Pages

Sunday, June 27, 2010

Malaikat Kecil Pada Hari Jumaat



Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan
beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.
Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya dah bersedia”
Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa?”. “Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah”
“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”
“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”
Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”
Dengan merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi ayah?”
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”
“Terima kasih Ayah” Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.
Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya.
Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.
Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya
sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya
pintu rumah itu dibuka.
Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. “Nak, apa yang makcik boleh bantu?”
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. “Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini
hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah”. Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.
“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu” dalam nada yang lembut
Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu”
Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan
seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini” Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan
hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng
ditekan sekali lagi”.
“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”
“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”. “Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik” itulah kata-kata yang
paling indah yang saya dengar”.
“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi”.
“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya
ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka”
Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!
Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.
Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.
Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang
Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara kamu!
ALLAHUAKBAR!
Wassallam

Nazam Cerita Kematian dan Akhirat

Kitab Nazam
Bismillah itu permulaan kalam
Dengan nama Allah khaliq al-alam
Dimulai kitab diperbuatkan nazam
Supaya ingat mukmin dan Islam
Memohon rahmat kepada Allah
Minta ampun barang yang salah
Fakir mengarang berbuat lalah
Mengarangkan syair suatu masalah
Alhamdulillah pula dikata
Bagi Allah puji semata
Empat puji adalah serta
Sekeliannya kembali ke Tuhan kita
Sudah memuji Tuhan yang kaya
Selawatkan Rasul Nabi yang mulia
Itulah Penghulu sekelian Anbiya
Sekelian Islam jin dan manusia
Itulah Pesuruh Tuhan yang ghani
Menyampaikan titah ke sana sini
Barang yang tidak menurut ini
Menjadi kafir masuk Nasrani
Sudah memuji Allah dan Muhammad
Disertakan syair surat al-Qiyamat
Di sanalah Nabi memohonkan umat
Barang yang taat beroleh nikmat
Barang yang maksiat beroleh bala
Kerana dimurkakan hak Taala
Di dalam neraka ia tersala
Badannya hancur tiada berkala
Seksanya itu bukan kepalang
Di dalam api ia terjulang
Dimakannya daging lantas ke tulang
Jerit dan tangis tiada berselang
Kerana Allah sangatlah murka
Dimasukkan kita ke dalam neraka
Sentiasa duduk di dalam duka
Sedikit tidak merasai suka
Maka demikian hai saudara sekelian
Baiklah mencari bekal berjalan
Ke negeri yang baqa tempatnya pulang
Janganlah ikut kafir kehinaan
Dijadikan Allah negeri di dunia
Tempat hamba-Nya yakin percaya
Barang yang hendak ia terpedaya
Menjadi sangat takabur dan raya
Barang yang ingat akan mati
Dunia dijadikan tempat berhenti
Sekadarkan tempat berbuat bakti
Akhirat juga hadir meniti
Dijadikan dunia oleh Tuhanmu
Bukan di sini akan tempatmu
Sekadarkan ibadat dengan ilmu
Serta diamalkan dengan yakinmu
Bukan dunia negeri yang baqa
Sekadar duduk dengan seketika
Akhirat kelak berpindah juga
Laki-laki perempuan habis belaka
Jika demikian betapalah sudah
Dengan harta sangatlah gundah
Dari dunia lagikan pindah
Ke negeri Akhirat tempat yang indah
Bukannya tidak sudah dikata
Oleh sekelian sidang pendeta
Yang mati itu tuna dengan kita
Hendak diingati ke negeri kita
Barang yang sedar ia akan mati
Dunia ini tempat berhenti
Sekadarkan duduk berbuat bakti
Suruhan Tuhan Rabb al-Izzati
Barang yang sudah hendak terkena
Tidaklah sedar dunia kan fana
Barang siapa iktikad yang sempurna
Dunia ini tiadalah berguna
Barang siapa yang ditunjuki
Siang dan malam tidak berhenti
Tidaklah lupa berbuat bakti
Baiklah takut ia akan mati
Dunia juga ia diamat-amati
Mencari harta mengisi peti
Mencari harta tiadalah jemu
Menjadi lalai pada hatimu
Tandanya sudah kita tersemu
Akhirnya itu jadi selamu
Harta itu harus dicari
Serta ilmu engkau pelajari
Amalkan olehmu sehari-hari
Supaya selamat badan sendiri
Harta itu cari olehmu
Disambilkan dengan mencari ilmu
Serta diamalkan dengan tipumu
Supaya jangan jadi selemu
Setengah orang mencari harta
Ke sana ke sini berbuat dusta
Dengan berbohong ia berkata
Menjadi haram semata-mata
Hendaklah ingat kita di sini
Jangan berbuat yang demikian ini
Kerana ditegahkan Tuhan yang ghani
Menjadilah tidak Allah kasihani
Ada yang berniaga ke sana ke mari
Hingga belayar ke sebuah negeri
Ibadat tinggal harta dicari
Lupalah ilmu yang dipelajari
Sebab ghalib dengan berniaga
Lupa lalai sangatlah leka
Di ibadat tak ingat barang seketika
Menjadi Allah sangatlah murka
Ingat-ingat kita sekelian
Janganlah berbuat akal demikian
Tidaklah takut hari kemudian
Di dalam Akhirat jadi kerugian
