Anoreksia buat Rachael bagai mayat hidup |
HANYA mampu terlantar di atas katil, itulah yang terjadi ke atas Rachael Farrokh, 37, selepas menderita dek kerana 'serangan' anoreksia nervosa ke atas dirinya.
Aneroksia nervosa dalam bahasa saintifik bermaksud gangguan pemakanan yang dicirikan oleh kebiasaan menahan makan untuk suatu tempoh diikuti makan berlebihan secara terus menerus.
Dengan hanya mempunyai berat 18 kilogram (kg), Rachael kini bertarung untuk terus hidup kerana kesihatannya saban hari semakin merosot.
Menerusi sebuah video YouTube yang dimuat naiknya, Rachael memberitahu bagaimana sengsaranya hidupnya kini.
"Saya terlalu kurus, sukar untuk bernafas dan terlalu lemah untuk bergerak.
"Suami saya, Rod Edmondson, 41, terpaksa berhenti kerja untuk menjaga saya selama 24 jam sehari. Hospital berhampiran juga tidak mahu merawat saya kerana berat saya terlalu ringan.
"Ada sebuah hospital sedia menawarkan saya perkhidmatannya, namun pihak pengurusan menyatakan harapan saya untuk sembuh adalah tipis," katanya dalam video berkenaan.
Rachael dalam pada itu merayu kepada orang ramai untuk menderma apa sahaja yang termampu bagi menampung kos kehidupan hariannya.
"Saya perlukan bantuan anda, saya menderita disebabkan gangguan makan. Ini adalah serangan anoreksia tahap teruk," ujarnya.
Asal wanita sihat dan sempurna
Rachael yang pada mulanya bekerja sebagai jurulatih peribadi di gimnasium wanita, merupakan seorang wanita yang cantik, aktif dan sihat.
Ujarnya penyakitnya bermula apabila dia mahu menurunkan beberapa kilogram berat badannya bagi mendapatkan berat badan yang lebih ideal.
"...tetapi, apabila saya hilang pekerjaan secara tiba-tiba, keadaan menjadi tertekan. Memori lalu menghantui diri, kesannya saya menghidap anoreksia," katanya.
Sejak itu dia mengalami gangguan pemakanan yang tidak terkawal, Rachael yang sebelum ini memiliki berat badan sekitar 56 kilogram mula kehilangan berat sehingga mencecah 18 kilogram kini.
Dek kerana tidak berupaya melakukan apa-apa kerja, malah untuk berjalan pun dia tidak mampu... Rachael kini hanya mampu berbaring di atas katil.