Pages

Thursday, August 21, 2014

Mufti Arab Saudi: Kumpulan militan 'musuh nombor satu' Islam

RABU, 20 OGOS 2014 @ 2:20 PM
Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz Al-Sheikh.
 
RIYADH: Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz Al-Sheikh menegaskan ekstremisme dan ideologi kumpulan seperti pergerakan Negara Islam dan al-Qaeda adalah musuh nombor satu Islam yang menjadikan orang Islam sebagai mangsa mereka yang pertama.

Dalam kenyataannya, Sheikh Abdulaziz, berkata keganasan tidak ada tempat dalam Islam dan bahayanya kumpulan ekstrim ialah apabila mereka mempergunakan slogan Islam sebagai alasan tindakan yang memecah-belahkan orang.

"Kumpulan asing ini bukan milik Islam dan orang Islam yang berpegang dengannya," katanya.

Raja Abdullah dari Arab Saudi sering meminta ulama mengecam dengan terbuka kumpulan Islam ekstrim sejak kerajaan melarang rakyatnya daripada menyertai konflik di luar negara.

"Ulama yang tidak mengecam keganasan dalam khutbah Jumaat boleh dikenakan denda seperti menarik balik lesen mereka untuk berceramah.

Media tempatan melaporkan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi juga mensyaratkan ulama supaya lulus ujian keselamatan sebelum dibenarkan menyampaikan ceramah.

Sejak 2003, kira-kira 3,500 ulama di Arab Saudi dipecat kerana kandungan khutbah mereka.

Kemaraan pergerakan Negara Islam di Iraq dan Syria menyebabkan langkah keselamatan di negara jiran seperti Arab Saudi dipertingkatkan.

Mereka juga menggalakkan penulisan rencana dan perbincangan di dalam akhbar tempatan mengenai cara menangani penyebaran ideologi 'Takfiri', yang menyisih mana-mana pihak yang tidak mengikuti interpretasi Islam dengan betul.

Arab Saudi mengikuti fahaman Islam Wahhabi.

Kira-kira sedekad lalu, militan al-Qaeda melancarkan beberapa siri serangan di Arab Saudi bertujuan menjatuhkan pemerintahan beraja. Tindakan balas perkhidmatan keselamatan Arab Saudi menyebabkan ramai dalam kalangan militan berkenaan melarikan diri ke negara jiran, Yeman yang kini mempunyai cawangan al-Qaeda paling aktif di dunia.

Dua hari lalu, sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman ke atas 31 orang kerana pembabitan mereka dalam serangan itu, menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga orang manakala yang lain dipenjarakan.

Semua mereka dibenar merayu terhadap keputusan berkenaan.

Semalam, mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas dua orang dan penjara ke atas 15 orang atas beberapa tuduhan membunuh, menembak pasukan keselamatan dan merancang untuk membunuh pegawai tertinggi.

Mereka juga didapati bersalah melakukan serangan di kawasan perumahan di mana rakyat asing tinggal di Riyadh dan Wilayah Timur, lapor agensi berita Arab Saudi. - AP

ISIL musuh nombor satu Islam

ISIL mengisytiharkan pemerintahan khalifah di wilayah Syria dan Iraq.
ISIL mengisytiharkan pemerintahan khalifah di wilayah Syria dan Iraq.
RIYADH - ARAB SAUDI. Mufti besar Arab Saudi melabelkan Kumpulan Negara Islam dan Jajahannya (ISIL) sebagai 'musuh nombor satu Islam'.

Sheikh Abdul Aziz al-Sheikh berkata, idea ekstremis, radikal dan keganasan yang diikuti oleh kumpulan itu tiada kaitan dengan Islam.

"Negara pimpinan seorang individu yang mengelar dirinya sebagai Khalifah adalah satu pembohongan dan boleh menyesatkan akidah," katanya menurut Al Arabiya.

Minggu lalu, Arab Saudi memberi bantuan AS$100 juta (RM3.5 juta) kepada Pusat Keganasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu menangani konflik ini termasuk bantuan makanan dan perubatan buat lebih sejuta pelarian di Iraq. -

Telur serama sebesar kacang kuda

Sudirman (kiri) bersama anaknya menunjukkan telur ayam sebesar biji kacang kuda
Sudirman (kiri) bersama anaknya menunjukkan telur ayam sebesar biji kacang kuda
BAGAN SERAI - Seorang lelaki terkejut apabila ayam serama dipeliharanya mengeluarkan telur sebesar kacang kuda.