Jikalau berniaga dengan taatnya
Apalah pula akan salahnya
Kita di dunia sahaja adatnya
Mencari nafkah isi rumahnya
Setengah orang mencari harta
Sembahyang tidak lagi dicita
Ilmu sepatah haram tak nyata
Mengerjakan maksiat semata-mata
Ingatkan Allah jangan dicari
Haram tak sedar barang sehari
Mabuklah dengan ke sana ke mari
Kerja yang maksiat juga digemari
Disambilkan dengan berjual beli
Mengerjakan amal tidak peduli
Sembahyang tidak barang sekali
Demikianlah orang yang buta tuli
Astaghfirullah banyak penglihatan
Isi dunia banyaklah perbuatan
Banyak yang fiil seperti syaitan
Ada yang seperti hantu di hutan
Ada ke sana ada yang ke sini
Ada yang gila mencari bini
Lupalah engkau Tuhan yang ghani
Menjadi tidak Allah kasihani
Hendak berbini orang tak suka
Laki-laki perempuan benci belaka
Sebab fiil kita nan juga
Kepada Allah sangatlah derhaka
Mencari bini apakan salah
Janganlah juga lupakan Allah
Orang yang banyak pun sukalah
Kita pun tidak dimurkai Allah
Kepada Allah apabila ia lupa
Berbuat jahat tiadalah ditimpa
Kepada fikir tidak mengapa
Halal dan haram jadi serupa
Amar dan nahi tiadalah ngeri
Pekerjaan maksiat juga digemari
Berbuat fasik sehari-hari
Kata yang manfaat jangan dicari
Apabila bertemu semuanya muda-muda
Gegak gempita gurau dan senda
Banyaklah cakap mengada-ngada
Kata yang benar haram tiada
Astaghfirullah hairanlah hati
Melihat rupa laku pekerti
Sedikit tidak ingatkan mati
Suka dan raya tiada berhenti
Ada yang berhimpun suatu tempat
Sahabat handai penuh dan tumpat
Beberapa bohong dengan sepempat
Suka tertawa terlompat-lompat
Astaghfirullah hairanlah hamba-Mu
Hamba Allah banyak tersemu
Di dalam dunia tiada yakinmu
Di dalam akhirat sangatlah selemu
Kepada makhluk sama sekeliannya
Ayat pun sangat lain-lainnya
Di hadapan engkau manis mukanya
Pulangkan rumah dicercanya
Sebab kerana fiilnya kita
Tiadalah fikir tutur dan kata
Sedikit benar banyak yang dusta
Menjadi kebencian Tuhan kita
Banyaklah perkataan yang sia-sia
Kepada malaikat kurang percaya
Itulah kebencian Tuhan yang sedia
Syaitan dan iblis sukalah dia
Ayuhai taulan adik dan kakak
Bukannya dunia negeri yang baqa
Janganlah tuan tersalah sangka
Sekadar duduk dengan seketika
Janganlah sangat raya dan suka
Menjadi Allah sangatlah murka
Membanyakkan taubat segala mereka
Supaya jauh daripada neraka
Ayuhai sekelian ibu dan bapa
Kita nan sangatlah alpa
Kepada ibadat sangatlah lupa
Dunia tidak lagi beberapa
Kita di dunia sangatlah rintang
Mabuklah dengan hutang piutang
Malak al-maut hampirkan datang
Entah pagi entah pun petang
Hendaklah ingat kita nan tuan
Tipu syaitan baik di Tuhan
Janganlah lupa memuji Tuhan
Supaya datang rahmat kasihan
Dunia jangan jadi pengenangan
Akhirat tidak jadi kemenangan
Mati itu sahaja tunangan
Menjadilah sesal berpanjang-panjangan
Hendaklah mencari iktikad yang sempurna
Supaya jangan kita terkena
Apabila nyawa hampirkan fana
Sesal pun tidak lagi berguna
Tatkala kita hampirkan mati
Datanglah penyakit tiada berhenti
Sahabat handai datang mengubati
Usahkan senang bertambah-tambah menyakiti
Tatkala badan tiada berkaya
Hilanglah akal budi bicara
Hampirkan tinggal rupa dunia
Kasih dan sayang tinggallah dia
Sakitnya nyawa kan selayang
Daripada badannya wang dan dayang
Pandang seperti mabuk kepayang
Tinggallah sekelian kasih dan sayang
Tatkala nyawa hendak tercabut
Baharulah di sana sesal berkabut
Dada dan perut terkembang-kembut
Naik turun nafas berubut
Sentiasa badan terguling-guling
Kiri dan kanan tidak berpaling
Adik dan kakak duduk berkeliling
Ada yang mengadap ada yang memaling
Sentiasa badan terlentang
Tiada bergerak seperti batang
Sahabat handai habislah datang
Ada yang memegang ada yang menatang
Datanglah ulama hilir dan hulu
Mengajarkan kalimah bertalu-talu
Hendak menjawab tiadalah lalu
Bibir pun berat lidah pun kelu
Hendak menjawab tiadalah boleh
Sehinggakan peluh sahaja berleleh
Sebab tinggalkan amal yang soleh
Mengerjakan maksiat tiada memilih
Datanglah fakir dengan kadi
Duduk mengaji kanan dan kiri
Orang yang tidak sedarkan diri
Nafas pun jarang mati berdiri
Malak al-maut datangnya mereka
Merah padam warnanya suka
Mengambil nyawa dengan seketika
Tinggallah sekelian adik dan kakak
Tatkala nyawa kan melayang
Tinggal sekelian wang dan dayang
Datanglah fakir yang kasih sayang
Memandikan mayat lalu sembahyang
Tatkala nyawa sudahlah terbang
Meninggalkan dunia dengan tak bimbang
Datanglah sekelian adik dan abang
Dipikulkan mayat dibawa ke lubang
Simpang ke lubang didirikan papan
Serta terdiri disandarkan
Terhantar mayat dengan ketatapan
Laku seperti orang tersimpan
Ditambus lubang tanah diri
Dua biji nisan pula terdiri
Talkin pula diajari
Bangunlah mayat menatap diri
Munkar dan Nakir datangnya segera
Dengan cokmar sangatlah kemira
Takutnya tidak lagi terkira
Dihatsatnya tidak lagi terbicara
Datangnya itu menanyai kamu
Si fulan itu siapa Tuhanmu
Jikalau sedikit salah jawabmu
Kenalah palu sekelian badanmu
Di sinilah sangat seksanya taulan
Sebab di dunia tiada perpengenalan
Di dalam kubur sangatlah kesipulan
Kerana makrifat tiada berbetulan
Seksanya tidak lagi terperi
Seperti duduk di dalam duri
Pukul dan palu sehari-hari
Baharulah kita sesalkan diri
Setelah selilah pula suatu bala
Kiraman katibin datangnya pula
Membawa firman hak Taala
Menyuratkan dosa dan pahala
Segala pahala disuratkan dahulu
Kepada dosa sangatlah malu
Kiraman katibin marah terlalu
Diangkatnya cokmar serta dipalu
Merasai badan terlalu sangat
Rasanya badan bagaikan lumat
Ia menyurat segeralah bangat
Sekelian dosa barang yang ingat
Setelah tersurat dosa dan pahala
Melihat dirinya mayat digantungkan pula
Menantikan datang tiup sangka kala
Membinasakan langit bumi segala
Apabila kiamat sekeliannya rata
Dosa dan pahala di sanalah nyata
Syurga dan neraka adalah semata
