Pages

Tuesday, May 15, 2012

Mangsa penculikan di Filipina selamat kembali ke pangkuan keluarga


KUALA LUMPUR: Mohd Nazarrudin Saidin, rakyat Malaysia yang diculik selama 378 hari oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika menguruskan perniagaan cicak tongkek di Pulau Sulu, selatan Filipina Mei tahun lepas, selamat kembali ke pangkuan keluarganya hari ini.
Ketibaan Mohd Nazarrudin, 39, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dekat sini pagi ini disambut anggota keluarganya. Mohd Nazaruddin diiringi beberapa wakil Kelab Putera 1Malaysia yang membawanya pulang ke ibu negara dari Sandakan, Sabah.
Mohd Nazarrudin yang berasal dari Sungai Buluh, Selangor, dilapor diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata pada 8 Mei tahun lepas ketika beliau berada di pulau berkenaan bagi menguruskan perniagaannya mencari sejenis cicak tongkek yang dikatakan mempunyai nilai tinggi di pasaran gelap dan didakwa mampu mengubati penyakit HIV.

Beliau dilapor berjaya meloloskan diri Sabtu lepas dan atas bantuan penduduk kampung pulau berkenaan yang menyediakan bot, beliau tiba di perairan Malaysia berhampiran Sandakan, Sabah pada Ahad lepas


Menyifatkan pengalaman diculik itu sebagai satu sejarah hidup yang tidak dapat dilupakan, Mohd Nazarruddin berhasrat 'menutup kes' mencari cicak tongkek itu.

"Saya mahu mulakan hidup baru dan lupakan terus detik hitam ini," katanya yang kelihatan kurang bermaya kerana kepenatan selain mengalami susut badan hampir 10 kg.

Mohd Nazarrudin turut menasihati golongan muda supaya tidak mengikut jejak langkahnya yang tidak berfikir panjang kerana terlalu ingin mengejar kekayaan tanpa memikirkan keselamatan diri sehingga menjadi mangsa penculikan.

Ayah Nazarrudin, Saidin Aziz, 64, dan ibunya, Siti Hamdah Ahmad, 59, bersyukur Nazarrudin selamat pulang dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah banyak membantu misi rundingan serta seluruh rakyat Malaysia yang telah mendoakan keselamatan anak mereka.

Mohd Nazarrudin yang menetap di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dan dikurniakan enam orang anak iaitu Amir Hazazi, 16, Nur Amira, 15, Nur Atiqah, 13, Nabil Haikal, 12, Adib Irfan, 8, dan Nur Athirah, 5.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya diberi kepercayaan untuk berunding dengan kumpulan itu dan selama tujuh bulan rundingan dijalankan bagi menuntut pembebasan Mohd Nazarrudin.

"Kami meminta bantuan sekumpulan penduduk kampung di pulau itu yang mempunyai hubungan rapat dengan penculik terbabit bagi mengadakan perbincangan, dan akhirnya Mohd Nazarrudin dapat diselamatkan tanpa membabitkan wang tebusan," katanya.

Abdul Azeez berkata pihaknya juga akan membantu mencari pekerjaan yang sesuai dengan Mohd Nazarrudin bagi menampung keluarganya. - BERNAMA

Etnik Uighur tuntut merdeka


TOKYO 14 Mei - Beratus-ratus etnik Uighur dari seluruh dunia hari ini berkumpul di Jepun dalam satu perjumpaan khas bagi menuntut kemerdekaan daripada China.
Kebanyakan mereka mendakwa menjadi mangsa penindasan dan dipinggirkan di tanah air sendiri, diburukkan lagi dengan migrasi berjuta-juta penduduk keturunan Han ke wilayah Xinjiang yang terletak di barat laut republik itu.
Ketegangan etnik di situ mengundang keganasan di wilayah Xinjiang, yang menjadi kediaman kepada sembilan juta etnik Uighur.
Pemimpin Kongres Uighur Sedunia (WUC) yang hidup dalam buangan, Rebiya Kadeer, akan membuka prosiding dalam perjumpaan keempat badan itu, di sini.
Kadeer yang tinggal di Amerika Syarikat (AS), dijangka memberi penekanan terhadap penindasan ke atas masyarakat Uighur yang disifatkannya bertambah buruk dan meminta komuniti antarabangsa memantau situasi yang sedang berlaku di China.
China sebelum ini menggelar WUC sebagai pertubuhan pemisah dan mengutuk Jepun kerana mengeluarkan visa kepada Kadeer, yang kali terakhir berkunjung ke negara ini pada 2009.
Presiden Persatuan Uighur Jepun, Ilham Mahmut berkata, beratus-ratus etnik itu dari 20 negara akan berkumpul di Tokyo hari ini, bagi menyatakan hak mereka.
Perhimpunan itu dibuat selepas Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda bertemu rakan sejawatnya dari China, Wen Jiabao dan Korea Selatan, Lee Myung-Bak dalam satu mesyuarat mengenai kerjasama ekonomi dan reaksi kepada tindakan Korea Utara. - AFP

