Pages

Monday, August 29, 2011

Pengantin maut



SETIU – Inai masih merah di jari, namun takdir telah memisahkan sepasang suami isteri yang baru sebulan mendirikan rumah tangga, apabila si suami maut dalam kemalangan di Kampung Kolam, Merang, di sini, jam 7.50 malam kelmarin.

Mangsa, seorang buruh, Mohd Sapira Mohd Salleh, 30, ketika kejadian, mahu pulang ke rumahnya di Kampung Padang Pisang, Tepoh, Kuala Terengganu, namun hasratnya itu tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam kemalangan maut itu.

Mangsa yang memandu kereta Proton Saga dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu dilanggar sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu Mohamad Arif Mohamad, 16 tahun, dari Kampung Merang, Penarik.

Difahamkan mangsa baru sahaja mendirikan rumah tangga sebulan lalu dan ketika kejadian, arwah baru lepas menghantar isterinya pulang ke kampung di Rantau Panjang, Kelantan.

Menurut Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kemalangan itu berlaku apabila kereta yang dipandu Mohamad Arif gagal dikawal dalam keadaan hujan renyai sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, pemandu kereta Proton Saga maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat daerah Setiu kira-kira 15 minit kemudian.

“Manakala pemandu Proton Iswara pula mengalami kecederaan parah di seluruh bahagian badan dan dihantar ke Hospital Setiu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya.

Rohaizat berkata, kereta Proton Iswara itu remuk pada bahagian hadapan manakala Proton Saga pula remuk bahagian kanan akibat pertembungan kuat antara kedua-duanya.

Sementara itu, bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, anaknya baru sahaja keluar dari rumah selepas berbuka puasa bersama ahli keluarga untuk menghantar barang berdekatan rumahnya.

“Tidak sangka pula saya dikejutkan dengan berita kemalangan yang begitu menyayat hati kerana sebelum ini Mohamad Arif memang selalu membawa kereta saya walaupun tidak mempunyai lesen memandu.i,” katanya.-SH

Perebutan minyak bermula!



Selepas Gaddafi disingkir melalui pertempuran senjata, peperangan lain pula tercetus. Pengakhiran permainan berbahaya ini semakin hampir. Situasi dilihat semakin genting di Tripoli.

Kini, aset paling berharga Libya iaitu kekayaan minyak dan gas menjadi perhatian utama, dan perebutan untuk mendapatkan tempat terbaik dalam industri itu bermula.

Semasa kuasa dunia berasak-asak untuk mendapatkan manfaat besar daripada kontrak minyak dan pembinaan semula Libya yang akan diberi oleh kerajaan baru dipimpin pemberontak negara itu, tentu ada pesaing yang disiku keluar semasa pergelutan itu.

Syarikat minyak gergasi bergegas menempatkan diri untuk berusaha mendapatkan simpanan ‘emas hitam’ Libya berjumlah 40 bilion tong, iaitu terbesar di Afrika dan antara terbesar di dunia, selepas kejatuhan kerajaan Muammar Gaddafi.

Tujuan sebenar kempen negara Barat untuk menjatuhkan Gaddafi kini kelihatan semakin jelas.


Barat tidak sabar

Sebaik sahaja berita mengenai pemberontak memasuki dan menawan kediaman Gaddafi di Bab Al-Aziziya, Tripoli mula tersebar, syarikat minyak terbesar Itali, Eni SpA tidak membuang masa dan segera menghantar pasukan teknikal mereka untuk membantu penyambungan semula operasi di Libya, seperti diumumkan Kementerian Luar Itali sendiri, Isnin lalu.

Syarikat Marathon Oil berpusat di Houston, Amerika Syarikat (AS) juga mengadakan perbincangan awal dengan pemberontak mengenai keadaan loji minyak milik syarikat itu di Libya dan ingin memulakan kembali pengeluaran secepat mungkin.

Jurucakap syarikat minyak BP dari Britain juga menegaskan syarikat itu akan kembali ke Libya sebaik keadaan mengizinkan walaupun ia tidak memberikan jangka masa.

BP, Royal Dutch Shell, ENI, OMV, Repsol YPF SA dan Total adalah antara syarikat minyak Barat yang beroperasi di Libya sebelum konflik dalaman negara itu bermula.


Rusia, China bakal tersingkir

Selain kuasa Barat, syarikat minyak Rusia, Gazprom dan syarikat China turut beroperasi di Libya sebelum kekacauan di negara itu, malah kedua negara itulah yang mendominasi banyak pelaburan di Libya.

Namun, pengaturan semula kuasa di Tripoli kini bakal memberi kesan buruk kepada syarikat minyak dan tenaga dari Rusia dan China.

Syarikat minyak Barat mungkin berasa lega apabila mengetahui Rusia dan China - dua negara terpenting yang beroperasi di Libya sehingga kini - mungkin akan diketepikan oleh kerajaan baru Libya.

Ini kerana Moscow dan Beijing tidak menunjukkan sokongan kuat kepada pemberontak dan memilih pendirian berkecuali semasa undian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi melancarkan operasi ketenteraan ke atas Gaddafi, Mac lalu.

Jadi, akibat keengganan Rusia dan China menyokong kumpulan pemberontak Libya sebelum ini, kedudukan syarikat dari kedua negara itu dalam pertandingan merebut minyak ini dilihat sangat goyah.

Memang benar pemberontak berjanji akan memenuhi semua kontrak perniagaan yang ditandatangani pelabur dengan kerajaan Gaddafi.

Tetapi ketua parti pemberontak utama, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mustafa Jalil turut menegaskan mereka akan lebih menyebelahi negara yang memberi sokongan kepada pemberontak semasa konflik itu, sekali gus meletakkan China dan Rusia dalam keadaan tidak selamat.


“Kami tidak mempunyai masalah dengan negara Barat seperti Itali, Perancis dan Britain tetapi kami mungkin mempunyai sedikit isu politik dengan Rusia, China dan Brazil,” menurut Abdeljalil Mayouf, pengurus maklumat di syarikat minyak milik pemberontak Libya, AGOCO.

Kenyataan itu menandakan halangan yang bakal dihadapi negara yang menolak tindakan keras ke atas Gaddafi sekali gus membolehkan syarikat Eropah dan AS mendapatkan kontrak pembangunan dan cari gali minyak bernilai berbilion dolar di Libya tanpa persaingan sebenar daripada Rusia dan China.

Kesan ini sudah dapat dilihat apabila syarikat minyak dan gas terbesar China, Great Wall Drilling, iaitu anak syarikat China National Petroleum mengumumkan akan menutup enam projek besar di Libya, Syria dan beberapa negara bergolak lain akibat ketidakstabilan politik.

China yang menyedari kemungkinan ini segera menggesa NTC melindungi pelaburan negara Asia itu di Libya.

Pegawai kanan Kementerian Perdagangan China, Wen Zhongliang mengakui perubahan di Libya memberi kesan kepada aktiviti pelaburan Beijing di negara Afrika Utara itu.