Entah pun di mana tempatnya kita
Ayuhai sekelian encik dan tuan
Demikianlah kita sudah kesudahan
Hendaklah juga mencari haluan
Persembahan kita kepada Tuhan
Jikalau kita hendak selamat
Perbuatan kita hendaklah hemat
Berbuat ibadat hendaklah cermat
Dunia nan hampirkan kiamat
Tatkala kiamat sudahlah nyata
Malak al-maut datanglah serta
Mengambil nyawa sekeliannya kita
Habislah binasa sekelian kita
Bumi dan langit habis binasa
Baharulah di sana kita merasa
Tertentulah sekelian pahala dan dosa
Menerimalah badan nikmat dan seksa
Tatkala masa hari kiamat
Berhimpun di Mahsyar sekelian umat
Merasai panas terlalu amat
Barang yang mukmin beroleh nikmat
Berpanjang kelam tiada kuasa
Disebutkan pula suatu masa
Tiup sangka kala habis binasa
Bumi dan langit tiadalah berasa
Habislah mati segala yang bernyawa
Syaitan dan iblis habislah semua
Langit dan bumi antara kedua
Itupun habis binasa jua
Tatkala hari akan kiamat
Dihasutnya makhluk terlalu amat
Gempanya besar tiada terhemat
Bumi dan langit habislah lumat
Dengan kehendak Tuhan hadrat
Segala makhluk habislah meparat
Digulingnya langit seperti surat
Digulungnya dengan tangan kudrat
Negeri dunia sudahlah punah
Dengan akhirat negeri yang indah
Dibaliknya bumi dengan mudah
Seperti orang membalik juadah
Tiup sangka kala yang kedua
Kepada badan datanglah nyawa
Dititahkan Allah malaikat membawa
Manusia dan binatang demikian juga
Daripada kuburnya bangun semata
Seraya berdiri membukakan mata
Ke kiri kanan dipandang nyata
Dilihatnya bumi sudahlah rata
Bumi seperti tikar bentang
Sebuah bukit tiada melintang
Kayu pun tiada barang sebatang
Luasnya saujana mata memandang
Segala yang bangun daripada kuburnya
Mereka itu sekelian dengan dahaganya
Ada yang bertelanjang tiada kainnya
Masing-masing dengan tangisnya
Melainkan suatu kaum yang selamat
Mukmin yang percayakan Nabi Muhammad
Mereka itulah yang bernamakan umat
Di negeri Akhirat beroleh nikmat
Empat puluh tahun ia berdiri
Tiada bergerak ke sana ke mari
Dengan dahaganya tiada terperi
Jerit dan tangis sehari-hari
Tiup sangka kala yang ketiga
Punah menjalankan segala mereka
Ada yang bertelanjang ada yang dahaga
Inilah tanda orang yang derhaka
Tatkala bangkit daripada mati
Dua belas kaum berganti-ganti
Di padang Mahsyar berganti-ganti
Di padang Mauquf tempat berhenti
Kaum yang pertama dibangkitkan segera
Keluar daripada kuburnya seperti kera
Azabnya tidak lagi terkira
Di dalam neraka tempat penjara
Itulah balas perbuatan dia
Tatkala masa di dalam dunia
Banyak perbuatan yang teraniaya
Berbuat fitnah sesamanya manusia
Jikalau kurang percaya di sini
Menjadi kafir masuk nasrani
Itulah firman Tuhan yang ghani
Membezakan ia perkataan ini
Kerana perbuatan yang buta tuli
Seolah-olah neraka sudah dibeli
Itulah dalil Tuhan yang azali
Wa al-fitnat asyaddu min al-qatli
Inilah maknanya diri nyata
Supaya ingat sekelian kita
Orang yang berbuat fitnah dengan dusta
Terlebih daripada membunuh dengan senjata
Kaum yang kedua dibangkitnya
Dibangkitkan Allah daripada kuburnya
Seperti babi pula rupanya
Sebab menghukumkan tiada sebenarnya
Sebabnya makan seorang-orang
Menjadi menghukumkan sebarang-barang
Kerana nafsu tidak terlarang
Di dalam neraka engkau terjulang
Inilah firman daripada Rabbi
Hendaklah diitsbatkan di dalam qalbi
Samma’un lil kazib
Akalun lissuhti
Inilah maknanya diberi tentu
Kerana mendengarkan kata mereka itu
Perkataan yang dusta sudahlah tentu
Sebab makan seorang itu
Kaum yang ketiga bangkit semata
Keluar daripada kuburnya matanya buta
Teraba-raba terlata-lata
Ke dalam neraka tempat bertakhta
Sebab mereka itu beroleh salah
Tiada mengikut firman Allah
Berapa melalui hukum Allah
Di sana baharu kita rasalah
Bukan sudah Allah suruhkan
Di dalam Quran disebutkan
Segala manusia engkau hukumkan
Dengan adilnya engkau bicarakan
Kaum yang keempat dibangkitkan sekali
Keluar dari kuburnya buta dan tuli
Sebab perbuatan tiada kecuali
Hadith dan dalil tiada peduli
Itulah orang takbur dan raya
Membesarkan dirinya sama manusia
Menghendaki puji di dalam dunia
Menjadi benci Allah akan dia
Allah Taala sangatlah murka
Banyaklah sangat hamba yang derhaka
Berbuat ibadat tiadalah suka
Dimasukkan Allah ke dalam neraka
Kaum yang kelima dibangkitkannya
Dikeluarkan Allah daripada kuburnya
Terbitlah nanah daripada perutnya
Terjelir lidah daripada mulutnya
Inilah balas perbuatan kamu
Orang yang alim menaruh ilmu
Tiada diamalkan seperti fahammu
Di dalam neraka engkau tersemu
Kerana bersalahan seperti dikata
Yang diperbuat oleh segala anggota
Demikianlah kebanyakan segala pendeta
Menjadilah dosanya semata-mata
Lain ilmu yang difahamkan
Berlainan amal yang dikerjakan
Sedikit ia banyak yang bukan
Ke dalam neraka ia dihalaukan
Kaum yang keenam dibangkitkan belaka
Keluar daripada kuburnya segala mereka
Dengan api tertentuklah muka
Sekelian tubuhnya terbakarlah juga
Inilah balas perbuatannya
Naiklah saksi dengan dustanya
Berkatalah tidak dengan tahunya
Demikianlah azab yang dirasainya
Dengan sebab bermalu-maluan
Lagipun hendak mendirikan kawan
Menjadi tidak takutkan Tuhan
Ke dalam neraka engkau tertawan
Adapun ertinya saksi itu
Dua perkara maksud di situ
Jikalau berdusta salah suatu
Kenalah azab yang demikian itu
Pertama saksi berbicara
Berdusta situ janganlah cedera
Kenalah azab sangat sengsara
Ke dalam neraka ia terpenjara
Kedua saksi kepada ilmu Allah
Berdusta di situ sangatlah salah
Yang tiada tahu dikatakan tahulah
Kenalah azab demikian itulah
Kaum yang ketujuh dibangkitkannya
Dibangkitkan Allah daripada kuburnya
Keluarlah kaki daripada dahinya
Terikatlah dengan ubun-ubunnya
Bahunya busuk tiada terpakai
Terbit daripada bahunya bangkai
Suatu pun tidak ada sebagai
Dengan neraka ia disergai
Inilah balas perbuatan dia
Mereka yang sangat inginkan dia (dunia?)
