STAFFORDSHIRE, Britain - Sebuah keluarga di Britain berkongsi sarapan pagi mereka dengan seekor unta, lapor sebuah akhbar baru-baru ini.
Unta jantan berusia enam tahun itu, Joe akan melawat kediaman keluarga Anderson-Dixon yang tinggal di sebuah ladang di sini pada setiap pagi.
Haiwan itu akan memasukkan kepalanya melalui tingkap dan memakan pisang dan lobak merah yang dihidangkan di meja sarapan oleh Nathan, 34 dan isterinya Charlotte, 31.
"Unta ini datang sesuka hati selepas ia mencelah kepalanya di tingkap untuk makan sarapan kami pada suatu hari," kata Nathan.
Memiliki ketinggian 1.7 meter, Joe juga tidak cerewet kerana akan memakan roti, bijirin dan buah-buahan lain yang dihidangkan oleh keluarga tersebut.
Walaupun Nathan dan isterinya memiliki tiga unta betina namun hanya Joe sahaja yang gemar bersarapan pagi bersama mereka.
Keluarga berkenaan membela sebanyak 74 haiwan lain yang digunakan untuk iklan televisyen dan penggambaran filem. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2mAyS7GDf
Hakcipta terpelihara