Daily Mail
New York: Seekor kucing bernama Samson kini menjadi selebriti kerana saiznya yang luar biasa, seberat 12.7 kilogram dengan sepanjang 1.2 meter menyebabkan ia kelihatan sebesar anjing.
Kucing baka Maine Coon berumur empat tahun itu kini mempunyai lebih 104,000 pengikut di Instagram.
Pemiliknya, Jonathan Zurbel, 42, berkata dia mendapat kucing itu daripada abangnya sebelum menjadikan haiwan itu selebriti di Instagram selepas menyedari pembesarannya yang luar biasa.
“Doktor haiwan menyatakan ia adalah kucing terbesar pernah ditemuinya,” katanya.
Samson ternyata berselera besar kerana makan enam tin makanan setiap hari menyebabkan Zurbel perlu membelanjakan sekitar RM500 setiap bulan untuk keperluan kucing itu.
“Walaupun besar Samson kucing yang lembut, tidak marah dan boleh berkawan dengan anjing.
“Samson juga mempengaruhi kehidupan cinta saya kerana menarik ramai wanita datang untuk bertemunya dan mereka kemudian menjadi teman wanita saya,” kata Zurbel yang bekerja sebagai deejay.
Menurutnya, ketika di jalanan ramai yang terkejut melihat Samson dan mereka biasanya mengeluarkan kata-kata “Ini kucing?”.
“Jika saya membawanya dalam kereta sorong mereka menyangka saya membawa bayi,” katanya sambil ketawa.
Bagi Zurbel, kucing itu tiada nilainya dan dia menganggap Samson seperti anak.
“Saya tiada anak dan kucing ini adalah ahli keluarga. Saya tidak akan melepaskannya,” katanya yang menunggu cabaran jika ada kucing yang lebih besar berbanding Samson.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 4:53 PM