Pages

Sunday, March 13, 2011

Gambar- gambar gempa bumi dan tsunami di Jepun

IMEJ NHK TV memaparkan banyak kenderaan dihanyutkan tsunami di kawasan pantai di timur Jepun selepas dilanda gempa bumi 8.9 magnitud, awal petang tadi. Foto: AP (11/03/2011)
IMEJ NHK TV memaparkan banyak kenderaan dihanyutkan tsunami di kawasan pantai di timur Jepun selepas dilanda gempa bumi 8.9 magnitud, awal petang tadi. Foto: AP (11/03/2011)
IMEJ yang dirakam NHK TV menunjukkan rumah musnah dihanyut tsunami di Sendai, Jepun selepas dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud, awal petang tadi. Foto: AP (11/03/2011)
IMEJ yang dirakam NHK TV menunjukkan rumah musnah dihanyut tsunami di Sendai, Jepun selepas dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud, awal petang tadi. Foto: AP (11/03/2011)
Sebahagian rumah yang terbakar dan ditenggelami tsunami di kawasan Sendai selepas Jepun dilanda gempa bumi yang kuat berukuran 8.9 magnitud, awal petang tadi. Foto: AP (11/03/2011)
Sebahagian rumah yang terbakar dan ditenggelami tsunami di kawasan Sendai selepas Jepun dilanda gempa bumi yang kuat berukuran 8.9 magnitud, awal petang tadi. Foto: AP (11/03/2011)
TANGKI simpanan gas asli terbakar di Pusat Penapisan Minyak Cosmo di Ichihara, Chiba dekat Tokyo selepas gempa bumi  8.9 magnitud melanda Jepun. Foto: Reuters (11/03/2011)
TANGKI simpanan gas asli terbakar di Pusat Penapisan Minyak Cosmo di Ichihara, Chiba dekat Tokyo selepas gempa bumi 8.9 magnitud melanda Jepun. Foto: Reuters (11/03/2011)
LUMPUR dan sisa-sisa runtuhan menutupi landasan dan parkir di Lapangan Terbang Sendai, Miyagi selepas dilanda gempa bumi dan tsunami dari pantai timur laut, Jepun. Foto: AP (11/03/2011)
LUMPUR dan sisa-sisa runtuhan menutupi landasan dan parkir di Lapangan Terbang Sendai, Miyagi selepas dilanda gempa bumi dan tsunami dari pantai timur laut, Jepun. Foto: AP (11/03/2011)
http://www.hmetro.com.my

Berjuta penduduk Tokyo terkandas

Berita Harian




2011/03/12


  • Foto
    GEMPA bumi mengakibat gelombang tsunami ketika melanda pelabuhan Oarai Jepun, semalam.
  • Foto
    KEADAAN jalan raya di bandaraya Urayasu, Chiba ketika dilanda gempa bumi semalam.
Sistem kereta api bawah tanah lumpuh gempa kuat di Jepun
Foto
KEADAAN jalan raya di bandaraya Urayasu, Chiba ketika dilanda gempa bumi semalam.
TOKYO: Berjuta penduduk di bandaraya Tokyo terkandas jauh dari rumah mereka petang semalam berikutan gempa bumi kuat melanda Jepun sekali gus mencatatkan rekod melumpuhkan sistem keretapi bawah tanah di ibu negara berkenaan.
Siren kedengaran di Tokyo, helikopter rangkaian televisyen berlegar di ruang udara manakala penduduk kelihatan bergegas ke kedai runcit 24 jam di bandaraya itu untuk mendapatkan bekalan sandwich dan mi cawan segera.
Kebanyakan penduduk yang sebelum itu melarikan diri dari bangunan pejabat mendapati diri mereka terkandas jauh dari keluarga malah tidak dapat menghubungi mereka disebabkan sistem telefon bimbit tidak dapat menampung panggilan yang banyak.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk pulang ke rumah,” kata seorang wanita berusia 18 tahun di luar stesen keretapi bawah tanah Ginza.

Beliau menerangkan bagaimana tanah liat bertaburan di sekelilingnya di sebuah pusat beli belah apabila gempa bumi kuat melanda pada waktu tengah hari.

Kerajaan menggunakan pembesar suara dan siaran televisyen untuk menggesa penduduk supaya terus berada di tempat kerja mereka berbanding mengambil risiko untuk berjalan pulang berikutan lebuh raya menuju ke tengah bandaraya terputus manakala hotel mendapat tempahan penuh.
“Tolong jangan paksa diri anda untuk pulang ke rumah kerana tiada pengangkutan tetapi terus berada di pejabat atau tempat lain yang selamat,” kata satu nasihat kecemasan yang disiarkan penyiar awam, NHK.

