Pages

Sunday, June 14, 2015

$100 bilion untuk beli 3 telur

Harare: Bank Pusat Zimbabwe menawarkan kepada rakyat negara itu untuk menukar wang kertas Zimdolar kepada dolar Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, untuk menukar 100 trilion dolar Zimbabwe mereka hanya akan memperoleh AS$0.40 saja.
Zimbabwe tidak lagi menggunakan nilai matawangnya sendiri sejak 2009 dan menggantikannya dengan sistem dikuasai dolar AS dan rand Afrika Selatan selepas inflasi yang melanda negara itu menjangkau 230 juta peratus.
Sejak itu, penjaja jalanan juga enggan menerima not Zimdolar.
Dengan wang 100 bilion Zimdolar pembeli hanya boleh membeli tiga biji telur. Sementara 100 trilion Zimdolar hanya boleh digunakan untuk tambang bas selama seminggu.
Tidak hairanlah jika melihat rakyat negara itu membawa beberapa bungkusan wang untuk membeli roti dan susu.
Mulai esok, mereka boleh menukar Zimdolar yang masih disimpan kepada dolar AS.
Ia sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menarik balik peredaran matawang tempatan secara menyeluruh.
Sebahagian penduduk di Harare berkata, mereka sudah lama membuang Zimdolar.
“Saya jadikannya baja untuk tanaman saya,” kata penjaja Isaac Mutezowepasi.
Yang lain berkata, mereka masih menyimpan wang kertas itu dan tidak tertarik dengan tawaran kerajaan.
“Saya mahu menyimpannya untuk ditunjukkan kepada cucu saya. Tambahan pula, saya yakin nilai Zimdolar akan meningkat kerana banyak permintaan apabila ia semakin pupus,” kata pereka grafik Tendai Nyaundi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:07 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57702#sthash.1ROhpxUo.dpuf

Penceraian termahal dunia

GAMBAR saat-saat bahagia Natalia dan Vladimir semasa bercuti di Jordan pada tahun 2010. - AGENSI


MOSCOW – Isteri kepada seorang bilionair Rusia akan membuat tuntutan separuh daripada £10 bilion (RM58.3 bilion) kekayaan suaminya sekali gus bakal mencatat perceraian termahal di dunia, lapor MailOnline.
Kes tuntutan Natalia Potanina terhadap Vladimir Potanin yang dikurniakan tiga orang cahaya mata hasil perkongsian hidup selama 30 tahun akan dibicarakan di mahkamah Moscow bermula 1 Julai ini.
Vladimir, 54, yang merupakan pemilik syarikat perlombongan dan pelaburan melahirkan hasrat untuk menceraikan Natalia kerana dia mempunyai hubungan dengan seorang wanita lain dan turut mempunyai dua anak.
“Dia memberitahu hasrat untuk bercerai pada satu majlis makan malam bersama anak-anak kami. Saya tidak menjangka perkara ini berlaku, malah tidak sanggup untuk memikirkannya,” luah Natalia.
Sebelum ini, Vladimir menawarkan kepada Natalia wang £32 juta (RM186 juta) berserta elaun tetapi ditolak dan menuntut separuh daripada kekayaannya.
Tawaran itu termasuk elaun bulanan £250,000 (RM1.45 juta) serta rumah di Moscow, London dan New York.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3czI45N5h 
Hakcipta terpelihara