Akan Akhirat tiadalah ia percaya
Di situlah yang banyak terpedaya
Mengikutkan keinginan nafsu dan hawa
Nikmat tiada ditentukan jua
Berbagai permainan suka tertawa
Itulah sangat menjadi kecewa
Apabila berbunyi rebat dan kecapi
Lalailah di sana engkau menghadapi
Akan Allah sudahlah nafi
Di dalam neraka makan api
Apabila berbunyi gong dan gendang
Lalailah di sana engkau memandang
Akan Allah tidaklah pantang
Di dalam neraka ia direndang
Sudahlah memakai emas dan perak
Pergilah meminum tuak dan arak
Gegak gempita tepuk dan sorak
Ke dalam neraka ia diarak
Sudahlah berkain berpucuk rebung
Dibawa berjalan pergi menyabung
Ditambahkan pula dengan sekupung
Di dalam neraka ia terkepung
Setelah sudah ia berselindung celari
Dibawanya pula pergi menari
Tidaklah lagi sedarkan diri
Di dalam neraka ia terdiri
Apabila terkena sutera dan kesumba
Dibawanya pula pergi meraba
Di akhirat rugi tiadalah laba
Dengan neraka ia dituba
Bercincin emas dicari pula
Dibawanya pergi menggesek biola
Di negeri akhirat besarlah bala
Ke dalam neraka ia tersula
Tatkala sudah bercincin pudi
Dibawanya berjalan pergi berjudi
Itupun dosa terlalu jadi
Dengan neraka badan digerudi
Apabila lengkap pakaian pun ada
Pergilah bercakap-cakap samanya muda
Berbagai-bagai gurau dan senda
Di dalam neraka sangatlah berbeza
Demikianlah kebanyakan segala mereka
Nikmat di dalam dunia sangatlah suka
Ditukarkan dengan nikmat syurga
Allah membalaskan dengan neraka
Kaum yang ketujuh inilah jumlah
Segala yang lupa akan Allah
Pengrasaan tidak menjadi salah
Di negeri akhirat kita rasalah
Kaum yang kelapan bangkitkan berdiri
Daripada kuburnya terlari-lari
Berdiri tempat kanan dan kiri
Azabnya tidak lagi terperi
Ke sana ke mari teraba-raba
Seperti termabuk termakan tuba
Busuknya tidak dapat diraba
Api neraka pula diriba
Inilah orang tiada berzakat
Lagipun harta tiada harakat
Ada akhirat tidak beroleh berkat
Di dalam neraka ia terikat
Inilah firman Tuhan kita
Allazina la ya’tuna al-zakata
Wa hum bi al-akhirat pula dikata
Hum kafirun sekelian kita
Inilah maknanya diri tentu
Yang tiada mengeluarkan zakatnya itu
Katayala di akhirat mereka itu
Menjadi menyesal sahaja tertentu
Kaum yang kesembilan dibangkitkan belaka
Dikeluarkan Allah segala mereka itu
Memakai baju api neraka
Itulah tanda orang yang derhaka
Mengumpat dan mengata segala manusia
Dengan neraka ia terpedaya
Inilah balas perbuatan dia
Tatkala masa di dalam dunia
Berdengki-dengkian samanya Islam
Mengumpat mengata siang dan malam
Sangatlah murka khaliq al-alam
Di dalam neraka ia terselam
Mengadu-adu samanya makhluk
Perbuatan itu tiadalah elak
Azabnya tidak lagi bertolak
Di dalam neraka duduk terbelok
Samanya Islam disabung-sabung
Kata sepatah dihubung hubung
Ke sana ke mari ia mengruyang
Neraka pun datang hendak mengepung
Itulah orang yang berbuat fitnah
Daripada sulitnya terbitlah nanah
Jauhlah ia daripada syurga jannah
Dimakan api daging pun punah
Kaum yang kesepuluh dibangkitkan
Daripada kuburnya dikeluarkan
Beberapa saksi yang dikurniakan
Ke dalam neraka ia dihalaukan
Inilah orang yang mengada-ada
Kata yang benar haram tiada
Ilmu sepatah tiada di dalam dada
Di atas api ia berkuda
Ke sana sini ia berkata-kata
Mendakwa dirinya alim semata
Ilmu sepatah haram tak nyata
Di atas api ia bertakhta
Tiada mengetahui dirinya kosong
Ilmu sepatah haram tak langsung
Malaikat Zabaniyah datang mengusung
Di dalam neraka ia terpasung
Kaum yang kesebelas dibangkitkan pula
Dikeluar oleh hak Taala
Atas mereka besarlah bala
Keluar daripada kuburnya lidah terhela
Inilah balas perbuatan dia
Berkata-kata perkataan dunia
Di dalam masjid Yang Maha Mulia
Hadith dan dalil tiada percaya
Di dalam firman menegahkan kita
Di dalam hadith menegahkan semata
Di dalam masjid jangan berkata
Melainkan memuji Tuhan kita
Dibangkitkan Allah kaum yang kedua belas
Daripada kuburnya memakai antalas
Inilah orang beroleh balas
Mukanya seperti bulan empat belas
Cahayanya muka gilang gemilang
Seperti dian dalam balang
Eloknya bukan alang kepalang
Ke dalam syurga tempat pulang
Inilah jumlahnya orang yang sembahyang
Lima waktu malam dan siang
Batas titian ia melayang
Melintas seperti bayang-bayang
Pantasnya tidak dapat dikata
Di atas titian sekejap (sekelip?) mata
Ke dalam syurga tempat bertakhta
Beberapa mahligai dengannya kota
Di dalamnya banyak anak bidadari
Duduk mengadap kanan dan kiri
Eloknya tiada lagi terperi
Sekeliannya itu menjadi isteri
Adapun isterinya di dalam dunia
Jikalau sembahyang sangatlah mulia
Jadilah penghulu anak dara-dara
Sekeliannya itu kasihkan dia
Dijadikan ia akan penghulu
Anak bidadari sangatlah malu
Sekeliannya itu kasih terlalu
Berbagai nikmat dihantarkan selalu
Sekeliannya itu anak dara-dara
Eloknya tidak lagi terkira-kira
Seorang pun tiada banding sengara
Mata memandang terlalu suka
Tiadalah lekas barang seketika
Sentiasa gurau jenaka
Tiap-tiap seorangnya itu
Adalah biliknya dengannya pintu
Bertatahkan emas sepuluh mutu
Permata intan ratna mentu
Segenap pintu adalah kita
Bertatahkan emas intan permata
Beberapa tanglung qandil pelita
Terang menerang (benderang?) terlalu nyata
Sekeliannya kita dengannya alat
Beberapa hamparan suf dan sakhlat
Bertatahkan intan pudi dahlat
Cahaya cemerlang berkilat-kilat
Sekeliannya geta dengan hamparan
Tabir langit-langit berkibar-kibaran
Bau-bauan berhamburan
