KUANTAN – “Saya berdebar tengok tandas bergerak dan terus memanggil adik keluar,” kata Mohd Taufik Mohd Shafie, 11, yang masih panik dengan kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan bahagian belakang rumah neneknya runtuh, kelmarin.
Tanah runtuh itu mengakibatkan ruang bilik neneknya runtuh dan beberapa barang termasuk tilam, katil dan televisyen terjatuh kira-kira dua meter di belakang rumah.
“Ketika itu saya mahu ke tandas, tiba-tiba nampak tandas bergerak perlahan-lahan. Saya berdebar melihat dan terus memanggil adik dan ayah keluar rumah,” katanya.
Katanya, walaupun belum membeli peralatan sekolah baru namun beberapa barang sekolah lamanya juga jatuh dan rosak.
Selepas itu, katanya, mereka semua keluar dari rumah dan menunggu neneknya, Wan Nah Wan Ali, 70 pulang dari kedai sementara beberapa jiran membantu bapanya mengeluarkan perkakas rumah.
Wan Nah ketika ditemui berkata , dia bergegas pulang dari kedai sebaik sahaja dimaklumkan seorang jiran kira-kira jam 10.30 pagi.
Katanya, dia tidak menyangka rumah yang didiaminya sejak 30 tahun lalu di Jalan Sungai Lembing, Kampung Panching, itu rosak teruk akibat tanah runtuh.
Bagaimanapun, Wan Nah bersyukur kerana nyawa dua cucu, Mohd Taufik dan Nor Shafika, 10, serta anaknya, Mohd Shafie Adam, 30, yang berada di dalam rumah ketika itu selamat.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata, dia tidak selalu berada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu lori tetapi pernah memohon bantuan bagi membaiki rumah ibunya yang sudah usang.
Menurutnya, dalam tempoh setahun lalu, dia membuat lebih lima permohonan untuk membaiki rumah dan ada beberapa individu datang mengambil gambar dan maklumat berkaitan.
Sementara itu, nasib Wan Mah sekeluarga mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang turut melihat lokasi kejadian, semalam.
Turut hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Zaili Besar dan Pegawai Daerah Kuantan Datuk Norhayad Ahmad.
Menurut Abdul Manan, pihaknya telah memberikan bantuan segera kepada keluarga Wan Mah dan akan memanjangkan perkara ini kepada pihak atasan untuk memberikan sebuah petempatan baru kepada keluarga ini.
“Buat sementara waktu ini pihak kami menempatkan mangsa di Pusat Komuniti DUN Panching, dan selepas itu saya akan membuat permohonan untuk rumah PPRT bagi membantu mangsa yang telah kehilangan rumah akibat bencana ini.
“Oleh itu, saya harap keluarga ini bersabar kerana bantuan daripada pihak kerajaan akan disampaikan kelak,” katanya.