Pages

Tuesday, September 13, 2011

3 maut nahas tiga buah kenderaan




KEADAAN Toyota Hilux yang terbakar dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 214.9 Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran Plaza Tol Gambang kelmarin.


KUANTAN - Tiga termasuk bakal penerima anugerah Datuk terkorban dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 214.9, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berdekatan Plaza Tol Gambang di sini kelmarin.
Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah kereta Mercedes, Proton Satria dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
Tiga mangsa yang terkorban membabitkan pemandu kereta Mercedes, Yee Koi Chee, 68, dari Air Putih di sini, pemandu kereta Proton Satria, Mustafa Kamal Samah, 40, seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di Awana Kijal, Kemaman dan pemandu Toyota Hilux Wong Hong Yen, 40-an.
Isteri Koi Chee, Shu@Chew Moy, 66, cedera parah.
Difahamkan, Koi Chee yang terlibat dalam industri pembalakan dijadual menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 26 Oktober ini.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, semasa kemalangan pada pukul 5.50 petang, Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur manakala kereta Mercedes dan Proton Satria dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.
"Sampai di tempat kejadian Hong Yen yang memandu Toyota Hilux secara sendirian hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Mercedes dan Proton Satria di laluan bertentangan," kata beliau semasa dihubungi di sini semalam.

Empat ditikam di kenduri kahwin




OSMAN menunjukkan tempat berlakunya pergaduhan sewaktu majlis perkahwinan anaknya di Taman Subang Mas, Shah Alam kelmarin.


SHAH ALAM – Majlis perkahwinan satu pasangan pengantin dicemari insiden berdarah apabila empat jemputan cedera selepas diserang seorang tetamu tidak diundang di Taman Subang Mas, Subang Jaya dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 10.45 malam itu dikatakan berlaku apabila suspek yang merupakan warga Indonesia datang bersama dua lagi rakannya ke majlis tersebut selepas berlaku perselisihan faham dengan salah seorang ahli keluarga pasangan pengantin.
Difahamkan, siasatan awal mendapati kejadian berpunca selepas bahu suspek dilanggar oleh tetamu di situ.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, sebaik bahunya dilanggar, suspek terus bertengkar dan membuat kacau.
Katanya, beberapa jemputan kemudian cuba menenangkan suspek.
“Suspek kemudian terus mengeluarkan sebilah pisau. Dia yang semakin sukar dikawal kemudian telah menikam dada dan perut empat tetamu dengan dua daripadanya parah.
“Polis kemudian menahan suspek dan dua rakannya bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Restoran guna sos ada DNA babi



SALAH sebuah restoran makanan yang disamak oleh JHEAINS selepas didapati menggunakan sos yang mengandungi DNA babi di Seremban.


SEREMBAN – Sebanyak 15 premis makanan termasuk restoran makanan segera popular dan berstatus halal di negeri ini serta beberapa negeri lain dikesan menggunakan sos serta beberapa bahan yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Perkara tersebut terbongkar selepas pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan pada bulan lalu.
Hasil pemeriksaan tersebut mendapati, premis terbabit masih menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce yang disahkan mengandungi DNA babi oleh Jakim.
PRODUK sos HP dan Tabasco Pepper yang didapati mengandungi DNA babi.


Seorang jurucakap JHEAINS berkata, susulan itu semua premis makanan tersebut termasuk semua peralatan yang digunakan premis berkenaan terpaksa menjalani proses samak.
Katanya, premis berkenaan yang termasuk beberapa buah restoran, kedai kek dan restoran makanan segera telah disamak sebagai syarat untuk mereka memperoleh sijil halal.
“Kita melakukan pemeriksaan di premis-premis berkenaan selepas pihak Jakim mengesahkan bahawa dua sos berkenaan dan satu serbuk penaik jenama Puratos mengandungi DNA babi,” katanya di sini semalam.
Menurut jurucakap itu, ketika pemeriksaan, pemilik premis berkenaan mendakwa mereka tidak tahu bahawa produk yang digunakan oleh mereka mengandungi DNA babi.