“Hari sudah malam,” kata penyiar NHK berikutan suasana gelap yang sejuk melanda seluruh negara.

“Jika penduduk yang tinggal jauh cuba untuk melintasi sempadan wilayah dengan berjalan kaki pada waktu malam, mereka mungkin menjadi mangsa kepada kemalangan kedua.”

Wilayah Tokyo yang membabitkan Yokohama dan kawasan sekitar Kanto adalah kawasan kediaman bandar terbesar di dunia dengan lebih 30 juta penduduk, kebanyakan mereka berulang alik beberapa jam setiap hari.

Landasan keretapi Sistem Metro Tokyo dan Japan Railway masih lagi ditutup selepas beberapa jam gempa bumi kuat menggegarkan bangunan di seluruh bandar raya terbabit.

Jepun berada dalam Lingkaran Api Pasifik manakala Tokyo terletak dalam satu daripada kawasan yang amat berbahaya.

Bandar raya itu berada di antara persimpangan tiga pentas benua Eurasian, Pasifik dan Laut Filipina yang bertentangan antara satu sama lain, mewujudkan tekanan seismik paling besar.

Jawatankuasa Penyelidikan Gempa Bumi kerajaan memberi amaran bahawa peluang sebanyak 70 peratus bagi gempa bumi dengan kekuatan 8 pada skala Richter akan melanda dalam masa 30 tahun di Kanto. – AFP

Tokyo lumpuh


myMetro

TERSADAI... sebuah kapal diheret arus kuat  dan  tersadai di kawasan bandar Miyagi.
TERSADAI... sebuah kapal diheret arus kuat dan tersadai di kawasan bandar Miyagi.


KEMUSNAHAN BESAR... tsunami menenggelami kawasan Sendai, timur laut Jepun.
KEMUSNAHAN BESAR... tsunami menenggelami kawasan Sendai, timur laut Jepun.

TOKYO: Gempa bumi paling kuat dalam sejarah yang melanda Jepun kelmarin bukan saja membawa kemusnahan besar, malah melumpuhkan bandar moden dunia ini.
Kesan daripada gempa bumi sekuat 8.9 skala Richter itu mengakibatkan sistem pengangkutan kereta api elektrik dan komuter yang membawa jutaan penumpang setiap hari lumpuh, talian komunikasi terputus manakala ratusan penduduk terperangkap dalam lif.

Penduduk sebelum ini bangga dengan teknologi moden yang melengkapi Tokyo dan bergantung kepada kecekapan sistem pengangkutan awam dalam melakukan pekerjaan harian, namun disebabkan kerosakan teruk, pihak berkuasa terpaksa membatalkan hampir semua perkhidmatan itu.
Pekerja restoran, Akira Tanaka, 54, berkata gempa bumi sekuat itu tidak pernah dialaminya dan dipercayai melanda setiap 100 tahun.

“Disebabkan sistem pengangkutan terhenti, buat pertama kali dalam hidup, saya terpaksa berjalan kaki sejauh 20 kilometer untuk pulang ke rumah,” katanya.

Penduduk, Tomoko Suzuki berkata, dia dan ibunya tidak dapat pulang ke kediaman mereka yang terletak di tingkat 29 kondominium kerana kerosakan lif.
“Kami juga tidak dapat mencari teksi untuk pergi ke rumah saudara atau menempah bilik hotel berdekatan. Suhu sangat sejuk dan kami tidak lagi tahu hendak buat apa,” katanya.

Walaupun pusat bandar itu tidak terputus bekalan elektrik, kebanyakan lif gagal berfungsi akibat kerosakan atau dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga manakala di kawasan pinggir ibu negara Jepun itu, jutaan kediaman dan bangunan bergelap akibat ketiadaan elektrik.
Menurut laporan Kementerian Pengangkutan Jepun, 163 penduduk terperangkap dalam lif dengan 75 masih belum dikeluarkan sehingga pagi semalam.

Puluhan ribu penduduk yang terperangkap di stesen kereta api pula terpaksa berteduh di kafe, hotel dan pejabat kerajaan yang menawarkan tempat berlindung.

Talian telefon bimbit yang terputus menyebabkan orang ramai terpaksa beratur di pondok telefon sekitar bandar Tokyo.