Pesawat terhempas, 15 maut


Mayat beberapa orang penumpang pesawat Dornier Do 228 milik syarikat penerbangan Agni Air ditemui dekat lokasi nahas di Jomsom, kira-kira 300 kilometer ke barat Kathmandu, semalam. - AFP
KATHMANDU 14 Mei - Seramai 15 penumpang terbunuh, manakala enam terselamat apabila sebuah pesawat yang membawa kumpulan pelancong terhempas berhampiran lapangan terbang di utara Nepal, semalam.
Menurut jurucakap polis, Binod Singh, pesawat Agni Air yang membawa seramai 21 penumpang itu terhempas di Jomsom berhampiran kawasan pergunungan Annapurna.
"Pesawat tersebut dijadual mendarat di lapangan terbang Jomsom, namun ia terlanggar cerun berlumpur dan terhempas.
"Seramai 15 penumpang maut, 13 daripada mereka merupakan warga India manakala dua lagi juruterbang Nepal," katanya, sambil menambah kata, enam penumpang terselamat termasuk seorang pramugari.
Pesawat tersebut digunakan untuk membawa penumpang dari Pokhara ke Muktinath, tempat suci bagi penganut agama Hindu dan Buddha yang terletak di kaki gunung Thorong La Himalayan, kata jurucakap polis Nepal, Rajendra Singh.
"Nahas berlaku berhampiran berek tentera Nepal dan ia memudahkan operasi mencari serta menyelamat," ujarnya.
Pengurus Pemasaran Agni Air, Pramod Pandey berkata, dua warga Denmark merupakan antara penumpang yang menaiki pesawat terbabit.
Nahas tersebut merupakan kejadian kedua terburuk buat Agni Air dalam tempoh tidak sampai dua tahun.
Pada Ogos 2010, seramai 14 terbunuh apabila pesawat Agni Air yang membawa penumpang untuk melihat kawasan Gunung Everest terhempas di Kathmandu akibat cuaca buruk. - AFP

Gempa bumi sederhana di Lautan Hindi

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


KUALA LUMPUR 15 Mei - Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter melanda utara Lautan Hindi pada 1.19 tengah hari, hari ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Pusat gempa bumi itu ialah di 636km barat daya Great Nicobar Island, India dan 1,192 km barat daya Langkawi, Kedah.
Gempa bumi itu tidak mencetuskan ancaman tsunami, menurut jabatan itu. - BERNAMA

'via Blog this'

Dua ketua pengarah Al-Azhar kena tindakan

Berita Harian Online | Dua ketua pengarah Al-Azhar kena tindakan:
Perbuatan bergambar dengan aktres Mesir dianggap memalukan

KAHERAH: Dua ketua pengarah maklumat Masjid Al-Azhar dikenakan tindakan tatatertib selepas mereka bergambar dengan aktres terkenal Mesir, Yousra, yang disifatkan memalukan institusi teologikal Islam terkemuka itu. 

Dr Mahmmoud Al Azib dan Sheikh Mohammad Mustafa Jamiyeh menggemparkan institusi yang dilihat sebagai pihak berkuasa mengeluarkan fatwa apabila gambar mereka dengan Yousra tersiar dalam salah satu akhbar tempatan.
Berikutan penyiaran gambar itu, ketua masjid berkenaan, Dr Ahmad Al Khatib, memutuskan untuk melarang Al Azib dan Jamiyeh daripada mewakili Al Azhar dalam sebarang majlis pada masa depan.
“Perbuatan mereka memalukan institusi yang amat dihormati umat Islam di negara ini,” katanya. 

Sumber berkata, kedua-dua ketua pengarah maklumat Masjid Al Azhar itu diarah melepaskan jawatan mereka sejak kejadian itu. 

Menurut akhbar Al Anba'a, Al Azib yang kelihatan tersenyum di dalam gambar itu berada di belakang aktres berkenaan manakala Jamiyeh memegang riben yang akan dipotong Yousra dalam satu majlis perasmian. 

Anggota majlis penyelidikan Islam, Dr Mohammad Al Shahat Al Jundi, mengecam tindak-tanduk kedua-dua ulama itu. 
Laman web MBC memetik Al Jundi sebagai berkata: “Pembabitan mereka dalam majlis itu seolah-olah mewajarkan industri hiburan dan memberikan kredibiliti kepada majlis yang mereka hadiri.” 

Yousra dirujuk oleh Wikipedia sebagai ikon popular bagi Asia Barat, yang mencapai puncak kemasyhuran sehingga ke tahap apa yang dikatakan olehnya akan didengar oleh ramai orang dan mempunyai pengaruh lebih besar daripada pihak berkuasa. – Agensi 
'via Blog this'

13 pengintip Israel kena hukum

Berita Harian Online | 13 pengintip Israel kena hukum:
TEHRAN: Mahkamah Iran menghukum 13 rakyat negara itu selepas didapati bersalah terbabit dalam aktiviti pengintipan untuk agensi perisikan Israel, Mossad, lapor stesen satelit Press TV kelmarin. 

Laporan menyatakan, Mahkamah Revolusi Tehran membuat keputusan itu kelmarin, menyatakan mereka yang disabitkan bersalah itu diumpan menjadi pengintip untuk Mossad menerusi rangkaian televisyen satelit, beribu pejabat di luar negara dan kempen iklan.
Bentuk hukuman bagaimanapun tidak dinyatakan.
“Mereka mempunyai masa 20 hari untuk membuat rayuan,” lapor agensi berita MEHR, sambil menambah maklumat keputusan akan diumumkan selepas pengesahan oleh mahkamah rayuan. 

Kementerian berkata, tahanan ialah rakyat tempatan dan warga asing. Pada 17 April lalu, Kementerian Perisikan Iran mengumumkan penangkapan 15 pengintip dan pengganas yang dikaitkan dengan Israel. 

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dilancarkan pasukan perisik Iran, 15 orang, rakyat tempatan dan warga asing yang dikaitkan dengan unit pengintipan Israel, ditahan. 

Iran menuduh Israel melakukan tugas perisikan di republik itu malah terbabit dalam pembunuhan saintis nuklear Iran. Pada ketika itu, kementerian berkata salah satu misi pengganas ialah mengenal pasti dan membunuh salah seorang pakar negara itu. 
Kumpulan berkenaan merancang melancarkan tindakan ganas pada 10 Februari, sehari sebelum sambutan ulang tahun Revolusi Islam 1979. 

Kementerian Perisikan Iran baru-baru ini mengumumkan berjaya mendedahkan pangkalan pengintipan Israel di negara jiran, yang dikendalikan Mossad untuk melancarkan operasi terhadap kepentingan Iran. – Agensi 
'via Blog this'

Puluhan lagi maut dalam pertempuran di Syria

Berita Harian Online | Puluhan lagi maut dalam pertempuran di Syria:
DAMSYIK: Tentera Syria mara ke kawasan yang dikuasai pemberontak dengan puluhan orang dilaporkan terbunuh di seluruh negara ketika Arab Saudi memberi amaran bahawa usaha damai Kofi Annan kelihatan akan aggal. 