Mata memandang sangatlah hairan
Bidadari mengadap kiri dan kanan
Masing-masing dengan hidangan
Berjenis-jenis makan makanan
Makanlah ia barang yang berkenan
Inilah balas orang yang percaya
Berbuat taat di dalam dunia
Beberapa laku yang sangat mulia
Dibahagikan Allah kepada dia
Inilah fasal suatu cerita
Berhimpun di Mahsyar makhluk semata
Banyaknya tidak lagi menderita
Ada yang tuli ada yang buta
Ada yang lapar ada yang dahaga
Ada yang bertelanjang segala mereka
Tiada berkain sedikit juga
Ia menangis sangatlah duka
Panas pun sangat tiada terhemat
Rasanya badan bagaikan lumat
Ada yang berteriak terlalu sangat
Memenuhkan kesudahan hari kiamat
Empat puluh tahun ia berdiri
Patahlah susuk tiada terperi
Tiadalah bergerak ke sana ke mari
Makan dan minum jangan dicari
Tiada yang duduk berdiri semata
Sepatah tidak boleh berkata
Seksanya tidak lagi menderita
Patah akal sudah peminta
Seorang bertanyakan Nabi Muhammad
Tatkala masa hari kiamat
Manusia banyak tiada terhemat
Adakah penghulu mengenal umat
Disahut Nabi akan katanya
Aku kenal umatku sekeliannya
Masing-masing ia ada tandanya
Adalah cahaya kepada dahinya
Cahaya dahinya berbayang-bayang
Tanda bekas air sembahnyang
Mengerjakan dia malam dan siang
Meninggalkan dia terlalu sayang
Mukanya bersih bercahaya-cahaya
Tandanya kasih Tuhan kan dia
Kerana mereka sangatlah percaya
Di negeri akhirat sangatlah mulia
Di negeri akhirat sangatlah terbilang
Cahaya mukanya gilang gemilang
Di atas kenderaan ia terjulang
Ke dalam syurga tempatnya pulang
Inilah fasal riwayat suatu
Di dalam hadith terbitnya itu
Mengeluarkan mukmin sekeliannya itu
Daripada kuburnya supaya tentu
Seraya bertitah Tuhannya kita
Kepada Ridhwan Ia berkata
Pergilah keluarkan mukminnya belaka
Segala amalnya supaya nyata
Pergilah Ridhwan ke kubur mukmin
Habislah keluarkan segala muslimin
Yang mengerjakan suruh Rabb al-Alamin
Mukanya berkilat seperti cermin
Habislah dikeluarkan oleh Ridhwan
Daripada kuburnya berkawan-kawan
Tubuhnya bercahaya kilau-kilauan
Sebab mengerjakan suruhan Tuhan
Mukanya seperti bulan purnama
Eloknya tidak terumpama
Demikianlah lagi aulia dan ulama
Berjalanlah ia bersama-sama
Ridhwan pun mengiringkan sekeliannya
Habislah keluar daripada kuburnya
Segala yang puasa dikeluarkannya
Berbangkitlah ia dengan sentosanya
Keluarlah segala orang yang puasa
Bangkit daripada kuburnya amat kuasa
Berbagailah nikmat syurga dirasa
Makan dan minum sentiasa
Ridhwan menyuruh anakan syurga
Menghantar hidangan tiada berhingga
Makan dan minum segala mereka
Sentiasa bersuka-suka
Anak-anakan syurga tiadalah lupa
Menghantarkan hidangan entah berapa
Daripada emas baharu ditempa
Berbagai-bagai jenis dan rupa
Buah-buahan berbagai-bagai
Dibawa bidadari dari mahligai
Di dalam tabak berbagai-bagai
Berjenis-jenis daripada sanggai
Inilah balasnya orang yang beriman
Berjenis-jenis makan dan minuman
Nikmat dan lazat tidak peraman
Di dalam syurga tempat kediaman
Orang yang puasa sangatlah mulia
Dibahagikan Allah kepada dia
Balasnya amal di dalam dunia
Berlapar dan dahaga sebab percaya
Tatkala di dunia lapar dan dahaga
Badannya lantah tidak terhingga
Mulutnya masam seperti cuka
Lagipun pucat warnanya muka
Tatkala di akhirat Allah memberi
Badannya perkasa amat gehari
Mulutnya harum bau kasturi
Mukanya bercahaya berseri-seri
Barang yang puasa kepada hari Arafah
Itu pun pahala banyak ditambah
Kepadanya rahmat terlalu limpah
Beberapa mahligai jadi pengupah
Mahligai bertatah mutiara dikarang
Intan permata berselang-selang
Dindingnya kaca yang amat terang
Kemuncup hilur sangatlah menerang
Sebuah mahligai beberapa kerusi
Emas dan perak pula dihiasi
Perastu jadi peraksi
Anak bidadari hadir di sisi
Sekeliannya itu muda-muda belaka
Gilang gemilang cahayanya muka
Mengadap tidak barang seketika
Gurau dan senda bersuka
Beberapa rahmat Allah memberi
Hidangan nikmat disuruh hantari
Di hadapan segala anak bidadari
Makan dan minum sehari
Ada suatu pula riwayatnya
Di dalam hadithnya ada tersebutnya
Sepuluh kaum ada sekeliannya
Bahaya kiamat kupesan kepadanya
Pertama anbiya dilekaskan Allah
Segala aulia pun demikianlah
Keduanya yang perang sabil lillah
Ketiga yang alim pada ilmu Allah
Keempat yang syahid lepas belaka
Istimewa pula yang mati di padang Karbala
Lepaslah sudah daripada bala
Dikurniakan oleh hak Taala
Kelima ahl al-quran lepas di situ
Keenam mengembang kepada tiap-tiap waktu
Ketua raja yang adil itu
Kelapan yang teraniayanya mereka itu
Kesembilan perempuan yang sangat mulia
Yang mati beranak lepaslah dia
Jikalau ada ia percaya
Makanya lepas daripada bahaya
Kesepuluh mati malam Jumaat
Atau siangnya beroleh syafaat
Jikalau ada amal yang taat
Maka adalah Allah Taala memberi manfaat
Itu pun ada riwayat suatu juga
Tatkala di Mahsyar segala mereka
Berdiri dengan lapar dan dahaga
Laki-laki perempuan demikian juga
Berdirilah sekelian di tengah padang
Panas badannya bagai direndang
Sehelai kain tiada disandang
Laki-laki perempuan berpandang-pandang
Laki-laki perempuan bertelanjang semata
Tiada berkain barang sehasta
Masing-masing berpandang-pandang mata
Seksanya tidak lagi menderita
Melihatkan hal yang demikian
Tengadah ke langit mereka sekelian
Kepada Allah Taala memohon kasihan
Memohonkan kesudahan hari kemudian
Siti Aisyah pula bertanya
Kepada Nabi demikian katanya
Bertelanjanglah kamu sekeliannya