Abdul Rahman bin ‘Auf – saudagar kaya yang dijamin syurga

Pada suatu hari, kota Madinah sedang aman dan tenteram, terlihat debu tebal yang mengepul ke udara, datang dari tempat ketinggian di pinggir kota; debu itu semakin tinggi bergumpal-gumpai hingga hampir menutup ufuk pandangan mata. Angin yang bertiup menyebabkan gumpalan debu kuning dari butiran-butiran sahara yang lunak, terbawa menghampiri pintu-pintu kota, dan berhembus dengan kuatnya di jalan-jalan rayanya.
Orang banyak menyangkanya ada angin ribut yang menyapu dan menerbangkan pasir. Tetapi kemudian dari balik tirai debu itu segera mereka dengar suara hiruk pikuk, yang memberi tahu tibanya suatu iringan kafilah besar yang panjang.
Tidak lama kemudian, sampailah 700 kenderaan yang sarat dengan muatannya memenuhi jalan-jalan kota Madinah dan menyibukkannya. Orang banyak saling memanggil dan menghimbau menyaksikan keramaian ini serta turut bergembira dan bersukacita dengan datangnya harta dan rezeki yang dibawa kafilah itu.
Ummul Mu’minin Aisyah ra demi mendengar suara hiruk pikuk itu ia bertanya, “Apakah yang telah terjadi di kota Madinah?” Mendapat jawaban, bahawa kafilah Abdurrahman bin ‘Auf baru datang dari Syam membawa barang-barang dagangannya. Kata Ummul Mu’minin lagi, “Kafilah yang telah menyebabkan semua kesibukan ini?” “Benar, ya Ummal Mu’minin, kerana ada 700 kenderaan!” Ummul Mu’minin menggeleng-gelengkan kepalanya, sembari melayangkan pandangnya jauh menembus, seolah-olah hendak mengingat-ingat kejadian yang pernah dilihat atau ucapan yang pernah didengarnya.
Dan sebelum tali-temali perniagaannya dilepaskannya, ditujukannya langkah-langkahnya ke rumah Aisyah lalu berkata kepadanya, “Anda telah mengingatkanku suatu Hadits yang tak pernah kulupakannya.” Kemudian ulasnya lagi, “Dengan ini aku mengharap dengan sangat agar anda menjadi saksi, bahawa kafilah ini dengan semua muatannya berikut kenderaan dan perlengkapannya, kupersembahkan di jalan Allah ‘azza wajalla!” Dan dibahagikannya lah seluruh muatan 700 kenderaan itu kepada semua penduduk Madinah dan sekitarnya sebagai perbuatan baik yang sangat besar.
Peristiwa yang satu ini saja, melukiskan gambaran yang sempurna tentang kehidupan shahabat Rasulullah, Abdurahman bin ‘Auf. Dialah saudagar yang berhasil. Keberhasilan yang paling besar dan lebih sempurna! Dia pulalah orang yang kaya raya. Kekayaan yang paling banyak dan melimpah ruah. Dialah seorang Mu’min yang bijaksana yang tak sudi kehilangan bahagian keuntungan dunianya oleh kerana keuntungan agamanya, dan tidak suka harta benda kekayaannya meninggalkannya dari kafilah iman dan pahala syurga. Maka dialah ra yang membaktikan harta kekayaannya dengan kedermawanan dan pemberian yang tidak terkira, dengan hati yang puas dan rela.
Bila dan bagaimana masuknya orang besar ini ke dalam Islam? Ia masuk Islam sejak fajar menyingsing. Ia telah memasukinya di saat-saat permulaan da’wah, yakni sebelum Rasulullah saw memasuki rumah Arqam dan menjadikannya sebagai tempat pertemuan dengan para shahabatnya orang-orang Mu’min.
Dia adalah salah seorang dari delapan orang yang dahulu masuk Islam. Abu Bakar datang kepadanya menyampaikan Islam, begitu juga kepada Utsman bin ‘Affan, Zubair bin Awwam, Thalhah bin Ubaidillah, dan Sa’ad bin Abi Waqqash. Maka tak ada persoalan yang tertutup bagi mereka, dan tak ada keragu-raguan yang menjadi penghalang, bahkan mereka segera pergi bersama Abu Bakar Shiddiq menemui Rasulullah saw menyatakan bai’at dan memikul bendera Islam.
Dan semenjak keislamannya sampai berpulang menemui Tuhannya dalam umur 75 tahun, ia menjadi teladan yang cemerlang sebagai seorang mu’min yang besar. Hal ini menyebabkan Nabi saw memasukkannya dalam sepuluh orang yang telah diberi khabar gembira sebagai ahli syurga.
Dan Umar ra mengangkatnya pula sebagai anggota kelompok musyawarah yang berenam yang merupakan calon khalifah yang akan dipilih sebagai penggantinya, seraya katanya, “Rasulullah wafat dalam keadaan redha kepada mereka!”
Segera lah Abdurrahman masuk Islam menyebabkannya menceritakan nasib malang berupa penganiayaan dan penindasan dari Quraisy. Dan sewaktu Nabi saw, memerintahkan para shahabatnya hijrah ke Habsyi, Ibnu ‘Auf ikut berhijrah kemudian kembali lagi ke Mekah, lalu hijrah untuk kedua kalinya ke Habsyi dan kemudian hijrah ke Madinah, ikut bertempur di perang Badar, Uhud dan peperangan-peperangan lainnya.
Keberuntungannya dalam perniagaan sampai suatu batas yang membangkitkan dirinya peribadi ketakjuban dan kehairanan, hingga katanya, “Sungguh, kulihat diriku, seandainya aku mengangkat batu nescaya kutemukan di bawahnya emas dan perak!”
Perniagaan bagi Abdurrahman bin ‘Auf ra bukan bererti rakus dan loba. Bukan pula suka menumpuk harta atau hidup mewah dan riak. Malah itu adalah suatu amal dan tugas kewajiban yang keberhasilannya akan menambah dekatnya jiwa kepada Allah dan berkorban di jalan-Nya.
Dan Abdurrahman bin ‘Auf seorang yang berwatak dinamis, kesenangannya dalam amal yang mulia di mana juga adanya. Apabila ia tidak sedang shalat di mesjid, dan tidak sedang berjihad dalam mempertahankan agama tentulah ia sedang mengurus perniagaannya yang berkembang pesat, kafilah-kafilahnya membawa ke Madinah dari Mesir dan Syria barang-barang muatan yang dapat memenuhi keperluan seluruh jazirah Arab berupa pakaian dan makanan.
Dan watak dinamisnya ini terlihat sangat menonjol, ketika kaum Muslimin hijrah ke Madinah. Telah menjadi kebiasaan Rasul pada waktu itu untuk mempersaudarakan dua orang shahabat, salah seorang dari Muhajirin warga Mekah dan yang lain dari Anshar penduduk Madinah.
Persaudaraan ini mencapai kesempurnaannya dengan cara yang harmonis yang mempesonakan hati. Orang-orang Anshar penduduk Madinah membahagi dua seluruh kekayaan miliknya dengan saudaranya orang muhajirin, sampai-sampai soal rumah tangga. Apabila ia beristeri dua orang diceraikannya yang seorang untuk diperisteri saudaranya.
Ketika itu Rasul yang mulia mempersaudarakan antara Abdurrahman bin ‘Auf dengan Sa’ad bin Rabi’. Dan marilah kita dengarkan shahabat yang mulia Anas bin Malik ra meriwayatkan kepada kita apa yang terjadi “… dan berkatalah Sa’ad kepada Abdurrahman, ‘Saudaraku, aku adalah penduduk Madinah yang kaya raya, silakan pilih separuh hartaku dan ambillah! Dan aku mempunyai dua orang isteri, cuba perhatikan yang lebih menarik perhatian anda, akan kuceraikan ia hingga anda dapat memperisterinya.’
Jawab Abdurrahman bin ‘Auf, ‘Moga-moga Allah memberkati anda, isteri dan harta anda! Tunjukkanlah saja letaknya pasar agar aku dapat berniaga!’ Abdurrahman pergi ke pasar, dan berjual belilah di sana. Ia pun beroleh keuntungan.”
Kehidupan Abdurrahman bin ‘Auf di Madinah baik semasa Rasulullah saw mahupun sesudah wafatnya terus meningkat. Barang apa saja yang ia pegang dan dijadikannya pokok perniagaan pasti menguntungkannya. Seluruh usahanya ini ditujukan untuk mencapai redha Allah semata, sebagai bekal di alam baqa kelak.
Yang menjadikan perniagaannya berhasil dan beroleh berkat kerana ia selalu bermodal dan berniaga barang yang halal dan menjauhkan diri dari perbuatan haram bahkan yang syubhat. Seterusnya yang menambah kejayaan dan diperolehnya berkat, kerana labanya bukan untuk Abdurrahman sendiri, tapi di dalamnya terdapat bahagian Allah yang ia penuhi dengan setepat-tepatnya, pula digunakannya untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan serta membiayai sanak saudaranya, serta menyediakan perlengkapan yang diperlukan tentara Islam.
Bila jumlah modal niaga dan harta kekayaan yang lainnya ditambah keuntungannya yang diperolehnya, maka jumlah kekayaan Abdurrahman bin ‘Auf itu dapat dikira-kirakan apabila kita memperhatikan nilai dan jumlah yang dibelanjakannya pada jalan Allah Rabbul’alamin!
Pada suatu hati ia mendengar Rasulullah saw bersabda, “Wahai ibnu ‘Auf! Anda termasuk golongan orang kaya dan anda akan masuk syurga secara perlahan-lahan! Pinjamkanlah kekayaan itu kepada Allah, pasti Allah mempermudah langkah anda!”
Semenjak ia mendengar nasihat Rasulullah ini dan ia menyediakan bagi Allah pinjaman yang balk, maka Allah pun memberi ganjaran kepadanya dengan berlipat ganda.
Di suatu hari ia menjual tanah seharga 40.000 dinar, kemudian wang itu dibahagi-bahagikannya semua untuk keluarganya dari Bani Zuhrah, untuk para isteri Nabi dan untuk kaum fakir miskin.
