenaan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang memadam kebakaran akibat letupan berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata wang kertas RM50 dan RM100 itu ditemui disimpan dalam satu baldi di rumah berkenaan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang memadam kebakaran akibat letupan berkenaan.
“Warga emas yang menghuni rumah berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Chuah yang mengakui turut mendengar letupan itu dari kediamannya kira-kira 1.5 kilometer dari situ, berkata, siasatan awal mendapati pemilik rumah terbabit menyimpan bahan letupan itu di dalam dua bilik.

“Kami masih menyiasat bagaimana pemilik rumah ini boleh menyimpan bunga api dan mercun di dalam rumah dengan jumlah yang begitu banyak,” katanya.
'via Blog this'

Wanita tergamam anak maut kena libas rakan

Berita Harian Online | Wanita tergamam anak maut kena libas rakan:

SAEMAH ditemani anaknya tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan detik Nurul Amin (gambar kecil) dibunuh ketika ditemui di rumahnya di PPRT Jalan Sentosa di  Kluang, semalam.
SAEMAH ditemani anaknya tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan detik Nurul Amin (gambar kecil) dibunuh ketika ditemui di rumahnya di PPRT Jalan Sentosa di Kluang, semalam.
Minta penjelasan tindakan suspek cabul kehormatan

KLUANG: Seorang ibu hanya mampu menjerit selepas melihat leher anak sulungnya yang cuba mempertahankan maruah keluarga dilibas dengan pisau hingga maut oleh rakan sendiri, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam, mangsa Nurul Amin Muhamed Ishak, 22, yang parah di leher meninggal dunia di tempat kejadian, di pekarangan Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini, 150 meter dari rumahnya.
Malam semalam (kelmarin), arwah ditemani rakan bersemuka dengan dua rakannya itu untuk meminta penjelasan. Saya juga diminta datang ke tempat kejadian. Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang sebelum seorang daripada rakannya itu mengambil pisau dari motosikalnya lalu meluru pantas melibas ke leher anak saya. - Saemah Mogeri, ibu mangsa
Sebelum kejadian, mangsa yang ditemani rakannya bersemuka dengan dua suspek yang juga rakan baiknya itu, meminta penjelasan berhubung perbuatan mereka mencabul kehormatan ibu dan adik perempuannya, minggu lalu.

Ibu mangsa, Saemah Mogeri, 43, berkata beliau tidak menyangka tindakan anaknya itu bersemuka dengan suspek untuk mempertahankan maruah keluarganya berakhir dengan tragedi.

“Dua rakan anak saya menceroboh rumah kami jam 2 pagi minggu lalu sebelum cuba mencabul kehormatan saya dan anak perempuan.

“Muka anak perempuan saya ditekup dengan kain selimut, namun tindakan mereka melakukan lebih daripada itu gagal selepas dia meronta-ronta dan menjerit meminta tolong. 
“Ketika kejadian, arwah tiada di rumah kerana keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Sentosa di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik arwah pulang pada jam 8 pagi, beliau memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Malam semalam (kelmarin), arwah ditemani rakan bersemuka dengan dua rakannya itu untuk meminta penjelasan.

“Saya juga diminta datang ke tempat kejadian. Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang sebelum seorang daripada rakannya itu mengambil pisau dari motosikalnya lalu meluru pantas melibas ke leher anak saya.

“Saya hanya mampu menjerit selepas melihat darah tiba-tiba memancut keluar dan membasahi baju saya sebelum arwah terkulai di dalam dakapan saya,” katanya.

Saemah dan keluarganya yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, mereka bukan saja kehilangan tempat bergantung malah anak lelaki sulung yang selama ini menjaga kebajikan dan keselamatan mereka sekeluarga.

Difahamkan, susulan kejadian itu, Polis Kluang menahan tiga lelaki termasuk dua suspek terbabit untuk membantu siasatan. 

Sementara itu, Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali, ketika dihubungi berkata, beliau akan memberi kenyataan rasmi kes itu hari ini.
'via Blog this'

Ahli Parlimen sindir Presiden Iran, syor buka kelab malam

Berita Harian Online | Ahli Parlimen sindir Presiden Iran, syor buka kelab malam:
TEHRAN: Ahli Parlimen Iran Sabtu lalu menyindir Presiden Mahmoud Ahmadinejad kerana gagal menyokong kod berpakaian Islam bagi wanita dan mencadangkan pemimpin itu membuka kelab malam di republik itu.

Agensi berita FARS memetik Ali Motahari sebagai berkata pandangan longgar presiden mengenai kod berpakaian Islam membolehkan wanita, secara langsung dan tidak langsung, mengenakan pakaian yang mempromosikan provokasi seksual.
“Cara tudung dipakai kini semakin tragik dan ia berpunca daripada galakkan secara terang dan tersembunyi oleh presiden. Ahmadinejad dan ketua turus staf, Esfandiar Rahim Mashaie mempromosikan keadaan yang membolehkan gadis memakai seluar panjang dan kot yang tidak melindungi lutut mereka di khalayak ramai.
"Mereka sebenarnya membenarkan provokasi seksual dan kini mereka berfikir untuk membuka kelab malam dan kabaret," agensi berita FARS memetik Motahari sebagai menyindir keras Ahmadinejad and Mashaie.
“Mereka sebenarnya membenarkan provokasi seksual dan kini mereka berfikir untuk membuka kelab malam dan kabaret,” FARS memetik Motahari sebagai menyindir keras Ahmadinejad and Mashaie.