Laki-laki perempuan kelihatan auratnya
Tiadalah aib kita di situ
Dengan demikian halnya itu
Laki-laki perempuan suruh sekutu
Berlihat-lihatan mereka itu
Nabi pun sukar menjawab kata
Tiadalah aib di sini kita
Kerana tidak berpandang nyata
Ke langit sekelian memandang mata
Tatkala berhimpun di padang Mahsyar
Inilah padang yang amat besar
Penuhlah tumpat kecil dan besar
Berdiri tidak dapat dikisar
Berdiri tidak dapat dikalih
Sehingga peluh sahaja berleleh
Kanan dan kiri tiada menoleh
Hendak duduk tiada boleh
Sekelian itu terbitlah peluhnya
Masing-masing dengan kadar dosanya
Ada yang hingga mata kakinya
Ada yang sampai hingga betisnya
Setengah sampai sehingga perutnya
Bertambah dalam tiadalah surutnya
Sebab perbuatan banyak yang karut
Amar dan nahi tiadalah diturut
Setengah sampai sehingga dada
Sehingga hidung itu pun ada
Sebab perbuatan mengada-ada
Tiadalah mengikut titah dan sabda
Di situlah cemas segala mereka
Banyak yang lemas dengan seketika
Inilah balasnya orang yang derhaka
Bangkit dari situ masuk neraka
Siti Aisyah yang berbangsa
Kepada Nabi ia memeriksa
Adakah orang yang tiada berdosa
Bangkit daripada kuburnya dengan sentosa
Nabi menjawab katanya itu
Ada juga kaum suatu
Tiadalah berdosa mereka itu
Tiadalah kena seksa yang demikian itu
Keluar daripada kuburnya dengan segera
Pantasnya tidak lagi terkira
Di atas titian dengan segera
Pantasnya tidak lagi terbicara
Di atas kenderaan ia terjulang
Pantasnya bukan alang kepalang
Di atas titian sangat terbilang
Ke dalam syurga tempatnya pulang
Inilah mereka yang ketakutkan amar
Berbuat ibadat terlalu gemar
Badannya suci tiadalah cemar
Berkenderaanlah ia di atas himar
Setengahnya kuda kenderaan dia
Itu pun sangat pula mulia
Membalas amalnya di dalam dunia
Kerana sangat takutnya dia
Serta naik ia ke atas
Dipecutnya kuda terlalu pantas
Di atas titian ia melintas
Ke dalam syurga ia pun lantas
Setengah kenderaan segala mereka
Itu pun sangat mulia juga
Amalnya di dunia inilah harga
Akan membawa mereka ke dalam syurga
Ia melompat dengan sukacita
Di atas titian sekejap mata
Tiadalah sempat dipandang nyata
Ke dalam syurga tempat bertahta
Setengah amalnya segala si fulan
Menjadi suluh ia berjalan
Kiri dan kanan bertimbal-timbalan
Seperti cahaya matahari dan bulan
Kepada malam gelap gulita
Menjadi terang terlalu nyata
Inilah cahaya amalnya kita
Segala kafir terlata-lata
Segala kafir seketika itu
Gelap gulita tiadalah tentu
Kafir dan Islam bersekutu
Yang berdosa berbagailah mereka itu
Islam tiada ada amalnya
Berjalanlah ia dengan kakinya
Teraba-raba dengan lambatnya
Serta pula dengan gelapnya
Ada yang sedikit amalnya dia
Tatkala masa di dalam dunia
Adalah di ibu kakinya bercahaya
Sebab sedikit ia percaya
Ada yang kenderaan seekor seorang
Dengan unta yang amat garang
Pantasnya bukan sebarang
Di atas titian ia menyeberang
Ada seorang ada yang berdua
Seekor unta yang pantas juga
Kadar amalnya menerima harga
Membawa ia ke dalam syurga
Ada bertiga ada yang berempat
Seekor unta yang amat cepat
Sekadar amalnya ia mendapat
Ke dalam syurga ia melompat
Ada berempat ada yang berlima
Seekor unta bersama-sama
Kadar amalnya ia menerima
Di atas titian tiadalah lama
Orang yang bersedekah di dalam dunia
Sangatlah pula limpah kurnia
Inilah jadi payung dunia
Tatkala berjalan sangatlah mulia
Orang yang bersedekah besarlah pahala
Ditakdirkan oleh hak Taala
Cahaya amalnya bernyala-nyala
Di atas titian pantaslah pula
Laki perempuan berjalan belaka
Berhenti di Mauquf berada ketika
Terdirilah dengan lapar dan dahaga
Segala mukmin masuk syurga
Berapa lama mesyuaratlah ia
Merasai azab tiada berdaya
Hendak mendapatkan segala anbiya
Kepada Allah memohonkan kurnia
Jikalau diakunya umat
Minta pohonkan hukum kiamat
Kepada Allah memohonkan rahmat
Seksanya tidak lagi terhemat
Segeralah berjalan segala Islam
Mendapatkan Adam alaihissalam
Minta bawa kepada Tuhan seru alam
Ke hadrat Tuhan khaliq al-alam
Pohonkan kamu kepada Tuhan
Akan hukum hari yang kesudahan
Jikalau rahmat limpah kasihan
Seksanya kamu tiada tertahan
Adam pun segera menyahutlah
Aku nan sangat malukan Allah
Tatkala di syurga aku berbuat salah
Yang ditegahkan-Nya aku perbuatlah
Adam berkata dengannya duka
Tiadakah tahu segala mereka
Tatkala aku di dalam syurga
Kepada Allah berbuat derhaka
Kerana Allah sudah ditegahkan
Buah khuldi jangan dimakan
Itu pun tidak aku dengarkan
Inilah sebab aku malukan
Aku tak cakap memohonkan kamu
Kepada Tuhan dapatkan olehmu
Minta kepada Tuhanmu
Minta pohonkan kesudahan hukum
Seribu tahunnya ia terdiri
Mesyuaratlah ia sama sendiri
Seksanya bertambah tidak terperi
Ke manalah kita membawa diri
Marilah segera berjalan kita
Kepada Nabi Nuh pergilah kita
Laki perempuan sekeliannya serta
Seketika sampai seraya berkata
Nabi wai tolong kaminya ini
Bawa kepada Tuhan yang ghani
Jikalau limpah rahmat dan kasihani
Memohonkan kesudahan hukum ini
Nuh menjawab segeralah dia
Katanya malu aku akan Dia
Sudahlah meminta aku di dalam dunia
Meminta doa kepada Tuhan yang mulia
Sebab aku malu yang demikian
Akan meminta pula yang kemudian
Dahulunya sudah meminta kasihan
Mengaramkan isi bumi sekelian
Memohonkan kamu aku tak cakaplah
Sekelian engkau sendiri pergilah
Mendapatkan Ibrahim Khalil Allah
Kepadanya engkau meminta tolonglah
Mesyuaratlah di sana mereka itu
Seribu tahun ia di situ
Jahat dan baik belumlah tentu