Diserahkannya pada suatu hari 500 ekor kuda untuk perlengkapan bala tentera Islam, dan di hari yang lain 1500 kenderaan. Menjelang wafatnya ia berwasiat 50.000 dinar untuk jalan Allah, lain diwasiatkannya pula bagi setiap orang yang ikut perang Badar dan masih hidup, masing-masing 400 dinar, hingga Utsman bin Affan r.a yang terbilang kaya juga mengambil bahagiannya dari wasiat itu, serta katanya, “Harta Abdurrahman bin ‘Auf halal lagi bersih, dan memakan harta itu membawa selamat dan berkah.”
Ibnu ‘Auf adalah seorang pemimpin yang mengendalikan hartanya, bukan seorang budak yang dikendalikan oleh hartanya. Sebagai buktinya, ia tidak mahu celaka dengan mengumpulkannya dan tidak pula dengan menyimpannya. Bahkan ia mengumpulkannya secara santai dan dari jalan yang halal. Kemudian ia tidak menikmati sendirian, tapi ikut menikmatinya bersama keluarga dan kaum kerabatnya serta saudara-saudaranya dan masyarakat seluruhnya. Dan kerana begitu luas pemberian serta pertolongannya, pernah dikatakan orang, “Seluruh penduduk Madinah bersekutu dengan Abdurrahman bin ‘Auf pada hartanya. Sepertiga dipinjamkannya kepada mereka. Sepertiga lagi dipergunakannya untuk membayar hutang-hutang mereka. Dan sepertiga sisanya diberikan dan dibahagi-bahagikannya kepada mereka.”
Harta kekayaan ini tidak akan mendatangkan kelegaan dan kesenangan pada dirinya, selama tidak memungkinkannya untuk membela agama dan membantu kawan-kawannya. Adapun untuk lainnya, ia selalu takut dan ragu.
Pada suatu hari dihidangkan kepadanya makanan untuk berbuka, kerana waktu itu ia sedang shaum. Sewaktu pandangannya jatuh pada hidangan tersebut, timbul selera makannya, tetapi ia pun menangis sambil mengeluh, “Mushab bin Umair telah gugur sebagai syahid, ia seorang yang jauh lebih baik daripadaku, ia hanya mendapat kafan sehelai burdah; jika ditutupkan ke kepalanya maka kelihatan kakinya, dan jika ditutupkan kedua kakinya terbuka kepalanya! Demikian pula Hamzah yang jauh lebih baik daripadaku, ia pun gugur sebagai syahid, dan di saat akan dikuburkan hanya terdapat baginya sehelai selendang. Telah dihamparkan bagi kami dunia seluas-luasnya, dan telah diberikan pula kepada kami hasil sebanyak-banyaknya. Sungguh kami khawatir kalau-kalau telah didahulukan pahala kebaikan kami!”
Pada suatu peristiwa lain sebahagian sahabatnya berkumpul bersamanya menghadapi jamuan di rumahnya. Tak lama sesudah makanan diletakkan di hadapan mereka, ia pun menangis; kerana itu mereka bertanya, “Apa sebabnya anda menangis wahai Abu Muhammad?” Ujarnya, “Rasulullah saw telah wafat dan tak pernah beliau berikut ahli rumahnya sampai kenyang makan roti gandum, apa harapan kita apabila dipanjangkan usia tetapi tidak menambah kebaikan bagi kita?”
Begitulah ia, kekayaannya yang melimpah-limpah, sedikitpun tidak membangkitkan kesombongan dan takabur dalam dirinya! Sampai-sampai dikatakan orang tentang dirinya, “Seandainya seorang asing yang belum pernah mengenalnya, kebetulan melihatnya sedang duduk-duduk bersama pelayan-pelayannya, nescaya ia tak akan sanggup membezakannya dari antara mereka!”
Tetapi bila orang asing itu mengenal satu segi saja dari perjuangan ibnu ‘Auf dan jasa-jasanya, misalnya diketahuinya bahawa di badannya terdapat dua puluh bekas luka di perang Uhud, dan bahawa salah satu dari bekas luka ini meninggalkan cacat pincang yang tidak sembuh-sembuh pada salah satu kakinya, sebagaimana pula beberapa gigi seri rontok di perang Uhud, yang menyebabkan kecadelan yang jelas pada ucapan dan pembicaraannya. Di waktu itulah orang baru akan menyedari bahawa laki-laki yang berperawakan tinggi dengan air muka berseri dan kulit halus, pincang serta cadel, sebagai tanda jasa dari perang Uhud, itulah orang yang bernama Abdurrahman bin ‘Auf! Semoga Allah redha kepadanya dan ia pun redha kepada Allah!
Sudah menjadi kebiasaan pada tabi’at manusia bahawa harta kekayaan mengundang kekuasaan, ertinya bahawa orang-orang kaya selalu tamak untuk memiliki pengaruh guna melindungi kekayaan mereka dan melipat gandakannya, dan untuk memuaskan nafsu, sombong, membanggakan dan mementingkan diri sendiri, yakni sifat-sifat yang biasa dibangkitkan oleh kekayaan.
Tetapi bila kita melihat Abdurrahman bin ‘Auf dengan kekayaannya yang melimpah ini, kita akan menemukan manusia ajaib yang sanggup menguasai tabi’at kemanusiaan dalam bidang ini dan melangkahinya ke puncak ketinggian yang unik.
Peristiwa ini terjadi sewaktu Umar bin Khatthab hendak berpisah dengan ruhnya yang suci dan ia memilih enam orang tokoh dari para shahabat Rasulullah saw sebagai formatur agar mereka memilih salah seorang di antara mereka untuk menjadi khalifah yang baru.
Jari-jari tangan sama-sama menunjuk dan mengisyaratkan Ibnu ‘Auf. Bahkan sebahagian shahabat telah menegaskan bahawa dialah orang yang lebih berhak dengan khalifah di antara yang enam itu, maka ujarnya, “Demi Allah, daripada aku menerima jabatan tersebut, lebih baik ambil pisau lain taruh ke atas leherku, kemudian kalian tusukkan sampai tembus ke sebelah!”
Demikianlah, baru saja kelompok enam formatur itu mengadakan pertemuan untuk memilih salah seorang di antara mereka untuk menjadi khalifah yang akan menggantikan al-Faruk, Umar bin Khatthab maka kepada kawan-kawannya yang lima dinyatakannya bahawa ia telah melepaskan haknya yang dilimpahkan Umar kepadanya sebagai salah seorang dari enam orang calon yang akan dipilih menjadi khalifah. Dan adalah kewajiban mereka untuk melakukan pemilihan itu terbatas di antara mereka yang berlima saja.
Sikap zuhudnya terhadap jabatan pangkat ini dengan cepat telah menempatkan dirinya sebagai hakim di antara lima orang tokoh terkemuka itu. Mereka menerima dengan senang hati agar Abdurrahman bin ‘Auf menetapkan pilihan khalifah itu terhadap salah seorang di antara mereka yang berlima, sementara Imam Ali mengatakan, “Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda, bahawa anda adalah orang yang dipercaya oleh penduduk langit, dan dipercaya pula oleh penduduk bumi!”
Oleh Ibnu ‘Auf dipilihlah Utsman bin Affan untuk jabatan khalifah dan yang lain pun menyetujui pilihannya.
Nah, inilah hakikat seorang laki-laki yang kaya raya dalam Islam! Apakah sudah anda perhatikan bagaimana Islam telah mengangkat dirinya jauh di atas kekayaan dengan segala godaan dan penyesatannya itu, dan bagaimana ia menempa keperibadiannya dengan sebaik-baiknya?
Dan pada tahun 32 Hijrah, tubuhnya berpisah dengan ruhnya. Ummul Mu’minin Aisyah ingin memberinya kemuliaan khusus yang tidak diberikannya kepada orang lain, maka diusulkannya kepadanya sewaktu ia masih terbaring di ranjang menuju kematian, agar ia bersedia dikuburkan di perkarangan rumahnya berdekatan dengan Rasulullah, Abu Bakar dan Umar.
Akan tetapi ia memang seorang Muslim yang telah dididik Islam dengan sebaik-baiknya, ia merasa malu diangkat dirinya pada kedudukan tersebut!
Pula dahulu ia telah membuat janji dan ikrar yang kuat dengan Utsman bin Madh’un, yakni bila salah seorang di antara mereka meninggal sesudah yang lain maka hendaklah ia dikuburkan di dekat shahabatnya itu.
Selagi ruhnya bersiap-siap memulai perjalanannya yang baru, air matanya meleleh sedang lidahnya bergerak-gerak mengucapkan kata-kata, “Sesungguhnya aku khawatir dipisahkan dari sahabat-sahabatku kerana kekayaanku yang melimpah ruah!”
Tetapi sakinah dari Allah segera menyelimutinya, lain satu senyuman tipis menghiasi wajahnya disebabkan suka cita yang memberi cahaya serta kebahagiaan yang menenteramkan jiwa. Ia memasang telinganya untuk menangkap sesuatu, seolah-olah ada suara yang lernbut merdu yang datang mendekat.
Ia sedang mengenangkan kebenaran sabda Rasulullah saw yang pernah beliau ucapkan, “Abdurrahman bin ‘Auf dalam syurga!”, lagi pula ia sedang mengingat-ingat janji Allah dalam kitab-Nya, “Orang-orang yang membelanjakan hartanya dijalan Allah kemudian mereka tidak mengiringi apa yang telah mereka nafqahkan itu dengan membangkit-bangkit pemberiannnya dan tidak pula kata-kata yang menyakitkan, nescaya mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka; Mereka tidak usah merasa takut dan tidak pula berdukacita.” (QS Al-Baqarah [2]:262)
Sumber : Buku Rijal Haular Rasul (Khalid Muh.Khalid)