Ahmadinejad, yang pernah menentang penggunaan polis untuk menguat kuasakan kod berpakaian Islam, dilihat sebagai terlalu liberal oleh rejim konservatif Iran. Mashaie pula dituduh memberikan pengaruh negatif kepada ketuanya.

Polis moral Iran melancarkan operasi besar-besaran baru-baru ini ke atas wanita bagi memastikan mereka memakai tudung dan tidak mengenakan pakaian dianggap tidak Islamik.

Ia sebahagian kempen tahunan sebelum kedatangan musim panas, apabila wanita tidak mahu memakai pakaian diwajibkan. Operasi itu melihat polis mengimbas kaki dan kenderaan di persimpangan utama dan pusat beli belah, yang membawa kepada denda atau penangkapan. 
Beberapa ahli Parlimen konservatif mengkritik kenyataan Motahari yang disifatkan berbahaya.

Salah seorang daripada mereka, Mohammad Esmail Kossari, menggesa bidang kehakiman memandang berat kes itu dan meminta ahli perundangan berkenaan bertanggungjawab. – AFP
'via Blog this'

101 maut serangan bom di Yaman

Berita Harian Online | 101 maut serangan bom di Yaman:

ANGGOTA polis forensik mengutip cebisan mayat dalam serangan bom yang mengorbankan 101 mangsa     di  Sanaa, semalam.
ANGGOTA polis forensik mengutip cebisan mayat dalam serangan bom yang mengorbankan 101 mangsa di Sanaa, semalam.
Letupan ketika latihan perarakan tentera diketuai anak saudara bekas presiden

SANAA: Seorang anggota tentera Yaman yang lengkap memakai pakaian seragam meletupkan bom pada tubuhnya ketika satu latihan perarakan tentera di ibu kota negara itu semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 101 askar dan mencederakan 300 lagi, kata pegawai tentera dan pasukan perubatan.
Serangan bunuh diri itu adalah yang terburuk di Sanaa sejak Presidan Abdrabuh Mansur Hadi yang baru dilantik berjanji akan mengusir militan al-Qaeda dari wilayah selatan dan timur Yaman.
Pengebom tidak dikenali itu meletupkan bahan letupan ketika anggota tentera yang dipimpin anak saudara bekas Presiden Ali Abdullah Saleh, berlatih untuk perarakan tentera sempena sambutan ulang tahun ke-22 penyatuan Yaman utara dan selatan, kata pegawai.
“Sekurang-kurangnya 101 maut dan angka kematian mungkin meningkat,” kata pegawai yang enggan dikenali sambil menambah semua mangsa adalah anggota tentera.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab berikutan letupan itu yang menurut saksi kedengaran di seluruh bandar raya, menyebabkan penduduk panik.

Pengebom tidak dikenali itu meletupkan bahan letupan ketika anggota tentera yang dipimpin anak saudara bekas Presiden Ali Abdullah Saleh, berlatih untuk perarakan tentera sempena sambutan ulang tahun ke-22 penyatuan Yaman utara dan selatan, kata pegawai.

Pegawai polis Yaman, Kolonel Abdul Hamid Bajjash, yang bertanggungjawab mengawal keselamatan di kawasan letupan itu berkata, serangan menunjukkan ia mempunyai kaitan dengan al-Qaeda. 
Menteri Pertahanan Yaman, Mohammed Nasser Ahmed, berada di tempat kejadian tetapi tidak mengalami kecederaan. Saksi berkata, mayat berselerak di tempat letupan di Dataran Sabeen di Sanaa, lokasi kerajaan kerap mengadakan perarakan tentera besar-besaran.

Seorang wartawan AFP berkata, berpuluh-puluh ambulans dikejarkan ke tempat kejadian untuk memindahkan mayat dan mangsa yang cedera, ketika pasukan keselamatan mengepung kawasan itu.

Serangan semalam adalah yang terburuk di Sanaa sejak Hadi mengambil alih kuasa pada Februari lalu dengan janji memerangi kehadiran al-Qaeda. 

Hadi, yang dipilih dalam pilihan raya calon tunggal seperti ditetapkan oleh perjanjian peralihan kuasa ditaja negara Teluk yang memaksa pengunduran Saleh, dijangka memberikan ucapan pada majli yang dijadualkan hari ini.

Masih tidak dapat dipastikan sama ada perarakan itu akan diadakan seperti dirancang.

Pengeboman bunuh diri itu berlaku 10 hari sejak serangan besar-besaran tentera menentang al-Qaeda di Abyan di selatan Yaman, yang menyaksikan pergerakan itu menawan beberapa bandar dan pekan dalam serangan sejak Mei tahun lalu.