Penjawat awam, Sudirman Saad, 38, berkata, dia mula menternak ayam serama itu sejak lima bulan lalu kerana minatnya pada haiwan berkenaan.

“Ayam serama itu mengeluarkan 18 biji telur dan satu daripadanya bersaiza 0.5 sentimeter dengan berat tidak sampai tiga gram.

"Pada mulanya saya sangka itu najis ayam sebelum menyedari ia telur dengan kulitnya yang keras dan tidak pecah apabila dijatuhkan," katanya ketika ditemui di  Taman Serai Permai, di sini semalam.

Menurutnya, berikutan penemuan itu, dia membuat carian di internet dan mendapati telur ayam paling kecil di dunia ditemui di Chongqing, Barat Daya China dengan saiz dua sentimeter.

"Jadi, sekiranya saiz telur ayam milik saya hanya sebesar 0.5 sentimeter, saya tidak menolak kemungkinan ia telur paling kecil di dunia dan saya berhasrat untuk menyimpannya.

"Penemuan itu menyebabkan orang ramai terutama peminat ayam serama berkunjung ke rumah saya untuk melihat sendiri telur ayam berkenaan," katanya.

Israel bunuh tujuh sekeluarga


Mangsa dikenal pasti sebagai Raafat al-Louh, adik-beradiknya Muhammad dan Ahmad, isterinya yang sarat mengandung Nabila, serta anak lelakinya Farah, Maysara dan Mustafa.
Anggota keselamatan juga gagal menyelamatkan nyawa janin Nabila yang hampir sembilan bulan mengandung.

Keluarga Al-Louh yang tinggal di Deir al-Balah antara sekurangnya 20 warga Palestin yang terkorban selain lebih 120 cedera sejak gencatan senjata sementara itu tamat dan Israel memulakan semula serangan udara ke atas Gaza..
Foto
AHLI keluarga menghadiri upacara pengebumian di Deir al-Balah. FOTO EPA

Jurucakap tentera Israel berkata, hampir 100 serangan udara diadakan sejak itu dan 2,000 anggota tentera simpanan yang pulang dua minggu lalu diarah melaporkan diri semula pada Rabu.

Israel juga menggantungkan rundingannya bersama Palestin di Kaherah.

Pegawai kesihatan Gaza berkata, jumlah kematian meningkat kepada 2,028 orang sejak serangan Israel bermula pada Julai lalu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Didakwa lakukan seks dengan haiwan


Albuquerque (Amerika Syarikat): Seorang wanita ditangkap kerana disyaki mengadakan seks dengan anjing dan cuba meracun tuan punya haiwan itu.

Shari Knight, 53, dituduh mencabul Spike dan Jake, anjing milik rakan sebiliknya, Beverly Bradley.


Kedua-dua anjing itu cedera ringan akibat kejadian di Albuquerque, New Mexico, Amerika Syarikat, lapor sebuah akhbar tempatan.

Defendan juga dituduh cuba meracun pemilik anjing itu dan abangnya, sehari selepas dia ditangkap bersama-sama seekor anjing berkenaan.


Shari dikatakan mencampurkan alkohol dan cecair pembersih tandas ke dalam makanan rakannya.


Dia berpacaran dengan abang Beverly, tetapi hubungan mereka berakhir selepas lelaki itu mengetahui mengenai tabiat ganjil Shari.

Menurut media tempatan, dokumen mahkamah menunjukkan Shari mengaku mengadakan seks berulang kali dengan anjing berkenaan.