“Pelaburan China di Libya terutama dalam industri minyak adalah untuk manfaat rakyat kedua-dua negara jadi kami harap selepas keadaan kembali stabil, Libya akan terus melindungi kepentingan dan hak pelabur China di negara itu,” katanya.

Keluhan juga kedengaran dari Rusia apabila ketua Majlis Perniagaan Rusia-Libya, Aram Shegunts memberi tahu agensi media Reuters bahawa konflik Libya menandakan pengakhiran pelaburan Rusia.

“Syarikat Rusia akan kehilangan segala-galanya di Libya kerana Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) akan menghalang kami menjalankan perniagaan,” katanya.


Perang belum berakhir

Banyak yang telah berubah di Libya sejak beberapa minggu lalu dan perubahan itu turut dirasakan industri tenaga.

Tsunami politik di Libya menyebabkan penyusunan semula kedudukan pemain-pemain utama dalam industri ini.

Pemain baru (dari Barat) kini muncul sebagai kuasa dominasi.

Sokongan kuat diperoleh daripada kerajaan pemberontak Libya menjadi jaminan mereka akan mendapat keuntungan besar selepas perang saudara di Libya dan sekali gus menyingkirkan pemain sedia ada (Rusia dan China) di negara itu.

Nato mungkin telah memenangi pertempuran kali ini tetapi peperangan sebenar untuk merebut kekayaan Libya tidak akan berakhir dalam masa terdekat.-SH

AS dakwa berjaya bunuh pemimpin kedua al-Qaeda





WASHINGTON 28 Ogos - Pemimpin No. 2 al-Qaeda, Atiyah Abd. al-Rahman (gambar) dibunuh di Pakistan, kata Amerika Syarikat (AS) yang menyifatkan ia memberi tekanan hebat kepada pertubuhan militan itu selepas kematian Osama bin Laden.
Berita kematian Atiyah itu dilaporkan ketika AS sedang bersiap sedia menyambut ulang tahun ke-10 memperingati serangan dahsyat al-Qaeda pada 11 September 2001 di Washington dan New York yang mengorbankan hampir 3,000 orang.
Menurut pegawai kanan AS, Atiyah yang merupakan rakyat Libya, dibunuh di barat laut Waziristan pada 22 Ogos tetapi tidak mendedahkan cara kematiannya.
Bagaimanapun, pegawai tempatan di daerah itu memberitahu AFPminggu lalu yang AS melakukan serangan pada 22 Ogos menaiki kenderaan di Waziristan Utara dan membunuh sekurang-kurangnya empat militan.
Sumber tidak dapat memastikan jika dua insiden tersebut merupakan insiden yang sama.
Pegawai kanan AS yang enggan namanya disiarkan berkata, kematian Atiyah pasti amat dirasai al-Qaeda kerana ketua baru kumpulan itu, Ayman al-Zawahiri, bergantung kepadanya sejak komando AS membunuh Osama pada 2 Mei lalu.
Tambahnya, kematian Atiyah merupakan pakar bahan letupan serta dijanjikan ganjaran sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) jika berjaya membunuhnya, merupakan satu kehilangan yang amat besar buat al-Qaeda.
"Barang-barang yang ditemui di kawasan rumah Osama menunjukkan dengan jelas bahawa Atiyah terlibat secara mendalam dalam mengarahkan operasi al-Qaeda malah sebelum serbuan itu.
"Dia mempunyai pelbagai tanggungjawab di dalam kumpulan itu dan amat sukar digantikan," kata pegawai tersebut.
Menurut pihak berkuasa AS, Atiyah yang berusia lewat 30-an, dipilih sendiri oleh Osama dan merupakan utusan al-Qaeda di Iran, merekrut serta mengadakan perbincangan dengan kumpulan Islam yang lain untuk beroperasi di bawah al-Qaeda. - AFP, utusan

Dua wanita maut dirempuh van


Keadaan kereta yang dinaiki mangsa remuk selepas dirempuh sebuah van di Kilometer 202, Lebuh Raya Utara-Selatan, Bagan Serai, semalam.




BAGAN SERAI 28 Ogos - Dua penumpang maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum dirempuh sebuah van di Kilometer 202, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah di sini tengah malam tadi.
Kedua-dua mangsa ialah Noorzaihan Ishak, 28, dan adik iparnya Nurhasyimah Halim, 20.
Ketika kejadian kira-kira pukul 12.08 tengah malam mereka dalam perjalanan dari Kedah ke rumah suami Noorzaihan di Batu Caves, Selangor untuk pulang berhari raya.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kereta Proton Satria yang dipandu suami Noorzaihan gagal dikawal selepas dipotong secara laju oleh sebuah kenderaan lain.
Berikutan itu, kereta dinaiki keluarga malang itu terbabas dan merempuh besi penghadang di tengah lebuh raya.
Mat Fauzi berkata, ketiga-tiga mereka kemudian cuba keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.
"Tiba-tiba, sebuah van tidak sempat mengelak lalu merempuh kedua-dua wanita itu menyebabkan mereka tercampak dan cedera parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, suami Noorzaihan bagaimanapun terselamat apabila sempat mengelak dirempuh van itu.
Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat, manakala pemandu van bersama tiga penumpang cedera ringan.utusan

Pulang selepas 4 hari

MALU...dua gadis terbabit pada sidang media, semalam.
MALU...dua gadis terbabit pada sidang media, semalam.
KUALA LUMPUR: Dua pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini yang hilang sejak empat hari lalu pulang ke rumah kira-kira jam 4 petang kelmarin selepas dipujuk ibu bapa mereka.
Remaja terbabit yang dikenali sebagai Cheng Cheng dan Ke ke, masing-masing 14, dipercayai melarikan diri selepas tidak pulang ke rumah mereka selepas waktu persekolahan Rabu lalu kerana khuatir dimarahi ibu mereka akibat terlewat pulang.

Kedua mereka dipercayai menyembunyikan diri di rumah teman lelaki di lokasi yang tidak diketahui sebelum pulang ke rumah selepas mendapati kes kehilangan mereka menjadi perhatian.

Menurut ibu mereka yang tidak mahu dikenali, dia mula risaukan anaknya yang tidak pulang ke rumah hingga lewat petang dan tidak menghubunginya.

“Saya membuat laporan polis pada hari sama.

“Bagaimanapun, petang Sabtu lalu, mereka berdua muncul di depan rumah dalam keadaan terpinga-pinga sambil menangis memohon maaf kerana tidak pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia, semalam.hmetro

Lelaki diculik di dalam rumah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 39 tahun kerugian wang tunai dan barang berharga bernilai kira-kira RM8,000 apabila ‘ditawan’ empat individu dipercayai menyamar anggota polis sebelum diculik di rumahnya di Jalan Kuchai Lama, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam, pintu rumah mangsa diketuk seseorang yang memperkenalkan dirinya Ah Heng dan sebaik membuka pintu jeriji rumahnya, seorang wanita dan dua lelaki lain berusia 30-an meluru masuk.