Sementara itu, Kesatuan Eropah mengenakan sekatan baru ke atas Damsyik manakala Russia menyatakan “amat jelas" al-Qaeda adalah dalang serangan bom berkembar di Damsyik minggu lalu yang membunuh 55 orang dan berikrar akan terus membekalkan senjata kepada rejim pemerintah.
Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia menyatakan tiga kereta perisai tentera Syria musnah dalam pertempuran sebelum subuh di luar Rastan, bandar yang dikuasai pemberontak di wilayah Homs di tengah Syria.
"Sekurang-kurangnya 23 askar terbunuh dalam pertempuran itu," menurutnya. 

Pasukan tentera Syria melancarkan serangan ke atas Rastan hujung minggu lalu dan menghadapi tentangan sengit daripada pemberontak yang mahu menggulingkan rejim Presiden Bashar al-Assad. 

Badan pemantau itu juga melaporkan pertempuran turut meletus di tempat lain dan meragut 37 nyawa. 

Pertumpahan darah berterusan walaupun gencatan senjata berusia sebulan yang dirundingkan wakil PBB-Liga Arab, Annan, sebagai pelan damai bagi menamatkan keganasan di Syria. 
Di Riyadh, Menteri Luar Arab Saudi memberi amaran keyakinan terhadap usaha damai itu semakin hilang berikutan pertumpahan darah yang berterusan. - AFP 
'via Blog this'

EU kuat kuasa sekatan baru atas Syria

EU kuat kuasa sekatan baru atas Syria - Global - Sinar Harian:

DAMSYIK - Kesatuan Menteri Luar Eropah (EU)  hari ini bersetuju untuk mengenakan sekatan baru ke atas Syria bagi mengenakan tekanan ke atas pematuhan pelan damai yang disokong PBB dan negara-negara lain.
Ketua Dasar EU, Catherine Ashton berkata, Menteri  EU bersetuju membekukan aset dan larangan visa ke atas dua firma dan tiga orang yang dipercayai menyediakan dana bagi rejim.
Menurut aktivis pembangkang, pasukan rejim mengalami kecederaan teruk hari ini semasa pertempuran di Rastan, sebuah Bandar yang terjejas oleh kuasa kerajaan.
Badan Kemanusiaan dan Hak Asasi Syria berkata, mereka menerima maklumat awal tiga anggota pembawa anggota perisai musnah dan sekurang-kurangnya 23 askar terbunuh.
Bekalan ubat-ubatan juga semakin merosot berikutan lebih 60 orang cedera akibat dihujani 255 peluru mortar.
Jawatankuasa Penyelerasan Tempatan berkata, sekurang-kurangnya empat terbunuh termasuk kanak-kanak akibat tembakan rawak dari tentera rejim di Deir Ezzor.
Agensi berita Lubnan juga melaporkan yang konflik keganasan tidak terhad kepada Syria saja, sebaliknya Lubnan juga menjadi mangsa apabila seorang terbunuh dan 45 yang lain cedera akibat keganasan berterusan.

'via Blog this'

Tahukah anda apa dia Hari Nakbah?


Perarakan 30 ribu rakyat Sepanyol menyokong mogok lapar tahanan Palestin..Insya ALLAH,di Mesir perarakan memperingati Hari Nakbah akan diadakan hari ini selepas Zohor di dataran Tahrir ~ Abdul Malik

Hari ini Hari Nakbah. Tahukah anda apa dia Hari Nakbah? Ia diperingati oleh rakyat Palestin, orang Arab dan pejuang Islam seluruhnya, sejak 1948, sebagai memperingati hari rakyat Palestin dihalau dan dibantai beramai-ramai dari negara mereka sendiri. Yaumunnakbah ini kalau diterjemahkan maknanya: Day of The Catastrophe, menggambarkan betapa dasyatnya peristiwa tersebut. Mari sama-sama kita juga mengingati peristiwa-persitiwa ini untuk sama-sama memacu perjuangan Islam ke hadapan ~ Syed Abdul Kadir Aljoofre

Sepanyol bukan Negara Islam malah punya sejarah hitam apabila menghapuskan kerajaan Islam di Andalus. Masjid dijadikan gereja dan muzium. Sepanyol juga pernah menjajah hingga sampai ke rantau Asia.

Dengan peredaran masa keadaan mula berubah. Pemerintah Sepanyol tidak lagi menunjukkan anti Islam. Bebebapa buah masjid telah di dirikan di Madrid, Cordoba dan Granada. Mereka juga tidak lagi memandang serong terhadap pelancung wanita Islam memakai tudung apabila datang ke negara mereka.

Baru-baru ini lebih 30 ribu rakyat sepanyol berhimpun menyokong mogok lapar tahanan Palestin. Apakah di Malaysia yang mengaku sebagai Negara Islam dan diperintah oleh pemimpin yang mengaku beragama Islam membenarkan rakyat berkumpul sebegini ramai walau pun untuk menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin?.

Mungkin adapula yang akan berkata, awak puji Sepanyol pergi pindah ke Sepanyol...hehehe

By: Abdul Latip

Aksi bahaya punca nahas

Aksi bahaya punca nahas - Global - Sinar Harian: "JAKARTA – Juruterbang pesawat Sukhoi Superjet-100 yang terhempas di kawasan pergunungan Salak, Jawa Barat dipercayai cuba melakukan aksi penerbangan luar biasa bagi menunjukkan kehebatan pesawat itu kepada pembeli.

Setiausaha Agung Pertubuhan Penerbangan Kebangsaan Indonesia, Tengku Burhanuddin kelmarin berkata, juruterbang mengendalikan gerakan penerbangan sukar bagi menunjukkan keupayaan pesawat itu.

