myMetroWarga Israel diperbodoh:
BAITULMAQDIS: Bekas pegawai kanan keselamatan Israel berkata, pemimpin kanan rejim Zionis itu mengelirukan orang ramai mengenai peluang kejayaan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.
Bercakap kepada orang awam di Kfar Saba, pinggir Tel Avis, semalam, Yuval Diskin berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak, membuat kenyataan menghangatkan lagi keadaan ketika ketegangan hubungan negara itu dengan Iran terus berlaku.
“Masalah utama saya ialah, saya tidak mempunyai keyakinan terhadap kepemimpinan Israel ketika ini yang pasti membawa kita kepada perang dengan Iran atau kemelut serantau,” katanya.
Kenyataan Diskin itu disiarkan stesen radio tentera dan akhbar popular Israel, Haaretz.
Diskin, 56, bertugas sebagai Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Awam atau Shabak (tetapi lebih dikenali sebagai Shin Bet) dari 2005 hingga 2011.
Kata Diskin, dia langsung tidak percaya kepada kepemimpinan Netanyahu atau Barak yang membuat keputusan seolah-olah mereka tahu segala-galanya.
“Percayalah, saya memerhatikan mereka dari dekat.
“Netanyahu dan Barak bukanlah tokoh - pada pandangan peribadi saya - yang boleh dipercayai untuk memimpin Israel.
“Mereka mengelirukan orang ramai dalam isu Iran dengan mendakwa, jika Israel memulakan tindakan ketenteraan, negara itu tidak akan dapat memiliki bom nuklear,” katanya. Menurut Diskin, ramai pakar bersependapat, jika Israel melakukan serangan, ia hanya akan mempercepat Iran dalam perlumbaan memiliki senjata nuklear. Mac lalu, bekas Ketua agensi perisikan Mossad, Meir Dagan, juga secara terbuka menentang rancangan Tel Aviv menggerakkan tenteranya untuk menyerang Iran. - AFP