Seorang daripada suspek menunjukkan dokumen pengenalan diri yang kononnya kuasa polis kepada mangsa sebelum menggari tangannya.

Menurut sumber, empat individu itu menuduh mangsa along dan mereka ditugaskan menggeledah rumahnya bagi tujuan siasatan.

“Suspek mengambil komputer riba, dua telefon bimbit dan dompet mengandungi wang tunai,” katanya.

Tidak berpuas hati, suspek menuduh mangsa terbabit dalam satu kes dan memintanya menghubungi seorang rakannya bagi menyelesaikan kes berkenaan.


Mangsa dipaksa menyuruh rakannya memasukkan wang RM5,000 ke dalam akaunnya.

“Pada kira-kira jam 10.40 malam, suspek membawa mangsa ke sebuah hotel di Bukit Bintang dan dikurung dalam bilik terbabit.

“Mereka meminta suspek memberikan nombor pin kad ATM miliknya dan membuat pengeluaran wang RM1,000 kira-kira jam 12.05 tengah malam, manakala RM4,000 pada jam 7 pagi keesokan harinya,” katanya.

Sumber berkata, selepas mendapat wang terbabit, suspek mengembalikan dompet mangsa, namun komputer riba serta telefon bimbitnya tidak dikembalikan.

Mangsa dibebaskan pada jam 9 pagi dan kerana bimbangkan keselamatan dirinya, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes terbabit.hmetro

Benjy masuk ICU

LEMAH...keadaan Benjy yang dirawat di wad ICU Hospital Putrajaya.
LEMAH...keadaan Benjy yang dirawat di wad ICU Hospital Putrajaya.
PUTRAJAYA: “Lemah”. Hanya itu perkataan yang keluar dari mulut pelakon, Khairil Benjamin Ibrahim, 33, atau lebih dikenali sebagai Benjy yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya, di sini, selepas diserang penyakit asma kronik.
Difahamkan Benjy dimasukkan ke hospital berkenaan sejak tiga hari lalu kerana menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di hidungnya yang selama ini menyebabkan dia sukar bernafas.

Bagaimanapun, selepas pembedahan itu dia diserang asma teruk sehingga memerlukannya menggunakan alat bantuan pernafasan.

Anak lelaki tunggal seniwati terkenal Azean Irdawaty itu ketika ditemui di hospital berkenaan, petang semalam kelihatan payah bercakap akibat kesukaran bernafas.

Namun, sewaktu kunjungan wakil Harian Metro, alat bantuan pernafasan sudah dibuka dan dia boleh bernafas sendiri walaupun dalam tersekat-sekat.

Walaupun lemah, keadaannya stabil, tetapi belum mengetahui bila dapat keluar dari wad berkenaan.


“Lemah, tapi lebih baik,” katanya, sambil sesekali memejamkan mata dan sering menarik nafas panjang.

Benjy berkata, sepanjang berada di hospital dia ditemani bapanya, Khairil Anuar Zainal Mukhtar.

Ini kali kedua Benjy dimasukkan ke ICU akibat diserang asma. Pada 20 April lalu, Benjy yang ketika itu dalam perbicaraan membabitkan kes dadah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dimasukkan Hospital Pakar Damansara kerana mengalami masalah pernafasan dan asma.

Benjy sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila ditahan polis di rumahnya Mac tahun lalu, untuk membantu siasatan kes pengedaran dadah.

Selepas lebih setahun kes itu dibicarakan di mahkamah, Benjy dikenakan hukuman denda RM5,000 kerana kesalahan memiliki 0.24 gram syabu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Hafizza Sauni, 17 Ogos lalu.hmetro

7 masjid untuk atasi kesesakan Masjidil Haram

JEDDAH: Bekas Datuk Bandar Makkah mencadangkan supaya dibina tujuh buah masjid besar di lokasi penting dalam kawasan Tanah Haram untuk mengelak kesesakan di Masjidil Haram.
Fouad Muhammad Tawfik berkata,langkah itu penting kerana jumlah jemaah yang datang untuk beribadah di Makkah, semakin meningkat setiap tahun.
Raja Abdullah baru-baru ini melancarkan projek pembesaran Masjidil Haram untuk menampung jumlah jemaah sehingga 2.5 juta orang dengan kos SR80 bilion (RM 63.67 bilion).

Katanya, pembesaran Masjidil Haram, di kawasan saie dan di Jamrah adalah langkah strategik untuk mengawal pergerakan jemaah dan membantu mereka melakukan ibadah dengan mudah dan selesa.


“Kita harus memikirkan tentang kemungkinan jumlah jemaah yang ramai yang datang ke Makkah untuk mengerjakan haji dan umrah pada masa akan datang.
“Kita harus mencari satu penyelesaian pada masalah jumlah jemaah yang ramai dan mencari jalan untuk memecahkan jumlah itu,” katanya.

Katanya lagi, “Kita tahu Allah menjadikan seluruh Makkah ini kawasan Haram dan sempadannya bukan tertumpu di Masjidil Haram saja. Ada beberapa buah rumah dan bangunan yang dipecahkan sebelum masjid ini dibina seperti sekarang.”

Menurutnya, kunci utamanya, seluruh Makkah dijadikan kawasan Haram dan ini memudahkan kerajaan mencari penyelesaian mengurangkan kesesakan.

“Ini bermanka, di mana saja anda solat, anda pasti berada di kawasan Haram,” kata Fouad. - AN, hmetro

Atiyah terbunuh

WASHINGTON: Orang nombor dua paling penting dalam kumpulan Al-Qaeda, Atiyah Abd al-Rahman terbunuh dalam satu serangan di Pakistan.
Ia satu lagi tamparan hebat kepada kumpulan berkenaan setelah Osama bin Laden dibunuh tentera Amerika Syarikat, juga di Pakistan, beberapa bulan lalu.
Berita kematian Atiyah diumumkan ketika Amerika Syarikat bersiap memperingati ulang tahun ke-10 serangan 13 September Al-Qaeda terhadap negara itu.

Seorang pegawai kanan Amerika berkata, Atiyah, rakyat Libya terbunuh di barat laut kawasan puak Waziristan pada 22 Ogos.


Dia selama ini bertanggungjawab dalam operasi Al-Qaeda.

Pegawai berkenaan bagaimanapun enggan memberitahu bagaimana Atiyah dibunuh.

Pegawai tempatan di wilayah itu berkata, pesawat tanpa juruterbang Amerika menembak sebuah kenderaan di utara Waziristan pada 22 Ogos dan membunuh empat pejuang.
Tidak dapat dipastikan sama ada Atiyah antara yang terbunuh dalam serangan berkenaan.

Pegawai kanan AS yang enggan namanya disiarkan berkata, kematian Atiyah amat dirasakan oleh kumpulan Al-Qaeda kerana ketua kumpulan yang baru, Ayman al-Zawahiri sangat bergantung kepada Atiyah sejak komando tentera Amerika Syarikat membunuh Osama pada 2 Mei lalu.