Syarikat komunikasi Jepun, Nippon Telegraph and Telephone Corp (NTT) turut menyediakan talian kecemasan dan Internet khas bagi memudahkan orang ramai menghantar mesej kepada keluarga dan rakan.

Jurucakap NTT, Mai Kariya bagaimanapun berkata, hampir 90 peratus panggilan yang dibuat terpaksa disekat akibat sistem telekomunikasi melebihi bebanan.

“Pihak kami kini melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kerosakan menara dan kabel,” katanya.

Sehingga semalam, beberapa perkhidmatan kereta api bawah tanah beroperasi semula selepas terputus selama enam jam dan diteruskan walaupun melebihi waktu biasa.

Langkah itu kebiasaannya diambil jika perkhidmatan terbabit berdepan masalah, namun apabila pengendali sistem pengangkutan itu mengumumkan penangguhan operasi hampir semua kereta api, orang ramai membanjiri jalan raya.

Pihak berkuasa tempatan menawarkan lebih 60 pejabat kerajaan, kampus universiti dan beberapa tempat lain sebagai penempatan sementara kepada orang ramai untuk bermalam.

Gegaran kuat selepas gempa

myMetro


TOKYO: Satu gegaran selepas gempa berukuran 6.8 magnitud melanda pantai timur Jepun awal pagi semalam, kata pakar gempa Amerika Syarikat.

Ia berlaku kurang 24 jam selepas satu gempa bumi besar melanda negara itu dan menyebabkan tsunami.


Menurut agensi Kaji Buimi Amerika, gegaran selepas gempa itu berlaku pada kedalaman 24 kilometer dan berpusat 174 kilometer ke tenggara bandar raya Sendai, kawasan paling teruk mengalami kemusnahan apabila tsunami setinggi 10 meter berlaku kelmarin. - AP"

Lebih 1,000 mati


KEADAAN bandar raya Sendai selepas dilanda gempa bumi dan tsunami.
KEADAAN bandar raya Sendai selepas dilanda gempa bumi dan tsunami.

TOKYO: Lebih 1,000 orang dikhuatiri terbunuh berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun kelmarin.
Tsunami setinggi 10 meter itu memusnahkan Sendai, bandar raya di timur laut negara berkenaan, tempat 200 hingga 300 mayat ditemui di kawasan pantai.

“Apa yang menjadi tempat kediaman sebelum ini, musnah sama sekali,” kata Perdana Menteri, Naoto Kan selepas menaiki helikopter untuk melihat sendiri kerosakan yang berlaku.

  • FotoPENDUDUK tempatan mengharungi jalan raya di bandar Sendai yang dipenuhi dengan sampah sarap dan sisa runtuhan bangunan.
  • FotoLANDASAN di Lapangan Terbang Sendai, utara Jepun semalam, yang penuh dengan kereta, pasir dan lumpur selepas tsunami melanda kelmarin.
Ombak besar berwarna hitam itu mendamparkan kontena, kereta dan sisa bangunan ke jalan raya di Sendai dan kawasan terbuka serta menyebabkan lumpur tebal melitupi kawasan yang amat luas.

Polis berkata, 413 orang disahkan mati, 784 hilang dan 1,128 cedera.

Bagaimanapun , jumlah itu dijangka meningkat.
“Jumlah korban dipercayai lebih 1,000. Kerosakan itu begitu besar dan saya percaya kami memerlukan masa untuk mengumpulkan maklumat,” kata Edano, jurucakap kanan Naoto.

Dalam pada itu, lebih 215,000 orang ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan di timur dan utara negara itu semalam.
Agensi Polis Kebangsaan Jepun berkata, jumlah itu termasuk lebih 100,000 orang yang berlindung di Fukushima, di utara dan penduduk yang diarah berpindah dari kawasan sekitar dua loji nuklear.

Bagaimanapun, jumlah mereka yang kehilangan tempat tinggal dipercayai lebih ramai. Beribu-ribu rumah di bandar tepi pantai musnah, termasuk di bandar Ofunato yang menyaksikan lebih 300 rumah dihanyutkan air.

Sementara itu, lebih 50,000 anggota tentera dan pegawai penyelamat lain dikerah untuk menyertai gerakan mencari dan menyelamat.

Lebih 300 pesawat dan 40 kapal, termasuk satu armada 20 kapal penggempur diarah belayar ke kawasan pantai Pasifik Pulau Honshu yang turut terjejas teruk akibat bencana itu.

Di Watari, wilayah Miwagi, helikopter tentera digunakan untuk menyelamat sekumpulan pelajar dan penduduk yang terperangkap di atas bumbung sebuah sekolah rendah.

