Pages

Saturday, October 12, 2013

KISAH RASULULLAH S.A.W & PENGEMIS YAHUDI YANG BUTA



“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu-lalang.

Orang yang lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.

Pada setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata apa-apa.

Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya.

Perbuatan baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu setiap pagi.

Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.

“Wahai anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah Aisyah.

“Ayahandaku, boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.

“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”

“Setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.

“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.

Pada keesokan harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.

“Hei… Siapakah kamu? Berani kamu menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar ra itu seperti kebiasaan.

“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.

“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar ra yang masih memegang makanan itu.

“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya yang sedih.

“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.

“Dia ialah Muhammad Rasulullah. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.

“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang terkedu.

“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar ra. Tidak semena-mena pengemis itu menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.

“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.

“Ya benar. Kamu tidak percaya?”

“Selama ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis teresak-esak.

“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar ra.

“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.

Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah.
 

Hasil lukisan guna teh, kopi


12 Oktober 2013
Hasil lukisan guna teh, kopi
Hasil lukisan guna teh, kopi


Hasil lukisan guna teh, kopi
Toni menggunakan bahan asas utama kopi dan teh untuk setiap lukisannya.
PENNSYLVANIA - AMERIKA SYARIKAT. Pelukis berbakat ini mahukan satu kelainan ketika menghasilkan lukisan.

Dipetik laporan DailyMail, Gerard Toni, 38, mendakwa dia mendapat idea untuk menggunakan kopi dan teh sebagai bahan asas utama dalam lukisannya sejak enam tahun  selepas mendapat inspirasi daripada cara penyediaan minuman panas  masyarakat Asia.

Menurutnya, dia turut mengambil masa selama beberapa bulan untuk menyiapkan lukisan yang dihasilkan daripada campuran kopi dan teh diimport dari seluruh dunia.

Selain itu, Toni juga menganggap kedai kopi sebagai sumber ilham utama untuk melukis.

"Kedai kopi adalah sebuah tempat menarik kerana kita boleh melihat gelagat  pengunjung  bersantai bersama rakan mereka," katanya.

Difahamkan, Toni turut berhadapan beberapa kesukaran yang sememangnya menguji kesabaran pelukis tersebut.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau menggunakan penstabil UV dan polyacrylic untuk mengekalkan warna kopi dan teh pada kanvas lukisan.

"Saya suka menghasilkan lukisan bersaiz besar kerana mudah diwarnakan," katanya. 

Gergaji kaki sendiri

Foto
ZHENG melakonkan semula aksi ketika dia memotong kakinya apabila terpaksa menggigit penggaru yang dibalut tuala bagi mengelak jeritannya didengari.
Foto
KEADAAN kaki Zheng selepas dipotong.

Beijing: Seorang lelaki di Hubei yang menghidap penyakit aneh bertindak menggergaji kaki kanannya menggunakan gergaji logam, pisau kecil dan penggaru yang dibungkus dengan tuala.

Menurut laporan terkini dalam Shijiazhuang News, Zheng Yanliang, 47, dari bandar Boading dikenali sebagai lelaki perkasa di bandar terbabit.


Bagaimanapun, tahun lalu dia menghidap penyakit teruk di perutnya sebelum ia beralih ke kakinya. Kesakitan dialami sangat menyakitkan hingga dia tidak mampu untuk berdiri sebelum disahkan menghidap trombosis arteri di kedua-dua belah kakinya.

Ujian angiogram menunjukkan semua arteri di kaki kanannya sudah tiada. Doktor memberitahu Zheng yang penyakit dihidapinya itu sangat jarang ditemui dan dia mungkin hanya dapat hidup tidak melebihi sebulan hingga menyebabkan isterinya menangis.


Sepanjang tiga bulan Zheng terpaksa menahan kesakitan yang amat sangat hingga dia hampir pengsan.


Dia juga sering menjerit sehingga jiran tetangga tidak dapat tidur pada waktu malam. Tidak tahan lagi dengan kesakitan yang ditanggungnya, beberapa hari berikutnya selepas isterinya masuk tidur, Zheng menggunakan pisau, gergaji logam serta penggaru yang dibalut dengan tuala dan mula memotong kakinya.


Kira-kira 20 minit kemudian isterinya yang terjaga dari tidur terkejut melihat kaki kanan suaminya sudah dipotong 15 sentimeter dari paha. Gergaji logam yang digunakan juga patah dua. Bagaimanapun Zheng bernasib baik kerana tidak terdapat banyak darah ketika dia memotong kakinya itu ekoran penyakit trombosis dihidapi. Walaupun dia tidak lagi mengalami kesakitan di sebelah kaki yang sudah dipotong berkenaan, tetapi sakit di kaki kirinya pula kian buruk. Zheng kini meminta bantuan masyarakat sekeliling untuk mengumpul dana bagi membolehkan dia mendapatkan kaki palsu agar dia dapat meneruskan kehidupan dan menyara keluarganya. - Agensi

Mudah hilang ingatan jika perut buncit


 
Chicago: Orang yang berperut buncit mempunyai kemungkinan tiga kali ganda untuk hilang ingatan dan nyanyuk apabila tua, menurut kajian.