Seksanya bertambah bukannya satu
Marilah kita janganlah lena
Mendapatkan Ibrahim kalau berguna
Minta bawa kita ke sana
Ke hadrat Allah Tuhan yang ghana
Itupun berjalan berkawan-kawan
Pergilah semuanya laki-laki perempuan
Seksanya sangat tiada berlawan
Tiap-tiap nabi demikian kelakuannya
Seketika sampailah ia sekeliannya
Kepada Ibrahim demikian katanya
Nabi wai tolong kami kiranya
Memohonkan kesudahan di sini hukumnya
Seraya berkata mereka sekelian
Beberapa puji pujian
Akan kami tiadalah kasihan
Melihatkan halku yang demikian
Nabi Ibrahim menjawab kata
Aku nan malu pergi meminta
Kepada hadrat Tuhan kita
Tatkala di dunia aku berdusta
Berdusta kepada agama Islam
Malulah aku kepada Tuhan seru alam
Pergilah engkau segala Islam
Kepada Nabi Musa alaihissalam
Mesyuaratlah di sana segala mereka
Seribu tahun lamanya juga
Belumlah tentu neraka dan syurga
Berjalanlah dengan lapar dan dahaga
Khabarnya tidak dipanjangkan lagi
Tiap-tiap rasul sudahlah pergi
Jangankan laba bertambah rugi
Apatah akal sudah terbahagi
Beribu-ribu tahun kepada suatu masa
Hingga berjalan kepada Nabi Musa
Berjalanlah pula kepada Nabi Isa
Makin bertambah seksa dirasa
Tiadalah ia memohonkan umat
Kepada kesudahan hukum kiamat
Menjadi seksa terlalu amat
Hingga sampailah kepada Nabi Muhammad
Kepada Nabi Muhammad mereka pun sampailah
Seraya berkata ya Rasul Allah
Umatmu ini segera atau lengalah
Memohonkan syafaat kepada Allah
Sangatlah hormat mereka sekelian
Beberapa pula puji-pujian
Nabi mendengarkan sangat kasihan
Melihatkan hal umat yang demikian
Mereka pun memuji demikian lagi
Jikalau engkau tidak memintaki
Ayuhai Nabi yang berbahagi
Di manalah tempat kami kan pergi
Sekeliannya kami sudah dapatkan
Kepadamu juga kami dihalaukan
Katanya ke sana engkau maklumkan
Kepada Nabi Muhammad meminta pohonkan
Rasul pun segera menjawab kata
Akulah memohonkan engkau semata
Baik dan jahat segeralah nyata
Kepada Allah Taala aku meminta
Segeralah berjalan Rasul Allah
Makhluk sekelian itu pergilah
Seketika sampailah ke hadrat Allah
Bawah Arasy itupun sujudlah
Beberapa lama sujud di sana
Serta memuji pujian yang sempurna
Memuji Allah Tuhan yang Ghana
Memohonkan syafaat kepada Rabbuna
Berdatang sembah Nabi Muhammad
Ya Rabb memohonkan rahmat
Memohonkan kesudahan hukum kiamat
Sangatlah seksa segala umat
Demikianlah bunyi firman Allah
Ya Muhammad segera engkau bangkitlah
Kepalamu itu engkau angkatlah
Pintamu itu Aku perkenanlah
Pohonkan olehmu akan syafaat
Supaya Aku memberi manfaat
Aku hukumkan umatmu dengan saat
Tertentulah di sini maksiat dan jahat
Kemudian pula Nabi sembahkan
Inilah segera hamba mohonkan
Hukum umatku Tuhan putuskan
Baik dan jahat segera sudahkan
Demikian firman Hak Taala
Ya Muhammad Aku perkenankanlah
Segera bertitah Tuhan azza wa jalla
Kepada malaikat sekeliannya pula
Hai malaikat sekelian mereka
Pergilah hiasi olehmu syurga
Segeralah bawa ke hadrat-Ku juga
Malaikat pun pergi dengan seketika
Syurga pun segera dibawakannya
Kanan Arasy dihantarkannya
Amat semerbak pula baunya
Harumnya tidak lagi seumpamanya
Bertitah pula Hak Subhani
Kepada malaikat sekelian ini
Ambil neraka bawa ke sini
Malaikat sujud kepada Rabbani
Neraka pun dibawa oleh malaikat
Tujuh puluh ribu rantai yang lekat
Sekelian kepadanya terikat
Dengan Mahsyar sudahlah dekat
Memegangkan rantai malaikat segala
Sambil berjalan rantai dihela
Neraka mengikut mengela-ngela
Ke kiri kanan api bernyala-nyala
Ia mengela kanan dan kiri
Hebatnya tidak lagi terperi
Tulang dan sendi sangatlah ngeri
Seperti orang takut dan ngeri
Segala yang melihat umat Muhammad
Di Mahsyarnya banyak terlalu amat
Ia pun marah tiada terhemat
Suaranya gemuruh sangat azimat
Suaranya gemuruh terlalu hingar
Bagaikan tuli telinga mendengar
Tambahan lakunya terlalu sungar
Ke kiri ke kanan mengingar-ngigar
Suaranya terlebih daripada halilintar
Isi Mahsyar sangatlah ketar
Sekelian anggota habis gementar
Ke sana sini terketar-ketar
Sama sendirinya ia bertanya
Suara apa ini yang bunyinya
Itu pun segera dijawabkannya
Suara neraka mengela dirinya
Apabila diketahuinya suara neraka
Habislah terkejut segala mereka
Isi Mahsyar sangatlah duka
Hingga Rasul demikianlah juga
Segala nabi pun habis larilah
Masuk ke bawah Arasy Allah
Musa dan Isa demikianlah
Tinggal Muhammad Rasul Allah
Tatkala neraka hampir di sisi
Sekelian mereka ditangisi
Rasul yang lain tidak mengasi
Sekeliannya mengata nafsi
Makhluk di Mahsyar beribu kati
Neraka pun datang mendekati
Muhammad menyembah Rabb al-Izzati
Ya Rabb ummati ummati
Nabi Muhammad segera berdiri
Neraka itu dihampiri
Dipegangnya rantai tangan kiri
Neraka engkau segeralah lari
Berkata neraka demikianlah
Kepada Nabi Muhammad ya Rasul Allah
Daripadamu aku lepaslah
Atas engkau sahaja kuharamlah
Seraya berkata pula neraka
Lepaskan aku dengan seketika
Hendakku makan segala mereka
Barang yang ada berbuat derhaka
Daripada hadrat Tuhan kita
Berbunyilah suara terlalu nyata
Kepada neraka Ia berkata
Kehendak Muhammad turut semata
Muhammad menghelakan rantai belaka
Di kiri Arasy dihantarkan mereka
Melihatkan hal demikian juga
Isi Mahsyar terlalu suka
Dengan kehendak Allah memberi
Di hadapan Arasy timbangan terdiri
Daunnya dua kanan dan kiri
Rabb al-alamin terjeli sendiri
Tatkala terjeli Tuhannya kita
Cahayanya limpah terlalu nyata
Bersifat qahar semata-mata