Sejak serangan bermula, 213 orang maut, menurut kiraan AFP, termasuk 147 pejuang al-Qaeda, 31 anggota tentera, 18 anggota militia tempatan dan 17 penduduk awam.

Serangan dilancarkan beberapa hari selepas Rumah Putih mengumumkan rancangan al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) meletupkan pesawat Amerika Syarikat berjaya digagalkan. – AFP/Agensi
'via Blog this'

Jersi dilelong RM13.85j

Kosmo! Online - Dunia:


JERSI Babe Ruth yang dilelong kelmarin.


NEW YORK - Sehelai jersi besbol yang dipakai oleh pemain pasukan New York Yankess, Babe Ruth dilelong AS$4,415,658 (RM13,850,170) kelmarin.
Firma lelongan SCP Auctions menyatakan, ia merupakan jersi terawal yang pernah dipakai oleh pasukan New York Yankees.
Jersi itu keluaran tahun 1920.
Baju berkenaan yang bertahun-tahun dipamerkan di Muzium Kelahiran Babe Ruth di Baltimore dibeli oleh laman web Lelands.com.
Menurut SCP Auctions, harga itu mengatasi rekod lelongan memorabilia sukan sebelum ini yang dicatat pada 2010 untuk set undang-undang permainan bola keranjang oleh James Naismith. - Agensi

'via Blog this'

Lelaki tertinggi dunia lawat Cuba

Kosmo! Online - Dunia:



SULTAN berjalan dengan menggunakan tongkat di padang besbol di sebuah stadium di Havana kelmarin.


HAVANA, Cuba - Lelaki paling tinggi di dunia, Sultan Kosen dari Turki menonton perlawanan besbol di sebuah stadium di sini kelmarin.
Dia yang setinggi 2.51 meter menonton perlawanan antara pasukan Industriales dan Ciego de Avila.
Kosen menjadi tinggi disebabkan tumor dalam badannya yang menjejaskan kelenjar pituitari.
Dia tiba di sini pada Sabtu lalu bagi melawat Cuba. - Agensi

'via Blog this'

Gerhana matahari di rantau Pasifik

Kosmo! Online - Dunia:



KOMBINASI gambar yang menunjukkan pembentukan gerhana matahari di Tokyo, Jepun semalam.


HONG KONG - Orang ramai berkumpul di China, Jepun dan beberapa tempat lain di timur Asia semalam untuk melihat fenomena gerhana matahari cincin yang jarang berlaku.
Penduduk di sini dapat menyaksikan gerhana berkenaan buat seketika ekoran cuaca mendung.
Menjelang subuh, sekitar 3,000 orang melihat ke langit di sepanjang kawasan pelabuhan Tsim Sha Tsui di sini tetapi mereka cuma dapat melihat keajaiban alam itu selama 30 saat apabila awan mendung beredar sejurus selepas matahari terbit.
"Awan beredar dan sinaran matahari menyinari permukaan air, ia amat cantik," kata Kurator Muzium Angkasa Lepas Hong Kong, Chan Ki-hung.
Gerhana berkenaan dapat dilihat dengan lebih jelas di beberapa bahagian lain di China, Jepun dan Filipina apabila matahari kelihatan seperti sebentuk cincin kerana dihalang oleh bayang bulan.
"Ia seperti sebentuk cincin. Gerhana itu menyebabkan saya terkenang saat-saat melamar isteri saya pada suatu masa dahulu," kata Shigeru Seo yang menyaksikan gerhana itu bersama isterinya di Teluk Shiono, barat Jepun.
Keajaiban alam tersebut dapat dilihat di sepanjang pantai Jepun termasuk Tokyo, Nagoya dan Osaka.
Di kebanyakan kawasan di Jepun fenomena itu mencatatkan sejarah apabila gerhana matahari cincin berkenaan merupakan yang pertama dilihat oleh penduduk tempatan sejak 932 tahun dahulu.
Selain Jepun, keajaiban alam itu turut disaksikan oleh berjuta-juta penduduk di rantau Pasifik dan Amerika Syarikat (AS).
Gerhana cincin berlaku apabila bulan melintasi matahari tetapi berada terlalu jauh dari Bumi untuk 'menenggelamkan' keseluruhan bayang matahari.
Kedudukan tersebut menyebabkan matahari kelihatan seperti cincin berapi.
Kali terakhir gerhana matahari cincin yang juga disebut gerhana matahari anulus berlaku di sini adalah pada tahun 1958.
Penduduk di sini ini perlu menunggu hingga tahun 2320 untuk menyaksikan gerhana matahari cincin seterusnya.
Gerhana itu berlaku petang kelmarin mengikut waktu AS.
"Ia mengagumkan," kata seorang pelajar, Marcos Dopoto di Albuquergue, New Mexico.
Imej seperti cincin itu dapat dilihat selama lima minit di beberapa kawasan di dunia. - Agensi

'via Blog this'