“Semasa menyertai penerbangan demonstrasi, juruterbang itu membawa pesawat terbabit melalui kepulan awan, menyebabkan gegaran kuat dan mula menurunkan pesawat dengan laju dari ketinggian asal.

“Mereka mahu menunjukkan bukti kehebatan pesawat Superjet 100. Ia benda biasa dilakukan semasa mencari pembeli,” katanya yang memberitahu pesawat itu berada dalam keadaan baik semasa penerbangan demonstrasi pertama, 9 Mei lalu.

Burhanuddin mengesahkan dakwaan Naib Presiden Rusia, Dmitry Rogozin bahawa kesilapan manusia mungkin menjadi punca nahas itu.

Sehingga kini, operasi mencari serpihan pesawat di kawasan pergunungan itu masih diteruskan tetapi kesemua penumpang dan anak kapal pesawat disahkan terbunuh."

'via Blog this'

Israel tutup sekolah Palestin

Israel tutup sekolah Palestin - Global - Sinar Harian: "
Seorang guru menaiki keldai untuk ke sekolah.
Seorang guru menaiki keldai untuk ke sekolah.

TEBING BARAT – Sebuah sekolah rendah Palestin ditutup, minggu lalu, selepas pihak berkuasa Israel merampas kenderaan digunakan untuk menghantar guru-guru ke sekolah itu.

Menurut laporan akhbar Haaretz, guru-guru kini menggunakan keldai sebagai kenderaan untuk ke sekolah yang terletak di kampung Jinba, bandar Hebron sehingga menyebabkan proses pembelajaran terganggu.

Pihak berkuasa Israel sebelum ini telah mengeluarkan arahan supaya sekolah itu diruntuhkan, namun mendapat bantahan penduduk kerana sekolah terdekat dengan kampung itu terletak pada jarak 20 kilometer.

Kelmarin, pihak berkuasa Israel turut merampas kereta seorang Pakar Haiwan Palestin ketika dalam perjalanan ke kampung tersebut untuk menyuntik vaksin kepada biri-biri.

Pada 1999, kawasan itu diisytihar rejim Zionis sebagai zon latihan perang bagi tentera Israel dan orang ramai tidak dibenarkan menetap di situ.

Namun, penduduk Palestin yang dihalau dari kawasan itu kemudian memfailkan aduan di Mahkamah Tinggi yang kemudian mengeluarkan perintah injunksi untuk dibenarkan menetap kembali di kawasan berisiko tersebut."

'via Blog this'

Anak tumbuk ibu ditahan

myMetro | Anak tumbuk ibu ditahan: "CHUKAI: Seorang anak yang bersikap kurang ajar apabila menumbuk ibunya sehingga menyebabkan wanita itu cedera ditahan polis dalam satu serbuan di rumah keluarganya di Kampung Titian Berayun, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abd Marlik Hakim Johar berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu rumah keluarganya sebaik menerima maklumat orang ramai mengenainya.


Susulan penahanan itu, lelaki terbabit berdepan kemungkinan dijatuhi hukuman berat apabila dia bukan saja didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan ibunya, malah memiliki waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah berikutan tidak menghadiri perbicaraan berkaitan kes dadah sebelum ini."

'via Blog this'

Jepun aktif semula 2 reaktor nuklear

Berita Harian Online | Jepun aktif semula 2 reaktor nuklear:
TOKYO: Perhimpunan di bandar Ohi di Fukui, barat Jepun yang menempatkan sebuah loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Kansai, semalam bersetuju mengaktifkan kembali dua reaktor. 

Pengerusinya, Kinya Shintani, berkata ia persetujuan pertama sejak operasi semua stesen di negara itu dihentikan selepas krisis di Fukushima.
Dengan kekurangan kuasa elektrik memuncak di wilayah berkenaan terutama pada musim panas, kerajaan cuba mendapatkan sokongan daripada bandar dan negeri yang mempunyai reaktor. Semua 50 reaktor dihentikan sejak loji terakhir ditutup untuk penyelenggaraan pada 5 Mei lalu.
Kerajaan dijangka menggesa perniagaan dan penduduk di kawasan barat Jepun mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 15 peratus musim panas ini untuk menangani masalah kekurangan bekalan, lapor media. 

Akhbar The Nikkei, bagaimanapun melaporkan kerajaan juga mempertimbangkan pemotongan kuasa mandatori dan memutuskan bekalan jika perlu. 

Had mandatori itu dikenakan di beberapa wilayah tahun lalu selepas krisis Fukushima, terburuk sejak tragedi Chernobyl pada tahun 1986 dengan tiga reaktor berdepan masalah selepas loji itu dilanda gempa bumi besar dan tsunami. 

Kerajaan Pusat bulan lalu berkata, reaktor nombor tiga dan empat di Fukui, 360 kilometer ke barat Tokyo, selamat untuk dihidupkan semula. 
Penangguhan dalam penubuhan agensi pengawal selia baru nuklear disebabkan perbalahan dalam Parlimen cuma menakutkan pengundi. 

Shintani berkata, ekonomi tempatan dan pekerjaan terjejas akibat pemberhentian operasi reaktor. 

“Memahami keperluan kuasa nuklear dan mengambil kira pandangan penduduk selain impak kepada kehidupan dan ekonomi, kami memutuskan untuk menghidupkan semula reaktor,” katanya dalam satu kenyataan. 

Ohi menerima kira-kira 2.5 bilion yen (RM93 juta) subsidi pada tahun kewangan Mac 2010 berkaitan empat reaktor Syarikat Tenaga Elektrik Kansai. Banyak pekerjaan juga bergantung kepada loji itu. 

Kerajaan Pusat tidak sukar mendapatkan sokongan tetapi berkemungkinan tidak terus dengan penyambungan semula operasi tanpa persetujuan bandar tuan rumah dan kerajaan negeri. 

Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa Tokyo akan mengatasi tentangan daripada negeri berhampiran dengan pendapat umum yang terbahagi. 

Tinjauan hujung minggu oleh akhbar pro-nuklear, Yomiuri, menunjukkan 45 peratus responden menyokong usaha menghidupkan semula reaktor yang disifatkan selamat dan bilangan sama membantah. – Reuters
'via Blog this'

13 pengintip Israel kena hukum

Berita Harian Online | 13 pengintip Israel kena hukum:
TEHRAN: Mahkamah Iran menghukum 13 rakyat negara itu selepas didapati bersalah terbabit dalam aktiviti pengintipan untuk agensi perisikan Israel, Mossad, lapor stesen satelit Press TV kelmarin. 

Laporan menyatakan, Mahkamah Revolusi Tehran membuat keputusan itu kelmarin, menyatakan mereka yang disabitkan bersalah itu diumpan menjadi pengintip untuk Mossad menerusi rangkaian televisyen satelit, beribu pejabat di luar negara dan kempen iklan.
Bentuk hukuman bagaimanapun tidak dinyatakan.
“Mereka mempunyai masa 20 hari untuk membuat rayuan,” lapor agensi berita MEHR, sambil menambah maklumat keputusan akan diumumkan selepas pengesahan oleh mahkamah rayuan. 

Kementerian berkata, tahanan ialah rakyat tempatan dan warga asing. Pada 17 April lalu, Kementerian Perisikan Iran mengumumkan penangkapan 15 pengintip dan pengganas yang dikaitkan dengan Israel. 

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dilancarkan pasukan perisik Iran, 15 orang, rakyat tempatan dan warga asing yang dikaitkan dengan unit pengintipan Israel, ditahan. 

Iran menuduh Israel melakukan tugas perisikan di republik itu malah terbabit dalam pembunuhan saintis nuklear Iran. Pada ketika itu, kementerian berkata salah satu misi pengganas ialah mengenal pasti dan membunuh salah seorang pakar negara itu. 
Kumpulan berkenaan merancang melancarkan tindakan ganas pada 10 Februari, sehari sebelum sambutan ulang tahun Revolusi Islam 1979. 

Kementerian Perisikan Iran baru-baru ini mengumumkan berjaya mendedahkan pangkalan pengintipan Israel di negara jiran, yang dikendalikan Mossad untuk melancarkan operasi terhadap kepentingan Iran. – Agensi 
'via Blog this'

Pengganas ‘mati’ masih hidup

Berita Harian Online | Pengganas ‘mati’ masih hidup:
KUALA LUMPUR: Pengganas rakyat Malaysia paling dikehendaki Amerika Syarikat (AS), Zulkifli Hir @ Marwan, dipercayai sedang bersembunyi di kepulauan terpencil di Selatan Filipina. 

Zulkifli yang berasal dari Muar, Johor, berbuat demikian berikutan gerakan besar-besaran memburunya dan saki baki kumpulan pengganas berkenaan oleh tentera negara itu.
Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Fuzi Md Harun, berkata kemungkinan anggota Jemaah Islamiyah (JI) itu pakar dalam pembuatan bahan letupan, masih hidup amat tinggi berikutan tiada bukti sahih mengaitkan kematiannya dalam serangan tentera terhadap Kumpulan Abu Sayyaf di Jolo, Zamboanga, 1 Februari lalu.
“Zulkifli dilaporkan antara yang terkorban dalam serangan itu, namun tiada pihak dapat mengesahkan maklumat itu. Laporan kita terima (dari pihak berkuasa Filipina) juga bercanggah dengan laporan media antarabangsa, malah tiada bukti sahih menunjukkan dia terkorban dalam operasi berkenaan. 

“Hasil maklumat risikan menunjukkan Zulkifli masih hidup dan dipercayai bersembunyi di lokasi rahsia (di Selatan Filipina). Kita mempunyai sumber perisikan dan mekanisme sendiri yang boleh mengesahkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Dalam kejadian 1 Februari lalu, Zulkifli, 40, bersama dua lagi warga Malaysia, Amin Bacho dan Jeknal Adil dari Kumpulan Darul Islam Sabah (DIS) dilaporkan terbunuh selepas lokasi persembunyian mereka diserang tentera Filipina dalam operasi besar-besaran memerangi kegiatan pengganas di selatan negara itu. 

Turut dilaporkan terbunuh, pemimpin kanan JI, Abdullah Ali dan Ketua Kumpulan Abu Sayyaf, Gumbahali Jumdail yang turut dikenali sebagai Doc Abu di kalangan pengikut kumpulan pengganas terbabit. 
Zulkifli sebelum ini disenaraikan sebagai pengganas paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang menawarkan ganjaran wang tunai AS$10 juta (RM30 juta) kepada mana-mana pihak boleh menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya individu berkenaan. 

Dengan memiliki kepakaran pembuatan bahan letupan, bekas jurutera lulusan AS itu turut dianggap aset terpenting rangkaian pengganas antarabangsa, Al-Qaeda, malah beliau juga dilaporkan pernah mengikuti latihan peperangan di Afghanistan dan beberapa lokasi lain di Asia Barat. 

Berikutan perkembangan terbaru itu, Fuzi berkata, pasukannya dengan kerjasama pihak berkuasa Filipina akan terus memantau keadaan di selatan negara itu, selain mengawasi pergerakan beberapa kumpulan militan dan pengganas yang sudah dikenal pasti, termasuk dari Malaysia. 

“Dimaklumkan pasukan khas kita, termasuk pakar forensik dihantar ke sana sebelum ini bagi membantu siasatan (kematian Zulkifli) sudah pulang ke tanah air. Bagaimanapun, tiada sebarang bukti atau maklumat sahih diperoleh mereka, yang menunjukkan individu terbabit terkorban dalam operasi itu. 

“Kita akan terus pantau perkembangan beliau dan mengawasi pergerakan rangkaian pengganas di sana bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
'via Blog this'

SYAITAN PUN TAKUT...