Lebih lapan juta kediaman terputus bekalan elektrik. Hubungan telefon, termasuk telefon bimbit juga terputus.

Bekalan gas ke lebih 300,000 rumah turut terjejas, bermakna ramai penduduk terpaksa menghabiskan malam mereka dalam kesejukan.

Pihak berkuasa Jepun juga mengumumkan, sebuah kapal yang sebelum ini dilapor hilang, ditemui di laut dan semua 81 orang yang berada di dalamnya diselamatkan dengan menggunakan helikopter.

Gempa berukuran 8.9 magnitud itu yang melanda pada jam 2.46 petang (1.46 petang waktu Malaysia) selama dua minit menggegarkan bangunan di bandar raya Tokyo, kawasan bandar terbesar dunia dengan penduduk berjumlah 30 juta orang.

Bagaimanapun, dengan gempa bumi kecil yang sering berlaku di seluruh Jepun, negara itu adalah antara yang terbaik dalam membuat persediaan untuk berdepan dengan bencana sebesar kelmarin. - AFP
http://www.hmetro.com.my

Malaysia terdedah ancaman gempa dari negara jiran


pix_gal0
KUALA LUMPUR: Malaysia tetap terdedah kepada gegaran kuat dan ancaman tsunami jika gempa bumi berskala melebihi tujuh pada skala Richter melanda negara jiran, kata Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Jabatan Meteorologi, Dr Mohd Rosaidi Che Abas.

Katanya, keadaan itu bergantung kepada tahap kekuatan gegaran itu seperti berlaku di Padang, Indonesia tahun lalu hingga menyebabkan kawasan pantai barat Semenanjung turut merasai gegarannya.
“Bagaimanapun, pada umumnya Malaysia masih selamat daripada mengalami gempa bumi berukuran besar kerana negara berada di luar Lingkaran Api Pasifik.
“Namun, Malaysia tidak terlepas daripada ancaman tsunami kerana negara ini dikelilingi laut seperti yang pernah berlaku selepas gempa bumi berskala 9.3 pada skala Richter melanda Acheh pada 26 Disember 2004,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Rosaidi berkata, tsunami yang terhasil selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter di pantai Honshu, timur laut Tokyo kelmarin boleh melanda sekitar pantai Sabah.

“Kita masih memantau perkembangan itu dan mengeluarkan amaran meminta penduduk sekitar pesisir pantai Sabah dan Labuan berjaga-jaga kerana dikhuatiri tsunami mungkin sampai ke sana,” katanya.

Sementara itu, penyelidik gempa bumi Prof Dr Azlan Adnan, berkata berdasarkan kajiannya walaupun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, negara ini terdedah kepada ancaman gempa yang berlaku di negara jiran.
Azlan yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, tsunami yang berpunca daripada gempa bumi di Jepun kelmarin tidak mustahil boleh melanda kawasan pantai utara Sabah dan pantai timur Semenanjung.

“Tsunami yang terhasil selepas gempa bumi itu boleh memberi kesan sehingga beratus kilometer jauhnya dari pusat gempa berdasarkan kekuatan gempa bumi itu,” katanya.

Rakyat Arab Saudi belum sedia protes

Berita Harian

2011/03/13


  • Foto
    PENUNJUK perasaan Syiah ditahan anggota tentera ketika tunjuk perasaan di wilayah timur Al-Qateef, kelmarin.
  • Foto
    PENGANUT Syiah berkumpul ketika demonstrasi menuntut perubahan dan pembebasan tahanan Syiah di wilayah timur Al-Qateef, kelmarin.
Gesaan tunjuk perasaan tak dapat sambutan

RIYADH: Rakyat Arab Saudi sememangnya dahagakan perubahan politik dan ekonomi tetapi kegagalan ‘Hari Kemarahan’ yang digesa aktivis siber kelmarin, menunjukkan mereka tidak bersedia memberontak, kata penganalisis.
Tiada rusuhan dilaporkan di negara itu kelmarin, selepas pasukan keselamatan melancarkan gerakan besar-besaran menghalang penunjuk perasaan daripada mematuhi gesaan Facebook untuk berhimpun di jalanan.
“Saya berpendapat penduduk Arab Saudi bersedia berubah tetapi belum bersedia memberontak. Ini menunjukkan mengapa gesaan untuk bantahan gagal,” kata aktivis hak asasi kemanusiaan, Fuad al-Farhan.

