Pages

Friday, October 26, 2012

Gempa bumi sederhana landa Taiwan



TAIPEI 26 Okt. - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.5 skala Ritchter menggegarkan kawasan perairan selatan Taiwan semalam, namun tiada kematian dan kemusnahan dilaporkan.
Pusat Seismologi Taiwan berkata, gempa tersebut dikesan berlaku pada pukul 6.31 petang (6.31 petang waktu Malaysia semalam) dan seluruh negara turut merasai kesan gegaran.
“Pusat gempa itu dikesan pada kedudukan 22.1 kilometer di bandar Kaohsing, pada kedalaman 33 kilometer di dasar laut," lapor pusat tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121026/lu_09/Gempa-bumi-sederhana-landa-Taiwan#ixzz2APggyqrn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dara laku RM2.4 juta, teruna cuma RM9,000

SEORANG lelaki melihat poster dipaparkan laman sesawang Virgins Wanted di Sydney, Australia, semalam, memaparkan Catarina (kiri) dan Stepanov.
SEORANG lelaki melihat poster dipaparkan laman sesawang Virgins
Wanted di Sydney, Australia, semalam, memaparkan Catarina (kiri) dan Stepanov.

SYDNEY: Seorang penuntut dari Brazil memperoleh bayaran AS$780,000 (RM2.4 juta) hasil lelongan dara di Internet, manakala seorang teruna cuma dibayar AS$3,000 (RM9,000).
Menurut dokumentari berjudul Virgins Wanted dihasilkan seorang karyawan Australia, Catarina Migliorini, 20, dibida 15 peminat dan akhirnya ia dimenangi seorang lelaki warga Jepun - hanya dikenali sebagai Natsu - malam kelmarin.

Sebahagian besar peminat yang ingin meniduri Catarina datang dari Brazil, selain India, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Pemuda yang melelong terunanya dikenali sebagai Alex Stepanov, 21, berasal dari Sydney.

Seorang wanita Brazil memenangi bidaan ke atas Stepanov. Media melaporkan, Catarina akan “dihantar” kepada pembelinya menggunakan kapal terbang.

Dia juga akan ditemubual di sebuah lokasi rahsia bagi menceritakan pengalaman sebelum dan selepas mengorbankan daranya.

Karyawan yang menghasilkan Virgins Wanted, Jason Sisely, berkata dia memulakan projek berkenaan pada 2009 dan berdepan dengan tentangan banyak pihak apabila poster mengenainya dinaikkan di Sydney serta Melbourne.

Katanya, dia terkejut melihat reaksi orang ramai.

“Sejak lelongan ditutup Catarina amat teruja.

“Dia bercakap dengan keluarganya dan mereka juga gembira dengan apa yang berlaku,” katanya. - AFP

Tarzan wanita dari Colombia


         
BRADFORD: Seorang wanita Yorkshire mendakwa dia menghabiskan masa kecilnya di kawasan hutan pedalaman di Colombia dan membesar bersama keluarga monyet.

Menurut Marina Chapman, bukan itu saja persamaan hidupnya dengan cerita legenda terkenal dunia, Tarzan. Menurut Marina, dia terpaksa tinggal di kawasan hutan tebal selepas diculik sekumpulan penjenayah sebelum ditinggalkan di kawasan terpencil.


Katanya, ketika itu dia baru berusia lima tahun.

“Saya bernasib baik kerana diselamatkan dan dibesarkan sekumpulan monyet di kawasan hutan itu,” katanya. Sejak itu, kata Marina, dia diajar menangkap arnab dan burung tanpa sebarang kelengkapan.


Marina hanya diselamatkan selepas seorang pemburu menemuinya secara kebetulan dan menjualnya ke sebuah rumah pelacuran di bandar Cucuta.


Nasib wanita itu baik apabila dia berjaya melarikan diri dan menghabiskan masa bertahun-tahun di jalanan. Ketika itu, kata Marina, tuah sekali lagi menyebelahinya apabila ada satu keluarga mengambilnya sebagai pembantu rumah.



“Di situ, saya dilayan dengan baik dan dianggap sebahagian daripada keluarga mereka,” katanya. Hanya selepas berusia 25 tahun, barulah Marina diajak mengunjungi Bradford bersama jiran majikannya. Di situ, kata Marina, dia menemui lelaki yang kemudian menjadi suaminya, John Chapman, yang ketika itu berusia 29 tahun. Mereka berkahwin pada 1977. Kata Marina, dia tampil mendedahkan kisah hidupnya untuk memberi kesedaran terhadap kegiatan perdagangan manusia.