Wanita tertua Vietnam berusia 118 tahun



HANOI 12 Sept. - Seorang wanita berusia 118 tahun dinamakan sebagai wanita tertua di Vietnam, hari ini dan pihak berkuasa negara ini akan membuat permohonan bagi menamakan warga emas itu sebagai wanita tertua di dunia.
Nguyen Thi Tru yang dilahirkan pada 4 Mei 1893 mempunyai 11 orang anak dan masih boleh berfikir dengan waras, menurut Vietnam Records Book dalam satu kenyataan.
Dia kini tinggal bersama anak lelaki bongsunya yang berusia 69 tahun.
Ketika ditanya mengenai kisah silamnya, dia masih boleh menceritakan peristiwa ketika dia menggali terowong bawah tanah untuk membawa makanan kepada pejuang penentang kolonial Perancis pada awal abad ke-20.
Dia kini dilaporkan makan dua mangkuk nasi sehari dengan sayur-sayuran dari ladangnya serta ikan dari sungai, tetapi tidak memakan makanan yang dicemari bahan kimia.
"Saya tidak ada rahsia untuk hidup lebih lama. Saya hanya mengamalkan gaya hidup menyayangi dan menolong orang lain serta mengelak menimbulkan kemarahan sesiapa sahaja.
"Melakukan kerja amal akan membantu anda berasa tenang dan hidup lebih lama," kata Thi Tru.
Pihak berkuasa Vietnam akan menghantar kes wanita tertua ini kepada Guiness World Book of Records pada Oktober ini untuk diiktiraf sebagai wanita tertua di dunia.
Gelaran wanita tertua di dunia kini dipegang oleh Besse Cooper yang berusia 114 tahun dari Georgia, Amerika Syarikat.
Sementara itu, sepasang lagi kembar rakyat Vietnam Vi Thi Cac dan Vi Thi Dac yang dilahirkan pada 1911, berusia 100 tahun, turut disenaraikan dalam Vietnam Records Book, hari ini sebagai pasangan kembar tertua di Vietnam.
Pasangan kembar tertua di dunia kini ialah Lily Millward dan Ena Pugh yang dilahirkan di Britain pada 1910. - dpa

Chirac didakwa terima wang




Chirac duduk di kerusi di luar kafe Le Senequier yang terkenal di resort tepi pantai Saint-Tropez pada 14 Ogos lalu. Seorang peguam mendakwa bekas Presiden Perancis itu menerima wang daripada pemimpin Afrika. - AFP


PARIS 12 Sept. - Seorang peguam yang menjalin hubungan dengan para pemimpin Afrika mendakwa beliau telah menyerahkan wang tunai berjumlah lebih AS$20 juta (RM60 juta) kepada bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac dan sekutu rapatnya, Dominique de Villepin.
Peguam Perancis, Robert Bourgi memberitahu radio Europe 1 hari ini, wang tersebut diberikan oleh beberapa Presiden bekas tanah jajahan Perancis di Afrika dan diserahkan kepada kedua-dua tokoh politik berhaluan tengah kanan Perancis itu secara berperingkat-peringkat antara 1995 dan 2005.
Bourgi yang mendakwa beliau tampil sekarang kerana ingin 'membersihkan Perancis' berkata, sistem sogokan itu juga wujud semasa pemerintahan bekas-bekas Presiden Georges Pompidou, Valerie Giscard d'Estaing dan Francois Mitterrand.
Dakwaan tersebut yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Chirac dan Villepin dibuat sebelum pilihan raya Presiden Perancis dalam tempoh tujuh bulan lagi, apabila Presiden Nicolas Sarkozy dijangka dicabar oleh Villepin.
Bourgi dilaporkan rapat dengan Sarkozy tetapi beliau menafikan menjadi penasihat rasmi atau tidak rasmi kepada Presiden.
Chirac dan Villepin berkata, mereka akan mengemukakan saman terhadap Bourgi. - AFP

Banjir di daerah Sindh, Pakistan semakin serius



HYDERABAD 12 Sept. - Kerajaan Pakistan yang menghadapi masalah kewangan dan masih bergelut untuk membantu mangsa banjir pada tahun lalu, mungkin berhadapan satu lagi ujian besar, ekoran hujan monsun yang melanda seluruh wilayah Sindh di selatan negara ini.
Pegawai Jabatan Meteorologi, Arif Mehmood berkata, situasi di Sindh kini serius dan akan berlaku lebih banyak banjir serta masalah, ekoran hujan lebat.
"Kami telah mengarahkan semua agensi kerajaan berkaitan supaya berjaga-jaga dengan situasi banjir ini," kata Arif.
Banjir setakat ini mengorbankan kira-kira 200 orang dan merosakkan hampir sejuta rumah serta menenggelamkan 4.2 juta ekar tanah pertanian sejak akhir Ogos lalu, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Kerosakan lebih banyak akibat banjir akan menyebabkan kerajaan Pakistan yang kini sedang berhadapan dengan masalah militan Taliban, tuduhan rasuah berleluasa dan kemarahan rakyat ekoran pemotongan tenaga elektrik, menerima tekanan yang amat besar.
Menurut kumpulan Oxfam, lebih 800,000 keluarga masih tidak memiliki tempat perlindungan dan lebih satu juta orang lagi memerlukan bantuan makanan, kebanyakannya di Sindh, walaupun bencana banjir terburuk dalam sejarah Pakistan yang melanda pada Julai tahun lalu itu telah berlalu lebih setahun. - REUTERS

182 tentera Bangladesh dipenjara




Gambar yang diambil pada 28 Februari, 2009, merakamkan anggota bomba Bangladesh mengangkat mayat salah seorang pegawai kanan tentera yang ditemui ditanam dalam kubur besar dekat ibu pejabat pasukan Bangladesh Rifles di Dhaka. - AFP


DHAKA 12 Sept. - Sebuah mahkamah Bangladesh hari ini menjatuhkan hukuman penjara ke atas 182 anggota tentera pengawal sempadan setelah didapati bersalah mendalangi pemberontakan bersenjata yang meragut banyak nyawa pada 2009.
Ia sekali gus menjadikan jumlah askar yang dipenjarakan kerana terlibat dalam pemberontakan tersebut melebih 3,000 orang.
Sejumlah pegawai kanan tentera dibunuh dalam pemberontakan itu yang tercetus apabila askar-askar di ibu pejabat Bangladesh Rifles (BDR) di Dhaka bertindak membunuh pegawai tentera dengan sewenang-wenangnya sebelum mencampakkan mayat-mayat mereka ke dalam pembetung dan kubur.
Pendakwa raya negeri, Mosharraf Hossain berkata, mahkamah khas tentera di Dhaka mengumumkan hukuman ke atas 187 tentera pengawal sempadan, dan 182 daripada mereka dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
"Seramai 20 daripada mereka dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan lima yang lain didapati tidak bersalah," katanya.
Pemberontakan tersebut merebak dari pos kawalan BDR di Dhaka ke pos kawalan BDR di seluruh negara, yang mana beribu-ribu anggota tentera pengawal mengangkat senjata untuk menentang pegawai pemerintah masing-masing.
Ia merupakan pemberontakan tentera paling buruk pernah berlaku di negara ini dalam tempoh 40 tahun. - AFP

