Pages

Wednesday, February 3, 2016

Yareta, tumbuhan berusia ribuan tahun



Di 
Amerika Selatan, terdapat sejenis tumbuhan unik dan boleh dianggap tumbuhan purba kerana ia mampu hidup sehingga 3,000 tahun.
Yareta atau Azorella compacta merupakan tumbuhan berbunga yang tergolong dalam keluarga Apiaceae.
Ia tumbuh di padang rumput Puna yang dingin terletak di Pergunungan Andes di Peru, Bolivia, utara Chile dan Argentina Barat pada ketinggian antara 3,200 dan 4,500 meter, di mana angin sejuk bertiup.
Untuk terus hidup dalam keadaan yang ekstrem, Yareta tumbuh dalam keadaan yang begitu padat di antara satu sama lain di mana berat tumbuhan itu mampu mencecah berat seperti seorang manusia.
Tumbuhan itu juga tumbuh rapat di atas tanah bagi mengekalkan haba dalaman sebanyak yang mungkin.
Ini juga membantu untuk menentang angin kuat pada altitud tinggi, yang mampu mencabut akar apa-apa jenis tumbuhan.
Untuk terus hidup dalam persekitaran Pergunungan Andes yang ganas, Yareta berkembang secara perlahan-lahan iaitu hampir 1.5 sentimeter setahun (pada kadar geologi).
Kebanyakan Yareta dianggarkan berusia lebih dari 3,000 tahun.
Yareta kini menjadi antara spesies yang dilindungi dan disebabkan kadar pertumbuhannya yang perlahan, ia juga disenaraikan sebagai tumbuhan yang terancam. - amusingplanet
Tahukah anda?
Menurut penduduk tempatan, Yareta boleh digunakan sebagai ubat-ubatan untuk meredakan sakit sendi. Teh yang dibuat dari daunnya dikatakan mampu mengatur tekanan darah, mengubati diabetes dan juga ubat untuk melangsingkan badan
.

Teratai gergasi



JAUH 
di dalam hutan hujan Amazon, tersembunyi pelbagai spesies tumbuhan misteri.
Salah satu perkara yang membingungkan kebanyakan ahli botani ialah penemuan sejenis tumbuhan tropika yang sangat menakjubkan iaitu Victoria Amazonica.
Victoria Amazonica dikenali sebagai pokok teratai daripada spesis Nymphaeceae. Ia memiliki daun yang sangat besar, berbentuk bulat dan diameter daunnya boleh membesar sehingga lebih daripada tiga meter.
Anggaran berat setiap daunnya mencecah sehingga 31 kilogram (kg).
Teratai ini merupakan spesies semula jadi bersaiz besar tanpa melalui proses penghibridan. Ia merupakan daripada benih asal tanpa mengalami sebarang proses kacukan.
Hasil kajian mendapati bahawa rahsia tumbesaran gergasi teratai ini terletak pada kitaran hidupnya. Ia bermula sejak proses pendebungaan lagi.
Bunga-bunga Victoria akan mengeluarkan aroma buah seperti nanas pada waktu siang. Bauan manis ini adalah untuk menarik kumbang mendekati bunga pokok teratai ini.
Apabila menjelang waktu malam, bunga akan tertutup dan kumbang yang mendekati bunga akan terperangkap di dalamnya. Bunga ini didebungakan oleh kumbang.
Lazimnya pada satu musim, setiap pokok bakal menghasilkan 40 hingga 50 daun dan setiap daun akan membesar lebih daripada lapan inci diameternya setiap hari. Diameternya terus membesar sehingga mencapai lebih daripada tiga meter. - livingrainforest
Trivia
-Kebolehannya mengapung di atas air disebabkan oleh struktur anatomi daun ini. Jika diterbalikkan, akan kelihatan jaluran berwarna putih seperti sarang labah-labah memenuhi setiap ruang bawah daun. Ia berfungsi seolah-olah seperti 'tulang rusuk'. Ia berongga dan mempunyai kemampuan yang sangat tinggi untuk memerangkap udara. Udara yang terperangkap dalam ruang antara 'tulang rusuk' membolehkan daun ini terapung cantik di atas permukaan air.
-Terdapat duri tajam meliputi bawah daun, batang dan tunas bunga bagi melindungi daripada dimakan haiwan seperti ikan. Namun begitu, di sebalik saiz daun yang sangat besar ini, ia sebenarnya sangatlah rapuh. Daun ini mudah bocor atau terkoyak jika tercucuk. Ketahanan daun Victoria matang boleh menyokong beban sebanyak 45 kg.
-Pada awal penemuannya, tumbuhan ini diberi nama Victoria bersempena nama Ratu England pada masa itu. Ia juga turut dikenali sebagai “piring air gergasi’
.

Kampung pecah rekod ada 122 pasangan kembar



SEBUAH 
perkampungan di Ukraine telah diberi jolokan sebagai Tanah Kembar selepas memecahkan rekod dengan mempunyai 122 pasangan kembar.
Kampung Velikaya Kopanya di wilayah Zakarpattia Oblast terletak dekat barat negara itu mempunyai kurang daripada 400,000 penduduk. Namun, bilangan kembar di kawasan kecil tersebut boleh dikatakan tinggi melebihi 100 orang.
Kini, kampung dengan 61 pasangan kembar berkenaan telah diiktiraf dalam buku rekod Ukraine, dan seterusnya mungkin mendapat pengiktirafan dari Rekod Dunia Guinness.
Menurut pegawai tempatan Maryana Savka, jumlah pasangan kembar yang dilahirkan di kampung terbabit adalah lebih tinggi berbanding tempat lain dan sejak tahun 2004, mereka mempunyai sekurang-kurangnya dua atau tiga kembar baharu setiap tahun.
Penduduk tempatan percaya kelahiran kembar 'luar biasa' itu mungkin disebabkan air tempatan khas yang didakwa baik untuk kesihatan. – Mirro
r