Dia kini ditahan atas tuduhan menganiaya haiwan dan menyerang hingga menyebabkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Bapa, anak dirantai kerana sakit mental



CHURAMAN meminum air manakala kainnya dirantai di rumah keluarganya di Indore.- YOUTUBE


NEW DELHI - Seorang bapa dan anak lelakinya dirantai kerana mereka mengalami penyakit mental di dalam rumah mereka di Indore, Madhya Pradesh di sini selama 20 tahun, lapor akhbar MailOnline semalam.
Kedua-dua lelaki itu dirantai kerana keluarganya tidak mampu menampung rawatan mereka.
Bapa itu dirantai seorang lagi anaknya, Dinesh Kaurav, 35, yang menyatakan, dia terpaksa melakukan perbuatan tersebut kerana mereka membahayakan diri sendiri mereka dan orang lain sekiranya dibiarkan berkeliaran.
Katanya, bapanya, Churaman, 65, dan adiknya, Suresh, 21, disahkan mengalami sakit mental pada tahun 1994 dan sebagai anak sulung dia bertanggungjawab menjaga mereka.
"Saya terpaksa merantai mereka kerana boleh bertindak ganas dengan membahayakan diri dan orang lain.
"Namun, saya dan ibu saya sering menjaga mereka dengan memandikan serta memberi mereka makan pada setiap hari," katanya.
Ujarnya, dia tidak mampu menampung rawatan kedua-dua mereka kerana berpendapatan kecil selain perlu menampung keluarganya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3AyiNsk6H 
Hakcipta terpelihara 

Budak lapan tahun miliki tangan 'gergasi'



GAMBAR menunjukkan Kaleem memiliki tangan 'gergasi' di India.- YOUTUBE


NEW DELHI - Pakar-pakar perubatan di India bingung dengan keadaan tangan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang membengkak dan membesar beberapa kali ganda, lapor akhbar MailOnline semalam.
Kanak-kanak tersebut, Kaleem, memiliki saiz tangan sebesar 33 sentimeter yang diukur dari pergelangan tangan hingga jari tengahnya dengan berat mencecah sehingga 12 kilogram
Keadaan itu menyebabkan Kaleem sukar untuk melakukan beberapa perkara mudah seperti mengikat tali kasut, menyuap makanan dan memegang sesuatu objek.
Ibunya, Haleema, 27, berkata, dia menyedari Kaleem memiliki saiz tangan dua kali ganda lebih besar dari saiz seorang bayi normal sejak dia dilahirkan.
"Saya tidak ke sekolah kerana guru memberitahu murid-murid lain takut dengan tangan saya," kata Kaleem yang meminati sukan kriket.
Menurutnya lagi, dia turut menjadi mangsa buli rakan-rakannya kerana saiz tangannya yang besar.
Dalam pada itu, seorang doktor dari Institut Penyelidikan Memorial Fortis di Gurgaon dekat New Delhi, Dr. Krishan Chugh juga terkejut selepas melihat beberapa keping gambar kanak-kanak berkenaan.
Katanya, keadaan seperti itu sangat jarang terjadi dan ia mungkin berpunca daripada sejenis penyakit yang dikenali sebagai lymphangioma atau hamartoma yang menyebabkan berlaku keradangan teruk pada bahagian-bahagian tertentu dalam sistem badan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3AyiAOcTo 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak mati dalam kereta


MAYAT Muhammad Aqil Arfan Adnan dibawa untuk bedah siasat ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN
ALOR SETAR 20 Ogos - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas ditinggalkan bapanya secara tidak sengaja selama lebih lapan jam di kawasan letak kenderaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kuala Nerang dekat sini hari ini.
Difahamkan bapanya, Adnan Salleh, 40-an, yang merupakan guru agama sekolah itu meninggalkan mangsa, Muhammad Aqil Arfan Adnan di dalam kereta tersebut sebaik sahaja sampai di sekolah untuk mengajar kira-kira pukul 7.30 pagi.
Beliau bagaimanapun hanya menyedari kehadiran mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik selepas selesai bekerja iaitu kira-kira pukul 4 petang.
Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang, tetapi disahkan telah meninggal dunia sebaik sahaja tiba di situ.
Saudara mangsa, Soaid Adam, 45, berkata, bapa mangsa dipercayai tidak menyedari anak lelakinya itu yang sedang tidur tertinggal di kerusi belakang kereta itu.
Katanya, Adnan bersama isterinya, Asiah Abu, 30-an yang merupakan seorang guru di SMK Dato' Syed Ahmad, Kuala Nerang dan anak mereka keluar dari rumah di Kampung Padang Durian, Pendang, kira-kira pukul 6.45 pagi.
"Selalunya Adnan akan melalui jalan Pokok Sena, kemudian akan menghantar anaknya dahulu ke tadika dan selepas itu barulah menghantar isterinya ke SMK Dato' Syed Ahmad, manakala dia pula akan ke SMK Kuala Nerang.
"Tetapi entah kenapa rutin Adnan bertukar hari ini, beliau melalui jalan Naka dan menghantar isterinya dahulu lalu terus ke SMK Kuala Nerang. Beliau mungkin terlupa untuk menghantar anaknya ke tadika tersebut," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah ( HSB) di sini hari ini.
Menurut Soaid, jarak tadika berkenaan dengan tempat Adnan mengajar tidak jauh iaitu kira-kira 150 meter.
"Saya memang terkejut apabila Adnan maklumkan hal ini kira-kira pukul 7.30 malam. Saya tidak sangka hal ini akan menimpa keluarga kami," jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
"Punca kejadian masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140821/je_04/Kanak-kanak-mati-dalam-kereta#ixzz3AycelBc9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua mangsa tsunami ditemui semula