Ada seorang manusia yang bertemu dengan syaitan di waktu subuh. Entah bagaimana awalnya, akhirnya mereka berdua sepakat mengikat tali persahabatan. Ketika waktu subuh berakhir dan orang itu tidak mengerjakan solat, maka syaitan pun sambil tersenyum berkata, "Orang ini memang layak menjadi sahabatku..!"

Begitu juga ketika waktu zohor orang ini tidak mengerjakan solat, syaitan tersenyum lebar sambil berkata, " Rupanya inilah bakal sahabat sejatiku di akhirat nanti..!"

Ketika waktu asar hampir habis tetapi sahabatnya itu dilihatnya masih juga terlalu asyik dengan kegiatannya, Syaitan mulai terdiam......

Kemudian ketika datang waktunya maghrib, sahabatnya itu ternyata tidak solat juga, maka syaitan nampak mulai gelisah, senyumnya sudah berubah menjadi kecut. Dari wajahnya nampak bahawa ia seolah-olah sedang mengingat-ingat sesuatu.

Dan akhirnya ketika dilihat sahabatnya itu tidak juga mengerjakan solat Isya, maka syaitan itu sangat panik. Ia rupanya tidak lagi dapat menahan diri, dihampirinya sahabatnya itu sambil berkata dengan penuh ketakutan, "Wahai sahabat, aku terpaksa memutuskan persahabatan kita !"

Dengan kehairanan manusia ini bertanya, "Kenapa engkau ingkar janji bukankah baru tadi pagi kita berjanji akan menjadi sahabat?". "Aku takut !", jawab syaitan dengan suara gemetar. "Nenek moyangku saja yang dulu hanya sekali membangkang pada perintah-Nya, iaitu ketika menolak disuruh sujud pada Adam, telah dilaknat-Nya; apalagi engkau yang hari ini saja kusaksikan telah lima kali membangkang untuk bersujud pada-Nya. Tidak terbayangkan olehku bagaimana besarnya murka Allah kepadamu !", kata syaitan sambil bergegas pergi..

SMS sambil jalan diharam

myMetro | SMS sambil jalan diharam:

FORT LEE (New Jersey): Pejalan kaki yang suka menggunakan khidmat mesej pesanan ringkas (SMS) perlu berhati-hati.
Polis di bandar ini berkata, mereka akan mula menyaman sebanyak AS$85 (RM255) terhadap pejalan kaki yang ditangkap menaip mesej pesanan ringkas pada telefon bimbit masing-masing sambil berjalan.

“Ia satu gangguan besar. Pejalan kaki tidak melihat arah yang mereka tuju dan mereka tidak sedar,” kata Ketua Jabatan Polis Fort Lee, Thomas Ripoli.
Menurutnya, bandar berkenaan yang didiami hampir 35,000 penduduk, menyaksikan tiga kematian di kalangan pejalan kaki selepas mereka terbabit dalam kemalangan tahun ini.

Beliau berharap tindakan menyaman pejalan kaki yang berkelakuan membahayakan ketika berjalan akan menjadikan bandar itu lebih selamat.

Bagaimanapun, tidak semua orang bersetuju mengenai cadangan menyaman itu.
“Ketika berjalan, saya tetap akan melihat sekeliling. Saya tidak melihat ke bawah sepanjang masa,” kata penduduk, Sue Choe.

Seorang wanita lain mengadu mengenai jumlah saman itu yang dianggapnya terlalu tinggi.
Anggota polis menyerahkan risalah sepanjang kempen singkat Mac lalu sebelum bertindak secara agresif terhadap ‘pejalan kaki berbahaya.’ Setakat ini, 117 saman sudah dikeluarkan, menurut Rekod New Jersey.

Dua profesor di Universiti Stony Brook di New York menjalankan kajian berjalan kaki sambil menghantar atau membaca mesej pesanan ringkas pada telefon. Mereka mendapati, pengguna khidmat itu berkemungkinan 60 peratus terbabas berbanding pejalan kaki lain.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran bahawa gangguan sebenar berlaku kerana menaip mesej pesanan ringkas pada telefon,” kata Eric Lamberg, penyelidik bersama kajian itu.

“Menaip mesej pada telefon sambil berjalan lebih banyak menjejaskan keupayaan anda berbanding berbual.” - Agensi

'via Blog this'

16 renjer Thai cedera terkena bom di simpang jalan

myMetro | 16 renjer Thai cedera terkena bom di simpang jalan:

BANGKOK: Enam belas anggota renjer, 10 daripada mereka wanita, cedera terkena letupan bom di daerah Muang, Pattani, pagi semalam.
Ketua Polis Muang, Kolonel Samporn Meesuk, berkata mereka adalah antara 20 anggota dari 7 Kompeni, Rejimen 43 Renjer yang berada dalam trak pikap tentera, dalam perjalanan pulang ke markas di tambon Bo Thong, daerah Nong Chik setelah selesai tugas menjaga pameran Palang Merah yang diadakan di depan Dewan Bandaraya. 
Serangan itu dibuat beberapa minit selepas tengah malam apabila dua kenderaan itu berhenti di persimpangan Pattani-Hat Yai di Ban Don Rak, di lebuh raya 42.

Sebutir bom seberat tiga kilogram yang disembunyikan di dalam silinder gas dan digantung di belakang tanda berhenti, diletupkan menggunakan frekuensi radio oleh anggota pemisah Islam.

Mereka kemudian melepaskan tembakan ke arah pasukan renjer itu.