Ketua Al-Qaeda itu dibunuh dalam sebuah rumah besar tempat dia bersembunyi, berhampiran sebuah akademi tentera.

Amerika Syarikat menawarkan hadiah AS$1 juta (RM2.98 juta) kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat mengenai kedudukan Atiyah, pakar bahan letupan Al-Qaeda.

“Ia pasti kehilangan besar kepada Al-Qaeda. Bahan yang ditemui di tempat persembunyian Osama menunjukkan Atiyah orang penting dalam memimpin operasi Al-Qaeda walaupun sebelum serangan itu,” kata pegawai berkenaan.

“Dia mempunyai tanggungjawab yang pelbagai dalam organisasi itu dan kehilangannya sukar diganti.”

Menurut pihak berkuasa Amerika, Atiyah yang berusia lewat 30-an itu, dilantik sendiri oleh Osama dan dia yang bertanggungjawab merekrut ahli baru serta menganjurkan perbincangan dengan kumpulan militan Islam lain. - AFP, hmetro

Gaddafi perlu serah diri sebelum berunding

TRIPOLI:Kerajaan pemberontak Libya tidak akan berunding dengan Muammar Gaddafi kecuali beliau menyerah diri.
Pegawai Kanan Majlis Peralihan Kebangsaan, Ali Tarhouni berkata, pihaknya tidak tahu di mana bekas pemimpin Libya itu.
‘Tiada rundingan dengan Gaddafi. Jika beliau mahu menyerah diri, kami akan berunding dan menangkapnya,” kata Ali.

Jurucakap Gaddafi, Moussa Ibrahim sebelum ini menawar untuk berunding bagi membentuk sebuah kerajaan peralihan.


Moussa juga berkata Gaddafi masih berada di Libya. - AFP, hmetro

Perlu lebih 10 hari untuk tawan Sirte

BENGHAZI: Pemberontak Libya mungkin memerlukan masa lebih 10 hari untuk menawan Sirte, bandar asal Muammar Gaddafi, Libya dan satu daripada kubu kuat penyokongnya.
Pegawai kanan pemberontak, Kolonel Salem Muftah al-Refaidy berkata, anggotanya sudah mara ke Sirte dari timur dan barat bandar berkenaan dan akan bertempur jika perlu.

Salem juga berkata, pihaknya berusaha mengadakan rundingan bagi memujuk penyokong Gaddafi menyerah diri.

“Pertumpahan darah bukan matlamat kami. Yang kami perjuangkan ialah pembebasan. Kami tidak mahukan lebih banyak pertumpahan darah, lebih-lebih lagi di di kalangan kanak-kanak, golongan tua dan orang awam,” katanya. Bercakap kepada wartawan di Benghazi, Salem juga berkata, pihaknya tidak akan meminta maaf daripada sesiapa, termasuk keluarga Gaddafi.

“Ia sudah berlalu. Libya sudah dibebaskan,” katanya. - Reuters, bharian

Bekas majikan ampun amah sempena Ramadan

RIYADH: Seorang pembantu rumah warga Filipina yang dituduh mencuri telah dihantar pulang selepas bekas majikannya menarik balik kes berkenaan atas alasan bulan puasa.
Kes terhadap Linda Grace de la Rossa difailkan di mahkamah Dammam pada 29 Jun lalu.

Ketika dihadapkan ke mahkamah sebelum ini, De la Rosa menolak tuduhan dia mencuri barang kemas berjumlah SR375,000 (RM 300,000) milik majikannya dengan alasan dia tidak dibenarkan memasuki kamar tidur keluarga itu.

Kedutaan Filipina di Riyadh berkata, bekas majikan De la Rosa mengambil keputusan menarik balik tuduhan itu serta membelikan tiket sehala ke Manila dan membayar sagu hati berjumlah SR10,000 (RM8,000).

“Wanita itu juga menerima gaji tertunggaknya,” kata pegawai kedutaan itu. - AN.hmetro

Derita model seluar dalam

NEW YORK: Bagaimana agaknya perasaan dapat memakai pakaian dalam berlian berharga RM13.4 juta?
“Menyakitkan,” itu yang dikatakan model seluar dalam Victoria’s Secret yang pernah memperagakan pakaian dalam itu, Selita Ebanks (gambar).

Selita menjadi model fesyen syarikat berkenaan dari 2005 hingga 2008.

Dia terpilih memperagakan pakaian dalam 'Holiday Fantasy Bra Set' pada 2007. Pakaian itu disifatkan sebagai amat seksi dan dihiasi dengan berlian, permata, delima dan nilam yang berharga AS$4.5 juta (RM13.4 juta).

Bagi sebahagian orang, mereka tentu terfikir betapa beruntungngnya model yang memperagakan seluar dalam itu.

Tapi bagi Selita, saat itu sungguh tidak menyelesakan.


“Sakit. Ya, berlian itu membuat saya sakit,” kata bekas tunang Nick Cannon itu, seperti yang dipetik oleh akhbar Huffington Post.

“Saya merasakan kemaluan saya digores pada setiap langkah. Ia sudah pasti bukan cara yang betul untuk menarik perhatian lelaki. Tidak ada lelaki yang suka dengan wanita yang luka pada kemaluannya,” kata model berusia 28 tahun itu.

Menurutnya, ketika memakai seluar dalam itu, dia tidak merasa dirinya seksi.

“Itu bukan seksi, tapi seksa. Tidak ada orang yang mahu kemaluannya luka,” katanya. -Agensi, hmetro

Penyokong Gaddafi bunuh tahanan

SEORANG pejuang menutup hidung dan melihat 53 mayat  yang rentung dipercayai mereka yang menentang Gaddafi, yang ditemui di sebuah gudang  bandar Tripoli.
SEORANG pejuang menutup hidung dan melihat 53 mayat yang rentung dipercayai mereka yang menentang Gaddafi, yang ditemui di sebuah gudang bandar Tripoli.
TRIPOLI: Tentera Muammar Gaddafi mungkin membunuh tahanan dan orang awam ketika pemberontak menawan bandar raya ini minggu lalu.
Jalan raya Tripoli dicemari dengan mayat reput dan sisa peperangan selepas pertempuran sengit meletus antara pemberontak dengan tentera Gaddafi, bertujuan menamatkan pemerintahan 42 tahun pemimpin itu.
“Bukti yang berjaya kami kumpul setakat ini menunjukkan kerajaan Gaddafi terbabit dalam pembunuhan ketika Tripoli jatuh,” kata Pengarah HRW Afrika Utara, Sarah Leah Whitson.

Dalam satu kenyataan, dia berkata, kira-kira 18 mayat penuh dengan peluru, dua dengan tangan terikat, ditemui di tebing sungai berhampiran kompleks kediaman Gaddafi, Bab al-Aziziya.


Sebanyak 29 mayat ditemui dalam satu klinik sementara di perkarangan kompleks itu, dipercayai dibunuh, kata HRW lagi.

