Morgan memangku Molly yang kini berumur empat bulan. AGENSI
Menurut portal Mirror.co.uk yang memetik laporan WalesOnline, doktor pada awalnya menjangka, Molly James hanya mempunyai 11 peratus peluang untuk terus hidup setelah dilahirkan kurang 17 minggu dari tarikh dia sepatutnya dilahirkan.
Anak kepada pasangan Craig James dan Gemma Morgan itu turut mengalami masalah pendarahan otak, kegagalan paru-paru dan masalah pada retina matanya pada minggu pertama dia dilahirkan.
Namun, selepas empat bulan, Molly bakal dibenarkan keluar dari hospital, selepas berat badannya mencapai 2.7 kilogram dan bapanya menganggap anaknya sebagai ‘bayi ajaib’ kerana dapat mengatasi semua kemungkinan yang dihadapinya.
“Apabila saya memikirkan semula tentang semua perkara yang berlaku ke atasnya, saya sedar betapa bertuahnya kami,” kata James merujuk anaknya yang dilahirkan pada 3 Oktober lalu.
Ketika menceritakan semula pengalamannya, James berkata, kejadian buruk menimpa isterinya apabila dia jatuh sakit selama 12 hari sekembalinya mereka daripada bercuti di Portugal pada Oktober tahun lalu.
Katanya, Morgan mengalami jangkitan E.coli pada rahimnya mengakibatkan Molly tidak mendapat makanan yang diperlukannya, sekali gus wanita itu ‘dinasihatkan’ supaya melahirkan anaknya.
James berkata, kejayaan Molly meneruskan kehidupannya turut disumbang oleh faktor isterinya yang dapat menyusukan anak pe­rempuan mereka.
“Saya tidak sangsi anak saya dapat bertahan kerana dia berpeluang menyusu badan dan saya percaya keadaan itu turut menyelamatkannya,” kata James.