“Kegiatan ini memang berlaku di Amerika Selatan,” katanya. - DM

Kopi najis gajah RM76 secawan


         
BANGKOK: Untuk mereka yang sukakan kopi, mungkin Thailand adalah destinasi terbaik apabila sebuah hotel mewah mula menjual kopi daripada najis gajah.

Campuran dinamakan Black Ivory, diperbuat daripada biji kopi yang dimakan, dihadam dan kemudian dikeluarkan sebagai najis oleh gajah di negara itu, dikatakan menghasilkan secangkir kopi yang sedap.
Namun, harganya tidak murah.

Menurut Anantara Hotel, kopi yang ‘ditapis secara semula jadi’ berharga AS$1,100 (RM3,344) sekilogram, menjadikan ia campuran kopi termahal di dunia.




“Kajian mendapati, ketika penghadaman, enzim gajah itu memecahkan protein kopi,” kata kenyataan yang dikeluarkan rangkaian hotel yang berpusat di Thailand itu.


Ia menjual dua cawan kopi yang berbau kuat itu pada harga AS$50 (RM152).

“Oleh kerana protein adalah faktor utama bertanggungjawab menghasilkan kepahitan dalam kopi, ke kurangan protein bermakna tiada rasa pahit,” katanya.

Sebaik saja gajah mengeluarkan najis, penjaganya akan mengasingkan biji kopi daripada najis itu dan mengeringkannya.

Proses itu dibuat di pusat menyelamat gajah hotel berkenaan di utara Thai.

Kira-kira 30 haiwan itu dipelihara di pusat itu dan tinggal bersama penjaga dan keluarga mereka. - AFP

56 korban baru di Rakhine


     
YANGON: Seorang pegawai kerajaan berkata, 56 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah dibakar dalam keganasan etnik terbaru di barat Myanmar.

Jurucakap kerajaan tempatan Rakhine, Win Myaing berkata, antara yang terbunuh ialah 25 lelaki dan 31 wanita.
Jumlah kematian itu diterima setakat jam 7 malam waktu tempatan di empat bandar yang dilanda keganasan sejak Ahad lalu.

Menurutnya, 1,900 rumah dibakar dalam konflik terbaru antara penduduk Islam Rohingya dengan penduduk Buddha.

Laporan sebelum ini menyatakan beribu-ribu penduduk Islam terpaksa lari menyelamatkan diri ke kem pelarian.


Mereka terpaksa menumpang di kem berkenaan dengan hanya keperluan asas.

Keganasan di kawasan sama Jun lalu meragut 95 nyawa dan ratusan ribu hilang tempat kediaman.

“Anggota tentera kini membantu mengawal keadaan,” kata Win Myang.

Kerajaan Myanmar semalam menguatkuasakan perintah berkurung di beberapa kawasan di Rakhine.

Sejumlah besar penduduk Islam melarikan diri di Sittwe, bandar utama Rakhine, dengan bot. Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menganggarkan lebih 1,000 pelarian tiba di Sittwe setiap hari sejak Ahad lalu.

Jurucakapnya di Bangkok, Vivian Tan berkata: “Ramai lagi dijangka tiba.

“Mereka mahu mencari perlindungan di kem pelarian berdekatan Sittwe, yang kini sudah terlalu padat.”

Puluhan ribu lagi ditempatkan di kem lain di sekitar bandar itu.

Dalam pada itu, penduduk Buddha yang diterajui kumpulan sami megadakan tunjuk perasaan, mendesak pihak berkuasa Myanmar mengusir penduduk Islam dari negara itu.

Penduduk Islam Rohingya di Myanmar yang tidak diiktiraf kerajaan negara itu sudah sekian lama dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai golongan minoriti yang paling dianiayai di dunia.

Sementara itu, kumpulan utama masyarakat Islam Myanmar mengambil keputusan untuk membatalkan perayaan Aidiladha yang bermula hari ini.

Kumpulan pemerhati hak asasi manusia berkata, mereka bimbang jumlah yang terbunuh dalam keganasan terbaru penduduk Buddha Myanmar mungkin jauh lebih tinggi. - AFP

Tiada Aidiladha di Syria



 
Damsyik: Seperti kebanyakan rakyat Syria lain yang terpaksa menghadapi keperitan perang, Abu Hamid tidak akan menyembelih haiwan korban pada sambutan Aidiladha tahun ini. Beliau lebih bimbangkan keselamatan dan nyawanya.

Tidak ada sambutan Aidiladha tahun ini kerana semua rakyat Syria menjadi pelarian. Saya sendiri bimbangkan keselamatan dan nyawa saya, katanya ketika ditemui wartawan di sebuah pasar ternakan di Aleppo. Hamid berkata serangan udara di kawasan kejiranannya di Aleppo menyebabkan beliau, isteri, lima anak dan anggota yang lain terpaksa berpindah dan berlindung di kedainya di pinggir bandar itu.
Perniagaan semakin lembab. manakala peniaga kambing bertungkus-lumus mencari pembeli ternakan mereka dalam tempoh beberapa hari sebelum menjelang Aidiladha.