Selepas beberapa minit berbalas tembak, anggota pemisah itu melarikan diri. - BP 

'via Blog this'

Kotak hitam pesawat Sukhoi ditemui

myMetro | Kotak hitam pesawat Sukhoi ditemui:

JAKARTA: Pasukan khas Indonesia, merentasi cerun curam gunung berapi untuk mendapatkan kotak rakaman pesawat penumpang buatan Russia yang terhempas ketika membuat penerbangan demonstrasi untuk bakal pembeli.
Masih belum dapat dipastikan apa yang menyebabkan pesawat Sukhoi Superjet-100 merempuh Gunung Salak pada kelajuan 800 kilometer sejam, minggu lalu. 
Semua 45 penumpang pesawat itu mati dan mayat mereka dibawa ke Jakarta menggunakan helikopter untuk proses kenal pasti.

Ketua Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Nasional, Tatang Kurniadi berkata, pasukan penyelamat memberitahunya, mereka terlihat apa yang dipercayai kotak rakaman penerbangan dan data yang dikenali sebagai “kotak hitam” di celah-celah bangkai pesawat di jurang seluas 500 meter.
“Kami harap mereka dapat menjumpai kotak itu hari ini,” Katanya. - JP 

'via Blog this'

Banduan teliti perjanjian tamat mogok lapar

myMetro | Banduan teliti perjanjian tamat mogok lapar: "RAMALLAH: Penduduk Palestin yang kini merengkuk dalam penjara Israel meneliti langkah yang wajar diambil bagi mengurangkan tekanan dikenakan ke atas mereka.

Sumber yang dekat dengan kumpulan itu berkata, tahanan tanpa bicara Israel itu meneliti butiran perjanjian dipersetujui di Kaherah, Mesir, beberapa hari lalu.


“Hanya tahanan terbabit yang boleh membuat keputusan,” katanya.

Kira-kira 1,550 penduduk Palestin yang ditahan di penjara Israel kini melakukan mogok lapar.


Dua daripada mereka tidak mengambil sebarang makanan untuk hari ke-76 semalam.


Kelmarin, sumber berkata, satu persetujuan dicapai berkaitan tuntutan tahanan terbabit dan ia dimeterai di Kaherah.

Bagaimanapun, perjanjian itu mesti mendapat persetujuan tahanan terbabit sebelum ia dilaksanakan.


Sementara itu, jurucakap rejim Zionis enggan mengesahkan mengenai kewujudan perjanjian itu. Ketika ini, tahanan terbabit menuntut Israel melonggarkan sekatan bagi lawatan keluarga dan hak mendapat pendidikan. Mereka juga mahu hukuman dikurung berseorangan serta hak memenjara tanpa bicara ditamatkan. - AFP"

'via Blog this'

Iran saman Reuters kerana salah lapor

myMetro | Iran saman Reuters kerana salah lapor:

TEHERAN: Pihak berkuasa mengeluarkan saman ke atas agensi berita Reuters atas laporan mereka yang mendakwa atlet seni bela diri Iran sebagai pembunuh upahan.
Difahamkan, pejabat pendakwa di Teheran sedang meneliti kes berkenaan untuk menentukan sama ada ia akan dirujuk kepada mahkamah awam dan revolusi di situ.

Dalam laporan 16 Februari lalu, Reuters mendakwa, “ribuan ninja wanita kini dilatih sebagai pembunuh untuk Iran.” Laporan itu juga mendakwa, kerajaan Iran turut melatih kumpulan tertentu sebagai pembunuh upahan untuk negara berkenaan.
Media melaporkan, laporan mengenai ‘pembunuh upahan’ itu juga akan diteliti pihak pendakwa bagi menentukan tindakan selanjutnya.

Reuters membuat pembetulan laporan beberapa hari kemudian, tetapi berita berkenaan digunakan secara meluas media Barat.

Penyebarannya juga didapati memberi imej negatif terhadap Iran. Sebelum ini, beberapa pelatih seni bela diri yang muncul dalam klip video Reuters itu turut memfailkan saman ke atas agensi berita berkenaan. - Press TV

'via Blog this'

Zionis musnah bantuan Eropah

myMetro | Zionis musnah bantuan Eropah:

BAITULMAQDIS: Israel memusnahkan berpuluh-puluh rumah penduduk Palestin, tangki air dan bangunan ladang yang dibina dengan dana disalurkan negara Eropah pada 2011, kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan serta antarabangsa, semalam.
Selain itu, kata mereka, lebih 100 struktur lagi kini berdepan risiko sama.

Jumlah itu diperoleh sekumpulan NGO yang dipengerusikan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB dan laporan mengenainya diterbitkan menjelang pertemuan Menteri Luar Kesatuan Eropah di Brussels.
Menurut laporan Displacement Working Group (DWG) itu, Israel meranapkan 62 struktur tajaan Eropah tahun lalu dan 110 projek lagi kini berdepan ancaman sama.

Menurut DWG, bangunan yang terjejas dibiayai Perancis, Belanda, Britain, Poland, Ireland dan Suruhanjaya Eropah.

Bulan lalu, Perancis memanggil duta Israel bagi membantah pemusnahan dua tangki air ditaja mereka untuk penduduk Palestin di Hebron, Tebing Barat.
OCHA berkata, sebanyak 620 struktur di kawasan diduduki Israel di Tebing Barat dirobohkan pada 2011 dan 62 daripadanya dibina dengan tajaan negara Eropah. Sementara itu, sumber tentera Israel di Tebing Barat berkata, bangunan itu dirobohkan kerana ia tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Jurucakap pertubuhan kebajikan Oxfam, Willow Heske, berkata pelaksanaan permit Israel bersifat diskriminasi dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
“Kami pernah cuba bekerjasama dengan rejim itu, tetapi kadang-kadang keputusan hanya dikeluarkan selepas dua tahun.