Septi Rangkuti (tengah) dan isterinya Jamilah (kanan) menemui semula dua anak mereka Arif Partama Rangkuti (duduk tengah) dan Raudhatul Jannah (kiri) ya ng hilang semasa bencana tsunami di Aceh pada 2004. - AGENSI
JAKARTA 20 Ogos - Sepasang suami isteri dari Indonesia disatukan semula dengan anak lelaki mereka yang hilang akibat dihanyutkan ombak besar tsunami yang melanda wilayah Aceh pada 2004, dalam satu pertemuan penuh emosi di bandar Payakumbuh di wilayah Sumatera Barat, kelmarin.
Ajaibnya bagi Jamaliah dan suaminya, Septi Rangkuti, pertemuan semula mereka dengan anak lelaki mereka, Arif Pratama Rangkuti, kini 17 tahun, berlaku selang beberapa minggu selepas pasangan itu bertemu semula dengan anak perempuan mereka, Raudhatul Jannah, 14, yang turut hilang dihanyutkan ombak besar tersebut.
Dengan kembalinya Arif Pratama Rangkuti dan Raudhatul Jannah, keluarga Jamaliah kembali lengkap selepas 10 tahun mereka terpisah akibat bencana yang mengorbankan lebih 170,000 penduduk Indonesia, lapor Mail Online.
Pasangan itu dipertemukan dengan anak lelaki mereka di rumah pasangan yang menemui remaja itu, Lana Bestari dan Windu Fajri yang menemui remaja itu tidur di luar sebuah kafe siber yang dimiliki mereka di Payakumbuh, sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Lana, selepas melihat gambar Arif Pratama Rangkuti semasa kecil di televisyen, dia percaya bahawa remaja itu adalah kanak-kanak yang sering tidur di premisnya lalu menghubungi Jamaliah dan sentiasa berhubung sejak itu.
"Benar, dia adalah anak lelaki kami. Kami sedang membuat persediaan untuk membawanya pulang,'' kata Rangkuti, sambil menjelaskan bahawa anaknya telah hidup sebagai kanak-kanak jalanan sejak 10 tahun lalu di kepulauan Sumatera.
Jamaliah yang ditemui di Payakumbuh dilihat menangis semasa dia memeluk remaja itu yang kelihatan malu dan terharu.
Penyatuan semula keluarga tersebut mendapat liputan meluas media yang merakamkan pertemuan 'ajaib' Jamaliah dan Septi Rangkuti dengan anaknya perempuannya Raudhatul Jannah pada Jun lalu selepas saudara mereka melihat remaja itu yang mempunyai wajah mirip ibunya di sebuah kampung di pedalaman Aceh.
"Saya berdoa sepanjang malam kerana jauh di sudut hati, saya percaya bahawa anak-anak saya masih hidup.
"Suami saya sentiasa resah berada di rumah kerana memikirkan nasibnya. Saya sering berkata anak lelaki kami masih hidup,'' katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140821/lu_09/Dua-mangsa-tsunami-ditemui-semula#ixzz3AyYyEYiS
© Utusan Melayu (M) Bhd