Empat mayat ditemui di atas katil lipat dan satu ditemui dengan tangan terikat.

Menurut HRW lagi, tiga mangsa yang terselamat daripada hukuman bunuh oleh kumpulan pro-Gaddafi termasuk seorang lelaki yang terkena tiga das tembakan apabila kumpulan itu menembak secara rambang ke sebuah bilik yang menempatkan 25 tahanan, selepas menerima arahan untuk ‘membunuh mereka semua.’

Menurut saksi, bunyi suara pejuang jelas kedengaran sebelum semua tahanan itu ditembak mati.

“Kejadian ini, mungkin sebahagian daripada kisah bagaimana tentera Gaddafi melakukan keganasan sama ada secara sistematik ataupun dirancang,” kata Whitson.

“Sekiranya kejadian ini terbukti melanggar hukum, maka mereka telah melakukan jenayah perang yang serius dan semua yang bertanggungjawab mesti di bawa ke muka pengadilan.”

Wartawan Reuters di Tripoli sendiri menyaksikan beberapa pembunuhan beramai-ramai dengan tangan mangsa diikat. - AP, hmetro

Hantar SMS talak diri sendiri

MALU...pasangan yang dicekup, kelmarin.
MALU...pasangan yang dicekup, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 41 tahun nekad ‘menceraikan dirinya sendiri’ selepas rahsia hubungan sulitnya dengan lelaki lain sejak tiga tahun lalu dikesan suaminya.
Perbuatan itu dilakukan apabila dia mengambil telefon bimbit suaminya dan menghantar SMS ke telefon bimbitnya dengan menjatuhkan talak tiga terhadapnya demi memastikan dia dapat meneruskan hubungan sulit dengan kekasihnya.
Bagaimanapun, perbuatan curang wanita itu sejak hampir dua tahun lalu terbongkar apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika bersekedudukan bersama kekasihnya di sebuah rumah di Setapak, di sini, kira-kira jam 1 pagi, kelmarin.

Suami mangsa, ahli perniagaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) berusia 48 tahun yang mahu dikenali sebagai Jason, berkata dia dan isterinya mendirikan rumah tangga sejak 1996 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu dua perempuan serta seorang lelaki berusia 10 hingga 16 tahun.


Jason yang sering pulang ke negara asal untuk menguruskan perniagaannya berkata, dia mula mengesyaki kecurangan isterinya itu selepas terserempak wanita terbabit bersama lelaki lain turun dari sebuah hotel di Ampang pada hujung 2009.bharian

Anak Sosilawati akhiri zaman bujang

Erni
Erni

BATU PAHAT: Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 26, anak sulung kepada pengasas dan jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, bakal mengakhiri zaman bujangnya selepas dikatakan memohon restu untuk berkahwin kepada keluarga terdekatnya, di sini, baru-baru ini.

Berita mengenai Erni atau lebih dikenali dengan panggilan Rita yang bakal mendirikan rumah tangga itu mulai hangat diperkatakan masyarakat setempat berikutan bakal suaminya itu adalah pegawai kanan sebuah kementerian serta aktif dalam kancah politik negara, selain turut berasal dari daerah ini.
Menurut sumber, pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham, United Kingdom itu menyatakan hasrat berkenaan kepada keluarga terdekatnya sewaktu pulang ke kampung, baru-baru ini.
"Beliau (Rita) sudah meminta restu daripada sanak keluarga terdekatnya mengenai perkara berkenaan (perkahwinan) dan menyatakan mungkin ini adalah jodoh terbaiknya serta waktu yang sesuai untuk beliau memulakan hidup berkeluarga.

"Namun, Rita tidak menyatakan pula secara terperinci mengenai perancangan perkahwinannya termasuk tarikhnya...tetapi yang pasti ini adalah berita yang amat menggembirakan keluarga berkenaan selepas apa yang mereka tempoh sejak setahun lalu," katanya.

Perkhabaran terbaru ini sekali gus menutup segala spekulasi berhubung jejaka yang sering dikaitkan dengan Rita sebelum ini, walaupun dia menyangkal perkara itu.

Sementara itu, Rita dan lima adik beradiknya akan pulang menyambut Aidilfitri di kampung arwah ibu mereka di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, dekat sini dan meneruskan tradisi dilakukan jutawan kosmetik berkenaan yang akan menganjurkan rumah terbuka kepada penduduk setempat.
Ibu saudaranya, Rosnani Lawiya, 47, berkata rumah terbuka yang akan diadakan di rumah nenek Rita, Yatmah Abdul Rahman, 81, akan dianjurkan secara lebih sederhana termasuk mengadakan tahlil. bharian

25 pelajar Malaysia dipindah

BOYA   yang diletakkan di jeti  Ocean City tumbang  selepas dilanda Taufan Irene, semalam.
BOYA yang diletakkan di jeti Ocean City tumbang selepas dilanda Taufan Irene, semalam.

Keluarga tak perlu bimbang anak berada dalam selamat ketika Taufan Irene

KUALA LUMPUR: Seramai 25 pelajar Malaysia yang menuntut di Stevens Institute of Technology, di bandar Hoboken, New Jersey sudah dipindahkan ke kawasan selamat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini susulan Taufan Irene yang melan-da New York sejak petang kelmarin.
Sehubungan itu, keluarga kesemua pelajar berkenaan diminta tidak bimbang dengan kejadian yang berlaku di sana kerana keadaannya masih terkawal.
Pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal, Ammar Sirry Yashaa, 25 berkata sebagai langkah berjaga-jaga, pihak universiti mengarahkan mereka berpindah ke kawasan Castle Point, satu kawasan di dalam kampus yang lebih selamat kerana kedudukannya paling tinggi di bandar Hoboken.

Katanya, keadaan di kampus berkenaan masih lagi stabil, namun pihak berkuasa di sana sudah mengeluarkan arahan kepada penduduk tempatan yang tinggal di kawasan lebih rendah supaya mengosongkan kediaman masing-masing buat sementara waktu.

“Kami akan ditempatkan di sini sehingga taufan reda dan setakat ini, keadaan masih terkawal dan bekalan makanan masih mencukupi. Bekalan air dan elektrik juga masih berfungsi seperti biasa.

“Bagaimanapun, kami masih perlu menunggu sehingga taufan berakhir dan melihat kesannya. Sekiranya banjir berlaku, kami perlu tinggal di sini sehingga banjir surut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Ammar yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) berkata, besar kemungkinan juga mereka akan menyambut Aidilfitri di kawasan pemindahan berkenaan, sekiranya keadaan masih tidak pulih.

Bagi pelajar tahun ketiga ijazah kejuruteraan mekanikal, Fauzan Afandi, 21, berkata sambutan Aidilfitri mungkin diteruskan seperti biasa kerana taufan dijangka berakhir petang ini (semalam).

“Hari raya dijangka jatuh pada Rabu dan kebiasaannya kami akan bersama-sama warga negara yang lain menyambut Aidilfitri di konsulat Malaysia di New York.

