Pages

Sunday, July 14, 2013

Pengebumian semula mangsa Srebrenica

Pengebumian semula mangsa SrebrenicaAhli keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica 1995, memberi penghormatan terakhir ke atas jenazah.
SREBRENICA - Lebih 10,000 orang, kelmarin menghadiri pengebumian semula 409 jenazah yang dikenal pasti sebagai mangsa kekejaman pembunuhan beramai-ramai, Srebrenica 1995 yang mengorbankan kira-kira 8,000 orang Islam.

Pengebumian semula di kawasan tanah perkuburan khas Potocari itu turut melibatkan 43 jenazah remaja lelaki dan bayi yang baru dilahirkan sewaktu serangan.

Menurut pegawai penyelia pengebumian, Kenan Karavdic, seramai 6,066 mangsa dikebumikan semula dan lebih 2,000 lagi dilaporkan hilang selepas kerajaan Bosnia memulakan proses mengenal pasti identiti mangsa melalui ujian DNA, dipetik dari Al-Jazeera.

Ahli keluarga mangsa juga diberi peluang memberi penghormatan terakhir kepada saudara mereka yang menjadi mangsa kekejaman operasi pembersihan etnik pada masa itu.

Skuter satu roda

Skuter satu rodaSkuter Ryno, menggunakan kuasa bateri dan mampu mencapai kelajuan sebanyak 40 kilometer sejam.
SKUTER elektrik Ryno adalah sejenis kenderaan yang dilabelkan amat mustahil untuk terbalik.

Dipetik MailOnline, tunggangan satu roda itu berfungsi melalui kuasa bateri dan bergerak pada kelajuan sehingga 40 kilometer sejam.

Media tempatan melaporkan, Ryno direka secara khusus oleh Syarikat RYNO Motor berpangkalan di Portland bagi tujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan bayaran letak kereta yang mahal.

Ryno juga dilengkapi dengan teknologi imbangan iaitu ia secara automatik membaiki kedudukan jika pemandunya terlebih membelok ke kanan, kira, depan atau mengundur.

"Ryno hanya seberat 57 kilogram dan mampu menuruni kawasan bercerun sebanyak 30 peratus," kata jurucakap Ryno.

Idea menghasilkan skuter satu tayar ini dilaporkan dicetuskan oleh anak perempuan CEO firma, Chris Hoffman pada 2009.

"Beliau meminta bapanya menghasilkan sebuah skuter sebagai kenderaan ke sekolah selepas bermain permainan motosikal," katanya.

Ryno dijangka berada di pasaran pada pertengahan Ogos dan dijual pada harga tidak kurang £2,250 (RM10,788). 

Kubur pontianak di Poland?

Kubur pontianak di Poland?Salah satu kubur dipercayai pontianak yang ditemui kumpulan saintis.
WARSAW - POLAND. Sekumpulan pakar arkeologi Poland, mendakwa menjumpai kubur besar dipercayai dimiliki kumpulan pontianak.

Lapor The Telegraph, kubur berkenaan ditemui sewaktu operasi membina jalan berhampiran bandar Gliwice beberapa hari lalu.

"Pada mulanya, kumpulan saintis menyangka ia adalah kubur askar yang terkorban ketika Perang Dunia II, namun mereka menjumpai rangka dan kepala terputus di bahagian kaki si mati," kata ahli forensik antropologi, Matteo Borrini dipetik dari Reuters.

Saintis menyimpulkan, rangka-rangka itu adalah hasil upacara pembunuhan yang direka bagi memastikan individu itu tidak hidup semula.

"Mengikut kepercayaan purba, mayat tidak akan kembali hidup jika dipisahkan kepala dari badannya," kata Matteo. 

Planet biru ditemui

Planet biru ditemuiIlustrasi menunjukkan planet HD 189733b berwarna biru kerana diselaputi gas selain mengorbit rapat dengan bintangnya.
TELESKOP Angkasa Hubble berjaya menangkap imej sebuah planet berwarna biru terang yang juga julung-julung kalinya dilabelkan sebagai planet asing.

Dipetik Agensi, sekumpulan ahli astronomi yang menggunakan teleskop berkenaan berkata, planet yang dikenali sebagai HD 189733b, adalah daripada warna biru kobalt terang sama seperti warna bumi.

"Planet gergasi bergas ini mengorbit berdekatan dengan bintang panas yang bersuhu melebihi 1,000 darjah Celsius.

"Ia juga terdedah kepada pusaran angin selaju 7,000 kilometer sejam. Pada jarak 63 tahun cahaya, planet biru ini adalah salah satu penemuan baru," kata seorang saintis.

Saintis mengesahkan, warna biru pada planet tersebut bukan disebabkan pantulan lautan tropika sebaliknya ia berlaku kerana jerebu dan ruang udara yang bercampur dengan partikel silikat di merata sudut.