“Melalui keputusan itu, tentera memaklumkan mereka menolak permohonan kami,” katanya. - AFP

'via Blog this'

Kereta api dalam rumah

myMetro | Kereta api dalam rumah:

HIGGINS menunjukkan gerabak yang diubah suai menjadi bilik tidur.
HIGGINS menunjukkan gerabak yang diubah suai menjadi bilik tidur.
KEADAAN rumah Higgins tidak banyak berbeza daripada kediaman lain jika  dilihat dari  luar.
KEADAAN rumah Higgins tidak banyak berbeza daripada kediaman lain jika dilihat dari luar.
LONDON: Seorang pesara dari Buckinghamshire dianggap pemilik rumah paling aneh di Britain apabila menjadikan gerabak kereta api sebagai sebahagian daripada kediamannya.
Kini menetap di Ashton, Cornwall, Jim Higgins membina rumahnya dengan gerabak kereta api berusia 130 tahun yang pernah dimiliki syarikat Great Western Railway.

Menurut bekas pengurus pengangkutan itu, dia mengambil alih gerabak berkenaan daripada bekas bapa mentuanya, Charles Allen, yang dipaksa membina kediaman di sekeliling gerabak itu. Menurut Higgins, 64, gerabak itu pernah didiami wanita tempatan, dikenali sebagai Elizabeth Richards sejak 1930.
“Gerabak ini kemudian dikenali sebagai Lizzies Place apabila Elizabeth meninggal dunia pada 1966,” katanya.

Sejak itu, kata Higgins, gerabak berkenan terbiar kosong selama beberapa tahun sebelum Allan - seorang tukang kayu mahir - tercari-cari tempat tinggal selepas dia bersara.

“Dia datang dari Middlesex dan terus ‘jatuh cinta’ apabila melihat gerabak ini untuk kali pertama,” katanya.
Bagaimanapun, kata Higgins, apabila Allen memohon kebenaran menggunakan gerabak berkenaan untuk menjadi sebahagian banglonya, pihak berkuasa tidak memberi kebenaran.

Kata Higgins, gerabak itu tersadai di situ terlalu lama dan tidak mungkin dialihkan ke tempat lain.
“Disebabkan koc ini tidak boleh dipindahkan, Allen memutuskan untuk membina rumah di sekelilingnya,” katanya.

Menurut Higgins, dengan kemahirannya sebagai tukang, bapa mentuanya membina rumah berkenaan dengan menempatkan bilik tidur di dalam koc itu.

Kini, kata Higgins, dia sibuk menyiapkan projek pemuliharaan koc berkenaan dan menjangkakan ia siap sepenuhnya beberapa bulan lagi. “Ia memerlukan kesabaran sangat tinggi bagi mengekalkan keasliannya.

“Pada masa sama, tetapi tidak banyak maklumat yang ada mengenai koc ini,” katanya.

Apabila siap nanti, Higgins berkata, dia akan mempertimbangkan kemungkinan untuk membukanya kepada orang awam. “Saya mungkin menjadikannya sebuah muzium, tapi saya belum pasti,” katanya. - DM

'via Blog this'

Dijemput ajal ketika kejar pencuri

Kosmo! Online - Negara:



Rakan Koperal Rasul, Koperal Hamidin Daud yang juga merupakan pemandu kereta peronda polis berada di sebelah kenderaan yang remuk dilanggar lori curi yang mengundur.


ALOR GAJAH – Hajat dua anggota polis peronda untuk menangkap penjenayah yang melarikan sebuah lori membawa muatan perabot berakhir dengan seorang daripada anggota polis itu mati dilanggar kenderaan yang dikejar manakala penjenayah itu pula masih bebas.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Kampung Melekek di sini semalam, Koperal Rasul Tumin, 47, mati di tempat kejadian selepas digilis lori yang mengundur selepas kenderaan itu ditinggalkan oleh penyamun di jalan yang berbukit.
Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, sebelum tragedi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menerima maklumat kehilangan sebuah lori tujuh tan yang membawa barangan perabot di Gemencheh, Negeri Sembilan pada pukul 6 pagi.
“Risikan pukul 6.55 pagi menemui lori tersebut berada di daerah Alor Gajah. Dua anggota polis peronda termaksud mangsa keluar mengesan kenderaan itu dan menemui lori tersebut di kawasan Masjid Tanah,” kata beliau ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Melaka di sini semalam.
Menurut beliau, Rasul yang menaiki kereta peronda dipandu rakan mengejar lori tersebut yang dipandu seorang lelaki yang enggan memberhentikan kenderaan tersebut.
Kereta peronda polis mengejar lori itu sehingga masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Solok Limau Purut, Melekek.
“Ketika berada di ladang kelapa sawit itu, lori tersebut tidak mampu mendaki jalan berbukit.
“Suspek yang panik terus terjun dari lori itu dan meninggalkan kenderaan tersebut dipercayai tanpa brek tangan menarik sebelum menghilangkan diri,” kata beliau.

'via Blog this'

Pencuci tandas peroleh ijazah

Kosmo! Online - Dunia:



FILIPAJ menerima ucapan tahniah daripada Naib Canselor Universiti Columbia, Donald Schlosser di New York kelmarin.


NEW YORK – Seorang penjaga bangunan Universiti Columbia, Gac Filipaj merupakan antara pelajar cemerlang pusat pengajian tinggi itu.
Filipaj berusia 52 tahun dan dia bekerja membersihkan lantai, mengosongkan tong sampah dan membersihkan tandas di universiti tersebut di sini.
Kelmarin, dia berasa bangga kerana menerima ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam majlis konvokesyen universiti itu.
Filipaj belajar selama 12 tahun dalam pengajian klasik sambil bekerja sepenuh masa sebagai penjaga bangunan.
Pada awalnya, dia mempelajari bahasa Inggeris selepas melarikan diri daripada perang saudara di negara kelahirannya, Yugoslavia pada tahun 1992.
Berasal daripada etnik Albania, dia berhijrah ke Amerika Syarikat kerana bimbang akan dipaksa menyertai tentera Serbia.
Selepas mendapat ijazah, Filipaj kembali bertugas sebagai penjaga bangunan di universiti berkenaan.
Namun, dia berharap akan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.
Penjaga bangunan tersebut masih menghantar wang kepada keluarganya yang bekerja di sebuah ladang di Montenegro. – Agensi

'via Blog this'