“Bagaimanapun, sekiranya keadaan di New York belum pulih, kami hanya akan menyambut Aidilfitri dengan suasana yang sederhana di kampus,” katanya yang berasal dari Kangar, Perlis.

Sementara itu, Penasihat Kedutaan dan Ketua Canseri bagi Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB, Loh Teck Siong, berkata beliau bersama isteri dan anak lelaki berusia 13 tahun juga sudah berpindah ke 10 Waterside Plaza di 23rd Street di Manhattan yang menghadap East River iaitu Zon A untuk perpindahan.

Katanya, pusat Taufan Irene dijangka tiba di New York antara 3 pagi dan 7 pagi waktu tempatan (3 petang dan 7 malam waktu Malaysia) ini (semalam).

“Ada lebih 1,000 rakyat Malaysia yang tinggal di New York dan bandar raya itu kini sunyi sepi apabila semua penduduk berada di dalam rumah demi keselamatan diri, manakala semua kedai dan pengangkutan awam termasuk lapangan terbang ditutup,” katanya. bharian

Dua juta jemaah hadir khatam Quran

PENDUDUK Islam Palestin  ketika mengadakan solat tarawih di masjid  Al Emari di Bandar raya Gaza, kelmarin.
PENDUDUK Islam Palestin ketika mengadakan solat tarawih di masjid Al Emari di Bandar raya Gaza, kelmarin.

Bacaan ketika solat Tarawih 

MAKKAH: Lebih dua juta jemaah dan pelawat menghadiri upacara khatam al-Quran malam tadi di dua masjid suci di sini dan Madinah.
Kitab al-Quran yang dibacakan ketika solat Terawih, biasanya dialunkan sebagai penutup pada malam Ramadan ke-28.
Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci dan semua badan terbabit menyelesaikan semua urusan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah dan pelawat.

Naib presidennya Sheikh Muhammad Al-Khuzaim, berkata pihaknya mengambil 6,600 kakitangan lelaki dan wanita untuk melaksanakan rancangannya malam tadi bertujuan membolehkan semua yang hadir di Masjid Agung menikmati bacaan ayat suci dalam keadaan selesa.

Badan itu menyediakan ribuan kerusi roda untuk warga emas menggunakannya secara percuma ketika melakukan ibadat saie, yang membabitkan ulang alik antara gunung Safa dan Marwah.

“Ada tangga khas bagi mereka yang memerlukan bantuan dan tangga bergerak untuk membawa jemaah ke tingkat dua dan bumbung masjid,” katanya. Al-Khuzaim berkata, pihaknya mengagihkan kuantiti besar air Zamzam sejuk di seluruh masjid.

Katanya, ada 176 pintu pagar menghala ke Haram, bumbung dan ruangan bawah dipantau 926 kakitangan bagi memastikan jemaah masuk dan keluar secara lancar.

Datuk bandar Makkah, Osama Al-Bar, berkata tukang cuci bekerja 24 jam sehari di Haram dan plazanya. – Agensi , bharian

Mahkamah arah rampas harta, akaun bank Musharraf

Pervez Musharraf
Pervez Musharraf

ISLAMABAD: Sebuah mahkamah Pakistan mengarahkan rampasan harta bekas presiden Pervez Musharraf yang kini tinggal dalam buangan dan pembekuan akaun banknya di sini berhubung tuduhan beliau gagal menyediakan kawalan keselamatan ke atas bekas perdana menteri yang dibunuh Benazir Bhutto, kata seorang peguam semalam.

Bhutto adalah perdana menteri wanita pertama dalam dunia Islam. Beliau dibunuh pada Disember 2007, ketika Musharraf menjadi presiden, dalam serangan senjata dan bunuh diri selepas satu perhimpunan pilihan raya di bandar Rawalpindi sejurus kembali daripada tinggal dalam buangan.
Sebuah mahkamah anti-keganasan Februari lalu mengeluarkan satu waran tangkap untuk Musharraf, yang kini tinggal dalam buangan di Dubai dan mengisytiharkannya seorang pelarian undang-undang selepas gagal memberi maklum balas.
Mahkamah kelmarin mengarahkan rampasan keseluruhan hartanahnya dan pembekuan akaun bank di Pakistan selepas beliau sekali lagi gagal memberi maklum balas terhadap tuduhan ke atasnya.

“Mahkamah mengeluarkan arahan kerana beliau dituduh dalam kes itu dan gagal hadir di mahkamah,” kata Chaudhry Zulfiqar Ali, seorang pendakwa raya kerajaan kepada Reuters.

Rampasan hartanah termasuk sebuah rumah ladang di sini dan beberapa plot kediaman selain akaun bank bernilai 90 juta rupee (RM2.98 juta). – Reuters , bharian

Taufan Irene ragut 9 nyawa


DENISE Robinson (kiri) dan Rich Brown mengemas rumah mereka yang dilanda taufan di Sandbridge, Virginia, semalam.
DENISE Robinson (kiri) dan Rich Brown mengemas rumah mereka yang dilanda taufan di Sandbridge, Virginia, semalam.

Dua juta penduduk bergelap, ramalan paras air naik setinggi 2.4m 

NEW YORK: Sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh, apabila Taufan Irene membadai Carolina Utara dan Virginia ketika ia menghala ke bandar raya New York semalam.
Pada masa sama, lebih dua juta penduduk dari Carolina Selatan hingga Maryland pula terpaksa bergelap apabila kedatangan Irene juga menyebabkan banjir dan angin kencang yang menumbangkan tiang elektrik.
Kekuatan Irene diturunkan kepada kategori satu tetapi ketika menghampiri New York, jabatan kaji cuaca dalam ramalannya memberi amaran Irene menghampiri kekuatan taufan.

Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan melaporkan pihaknya bersedia berdepan puting beliung di New York, Long Island dan Connecticut selatan, ketika ia dilaporkan Delaware dan Maryland.

Pakar kaji cuaca bagi Pusat Taufan Kebangsaan (NOAA), Daniel Browin, berkata ribut akan menyebabkan kenaikan paras air setinggi 1.2 hingga 2.4 meter (m) di kawasan bakal dilanda taufan itu.

“Di kawasan berhampiran pantai, taufan itu membawa bersama ombak besar, berbahaya dan mengancam nyawa,” katanya.
Seorang budak lelaki berusia 11 tahun di Virginia maut apabila pokok tumbang di atas rumahnya dan di Carolina Utara seorang lagi kanak-kanak terkorban dalam kemalangan di persimpangan jalan berikutan lampu isyarat rosak.

Sementara itu, hos rancangan bual bicara kontroversi, Glenn Beck, menyifatkan Taufan Irene sebagai ‘rahmat Tuhan’ dan berkata kedatangan ribut maut itu mengajar penduduk supaya lebih bersedia berdepan bencana semula jadi.

Bercakap dalam programnya di radio, beliau menggesa pendengar bersedia berdepan masalah makanan global.

Presiden Barack Obama melawat ibu pejabat Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan meninjau persediaan dan aktiviti tindak balas ke atas kejadian kecemasan.