Perhimpunan mendesak perubahan demokratik di negara pemerintahan beraja itu sepatutnya bermula selepas solat Jumaat kelmarin, tetapi masjid kosong tanpa tanda rusuhan, sebaliknya hanya pasukan keselamatan kelihatan berkawal.

Bagaimanapun media melaporkan keadaan tegang berlaku di wilayah timur Al-Qateef, di mana tiga penunjuk perasaan Syiah ditembak mati dan cedera dalam usaha polis menyuraikan demonstrasi, Khamis lalu.

Satu demonstrasi menuntut perubahan dan pembebasan tahanan Syiah juga berlaku pada Jumaat, kata seorang saksi, tetapi tiada laporan mengenai rusuhan.
Farhan menjangkakan gesaan mengadakan protes lain melalui aktivis secara online untuk menggunakan cara sama pada 20 Mac ini.

Penganalisis berkata kebanyakan panggilan untuk demonstrasi yang haram di Arab Saudi adalah berdasarkan luar negara dan tidak mendapat sebarang sokongan tempatan.

Ulama Arab Saudi juga me-nyokong tindakan menghentikan rancangan bantahan berkenaan dan menasihatkan rakyat tidak menyertainya kerana menyifatkannya bertentangan dengan Islam dan menyebabkan huru-hara. – AFP

Loji nuklear bocor

Berita Harian




2011/03/13


  • Foto
    SEBUAH kilang terbakar selepas gempa bumi dan tsunami melanda Sendai, timur laut Jepun kelmarin. Jepun mengesahkan kemusnahan di sepanjang pantai dengan banjir dan kebakaran akibat bencana itu yang mengakibatkan kira-kira 1,700 terbunuh.
  • Foto
    SEBUAH helikopter tentera bersama timbunan sampah di pangkalan udara tentera Matsushima.
Angin dikhuatiri burukkan lagi kes kebocoran Fukushima
Foto
SEBUAH helikopter tentera bersama timbunan sampah di pangkalan udara tentera Matsushima.
TOKYO: Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca Jepun memberi amaran, angin di loji nuklear Daiichi 1 Fukushima yang mengalami kebocoran radioaktif, bertiup dari selatan dan boleh menjejaskan kesihatan penduduk di bahagian utara negara itu.
Agensi perkhidmatan kaji cuaca itu menyatakan, arah angin mungkin berubah dalam tempoh terdekat dan dijangka bertiup dari barat menghala ke laut.
“Arah angin adalah faktor utama yang akan menentukan sejauh mana kerosakan alam sekitar berpunca daripada kebocoran yang berlaku, selepas Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami setinggi 10 meter semalam,” kata seorang pegawai agensi itu.

Pegawai berkenaan berkata pihaknya meramalkan cuaca sepanjang hari ini cerah, manakala angin bertiup dari arah barat sebelum menghala ke selatan.

“Kami akan terus memantau arah angin untuk membuat penilaian lanjut terhadap kesan kebocoran daripada loji berkenaan,” katanya.

Walaupun kebocoran radiasi ini sudah dijangka, profesor di Universiti Tokyo, Naoto Sekimura berkata bencana radioaktif yang besar tidak mungkin berlaku.
“Kejadian seperti Chernobyl adalah mustahil di reaktor air ringan ini.
Kehilangan penyejuk bermaksud suhu akan meningkat tetapi turut menghentikan loji.

“Malah, dalam senario yang teruk kebocoran radioaktif bermakna kerosakan peralatan tetapi bukan letupan besar. Jika pengedaran dilakukan dengan berhati-hati, kebocoran hanya sedikit dan bukannya melebihi jarak lingkungan tiga kilometer,” katanya.

Agensi berita Kyodo melaporkan pihak berkuasa mula memindahkan 20,000 penduduk dari zon sekitar loji Daini.

Perdana Menteri, Naoto Kan yang membuat tinjauan udara di loji itu menggunakan helikopter sebelum ini mengarahkan penduduk dalam lingkungan 10 kilometer dari sebuah lagi loji, Daiichi mengosongkan kawasan berkenaan.

Ketua Setiausaha Kabinet Yukio Edano berkata jumlah kebocoran radiasi mungkin kecil.

“Mungkin material radioaktif di loji reaktor bocor di luar tetapi jumlahnya dijangka kecil dan angin meniup ke arah laut dapat membantu,” katanya pada sidang akhbar. – AP/Reuters

Cara Jepun lawan tsunami

Kosmo!


Jika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik.

KEMUDAHAN gas asli di Miyagi terbakar selepas gempa bumi.


