• Gunung Rokatenda meletusAnggota penyelamat membantu memindahkan orang ramai akibat letupan gunung berapi Rokatenda di Pulau Palue.

JAKARTA - INDONESIA, Lebih daripada 500 orang dipindahkan selepas gunung berapi Rokatenda terus aktif memuntahkan lahar dan debu panas di Pulau Palue wilayah Timur Indonesia, semalam.

Ketua daerah Sikka   Yosep Ansarera berkata, debu panas daripada lahar itu dapat dirasai pada jarak dua kilometer.

“Operasi menyelamat sukar dilakukan kerana masih ramai penduduk di dua kampung enggan berpindah kerana tidak mahu meninggalkan haiwan ternakan mereka. Kami terpaksa melakukan pemindahan secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap agensi bencana negara Sutopo Purwo Nugroho berkata kepada Antara News, sehingga kini lebih 3,000 penduduk telah dipindahkan berikutan tidak tahan dengan bahang panas yang membawa debu kecil  ke kediaman mereka.

“Masih ramai enggan berpindah. Mereka yang berada  lebih dari tiga kilometer dari kawasan letupan masih diberi pengecualian untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, masih terdapat 2,500 orang berada dalam zon bahaya.

“Dua bot digunakan untuk mengangkut mereka untuk keluar dari kawasan terbabit. Pemindahan juga sukar dilakukan berikutan jambatan utama telah musnah akibat gegaran ketika letupan pertama minggu lalu,” katanya.