Di NEW YORK, persediaan berdepan taufan itu menjadi amalan biasa namun penduduknya terus dilanda kebimbangan.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, mengulangi amaran apabila ramai penduduk kelihatan tidak mempedulikan arahan pemindahan mandatori yang meliputi kawasan di Manhattan dan kawasan persisiran pantai. – Agensi

Melecur terkena renjatan elektrik


KESAN simen berlubang di Stesen Komuter Sungai Gadut, Seremban selepas seorang kanak-kanak terkena rencatan elektrik semalam.

SEREMBAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera parah selepas terkena renjatan elektrik dipercayai dari kabel bervoltan tinggi ketika bermain alat kawalan jauh di Stesen Komuter Sungai Gadut dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.35 pagi itu, mangsa Mohd. Shafiq Mat Isa melecur pada kedua-dua belah tangan, kaki kiri dan sebahagian badannya.
Alat kawalan jauh yang digunakan untuk bermain kereta pula terbakar.
Kejadian tersebut berlaku ketika kanak-kanak malang terbabit mengikut ibunya yang sedang bekerja di stesen komuter itu sebagai kakitangan pembersihan.
Ibu mangsa, Norashahin Ujang 52, berkata, ketika kejadian dia sedang membersihkan sebuah gerabak komuter manakala anaknya itu bermain sebuah alat kawalan jauh (tanpa kereta mainan) di luar gerabak berkenaan.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan apabila menjenguk keluar tingkap gerabak saya terkejut melihat anak saya sudah terbaring di atas lantai dengan tubuhnya berasap,” kata Norashahin ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJ) di sini semalam.kosmo

17 terkorban pada hari kelima Ops Sikap ke-24


KEADAAN trafik yang tidak sesak di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh memudahkan orang pulang berhari raya semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 17 orang maut dalam nahas jalan raya pada hari kelima Ops Sikap ke-24 pada Sabtu lalu.
Jumlah itu berkurangan berbanding 24 kematian yang dicatatkan pada hari keempat operasi itu walaupun terdapat peningkatan jumlah kenderaan di jalan-jalan utama di seluruh negara.kosmo

Taufan Irene badai New Jersey


Reuters IMEJ satelit menunjukkan Taufan Irene selepas ia membadai pesisir pantai Amerika Syarikat di sebelah Lautan Atlantik kelmarin.

TOMS RIVER, Amerika Syarikat (AS) – Lebih sejuta orang melarikan diri dari bandar-bandar peranginan di sepanjang pantai New Jersey beberapa jam sebelum Taufan Irene melanda negeri berkenaan kelmarin.
Orang ramai yang tinggal di pesisir pantai dan pulau termasuk lokasi terkenal seperti Atlantic City, Cap May serta Pulau Long Beach diwajibkan berpindah.
Taufan Irene dijangka melanda negeri itu dengan kelajuan angin mencapai 120 kilometer (km) sejam.
Taufan berkenaan turut membawa hujan 15 sentimeter (sm) hingga 30 sm sejak malam kelmarin.
Sebelum ini, sebanyak empat kematian dilaporkan berlaku di negeri Carolina Utara dan Virginia yang turut dilanda taufan tersebut.
“Lebih sejuta orang telah meninggalkan kawasan pantai di New Jersey dalam tempoh 24 jam yang lalu.
“Cara terbaik untuk mengelakkan kemalangan jiwa adalah tiada siapa yang boleh tinggal di kediaman mereka,” kata Gabenor Chris Christie dalam satu sidang media.
Sebelum itu, bandar raya New York lumpuh dibadai Taufan Irene dengan bekalan elektrik kepada 2 juta kediaman dan premis perniagaan terputus.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh akibat bencana alam itu di AS. - Agensi, kosmo

Menteri guna wang rakyat belajar bahasa Mandarin


SETIAUSAHA Kebudayaan Britain, Jeremy Hunt bersama isterinya, Lucia.

LONDON – Seorang menteri Kabinet Britain yang juga jutawan, Jeremy Hunt dihimpit kontroversi selepas beliau didapati menggunakan wang rakyat sebanyak £2,500 (RM12,217) untuk belajar bertutur dalam bahasa Mandarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Hunt, 44, diselar banyak pihak kerana beliau boleh mempelajari bahasa tersebut secara percuma daripada isterinya yang berketurunan Cina.
Beliau yang memegang jawatan Setiausaha Kebudayaan dan berstatus menteri kabinet memperoleh gaji sebanyak £135,000 (RM656,426) setahun.
Media tempatan memperoleh maklumat mengenai yuran kelas bahasa Mandarin yang disertai Hunt melalui Akta Kebebasan Maklumat Britain.
Pada tahun lalau, Hunt turut membayar bonus hampir £2 juta (RM9.7 juta) kepada dirinya sendiri hasil keuntungan syarikat penerbitan miliknya, Hotcourses.
Beliau mengahwini isterinya, Lucia di bandar kelahiran wanita itu, Xian, di China dua tahun lalu.
– Agensi, kosmo

Dua tanduk badak sumbu palsu dicuri


KEADAAN model seekor badak sumbu India yang dipamerkan di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Tring, London yang telah dicuri tanduknya.


LONDON – Pencuri yang memecah masuk ke dalam Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Tring, London berputih mata kerana dua tanduk badak sumbu yang mereka curi itu adalah palsu.
Tanduk-tanduk tersebut dicuri daripada spesimen badak sumbu India dan badak sumbu putih. Pihak muzium mengambil langkah menggantikan tanduk tersebut dengan replika berikutan insiden kecurian di seluruh Eropah yang semakin menjadi-jadi.
Tanduk yang terhasil daripada unsur keratin itu sering dijual di pasaran gelap sebagai perhiasan atau untuk tujuan perubatan. Ia dijual pada harga sekitar AS$100,000 (RM298,499) sekilogram.
“Kecurian berlaku kira-kira pukul 4.00 pagi, berikutan kegagalan untuk pecah masuk pada tengah malam. Tanduk asli itu digantikan dengan tanduk replika sejak tiga bulan lalu. Setiap satunya seberat dua kilogram,” kata jurucakap muzium terbabit, Chloe Kembery.
Agensi risikan jenayah Kesatuan Eropah, Europol mengesyaki kumpulan jenayah terancang Ireland menjadi dalang di sebalik siri kecurian itu yang turut melibatkan zoo, rumah lelongan, pengedar barangan antik dan pemilik persendirian di seluruh benua Eropah. – AFP, kosmo

Taylor Swift beli rumah mewah untuk keluarga


RUMAH mewah berharga RM7.4 juta di Nashville, Amerika Syarikat (AS) yang dibeli oleh penyanyi Taylor Swift.