JAM dinding di pejabat akhbar Wall Street Journal yang terletak di tengah-tengah pusat perniagaan di bandar Tokyo menunjukkan pukul 6.57 pagi.
Wartawan akhbar itu, Yuka Hayashi bersama rakan-rakannya baru sahaja ingin memulakan rutin harian mereka apabila bilik berita yang menempatkan mereka mengalami gegaran kuat.
"Beberapa saat selepas itu, satu laporan diterima mengatakan timur laut Jepun dilanda gempa bumi yang besar.
"Untuk beberapa ketika, kami semua terpaku sehinggalah keadaan di pejabat kami bertukar kelam-kabut.
"Gegaran yang semakin kuat mengakibatkan ramai di antara kami tidak mampu berdiri sehingga terpaksa berpaut pada kerusi dan meja. Ada juga yang menyorok di bawah meja.
"Apa yang dapat diperhatikan dari tingkap pejabat yang terletak di tingkat 19, bangunan-bangunan tinggi yang berada di tengah-tengah pusat perniagaan Tokyo semuanya bergegar kuat dan ia berlangsung selama beberapa minit.
"Ada yang cuba untuk keluar dari bangunan menggunakan tangga kecemasan, ada juga yang mencapai topi keledar keselamatan dan menangis kerana terlalu terkejut.
"Lebih membimbangkan, cubaan untuk menghubungi keluarga gagal. Mujur juga e-mel masih boleh dikemas kini.
"Untuk mendapat perkembangan terkini, kami hanya bergantung kepada laman portal akhbar Jepun yang memberikan perkembangan terkini mengenai kejadian gempa dan tsunami," cerita Hayashi di dalam blog Japan Real Time-WSJ.
Gempa dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur laut Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer (km) itu turut menghasilkan gelombang tsunami pada kelajuan 1,000 kilometer sejam. Sendai terletak 400 km dari Tokyo.
Puluhan bandar dan kawasan penempatan di sepanjang 2,100 km di pantai timur Sendai turut merasai gegaran gempa yang paling kuat sejak 140 tahun lalu itu.

KEMUDAHAN gas asli di Miyagi terbakar selepas gempa bumi.


Lebih menyedihkan, ombak panjang setinggi 10 meter yang mengganas itu bukan sahaja menggoncang plat bumi Jepun, malah turut menjadi pencetus kepada beberapa siri tanah runtuh dan kebakaran besar yang menyebabkan bekalan elektrik serta telekomunikasi terputus.
Air hitam
Di beberapa kawasan lain seperti di Isago, Yokohama, asap hitam menyelubungi sebahagian besar kawasan perindustrian tersebut sementara di bandar lain di utara Jepun seperti di Kamaichi dan Kensennuma, kapal-kapal, trak, kereta dan kenderaan ringan dihanyutkan air hitam yang dipenuhi sampah sarap.
Sebuah pelabuhan di bandar Iwaki dijilat api, begitu juga di bandar Yamada.
Selain puluhan ribu penduduk terutama di bahagian utara Jepun terpaksa berdepan dengan kemusnahan tempat tinggal, ribuan pekerja di loji nuklear di Dai-ichi, Fukushima pula terpaksa berdepan dengan risiko gas radioaktif dari kawasan kilang yang rosak teruk akibat bencana yang sangat dahsyat itu.
Lewat petang semalam, stesen televisyen Jepun melaporkan empat pekerja loji nuklear cedera parah dalam kejadian letupan di salah satu bangunan reaktor yang rosak teruk.
Sejarah

DETIK-DETIK ombak gergasi melanda pesisiran Iwanumi, Miyagi.