Saya datang ke pasar hanya untuk mengisi masa lapang dan melihat apa yang berlaku, tetapi saya tidak membeli walau seekor kambing untuk dikorbankan pada Aidiladha kerana saya tiada wang, katanya.

Di pasar itu, Hamid melihat banyak kambing pelbagai saiz diletakkan di sebuah kawasan khas untuk dijual, tetapi tidak ramai pelanggan yang datang dan terlalu sedikit pembeli.

Tahun ini tidak sama seperti tahun lalu. Tahun ini tiada Aidiladha di Syria, kata Mohammed Aasi, 20, yang mempunyai sebuah kedai pakaian di Aleppo.
Aasi berkara beliau datang untuk membeli kambing tetapi tidak dapat mencari yang sesuai, manakala harga haiwan itu sangat mahal iaitu kira-kira 15,000 pound Syria (RM662).

Tahun lalu, harganya antara 11,000 hingga 12,000 pound (RM485 hingga RM529). Penduduk tidak mempunyai wang walaupun untuk membeli pakaian baru dan tiada apa-apa yang istimewa kerana semua orang sedang berdukacita, katanya.

Harapan untuk gencatan senjata di Aleppo ketika Aidiladha juga seperti yang diumumkan utusan damai Lakhdar Brahimi juga tidak menentu.

Mungkin ada gencatan senjata, saya tidak pasti, tetapi tidak banyak pertempuran hari ini, katanya.

Pihak pentadbiran sebuah hospital sementara berkata, hanya enam orang dibawa untuk mendapatkan rawatan semalam, kebanyakannya kerana kecederaan dan mengandaikan ia mungkin kerana gencatan senjata.
Agensi

Jemaah haji berhimpun di Arafah




SEJUMLAH jemaah haji tiba di Jabal Rahmah dekat Mekah semalam.


PADANG ARAFAH - Lautan jemaah haji yang berpakaian ihram membanjiri Padang Arafah di sini, barat Arab Saudi awal pagi semalam untuk menunaikan salah satu daripada lima rukun haji.
Ramai jemaah berkhemah di padang itu dengan kebanyakan mereka tiba sekitar waktu subuh semalam.
Lelaki, wanita dan kanak-kanak dari 189 buah negara membanjiri kawasan itu dan mendirikan khemah pelbagai warna untuk tidur serta berdoa.
Sekitar 2.5 juta jemaah berada tiba di Padang Arafah.
"Kami datang dari Mekah. Kami berjalan kaki dari Masjidilharam ke Mina dan menaiki bas ke Padang Arafah," kata seorang jemaah haji dari Mesir yang datang bersama keluarganya.
"Semakin penat kami rasa, semakin banyak ganjaran pahala yang Tuhan berikan," kata lelaki itu.
Selepas selesai solat subuh, ramai jemaah haji menuju ke sebuah bukit kecil di Padang Arafah yang dikenali sebagai Jabal Rahmah.
Sebahagian jemaah berehat dan berdoa di celah batu di bukit tersebut dengan air mata mengalir di pipi mereka.
Nabi Muhammad SAW dipercayai menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam di kaki bukit tersebut sebelum baginda wafat.

BEBERAPA jemaah haji berdoa di bukit Jabal Rahmah.


Sementara itu, seorang lelaki menggesa jemaah haji agar tidak mendaki tangga batu yang licin untuk menuju ke puncak Jabal Rahmah.
"Nabi dan pengikutnya tidak pernah mendaki bukit ini. Tolong jangan mendakinya," kata lelaki berkenaan dengan menggunakan pembesar suara.
Sejak beberapa tahun lalu, beberapa jemaah haji pernah tergelincir dan terjatuh semasa memanjat bukit tersebut manakala sebahagian lagi meninggal dunia akibat insiden rempuhan.
Sebahagian jemaah tidak menghiraukan nasihat tersebut dan cuba mendaki Jabal Rahmah tetapi tiada sebarang kejadian tidak diingini yang dilaporkan berlaku.
Beberapa jemaah haji Syria turut dilihat mengibarkan bendera para penentang Presiden Bashar Al-Assad.
Ia merupakan simbol kebangkitan rakyat negara itu yang menentang pemerintahan Bashar sejak 19 bulan lalu.
Jemaah haji kemudian akan bergerak pula ke Muzdalifah yang terletak di antara Mina dan Arafah untuk melontar batu di tiga buah jamrah. - AFP