19 maut banjir di India



BHUBANESWAR, India 12 Sept. - Kira-kira 19 orang maut dan 100,000 orang kehilangan tempat tinggal di negeri Orissa, ekoran banjir teruk di negeri itu sejak minggu lepas, kata kerajaan dan pegawai bantuan, hari ini.
Banjir akibat hujan monsun itu menyebabkan peningkatan paras air dan limpahan air sungai di negeri Orissa.
Keadaan itu juga mengakibatkan beberapa kawasan terputus hubungan dan bantuan makanan dan kecemasan terpaksa dihantar menggunakan helikopter.
''Kami menghadapi banjir teruk. Setakat ini 19 orang kehilangan nyawa dan enam yang lain dilaporkan hilang," kata Menteri Pengurusan Bencana Orissa, Surya Narayan Patra.
Beliau berkata, kerajaan negeri memindahkan berpuluh ribu orang dan menyediakan bantuan kepada 1.7 juta mangsa.
Pesuruhjaya Bantuan Khas Orissa, Pradeep Kumar Mohapatro berkata, laluan ke 877 kampung terputus ekoran banjir dan kira-kira 11,000 rumah rosak akibat bencana itu. - AFP

Kebakaran petrol, 120 terkorban




Pasukan penyelamat bersama penduduk tempatan membantu mangsa kebakaran petrol di kawasan setinggan di Nairobi, semalam. - REUTERS


NAIROBI 12 Sept. - Lebih 120 orang maut dan sejumlah yang sama cedera dalam kebakaran petrol berpunca daripada puntung rokok di sebuah kawasan setinggan yang penuh sesak di ibu negara Kenya ini, hari ini.
Polis berkata, sebilangan besar mangsa mati terbakar tetapi kiraan rasmi belum diperoleh kerana pasukan bomba masih berusaha memadamkan kebakaran.
Siaran televisyen menyiarkan gambar mayat rentung dan penduduk setinggan yang terbakar berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang dengan kulit mengelupas di muka dan lengan mereka.
Televisyen Citizen memetik seorang pegawai di tempat kejadian sebagai berkata, beliau telah menghitung lebih 120 mayat, manakala radio Capital FM melaporkan, bilangan kematian melebihi 150 orang.
Timbalan jurucakap polis, Charles Owino berkata, kebakaran bermula selepas petrol yang bocor dari tangki di sebuah depot milik Kenya Pipeline Company mengalir ke parit terbuka di kawasan setinggan itu.
Penduduk cuba mencedok petrol yang bocor itu dari parit tetapi dijilat api apabila seseorang mencampakkan puntung rokok ke dalam parit, kata Owino. - Reuters/AFP

Indonesia kerah tentera ke Ambon reda rusuhan




Rusuhan tercetus di Ambon antara penduduk islam dan Kristian, kelmarin mengakibatkan tiga orang terkorban dan 80 yang lain cedera. – REUTERS


AMBON 12 Sept. – Indonesia mengerahkan 200 anggota keselamatan ke wilayah timur negara ini, selepas berlaku pertempuran antara kumpulan Islam dan Kristian yang mengakibatkan lima orang terbunuh, manakala 80 lagi cedera, hari ini.
Menurut ketua polis trafik, Kapten Marinus Djati, keganasan di kawasan Maluku, wilayah Ambon itu tercetus selepas tersebar khabar angin mengenai seorang pemandu teksi bergama Islam yang terbabit dalam kemalangan, dikatakan didera dan dibunuh oleh penduduk Kristian.
Tambahnya, kumpulan Islam bersemuka dengan kumpulan Kristian selepas mangsa dikebumikan dan kedua-dua kumpulan saling mencaci antara satu sama lain, sebelum mereka mula membaling batu dan bertempur menggunakan parang.
“Mereka turut membakar beberapa rumah, kereta dan motosikal, walaupun polis melepaskan tembakan amaran untuk meleraikan pertempuran tersebut,” katanya.
Jurucakap hospital, Ita Sabrina berkata, dua daripada tiga mangsa yang terbunuh merupakan pelajar sekolah tinggi dan 80 lagi yang cedera dirawat di hospital.
Jurucakap Polis Negara, Mejar Jeneral Anton Bachrul Alam berkata, lebih 200 anggota pasukan khas dikerah ke Ambon bagi meredakan ketegangan yang tercetus antara dua kumpulan itu.
Indonesia mempunyai majoriti penduduk Islam, namun Maluku dikuasai majoriti penduduk beragama Kristian.
Lebih 9,000 penduduk terbunuh dalam pertempuran antara penduduk Islam dan Kristian di Ambon dari 1999 hingga 2002 sebelum wilayah itu kembali aman.
– Agensi

Tentera Mesir ketat darurat



DUBAI 12 Sept. - Majlis Pemerintah Tentera Mesir memperketatkan undang-undang darurat dengan menyenaraikan aktiviti seperti menyekat jalan, menyiarkan maklumat palsu dan memiliki senjata sebagai kesalahan di bawah undang-undang itu.
Menteri Dalam Negeri, Mansour el-Essawy ketika mengumumkan langkah itu di televisyen kerajaan, semalam juga memberi amaran, polis akan menembak sesiapa yang menyerang bangunan Kementerian Dalam Negeri atau balai polis.
Langkah itu diambil, selepas penunjuk perasaan menyerang Kedutaan Israel dan sebuah balai polis pada minggu lalu dan membawa kepada pertempuran dengan polis pencegah rusuhan mengakibatkan tiga orang maut dan lebih 1,000 lagi cedera.
Menurut agensi berita kerajaan, undang-undang darurat yang berkuat kuasa sejak bekas Presiden Hosni Mubarak mengambil alih kuasa pada 1981, akan digunakan untuk memerangi 'ancaman terhadap keselamatan negara dan keselamatan awam di negara ini, serta pemilikan dan perdagangan senjata api dan peluru, dan pengedaran dadah'.
Undang-undang itu juga akan digunakan untuk membanteras 'kegiatan samseng, sekatan terhadap kebebasan bekerja, tindakan mensabotaj kilang dan menahan pengangkutan, menyekat jalan dan sengaja menyiarkan khabar angin, berita atau maklumat palsu'.
Kerajaan, kelmarin mengumumkan akan melanjutkan tempoh undang-undang darurat, yang diperbaharui bagi tempoh enam bulan pada April lalu.
Undang-undang itu memberi kuasa meluas kepada pihak berkuasa untuk menahan suspek dan memindahkan kes ke mahkamah tentera dan mahkamah khas yang lain. - Reuters

Pelajar perempuan maut angkara seks ganas

ROME: Seorang lelaki berusia 42 tahun didapati bersalah membunuh seorang pelajar perempuan ketika mengadakan hubungan seks.
Soter Mule telah mengikat Paola Caputo, 24 dengan seorang wanita yang lain ketika melakukan hubungan seks teknik Jepun yang dikenali sebagai ‘sado-masochist’ atau “shibari”.

Mule, seorang jurutera, pada mulanya ditahan kerana membunuh tetapi pihak berkuasa di Rome percaya yang Paola dan kawannya memberi kebenaran untuk mengadakan seks itu.

Pegawai penyiasat mendapati, ketiga mereka bersama-sama malam itu, minum minuman keras dan mengambil dadah di kelab sebelum Paola, teman wanita Mule, mencadangkan mereka ke bangunan tempat letak kereta di luar Rome di mana dia bekerja sebagai penjaga.