Sehingga semalam, pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan statistik rasmi di mana 413 mayat telah ditemui, 784 masih hilang manakala 1,128 mangsa dilaporkan cedera.
Angka tersebut dijangka bertambah memandangkan gempa skala besar itu masih baru dan misi menyelamat baru sahaja dimulakan.
Kedudukan Jepun yang terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik meletakkan ia sebagai negara yang paling aktif menerima gempa bumi.
Lantaran itu, tidak mustahil jika Jepun diiktiraf sebagai negara yang mempunyai teknologi mengurangkan impak bencana alam dan kecekapan dalam sistem pengurusan bencana terbaik di dunia.
"Agensi Meteorologi Jepun mampu menyebarkan maklumat mengenai bencana tsunami dalam masa tiga minit," kata Dekan Fakulti Pengurusan Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Kiyoshi Kobayashi.
Orang Jepun memperkenalkan istilah tsunami, bermaksud ombak gergasi, kepada dunia. Sememangnya fenomena laut naik ke darat itu menjadi sebahagian daripada sejarah Jepun.
Tsunami yang dijana oleh gempa bumi, berlaku beratus-ratus kali setahun di Negara Matahari Terbit itu.
Gempa pesisiran pantai pada tahun 1707 dikatakan menyebabkan Pulau Shikoku ditenggelami ombak tsunami dan membunuh beribu-ribu penduduk.
Sebelum itu pada abad ke-15, ombak gergasi telah memusnahkan sebuah dewan yang menempatkan Daibutsu iaitu sebuah patung Buddha gangsa yang besar di Kamakura, sebuah pekan di selatan Tokyo.
Jepun terletak di atas beberapa plat tektonik menyebabkan ia mengalami kira-kira 1,000 gegaran setahun.
Pada tahun 1923, satu gempa bumi besar melanda Tokyo. Dikenali sebagai gempa bumi Great Kanto, gempa sekuat 7.9 pada skala Ritcher itu mengakibatkan kebakaran rumah-rumah kayu dan membunuh 100,000 orang.
72 tahun kemudian, satu lagi gempa berukuran 7.9 melanda bandar pelabuhan Kobe di barat Jepun. Banyak lebuh raya bertingkat berguguran dan beribu-ribu bangunan hancur.
Kereta api laju

JEPUN mempunyai sejarah panjang kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami.


Dikatakan satu daripada lima buah bangunan di Kobe musnah sama sekali. Seramai 6,400 orang terbunuh dan lebih 400,000 cedera. Api marak di seluruh bandar itu.
Kerajaan Jepun telah memberi perhatian serius kepada bencana tsunami dan gempa bumi.
Apabila berlaku gempa, data yang mengandungi magnitud dan lokasi serta-merta disiarkan oleh stesen televisyen kebangsaan NHK.
Mesej itu turut memuatkan sama ada amaran tsunami telah dikeluarkan.
Di kebanyakan pekan dan bandar, sistem pembesar suara boleh menyalurkan maklumat kecemasan kepada penduduk.
Di kawasan luar bandar, penduduk juga memiliki radio yang diagihkan oleh kerajaan tempatan di mana arahan berpindah boleh didengar.
Kanak-kanak dilatih menyorok di bawah meja semasa gempa. Semua orang dewasa diberitahu di mana pusat penempatan sementara terdekat dengan kediaman mereka sama ada di padang atau taman.
Pemeriksaan infrastruktur tidak dilupakan. Bangunan-bangunan pencakar langit di bandar-bandar utama direka supaya boleh bergoyang mengikut gegaran gempa, menjadikannya lebih selamat.
Sesetengah kawasan pantai mempunyai tempat perlindungan tsunami, sementara yang lain membina pintu banjir untuk bertahan daripada ombak itu.
Jika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu pula, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik.

PM Jepun arah operasi menyelamat mega

Kosmo!



DUA orang berjalan semalam dekat beberapa buah kereta yang dihanyutkan ombak tsunami di Miyako, timur Jepun.


TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan (gambar) semalam mengarahkan operasi menyelamat besar-besaran melibatkan lebih 50,000 anggota tentera selepas gempa bumi kuat dan ombak besar tsunami mengorbankan lebih 1,000 orang di timur laut Jepun.
Beliau memberitahu, sekitar 200 pesawat tentera dan 25 buah kapal akan dihantar ke timur laut Jepun, bahagian yang paling teruk terjejas dalam malapetaka itu.

Dua gerabak kereta api musnah akibat dipukul ombak tsunami di bandar Shinchi, Jepun semalam.


"Saya mengarahkan operasi besar-besaran kerana menyedari betapa dahsyat kemusnahan yang dicetuskan oleh tsunami kali ini," kata Kan selepas meninjau kawasan-kawasan yang musnah dengan menaiki helikopter.

ORANG ramai dipindahkan dengan menggunakan helikopter di Sendai, timur laut Jepun semalam.


"Sebahagian besar rumah di pesisir pantai musnah sama ada dihanyutkan ombak tsunami atau hangus dalam kebakaran," tambahnya.
Angka kematian rasmi bencana tersebut setakat ini kekal melebihi 574 orang dengan 1,115 lagi masih hilang manakala 1,128 yang lain cedera.
Namun, pihak berkuasa percaya, beribu-ribu orang maut akibat terperangkap di bawah runtuhan atau lemas dihanyutkan tsunami.

BANGUNAN-BANGUNAN dilitupi lumpur di bandar Ri kuzentakata, negeri Iwate, utara Jepun semalam.