Saintis mendapati, orang yang ada banyak lemak pada perut mempunyai kadar protein lebih rendah, yang turut menentukan sejauh mana hati dapat memproses lemak.
Unsur dipanggil PPARalpha mengawal pemprosesan lemak dalam hati, selain berada dalam pusat ingatan otak - hippocampus – serta mengawal deria ingatan dan keupayaan belajar.

Apabila seseorang itu mempunyai berat berlebihan, mereka mula kehilangan PPARalpha di bahagian hati dan seterusnya di seluruh anggota tubuh, termasuk otak.

Dalam satu kerjasama dengan Institut Kesihatan Kebangsaan, saintis saraf di Universiti Medical Centre, di sini, percaya penemuan mereka akan membawa kepada ubat membantu mempertingkat keupayaan belayar dan daya ingatan golongan nyanyuk.


Dr Kalipada Pahan dari pusat perubatan Universiti Rush berkata: “Kita perlu untuk memahami lebih mendalam bagaimana lemak mempengaruhi daya ingatan dan keupayaan belajar untuk membangunkan cara melindungi ingatan dan keupayaan belajar.” - AGENSI

Pusat beli-belah berusia 2,700 tahun ditemui


Sekumpulan ahli arkeologi menjalankan kerja-kerja penggalian di tapak sebuah struktur pusat beli-belah berusia 2,700 tahun di Argilos, utara Greece, baru-baru ini. - AGENSI
ATHENS 11 Okt. - Sekumpulan ahli arkeologi dari Kanada dan Greece menemui sebuah struktur pusat beli-belah tertua di dunia, berusia 2,700 tahun di tapak arkeologi di Argilos, utara negara ini, baru-baru ini.
Struktur dikenali sebagai portico itu merupakan binaan terbuka yang panjang, biasanya menempatkan rumah kedai dan memisahkan dataran awam dari bandar.
Pakar arkeologi dari Universiti Montreal, Dr. Jacques Perreault berkata, portico yang ditemukan di Argilos merupakan pusat beli-belah tertua di Greece dan sangat unik.
Perreault berkata, kerja-kerja penggalian dilakukan sejak Jun lalu dan ukuran panjang pusat beli-belah itu mencapai kira-kira 40 meter.
Jelasnya, pusat beli-belah terbuka itu mempunyai tujuh bilik dengan setiap satu berukuran 5 meter lebar dan 7.5 meter dalam, serta memiliki dinding setinggi 2.5 meter.
"Teknik pembinaan dan batu yang digunakan berbeza dalam setiap bilik, menunjukkan penglibatan beberapa tukang bina dalam pembinaan pusat beli-belah terbabit.
"Kajian ini juga menunjukkan setiap pemilik kedai mungkin bertanggungjawab membina bilik masing-masing yang menjadi ruang perniagaan peribadi," jelasnya.
Perreault berkata, struktur lama itu mempunyai sebuah kedai roti, sebuah kedai minyak zaitun dan sebuah kedai menjual ubat-ubatan serta peralatan solek yang masih belum dapat dipastikan.
Tapak arkeologi di bandar lama Argilos terletak di hujung Sungai Aegean dan pernah mencipta kegemilangan pada abad kelima sebagai bandar termasyur di rantau ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131012/lu_04/Pusat-beli-belah-berusia-2700-tahun-ditemui#ixzz2hTJWPTuw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Trak sampah terbesar di dunia diperkenal


Trak gergasi, Belaz 75710 yang mempunyai ketinggian 7.9 meter dan 19.8 meter panjang, bakal diiktiraf sebagai trak sampah terbesar dunia. - Agensi
MINSK 11 Okt. - Syarikat automotif Belarus, Belaz menghasilkan trak sampah terbesar di dunia, yang menyamai berat 37 buah bas bertingkat, sekali gus bakal mencatat rekod Guinness Book of Records.
Trak yang dikenali sebagai Belaz 75710 didedahkan kepada umum hari ini, mempunyai ketinggian 7.9 meter dan panjang 19.8 meter serta mampu membawa kira-kira 450 tan sampah.
Trak gergasi itu juga mempunyai keupayaan mengangkut sampah melebih 90 tan, berbanding muatan yang boleh dibawa trak besar lain yang dihasilkan oleh Belaz.
Belaz 75710 turut dilengkapi dua enjin diesel berkembar dengan 4,600 kuasa kuda (bhp), menyamai empat buah kereta Bugatti Veyron SuperSports.
Walaupun membawa muatan penuh, kenderaan itu masih berupaya mendaki kawasan cerun tajam dengan kelajuan 40 kilometer sejam.
Selain itu, trak Belaz 75710 dicipta dengan keupayaan bekerja di kawasan yang mempunyai suhu sehingga 50 darjah celsius serta di lokasi yang mempunyai ketinggian 4,876 meter.
Trak gergasi berkenaan akan mula dijual pada 2015 dan kini masih diuji di tapak perlombongan arang batu di Bachatsky, Siberia yang merupakan kawasan perlombongan paling teruk dan sukar di dunia. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131012/lu_02/Trak-sampah-terbesar-di-dunia-diperkenal#ixzz2hTDUweV7
© Utusan Melayu (M) Bhd