NASHVILLE, Amerika Syarikat (AS) – Baru beberapa bulan menjual rumahnya yang berharga AS$1.4 juta (RM4.1 juta), penyanyi Taylor Swift membelanjakan pula AS$2.5 juta (RM7.4 juta) untuk membeli sebuah kediaman mewah untuk keluarganya.
Penyanyi irama country berusia 21 tahun itu telah membeli rumah barunya yang terletak di kawasan eksklusif di sini.
Ibu bapanya, Andrea Gardner dan Scoot Kingsley Swift bakal menjadi penghuni baharu yang berjiran dengan selebriti lain seperti Nicole Kidman dan Keith Urban.
Kediaman yang bercirikan kehidupan mewah itu mempunyai keluasan melebihi 520 meter persegi. Ia dibina di tepi lereng bukit yang subur.
Berdasarkan laman hiburan On The Red Carpet.com, hartanah itu dikenali sebagai Northumberland.
Ia dibina pada tahun 1934 oleh Duta Amerika Syarikat (AS) ke Denmark, Guilford Dudley Jr.
Kediaman tersebut sebelum ini dimiliki oleh Pengerusi Universal Music Group, Luke Lewis. – Agensi, kosmo

Jerung baham manusia ditangkap


SEEKOR jerung harimau yang dipercayai membunuh pelancong Britain, Ian Redmond (gambar kecil).
VICTORIA, Kepulauan Seychelles – Seekor jerung harimau yang dipercayai membunuh seorang pelancong Britain, Ian Redmond semasa dia melakukan aktiviti snorkeling telah ditangkap oleh sekumpulan nelayan tempatan, lapor sebuah akhbar semalam.
Nelayan-nelayan tempatan aktif memburu ikan pemangsa itu selepas Redmond, 30, dan seorang pelancong Perancis maut dibaham jerung di Kepulauan Seychelles dalam masa dua minggu.
Jerung harimau sepanjang empat meter itu digantung pada sebatang pokok selepas ia dibunuh pada minggu ini.
Pakar-pakar akan mengadakan ujian sama ada terdapat bukti ikan itu menyerang Redmond semasa dia berbulan madu dengan isterinya pada 14 Ogos lalu.
Seychelles merupakan sebuah negara yang terdiri daripada 115 buah pulau di Lautan Hindi dan terletak sekitar 1,500 kilometer dari Afrika.
– Agensi,kosmo

Planet berlian ditemui


PLANET berlian seperti yang digambarkan oleh penyelidik Pusat Astrofizik Institut Harvard Smithsonian di Amerika Syarikat (AS)

MANCHESTER, Britain – Ia mungkin planet idaman wanita. Sekumpulan ahli astronomi percaya mereka telah menemui sebuah planet yang terbentuk sepenuhnya daripada berlian.
Saintis-saintis antarabangsa di Universiti Manchester di sini menyatakan, mereka menemui planet berlian itu selepas mengesan sebutir bintang mega di galaksi Bima Sakti yang telah hancur dinamakan pulsar.
Teras bintang itu, kata mereka, bertukar menjadi kristal berlian sebesar sebuah planet.
Para penyelidik berkenaan membuat penemuan itu dengan menggunakan sebuah teleskop gergasi di sebuah balai cerap di Cheshire, England.
Planet berlian itu memiliki diameter 64,000 kilometer atau lima kali ganda lebih besar daripada Bumi. – Agensi, kosmo

UFO didakwa mendarat di Siberia


KLIP video menunjukkan lima makhluk asing (bulatan) berjalan keluar selepas piring terbang mereka mendarat.

IRKUTSK, Rusia – Rantau sejuk beku di Siberia pastinya bukan lokasi pendaratan paling menarik untuk makhluk asing yang mahu menerokai Bumi.
Namun, satu klip video di laman perkongsian video YouTube menunjukkan beberapa makhluk asing memilih lokasi tandus itu untuk mendaratkan objek terbang tidak dikenali (UFO) atau piring terbang mereka.
Klip berkenaan yang dirakam di Irkutsk, pedalaman Siberia, menunjukkan satu makhluk asing setinggi sekitar 1.2 meter sedang berdiri kira-kira lima meter dari piring terbangnya yang bersinar, manakala empat makhluk serupa berada dekat dengannya.
Klip video pendek itu dirakam dua hari selepas beberapa cahaya misteri dilihat menyinari langit desa Bayanday, juga di Irkutsk.
“Terdapat dua rakaman insiden ini yang dibuat oleh dua saksi kejadian itu,” kata seorang pakar UFO, Mike Cohen. “Kedua-dua klip video menunjukkan insiden UFO utama seperti yang pernah terjadi di Roswell, Amerika Syarikat berlaku di Rusia,” ujarnya.
“Satu letupan kuat kemudian didengari meliputi satu kawasan yang luas,” tambahnya.
Dia mendakwa polis dan jabatan penyelamat dibanjiri panggilan telefon daripada penduduk kampung yang ketakutan mendengar letupan tersebut.
Pihak tentera mengesahkan bahawa ia tidak melakukan sebarang latihan ketenteraan di kawasan terbabit.
Namun, Cohen mendakwa pihak berkuasa Rusia cuba menutup berita pendaratan UFO berkenaan daripada diketahui umum.
Katanya, beberapa pegawai memberitahu wartawan tempatan bahawa insiden terbabit diklasifikasikan sebagai maklumat sulit dan lokasi kejadian tidak boleh didedahkan.
Sebelum ini, beberapa penemuan makhluk asing dan UFO pernah dilaporkan di Siberia.
Pada hujung Februari lalu, beberapa pegawai trafik udara di Yakutks, Siberia mendakwa mereka melihat sebuah UFO pada paparan radar bergerak selaju 9,600 kilometer sejam pada altitud 19,812 meter.
Pada April lalu dua pelajar Rusia, Timur Hilall, 18, dan Kirill Vlasov, 19, mengaku mereka cerita mengenai penemuan satu makhluk asing di hutan Siberia.
– Agensi, kosmo

Bangunan tergantung saingi Taj Mahal


STRUKTUR mirip stesen angkasa lepas ini memiliki 80 unit rumah kediaman.



CALCUTTA, India – Sebuah struktur menyerupai stesen angkasa lepas lengkap dengan taman di atas bumbungnya merupakan antara lebih 12 rekaan unik yang tersenarai dalam pertandingan Festival Arkitek Dunia di bandar raya Barcelona, Sepanyol pada tahun depan.
Sekali pandang, struktur futuristik itu kelihatan tergantung di udara pada ketinggian 100 meter dari tanah.
Diberi nama Atmosphere, ia sebenarnya menyambungkan dua bangunan pencakar langit. Reka bentuk struktur berkenaan yang kelihatan lebih hebat daripada bangunan Taj Mahal dihasilkan beberapa arkitek di sini.
Idea untuk menghasilkan binaan tersebut diinspirasikan daripada kehidupan tradisional masyarakat Hindu.
Atmosphere memiliki 80 unit rumah yang sesuai diduduki oleh pasangan berkeluarga.
Antara penyertaan lain yang turut menarik perhatian sempena pertandingan berprestij itu termasuk bangunan reben coklat dan bangunan kulit kerang. – Agensi, kosmo