Dahsyatnya makhluk tidak menderita
Rasanya lenyap badan sekali
Melihat qahar Tuhan terjeli
Akan dirinya tiada terpeduli
Duduk khidmat menjunjung duli
Seraya berfirman Tuhan kita
Ana rabbukum pula dikata
Inilah maknanya diri nyata
Aku Tuhan engkau semata
Segala mukmin berdatang sembah
Berlindunglah kamu kepada Allah
Yang demikian itu entah lah
Tiada sekutu maksud Allah
Tatkala firman-Nya ada begitu
Dijawab mukmin seketika itu
Tuhanmu tiadalah sekutu
Tiada sebagai dengan suatu
Sama sendiri mukmin berkata
Setengah makrifat ada yang nyata
Inilah tanda Tuhannya kita
Di Akhirat zahir semata-mata
Allah terjeli bersifat rahman
Mengampuni segala makhluk beriman
Segala yang pengsan baharulah siuman
Hilanglah azab datanglah aman
Segala yang ada makrifat sempurna
Mengenallah Tuhan yang Ghana
Mereka sujud sembahyang di sana
Segala maksiat tiada berguna
Segala yang sembahyang bermuka-muka
Takutkan makhluk kepada sengaja
Allah taala sangatlah murka
Dengan kafir disamakan mereka
Pinggangnya itu dikeraskan Allah
Hendak sujud tiada bolehlah
Tanduk tengadah serba salah
Hingga gugur tulangnya lah
Segala mukmin mengangkatkan ulu
Hilanglah azab seperti dahulu
Rahmat dan nikmat sahaja terlalu
Ke hadrat Tuhan sangatlah malu
Berfirman Tuhan yang maha mulia
Ana rabbukum kata yang sedia
Akulah Tuhanmu yang percaya
Segala mukmin sujudlah dia
Segala menyembah segala muslimin
Perempuan laki-laki sekeliannya amin
Engkau Rabb al-alamin
Yang amat mengasihani segala mukmin
Dengan kehendak Allah belaka
Dihantarkan titian dengan seketika
Dihantarkan ia di atas neraka
Bertitilah di sana segala mereka
Bertitilah mukmin sekeliannya rata
Perempuan laki-laki bertiti semata
Pantasnya tidak lagi menderita
Ada yang pantas ada yang lata
Adalah yang lemah ada yang hebat
Ada yang berdiri bagai ditempat
Ada yang berlari terlompat
Ada yang berlari terlalu cepat
Tiadalah lagi dipanjangkan khabarnya
Masing-masing atas kadarnya
Ada setengah atas kenderaannya
Ada yang berjalan dengan kakinya
Dengan kehendak Tuhan kita
Menghukumkan binatang ia semata
Barang yang ada menaruh percaya
Berbalas-balas sekelian rata
Demikianlah hukum Azza wa Jalla
Atas segala binatang pula
Dititahkan oleh Hak Taala
Yang menanduk ditandukkan pula
Yang mematuk dipatuklah juga
Yang melukai dibalasnya belaka
Yang menendang ditendangkan juga
Yang memukul dipukullah juga
Telah berbalas mereka di situ
Mendidihlah nanah seketika itu
Kafir melihat hal begitu
Minta hukumkan demikian itu
Jikalau ada Allah kasihani
Hukumkan kami demikian ini
Seperti hukum binatang di sini
Menjadilah tanah sekelian ini
Allah taala sangatlah murka
Dihalaukan masuk ke dalam neraka
Habislah pergi segala mereka
Kaum Nuh habis belaka
Sangatlah murka Tuhan yang ghani
Dihalau ke neraka sekelian ini
Tidaklah ditimbang sekelian ini
Neraka sahaja empunya ini
Tentera Ibrahim pun demikian juga
Mendustakan nabi segala mereka
Allah taala sangatlah murka
Itu pun dihalaunya ke dalam neraka
Tiadalah lagi dipanjangkan khabarnya
Datanglah nabi sekeliannya
Dibawa oleh malaikat sekeliannya
Masing-masing dengan hukumnya
Bertitah Tuhan khaliq al-rahman
Kepada malaikat Ia berfirman
Manakah Nabi yang akhir al-zaman
Adakah umatmu membawa iman
Malaikat pun pergi segeralah
Dengan seketika ia pun sujudlah
Ia berkata ya Rasul Allah
Tuan hamba dipanggil ke hadrat Allah
Seketika datang Nabi Muhammad
Serta dengan sekeliannya umat
Dibawa malaikat lalu khidmat
Memohonkan ampun dengan cermat
Kepada Nabi Muhammad Allah ditanyakan
Quran adakah Jibrail sampaikan
Kusuruh ia menghantarkan
Kepadamu Aku suruh berikan
Nabi menjawab akan firman-Nya
Katanya sudah disampaikannya
Suatu pun tidak disembunyikannya
Kepada hamba-Mu ada sekeliannya
Firman Allah bacalah olehmu
Akan Quran di atas bibirmu
Supaya didengarkan kebenaranmu
Oleh mereka sekelian umatmu
Rasul pun membaca dengan segera
Di atas bibir ia berkendera
Serta dengan nyaring suara
Manisnya tidak lagi terkira
Habislah mendengar segala mereka
Sekeliannya mukmin terlalu suka
Segala umatnya yang derhaka
Mendengarkan dia bermasam muka
Demikianlah pula firman Allah
Kebajikan kamu Aku terimalah
Mukmin mendengar sukacitalah
Yang maksiat bermasam mukalah
Mukmin mendengar terlalu indah
Rasul membaca terlalu mudah
Serta dengan fasihnya lidah
Dengan seketika lalulah sudah
Segala yang derhaka kepada Allah
Mereka juga sangat malulah
Tanduk tengadah tiada betullah
Ke neraka juga engkau masuklah
Segala yang derhaka kepada Tuhan
Mereka juga kemalu-maluan
Tanduk tengadah tiada berketahuan
Ke neraka juga berkawan-kawan
Demikianlah firman Hak taala
Hai Adam ketahuilah pula
Anak cucumu kenalah bala
Ke dalam neraka ia tersula
Adam menyembah dengan seketika
Ya Tuhanku berapa bahagi ka
Segala yang masuk ke dalam neraka
Berapa bahagi yang masuk syurga
Kepada Adam Allah khabarkan
Segala bahagian itu dinyatakan
Daripada seribu dikeluarkan
Sembilan puluh sembilan dibilangkan
Inilah kaum yang masuk syurga
Lain dari itu masuk neraka
Sekelian yang masuk maksiat belaka
Tiadalah ditimbang lagi mereka
Barang yang lain daripada itu
Ditimbanglah amalnya mereka di situ
Syurga neraka di sanalah tentu
Di sanalah ia salah suatu
Apabila berbuat amal kebajikan
Ke dalam syurga lalu dimasukkan
Berapa mahligai yang dihadirkan
Serta dengan anak-anakan
Tamat syair surat al-qiyamat
Amin ya Rabb al-alamin
Tsumma amin