Dua wanita itu masih lengkap berbaju, diikat bersama menggunakan tali dan digantung dua meter dari atas tanah. Apabila wanita yang tidak dinamakan itu pengsan, tali regang itu menyebabkan Paola tercekik. - AFP

Anak Gaddafi lari ke Niger

TRIPOLI: Seorang anak lelaki Muammar Gaddafi, Saadi, melarikan diri ke Niger ketika tentera yang setia kepada kerajaan baru Libya berdepan dengan tentangan sengit luar jangkaan di kubu kuat pengikut setia bekas pemimpin itu.
Pemimpin nombor dua Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mahmud Jibril berkata, sebuah kerajaan sementara akan dibentuk dalam masa 10 hari tetapi menegaskan, pertempuran masih berlaku dan Libya belum bebas sepenuhnya.

Sementara itu, kehadiran Saadi di Niger diumumkan oleh jurucakap kerajaan negara itu, Marou Amadou.

“Hari ini, pasukan peronda tentera Niger memintas konvoi yang turut disertai oleh seorang anak Gaddafi.

“Dia ialah Saadi Gaddafi, bekas pemain bola sepak,” kata Amadou, yang juga Menteri Kehakiman Niger.

Menurutnya, konvoi itu kini dalam perjalanan ke Agadez (utara Niger) dan dijangka tiba di Niamey (ibu negara Niger) tidak lama lagi.


Saadi, 38, anak lelaki ketiga Gaddafi dan terkenal kerana sikap playboynya, bulan lalu menawar untuk menyerah diri jika tindakannya itu boleh menghentikan pertumpahan darah di Libya.

Dia bermain untuk pasukan Divisyen Pertama Itali, Perugia pada 2003 tetapi hampir tidak diturunkan langsung selepas digantung lapan bulan setelah dikesan positif nandrolone, sejenis steroid anabolic.
Dia mengumumkan persaraannya dalam arena bola sepak pada 2004 untuk menyertai tentera dan mengetuai satu unit elit.

Jumaat lalu, Niger berikrar menghormati komitmen antarabangsa jika rakyat Libya yang dikehendaki memasuki wilayahnya. Ia juga mengesahkan tiga jeneral era Gaddafi, termasuk ketua tentera udaranya, Al-Rifi Ali Al-Sharif, kini berada di Agadez. - AP

Tentera serang pusat penapisan minyak

BENGHAZI: Penyokong setia Muammar Gaddafi semalam menyerang sebuah pusat penapisan minyak berhampiran Ras Lanuf di pantai tengah Libya, menyebabkan 12 tentera kerajaan baru yang mengawalnya terbunuh.
“Setakat ini, 12 anggota kami terbunuh,” kata jurucakap tentera Majlis Peralihan Kebangsaan, Mohammed Zawawi.

Menurutnya, sekumpulan penyokong setia Gaddafi yang menaiki lima kereta cuba memasuki pusat berkenaan tetapi gagal. Kemudahan minyak di sepanjang pantai Mediterranean antara Sidra dan Brega menjadi medan pertempuran sepanjang kebangkitan tujuh bulan menentang Gaddafi dan bertukar tangan beberapa kali.

Bagaimanapun, sejak kejatuhan Tripoli bulan lalu, tentera NTC mara lebih jauh ke arah Sirte, bandar kelahira Gadaffi, yang masih dikuasai penyokong setianya. - AFP

Bayi lelaki ditinggal di depan pintu rumah



RAS AL-KHAIMAH: Seorang lelaki Emiriyah Arab Bersatu yang berjalan pulang selepas solat Jumaat terkejut ketika menemui seorang bayi yang ditinggalkan di depan pintu rumahnya, kata polis, semalam.
Menurut polis, lelaki berkenaan menemui bayi yang dibungkus dengan selimut itu di hadapan pintu rumahnya. Dia kemudian menyerahkan bayi terbabit ke Hospital Saqr untuk pemerikasaan.

Sumber hospital memberitahu bayi yang berkulit putih itu dalam keadaan sihat.

Polis berkata, kebanyakan bayi yang dibuang hasil daripada perhubungan tanpa nikah dan majoriti ibunya adalah pembantu rumah.

Dara, janda asuh siang malam

ALOR GAJAH: Siang mengasuh anak, sebelah malam mengulit buah hati masing-masing menjadi rutin harian dua wanita penjaga taman asuhan kanak-kanak (Taska) di sebuah taman perumahan di Kuala Sungai Baru, sebelum dicekup berkhalwat, awal pagi semalam. Difahamkan kedua-dua wanita terbabit, seorang masih bujang manakala seorang lagi janda, berasal dari sebuah negeri di pantai timur manakala pasangan mereka, lelaki bujang dan suami orang berasal dari kampung berlainan di Durian Tunggal. Ketua Kampung Lubok Redan, merangkap Sidang Adat, Md Said Ali berkata, serbuan jam 1.30 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan penduduk. Beliau berkata, tujuh penduduk taman serta seorang imam dan dua anggota polis mengepung rumah taska dan dihuni dua wanita itu bersama pasangan mereka, semuanya berusia 24 tahun. “Setiba di lokasi, didapati pintu rumah serta jeriji berkunci dan kami memberi salam, namun tidak berjawab.

Beli isteri orang

KAMPAR: Kemaruk mengidamkan isteri orang menyebabkan seorang ‘samseng miang’ tanpa segan silu berjumpa suami wanita berkenaan dan menawarkan wang ribuan ringgit bagi membeli isterinya.
Kejadian dilaporkan berlaku awal bulan ini dan lelaki terbabit yang berusia 23 tahun dengan selamba pergi ke rumah pasangan suami isteri di sini berjumpa suami wanita terbabit bagi bertanyakan harga yang mungkin dipersetujui.
Bagaimanapun, tindakan suspek yang sudah berumah tangga itu menyebabkan si suami naik angin lalu menghalau suspek tanpa mengetahui latar belakangnya yang memiliki pelbagai rekod jenayah.

Agak mengejutkan apabila penjenayah miang itu tidak memberikan sebarang reaksi, sebaliknya berlalu meninggalkan pasangan suami isteri berkenaan dalam keadaan terpinga-pinga.


Sehubungan itu, suami mangsa membuat laporan polis dan bertindak atas laporan itu suspek ditahan di rumah ibu bapanya di Taman Kledang Emas, Buntong di Ipoh pada Jumaat lalu serta direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

15 tahun jadi hamba abdi

LONDON: Polis Britain menyerbu sebuah tapak karavan dan menyelamatkan 24 lelaki yang ditahan dan dipaksa hidup dalam keadaan yang kotor seperti hamba, semalam.
Kira-kira 200 anggota polis menyerbu tapak karavan Grenn Acres di Leighton Byuzzard dan menahan empat lelaki dan seorang wanita kerana disyaki melakukan jenayah perhambaan.

Menurut polis, lelaki yang dibebaskan kebanyakannya rakyat Britain dan beberapa lelaki dari Timur Eropah. Pegawai detektif berkata, kesemua mangsa adalah orang tidak berumah atau kaki botol.

Pasukan polis Bedfordshire telah melakukan siasatan berterusan mengenai kes yang mengatakan mangsa telah ditahan tanpa rela dalam keadaan yang teruk dan dipaksa bekerja tanpa diberi gaji.

Kata Detektif Ketua Inspektor Sean O’Niel dari Unit Jenayah Utama Bedfordshire dan Hertfordhire, “Kesihatan mereka tidak memuaskan dan tempat tinggal mereka tinggal juga sangat kotor dan sempit.”

Katanya, “Kami percaya, sebahagian mereka telah tinggal dan bekerja seperti hamba abdi selama beberapa minggu, tapi ada yang sudah 15 tahun.”


Katanya lagi, “Mereka direkrut dan disuruh datang ke sini dengan janji diberi 80 pound (RM385) sehari. Makan dan minum ditanggung.