Polis Jepun menyatakan, antara 200 hingga 300 mayat telah ditemui di Sendai, bandar paling hampir dengan pusat gempa terletak di timur laut Jepun.
Menurut pihak berkuasa, lebih 220,000 orang kini tinggal di lebih 1,350 penempatan sementara di lima negeri di timur laut Jepun dengan lebih 1 juta kediaman terputus bekalan elektrik dan air.

SEBUAH kapal kargo terdampar di tengah bandar Kesennuma, timur laut Jepun semalam selepas dihanyutkan tsunami.


Namun, pihak berkuasa berkata, banyak lagi mayat dipercayai tertimbus dalam timbunan runtuhan.
Setakat semalam, pekerja-pekerja penyelamat belum tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas akibat malapetaka tersebut.
Bahagian timur laut Jepun mengalami kemusnahan paling dahsyat dengan beberapa bandar diratakan selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter itu menggegarkan Jepun kelmarin dan mencetuskan gelombang tsunami setinggi 10 meter yang melanda daratan.
Sementara itu, masyarakat antarabangsa mula menghantar pasukan bantuan semalam bagi membantu mangsa-mangsa bencana di Jepun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lewat kelmarin mengumumkan empat pasukan penyelamat dari Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang dalam perjalanan ke negara matahari terbit itu. - Agensi

Loji nuklear meletup

Kosmo!





TOKYO - Ketika pihak berkuasa Jepun melaporkan lebih 80,000 orang dikhuatiri terkorban akibat gempa bumi dan tsunami terburuk dalam tempoh 140 tahun kelmarin, penduduk negara matahari terbit itu kini berdepan pula dengan kebocoran radioaktif yang boleh membawa maut.

SEJUMLAH bangunan yang musnah akibat tsunami diselubungi lumpur di bandar Minamisanriku, utara Jepun semalam.


Kebimbangan tersebut tercetus apabila sebuah akhbar di sini melaporkan bangunan Stesen Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi 1 milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) meletup semalam.
Keadaan mencemaskan itu memaksa kerajaan Jepun memindahkan 45,000 penduduk ke tempat lain yang lebih selamat.

Tentera, wakil Kristian Mesir berunding

Utusan


KAHERAH 11 Mac - Pemerintah tentera Mesir dan wakil masyarakat Kristian Qibti yang melancarkan demonstrasi di tengah Kaherah sejak minggu lalu, mengadakan rundingan semalam di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat selepas satu pertempuran agama tercetus malam Selasa lalu.
"Satu dialog telah dimulakan antara sekumpulan wakil muda Kristian Qibti dan paderi dengan barisan kepimpinan tentera bagi mengakhiri konflik ini," umum stesen televisyen negara.
Pertempuran maut tercetus lewat malam Selasa lalu di daerah Moqattam di sini, apabila masyarakat Islam berhadapan 1,000 penganut Kristian yang menyekat jalan raya dalam satu bantahan berhubung kejadian gereja dibakar minggu lalu.
Kementerian Kesihatan melaporkan, seramai 13 maut dalam insiden itu sementara paderi besar gereja Moqattam, Boutros Roshdy berkata, tujuh daripada mangsa yang maut terdiri daripada penganut Kristian Qibti.
Lebih 1,000 penganut Kristian Qibti meneruskan bantahan di pekarangan stesen televisyen negara di Kaherah semalam, bagi menuntut pembinaan semula sebuah gereja yang dibakar di selatan ibu negara minggu lalu apabila satu pertelingkahan tercetus akibat hubungan cinta sepasang penganut Kristian dan Islam.
Bapa kepada pemuda Kristian itu dan gadis Islam tersebut maut dalam satu pertempuran sebelum gereja berkenaan dibakar keesokan harinya.
Penunjuk perasaan yang mengutuk kejadian tersebut turut menuntut Gabenor wilayah Helwan, lokasi insiden berlaku, meletak jawatan.
Sementara itu, golongan muda yang melancarkan revolusi sehingga memaksa peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak semalam melalui halaman Facebook, sekali lagi menyeru satu perhimpunan diadakan di Dataran Tahrir hari ini sebagai lambang 'penyatuan kebangsaan' rakyat Mesir.
Kumpulan itu turut menggesa rakyat 'mengelakkan provokasi atau cubaan menimbulkan kekacauan'.
Seruan itu dibuat berikutan kejadian sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan parang yang menyerang beratus-ratus aktivis prodemokrasi di dataran tersebut kelmarin. - AFP