“Tapi apabila mereka tiba di sini, rambut mereka dipotong dan mereka tinggal di dalam kandang kuda, anjing dan karavan buruk.” -AFP

19 nyaris terbunuh dua kapal berlanggar

MT Cendanawati membawa minyak dari Thailand, manakala gambar kecil menunjukkan keadaan kapal itu selepas dilanggar di perairan Pulau Tioman, kelmarin.
MT Cendanawati membawa minyak dari Thailand,
manakala gambar kecil menunjukkan keadaan kapal
 itu selepas dilanggar di perairan Pulau Tioman, kelmarin.

KUANTAN: Seramai 19 anak kapal warga Indonesia nyaris terbunuh selepas kapal tangki MT Cendanawati dinaiki, berlanggar dengan kapal tangki kira-kira lapan batu nautika dari perairan Pulau Tioman, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, kapten kapal itu, Dadi Suyadi, 45, berkata beliau bersama 18 anak kapal dalam perjalanan ke Indonesia dari Thailand dengan membawa muatan 1,600 tan minyak pelincir.
Katanya, ketika kejadian, beliau sedang tidur dalam bilik sebelum terjaga apabila terdengar dentuman kuat, menyebabkannya mengalami kecederaan di kepala.
“Kapal kami dipercayai berlanggar dengan kapal tangki, Cosmic 10 sebelum kapal itu beredar menuju ke Batam, Indonesia.

“Selepas pelanggaran berkenaan , air melimpah masuk dalam bilik dan terdengar teriakan anak kapal. Keadaan menjadi kelam kabut,” katanya di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, semalam.

Dadi berkata, kapal MT Cendanawati mengalami kebocoran pada bahagian enjin dan hampir tenggelam sebelum diselamatkan sebuah kapal yang kebetulan melalui perairan berkenaan.

“Saya dan semua anak kapal diselamatkan anggota APMM yang memberi bantuan dengan kapal KM Jarak sebelum dibawa ke jeti Tanjung Gelang, di sini.
“Kami sepatutnya tiba di Indonesia hari ini (semalam) selepas bertolak Khamis lalu dari Thailand. Kami berterima kasih kepada APMM kerana memberi bantuan dan menyelamatkan nyawa kami yang hampir terbunuh selepas terbabit dalam pelanggaran itu,” katanya yang cedera ringan di leher.

Sementara itu, Pengarah Operasi Wilayah Maritim Timur, Kapten Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hasan, berkata pihaknya memberi bantuan sewajarnya kepada 19 mangsa terbabit selepas mendapat maklumat kejadian itu. -bharian

Pemandu maut traktor putus tiga


 POLIS   memeriksa traktor yang dirempuh  kereta api  di Ladang Mengkebang, Kuala Krai, semalam. Gambar kecil Mohd Rizwan Mohd Saiful.
POLIS memeriksa traktor yang dirempuh kereta api
di Ladang Mengkebang, Kuala Krai, semalam.
 Gambar kecil Mohd Rizwan Mohd Saiful.


KUALA KRAI: Seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia maut selepas traktor muatan sawit dipandunya, dirempuh kereta api ketika cuba melintasi landasan berdekatan Ladang Meng-kebang di Sungai Durian, semalam.

Mohd Rizwan Mohd Saiful, 26 (kanan), dari Lombok, Indonesia maut selepas tercampak dan parah di badannya, manakala traktor dipandunya terputus tiga.
Difahamkan, sebelum kejadian jam 9 pagi itu, mangsa baru selesai memunggah kelapa sawit dan ingin membawanya ke tempat menimbang dengan memandu traktor berseorangan.
Bagaimanapun, mangsa tidak menyedari kedatangan kereta api yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Gua Musang dan meneruskan perjalanan tanpa menyedari jarak kereta api dengan kenderaannya terlalu hampir.

Sebaik melintas landasan, traktor itu dirempuh kereta api terbabit menyebabkan mangsa bersama kenderaannya terhumban.

Mangsa tercampak tiga meter dari tempat kejadian, parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, isteri mangsa, Nor Aziah Mat Naim, 24, berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan kerani ladang berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Jaapar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa adalah pekerja di Ladang Mengkebang, Sungai Durian.

Beliau berkata, Mohd Rizwan dipercayai maut selepas enjin traktor yang dipandunya dipercayai mati secara tiba-tiba berdekatan landasan. -bharian

Naik perahu, harung banjir menoreh getah





2011/09/13

MAT Nawi menaiki perahu untuk menoreh getah di Kampung Lubuk Batil.
MAT Nawi menaiki perahu untuk menoreh getah di Kampung Lubuk Batil.
PASIR MAS: Seorang penoreh getah terpaksa menaiki perahu untuk menoreh di kebun getah miliknya selepas kawasan itu ditenggelami air sejak 10 tahun lalu selepas benteng yang didakwa dibina agensi kerajaan di Kampung Terusan, punca menyebabkan banjir. 

Mat Nawi Haron, 57, dari Kampung Jejawi terpaksa menghabiskan masa empat jam bermula jam 7 pagi untuk menoreh 200 pokok getah setiap hari di kawasan seluas dua hektar yang ditenggelami air dengan menggunakan perahu yang menyukarkan pergerakannya.
"Orang kampung sudah tahu cara saya menoreh iaitu isteri, Kalsom Hamat, akan mendayung perahu dan saya akan menoreh.
"Menoreh cara biasa hanya mengambil masa dua jam saja, berbanding empat jam menggunakan perahu," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin. 

Mat Nawi mendakwa, dua daripada empat hektar kebun getahnya ditenggelami air selepas agensi kerajaan membuat benteng di sekitar sungai di Kampung Terusan menyebabkan kawasan kebunnya ditenggelami air. 

Berikutan masalah itu, katanya, pokok getahnya sudah banyak kali mati akibat ditenggelami air dan kemudian perlu ditanam semula. 

"Saya menanam semula anak pokok getah apabila tiba musim kemarau dan pokok itu akan hidup jika tempoh kemarau panjang melebihi tiga bulan," katanya yang terpaksa menanam semula banyak kali kerana masalah itu. 
Walaupun menghadapi masalah banjir, beliau dan isteri tetap meneruskan kerja menoreh yang memberi pendapatan sekurang-kurangnya RM500 sebulan. 

Selain itu, katanya, aktiviti mengutip getah beku juga perlu dilakukan menggunakan perahu. 

Sehubungan itu, Mat Nawi meminta kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelesaikan segera masalah pembinaan benteng itu dengan mengambil kira kesulitan terpaksa ditanggung penduduk. 

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mat Soud Yusuff, 64, berkata, beliau juga terpaksa mengharungi air untuk menoreh getah di kebunnya, sama seperti dilalui Mat Nawi. 

Rayu benar pakai seluar dalam

 WANITA dan pasangannya (kiri) disoal siasat sebaik diserbu ketika berdua-duaan di bilik rumah kongsi di Grik.
WANITA dan pasangannya (kiri) disoal siasat sebaik
 diserbu ketika berdua-duaan di bilik rumah kongsi di Grik.

Wanita kena cekup di rumah kongsi akui hidup seperti suami isteri

GRIK: Seorang wanita merayu kepada pegawai pencegah maksiat untuk masuk semula ke dalam bilik tidur teman lelakinya bagi membolehkan dia memakai semula seluar dalam yang tidak sempat dipakainya sejurus selepas dia ditahan, pagi kelmarin.
Permintaan itu dipenuhi oleh pegawai berkenaan apabila mendapati wanita itu berada dalam keadaan mengghairahkan kerana memakai seluar ketat nipis, selain baju yang dipakainya kelihatan dalam keadaan tidak sempurna.
Wanita yang hanya tinggal dengan ibunya di kampung itu mengaku hidup seperti suami isteri sejak mereka menjadi pasangan kekasih lima tahun lalu. - Mohd Jonid Abdul Syukor, Penolong Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Grik
Wanita berusia 21 tahun dan pasangan kekasihnya 26 tahun berasal dari kampung berlainan di pinggir pekan ini diserbu penguat kuasa pada jam 10 pagi kelmarin dipercayai ketika sedang memadu asmara dalam sebuah bilik di rumah kongsi itu.

Wanita berkenaan pada mulanya mengeluarkan suara tinggi ketika ditahan tetapi selepas itu menangis sambil menceritakan kisah hidupnya dan keluarga pasangan berkenaan.

Penolong Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Grik, Mohd Jonid Abdul Syukor berkata, enam pegawainya dibantu dua anggota RELA menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat orang awam mengenai perlakuan pasangan itu.

“Selepas kira-kira 10 minit kami mengetuk pintu bilik yang berkunci dari dalam itu, ia dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek sebelum mendapati seorang wanita sedang duduk di atas tilam nipis.
“Keadaan atas tilam berselerak dengan kain selimut dan sehelai kain sarung di dalam bilik sempit hanya kira-kira tiga meter persegi itu,” katanya ketika ditemui di tempat serbuan, kelmarin.

Katanya, ketika diajukan soalan mengenai status mereka bukan pasangan suami isteri, wanita berkenaan mula meninggikan suara sambil menceritakan masalah keluarga pasangannya yang enggan menerima dia sebagai menantu.

Wanita berkenaan mengaku pergi ke rumah kongsi tempat tinggal kekasihnya yang bekerja di kilang papan di situ dengan menunggang motosikal sehari sebelum itu dan bermalam bersama kekasihnya.

“Malah, dia juga mengaku dalam seminggu dia pergi beberapa kali ke rumah itu sejauh kira-kira 30 kilometer dari rumahnya bagi melepaskan rindu selain memberi alasan untuk membawa makanan.

“Ketika disoal, wanita yang hanya tinggal dengan ibunya di kampung itu mengaku hidup seperti suami isteri sejak mereka menjadi pasangan kekasih lima tahun lalu.

“Malah, apabila ditanya berapa kali sudah terlanjur melakukan hubungan seks, wanita itu tanpa segan silu mengaku tidak terkira banyaknya dengan alasan dia terlalu sayang kepada pasangannya,” katanya.

Ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Grik, Mohd Jonid berkata pemeriksaan pada telefon bimbit milik lelaki berkenaan didapati mengandungi beberapa adegan rakaman hubungan seks dengan berlatarkan bunyi unggas pada waktu malam dipercayai hasil rakaman peribadi mereka.

“Telefon itu kemudian dirampas untuk dijadikan bahan bukti dan mereka ditahan satu malam di lokap polis sebelum menghubungi keluarga untuk dijamin.

“Pasangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 54 Enakman Jenayah Syariah Perak dan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara, jika sabit kesalahan,” katanya. 

Strauss-Kahn disoal siasat


Strauss-Kahn
Strauss-Kahn

Bekas Pengarah Urusan IMF hadapi dakwaan cubaan rogol wartawan

PARIS: Polis Perancis semalam menyoal bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn, berikutan dakwaan cuba merogol seorang wartawan di sebuah pangsapuri di Paris pada 2003.
Peguam beliau Frederique Baulieu dan Henri Leclerc Strauss-Kahn, berkata anak guam mereka yang kembali ke Paris dari New York selepas dakwaan rogol ke atasnya digugurkan, mahu sesi soal siasat membabitkan kes cubaan rogol ke atas Tristane Banon dilakukan seberapa segera yang boleh.
Strauss-Kahn yang terkenal sebagai kaki perempuan, cuba merogol saya. - Tristane Banin, Wartawan
Selepas soal-siasat awal, pendakwa Perancis boleh memutuskan sama ada wujud kes bagi tuduhan itu atau tidak, atau sama ada ia sengaja diada-adakan kerana sudah lama berlaku.

Jun lalu, Banon mengemukakan dakwaan itu Jun lalu, selepas Strauss-Kahn ditahan di New York dak didakwa cuba merogol seorang pekerja hotel di situ.

Banon berkata, Strauss-Kahn yang terkenal sebagai kaki perempuan sebelum dakwaan serangan seksual di New York, cuba merogolnya di sebuah pangsapuri kosong di Paris pada 2003.

Strauss-Kahn menafikan semua dakwaan ke atasnya. Kes beliau di New York digugurkan selepas pekerja yang menuduhnya didapati pernah menipu.
Pihak berkuasa perundangan di Perancis setakat ini sudah menyoal beberapa individu termasuk tokoh politik terkenal seperti bekas pemimpin parti Sosialis Francois Hollande, sebagai sebahagian daripada siasatan dakwaan serangan seksual 2003 itu.

Strauss-Kahn tiba di Paris pada 4 September, dua minggu selepas dakwaan ke atasnya di New York digugurkan.

Beliau yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon paling layak untuk bertanding jawatan presiden Perancis, masih berdepan dakwaan lain di New York, selain tuduhan Banon.

Strauss-Kahn juga sudah memfailkan saman fitnah terhadap wartawan itu. – AFP

Taliban ingat keganasan AS ketika 9/11

WASHINGTON: Taliban menegaskan mereka tidak ada kaitan langsung dengan serangan 9/11 dan menganggap Amerika Syarikat menggunakan insiden terbabit untuk menyerang Afghanistan hingga membunuh berpuluh ribu penduduk Afghanistan yang tidak berdosa.

Dalam satu kenyataan dihantar melalui e-mel kepada media, Taliban menuduh Amerika Syarikat menggunakan serangan 11 September sebagai alasan untuk menyerang Afghanistan. Katanya, masyarakat antarabangsa bertanggungjawab terhadap pembunuhan beribu-ribu penduduk Afghanistan ketika serangan dan pendudukan di negara terbabit.
Kenyataan itu dibuat ketika Amerika mengingati peristiwa yang berlaku 10 tahun lalu dan memberi amaran mengenai kemungkinan ancaman serangan baru berlaku di bumi Amerika.
“Setiap tahun, 9/11 mengingatkan penduduk Afghanistan satu peristiwa tetapi kami langsung tidak terbabit. Penjajahan Amerika menyebabkan pertumpahan darah berpuluh ribu penduduk Afghanistan yang tidak bersalah atau berdosa,” katanya lagi.

Pada masa sama, Taliban membuat itu berkata bahawa penduduk Afghanistan mempunyai ‘stamina yang tidak berakhir bagi satu perang yang panjang’ dan boleh bangkit sebagai satu bangsa untuk ‘menggagalkan niat Amerika Syarika.

“Ia akan tetap menjadi satu stigma terhadap demokrasi Barat bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya membunuh berpuluh ribu penduduk Islam menggunakan alasan peristiwa yang samar-samar dan keruh ini,” kata kenyataan itu merujuk kepada 9/11.

Pengaman antarabangsa dan askar Amerika Syarikat kehilangan hampir 2,700 nyawa di Afghanistan lebih 1,700 daripada mereka adalah rakyat Amerika Syarikat. Angka yang diberi misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan sejak enam bulan lalu menunjukkan 1,462 penduduk awam mati termasuk penentang kerajaan yang bertanggungjawab terhadap 80 peratus pembunuhan.

Serangan udara pula menyebabkan kematian penduduk awam di tangan tentera asing, majoriti daripada mereka yang mati adalah disebabkan tindakan pemisah yang dibunuh oleh bahan letupan buatan dan serangan bunuh diri, kata Cable News Network (CNN) yang memetik laporan Misi Bantuan PBB di Afghanistan. – Agensi